Wednesday 9 July 2014

Jodoh Depan Mata - Bab 2: Nur Safiyyah

Awal-awal pagi lagi riuh suasana aras blok aku. Rasanya semua orang sangat teruja nak memulakan sesi pembelajaran. Biasalah kalau awal-awal macam ni. Nanti dah lama-lama mesti tak seriuh hari ini. Terpaksalah aku beratur lama untuk menunggu giliran mandi. Selepas bersarapan air milo dan biskut kering, kami bertiga bergerak ke kelas masing-masing. Rasa malu pun ada sebab semuanya orang baru yang tak dikenali. Ada beberapa rakan kelas yang sudah pun berada di kelas. Sempatlah kami berkenalan.
Seperti biasa, di awal sesi kami diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Terasa macam zaman sekolah rendah pula. Tapi bagus juga sesi kenal diri, senang sikit nak tahu nama. Kalau tak, ada yang berhoi-hoi pulak. Tapi dalam banyak-banyak orang dalam kelas, aku macam kenal seorang.
“Assalamualaikum, nama saya Mohamad Fadzli bin Arif. Boleh panggil Fadzli. Asal Selangor,” dia memperkenalkan diri. Aku menoleh sedikit. Sah memang aku kenal dia. Kawan sekolah. Sebelum ni tak pula dia bagitahu aku yang dia dapat kat sini. Ceh! Memang aku tak perasankan dia sebab dia masuk dari belakang dan aku pula duduk di barisan hadapan.
Kiranya aku dengan Fadzli adalah sepatrikum iaitu kawan sekelas dan sekuliah aku sepanjang di matrikulasi. Kami memang kenal sesama sendiri sebab duduk sekampung. Dari sejak dari tadika hingga ke sekolah menengah kami bersekolah di tempat yang sama. Masa kecil-kecil dulu, selalulah jugak aku main dengan dia. Main galah panjang, tangkap belalang, pergi sekolah pun sama-sama sebab rumah dia taklah jauh sangat dari rumah aku. Tapi bila masuk sekolah menengah semuanya berubah. Masing-masing buat hal sendiri. Jumpa pun macam tak kenal. Mungkin bila besar rasa malu tu dah ada.
 “Syira, kau nampak tinggilah sekarang, masa sekolah rendah je..hehe,” kata Fadzli berseloroh. Tiba-tiba je Fadzli bergurau dengan aku. Memang sumpah aku rasa kekok. Aku hanya memandang sinis manakala Haris, kawan sekelasku juga cuma tersenyum sumbing. Aku yang mengemas buku kecil dan pensel langsung tidak memandangnya walaupun mejanya tidak jauh dari mejaku.
“Kau orang memang kenal lah ni kan?,” soal Haris yang berloghat Kedah.
“Haah. Siapa tak kenal best student sekolah aku ni,” jawab Fadzli. Mamat ni perli aku ke apa. Aku buat-buat tak dengar.
“Sombong kau ye,” Fadzli menambah. Benganglah tu bila aku mematikan diri tak menjawab pertanyaan dia.
“Mana ada. Kau tu yang sombong. Tak cakap pun dapat matrik sini,” sengaja aku menjawab semula.
“Takkan nak bagitahu satu kampung kot,” jawab Fadzli. Dia menaikkan keningnya macam Ziana Zain. Aku mencebik.
      Hari ini kelas tak mula lagi. Cuma sesi berkenalan sesama pelajar dan bersama pensyarah. Kuliah pun hanya pengenalan tajuk-tajuk utama setiap subjek. Awal-awal ni, masih ada beberapa borang yang perlu diisi dan dilengkapkan. Esok mungkin sesi pembelajaran akan bermula. Untuk aktiviti hari ini hanya bertukar-tukar maklumat diri sesama sendiri seperti nama, nama samaran, nombor telefon dan e-mel. Mudah untuk berhubung nanti. Lagipun, kami masih belum dapat mengingati nama satu dengan yang lain. Kalau ingat pun, tertukar nama dengan orang lain. Biasalah, baru hari pertama.
      Sewaktu aku bergerak ke kafeselepas tamat sesi pembelajaran, telefon bimbit aku bergetar. Ada mesej.
+Nampaknya kita sekelas.
-So?
+So, kau kenalah tolong aku selalu. Maklumlah, aku taklah pandai macam kau.
-Tengoklah macam mana. Ikut mood aku.
+Haha. Bajet gila la minah ni. Kau kat sekolah menengah bolehlah menyombong dengan aku. kat sini jangan harap ok?
-Sejak bila pula aku sombong.
+Sejak kau masuk sekolah menengah.
-Mana ada.
+Ada.
      Hari pertama lagi si Fadzli dah tunjukkan taringnya. Mati aku kalau macam ni.


