Thursday 30 July 2015

Suri Hati Abang (Bab 2) ~ Aylanins

MACAM MANA boleh terjumpa semula? Punyalah besar bandar ini, dalam ramai-ramai orang, kau boleh terjumpa dia?” Tanya Din tersengih-sengih. Macam tak percaya pun ada dengar Agus sudah jatuh cinta. Siap minta emak dan ayahnya merisik-risik lagi.

“Kau tak ada masa tu, aku dan Hisyam yang jaga kedai ini. Dia hantar sepupu dia gunting rambut. Muka dia tak banyak berubahlah, sama saja macam zaman sekolah dulu. Makin lawa adalah…” sahut Agus. Dia cubit sedikit ikan goreng di dalam bekas makanan di hadapannya.

Nak masuk tengah hari begini, jarang kedai gunting rambut mereka ini didatangi pelanggan. Nanti lewat petang tengoklah, ada-ada saja kaum bapa datang bawa anak-anak lelaki mereka ke sini untuk gunting rambut. Bila kedai taka da pelanggan, cepat-cepat dia dan Agus ambil peluang untuk makan.

“Dia kerja apa?” Tanya Din.

Agus mengerutkan dahinya. “Entah… aku tak tanya pula.”

Baru Agus tersedar, sejak berjumpa semula dengan Mardhiyah lima bulan yang lepas, selepas bertukar-tukar nombor telefon, yang ditanyanya pada Mardhiyah semasa menghantar pesanan ringkas melalui telefon itu cumalah ‘apa khabar’,’dah makan’, ‘baru balik kerja’. Lebih-lebih dia tidak berani sebab Mardhiyah pun jawab sepatah-sepatah pertanyaannya. Mungkin Mardhiyah sibuk agaknya, sebab itu tidak pernah balas panjang-panjang.

Lainlah kalau sesekali terserempak di pasaraya Giant ini, Mardhiyah ramah saja menegurnya. Mardhiyah tidak pernah sombong dengannya. Itu yang buat hati makin tertawan. Mungkin juga, sebab sebenarnya, bukankah Mardhiyah itu gadis yang paling dia senangi sejak zaman sekolah dulu.

Sempat juga dia tanya pada Mardhiyah dengan nada bergurau, bila mahu makan nasi minyak, dengan nada lucu Mardhiyah jawab, “Makan nasi minyak kat restoran nasi beriani Pak Samat saja Agus, nasi minyak kenduri Mar lama lagi.”

“Kalau ada yang berkenan dengan Mar, masuk meminang Mar terus, Mar sudi ke?” Agus memberanikan diri bertanya begitu pada Mardhiyah bulan lepas.

“Ada ke yang berkenan kat Mar? Untungnya kalau ada yang berkenan kat kita lepas itu masuk meminang terus.” Jawab Mardhiyah sambil gelak-gelak kecil. Asal beli barang-barang dapur kat Giant ini pasti dia terserempak dengan Agus. Dia suka berbual dengan Agus ini, jauh berubah sudah Agus sekarang berbanding Agus yang dulu. Dulu Agus nakal, selalu kena marah dengan cikgu. Sekarang Alhamdulillah, pandai berdikari dah Agus itu, siap buka kedai gunting rambut sendiri.

Ayat yang Mardhiyah tuturkan itulah, yang buat dia yakin Mardhiyah memang belum berpunya. Itu yang dia berani minta ayah risik-risikkan Mardhiyah.

Apa kerja Mardhiyah ya? Tapi setiap kali nampak Mardhiyah lalu di hadapan kedainya ini, pakaian Mardhiyah sentiasa kemas. Selalunya baju kurung dan kasut hitam berkilat. Kerja pejabat mungkin. Tiba-tiba saja dia rasa menyesal suruh Ayah risik-risik pasal Mardhiyah. Kalau Mardhiyah tolak bagaimana ya? Aduh, malunya. Mana mahu letak muka ini, tiba-tiba itu yang terlintas di fikiran Agus.



“KESIAN ANAK makcik tu. Suami dia baru meninggal bulan lepas. Mengajar di kawasan pedalaman, naik bot, elektrik guna generator. Anak dia kecil lagi. Makcik harap dia dapat pindah dekat dengan makcik,” ujar suara di sebelah sana.

