Wednesday 20 July 2016

Re: Kau Ilhamku (Bab 2) ~ Amany

“Kau dengan Rita apa cerita?” Thaqif bertanya sebelum mulutnya penuh dengan nasi goreng ayam.
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Bagus jugak kalau kita orang putus. Aku tak pening kepala, dia pun tak ada la asyik sakit hati je.” Isyraf membalas sambil menyuap sesudu kuah kuey teow kungfu ke dalam mulut. Sedap!
“Pulak. Dah tu kau tak nak buat apa-apa ke sekarang? Macam pujuk dia ke?” Thaqif masih lagi begitu; bersemangat menyuap nasi goreng ayamnya.
“Biar je la. Aku bukannya reti nak pujuk-pujuk ni.” Isyraf membalas malas. Dia sebenarnya sudah malas mahu melayan rajuk Rita itu. Buat dia pening kepala sahaja.
“Itulah masalah kau. Manalah si Rita tu nak lekat dengan kau.”
Sudah….pakcik ni dah masuk mode nak membebel, Isyraf mengeluh di dalam hati.
“Aku sibuk, bukannya 24 jam boleh berkepit dengan dia. Dia pun kenalah faham. Baru dua bulan tapi dia dah tak tahan, aku tak rasa dia boleh bertahan lebih lama lagi.” Isyraf menjawab jujur kenapa dia malas mahu melayan rajuk Rita itu. Dia pernah katakan pada Rita, dia perlukan teman wanita yang mampu berdikari, sebab dia tahu dia takkan mampu untuk selalu ada di sisi Rita. Dan ketika itu, Rita mengatakan bahawa dia faham akan keadaan itu, sebab itulah dia terima Rita. Tak susah pun untuk jadi teman wanita seorang Isyraf, hanya perlu faham nature kerja Isyraf. Itu saja.
“Kalau sibuk pun, carilah masa terluang untuk kau spend dengan dia. Perempuan ni, dia nak lelaki selalu bagi perhatian pada dia.” Thaqif masih lagi begitu, mahu ‘berceramah’ tentang cara-cara memujuk teman wanita yang merajuk.
Isyraf buat muka bosan.
Thaqif ni, datang dah aura doktor cinta dia tu! Sempat juga tu Isyraf mengutuk Thaqif di dalam hati.
“Aku tahulah kau tengah berbahagia dengan Mel kesayangan kau tu, tapi tolong jangan buat aku rasa nak muntah boleh tak?” Kali ini Isyraf memilih untuk mengutuk Thaqif terang-terangan.
Thaqif ketawa. “Aku bagi nasihat, tak nak dengar.”
“Terima kasih je la. Nasihat kau tu applicable kat kau je.” Sesudu lagi kuey teow kungfu masuk ke dalam mulut.
“Nasihat aku universal weh.” Thaqif berkeras mahu menang.
Isyraf buat muka malas nak layan. Hati si Thaqif ni tengah berbunga-bunga, jadi kalau boleh semua masalah cinta dalam dunia ni dia nak tolong selesaikan.



******
Dia bergolek-golek di atas katil bersaiz queen miliknya. Malasnya nak bangun! Sepuluh minit berlalu dan dia masih lagi bergolek-golek ke kiri dan ke kanan katil. Penat bergolek, dia baring meniarap. Mukanya ditekap ke tilam. Dua minit juga dia berkeadaan begitu. Dek keputusan nafas, dia angkat sikit kepala. Lama dia pandang kepala katil berwarna putih di depannya itu. Di kiri kepala katil dia nampak lambakan kes yang sedang diuruskannya. Di kanan kepala katil pula dia nampak wajah Hasif. Keluhan berat dilepaskan.
Baru dua hari lepas dia berbaik dengan Hasif. Hasif pun dah mula senyum kembali. Boleh berbual seperti biasa. Tapi lepas Hasif tahu tentang kes yang Banie baru dapat, sekali lagi lelaki itu menjauhkan dirinya. Lalu apa lagi yang perlu Banie lakukan?

