Monday 20 June 2016

Vehaen II: Rif'at (Bab 2) ~ Ainul Farihah

  BEIT LAHIYA, SEMENANJUNG GAZA
            Terik mentari tengahari itu membuatkan tubuhnya bermandi peluh, lencun membasahi bajunya. Ditambah lagi dengan dirinya berlari-lari anak menyusup masuk ke kawasan bangunan kosong itu. Rutin hariannya sebaik sahaja pulang dari sekolah.
“Bagaimana kau di sekolah hari ini, Najdat?” Tanya si kakak.
Najdat tidak terus menjawab  dalam kepalanya sedang menyusun ayat. Nabil, abangnya turut memandangnya mendengarkan pertanyaan kakak. Sedari tadi dia tidak bersuara, sehinggalah pertanyaan kakak mengalihkan perhatian mereka kepadanya.
“Kau macam nak berkata sesuatu..” Nabil mengagak. Naluri seorang abang.
Diam.
“Katakan,”. Lembut kakak menggesa.
“Aku mahu berhenti sekolah,” Najdat berkata seraya mengangkat muka. Penyataan berbunyi permintaan ringkas itu mengundang kerutan pada dahi abang dan kakaknya.
Kakak tersenyum. “Tapi kenapa?”.
“Aku mahu kerja macam abang, sara keluarga kita,”. 
Kedengaran bunyi hembusan nafas berat daripada abang. “Kau belajar, Najdat. Biar abang sahaja yang sara keluarga kita. Belajar itu juga satu jihad,”.
Dan usul si abang disokong oleh kakak.
Najdat gigit bibir. Bayangan memori ketika kakak dan abang masih hidup ditepis jauh. Itu pun ketika itu, ayah baru sahaja meninggalkan mereka. Pemergian seorang demi seorang ahli keluarganya sedikit demi sedikit mengubah perwatakan Najdat. Daripada seorang yang selalu tersenyum dan banyak menceriakan suasana berubah menjadi seorang yang lebih banyak mendiamkan diri. Senyum juga jarang sekali. Gelak tawa apatah lagi.
Kerana pesan abang dan kakak itu lah, dia masih bersekolah sehingga hari ini. Mahu bekerja, hanya diri sendiri yang perlu dia sara. Itu pun dia secara rasminya diletakkan di bawah pusat penjagaan anak yatim, bersekolah juga bawah tanggungan mereka. Sewaktu abang dan kakak masih ada, mereka turut ditawarkan untuk berlindung di bawah pusat anak yatim itu.
Namun abang menolak. Katanya, masih ramai anak yatim yang harus dijaga oleh pusat penjagaan anak yatim itu. Pusat penjagaan seperti itu sudah tidak lagi banyak di Gaza ini, tapi anak yatim saban hari bertambah dek tindakan zionis yang rakus membunuh sesiapa sahaja sesuka hati mereka. Kerana itu abang bersungguh menyara kehidupan seharian mereka.
Aaah… abang Nabil dan kakak sudah selamat sampai di sana. Sana yang jauh lagi aman dari sini.
                                                                                                ***
Zaman sudah menjangkau era modenisasi, namun seakan era itu tidak wujud di bumi Palestin. Beberapa tahun lepas, tekanan dahsyat telah diberikan ke atas Gaza dan Tebing Barat oleh pihak Israel, dengan sokongan padu Amerika Syarikat dan beberapa negara barat  yang lain. Tidak ketinggalan yang menyumbang sokongan moral terhadap Israel ketika itu adalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tunduk pada kuasa-kuasa veto, barangkali. Negara-negara lain? Diam seakan takut terhadap kuasa besar Amerika. Hanya beberapa negara sahaja yang berani bersuara, mengatakan pendirian.
Kerana itu kata orang, diam itu lebih membunuh.
Sejak itu lah Israel mengganas melebihi kebiasaannya. Lelaki dewasa semuanya ditangkap dan ada yang dibunuh tanpa sebab. Hanya sedikit sahaja yang tinggal, seperti para peniaga, guru, dan ‘tidak dicurigai’ mengikut definisi Israel sendiri. Sebarang pergerakan ketenteraan dan parti politik semuanya diharamkan seratus peratus, seakan-akan Gaza dan Tebing Barat sudah rasmi diisytiharkan sebagai kawasan Israel menyebabkan zionis seakan-akan melakukan ‘pembersihan’ terhadap kawasan mereka.
