Friday 24 June 2016

Vehaen II: Rif'at (Bab 3) ~ Ainul Farihah

MESIR.
“Rafah, Khan Younis, Deir Al Balah, Gaza City dan terakhir, Jabaliya,” Mu’tasim mengulangi satu persatu destinasi yang akan menjadi persinggahan pasukan paramedik dari Malaysia. Mereka dijangka akan tiba di sempadan Rafah beberapa jam lagi.
“Dua pasukan, lima destinasi, lapan hari,” Najdat bersuara perlahan, membuat kesimpulan, namun cukup untuk didengari mereka-mereka di sekelilingnya.
“Ayuh,”. Firdaus muncul di muka pintu dengan sebuah beg panjang di tangannya. Berisi senjata panjang seperti mesingan atau pelancar roket agaknya. Miqdad mengangguk sambil memberi isyarat kepada yang lainnya. Semua yang berada di situ keluar meninggalkan Najdat dan empat orang temannya. Fida’, ‘Asim, Solah, dan Ahmad.
Miqdad yang menjadi orang terakhir keluar, berpaling sambil merenung tepat ke arah Najdat.
“Aku tinggalkan Beit Lahiya pada kau, Najdat. Apa-apa yang berlaku di Jabaliya, kau perlu turun membantu juga. Mereka sedang kekurangan tenaga dan senjata di sana,”.
Najdat angguk, cuba mengukir senyuman dan Miqdad pula, cukup yakin dengan wajah itu.
                                                            ***
SEMPADAN RAFAH.
“Kau cakap kau dah hafal,” Arif bersuara.
Mus’ab sengih, buat muka tidak bersalah. “Tengok muka kau je, aku pun jadi lupa la ayat tu,”.
“Siapa suruh pandang aku,”.
“Kau la..”.
Arif menahan tawa. “Saja nak provok kau. Setakat menghafal pejam-pejam mata, apa kelas, bro. Tak mencabar,” Bahu Mus’ab ditolak. “Baru surah Al-Hasyr, kejap lagi kau jumpa budak Gaza tau. Petik jari je kalau nak ‘tebuk’ hafazan diorang,”.
“Haa…itu mencabar,” Mus’ab menggeleng kepala. “Tak boleh jadi ni..”.
“Macam-macam la, budak dua orang ni,” Yusuf sengih sambil memandang Rif’at yang sedari tadi terhibur dengan kerenah dua sahabat yang bagaikan kembar itu. “Kenapa suka perhatikan diorang?”.
“Eh..” Rif’at tersentak. La… Yusuf ni perasan rupanya. Malu aku.. “Mana ada selalu,”.
“Kau ingat aku tak nampak?”.
Pertanyaan yang lebih kepada penyataan itu cuma disambut dengan senyuman.
“Kau debar tak ni, nak balik negeri sendiri?”. Yusuf menyiku.
Rif’at mengangguk perlahan. Jujur. “Kau? Tak takut apa-apa jadi kat kau? Aku tak apa, apa-apa jadi, aku memang dah tekad nak syahid dekat sini,”.
“Punya la syahid tu orang rebutkan, apa yang aku nak takutkan?”.
“Isteri kau..? Keluarga..”.
“Rugi la orang yang terikat dengan dunia sampai abaikan ganjaran syahid,” Selamba Yusuf menjawab. “Ganjaran syahid tu bukan calang-calang,”.
“Fuh,” Rif’at kagum. Muka toya Yusuf tetap tidak menunjukkan penyataan itu main-main. “Jawapan mantap punya,”.
Yusuf sengih. “Ada rezeki syahid, ada la. Ada rezeki balik, aku balik la Malaysia. Isteri tunggu,”.
Tawa berderai.
Rif’at memerhatikan Yusuf. Pemuda pertama yang dikenalinya dalam ekspedisi ini, juga merangkap antara peserta yang muda dalam  kalangan mereka. Apa yang buat Rif’at kagum, Yusuf ini kisahnya seperti Handzalah, sahabat Rasulullah. Baru sahaja bernikah minggu lepas. Ditakdirkan, tarikh keberangkatannya ke Gaza jatuh tidak jauh daripada tarikh majlis perkahwinannya itu. Tanpa rasa berat hati (Yusuf yang cakap), amanah itu dilaksanakan jua. Isterinya juga redha dan memahami.
