Tay Ken Lee
mundar-mandir di pintu pagar sekolahnya. Sekejap-kejap dipanjangkan lehernya
memerhati bas-bas sekolah yang berhenti mengambil penumpang di hadapan
sekolahnya. Terdengar siulan-siulan kecil dari rakan-rakan sekolahnya setiap
kali ada bas berhenti di hadapan mereka. Nak mengorat awek la tu, detik hati
Tay Ken Lee. Tiba-tiba namanya disebut lantas menyebabkan dia menumpukan
perhatian kepada dua orang rakan yang menaiki bas yang sama dengannya.
‘Ken, hang rasa tu budak sekolah mana?,’ tanya Imran, rakan Melayu tetapi memiliki
wajah chinese look dengan kulit yang
putih melepak.
Tay Ken Lee atau lebih
senang dipanggil Ken itu hanya menjungkitkan bahu. Malas nak ambil tahu.
‘Oi Imran, hang tanya sama
Ken buat apa? Baik hang tanya aku
saja. Ken ni apa pun dia tarak tau lor,’ sampuk Alvin sambil tersengih. Imran hanya tergelak
mendengar komen Alvin. Memang tidak dapat dinafikan Ken agak lambat dalam
soal-soal macam ini. Almaklumlah, top
scorer lah katakan.
‘Aku rasa mereka itu
mesti budak TMGS atau Hua Lian. Melayu dengan India mesti budak TMGS, yang cina
pula TMGS atau Hua Lian lor.,’sambung
Alvin lagi.
‘Tak syokla macam tu. Kita budak Georgie, mesti mau
dengan budak Convent..TMGS boleh pi dengan
K.E maa,’ ujar Imran terikut-ikut
lenggok dan gaya budak cina bercakap.
Ken hanya terdiam
mendengar celoteh Imran dan Alvin. Tetapi hatinya turut tertanya-tanya, siapa
pula yang memandai-mandai buat peraturan macam itu? Budak sekolah Georgie mesti
dengan budak sekolah Convent? Tak masuk akal langsung! ‘Hurm, gadis hello tu mesti budak TMGS,’ getus Ken.
Tiba-tiba dia teringatkan kejadian pagi tadi.
Walaupun dia sedang
tidur, namun Ken dapat merasakan ada gerakan pada beg sekolahnya dan telinganya
juga dapat menangkap bunyi ‘ Er..Hello..hello,’. Ken hanya membiarkan sahaja
kerana dia benar-benar mengantuk kerana dia study
sampai pukul 3 pagi untuk kuiz Kimia yang akan diadakan pada hari ini.
Tiba-tiba gerakan di beg sekolahnya lebih kuat dan perkataan ‘Hello’ itu juga
semakin tinggi nadanya. Ken yang terkejut lantas membuka matanya.
Niat untuk memarahi orang yang menganggu
tidurnya itu mati begitu saja saat terpandangkan mata yang berwarna coklat
jernih itu. Pada waktu itu, ada satu perasaan aneh meresap ke dalam jiwanya dan
Ken benar-benar berharap yang momen itu akan berkekalan tanpa ada sebarang
gangguan. Sempat dia memerhatikan keindahan gadis dihadapannya itu. Raut wajah
yang comel tetapi sedikit chubby,
dengan alis mata yang lentik, hidung yang sederhana mancung dengan kulit yang
putih kemerah-merahan. Ken tidak pasti berapa lama dia dan gadis melayu itu
saling berpandangan. Namun, dia tersedar apabila merasakan bas sudah mula
bergerak. Bingkas dia bangun sambil menjerit meminta pemandu bas memberhentikan
bas kerana dia hendak turun. Ketika sedang kelam kabut turun dari bas juga, Ken
masih sempat memandang ke arah gadis melayu itu. Entah kenapa, tetapi ada
sesuatu yang membuatkan dia ingin terus memandang wajah tersebut. Apabila bas
mula bergerak, dia tetap mendongak memandang gadis tersebut dan hatinya
seolah-olah sedang membuat summersault
apabila gadis tersebut turut merenung ke arahnya.
‘Woi..woi..Ken..Ken..hang ni
dah hanyut pi mana pulak dah?,’ soal Imran sambil memetik
jarinya berulang kali di muka Ken.