Kerana itu, Palestin kini seakan terumbang-ambing tanpa pemerintahan mahupun sebarang pergerakan. Sekejam-kejam dan seganas-ganas zionis, ada satu perkara yang membuatkan zionis tidak mampu menakluk Palestin secara penuh.
Semangat anak mudanya.
Dalam diam, zionis sebenarnya gentar dengan semangat juang anak muda Palestin. Sejak akhir-akhir ini, sering sahaja memberi kejutan kepada mereka dengan serangan balas atau serangan mengejut. Namun pergerakan remaja-remaja Palestin ini amat halus sehingga tidak dapat dikesan. Tambahan, kebanyakan mereka disibukkan dengan persekolahan.
Kerana itu, liciknya zionis ini sehingga pernah suatu ketika, mereka mengebom sebuah sekolah yang penuh dengan pelajarnya. Alasannya, ada gerakan ketenteraan bersembunyi di sekolah itu. Dalam banyak-banyak kawasan, sekolah adalah kawasan yang paling sensitif selain hospital untuk ‘disentuh’ oleh zionis, apatah lagi jika sekolah itu penuh dengan pelajar.
Maka dengan perbuatan itu, ada la juga suara-suara daripada negara lain mengecam tindakan itu. Pun begitu, tatkala zionis menerima kecaman dahsyat, Palestin merasai sedikit keredaan serangan daripada pihak zionis itu. Sejak daripada itu juga, zionis seakan menunjukkan sikap ‘tolak ansur’nya dengan membenarkan mana-mana pihak yang mahu menghantar tidak lebih dari sekadar bantuan perubatan dan makanan sahaja. Sungguhpun begitu, peristiwa pengeboman itu tetap memberi kesan kepada seluruh warga Palestin, di Semenanjung Gaza terutamanya. Seakan hidup mereka sudah tiada jaminan lagi.
Jaminan yang ada cumalah keimanan bersauh kukuh dalam hati mereka, meyakini janji Ilahi terhadap orang yang dizalimi. Juga zionis mungkin lupa, jiwa pemuda Palestin ini tidak sama dengan jiwa anak muda di luar sana.
Dikira tersilap langkah bila mana zionis hakikatnya ‘mengambil’ lelaki-lelaki dewasa Palestin, dan meninggalkan anak-anak muda berjiwa besar ini.
Silap.
***
“Si kecil Najdat kita sudah tiba,” Sapaan Suhaib membuatkan semua yang berada di dalam ruangan itu menumpukan pandangan ke arah pintu masuk. Najdat seperti biasa, mengangkat tangan seakan membalas sapaan itu. Beg sandang rabaknya diletakkan di tempat biasa. 
Kerusi berhampiran Suhaib ditarik. Suhaib dan kebanyakan mereka yang berada di situ berusia jauh lebih tua daripada dirinya. Dia pula baru menjangkau usia 14 tahun tiga minggu lepas. Pun begitu, Najdat ini sangat dikenali dalam kalangan mereka sebagai anak muda yang licik dan bijak dalam mengatur strategi, tangkas dalam pergerakan serta punya kematangan dan keyakinan yang tinggi dalam membuat keputusan. Kerana itu juga, Najdat mempunyai satu aura yang membuatkannya dihormati oleh kebanyakan pemuda-pemuda di situ.
Hanya sikap pendiamnya sahaja yang membuatkan Najdat kekal rendah diri dan tidak terlalu terkehadapan. Cuma apabila pendapatnya dipinta, dia bersikap professional. Mungkin kerana satu lagi faktor yang membuatkan Najdat dikenali adalah kerana senior-senior di situ kebanyakannya teman-teman arwah abangnya, Nabil. Kerana itu juga, mereka semua memahami perubahan sikap Najdat daripada mesra dan selalu tersenyum kepada tidak banyak bercakap dan jarang sekali tersenyum.
“Seorang sahaja?” Miqdad bertanya.
Najdat mengangguk sepi.
“Solah mana?”.
“Pulang ke rumah, adik perempuannya sakit,”.
“Ouh..”.
Jeda seketika. Najdat melontar pandangan ke arah luar tingkap yang tidak berkaca, memandang langit petang nan cerah. Untuk seketika, suasana sekelilingnya seakan bisu. Dia termenung sehinggalah batuk seseorang menarik perhatiannya. Lambat-lambat dia menoleh kepada seorang lelaki yang tegap tubuhnya, berjambang halus dan rapi yang kini berdiri tidak jauh dari situ. Miqdad namanya. 8 tahun lebih tua daripada dirinya, juga merupakan pemimpin bagi mereka di situ. Di kawasan Beit Lahiya.