Tak sempat pula aku nak tengok kau berdua walimah nanti, Am, Im… Jiwa nakal mula menyentuh isu itu, mengaitkan pula dengan Amrullah dan Imran membuatkannya terasa ingin ketawa. Aduh…tak seronoknya nak ketawa sorang-sorang pun. Dulu waktu ada dengan mereka, isu kahwin ini jarang sekali disentuh, sebab semua fokus belajar. Sekarang bila dah bergaul dengan orang-orang macam Yusuf ini, mana la dia tak terfikirkan hal itu.
Am.
Baru terfikir bahawa sebaik sahaja masuk ke sempadan Rafah nanti, talian komunikasi belum tentu dapat berjalan seperti biasa. Awal-awal lagi Haqqa dah ingatkan kerana pernah suatu ketika, Dr. Abdel Moula membawa pasukan paramedik dari Turki dua minggu lepas dan selama seminggu ekspedisi itu, Haqqa tidak dapat menghubungi ayahnya. Keluarga mereka sudah resah jikalau sesuatu buruk telah menimpa pasukan itu termasuk Dr. Abdel yang menjadi pengiring, namun seminggu selepas itu, Dr. Abdel muncul secara mengejut di rumah mereka.
Ketika itu baru Dr. Abdel mengatakan bahawa Israel ada kalanya sengaja merosakkan serta menganggu segala talian dan sistem telekomunikasi yang ada. Hatta pernah ada pasukan media yang masuk ke kawasan Gaza itu juga langsung tidak dapat melakukan lintas langsung apatah lagi menghantar berita sepanjang keberadaan mereka di situ.
Zionis. Tak pernah aman tengok hidup orang lain aman.
Am, aku dah nak masuk Gaza. Doakan aku. Kalau aku dapat, nanti aku cuba contact kau lagi bila dah masuk Gaza.
Mesej ringkas dihantar.
Inshaa Allah semua baik-baik sahaja, Rif. Doakan aku dan Im juga. Selamat pulang ke tanah air kau.
Senyum. Rif’at pejam mata. Perasaan bercampur baur tiba lagi.
***
BEIT LAHIYA, GAZA
Dua orang budak perempuan yang berjalan pulang dari sekolah ditemani si ayah meniti jalan itu dengan gembira. Budak perempuan yang lebih rendah daripada yang seorang lagi girang bercerita pada ayahnya tentang persekolahan pada hari itu. Tidak jauh dari situ, seorang wanita separuh umur dibantu oleh anaknya jelas sekali baru pulang dari pekan. Kira-kira sepuluh orang budak lelaki di kawasan lapang itu sedang bermain bola sepak dengan girang.
Semua itu menghiasi  ruang pandangan Najdat sejak awal dia menjejakkan kaki ke situ.
Sudah lama tidak ke kawasan itu. Tiada sebab untuk ke situ. Hari ini juga tiada sebab tetapi ada rasa yang mendorongnya untuk berdiri di hadapan rumah yang separa runtuh itu. Hanya bahagian kiri rumah sudah runtuh seakan dilenyek jentolak separuh jalan yang kemudiannya berundur. Tinggallah bahagian kanan rumah yang masih lagi elok, sama ada bahagian dalam atau luarnya.
Rumah lamanya.
Rumah ketika abang dan kakaknya masih hidup. Rumah yang menyaksikan kelahiran abang sulung yang tidak pernah ditemui Najdat seumur hidup, disusuli kakaknya dan Nabil, diakhiri dengan dirinya sebagai penutup dalam adik beradik. Rumah yang dibina ayah dengan titik peluhnya, tanda cinta ayah pada ibu ketika baru sahaja mendirikan rumah tangga. Kerana rumah itu punya banyak kenangan manis yang Najdat hanya sempat merasakan separuh daripadanya, dia sekali sekala hadir menjenguk. Kerana rumah itu juga punya kenangan pahit yang jika tidak dikenang sekalipun tetap akan menghantui, dia tidak berlama-lama jika berada di situ.
