Tuesday 4 November 2014

Sampaikan Salamku (Bab 3) ~ Reza al-Razi

DERAPAN langkahnya kian perlahan. Sungai di hujung kampung itu sudah semakin hampir dengannya. Langkah serta-merta terhenti tatkala diri sudah berada betul-betul di pinggir sungai. Dia duduk mencangkung lalu melepaskan keluhan berat. Juraian air mata yang turun sejak tadi kini hanya tinggal sisa-sisa.
Peristiwa yang baru sahaja berlaku tadi masih lagi terbayang-bayang di ruang mata. Dia tidak mengerti mengapa dirinya diperlakukan sedemikian rupa. Hina sangatkah dia di mata mereka semua?
Dia hanya ingin menagih secebis kasih cuma. Cukuplah kehadirannya diterima. Dia ingin diperlakukan selayaknya. Bukanlah seperti seorang hamba atau pun seperti seekor haiwan yang langsung tiada nilai di mata manusia.
Ya Allah! Berilah kekuatan pada diri ini. Hadirkanlah sinar bahagia untuk diri ini. Tamatkanlah penderitaan yang cukup menyeksakan ini. Di dalam hati, anak muda itu merintih kepada Tuhannya kerana dia percaya sebaik-baik tempat mengadu adalah kepada Dia. Tuhan yang Maha Mendengar. Tuhan yang Maha Mengasihani.
Azlan Hanafi mengutip beberapa ketul batu kecil yang berada di sekitarnya. Batu-batu itu lalu dicampakkan ke dalam sungai satu persatu. Dia leka memerhatikan riak dan pusaran air yang terbentuk akibat momentum daripada balingan batu tersebut. Habis batu di tangan, dia kemudiannya merenung air sungai yang sedang mengalir perlahan dan tenang. Hati yang duka cuba dihiburkan di tepi sungai itu sambil menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa. Namun, keindahan panorama alam itu masih belum mampu untuk mengusir resah dan lara di jiwanya.
“Hah, buat apa tu?”
Dia dikejutkan dengan satu jerkahan. Hampir sahaja dia terjatuh ke dalam sungai itu. Kepala lalu dipusingkan ke belakang. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri di belakangnya sambil menayang sengih. “Kau ni memanglah Liya! Nasib baiklah aku tak tergolek dalam sungai ni tadi.”
“Kalau kau tergolek bagus jugak." Liyana menghemburkan ketawa di hujung kata.
“Kau ni dah tak ada kerja lain ke? Pergilah bercucuk tanam ke apa. Ini tak habis-habis nak mengganggu hidup aku." Azlan menayang ekspresi wajah yang masam mencuka.
“Yang kau duduk termenung sorang-sorang dekat sini ni kenapa?” Liyana tak menghiraukan riak di wajah Azlan. Dia lalu melabuhkan duduk di sebelah sepupunya itu.
“Saja menenangkan fikiran.” Azlan menutur perlahan. Pandangan dilontarkan jauh ke hujung sungai.
“Apa pasal muka kau macam baru lepas nangis ni? Ada masalah lagi ke? Kau kena pukul?” Liyana merenung tepat ke wajah Azlan.
“Tak ada apalah." Azlan menundukkan pula kepalanya merenung air sungai yang sedang mengalir perlahan di hadapannya.
“Aku dah kenal kau bukan sehari dua. Aku tahu kalau kau ada masalah. Ceritalah!” Mata Liyana masih tak lepas dari memandang wajah Azlan. Menanti balasan kata daripada pemilik wajah itu.
“Mana ada apa-apa. Aku cuma teringatkan arwah nenek je." Azlan cuba mencipta dalih. Berat hatinya untuk menceritakan apa yang terjadi sebentar tadi. Dah banyak kisahnya diceritakan kepada Liyana. Kali ini biarlah dia memendamnya sahaja. Tidak mahu aib dan keburukan keluarga terus diketahui oleh gadis itu.
“Eleh, takkanlah sebab teringatkan arwah nenek kau boleh menangis sampai macam ni? Ni mesti kau ada sembunyikan sesuatu daripada aku kan? Cuba cerita sikit." Liyana masih tak jemu memujuk Azlan untuk bercerita.
Azlan membawa pandangan daripada air sungai di hadapannya ke wajah Liyana. "Betul kau nak tahu?" Keningnya diangkat sebelah.
