Monday 10 November 2014

No. 23 (Bab 3) ~ Packy Sidique

SS 15, Subang Jaya. Dua jam selepas itu.
APRIL berlari-lari anak menuju ke arah kereta yang diparkirnya berhampiran Maybank Seksyen 15, Subang Jaya. Beg sandang besar berjenama Gucci dikepitnya di bawah ketiak rapat-rapat. Seakan bimbang jika beg itu akan hilang direntap individu tidak bertanggung-jawab. Buat sementara ini, itulah harta paling berharga miliknya berbanding dengan segala yang lain yang dia ada.
Dia memegang dadanya yang laju berdebar sejak tadi.
Kelibat Ti’ah menaikkan ‘central lock’ dari dalam kereta kelihatan samar-samar. Berdetap bunyi kunci dibuka secara automatik. April membuka pintu lalu melabuhkan punggongnya di tempat duduk sebelah pemandu. Sejak terlanggar lelaki bernama Akmal tadi, dia sudah hilang semangat mahu memandu. Kaki rasa terketar-ketar sewaktu mahu menekan pedal minyak. Sudahnya… Ti’ah terpaksa mengambil alih pemanduan.
Dia menghirup segar sejuk pendingin udara dalam-dalam. Tidak terus berkalih ke arah Ti’ah tetapi cuma diam memandang ke ruang hadapan. Ke arah deretan rumah kedai yang melatari jalan. Beg sandang jenama Gucci itu masih dipeluknya hingga melekap ke dada.
Diamnya sangat lama. Menyebabkan Ti’ah berkalih merenungnya.  
April akhirnya menyembamkan mukanya ke papan pemuka kereta lalu menangis. Entahlah! Ada rasa syahdu yang sedang mengetuk hatinya kini. Entah kenapa, dia menjadi terlalu sensitif sejak kebelakangan ini. Terasa tangan Ti’ah mengelus bahunya lembut.
“ Kau okay ke? Kenapa menangis macam ni?”
Soalan itu tidak dijawab. April angkat kepala. Mengesat baki airmata.
“ Comotnya! Macam perempuan gothic.” Ucap Ti’ah tergelak. Dia mengesat tubir mata April. April segera memeriksa wajahnya melalui cermin pandang belakang.
Hmm… memang comotpun. Dia tersenyum kelat. Maskara yang dipakainya sudah bercampur airmata. Memang benar, macam perempuan gothic pulak apabila maskara sudah menghitamkan keliling mata. Dia mencapai tisu, terus membersihkannya.
“ Apa yang buatkan kau sedih sangat? Kau dah baca buku tu kat dalam sana ke? Puas aku tunggu kat luar… bimbang jugak aku. Takut kau pengsan kat dalam sana. Sudahlah tadi tu pengsan dekat tempat kemalangan tu.”
April geleng kepala. Kemutkan hidung. “ Belum baca. Belum ada kekuatan.”
“ Tak rasa excited nak tahu ke?”
“ Mahunya tak. Tapi, menggendong kotak ni kat dalam beg pun macam gendong beban berat yang sesakkan dada aku.”
“ Kotak?”
“ Ya, kotak yang dalamnya ada diari papa dan keratan akhbar berserta sekeping surat. Nanti malamlah aku baca. Masa tenang-tenang kat rumah tu.”
Ti’ah kerutkan muka. Dia nampaknya… risaukan keadaan April.
“Kita tengok rumah dulu… aku set address ni kat GPS,”  April mula menyelongkar beg, mencari alamat rumah yang Acik beri. Setelah selesai, Ti’ah mula membetulkan duduk lalu memasukkan gear mengundur. Kedengaran alat Global Positioning System (GPS) mula berbunyi memberikan arahan…
Keep to your left, in 100 meter turn to your left’
Walaupun serik dengan insiden tadi, mereka menurut sahaja. Nak buat macam mana lagi? Mereka memang kurang mahir dengan jalan di Subang Jaya ini. Dulu, kalau datang ke Kuala Lumpur, selalunya… April cuma jadi ‘Mem Besar’ di tempat duduk belakang.
Ti’ah menjengah ke langit. Kemudian tersengih memandang April. “ Mujur cuaca cerah. Aku bimbang GPS ni recalculating tengah-tengah jalan macam tadi. Mau kelam kabut kita dibuatnya.”
April senyum segaris. Walaupun impak perlaggaran tadi masih terasa, namun impak hatinya yang terlanggar tadi, lebih kuat. Copot jantung ketika itu, masih berbaki hingga kini. Sungguh dia tak sangka, dia bertemu seseorang yang mempunyai cirri-ciri lelaki idamannya di sini. Cuma, yang tak sedapnya… orang tu lasernya boleh tahan. Mulutnya pula, macam longkang. Dan yang lebih malang, dah ada isteri pula.
Tapi, tak akan rugi apa-apapun kalau tak dapat lelaki yang tak sensitif macam tu.
Kan?



