Wednesday 5 November 2014

Seruan Hati (Bab 5) ~ Azilawati Mat Angsar

Kosong.  Memang sangat kosong pandangan yang dilemparkan kepada teman di hadapannya itu.  Muna tidak tahu bagaimana hendak menerima Biyah kini.  Terasa kekok untuk berbicara dan bersembang-sembang dengan Biyah seperti waktu dahulu.
Selama ini Muna sudah lupa, sudah tidak mahu ingat lagi akan peristiwa tiga bulan sudah.  Tumpuannya adalah seratus-peratus kepada pelajaran.  Muna tidak lagi punya masa untuk dibuang sewenang-wenangnya.  Apatah lagi untuk mengenang perkara-perkara yang telah berlalu.  Tambahan pula ia adalah perkara buruk.
“Maaflah, Muna... sampai bila kita mahu terus begini?” Biyah terus merayu.  Sedangkan Muna masih tekun menghadap buku.
Muna sedang membuat latih-tubi Matematik di meja batu, di hujung laman Asrama Puteri sewaktu Biyah menghampirinya.  Sungguh, Muna sebenarnya sangat-sangat tidak berharap untuk bercakap apa-apa pun lagi dengan Biyah melainkan soal pelajaran.  Bahkan Muna sebenarnya sangat bersedia untuk membantu Biyah belajar kalau itulah yang Biyah mahukan.  Meski apa jua yang pernah berlaku di antara mereka, Muna tetap mahu melihat Biyah sama-sama berjaya dengannya.  Muna belum pernah lupa janji-janji mereka, lima sekawan dahulu.
“Muna...” Biyah memberanikan diri menyentuh tangan Muna.
“Kau hendak belajarkah, Biyah?” soal Muna, memula.
Biyah geleng.  Namun matanya masih tertancap lagi pada Muna.  Kelihatan amat berat apa yang hendak Biyah luahkan itu.  Ia membuatkan Muna berhenti menulis lantas menutup buku.  Dia masih sayangkan Biyah.
Melihat muka Biyah hari ini, Muna ternampak kembali wajah sahabatnya itu sewaktu menerima hukuman.  Siapa yang menduga bahawa permintaan Muna sewaktu melangkah meninggalkan Biyah malam itu dikabulkan Tuhan.  Biyah dan Boy tertangkap.
Muna pula yang pulang awal malam itu, terlepas.  Biyah dan Boy tertangkap berdua sahaja di pagar yang mereka panggil lubang tikus itu pada hampir Subuh.
“Aku ingin bercakap dengan kau, Muna.  Cuma kau seorang sahaja yang aku boleh percaya... aku sudah tiada sesiapa lagi...”
Kata-kata Biyah itu membuatkan Muna tersedar.  Dia perlu memberikan perhatian kepada Biyah sekarang ini, bukan pada masa yang dahulu yang sudah pun lama berlalu.
“Kawan-kawan ‘fly’ kau, ke mana perginya?” tungkas Muna.  Sinis dan spontan.
Biyah terkedu.  Beberapa jurus juga jadinya Biyah terdiam menelan tempelak daripada sahabatnya itu.  Namun Biyah tahu, peluang yang datang ini harus digunakan dengan bijak.  Telah berkali-kali Biyah berfikir dan merancang untuk bercakap dengan Muna.  Tentu sahaja Biyah akan luahkan segala yang terbuku di hatinya kini.