“Banie, kes Azmindar tu you dah settle ke?” Itu soalan pertama Datuk Nik, bosnya ketika dia masuk menghadap lelaki separuh abad itu.
“Lusa hari penghakiman. Kenapa, Datuk?” Dia jawab juga setelah duduk menghadap Datuk Nik di atas sofa.
“Kes lagi satu yang I baru bagi tu?”
Kes lagi satu? Oh yang RM5 juta tu. Kes Datuk Kamil.
“I already met Datuk Kamil this morning. We’ll proceed as usual.” Banie menjawab.
“Good.” Datuk Nik mengangguk-angguk kemudian menolak satu file berwarna merah jambu pekat ke arah Banie. “I baru dapat kes baharu. Macam biasa, saman fitnah. 7 juta. I nak you handle kes ni.”
Banie baca nama yang tertera di atas file tersebut. Datuk Megat Jamaluddin. Datuk Megat of WONDERWALL? Datuk Nik peguam penasihat syarikat ni. “Tapi kes ni bukan untuk Datuk ke?”
“I have too much on my plate right now. Plus, this is another opportunity for you to learn more, Banie.” Datuk Nik yang sedang duduk bersandar di sofa membalas soalan Banie.
“But is Datuk Megat okay with this?”
“Datuk Megat is one of my closest friends. I dah beritahu Datuk Megat, I’ll let someone else to handle this case and he agreed to it.”
Dia pandang muka Datuk Nik dengan rasa tak yakin.
“I know you can handle this kind of case very well, Banie. Dan you pun tahu I takkan senang-senang minta orang lain ambil alih kes I.” Datuk Nik bersuara seolah-olah tahu apa yang difikirkan Banie sekarang.
Banie tarik file itu dekat padanya. “I’ll try, Datuk.”
Datuk Nik angguk sebelum senyum lebar. “I dah kepil business card Datuk Megat dalam tu. Do contact him ASAP. If you have any problem, let me know.”
“Baik, Datuk. Kalau tak ada apa-apa, I keluar dulu?” Dia dah bersedia untuk bangun sambil memeluk file merah jambut pekat tadi.
“Sure. You may go.”
Dia berlalu keluar dengan sebuah keluhan yang berat.

“Apa yang kau nampak kat kepala katil tu?” Suara yang menyapa itu buat dia bangkit dari baringnya dan terus berpaling ke pintu. Kelihatannya Dania bersandar pada dinding tepi pintu sambil berpeluk tubuh.
“Tak ada apa-apa.” Geleng kepala.
“Kau tutup pintu tak rapat. Aku ingatkan kau dah tidur.” Dania masih lagi berdiri. “Kau ada masalah ke? Lama kau tenung kepala katil kau.”
Dia diam seketika.
Dania berjalan ke arah katil Banie dan terus merebahkan badannya di atas tilam empuk milik Banie. Itu memang habit Dania sejak di universiti; masuk bilik Banie dan terus baring di atas tilam Banie.
Banie betulkan silanya.
Dania pula dah menongkat dagu ke arahnya, menantinya bersuara.
“Aku tak rasa aku boleh bertahan dengan Hasif.” Itu ayat pertama yang dia luahkan setelah puas dia berfikir apa lagi yang perlu dia buat untuk selamatkan hubungannya dan Hasif.
“Hasif dingin lagi dengan kau?” Dania bertanya. Dania tahu hubungan dingin Banie dan Hasif sejak Banie dapat kes bernilai RM10 juta itu. Kes besar pertama yang Banie dapat. Oleh sebab Banie uruskan kes tersebut dengan sangat bagus, maka bos Banie; Datuk Nik beri kepercayaan kepada Banie untuk ambil kes-kes besar yang lain. Contohnya seperti sekarang ni, ada dua kes bernilai RM5 juta dan RM7 juta di bawah pengurusan Banie.
Banie angguk sebagai jawapan. “Kau pun tahu aku ada dapat kes baharu yang nilainya agak besar. Aku sebenarnya bercadang nak beritahu Hasif pasal kes baharu tu tapi aku takut nak tahu reaksi dia. Dah la aku tak beritahu pun pada dia yang aku dapat kes RM5 juta jadinya dia tahu daripada orang lain. Lagipun Dona, aku tak tahu lepas ni tarikh apa lagi yang aku akan lupa.”
“Aku bukanlah nak hasut kau, tapi aku rasa lebih baik kau putus aje dengan Hasif tu.” Senada Dania menuturkan.
Banie pandang Dania lama.
“Yalah, buat apa dia jadi teman lelaki kau kalau nak sokong kau pun dia tak boleh buat?” Dania cuba merasionalkan kata-katanya dan menyambung, “bukannya kau yang mintak untuk handle kes tu. Lagipun, sampai bila kau nak uruskan kes kecil-kecil aje? Apa salahnya you give yourself a try? Bukannya Hasif tu rugi apa pun. Dia sepatutnya berbangga awek dia ni menang kes besar. Kalau dia cintakan kau, dia kena terima kekurangan kau yang satu tu.”
Banie masih lagi pandang Dania.
“Sorry to say, tapi aku tak berkenan dengan lelaki macam tu.” Dania angkat kedua tangannya kemudian jungkit bahu.
“Tapi ini baru pertama kali dia jadi macam ni walaupun dah lebih daripada sekali aku lupa tarikh-tarikh penting. Dia dah minta maaf pun tadi.” Perlahan aje suara Banie.
“Banie, aku tahu kau sayang dia. Dan aku tahu aku tak patut cakap macam tu. Tapi kalau kau masih nak terima dia, aku tak boleh nak buat apa.”
“Kau akan sokong aku?” Banie bertanya itu.
Dania tepuk lengan Banie. “Kau tanya soalan macam kita baru kenal sehari.”
Banie sengih.