DENGAN bantuan GPS, mereka keluar ke Pesiaran Jengka, melalui Jalan Kemajuan. Dari situ terus masuk ke Pesiaran Tujuan lalu menghala ke Utara Subang Jaya (USJ) 4. Tak sampai lima belas minit, April  sudah memberhentikan kereta berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Selangor apabila GPS menyatakan ‘ you have reach the destination’.
“ Rumah nombor 14.” Kata April sambil menjengah rumah yang bertentang dengan kedudukan keretanya.
“ Dua tingkat, depan sekolah. Senang anak kau nak sekolah nanti.” Ti’ah tersengih.
April kemutkan hidung dengan turut kerutkan bibir ke sebelah kiri pipi. Selalunya itu tanda dia sangat tak setuju dengan kenyataan yang dikeluarkan.
“ Ke situ pulak kau. Aku kuntau karang, baru tahu!” Sergah April.
Ti’ah angkat tangan mohon ampun. “ Macam pernah aku dengar ayat tu.” Kata-kata Ti’ah buat April tersenyum. Mana pula tak pernah dengar, itulah ayat kuntau yang Ti’ah sendiri selalu pakai kalau marahkan orang. April sekadar mahu mengusik.
“ Jomlah!”
April keluar dari kereta. Berjalan mengelilingi kereta lalu berdiri bersandar di situ. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia mengerling Ti’ah yang sudah berada di sebelahnya. Mereka sama-sama mengangguk kepala lalu melangkah melintasi jalan. Menghampiri rumah berpagar kayu yang didirikan sedikit tinggi dan dihiasi pohon Akar Dani yang menjalar berbunga oren kemerah-merahan. Kebetulan waktu itu bunga sedang ramah berkembang. Memang nampak cantik sungguh.
Sebaik pintu pagar dibuka, ruang parkir yang boleh memuatkan dua biji kereta menanti mereka di sebelah dalam. Suasana nampak redup kerana selain berbumbung penuh, ia dikelilingi oleh pasu-pasu bunga berdaun hijau dari berbagai jenis spesis.
      “ Ada pangkin kayu jati. Walaupun kecil, boleh juga buat rehat-rehat dekat luar.” Komen Ti’ah sambil menunding jari ke sudut kanan rumah.
April sekadar mengangguk. Dengan lafaz Bismillah, April memutar anak kunci perlahan. Dia menguak daun pintu. Ruang sederhana besar berjubin motif parkey menyambut kehadiran mereka. Gelap lantai itu disederhanakan dengan sofa tona krim ala English dan langsir tingkap bermotif bunga-bunga kecil dengan campuran hijau apple dan juga krim .
“ Cantiknya! Aku suka hiasannya.” Kata April sambil melabuhkan punggong di sofa. Mata dibawa menyeluruhi ruang. Ti’ah ambil tempat di sofa bertentangan.
April tunduk merenung lantai. Matanya sudah mula digenangi air. Dia mengesatnya perlahan.  “ Hari ini, aku rindu sangat-sangat pada mama dan papa…” dia berhenti sebentar menahan sebak lalu memandang sekeliling sekali lagi. Terasa seperti papa masih ada bersamanya walaupun sudah dua minggu papa pergi.“ Dan, mulai hari ini juga… inilah rumah aku. Walaupun tak sebesar banglo papa di Kelantan, tapi inilah pemberian berharga mama dan papa untuk aku,” ucapnya lagi, memandang Ti’ah.
Ti’ah mengangguk.

April membalas dengan segaris senyum. Anggukan itu sudah cukup menandakan Ti’ah faham. Dan dia tahu, Ti’ah akan sentiasa berada di sisinya.

No comments:

Post a Comment