Thursday 9 July 2015

Suri Hati Abang (Bab 1) ~ Aylanins

SUARA RIUH-RENDAH di tingkat bawah mengejutkan Mardhiyah dari tidur. Jam di dinding menunjukkan pukul lima setengah pagi. Perlahan dia menggosok-gosok matanya. Entah siapa yang berdentang-dentang di tingkat bawah itu, emak rasanya. Macam bunyi kuali dan periuk berlaga pun ada. Emak itu, selagi majlis tidak selesai, selagi itu dia dilanda sindrom tidak dapat tidur.

Mardhiyah mencapai tuala untuk mandi, mahu bersiap seawal mungkin. Petang ini, mereka sekeluarga akan mengadakan majlis tahlil arwah Tuk Amit dan Nek Jas.

Siap berpakaian dan menunaikan solat Subuh, Mardhiyah turun ke dapur. Emak sedang sibuk menghitung pinggan mangkuk  yang sudah dilonggokkan di tepi kabinet dapur.

“Nasi sejuk ini nak buat apa mak?” Tanya Mardhiyah sekadar berbasa-basi, padahal bukan dia tidak tahu kalau nasi sejuk itu, tentu sekali emak mahu masak nasi goreng.

“Nak goreng. Kalau nak tolong goreng, bawang, ikan bilis, dan sayur mak dah sedia dalam mangkuk tepi dapur tu,” arah Puan Hafizah secara tidak langsung.

Mardhiyah pantas mencapai mangkuk besar berisi nasi sejuk itu. Dalam hati sebenarnya agak lega dengan arahan tidak langsung daripada emak itu. Perbualan emak dengannya malam tadi menyebabkan dia seboleh-bolehnya mahu mengelak dari berbual panjang dengan emak.

Ya, sejak emak buka mulut mengenai Agus.   

Agus?

AGUS ITU DULU satu sekolah dengannya, dari zaman sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga memang sekelas, kemudian bila masuk Tingkatan Empat, seingatnya Agus masuk kelas Perdagangan, dan dia masuk kelas aliran Sains.

Teringat Mardhiyah zaman dia bergelar pelajar sekolah menengah dulu. Kisah yang merenggangkan persahabatan mereka berdua lama dulu. Waktu itu dia Tingkatan Lima dan baru saja dilantik sebagai Ketua Pengawas Perempuan.

“Hei… kirim salam kat Ketua Pengganas tu,” jerit Agus dari celah pokok bunga raya yang lebat merimbun.

Riduan turut mengintai sama sambil gelak-gelak nakal dengan Hassan. Mardhiyah cuma menjeling tajam. Menyampah dengan perangai kebudak-budakan mereka. Sejak dia dilantik memegang jawatan tertinggi di kalangan pelajar sekolah itu, sejak itulah dia disapa dengan panggilan sebegitu. Ketua Pengganas!

“Ketua Pengganas, aku… aku…”

“Aku apa?!” Sergah Mardhiyah garang. Geram betul dia melihat wajah Agus yang main-main itu.

“Aku tak gunting rambut. Tengok, panjang tak?” Agus membuat iklan syampu di hadapan Mardhiyah. Rambutnya yang ikal itu lebat sekali sampai mencecah kolar baju sekolahnya.

Tersengih-sengih Agus memandang Mardhiyah yang berdiri di hadapannya. Puas hatinya dapat mengusik si mata sepet itu. Sebelum si mata sepet itu dilantik jadi Ketua Pengawas, ramah saja Mardhiyah menegurnya walaupun mereka sudah berlainan kelas. Tapi, sejak Mardhiyah jadi orang penting sekolah kononnya, Agus terasa macam semakin jauh dengan Mardhiyah.

Kadang-kadang dia macam rindukan Mardhiyah yang dulu. Mardhiyah yang peramah, yang baik, yang tidak sombong, walaupun Mardhiyah itu si cerdik pandai yang jadi kesayangan cikgu-cikgu.

Mardhiyah yang dia kenal dulu tidak macam pelajar perempuan lain. Pelajar perempuan lain, kalau cantik sikit, kalau pandai sikit, mulalah nak berlagak. Mardhiyah ini agaknya sudah bertukar jadi spesies yang begitulah. Rasa pandai sikit, mulalah nak berlagak.

“Itu kau sendiri punya pasal. Kalau cikgu disiplin tangkap, padan muka kau,” jawab Mardhiyah garang lalu berlalu pergi. Riduan dan Hassan yang jadi pengapit kanan dan pengapit kiri si Agus tercorot-corot masih memanggil nama Mardhiyah sehingakan pelajar-pelajar lain yang ada dekat-dekat situ menoleh kehairanan memandang Mardhiyah.