“Ehem,” Miqdad tersenyum sambil anak matanya menatap satu persatu wajah manusia yang berada di situ, dan tatapannya terhenti pada Najdat. Senyuman tidak berbalas, seperti biasa.
“Berita terkini yang kita terima adalah mengenai satu pasukan perubatan yang dihantar daripada Malaysia akan tiba di sini lagi dua hari,” Tanpa membuang masa, Miqdad terus sahaja melompat ke topik utama. “Disebabkan sejak pengeboman sekolah minggu lepas, zionis  sudah kurang membuat serangan kepada kita. Maka, kita boleh tumpukan misi seterusnya untuk melindungi pasukan perubatan yang akan masuk ini. Ya, Ahmad?”.
Ahmad yang mengangkat tangan sebagai adab untuk mencelah kini menurunkan tangannya perlahan-lahan. “Mereka masuk secara sembunyi atau melalui pintu sempadan Rafah?”.
“Yang aku tahu, kedatangan mereka ini rasmi, berkemungkinan besar guna pintu sempadan Rafah. Tapi aku khuatir dengan zionis yang licik itu…” Miqdad menyuarakan keraguannya.
“Bila-bila masa sahaja mereka boleh haramkan kemasukan pasukan itu, dengan pelbagai alasan tak munasabah rekaan mereka,” Firdaus menyambung. Mereka yang lain turut mengangguk. Masak benar dengan perangai busuk zionis.
Sungguhlah, dalam Qur’an sahaja Allah sudah menyebut mengenai kelicikan kaum Yahudi ini.
“Aku sudah hubungi Jihad di Rafah sana, dan ternyata benar telahanku, dia perlukan juga bantuan kita di sini sebagai back up,” ujar Miqdad.
Rafah. Hanya kurang sejam dari Beit Lahiya tempat mereka berada ini. Gaza ini, dari hujung ke hujung, perjalanannya cumalah mengambil masa satu jam jika berkenderaan. Benar, kecil sahaja. Memang hakikatnya amat mudah sebenarnya untuk Israel dibantu lagi dengan Amerika dan negara lain untuk menghabiskan sahaja kawasan sekecil itu.
Namun ternyata tak semudah yang disangka.
Kalau Gaza sebesar itu juga tidak mampu lagi Israel lenyapkan sehingga hari ini dek kerana semangat warganya, apatah lagi Tebing Barat sana yang jauh lebih besar. Itupun, si kotor zionis sudah berani menawan Masjidil Aqsa dengan mengharamkan warga muslim Jerusalem menjejakkan kaki ke situ.
“Jadi untuk dua hari ini, selain mengawal keamanan kawasan kita, kita akan fokus juga pada pasukan perubatan ini…”.
Najdat, meskipun diam, fokusnya tetap dihalakan pada perbincangan mereka.
                                                                                                ***
SEMPADAN RAFAH, MESIR
Seingat Rif’at, bandar Rafah yang terletak di bahagian selatan Semenanjung Gaza itu terbahagi dua ketika termeterainya Perjanjian Camp David pada tahun 1982. Rafah bahagian Gaza dan Mesir. Dengan jumlah penduduk yang kini kurang daripada 120 000 orang, terdapat banyak kem pelarian di Rafah. Bagi orang-orang yang pernah dengar mengenai Rafah, pasti akan dikaitkan dengan pintu sempadan yang menjadi pintu masuk ke dalam kawasan Semenanjung Gaza.
Pasukan perubatan dari Malaysia itu dipecahkan kepada dua petempatan sebelum mereka masuk ke Rafah, Gaza pada esok hari. Peserta perempuan yang cuma berlima menumpang di rumah lain manakala selebihnya di rumah Dr. Abdel Moula, seorang doktor warganegara Mesir yang bertanggungjawab menyediakan petempatan mereka buat sementara di Mesir.
Untuk hari pertama, kebanyakan mereka hanya berehat. Padah kena jet lag gamaknya. Pada malam hari, baru lah mereka berpeluang beramah mesra dengan Dr. Abdel Moula serta ahli keluarganya. Dr. Abdel ternyata amat mesra dan fasih berbahasa inggeris bersama mereka.
Namun tatkala matanya menangkap kelibat Rif’at yang agak tersembunyi ditambah lagi dengan diamnya dia, terus keluar bahasa arab ‘ammi Mesirnya.