‘Hari ni, Ken agak sengal sikit. Asyik
termenung lepas tu tersenyum seorang
diri..sama ada dia demam atau dia ingat sama awek dia,’ ujar Alvin sambil tangannya memegang dahi Ken. Imran
pula sudah ketawa berdekah-dekah.
Secepat kilat Ken
menepis tangan Alvin dan hatinya berdebar-debar sebaik sahaja terpandangkan bas
707 yang sedang bergerak menuju ke arahnya. Kelam kabut Ken membetulkan bajunya
dan merapikan rambutnya. Ken langsung tidak mempedulikan pandangan pelik yang
dilemparkan oleh dua orang sahabatnya itu. Dia cuma mahu kelihatan presentable kerana Ken yakin yang gadis
‘Hello’ itu ada di dalam bas itu.
Apabila dia berada di
dalam perut bas, serta merta matanya mencari gadis hello itu. Ken tersenyum
apabila tekaannya tepat kerana dilihatnya gadis itu sedang rancak berbual
dengan rakan disebelahnya. Jauh disudut hatinya, Ken merasakan yang gadis hello
itu tidak lagi mengingati kejadian pada pagi tadi. ‘Ah, aku ni separuh nak mati teringatkan dia,
langsung tak dapat menumpukan perhatian dalam kelas. Dia pulak santai saja
bergelak ketawa,’ monolog Ken sambil mengambil tempat di hadapan gadis hello
itu. Walaupun membelakangi gadis tersebut dan rakannya, Ken masih dapat
mendengar butir-butir perbualan mereka.
Agak lama dia
mendengar dengan setia setiap perbualan gadis dibelakangnya itu. Akhirnya,
tanpa berfikir panjang, Ken terus sahaja berpusing menghadap gadis hello itu.
Dilihatnya gadis tersebut sedang tunduk membaca sesuatu. ‘Ah, timing tak betul pulak,’ Dari ekor matanya, Ken dapat melihat Imran dan Alvin yang
terpinga-pinga memandangnya dan rakan gadis hello itu pula terlopong
memandangnya. Ken dapat melihat yang Alvin sudah pun bergerak menuju ke arahnya
manakala Imran sudah ketawa terbahak-bahak. Ken sudah mula berura-ura untuk
bangun dari situ, namun pada saat itu jugalah, gadis itu mengangkat wajah
memandang ke arah Ken.
‘Hello’, itu sahaja
yang mampu diungkapkan oleh Ken. Satu perkataan yang simple namun memberi impak yang besar kepadanya. Disebabkan
perkataan itulah, Ken tidak senang duduk, tidak dapat menumpukan perhatian,
asyik teringatkan gadis di hadapannya ini dan perkataan itu juga yang
membuatkan hatinya berbunga dan terbuai dengan satu perasaan yang indah.
‘Tay Ken Lee! Oh, ini ye kerja kau..mengorat anak orang,
patutlah kau lain macam betul hari ini. Tersengih seorang diri dan asyik
mengelamun sahaja,’ sergah Alvin di dalam bahasa kantonis. Merah padam muka Ken
mendengarkan kata-kata Alvin itu. Nasib baik gadis di hadapannya ini tidak
faham, kalau tak kat mana dia nak
sorokkan muka. Cepat-cepat Ken bangun dan menuju ke bahagian belakang bas namun
sempat juga dia melirik ke arah name tag
yang dipakai oleh gadis hello itu.
‘Ken dah jumpa
Barbie..,’ ujar Alvin sambil tersengih.
‘Pastu buat drama
Hindustan..Dil To Pagal Hai,’ sambung Imran sambil memberikan high five terhadap Alvin. Usikan oleh
Alvin dan Imran tidak dipedulikan langsung oleh Ken. Hatinya berkeras untuk
terus memandang gadis hello itu tetapi apabila menyedari yang rakan gadis itu
memerhatikannya, dimatikan langsung hasratnya itu.
Dari ekor matanya, Ken
perasan yang Dhiya sudah pun menepuk dahinya dan di saat itu, Ken yakin yang
Dhiya sudah pun mengingati kejadian pagi tadi.