Belajar di matrikulasi sememangnya sangat seronok walaupun jadualnya agak padat. Ternyata, tidak sia-sia aku menolak tawaran menyambung pelajaran ke UiTM dalam jurusan Chemical Engineering dan tawaran Maktab Perguruan semata-mata untuk mengikuti program matrikulasi. Di sini, kami akan melalui dua semester iaitu selama setahun. Antara subjek yang kami pelajari ialah Matematik, Biologi, Kimia, Bahasa Inggeris, Agama Islam dan Dinamika. Walaupun pembelajaran agak laju berbanding ketika di sekolah menengah, aku begitu menyukai cara dan suasana pembelajarannya.
Aku menyiapkan tutorial yang diberi oleh pensyarah. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Fadzli menelefon.
“Assalamualaikum, boleh saya mengurat cik Syira,” Fadzli mempermainkan aku. mentang-mentanglah satu matrik, bukan main syok dia nak membuli aku dekat sini.
“Kau nak apa sebenarnya Fadzli? Aku sibuk ni,” aku berbohong dan menaikkan sedikit suara.
“Janganlah marah. Aku nak tanya pasal tutorial semalam soalan nombor 5, macam mana nak buat?,” tanya Fadzli. Aku membuka buku tutorial yang berada di atas meja tulis, soalan nombor lima aku cari tapi malangnya masih kosong tidak berjawab.
“Aku tak buat lagi la Fadzli, nanti malam kot aku siapkan,” kata aku berbasi-basi. Aku sendiri pun belum siap, macam mana nak tolong dia.
“Okey, kalau macam tu, malam nanti aku telefon kau balik eh. Kau buat tau, jangan tak buat pulak,” Fadzli mengingatkan aku.
“Yelah, nanti aku tanya roomate aku macam mana nak buat. Emmm..Assalamualaikum,” aku menamatkan talian tanpa sempat dia menjawab salamku. Aku mencuba untuk menyiapkan soalan yang masih belum berjawab. Namun, hampa. Aku tidak dapat menyelesaikannya.
“Farahin,dapat tak jawapan tutorial Matematik soalan nombor 5?,” soalku menghampiri meja tulisnya.
“Dapat,” dia menjawab pendek. Kebetulan dia baru menyiapkannya.
“Tunjukkan boleh tak?,” pintaku.
“Boleh..sini,” dia memanggilku yang duduk di birai katil bercadar kuning miliknya. Sungguh, Farahin tidak kedekut ilmu. Walaupun dia mengambil Sains Fizik dan aku mengambil Sains Hayat tapi kebanyakkan subjek adalah sama. Tu yang senang nak meniru tu. Hehe.
      Aku menghantar pesanan kepada Fadzli untuk memberikan jawapan yang diminta sebentar tadi. Malas aku nak menelefonnya. Mesti ada sahaja perkara yang nak disakatnya. Tapi sempat juga dia membalas mesej aku.
+Terima kasih sebab tolong abang..hehe
 Eee..tolonglah. Muntah darah aku baca. Aku membuat sedikit ulangkaji memandangkan soalan yang mudah pun aku masih tidak dapat jawab. Sampai lewat petang baru aku berhenti. Itupun selepas Farahin menyuruh aku mandi kerana waktu maghrib hampir masuk waktunya.