“Kamu dari Malaysia juga?”.
Rif’at mengangguk sambil tersenyum.
“Macam anak arab.. Doktor juga?”.
Jawapan tersekat di kerongkong Rif’at yang ternyata tidak tahu mahu mengeluarkan apa sebagai jawapan. Bakal doktor… Kalau jawab bukan doktor mahupun paramedik, perlukah dia berterus terang mengenai penglibatannya dalam ekspedisi ini? Ah…kalau macam tu, panjang la cerita jadinya.
“Oh, ini la anak Dr. Abu Khairuddin dan Dr. Amina,” Dr. Irham selaku ketua rombongan bersuara melihatkan wajah Rif’at yang seakan ragu-ragu untuk menjawab. Mendengarkan penyataan ringkas itu sahaja sudah cukup untuk mengubah riak wajah Dr. Abdel yang kini tersenyum lebar sambil mengangguk penuh semangat.
“Oh… ini anak Gaza itu,” katanya. “Aamir Rif’at,”.
“Betul, doktor,” Yusuf menepuk bahu Rif’at yang duduk di sebelahnya itu.
Rif’at pula hanya sengih, tersipu-sipu. Nampak sangat umi dan abi bukan calang-calang orang.
Itu kisah malam tadi. Hari ini pula, selama seharian peserta ekspedisi semuanya melakukan persiapan akhir sebelum melepasi sempadan Rafah pada esok hari. Rif’at tidak ketinggalan, walaupun bukan tujuan utamanya menyertai paramedik ini untuk berbakti, namun ilmu kedoktoran yang dia pelajari sepanjang di Vehaen University tetap membolehkannya ikut campur untuk membantu mereka yang lain. Seperti selalu, perwatakan Rif’at amat menyenangkan semua orang.
Selesai solat isya’ berjemaah, kebanyakan mereka mengambil angin di kawasan luar rumah Dr. Abdel sambil melakukan persiapan di foyer rumah tersebut. Rif’at tidak ketinggalan, mengambil angin seketika sambil duduk di kerusi batu. Dia mendongak.
Langsung kelihatan bintang-bintang bertaburan di langit malam yang pekat. Seperti sebelum ini, bulan tidak kelihatan. Sekarang masih awal bulan. Kalau sudah masuk pertengahan nanti baru bulan penuh akan kelihatan agaknya. Aaah… bila bicara tentang bulan ini…
“Cari bulan, bang?”.
Mendengarkan suara yang tidak lagi asing di telinganya sejak tiba di Mesir dua hari lepas membuatkan Rif’at tersenyum. Dia memandang seorang pemuda yang lebih muda daripadanya, berusia dalam lingkungan 16 tahun barangkali, anak ketiga Dr. Abdel yang agak rapat dengannya. Haqqa. Mungkin atas faktor Rif’at mampu berkomunikasi dalam bahasa arab dengan lancar yang membuatkan Haqqa senang berbual dengannya. Meskipun ada tikanya Rif’at tidak dapat menangkap bahasa arab ‘ammi mesir yang digunakan Haqqa dek kerana terbiasakan mempelajari bahasa arab fushah. Bahasa arab ‘ammi yang paling dia mahir secara natural pun semestinya ‘ammi Palestin. Mesir, sedikit cuma.
Anggukan diberikan sebagai menjawab pertanyaan Haqqa. Sengaja dia beralih sedikit, memberikan ruang untuk Haqqa duduk bersama.
“Dua minggu lagi, ada la bulan penuh. Kalau waktu itu abang tengok dari Gaza sana, pasti lebih cantik,” kata Haqqa.
“Betul,” Rif’at mengiakan.
Jeda. Diselangi dengan tawa mereka-mereka yang lain di bawah bumbung perkarangan rumah kerana terhibur dengan gelagat Mus’ab dan Arif. Dua manusia yang turut menarik perhatian Rif’at sejak berkumpul tempoh hari. Mahu tidak mahu, gelagat mereka berdua ternyata mengingatkannya pada Amrullah dan Imran. Bertekak selalu, tapi tetap ‘kamceng’.
Aaah… atau aku yang terlebih rindu mereka? Rif’at sengih sendiri. Ukhuwah tidak pernah gagal membuatkannya terus tersenyum, hatta ketika berjauhan seperti itu.
“Untungnya abang,”.
“Huh?” Rif’at toleh pada Haqqa. “Kenapa cakap macam tu?”.