“Nama dia Puan Fazila ke?” Mardhiyah membelek-belek fail yang bertimbun di atas mejanya.

“Ya… ya… Fazila binti Kamarudin.”

“Makcik telefon saya semula lima minit nanti. Lepas tu sebut nombor 4. Saya semak fail dia dulu,” sahut Mardhiyah. Dia menulis angka empat dan nama Fazila di atas Post-It-Note berwarna kuning dan melekatkannya di skrin komputernya.

“Ok… ok…”

Mardhiyah meletakkan telefon. Tadi ada dia nampak fail Fazila itu di atas mejanya. Ketika sedang mencari-cari itu telefon berdering lagi.

“Puan… anak saya semak dalam Internet, dia dapat transfer balik Johor, tapi surat tak sampai lagi. Kata suruh melapor minggu depan, ni surat takde, Pengetua tak bagi lepas,” selepas memperkenalkan diri, suara di sebelah sana membuat aduan.

“Jap… bagi nama cikgu tu. Nama sekolah dia jugak,” sahut Mardhiyah.

“Azrianna… Azrianna binti Salleh. SMK Sains, Miri. Dia ada kanser, nak buat treatment kat hospital dekat rumah,” masih lagi suara di sebelah sana mengadu.

“Puan telefon saya semula lima minit nanti, lepas itu sebut nombor 5 boleh? Saya cari fail dia dulu,” jawab Mardhiyah.

“Ok… terima kasih Puan.”

Mardhiyah meletakkan gagang telefon ke tempat asalnya. Dia menulis angka 5 dan nama Azrianna di atas kertas Post-It-Note kuning itu. Kertas itu ditampalnya di skrin laptopnya. Fail Fazila sudah ada di hadapannya.

“Amboi… pakai nombor pulak dah,” sapa Mieza yang tiba-tiba muncul di meja Mardhiyah. Skrin komputer Mardhiyah sudah penuh dengan kertas kuning Post-It-Note yang bertulis angka-angka dan nama-nama.

“Tengah tahun. Semua nak minta pindah. Kecoh betul hari ini… aku dari tadi nak makan tak sempat. Mieza tolong fax benda ni ke PPD Bintulu boleh? Cikgu Fazila…”

“Tak hantar lagi ke semua ni?” Tanya Mieza sambil meneliti surat yang diberi oleh Mardhiyah.

“Baru buat keputusan dalam mesyuarat dua minggu lepas. Baru habis mesyuarat dengan JPN antara negeri. Ada yang sudah dapat surat, ada yang belum…” jawab Mardhiyah.

“Ok… nanti aku fax… PPD Bintulu ya…” sahut Mieza. Telefon berdering lagi. Tangan Mardhiyah cepat mengangkat telefon di atas mejanya.

“Empat…” suara di sebelah sana menjawab.

“Cikgu Fazila kan?” Mardhiyah mengerling sekilas pada kertas kuning yang ditampal di skrin laptopnya. Empat. Fazila Kamaruddin.

“Surat anak makcik saya baru fax tadi. Dia dapat transfer. Rasanya petang nanti atau esok PPD fax surat tu ke sekolah anak makcik.”

“Terima kasih Puan… terima kasih banyak-banyak…”

Mardhiyah merenung telefon yang baru diletaknya. Penat bekerja begini, bila dapat ucapan terima kasih, sejuk rasa hatinya.

“Mar...” tiba-tiba Mieza muncul lagi di pintu biliknya. “Ketua Unit nak jumpa. Sekarang.”

“Cikgu Awang Had? Kenapa ya?” Mardhiyah bangkat dari tempat duduknya.

“Jangan-jangan kau kena ganti dia petang ini tak? Dia ada mesyuarat dengan Pengarah petang ni, baru kena panggil tadi,” ujar Mieza.

“Aku banyak kerja nak buat… ganti dia ke mana petang ini?” dahi Mardhiyah sudah berkerut. Pantas kakinya menuju ke bilik Cikgu Awang Had, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah.



MARDHIYAH  MEMANDANG wajah murid-murid di hadapannya. Nak kata nakal, ikut KABORI Pengakap. Nak kata jenis sopan santun, rambut panjang cecah kolar. Cikgu pengiring tak saring dulu ke murid-murid ini?