******
“Kak Jie, saya ada appointment dengan Datuk Megat pukul 11 hari ni. Jadi saya balik selepas lunch. Kalau ada apa-apa pesanan, macam biasalah ye!” Dia melaung sebaik sahaja dia keluar dari biliknya.
“Okey!” Sepatah kak Jie menjawab dari tempatnya. Hampir lima tahun bekerja dengan peguam muda yang tak banyak kerenah ini, kak Jie dah boleh baca rentak kerjanya.
Mendengarkan balasan okey kak Jie, Banie terus memecut ke arah rak kasut. Dia menukar daripada Barney plush slippers kepada kasut flat warna merah (yang nanti dia akan tukar kepada kasut tumit tinggi di dalam kereta), kemudian berjalan menuju ke pintu lif. Jam menunjukkan pukul 10.15 minit pagi. Dia masih ada banyak masa sebelum bertemu Datuk Megat. Tetapi dia sengaja keluar awal. Satu, sebab dia tak mahu tergesa-gesa. Kedua, sebab dia tak tahan menerima panahan mata Hasif yang membara setiap kali lelaki itu ke jabatannya menandakan lelaki itu marah. Nampaknya Hasif sudah tahu dan dia malas mahu melayan marah lelaki itu.
Tepat jam 10.42 minit pagi, dia tiba di MJ Tower. Dia melangkah masuk ke dalam bangunan setinggi 20 tingkat itu. Si penyambut tetamu menyambutnya dengan sebuah senyuman. Dia melangkah menuju ke meja penyambut tetamu.
“Ya ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Penyambut tetamu yang bernama Nini (Banie baca daripada pas pekerja yang dipakai) itu menyapanya dengan sebuah senyuman.
“Saya Ilham Nurbaini. Saya ada appointment dengan Datuk Megat pukul 11 pagi.” Banie terus kepada tujuannya datang ke mari.
“Sebentar ya.” Nini angkat gagang dan mula mendail.
“Okey.” Banie hanya berdiri mematung di situ.
“Sebentar lagi setiausaha Datuk akan turun untuk bawa cik Ilham naik.” Penuh berhemah Nini bersuara.
Hah macam inilah baru buat orang selesa nak berurusan. Ini tidak, dah tahu awak tu frontliner syarikat, layan tetamu kasar-kasar pulak.
“Banie. Boleh panggil saya cik Banie.” Jarang orang panggil nama penuhnya. Kekok pula apabila dengar. Dia lebih selesa dengan nama panggilan Banie. Pendek dan senang nak ingat. Dan hanya ada seorang sahaja yang memanggilnya Ilham. Dia tidak mahu orang lain berkongsi keistimewaan itu, walaupun sebaris nama Ilham itu mampu buat dia bersedih apabila teringat akan lelaki itu.
“Baiklah, cik Banie.” Nini membalas.
“Terima kasih!” Banie sempat mengucapkan terima kasih atas bantuan Nini.
Dua minit menanti, setiausaha Datuk Megat turun ke bawah dan terus menuju ke arahnya.
“Cik Ilham Nurbaini?” Setiausaha Datuk Megat itu menyapanya dulu.
“Ye saya.” Banie mengiyakan soalan setiausaha tersebut.
“Saya Fahmi, setiausaha Datuk.” Lelaki yang berpakaian jeans hitam serta kemeja jeans warna biru gelap yang sengaja tidak dimasukkan ke dalam seluar ini memperkenalkan dirinya. Banie hanya senyum.
“Mari saya bawa cik Ilham ke atas.” Fahmi mempersilakan Banie berjalan.
“Boleh panggil saya Banie.” Seperti biasa, dia akan meminta orang memanggilnya begitu.
“Oh maafkan saya.” Fahmi yang berjalan di sisinya membalas.
“It’s okay.” Sebuah senyuman dihulurkan pada Fahmi.
Fahmi sentuh kad pekerjanya, kemudian pagar terbuka. Sampai di depan lif, Fahmi menekan butang naik. Lif terbuka tanpa perlu mereka menunggu lama. Fahmi mempersilakan Banie masuk dahulu. Banie hanya menurut.