“Dapat kembali ke Palestin, berjihad menentang zionis di sana,” Haqqa tunduk memandang kaki yang menguis tanah. Tangan Rif’at lekas memaut bahu Haqqa. Baru sahaja mahu membalas kata-kata anak muda itu, Haqqa bersuara lagi.
“..dan aku terus berada di sini. Dengan pemerintah liberal yang cuma berbangga dengan bangsa arabnya, tapi langsung tak ambil peduli tentang jiran kami, Gaza. Bersekongkol pula dengan Israel itu. Belum kira lagi kalau dalam bab mengikut telunjuk Amerika Syarikat itu..”.
Haqqa kemudiannya diam manakala Rif’at menunggu beberapa ketika sebelum bersuara.
“Haqqa,” Damai sahaja suara Rif’at memanggil nama itu. “Kita berada di akhir zaman, di mana cabaran buat orang Islam ini semakin bertimpa-timpa. Tapi ini bukan pengakhiran. Jihad abang mungkin bermain dengan raifal, kereta kebal, dan bom zionis. Jihad kau mungkin untuk menjadikan Mesir ini satu negara Islam yang lebih baik dari hari ini. Usia kau baru belasan tahun, ternyata jihad kau itu dalam menuntut ilmu ketika ini. Dengan ilmu itu nanti kau mampu jadikan Mesir ini lebih baik daripada apa yang kau lihat hari ini,”.
“Mampukah?”.
“Kalau kau tak yakin dengan diri sendiri pun, sekurang-kurangnya yakinlah dengan ayat Allah,”.
“Dia kata pada kau macam tu?” Rif’at bertanya.
Imran semangat mengangguk. “Itu yang buat aku sentap, sebab ternyata betul pun apa yang dia cakap,”.
“Hebat kau,” Senyuman melebar di bibir Rif’at. “Ayat Allah ternyata tidak meragui apatah lagi diragui,”.
“Aku cuma warga Mesir marhaen. Aku tahu bukan aku seorang cemburu dengan anak-anak Gaza sana,”. Suara Haqqa menarik Rif’at keluar dari lamunannya.
“Kalau kamu tak yakin dengan apa yang abang cakap, sekurang-kurangnya yakinlah dengan ayat Allah,” Rif’at mengungkap. Haqqa memandangnya lalu mengangguk.
“Sampaikan salam dan cemburuku pada pemuda Gaza di sana nanti,”.
“Inshaa Allah,” Rif’at dalam diam, turut kagum dengan anak muda yang seorang ini.
                                                                                ***
BIRMINGHAM, UNITED KINGDOM
Kuliah pada hari itu tidak pula penuh seperti selalunya. Belum dikira lagi sesi kelas pada petang itu batal kerana pensyarahnya kemalangan. Dengar cerita, pensyarah itu baik-baik sahaja fizikalnya. Cuma kereta Vauxhall Astra baharunya remuk di bahagian depan bertembung dengan Ford Fiesta yang dibawa oleh seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.
Pendek cerita, hari ni kelasnya sedikit sahaja.
Tapi penatnya terasa semacam. Mungkin sebab pembatalan kelas itu digantikan dengan turun ke padang, main bola bersama Syafiq, Shah dan lain-lain. Setakat main macam biasa petang-petang, apa la sangat penatnya.
“Allah…” Amrullah raup wajah. Telefon pintar di sebelah kepalanya dipandang. Pagi tadi Rif’at sudah mesej. Seperti biasa sejak sepeninggalannya, dia bertanyakan khabar, bagaimana hari itu, dan menceritakan keadaannya. Sesak juga hatinya apabila Rif’at bertanyakan tentang Imran yang tidak menghubunginya langsung. Alasan yang sama dia kemukakan untuk mengelak daripada berbohong. Sungguhpun rasa bersalah hinggap di jiwa, namun dia bertekad, bila dia rasa masanya sudah tiba nanti barulah dia akan berterus terang pada Rif’at berkenaan kondisi Imran.
“Aargh…” Kenapa ni… Amrullah pejam mata. Seketika dia mula teringat. Rif’at akan melepasi sempadan Rafah tidak lama lagi. Hari ini. Rif’at juga memberitahunya, dia tidak memberi sebarang jaminan bahawa sebaik sahaja dia memasuki Gaza, apakah dia akan mendapat isyarat komunikasi ataupun tidak.
Moga baik-baik sahaja, Rif. Kau kan pejuang… Hati menembak doa.

No comments:

Post a Comment