‘Dhiya Kamila, you had me at hello,’ bisik Ken perlahan
sambil tersenyum.
‘Saya pelik la dengan apek cina tu,’ Dhiya yang sedang leka membuang pandang ke luar tingkap
menoleh ke arah Malarvili.
‘Hmm?,’ ujar Dhiya
sambil menangkat kening kerana dia tidak dapat menangkap butir pertanyaan
Malarvili itu.
‘Tu..apek cina tu..dia asyik pandang awak aje la,’ Malarvili menjuihkan bibirnya
ke arah seorang budak lelaki yang sedang duduk di kerusi kayu berdekatan dengan
pemandu bas.
Dhiya melemparkan
pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Malarvili. Elok saja pandangannya
bersatu dengan budak lelaki tersebut, cepat-cepat budak itu melarikan
pandangannya.
‘Perasaan awak
sajalah..mana ada apek tu pandang
kita pun,’ Muka Dhiya sudah mula blushing
tatkala menyedari yang apek itu sebenarnya adalah Tay Ken Lee.
‘Dia tak pandang kita
tapi dia pandang awak’
‘Mana adalah..awak
sahaja yang terlebih perasaan,’ ujar Dhiya menutup malu.
‘Mesti ada something yang jadi kan..awak mesti
kenal dia kan?..kalau tak kenapa muka awak merah-merah ni?,’ serkap Malarvili.
Setelah digesa
berkali-kali oleh Malarvili, akhirnya Dhiya menceritakan kejadian yang berlaku
pada dua minggu lepas. Habis kesemuanya diceritakan kecuali tentang perasaannya
yang berdebar-debar setiap kali terpandangkan Tay Ken Lee.
‘Baru sekarang awak
cerita pada saya?! Awak ni memang teruk tau
Dhiya!,’ lantas dicubitnya lengan Dhiya.
‘Aduh, hish…apa ni cubit-cubit? Sakitlah..,’
‘Lain kali terus
cerita, jangan tunggu-tunggu..kalau tidak siap!’ Warning Malarvili sambil
berpura-pura mencubit Dhiya.
‘Eh, habis tu apa lagi yang jadi?’ sambung
Malarvili kemudiannya.
‘Habis tu, three
lah,’ sakat Dhiya namun dia cepat-cepat menyambung apabila tangan ketam
Malarvili mula menjalar di lengannya. ‘Itu aje
la, takde apa-apa dah..cuma saya perasan yang dia asyik pandang je lah,’
‘Oh, perasan pun..tadi
tu pura-pura ajelah yer..memang
perempuan melayu terakhir betul,’ usik Malarvili sambil tersengih.
‘Habis tu, takkan saya nak tergedik-gedik
dengan dia pulak..tolonglah,’ jegil
Dhiya.
‘Haha..tapi kan, awak
rasa kenapa apek tu asyik pandang
awak je ye?,’
‘Hurm..entah-entah dia
marahkan saya kot? Mana tahu dia
terkejut beruk ke masa saya kejutkan
dia hari tu..mungkin dia tak suka
kot..,’ ujar Dhiya risau. Risau sekiranya andaiannya itu betul. Mana nak
diletakkan hati dan perasaannya yang rancak menari irama twist itu.
‘Saya rasa apek tu dah sukakan awak,’ Malarvili
memerhatikan riak wajah Dhiya yang sudah bertukar kemerah-merahan itu. Sambil
tersenyum dia menyambung, ‘Nak tahu kenapa saya cakap macam tu? Sebabnya dia pun blushing
bila awak pandang muka dia, lepas tu
dia cepat-cepat melarikan pandangan dia,’ ujar Malarvili sambil bangun
mengangkat beg.
‘Oklah Dhiya, dah
sampai rumah saya dah tu..jumpa esok ye..bye bye,’
Dhiya langsung tidak
mempedulikan lambaian Malarvili itu. Walaupun, matanya memandang kelibat
Malarvili namun perasaannya hanyut dan telinganya terngiang-ngiang ‘Sebabnya
dia pun blushing bila awak pandang
muka dia, lepas tu dia cepat-cepat
melarikan pandangan dia’ Entah kenapa, Dhiya tiba-tiba menjadi girang dan
bahagia sekali.
No comments:
Post a Comment