Sesungguhnya, Biyah sudah tidak tertanggung lagi untuk memendamkannya seorang diri.  Biyah tidak berupaya untuk menyimpannya lebih lama lagi.  Seseorang mesti mendengarnya.  Seseorang itu adalah Muna, sahabat baiknya.
“Maafkan aku... mereka tidak sama dengan kau, Muna.  Aku betul-betul minta maaf pada kau atas apa yang berlaku malam itu,” untuk ke sekian kalinya Biyah merayu.  Jari-jemari Muna kini sudah berada di dalam genggamannya.  Biyah enggan lepaskan.  Kukuh dicengkam.
“Kau tidak salah apa pun dengan aku.”
“Aku salah, Muna...”
“Pada diri kau sendiri.”
Sekali lagi kata-kata Muna membuatkan Biyah terdiam.  Semakin banyak air liur yang Biyah telan untuk melegakan perasaan.  Untuk membersihkan tenggorokannya agar dapat disampaikan apa yang ingin disampaikan.
Melihatkan Biyah yang tunduk terdiam itu, Muna bertanya lagi, “Kau mahu aku bantu belajarkah?”
Biyah menggeleng lagi.
“Kau sudah bersedia?  PMR tinggal tiga minggu lagi.”
Biyah angguk.  Perlahan sekali.
“Banyak yang kau tertinggal masa digantung sekolah dua minggu itu, bukan?  Kau sudah dapat faham?”
Biyah mengeluh.  Buktinya dia menghembus nafas yang sangat berat ketika itu.  Bahunya jatuh.
“Kalau kau mahu, aku boleh tolong,” Muna masih terus mengajak Biyah untuk belajar bersama-sama dengannya.  Seperti waktu dahulu.  Tidak mengapalah kalau kini hanya tinggal mereka berdua sahaja.  Apa yang penting adalah semangat itu.  Semangat untuk terus bersatu dan menyokong tanpa kompromi teman-teman sepembelajaran.  Soal ilmu, Muna memang begitu.
“Terima kasih, Muna...” akhirnya Biyah terima.  “... tetapi... aku sebenarnya ada perkara lain yang hendak aku cakapkan pada kau ini...”
Terbit curiga.  Apakah agaknya yang lebih berat di pundak Biyah saat ini selain daripada pelajarannya?  Muna siap untuk mendengar.  Tubuhnya diluruskan.  Dia kini duduk tegak, betul-betul menghadap ke muka Biyah.
“Kau jangan pandang aku begitu...”
“Cakaplah,” pinta Muna, sepatah.  Malas hendak berdrama.  Malas hendak membuang-buang masa.
‘Kau jangan marah, ya Muna?  Aku tahu kau sayangkan aku...”
Daripada duduk yang tegak lurus, batang tubuh Muna mengendur.  Minat untuk mendengar mulai hilang.  Rupa-rupanya dalam banyak berubah itu, Biyah masih lagi gemar bermain sandiwara.  Hendak mendengar satu perkara daripada Biyah memerlukan kesabaran yang bertahun.  Ada sahaja itu dan ini sebelum sampai ke maksud sebenarnya.
“Kenapa?  Sekarang kau sudah putus dengan Boy dan kau mahu mengadu pada aku?” Muna memprovokasi.  Biyah perlu dibentak sesekali.
“Bukan!  Janganlah tanya begitu, Muna...”
“Pandang tidak boleh, tanya tidak boleh... kau yang kata hendak cakap sesuatu pada aku tadi... apa dia?” Muna tunjukkan rasa hilang sabarnya pada Biyah.  Ada baiknya dia sambung belajar lagi.