Kawasan sekeliling dipandang. Ada rumah yang runtuh habis, ada yang separa hancur seperti rumahnya, ada juga yang tidak terusik. Namun kebanyakan seperti sudah dilanggar jentolak zionis tanpa belas. Hari peristiwa yang menyebabkan semua itu berlaku masih lagi segar di ingatannya.
Dia masih ingat bagaimana abang berlari mencarinya kerana mendapat tahu ada sepasukan tentera zionis akan menyerang kawasan tempatnya bermain ketika itu. Akhirnya abang yang dibedil peluru tepat di dada kiri kerana tidak sempat melarikan diri. Disebabkan kehilangan darah yang banyak, abang syahid di situ. Pada mulanya, dia sendiri tidak mahu meninggalkan jasad abang di situ, namun sempat abang mengingatkan tentang keselamatan kakak di rumah sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Teringatkan kakak, dia pecut laju pulang ke rumah.
Namun sudah terlambat. Roh kakak juga sudah diangkat ke langit, pulang bertemu Ilahi sedang jasadnya terbenam dalam runtuhan rumah itu. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana dia berasa amat-amat kehilangan segala yang ada di dunia ketika itu. Ahli keluarganya, satu demi satu Tuhan panggil pulang.
Hanya Tuhan yang tahu betapa terpananya dia ketika itu, hilang arah tuju melainkan mampu sujud sahaja.
Hanya Tuhan yang mengerti betapa sejak hari itu, terpercik api membara dalam jiwanya untuk membalas perbuatan zionis durjana jika diizinkanNya. Selama ini dia melihat dan memahami sahaja setiap kali melihatkan mereka-mereka yang kehilangan semua ahli keluarga. Kali ini, dia merasai.
***
RAFAH CROSSING POINT.
THUMP.
Jip baru sahaja berhenti dan jantungnya berdetak laju serta merta. Diri sendiri dia tidak boleh tipu bahawa ada juga debaran dalam hatinya. Debaran itu disebabkan apa dia juga tidak pasti. Tapi tidak lama kerana peribadi Rif’at memang tenang dan sentiasa menenangkan.
“Siapkan apa yang perlu. Kalau ada kumpulan, pecah siap-siap. Kalau ada perubahan dari segi destinasi, tarikh dan sebagainya, putuskan awal-awal,” laung Elyas, sahabat kepada Dr. Abdel Moula yang akan mengiringi mereka sehingga melepasi sempadan. Di sana nanti, akan ada orang Gaza yang bertanggungjawab mengiringi mereka sehingga hari terakhir ekspedisi.
Hari terakhir.
Hakikatnya hari terakhir itu yang akan menjadi hari pertama sekali gus permulaan kehidupan baru buat Rif’at. Dengan misi yang paling nyatanya adalah untuk mencari keluarga kandungnya semampu habis, berbekalkan sekecil-kecil petunjuk yang ada, dibekalkan oleh umi dan abi.
Rif’at tarik nafas dalam-dalam. Hembusannya diiringi basmallah, tanda dia bersedia untuk semua itu.
“Gerak…gerak…” Laungan Elyas membuatkan Dr. Irham selaku ketua pasukan mula membahagikan mereka kepada dua kumpulan kecil seperti yang sudah ditetapkan.
“Kumpulan B, gerak ke sini,” Dr. Irham melaung. Rif’at menyusuli Yusuf, diikuti Mus’ab, Arif, Irfan Halim, Azhan Asyraf, dan beberapa orang lagi termasuk dua orang paramedik wanita. Selebihnya berkumpul mendekati Dr. Nazif.  Masing-masing mengeluarkan passport siap-siap tanpa perlu menunggu arahan.