"Mestilah. Aku sentiasa ada untuk kau. Untuk dengar cerita kau," tutur Liyana ikhlas.
“Aku tahu kau memang ada. Kau memang selalu ada untuk ganggu hidup aku." Azlan menarik senyum segaris. "Nantilah tunggu aku buat novel dulu cerita aku ni. Lepas tu kau bacalah puas-puas ye Minah Senget!”
Serentak itu juga Liyana meluku kepala Azlan. “Kau ingat aku ni apa? Suka hati atuk nenek kau je cakap aku macam tu. Dasar Mat Sentul!” Liyana bangun lalu membuka langkah untuk melarikan diri. Sebelum itu sempat dia meluku kepala Azlan buat yang kesekian kalinya.
“Tak guna punya perempuan. Main kepala pulak kau ye!” Azlan dah melangkah bangun mengejar Liyana yang tengah melarikan diri itu.
Wek wek, Mat Sentul! Kejarlah kalau kau anak jantan." Sambil berlari, sempat Liyana berpaling ke belakang sambil menjelirkan lidah. Gadis itu ketawa besar tatkala melihatkan wajah Azlan yang merah padam menahan marah.
Azlan mengejar Liyana dengan sekuat tenaga. Namun gadis itu terlalu pantas berlari. Semput dia dibuatnya. Cis, budak ni pakai enjin apa? Aku dah pakai gear lima pun masih tak dapat-dapat lagi nak kejar! “Minah Senget, kau tahulah nasib kau nanti kalau aku dapat tangkap kau." Dia masih terus mengejar Liyana yang pantas berlari macam lipas kudung tu. Memang salah oranglah dia nak kejar. Siapa tak kenal Liyana yang merupakan johan acara lari 100 meter dua tahun berturut-turut peringkat sekolah.
Hampir 5 minit adegan kejar-mengejar antara mereka berlarutan dengan diiringi perang mulut. Tidak sedar, agak jauh juga mereka berkejaran sehingga akhirnya mereka sampai di persimpangan jalan ke rumah Liyana.
“Weh, Mat Sentul! Kau pergi baliklah cas bateri kau dulu. Aku nak masuk rumah ni. Esok-esoklah kau sambung balik kejar aku." Liyana ketawa mengekek dari hadapan rumahnya.
“Huh, belahlah kau! Dasar pengecut.” Azlan tercungap-cungap menahan lelah sambil memandang geram ke arah Liyana. Gadis itu melambaikan tangan ke arahnya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
Azlan melabuhkan duduk seketika di atas jalan bagi melepaskan lelah. Dia mengukir senyum di bawah sedar. Meskipun geram dengan gelagat Liyana, namun kedukaan hatinya sedikit terubat dengan kehadiran gadis itu. Dia memang rapat dengan Liyana yang merupakan sepupunya itu sejak mereka kecil lagi. Kebetulan pula mereka sebaya. Liyana anak tunggal dan dia pun tak ada sepupu yang lain lagi. Jadi memang Liyana sahajalah yang menjadi kawan dia bermain dan bergaduh hari-hari. Ibu Liyana adalah kakak kepada arwah ayahnya. Rumah Liyana terletak bersebelahan dengan rumah arwah neneknya dan berselang dengan rumahnya.
Dia menghalakan pandangan ke arah rumah arwah neneknya yang terletak di antara rumahnya dengan rumah Liyana itu. Sejak kematian arwah neneknya, rumah itu disewakan kepada orang lain. Dahulu, di rumah itulah dia tinggal sebelum kematian arwah neneknya.
Azlan mengangkat tubuh lalu segera melangkah pergi dari situ. Tidak mahu kenangan-kenangan lalu terus menjajah minda. Dia perlu segera pulang memandangkan senja hampir sahaja menjelma. Terasa berat kaki untuk melangkah. Andai diberi pilihan, dia tidak mahu pulang ke rumah itu. Biarlah tidur merempat dekat mana-mana pun daripada duduk dekat rumah yang macam neraka tu.                                                                                                  


Ujian tu lumrah hidup. Tak ada manusia dekat muka bumi ni yang tak diuji.

No comments:

Post a Comment