“Muna... maaflah.  Aku buntu ini.  Aku betul-betul tidak tahu bagaimana hendak cakap pada kau...”
Bersama kata-kata Biyah itu, Muna hulurkan lembaran kertas kajangnya di hadapan Biyah.  Selanjutnya, pensel yang masih di tangannya Muna letak di atas kertas berkenaan.  “Tulis!”
Biyah menikus.  Dia memandang sayu ke arah Muna.  Mengharap pengertian dan simpati.
“Kau jangan hendak mengada-ngada lagi, Biyah.  Tulislah.  Tadi kau yang kata tidak tahu bagaimana hendak cakap, jadi tulislah!” Muna membuat putus.  Dia mencapai kembali buku lalu membukanya.
Cepat-cepat Biyah tarik buku tersebut dari tangan Muna, seraya berkata, “Aku mengandung.”
Giliran Muna yang terpempan kali ini.  Syukurlah dia sedang duduk atau dia akan jatuh sekiranya sedang berdiri sewaktu Biyah berani memberitahukan perkara itu kepadanya.  Selamba sahaja muka Biyah.
“Aku mahu gugurkan...”
“Apa?!”  Kali ini Muna benar-benar kaget.
“Muna... Muna... shhh... shhh...” Biyah segera menutup mulut Muna.  Tidak mahu perbualan mereka petang-petang minggu itu menarik perhatian orang.  Setelah Muna membetulkan duduk, Biyah lepaskan pegangan tangannya pada mulut Muna.
“Boy tahu?” Muna menyoal balas.
Biyah angguk.
“Dia mengaku?” soal Muna lagi.
Biyah terus mengangguk.
“Kalau begitu mengapa kau hendak gugurkan pula?”
“Aku takut.  Aku takut, Muna... sudah masuk tiga bulan...” Biyah cuba menerangkan.  Walaupun Biyah nampak Muna sedang menahan getar tubuhnya, Biyah tetap berani menyatakannya.  Biyah tahu, dia mesti bercakap sekarang juga!
“Sudah hampir sebulan aku tahu, Muna.  Boy yang temankan aku buat pemeriksaan di klinik.  Doktor itu dia kenal...”
“Dan kau percaya?!” bentak Muna.
“Aku tahu, aku mengandung, Muna... bila period aku tidak datang.  Itu yang aku ajak Boy pergi periksa.  Doktor kata, dia boleh buangkan kalau aku mahu...”
“Apa?!!”  Amarah terhadap Biyah kini bertambah lagi tatkala mendengar cerita Biyah tentang doktor yang ditemuinya itu.  Merepek sungguh!  Benarkah yang Biyah jumpa itu seorang doktor bertauliah?  Mengapalah sebodoh ini Biyah jadinya?
“Bukan... dengarlah dahulu, Muna.  Jangan marah-marah... aku takut.”
Sekurang-kurangnya pengakuan Biyah itu membuatkan Muna lebih tenang.  Dia cuba untuk lebih bersabar.
Betul kata Biyah, dia harus mendengar dahulu cerita sampai habis.  Kesimpulan hanya boleh Muna buat setelah mendengar keseluruhan cerita.  Bukan dengan terburu-buru begini.  Ya!  Dia perlu lebih matang.  Biyah datang kepadanya untuk berkongsi satu rahsia yang sangat besar ini adalah kerana Biyah percaya bahawa Muna dapat membantunya.  Kesedaran itu membuatkan Muna lebih bersedia.
“Ceritalah... aku dengar,” ujar Muna, memohon Biyah meneruskan.