Rif’at menoleh ke kiri. Pandangannya jelas menghala ke arah pintu masuk sempadan. Gah tersergam binaan pintu masuknya itu. Kelihatan beberapa orang tentera Mesir sedang berkawal dengan raifal di tangan. Ada juga antara tentera-tentera yang berkawal itu sudah memandang ke arah mereka yang jelas sekali akan melalui sempadan itu sebentar lagi.
“Ayuh,” Teriak Elyas sambil mengetuai mereka. Dalam kumpulan, mereka bergerak ke arah pintu sempadan tersebut. Kelihatan Elyas berkomunikasi dengan seorang tentera Mesir di situ sambil kemudiannya memberikan isyarat agar mereka semua menyerahkan passport kepada ketua kumpulan untuk diserahkan terus kepadanya.
Pintu sempadan pertama merupakan pintu sempadan Mesir di mana mereka melepasi pintu itu tanpa sebarang masalah. Tidak jauh dari situ, terdapat pula pintu sempadan Rafah kedua yang dikawal oleh tentera Israel. Seperti sebelumnya, mereka semua bersedia dengan passport masing-masing.
Satu persatu nama dipanggil oleh Elyas menurut isyarat tentera Israel yang memeriksa passport mereka. Mereka yang disebut namanya mara ke hadapan untuk diperiksa tubuh serta barangan yang dibawa. Prosedurnya serupa, cuma layanan yang diberi jelas sekali berbeza. Sememangnya dengan sikap bak anjing yang rakus, barang-barang mereka dipunggah tentera Israel begitu kasar sehingga terjatuh
“Irfan Halim,”.
“Khairul Afiq,”.
Dr. Abdel Moula sendiri ada mengingatkan ketika memberi pengisian selepas Subuh tadi agar mereka banyak-banyak berdoa ketika menghadapi fasa saringan untuk melepasi sempadan ini, terutamanya pintu sempadan kawalan tentera Israel ini. Secara umumnya, memang benar mereka datang bukanlah untuk menimbulkan huru-hara, apatah lagi membawa senjata atau masuk dengan tujuan lain selain menyalurkan bantuan makanan dan perubatan. Namun tentera Israel akan ada sahaja mencari silap kecil untuk dibesar-besarkan, lantas kerana sebab tidak munasabah itu menjadi alasan yang menghalang mereka untuk melepasi sempadan itu.
Di posisi ini, kata Dr. Abdel Moula, tiada hakim, tiada peguam, dan bukan mahkamah. Sekali Israel dah hala muncung raifal ke arah mereka, itu tandanya perkara akan jadi rumit. Rumit itu payah, bukannya tidak dapat diselesaikan. Namun sebolehnya, kerumitan seperti itu mahu dielakkan. Kerana itu, mereka perlu tidak putus-putus berdoa pada Yang Maha Membolak-Balikkan hati.
“Muhammad Yusuf Qaradhawi,”.
Rif’at awal-awal lagi sudah mengagak selepas nama Yusuf, giliran dirinya pula akan dipanggil. Mereka yang sudah selamat diperiksa kini diasingkan, berada di bahagian sebelah sana. Di situ, terdapat dua orang lelaki berjambang, pengiring mereka barangkali, sabar menanti semua peserta selesai diperiksa.
Sekilas, Rif’at mencuri pandang ke arah pegawai Israel yang dia amat pasti sedang memeriksa passportnya. Kelihatan pegawai itu kini berbisik dengan pegawai di sebelahnya, dipanggil pula pegawai yang berada di dalam pejabat. Kerutan dahi yang cuba dikawal oleh Elyas sempat Rif’at pandang.
“Muhammad Aamir Rif’at,”.
Rif’at tanpa lengah berjalan ke arah pegawai tentera yang memeriksa.
“Rif’at,” Kali ini Elyas pula memanggil dari arah yang berbeza. Dia memberikan isyarat supaya Rif’at bergerak ke arah pondok pegawai yang memeriksa passport. Apa yang dia pasti, perkara yang berlaku ke atas dirinya ketika itu ternyata menjadi titik permulaan kepada impresi peserta yang lainnya. Pun begitu, Rif’at tetap dengan wajah tenangnya.
