KELAM
MALAM tanpa bulan pekat menghiasi dada langit. Hujan lebat yang menggila terus
mencurah-curah dari langit bagai tiada penghujungnya. Jalan sunyi yang gelap
ditemani hutan simpan hampir malar warnanya senada dengan warna malam yang gelita.
Lampu neon yang tegak samar-samar di dalam rembesan hujan memberi sedikit sinar
buat pengguna lebuhraya yang panjang dan sepi itu.
Sesekali
suhu penghawa dingin kereta dibetulkan bagi mengimbangi suhu yang kian dingin.
Sejuknya terasa hingga ketulang kering. Tambah pula dengan bayang lelayang yang
melintasi cermin kereta turut menambah keremangan jiwanya.
Arif
Farhan menguatkan radio yang berkumandang dari dalam kereta mewah BMW hitamnya.
Perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Tioman yang sengaja diambil dari jalan
darat benar-benar memberi satu pengalaman baru buatnya. Bertolak dari Kuala
Lumpur jam 8 malam tadi, kini pada jam 12 tengah malam, dia benar-benar berada
di tengah-tengah hutan simpan Muadzam Shah yang gelap gelita.
Lebih
memburukkan keadaan, hujan lebat diiringi petir turut mengiringi perjalanannya
kali ini. Sesekali, peta di kerusi sebelah dikerling dalam samar cahaya lampu
keretanya. Gila! Satu kereta pun tak ada kat jalan melainkan kereta aku!
Kelajuan keretanya ditambah. Meter di hadapan sudah menunjukkan kelajuan sudah
berada pada tahap 120km/jam. Bahaya bagi pemanduan di dalam hujan lebat begitu.
Tapi
Arif mahu cepat-cepat keluar dari jalan
sunyi yang dilingkari hutan itu. Entah mengapa, meremang pula bulu romanya
berada di dalam kesejukan kereta kali ini. Pelbagai cerita tahyul mula menjelma
diruang minda. Dari watak cerita Pocong yang dilihat dari banner pawagam,
hinggalah watak Edward Cullen, si drakula kacak mula menjengah ruang mata.
Hmm..waktu-waktu
macam inilah baru semua watak-watak tu
nak muncul…! Sungguh sopan! Arif menarik nafas payah. Suara Bertie Higgins yang
mengalunkan lagu malar segar “Casablanca” dikuatkan lagi buat menemani
perjalanan sunyinya. Atau lebih tepat lagi, perjalanan yang mendebarkan jiwa
raganya.
Jalan
lurus tadi sudah bertukar menjadi berliku-liku. Di luar, hujan masih lebat.
Pandangannya juga turut kabur. Dalam remang cahaya malam, dari jauh tiba-tiba
Arif terpandang satu kelibat yang sedang bergerak melintasi jalan. Tidak pasti
apakah itu, lantas kelajuan kereta cuba diperlahankan seberapa segera. Pedal
brek dipijak sekuat hati.
Srrreeettttttttttt!!
Bunyi brek yang ditekan secara mendadak memecah hening malam.
Pammm!!!
Arif tidak sedar bila dan bagaimana, kelibat yang bergerak tadi melantun diatas
cermin keretanya lalu terjatuh. Keretanya juga telah berhenti secara mendadak,
menandakan dia telah berjaya memberhentikan keretanya tadi.
Arif
ternganga merenung hujan yang mencurah-curah dari cermin depan keretanya. Apa
tu?? Apa yang aku langgar tadi??? Dadanya berombak besar. Darahnya mengepam
laju dari adrenalin ke seluruh urat sendi. Suhu yang sejuk tadi kini bertukar
panas. Arif tergamam seketika cuba mencerna kejadian yang baru saja berlaku.
Segala-galanya berlaku terlalu pantas di dalam gelap dan lebat hujan. Dadanya
kini berdebar. Patutkah aku lihat apa yang aku langgar tadi? Atau aku lari
saja?
Arif
menarik nafas panjang. Suasana sekeliling ditinjau. Sunyi. Gelap. Arif
menjengulkan kepalanya ke tingkap tepi, lalu melihat sesuatu yang menyerupai
kaki manusia. Orang!! Alamak!! Aku langgar orang??? Mata Arif membuntang.
Diundur keretanya ke belakang, lalu keretanya diparkir ke bahu jalan.
Pandangannya ditoleh lagi ketengah jalan. Sekujur tubuh sedang tertiarap
ditengah-tengah jalan sunyi itu.
Jadi,
benarlah aku dah langgar orang? Cepat-cepat Arif keluar dari kereta. Sekejap
saja hujan telah membasahkan seluruh tubuhnya. Tubuh yang terbujur di tengah
jalan segera dihampiri. Tubuh yang basah kuyup dan terlangkup itu hanya
dibaluti seluar track berwarna gelap dan t-shirt berwarna gelap. Dibalikkan
tubuh itu. Hujan yang menderu mencairkan darah yang keluar dari luka tubuh itu.