Pagi ini hujan turun dengan sangat lebat. Terasa sejuk hingga ke tulang namun aku berusaha untuk bangun dari katil dan bersiap untuk solat subuh serta bersarapan. Seperti biasa, aku akan ke kelas dengan berpakaian baju kurung, tudung bawal yang dipin di bahu dan kasut bertutup. Ringkas dan mudah. Pagi-pagi buta lagi telefon bimbit aku dah berbunyi. Fadzli lagi.
“Ha, nak apa?,” kasar aku menjawab panggilan.
“Amboi kasaq nampak. Assalamualaikum,” dia ketawa. Tak tahu apa yang kelakar sangat.
“Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatu,” ambil kau. Panjang aku jawab.
“Nak minta tolong sikit boleh tak?,” bukan main sopan kalau nak minta tolong. Lemah lembut je suara dia.
“Nak minta tolong apa?,” nada aku masih sama. Kasar. Budak ni bukan boleh bagi muka. Mengada-ngada karang.
“Tolong belikan abang roti. Abang tak sempat nak sarapan,” lemah-gemalai betul ayat dia.
“Apa kejadahnya berabang-abang ni? Kau ingat aku ni bini kau,” telan kau Fadzli. Maaf, aku bukan orang gaji kau.
“Oh, bukan ye. Ah, berkira sangat. Tolong lah wei,” boleh pula cakap macam biasa. Sedap sikit telinga aku dengar.
“Aku malaslah,” tak kuasa aku nak belikan dia makanan. Nanti ada je yang tak kena. Tak ikut selera dia lah, tak sedap lah.
“Yelah, macam ni lah kawan,” dia buat-buat merajuk. Aku tak percaya langsung. Tidak siapa nak melayan drama dia pagi-pagi ni.
“Macam ni lah. Macam mana lagi. Dah lah, aku blah dulu ye,” sengaja aku kasar-kasarkan bahasa aku.
“Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!,” Fadzli menjerit kuat. Sakit telinga aku. Dia mematikan talian.
      Sepanjang di kelas, Fadzli merenung aku tajam. Tak puas hatilah tu. Ada aku kisah.
      “Syira, jom makan. Akak dah lapar ni,” ajak kak Sarah setelah kelas Biologi tamat sebentar tadi. Kak Sarah merupakan kawan baik aku di kelas dan dialah yang selalu meleyan kerenah aku. Rapatnya kita orang sampai duduk bersebelahan dekat kelas atau dewan kuliah. Kak Sarah ni kecik je orangnya. Kecil-kecil cili padi. Sangat prihatin dan baik.
“Jom. Hari ni kita makan kat kafe B ye kak Sarah,” pintaku sambil mengemas buku di atas meja.
“Okey, jom kita gerak,” kata kak Sarah sambil tersenyum. Aku hanya menganggukkan kepala dan membalas senyumannya.
      Ramai pula orang membeli makanan waktu ini. Selalunya lengang je. Nampaknya, terpaksalah aku beratur panjang. Tiba-tiba aku terasa baju aku disimbahi air. Aku menoleh ke belakang. Argh, habis baju aku terkena air sirap.
Sorry, saya tak sengaja...haha. Hoi, orang miskin. Nampaknya kita satu matriklah. Lebih baik kau jangan muncul depan aku. Kalau tak, hari-hari kau mandi air sirap,” angkuh suara perempuan berambut ikal di depan aku. Perempuan yang aku benci. Bukan setakat dia, satu keluarga dia aku benci. Sampai mati pun aku tetap benci.
“Kau ingat aku takut ke?,” aku menengking tepat ke mukanya. Semua mata memandang kami. Aku segera pergi dan dengan sengaja aku langgar bahunya. Hilang selera aku nak makan. Kak sarah mengejarku.
“Kurang ajar kau Syira. Tunggulah nasib kau,” aku masih dengar ugutan perempuan gila itu. Malas aku nak melayannya. Kenapalah kau ada dekat sini.
“Syira, tunggu akak,” aku tidak memperdulikan panggilan kak Sarah. Aku betul-betul marah dengan tindakan perempuan gila tu.
“Siapa dia?,” kak Sarah bersuara termengah-mengah.
“Tasha, Natasha Ameera,” aku menjawab penuh kebencian. Kakiku laju melangkah. Selaju jantung aku berdenyut.
“Apa hubungan dia dengan Syira,” kak Sarah bertanya lagi. Aku pasti yang dia benar-benar tidak mengerti apa yang berlaku sebentar tadi.
“Sepupu Syira,” air mata mula bergenang. Tunggu masa untuk jatuh. Rasa malu apabila diperlakukan sedemikian di depan khalayak ramai. Namun, aku tahan. Aku tidak akan sesekali menjatuhkan air mata kerana perempuan tak sedar diri itu.
“Kenapa dia buat macam tu?,” kak Sarah masih mengikutiku sampai ke bilik. Dia terpaksa mengejar aku yang berjalan laju.
“Kak sarah kenapa tak pergi bilik kak Sarah? Ni dah sampai bilik Syira,” aku menyoalnya.
“Akak nak tahu kenapa dia buat Syira macam tu,” bersungguh-sungguh betul Kak Sarah. Aku mempelawanya masuk dan meminta diri menukar baju terlebih dahulu. Baju yang terkena air sirap tadi aku rendam seketika. Aku masuk semula ke bilik.