Tatkala melepasi Elyas, dia mendengar bisikan perlahan, “Tenang sahaja,”.
Angguk.
Seorang pegawai bermisai putih dengan topi kini dikepit di celah ketiaknya turun dari pondok tersebut. Rif’at dihampiri. Beberapa saat, waktu seakan terhenti. Pegawai itu merenung tajam dirinya sebelum tangan kiri menyambut huluran passport daripada pegawai yang memeriksa.
“Masuk ke dalam sana,”. Arahnya sambil menunjukkan sebuah pintu bersebelahan pondok yang menjadi teduhan tentera Israel yang lainnya.
“Kenapa?”.
Terpacul keluar soalan tersebut dari mulut Rif’at, dengan wajah tenangnya. Namun situasi itu bagi tentera Israel seakan mencabar kredibiliti mereka dalam mengeluarkan arahan veto. Elyas juga sudah menarik nafas dalam-dalam. Ini bukan kali pertama situasi ini terjadi. Dia tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Rif’at akan disoal di dalam bilik itu, barangkali jika dia berkeras atau jawapannya tidak memuaskan kehendak tentera Israel yang bertugas, dia akan dibelasah.
Apa yang berlaku padanya juga berkemungkinan menjadi penentu ekspedisi mereka.
Namun bagi Elyas, kali pertama serasanya melihat keberanian sebegitu di hadapan Israel. Dalam hati dia mengakui, mungkin juga tindakan Rif’at itu akan menambahkan kesulitan keadaan. Namun rasa kagum yang hadir tidak dapat dia nafikan.
“Ikut sahaja,” Sudah mula kedengaran kekasaran pada suara pegawai itu tadi.
***
“Jihad,” Rakan di sebelahnya bersuara perlahan.
Jihad sekadar angguk, mengiakan apa yang bermain di fikirannya dan rakan-rakannya.
“Nampaknya keadaan tak semudah yang disangka,” Rakannya itu meluahkan jua. Di balik pokok dan semak itu, tiga orang manusia itu menahan nafas sambil membuat intipan. Segala yang berlaku di bahagian pagar besar sempadan itu jelas kelihatan walaupun jaraknya tidaklah begitu dekat. Namun, apa yang kelihatan juga sudah cukup untuk memberitahu mereka bertiga apa yang terjadi.
Jihad dan rakan-rakannya bukan kali pertama melakukan tugas ini.
“Aku memang tak pernah sangka semuanya akan jadi mudah pun,” Jihad tersengih sumbing. “Sebab tu aku sediakan pasukan Afnan tidak jauh dari sini. Miqdad dari Beit Lahiya pun akan turun ke kawasan yang sepatutnya,”.
Si rakan tersengih mendengarkan bicara Jihad yang penuh keyakinan itu.
“Jadi..?”.
“Kita tunggu sekejap…”.
Mereka patuh.
***
“Moga baik-baik sahaja Rif’at di dalam itu,” Kedengaran Mus’ab berbicara. Arif di sebelahnya mengangguk. Yusuf yang turut terdengar bicara itu mengaminkan, malahan dalam hatinya turut tidak berhenti mendoakan sahabatnya itu. Sementara Rif’at dibawa masuk ke dalam sebuah bilik tidak jauh dari situ, pemeriksaan passport dan barang tetap berjalan seperti biasa.
“Kau rasa kenapa Rif’at kena tahan?” Satu suara bertanyakan soalan itu kepada Yusuf. Yusuf sendiri tidak sedar akan kehadiran senior yang dua tahun lebih tua daripadanya itu lantaran terlalu memikirkan perihal Rif’at. Hakikatnya, semua di situ turut merisaukan keadaan Rif’at itu. Meskipun Rif’at ini hanya menumpang sahaja dalam pasukan mereka, perkara yang berlaku tetap dianggap mereka bahawa Rif’at kini sebagai satu bebanan buat ekspedisi mereka.
Dahi Yusuf berkerut. “Barangkali kerana tertulis dalam passportnya itu, dia ini anak kelahiran Gaza,”.

***

No comments:

Post a Comment