“Kena gunting rambut ni. Takut nanti berkawad, Pengarah nampak. Tuan Pengarah tu mata jenis mata helang, pantang nampak silap orang,” ujar Mardhiyah sambil memandang ke arah cikgu perempuan di sebelahnya. 

“Gunting sendiri ke? Tak berani saya Puan. Nanti kena saman. Budak-budak sekarang bukan boleh sentuh sangat, sergah sikit pun nama kita masuk news,” sahut cikgu perempuan itu. Budak lelaki tiga orang dengan rambut mencecah kolar sedikit gelisah berdiri di hadapan mereka berdua.

“Gunting kedailah. Tak apalah… saya bawa. Tapi kena ada seorang guru yang temankan saya. Tiga murid, awak, saya. Lima orang, cukuplah. Jam tiga macam ini tak ramai orang kat kedai gunting rambut,” jawab Mardhiyah.

Hendak tak hendak, kena bawa juga murid tiga orang ini gunting rambut di mana-mana kedai gunting rambut sebab budak yang seorang ini tugasnya bawa bendera Pengakap masa majlis penutupan nanti. Yang seorang lagi, bakal dapat anugerah pingat Keris Emas. Memang pasti murid itu akan naik ke atas pentas bersebelahan dengan Tuan Pengarah. Masalahnya, rambut budak-budak ini memang mencecah kolar. Kalau buka topi pengakap pun, panjang rambut budak itu melebihi genggaman tangannya.

“Cikgu Mar… nak bawa budak ke?” tegur Encik Ismail yang tiba-tiba muncul di situ.

“Rambut panjang sangat. Mati kita nanti, Pengarah datang lusa. Budak ini naik pentas terima anugerah,” jawab Mardhiyah.

“Tiga orang kan. Itulah… dah ramai sangat budak kat sini, memang tak perasanlah kes rambut dia ni,” ujar Encik Ismail agak serba-salah.

Dia Timbalan Kem Komandan. Segan juga bila Penolong Pengarah yang kesan kes begini. Cikgu pengiring tak pula perasan rambut budak ini. Tadi siapa entah yang maklumkan padanya Cik Mardhiyah si Penolong Pengarah dari Jabatan Pendidikan Negeri itu datang, sebagai wakil JPN.

“Nanti jam lima gitu kami balik sini semula ya…” Mardhiyah sudah menggenggam kunci kereta.

“Tak apa ke?” Tanya Encik Ismail masih serba-salah.

“Takpe… takpe… kejap je. Nak suruh cikgu lain, semua terlibat aktiviti kan…” sahut Mardhiyah seraya senyum nipis. 

Jadi satu hal pula di ke sini petang ini. Memantau perjalanan kem pengakap peringkat kebangsaan ini bukan tugas dia pun, ini kerja unit lain. Sejak bila pula hal-ehwal perkhemahan begini masuk skop Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), tapi kata Mieza, skop kokurikulum memang ada di bawah SPS ini.

Agaknya, sebab semua Ketua Sektor ada mesyuarat petang ini dengan Tuan Pengarah, lepas itu pegawai lain ramai yang bertugas di luar daerah, sebab itu dia pula yang diarahkan ke sini. Susah betul kalau unit kita bersebelahan dengan Unit KK.

Kedai gunting rambut. Sebetulnya boleh saja dia arahkan guru yang bertugas untuk pergi hantar murid-murid ini, tapi entah kenapa dia tiba-tiba saja tawarkan diri. Mungkin sebab ada kedai gunting rambut tertentu yang dia mahu pergi, kan Mar?



“GUNTING MACAM mana? Satu dua tiga?” Tanya Agus sambil matanya pura-pura menilik kepala budak lelaki yang duduk dihadapannya. Padahal sebenarnya dalam hati dia mahu saja menatap wajah Mardhiyah lama-lama.

“Kikis tepi bang…” sahut budak lelaki yang duduk itu.

Army cut… pendek. Macam askar,” tegas Mardhiyah menjawab.

Wah, pandai-pandai nak minta kikis tepi. Sudahlah servis gunting rambut kita yang bayar, suka hati saja nak minta fesyen macam-macam.