“Natasha Ameera tu sepupu Syira. Dia memang benci Syira sejak dari dulu lagi,” aku memulakan bicara. Aku tahu, kak Sarah tak sabar untuk mengetahui hal sebenar. Aku capai tin biskut dan air isotonik di atas meja. Aku hidangkan kepada kak Sarah.
“Tapi kenapa?,” kak Sarah menyoal. Air isotonik tadi diminumnya sikit.
“Sebab Syira miskin kak. Dia dan keluarganya memang tak suka orang yang miskin. Memang dari kecil kami dengar makian dan cacian dari keluarga dia. Keadaan makin teruk bila keluarga dia nakkan tanah yang nenek bagi ayah. Padahal dia dapat tanah lagi besar dari ayah,” aku mengunyah biskut yang ada untuk melapik perut sementara menunggu petang. Maklumlah, tadi tak sempat membeli makanan. Kalau tak kerana perempuan tu, mesti aku dah kenyang sekarang ni.
“Sampai macam tu sekali? Tapi kau orang kan satu keluarga,” kak Sarah bertanya lagi. Mukanya berkerut. Nampak macam drama kan? Tapi itulah realitinya yang terpaksa aku sekeluarga hadap.
“Keluarga atas nama je kak. Tak tahu apa yang dia nak buat lagi lepas ni,” aku mengeluh kecil.
“Tak apa Syira, kalau dia buat apa-apa kat Syira, siaplah dia. Akak pandai bersilat,” seloroh kak Sarah. Kak Sarah dah lah kecil, sekali kena tolak terus terpelanting. Selepas menghabiskan biskut yang berbaki, kak Sarah meminta diri. Katanya mahu membeli makanan. Kesian dia. Disebabkan aku, dia pun tak dapat beli makanan.
Terasa seperti mahu menelefon mak. Mahu mengadu perihal Tasha kerana mak lebih memahami. Mungkin kemarahan aku akan reda selepas berborak dengan mak.
“Assalamualaikum, mak. Sihat?,” aku memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam, Syira. Mak sihat je kat sini. Kamu?,” suara mak lembut menjawab. Menenangkan.
“Alhamdulillah, sihat juga. Rindulah kat mak?,” sengaja aku bermanja-manja dengan mak. Memang aku anak manja mak pun. Sampai kak long pun cemburu dengan aku. Tapi sebenarnya, mak tak pernah melebihkan mana-mana anaknya. Semua sama rata.
“Mak pun rindu kamu juga. Ha, ni kenapa tiba-tiba telefon mak?,” mak seperti dapat meneka sesuatu.
“Emm..mak Tasha ada kat sinilah mak,” aku berterus-terang.
“La, ye ke? Tak tahu pula mak yang dia pun belajar sama dengan kamu. Macam mana kamu tahu dia pun kat sana?,” suara mak sedikit risau.
“Tadi waktu Syira nak beli makanan kat kafe kita orang terserempak. Dia simbah Syira dengan air sirap. Habis baju Syira mak. Semua orang pandang Syira. Malu betul tadi mak. Rasa macam nak cekik-cekik je dia,” bersungguh-sungguh aku bercerita. Kalau mak ada depan mata aku mesti mak tergelak melihat aksi aku seakan-akan mencekik seseorang dengan menggunakan bantal.
“Astagfirullah al-azim. Tak habis-habis si Tasha tu berdendam dengan kita. Habis tu kamu buat apa?,” soal mak. Nadanyakesal dengan perangai Tasha yang tak sudah-sudah menyakitkan hati aku.
“Apa lagi, Syira tengking dia balik. Tak bestlah mak bila sama tempat belajar dengan Tasha. Dia tu sanggup buat apa saja mak,” rungut aku. Bantal tadi aku campak ke dinding. Dinding pun aku nampak macam muka si Tasha.
“Sabarlah Syira. Jangan layan sangat dia. Yang penting kamu belajar betul-betul. Buktikan kat dia yang kamu pun boleh berjaya,” sungguh-sungguh mak bercakap.
“Terima kasih mak. Emm..mak, ada ke mak ngah datang serang mak lagi. Tasha dengan mak dia kan sama je. Manalah tahu dia bagitahu mak dia pasal Syira satu tempat dengan dia. Karang ada je cerita buruk pasal Syira yang Tasha bagitahu mak dia,” aku membebel panjang. Mak dengan anak sama je perangai.
“Tak ada pula mak ngah kamu datang. Ingat Syira, jangan cari pasal dengan Tasha. Mereka orang berada, mereka boleh buat apa sahaja mereka suka,” mak mengingatkan. Aku tahu mak risau kalau-kalau Tasha buat sesuatu kepada aku. Bagi dia orang duit boleh beli segala-galanya.

“Baiklah mak. Mak jaga diri tau. Nanti kirim salam semua. Nanti bila-bila Syira telefon mak lagi,” talian dimatikan. Rasa sedikit lega apabila dapat meluahkan kepada mak. Tak sama macam meluahkan kepada kawan yang kita rapat.

No comments:

Post a Comment