8 * 8 * 8 * 8 * 8 * 8 * 8

Sirap limau ais yang dipesan telah separuh disedutnya.  Biyah mulai bosan.  Dia paling tidak suka menunggu.  Sudahlah tidak dapat bertemu dengan Boy, ini di sini bersama-sama Muna, dia duduk melangut juga.
“Orang mengandung kena banyak belajar sabar.”
Biyah tahu kata-kata itu sengaja Muna ungkapkan.  Dia tahu Muna mahu dia sentiasa ingat yang semua ini adalah bahana yang dicarinya sendiri.  Nampaknya Muna belum dapat memaafkan Biyah lagi.  Tidak untuk soal bercinta dengan Boy sehingga mengandungkan anak Boy pula kini.  Dalam usia semuda mereka, sepatutnya Muna berasa takut seperti juga dirinya.  Namun Biyah hairan kerana Muna tetap tenang walaupun jelas sekali amarahnya.
“Kita hendak jumpa siapa ini, Muna?  Rugilah hari ‘outing’ begini kita buang masa seperti ini.”
“Buang masa?  Yang namanya buang masa adalah sewaktu kau bercinta dengan Boy, Biyah.  Bercinta macam syaitan!” luah Muna, kasar.  Apa yang membuatkan Muna geram adalah wajah selamba Biyah.  Tidak sedikit pun ada rasa menyesal dan bersalah dipalit di muka cantiknya.
“Hoi!  Kasar betul itu,” balas Biyah.  Terus-terang.
“Syaitan sahaja buat kerja macam yang aku nampak malam itu, Biyah.  Atau kau pernah dengar malaikat buat begitu?” tempelak Muna lagi.
“Apa kau ini, Muna?  Cerita bab syaitan, bab malaikat ini?  Malaikat itu makhluk paling taat pada Tuhan tahu?  Tidak pernah sekejap pun buat maksiat... walaupun sekelip mata.  Tuhan suruh rukuk, dia rukuk... suruh sujud, dia sujud... suruh bertasbih, dia bertasbih... apa kau hendak banding-bandingkan apa yang aku buat itu sampai libatkan malaikat ini?  Istighfar, Muna... baik kau mengucap semula!”
Panjang pula omelan si Biyah.  Muna dengarkan sahaja.  Mencari-cari peluru Biyah sendiri untuk Muna lepaskan das demi das tembakan tepat ke atas sahabatnya itu pula.
“Ingat kau tentang malaikat ya, Biyah?” Muna menungkas.
“Apa ini, Muna... tidak sedaplah begini...”
“Sedap?  Kau mahu yang sedap??”
Biyah tersenyum-senyum sumbing.  Meleret-leret.  Fikirannya berlari jauh daripada Muna dan sirap limau aisnya.  Biyah nampak Boy di hadapan matanya.  Senyumannya bertambah manis.
“Yang sedang kau bawa ini, sedap?!”
Tempelak Muna itu mematikan leretan senyum di bibir Biyah.
Tidak cukup dengan itu, Muna menokok pula, “Ada kau ingat masa bersedap-sedap itu pada malaikat yang kau kenal sangat itu, Biyah?”
“Alah... kau belum kenal apa itu cinta, senanglah kau cakap, Muna.”
Muna geram.  Ada sahaja jawab Biyah untuk menafikan salah besar yang telah dibuatnya.  Langsung tidak belajar apa-apa daripada semua yang terjadi.  Ada baiknya semasa ditangkap curi keluar asrama dahulu, dia dibuang sahaja dari sekolah!  Hendak Biyah jawab apa pada ibunya yang juga seorang guru itu?  Mungkin baru Biyah akan sedar.
“Kau dengar sini, Biyah.  Aku tolong kau kali ini sebab aku hendak kau belajar... kau sedar dan insaf.  Jangan jadi jahat sangat.  Setakat ‘fly’, lepak-lepak, main ‘game’, aku okey... boleh terima.  Tetapi... cinta orang dewasa kau itu, anak kau ini... kau belajar sesuatu daripada semua ini, Biyah.  Jangan sia-siakan hidup kau sendiri,” Muna memberi ceramah yang agak panjang.  “Selepas ini, kau dengar cakap aku... jangan pula kau beritahu Boy apa yang aku, yang kita buat ini.  Aku percayakan kau, Biyah.”
Biyah menutup bibirnya.  Kepalanya digerakkan ke kiri dan ke kanan.
“Kau janji dengan aku, Biyah.  Aku sayangkan kau!”
“Aku janji, Muna.  Aku janji Boy tidak akan tahu apa-apa pun tentang hal kita berdua ini, sampai mati!”
Mendengarkan itu, barulah kelihatan segaris senyum di wajah Muna.  Dia percaya, kata-kata Biyah masih boleh dipegang lagi.  Sekian lama mereka bersahabat, sekurang-kurangnya Muna tahu, Biyah tidak akan membelakanginya.  Kerana mereka berdua sangat akrab.  Di antara kawan-kawan Muna yang ada, Biyahlah yang paling rapat dengan ibu bapanya.  Biyah sangat dekat dengan mereka.

“Hah, itu pun dia!”

No comments:

Post a Comment