Tuesday 8 December 2015

Balang Cinta (Bab 2) ~ Wizana Emilia

Pensel yang dipegang itu diketuk-ketuk hujungnya pada permukaan meja kayu pejabat. Terbentang sekeping pelan struktur sekolah rendah kebangsaan di atas meja itu, yang memenuhi segenap ruang meja. Projek pembinaan bangunan sekolah tiga tingkat itu sedang diteliti olehnya.
            Namun fikirannya mengelamun entah ke mana. Yang pasti, bukan pada pelan pembinaan sekolah tersebut. Wajahnya kelihatan runsing memikirkan perkara yang meresahkan hatinya.
            Pintu pejabatnya diketuk.
            "Encik Firas, ada tetamu nak jumpa," ujar Azlinda, kerani yang merangkap penyambut tetamu di pejabat itu.
            Firas mendongak kepalanya, melihat ke arah Azlinda. Dia agak marah kerana tumpuannya diganggu.
            "Siapa?"
            "Katanya abang Encik Firas. Shamsul Bahari," jawab Azlinda.
            Dahi Firas berkerut.
            "Okey, suruh dia masuk."
            `Biar betul Abang Sham datang?’ hati Firas menyoal.
            Seketika kemudian, seorang lelaki yang cukup dikenalinya, melangkah masuk ke dalam pejabat itu. Spontan Firas bangun dari kerusi dan mendapatkan abangnya.
            "Abang mimpi apa ni?" soal Firas, menyapa.
            Shamsul tersengih.
            "Tak ada mimpi apa. Kebetulan jumpa client dekat sini. Aku singgahlah tengok kau," jawab Shamsul.
            "Pelik sehhh.. Kalau ada hal, call je lah," ujar Firas.
            Shamsul merenungnya tajam.
            "Salah ke aku datang ni?"
            Firas tertawa kecil.
            "Tak salah," gelengnya. "Aku terkejut je. Ada apa sebenarnya?"
            Mata Shamsul meliar memandang ke arah meja pejabat Firas yang bersepah dengan dokumen dan kertas. Maunya tidak, sebentar tadi, dia sibuk menyiapkan beberapa laporan tender.
            "Kau sibuk tak?" soalan itu yang keluar dari mulut Shamsul.
            Dahi Firas berkerut.
"Taklah sibuk sangat. Kenapa?"
"Aku ada benda nak bincang. Jom keluar minum," ajak Shamsul dengan sengihan.
            "Okey. Nak minum di mana?"
            "Kat bawah pokok seberang jalan ni pun boleh," jawab abangnya.
            "Okey. Jom," balasnya menuruti abangnya keluar dari pejabat itu.
            Beriringan mereka melintas jalan ke gerai menjual makanan bergoreng yang bertentangan dengan bangunan pejabat itu. Selalu juga dia ke situ untuk mengisi perutnya yang lapar terutamanya pada waktu tengah hari. Pada sebelah pagi pula, gerai di bawah pokok itu, menjual nasi lemak dan pelbagai kuih-muih.
            "Apa benda yang Abang nak cakap?" soal Firas setelah mereka berdua membuat pesanan makanan dan minuman.
            "Aku nak ajak kau makan malam," jawab Shamsul.
            Wajahnya berkerut.
            "Aku tak nak," pantas Firas menolak. Tindak balas automatik yang terlalu pantas. Firas begitu yakin dengan jawapannya itu. Wajahnya bertukar menjadi masam. Niat Shamsul sudah dapat dibacanya.
            Peliknya, Shamsul masih mampu mengukir senyuman manis diiringi dengan sengihan yang penuh makna.
            "Itu sebab aku datang sendiri nak ajak ni. Aku dah agak kau tak nak."
            Nafas Firas dihela berat.
            `Huh!' sumpahnya di dalam hati.  
            "Masa aku setuju hari tu pun, aku dah rasa menyesal. Inikan pulak nak pergi sekali lagi? No way, bro."
            Senyuman Shamsul menjadi sedikit herot.
            "Kau pernah tak dengar tentang peluang kedua?" soal abangnya dengan wajah tidak berputus asa.
            "Pernah. So what?" balas Firas dengan jelingan tajam. Wajah tanpa ekspresi dipamerkan. Shamsul harus faham yang dia benar-benar tidak berminat. Cukup-cukup sudah! Peluang kedua?! No way!
            "Kau berilah dia peluang kedua," pujuk Shamsul lembut.
            Firas menjegil anak mata.
            "Untuk apa?!"
            "Manalah tahu kalau dia memang jodoh kau," pujuk Shamsul lembut bagaikan sutera, berbisik di telinga Firas.
            "Aku takde moodlah. Aku tak nak!"
            Wajah abangnya semakin redup dengan mata yang penuh berharap.
            "Kali ni je. Kakak kau dah arrange. Kak Ernie tu berharap sangat," pujuk Shamsul lagi.
            "Tu yang aku tak nak."