Geramnya!



SEJAK DIA memegang jawatan besar itu, perangai Agus dan kawan-kawannya makin menjadi-jadi. Zahida teman baiknya pula selalu merungut. Wajah Mardhiyah makin masam, makin nampak bengis. Tapi entah kenapa Mardhiyah rasa dia sendiri tidak banyak berubah. Cuma masa luang untuk bersama-sama dengan Zahida makin terasa singkat. Tapi bukannya dia sengaja pun.

Dia sentiasa sibuk dengan tugas-tugas sebagai Ketua Pengawas Perempuan sekolah. Bersama-sama Alfian, mereka berdua menjadi teraju Majlis Perwakilan Pelajar sekolah itu. Disiplin sekolah memang tidak pernah bagus. Hampir setiap hari dia mengeluarkan surat saman. Ada-ada saja kesalahan pelajar sekolah yang dia kenal pasti. Kalau bertugas di pintu pagar sekolah saja, suku pelajar yang datang awal pagi pasti punya kesalahan.

“Dik, mana kad pelajar?”
“Awak, pakai stoking belang-belang ni kenapa?”
“Ni rambut, kenapa cecah kolar?”
“Lewat lagi, memang tak ada muka lain ke? Asyik awak je.”

Itu belum lagi tugasnya sebagai Sidang Redaksi Majalah Sekolah. Dilantik sebagai Ketua Editor majalah sekolah, menjadi wakil sekolah dalam pelbagai pertandingan, Mardhiyah itu, Mardhiyah ini, pendek kata tidak ada nama lain yang naik ke pentas untuk terima hadiah penghargaan kalau bukan Mardhiyah.

Mungkin kerana itu, memang betul kata Zahida. Mardhiyah makin sombong. Makin lupa daratan.

“Sombong kau sekarang Mar. Maklum, orang jadi Ketua Pengawas sekolah. Kesayangan cikgu,” tuduh Agus.

“Mana ada aku sombong. Kita dah besarlah Agus… kena elok sikit perangai tu…” balas Mardhiyah.

Yalah, bila masa pula dia sombong. Agus itu yang sudah banyak berubah. Sejak berkawan dengan Riduan dan Hassan, makin menjadi-jadi pula sifat nakalnya.

“Yalah… kau kan pandai. Kau aliran Sains, aku kelas Perdagangan. Mana padan dengan kau…” luah Agus sambil pura-pura membelek tayar basikalnya.

Nantilah, kalau Mardhiyah keluarkan lagi surat saman, dia mahu pancitkan tayar basikal Mardhiyah. Sudah tentu Mardhiyah kena sorong basikalnya balik ke rumah, dan selepas itu, dia selaku jejaka prihatin, akan tolong hantar beg sekolah Mardhiyah ke rumah.

Beg Mardhiyah makcik, kasihan dia sorong basikal pancit tadi, Agus sudah tersenyum-senyum di situ.

Bukankah Mardhiyah pernah kata dalam hujahnya sewaktu pertandingan pidato antara kelas dulu;

kalau hendak pikat si anak dara,
kena pikat dahulu ibu dan bapanya,
kalau hendak dengar hujah saya,
dengarkan dulu definisinya.

Agus sudah senyum-senyum dalam hati. Dia ingat hampir semua yang berkaitan dengan Mardhiyah. Almaklum, Mardhiyah itu kan buah hati tidak rasminya. Si mata sepet itu sudah menambat hatinya sejak zaman mereka sama-sama sekolah rendah dulu.

“Kau senyum apa?” Tanya Mardhiyah sudah kehairanan melihat Agus tersengih-sengih sambil belek-belek tayar basikalnya.

“Mana ada aku senyum…” Agus terus berdiri pura-pura tidak tahu. Dia naik ke atas basikalnya, mahu mula mengayuh basikal itu. Riduan sudah sampai di sebelah Agus dengan basikal Mountain Bikenya itu.

“Agus. Sekolah ini atas bukit. Baik kau turun sekarang. Sampai bawah bukit baru kau kayuh basikal tu…” Mardhiyah sudah keluarkan arahan tegasnya. Agus ini memanglah. Mentang-mentang mereka kenal satu sama lain dari sekolah rendah sampai sekarang, berlagaknya ya ampun.

“Kalau aku jatuh, kau dukung aku haha…” sengih Agus. Sibuk saja Mardhiyah itu. Bukannya jatuh pun kalau setakat bukit landai begini. Tegasnya ya ampun mengalahkan mak nenek betul.

“Agus! Jangan kata aku tak bagi amaran…”

“Kau ni tegas sangatlah Mardhiyah. Membebel macam mak nenek. Cikgu disiplin pun tak macam kau,” ejek Riduan. Mardhiyah cuma menjeling geram.

