Wednesday 12 November 2014

Belum Aku Temu: Bab 1 ~ Amri Ramli

Satu demi satu nama itu berlalu. Mata Fez mengerling pantas mencari satu yang dikehendaki. Peluh di dahi dibiar mengalir, tidak sempat untuk diseka. Belakang bajunya sudah basah, seperti terkena balingan belon air.

Panas. Sekadar kipas angin di siling cuba mendinginkan cuaca. Gagal. Kenapalah tidak dipasang pendingin hawa? Kenapa juga perlu bertali leher di tempat sebegini. Tali leher itu ciptaan barat. Supaya ketat kolar baju mendakap leher tika angin dingin musim salju menghembus suasana. Fez sudah rasa itu semua. Fez juga tahu, orang-orang putih nun di sana memakai t-shirt selapis sahaja jika musim panas tiba. Itu pun bukannya panas seperti di sini. Hendak cecah 20 darjah celcius pun susah.

Ini? 30 darjah celcius! Mata Fez sempat pula mengerling pada jam tangannya yang punya termometer.

Fez masih terus mencari. Gugup pula bila yang dicari itu belum ditemu.

Anne
Asilah.
Benny.
Camilla.
Damia.
Daud. Eh, bukan.
Danielle.

Ya. Danielle Lim!

“Ini dia”, Fez menghela nafas lega, meletakkan buku laporan kemajuan di depan Puan Lim. Dia mula melakar kata, menerangkan prestasi salah seorang pelajar kesayangannya. Ramah. Sekali sekala dia dan Puan Lim ketawa.

Oh, itu Fez versi tahun ini. Kalau Fez yang dahulu, kekok dia dengan orang-orang yang dia tidak biasa.

***

Pukul 2.30 petang. Panggilan dari Amy.

“Fez, akak tengah bengang nih!” itu ayat pertama Amy.

“Kenapa ni kak?” Fez menjawab dengan soalan. Dia tersenyum. Bukan dia tidak tahu fasal Amy. Adalah apa-apa yang dia tak puas hati tu. Ah, drama saja lebih, tapi tiadalah yang membimbangkan, fikir Fez. Itu dia tahu.

“Ada patut bos nak suruh orang baru ambil alih kelas akak.” Kak Amy mula bercerita, “akak, dia nak suruh ajar statistik. Entah berapa lama akak tak sentuh benda alah tuh.”

“Ok,” balas Fez ringkas, tahu yang Kak Amy belum habis bercerita.
“Kalau dah kena ajar kelas baru, semua material kena buat balik,” Amy masih lagi tidak puas hati. “Akak tak nak kasi kat budak baru tu semua jawapan tutorial yang akak dah buat kat slide. Biar dia buat sendiri.”

“Ala, kalau akak bagi pun dapat pahala,” itu yang Fez mahu cakap, tapi dia simpan dalam hati. Amy masih belum habis berceloteh. Telefon bimbitnya dikepit ke telinga dengan bahu sementara tangan kanannya mencapai punch card dari kekotak di sebelah. Fez mengangkat tangan mengucapkan selamat tinggal kepada cik kerani yang duduk di meja sebelah.

Amy masih belum habis, “akak malas nak gaduh-gaduh fasal benda ni. Budak tu rapat dengan dekan. Bos akak ikut cakap dekan je tu.”

“Ala, akak kan dah biasa dengan statistik dulu?” Fez mencelah.

“Berapa lama dah tinggal weh! Nak kena cari buku-buku lama”, Amy belum puas hati.

“Akak! I need to cut you off!” kata Fez. “Saya dah masuk kereta ni. Nak kena balik cepat sebab Pak Long dari Kota Tinggi singgah kat rumah tu. On the way nak pergi Padang Besar”.

“Oh ye ke?” Amy sedikit kecewa. Masih belum habis dia bercerita walaupun semuanya berkisarkan perkara yang sama, tapi diceritakan berulang kali dalam beberapa bentuk yang berbeza. “Tu lah! Akak suruh bubuh handsfree kat kereta, kamu taknak!”

“Ya ya. Nanti saya carilah..”, kata Fez sekadar melayan. Dia tahu dia tak akan pergi cari benda-benda macam tu.

Keretanya dipandu laju keluar dari perkarangan sekolah.

***

“Lama jugaklah Fez tak jumpa Pak Long. Last sekali Pak Long datang, Fez tak balik lagi dari Bristol,” kata Fez.

“Tu la. Dah besar panjang dah anak menakan aku ni!” Pak Long tertawa melihat anak saudaranya itu.

“Tapi dari dulu sampai sekarang ni, tak berisi juga. Badan tu kurus sekeping,” Mak Long tiba-tiba menambah. “Kamu tak makan ke waktu kat London dulu?” Fez mahu betulkan nama tempat tapi emaknya menyampuk.

“Dia dok pekin-pekin waktu kat UK nu. Dok beli benda ni benda nu, duit tu bukan nak guna buat beli makan” emak Fez menggelengkan kepala, tahu perangai anak tunggalnya itu. Tak perlu pun dia ada di sana untuk tahu semua itu.

“Ha, bilanya kamu nak menikah?” Pak Long terus bergurau.

Fez tersengih macam kerang busuk. Soalan keberapa ratus kali dia terima untuk tahun ini. Ish, muda lagi. Baru nak cecah 25 tahun dua tiga bulan lagi, fikir Fez.

“Umur macam ni, elok la kalau ada orang jaga makan minum,” Mak Long menambah. Rancak pasangan suami isteri ini. Semua mata dalam ruang tamu memandang ke arah Fez. Ah, janganlah mak tambah pula yang bukan-bukan, doa Fez dalam hati.

“Tak tau lagu mana Pak Long oi,” doa Fez tidak terjawab. “Bukannya nak kita tolong carikan. Memilih macam mana tau”.

Taste tinggi tu…”, kata-kata Pak Long disambut dengan ketawa. Fez turut ketawa. Pak Long tahu guna perkataan ‘taste’?

“Ha, tanah belakang rumah tu Abang Mi nak buat apa?” tanya ayah kepada Pak Long. Lega, lega, fikir Fez. Sementara mereka bersembang cerita lain, baik Fez minta diri. Kalau tidak nanti kena lagi.

“Nak pergi mandi kejap,” bisik Fez pada Mak Long sambil menarik-narik kolar bajunya, tunjukkan yang dia berpeluh.

“Nanti Mak Long kenalkan kamu dengan anak saudara Mak Long. Sebaya kamu budak tu,” Mak Long sempat berbisik balas. Ah, tak habis lagi tu… Fez tersengih sambil berlalu pergi.


Fez menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kahwin? Tak jumpa lagi, macam mana nak kahwin?

No comments:

Post a Comment