            "Kenapa?"
            "Nampak macam aku yang terhegeh-hegeh. Orang tu entah-entah tak suka pun nak jumpa. Hidung aku mancung, bro," Firas meluahkan ketidakpuasan hatinya. Hatinya masih bengang mengingati kejadian yang lalu. Ya, dia juga ada maruah. Bukan dia yang terhegeh-hegeh sebenarnya! Kalau tak suka, sudah!
            Shamsul kelihatan berfikir.
            "Ya, aku tahu hidung kau memang mancung. Lagi mancung sikit daripada hidung aku. Tapi, kakak kau benar-benar berharap ni," keluh abangnya lagi dengan nada berharap yang tidak putus.
            Firas mendengus.
            "Susah aku nak cakap. Cuma, aku macam dah serik," dia masih berdegil. Dia punya maruah dan harga diri untuk dipertahankan. Bukan dia yang terdesak untuk mengenali perempuan itu. Dia tidak peduli kalau terpaksa jadi bujang terlajak pun daripada terhegeh-hegeh pada yang tak sudi!  
            "Khyra dah minta maaf pada Kak Ernie. Kali ni dia memang berharap untuk jumpa kau. Come on, kau janganlah keras hati sangat. Walau pun aku tau kau memang keras hati. Sikit-sikit dah le merajuk."
            Firas menggeleng.
            "Kau silap! Aku bukan merajuk! Tapi aku dah fed-up. Aku tak nak jumpa dia," sekali lagi dia bertegas.
            "Come on lah. Kalau bukan untuk aku pun, untuk Kak Ernie," abangnya masih berusaha memujuk. "Boleh ye, kali ni je," rayu Shamsul.
            Firas mengeluh.
            "Susahlah cakap ngan kau ni!"
            "Maksudnya boleh? Boleh kan.. Kan?" bersinar-sinar mata Shamsul merenungnya.
            "Huh!"
            "Boleh kan?"
            Firas menggaru kepalanya yang tidak gatal. Begitu sukar untuk dia melafazkan kata. Sukar! Diluahkan mati emak, ditelan mati bapak.
            "Aku ada syarat."
"Aiseh, bersyaratlah pulak," rungut Shamsul.
"Kau nak dengar ke tak ni? Kalau tak nak, tak mengapa. I’m nothing to lose."
Wajah abangnya kembali tersenyum.
"Yelah. Apa syarat kau?"
Matanya merenung wajah Shamsul. Dahi Firas berkerut seribu.   
"Tak semestinya aku terima dia," ujarnya dengan jelas. 
            "Aku tahu," angguk Shamsul. "Kau kenal je dulu. Kalau suka, go on. Kalau tak suka, tang tu je lah," kata abangnya lagi.
            "Satu lagi, kalau dia tak muncul kali ni, takyah susah-susah nak matchingkan aku dengan sapa-sapa," pintanya.
            Shamsul tersenyum. 
            "Yelah."
            "Kau kena janji. Aku dah bosan tahap fed up melampau ni!" wajah dan nada suara Firas kedengaran serius.
            "Iye... Aku janji!" sengih Shamsul seraya mengangkat telapak tangan kanannya seperti sedang membuat ikrar.
            Firas mengangguk. Hatinya terasa sedikit puas.
"Okey. Kita dah clear tentang hal tu. Jadi, bila nak jumpa?"
            "Malam ni."
            "Gila! Malam ni nak jumpa? Pukul 2.00 petang ni kau baru nak beritahu?" 
            "Itu sebab aku datang jumpa kau ni Firas," Shamsul tersengih.
            Dahi Firas berkerut.
"Kat mana?"
            "8.30 malam, Bistro Krystal Botega."
            "Tempat hari tu?" keluhnya.
            "Iya, tempat hari tu. Kau datang ye," pinta Shamsul.
            Firas mengangguk lemah. Kalaulah dia tidak setuju tadi...
            "Ya. Cuma untuk kali ini. Ditegaskan, this time only! Sebab aku pun percaya pada peluang kedua. Tapi aku menentang habis-habisan untuk peluang ketiga. Lepas ni, no way okey," sekali lagi Firas menyatakan pendiriannya.
            "Iya. Kali ini je. Aku tunggu kau kat bistro tu ye."
            "Okey. Mcam hari tulah. Nanti aku datang dan kita tunggu puteri bulan tu sampai muncul. Ya, itu pun kalau dia muncul," rungut Firas.
            "Kali ni dia pasti datang," Shamsul meyakinkannya.
            "Belum tentu. Jangan terlalu yakin, bro. We’ll see," jawabnya.
            Shamsul hanya tersenyum, tidak menjawab kata-kata Firas.
Perbualan mereka terhenti apabila pelayan gerai menghantar dua pinggan mi goreng dan dua gelas teh ais ke meja mereka. Teh ais itu segera disedut untuk membasahkan tekak. Dia berasa penat berlawan bicara dengan abang kandungnya.

            `Kali ni je aku bagi muka. Lepas ni jangan harap!’ gerutunya di dalam hati.  

No comments:

Post a Comment