Tidak
sempat menelek wajah pemilik tubuh itu di dalam gelap, yang jelas kelihatan di tangan
Arif hanyalah darah yang berlumuran di tangannya. Tanpa berlengah, Arif terus
mencempung tubuh itu lalu memasukkan ke belakang tempat duduk keretanya. Tiada
apa difikirannya waktu itu, melainkan bayang hospital yang perlu dicari secepat
mungkin!
ARIF
merenung sekujur tubuh yang sedang terbaring di wad kecemasan. Episod cemas
tadi berakhir selepas dia berjaya tiba di hospital selepas 1 jam lamanya
memandu. Menurut doktor, jika ditambah lagi 2 jam, mungkin gadis itu sudah mati
kerana kehilangan banyak darah.
Arif
meraup-raup dagunya sambil merenung gadis yang berbalut sana sini di
depannya.Muka gadis itu sedikit bengkak di pipinya kesan geseran di tar jalan
tadi barangkali. Arif menggigit ibu jari tangan kanannya. Aku terlanggar perempuan atau…..pontianak?
Ingatan jahat menerpa fikirannya.
Macam
mana boleh ada perempuan di tengah hutan malam-malam macam ni? Jam di tangan
dikerling. Sudah jam 4 pagi. Anehnya matanya masih segar. Arif duduk di kerusi
di hujung katil hospital itu. So…what to do next? Takkan aku nak tunggu kat
sini sampai dia sedar? Then hantar dia balik rumah? Rumah? Kat mana?
Arif
bangun lalu menghampiri gadis itu. Dari pandangan luaran, mungkin gadis itu
baru berusia awal 20-an. Nampak muda sangat lagi. Arif menoleh ke
sekelilingnya, mencari kelibat jururawat. Tak ada. Arif mengukir senyum. Tangan
kirinya di hulur ke belakang leher gadis itu yang masih tidak sedarkan diri.
Tangannya menjalar ke seluruh batang leher gadis itu perlahan-lahan
mencari-cari sesuatu. Puas diteroka lehar gadis itu, namun apa yang dicari
tidak jua ditemui. Mana paku pontianak ni???
“Encik
Arif,” panggilan jururawat segera membuatkan Arif menarik kembali tangannya
serta merta. Seorang jururawat dalam pertengahan umur memandangnya hairan.
“Ya
saya,” lantas panggilan itu disambut hormat. Jururawat itu segera dihampiri.
“Apa
saya nak letak dalam pengenalan diri dia ni? Kad pengenalan pun tak ada..” soal
jururawat itu agak kasar. Letih barangkali semalaman berjaga dan mengendalikan
kes kecemasan seperti itu. Arif terdiam sejenak. Gadis itu tidak mempunyai
sebarang pengenalan diri sewaktu dimasukkan ke hospital itu tadi.
“Saya
pun sebenarnya tak tahu. Saya jumpa dia tengah-tengah hutan. Emm..macam ni
sajalah, saya pun tak boleh lama kat sini. I’ve got to go now. Maybe bila dia
dah sedar nanti, puan boleh tanya dia,” senang saja Arif menjawab. Sejujurnya,
dia betul-betul harus beredar dari situ. Pukul
10 pagi nanti, dia perlu menghadiri mesyuarat di Tioman.
“Tapi,
kalau ada apa-apa nanti, siapa kami nak rujuk?” soal jururawat itu lagi. Riak
wajahnya agak kurang senang melihat Arif yang seolah-olah mahu melarikan diri
dari tanggungjawab. Hei..aku tak tinggalkan budak tu tengah-tengah hutan sorang
diri pun dah kira nasib baik tau! Fikiran jahatnya menjerit ke arah muka
jururawat itu.
Arif
segera mengeluarkan dompet dari kocek seluarnya. Dibuka lalu di cari kad
perniagaannya. Sekeping kad ditarik keluar lalu diserah kepada jururawat
tersebut.
“Kalau
ada apa-apa, puan boleh contact nombor ni. Kalau budak perempuan tu dah sedar
nanti, kalau dia nak mintak ganti rugi, suruh dia contact saya,” ujar Arif.
Jururawat itu mengambil kad itu lalu mengangguk sambil matanya tak lepas-lepas
membaca satu persatu abjad dan nombor yang tertera .
“Amboi..panjangnya
nama….ni, apa benda ni..banyak tulisan orang putih ni…” jururawat itu masih
mengomel. Mendengar pertanyaannya tidak dijawab, jururawat tersebut mengangkat
mukanya. Lelaki tampan yang berdiri di hadapannya tadi sudah hilang.
“Encik
Arif?” jururawat tersebut terpinga-pinga memandang sekelilingnya. Segera dia
keluar ke ruang depan meninjau tempat letak kereta. Kosong! Kereta BMW hitam
tadi sudah hilang. Satu keluhan dilepaskan.
No comments:
Post a Comment