Bye darling kahkahkah…” Agus sudah berlalu pergi sambil mengayuh basikalnya, meluncur menuruni bukit itu.

Mardhiyah menarik nafas panjang. Geram betul dengan Agus itu. Setiap hari ada-ada saja Agus mahu sakitkan hatinya. Dia toleh ke belakang mencari kelibat Zahida, kawan baiknya. Mana Zahida ya?

Teringat dengan kata-kata Zahida tempoh hari. Zahida kawan baiknya sejak Tingkatan Satu itu, terang-terang mengatakan Mardhiyah sudah lupa daratan. Mentang-mentang ayam tambatan sekolah. Kata Zahida, Mardhiyah sekarang sudah ada nama besar di sekolah ini, jadi lupa pada kawan-kawan yang tidak berkebolehan.

Benarkah ya? Benarkah dia sudah berubah sedemikian rupa? Ataupun adakah ketegasan yang dia pamerkan itu menjadi tembok pemisah kepada persahabatan mereka?



“TAK BAIK begitu Mar,” tiba-tiba saja Puan Hafizah bersuara memecahkan lamunannya. Mardhiyah menoleh. Emak sudah ada di belakangnya. 

“Haaa…? Apanya mak?” Soal Mardhiyah pura-pura tidak tahu sedangkan dia sudah dapat agak arah bicara emak.

“Tak baik pilih harta. Jangan tengok rupa juga. Yang penting bagi kita ini hati, kalau rupa saja lawa, perangai entah ke mana pun tak guna juga,” komen Puan Hafizah.

“Bukannya Mar memilih mak,” dia sudah mengetap bibir. Emak ini, sudah jadi isu pula hal dia dan Agus ini. “Mar pun ada ciri-ciri tertentu yang Mar mahukan dalam diri seseorang tu. Bukannya boleh main tangkap muat saja. Takkan terus nak kata ya.”

“Agus itu kita kenal dah lama. Sejak kamu berdua sama-sama sekolah tadika lagi. Sekampung. Bukan orang lain Mar,” balas Puan Hafizah. Kali ini dia sudah berlalu ke arah ruang makan.

“Tapi tak apalah, kalau Mar memang tak nak, mak tak paksa. Yalah, dia itu pun bukan kerja makan gaji. Kerja gunting rambut saja pun,” sambung Puan Hafizah.

Kalau dah tak suka, hati orang jangan dipaksa-paksa. Agus anak bongsu Hajah Fatehah itu memang bukan orang lain. Satu sekolah, malah satu kelas lagi dengan Mardhiyah dari sekolah rendah dulu. Kakak Agus, si Azreen itu pun teman sepermainan Mardhiyah masa kecil-kecil dulu. Tapi, yalah, dia faham juga, bukan senang Mardhiyah yang berkelulusan universiti itu hendak terima anak muda yang kerjanya cuma gunting rambut orang macam Agus.



MARDHIYAH TIDAK BERANI hendak menjawab. Karipap yang sudah garing di dalam kuali dikautnya dan diletak di atas pinggan beralaskan tisu penyerap minyak. Kemudian dia masukkan lagi karipap mentah ke dalam kuali berisi minyak panas.

Emak, Abah, Haji Syafie, Agus, dan soalan itu. Tawaran sebetulnya. Eh, pinangan sebenarnya.
Betulkah boleh dikatakan sebagai pinangan? Kalau pinangan, mana cincinnya?

Merisik. Ya, rasanya itu perkataan yang paling tepat. Haji Syafie, ayah Agus itu cuma risik-risik saja pasal dirinya. Kalau belum ada yang punya, dan Mardhiyah bersetuju, keluarga Agus mahu masuk meminang Mardhiyah ini, untuk disatukan dengan anak bongsu mereka, Agus itu.

Mardhiyah membalik-balikkan karipap di dalam kuali. Hatinya masih terkesan dengan kata-kata Emak. Kata-kata Abah malam tadi. Usul Haji Syafie juga. Mengenai Agus.

Tapi, bukankah kalau memilih pasangan itu, seboleh-bolehnya hendak yang sekufu?

Kalau lelaki itu, isterinya punya taraf pendidikan yang lebih rendah berbanding si suami, jarang ada masalah di kemudian hari.

Tapi, Agus itu, pendidikannya sampai tahap mana ya?

Mar ini Penolong Pengarah mak, Agus itu tukang gunting rambut. Manakan sekufu?


Atau, definisi sekufu pemahaman Mardhiyah ini berlainan dari definisi sekufu yang sebetulnya. Adakah ya, maksud lain bagi sekufu ini? 

No comments:

Post a Comment