Agus tersenyum menahan gelak. Mardhiyah sudah keluar aura Ketua Pengawasnya. Teringat dia dengan si Mardhyiyah yang dicop garang sewaktu di sekolah menengah dulu.

“Malam esok datang tak Mar? Kak Has tanya-tanya tu, lama katanya tak jumpa geng sama-sama main galah panjang dulu,” tanya Agus sambil menoleh ke arah Mardhiyah sekilas.

Mata Cikgu Aini tiba-tiba saja memandang wajah Mardhiyah sekilas. Mar? Cik Mardhiyah kenal ke dengan si tukang gunting rambut ni? Dahinya sudah berkerut.

“Tak pasti. Kalau mak datang, Mar ikut sekali. Kalau abah tak ajak, abah nak pergi seorang, alamatnya duduk rumah je esok,” jawab Mardhiyah dengan nada segan.

Segan pertama sebab Agus cuma panggil dia Mar, lebih-lebih lagi Cikgu Aini ada berdiri di sebelahnya ini.

Segan kedua sebab dia sudah mahu kata tidak pada risikan Haji Syafie, tapi sekarang bila berhadapan dengan Agus secara siaran langsung begini, entah kenapa tiba-tiba saja hatinya rasa berdebar-debar. Degupan jantungnya semakin laju. Darah terasa menyerbu naik ke muka. Bukan kali ini saja, tiap kali ke pasar raya ini, kalau kebetulan dia terserempak dengan Agus di sini, pasti rasa berdebar-debar itu wujud.

Sukakah ya dia dengan Agus itu? Mardhiyah sudah pura-pura mengitari sekeliling kedai gunting rambut itu sambil Agus terus menggunting rambut budak lelaki yang duduk di hadapannya.

Malam esok, majlis akad nikah Kak Azreen, kakak Agus. Kad jemputan memanglah keluarganya dapat, tapi seganlah dia hendak datang ke majlis orang kalau tanpa emak yang menemankan. Dia bukannya pandai sangat beramah mesra dengan tetamu yang dia tidak kenal. Lebih-lebih lagi selepas Haji Syafie berkias-kias pada abah merisik dia untuk Agus.   

Agus terdiam sambil tangannya tekun menggunting rambut budak lelaki yang duduk di hadapannya. Tiba-tiba saja dia teringat dengan kata-kata ayahnya, Haji Syafie, beberapa hari lepas. Ayah sudah tanya-tanya pada abah Mardhiyah, kalau Mardhiyah setuju, kita masuk meminang, begitu kata ayah.

Tapi, setujukah Mardhiyah? Terburu-burukah keputusan yang dia buat ini ya, Agus sudah dilanda bimbang. Kalau setuju, tentu Mardhiyah tidak teragak-agak untuk ke majlis akad nikah Kak Has malam esok.

“Semua sekali dua puluh satu ringgit,” Agus senyum pada Mardhiyah selepas selesai menggunting rambut murid yang ketiga.

Mardhiyah hulur kepingan duit kertas pada Agus.  “Kirim salam kat Kak Has ya. Insya Allah, kalau mak pergi, Mar ikut sekali…”

“Insya Allah…” sahut Agus menyambut huluran duit daripada Mardhiyah. Din sudah pura-pura batuk di sebelahnya. Agus sekadar menjeling tajam pada Din. Dari tadi sejak Mardhiyah ada di dalam kedai gunting rambut itu, Din tidak habis-habis dengan batuk kecilnya.

Kaki Mardhiyah terus melangkah keluar dari kedai gunting rambut sederhana kecil itu. Haraplah emak ikut sekali ke majlis malam esok, adalah alasan untuk dia pergi sekali. Kalau emak tidak ikut, memikirkan hal itu, terasa  ada sesuatu yang hilang dari hatinya.


Tapi kemudian, entah kenapa tiba-tiba saja dia teringat dengan Faisal. Faisal anak Kak Bariah. Faisal anak saudaranya. Faisal yang punya rambut sarang tebuan. Tentu sarang tebuan di kepala Faisal itu makin lebat. Baiklah, malam ini dia akan telefon Kak Bariah, dia mahu cup si Faisal sarang tebuan itu untuk dibawa ke kedai gunting rambut Agus ini, paling lewat hujung minggu ini.

No comments:

Post a Comment