“Dah lama cik Banie kerja sebagai peguam?” Fahmi bertanya sebaik sahaja mereka masuk ke dalam lif.
“Hampir lima tahun.” Itu jawapan Banie. Sesungguhnya dia tak reti bermesra dengan orang yang baru dikenali!
“Maaflah tiba-tiba saja bertanya. Saya cuma mahu menceriakan suasana.” Nada suara Fahmi kelihatan seperti nada bersalah.
“Eh tak apa pun. Cuma saya tak reti berbual dengan orang yang baru saya kenal.” Jujur Banie menjawab. Dia bukanlah party pooper. Dia tak reti mingle dengan orang lain. Friends circle dia pun orang sama aje.
Lif berhenti di tingkat 20, Fahmi segera mempersilakan Banie keluar dulu. Keluar sahaja dari lif, ada satu pintu yang sangat cantik memisahkan lif dan ruang selepas pintu.
“Ini namanya pintu rahsia, cik Banie.”
“Pintu rahsia?” Banie bertanya pelik. Apa yang rahsianya?
“Encik Isyraf yang bagi nama tu. Saya pun tak tahu kenapa, cik Banie.” Fahmi temukan ibu jari kanannya pada thumbprint reader dan pintu tersebut terbuka.
Eh pelik betullah encik Isyraf tu! Telah hati Banie.
“Mari saya bawa ke bilik Datuk.” Fahmi dah mendahuluinya.
“Terima kasih.”
Banie melihat dekorasi tingkat 20 itu. Satu yang dia boleh cakap, superb! Teruja dia dengan dekorasi yang terlalu menarik dan cantik ini. Sepanjang mereka berjalan ke bilik Datuk Megat, mata Banie masih lagi meliar ke sana sini sambil hatinya tak habis-habis memuji dekorasi sekeliling.
Iyalah, bukan senang dapat masuk ke dalam bangunan MJ Tower ini dan berpeluang untuk ‘mengintai’ syarikat perisian terbesar di Malaysia iaitu WONDERWALL! MJ Tower merupakan antara bangunan tercantik di Malaysia dan hari ini syarikat WONDERWALL merupakan antara syarikat perisian yang menjadi idaman anak-anak muda untuk bekerja di sini.
Masuk sahaja ke dalam WONDERWALL, Banie terus teruja melihat binaan dalamannya yang sangat unik. Mengikut apa yang pernah Banie baca tentang WONDERWALL di dalam satu majalah bisnes, WONDERWALL merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang menitik-beratkan keselesaan para pekerjanya.
Ia membenarkan para pekerjanya untuk berpakaian tidak formal asalkan pakaian tersebut sopan. Dan tempat duduk para pekerja pula tidak dipisahkan oleh kubikel. Ada kafe yang sangat cantik dan semua makanan murah tetapi sedap, ada gym, ada fun or games room, ada study lounge yang awesome, malah ada juga zen room yang menempatkan sleep pods jadi para pekerja yang penat bolehlah melepaskan lelah di dalam sleep pods.
Tak silap Banie, rooftop MJ Tower ini diberi nama Green House. Ada pelbagai sayuran ditanam di rooftop tersebut. Sangat menarik membuatkan Banie rasa masa tengah baca artikel tentang WONDERWALL tu, dia nak aje pergi ke WONDERWALL. Nak tengok semuanya dengan matanya sendiri. Mana lagi nak jumpa syarikat yang cool dan awesome macam ni kat Malaysia ni kan?



******
“Untuk petang nanti, bos ada satu meeting saja, pukul 2 petang.”
“Meeting dengan siapa?” Isyraf bertanya pada Amin; setiausahanya dalam mereka berjalan keluar dari biliknya menuju ke pintu rahsia.
“Dengan Syarikat Megah Alam. Selepas pertemuan tempoh hari, nampaknya mereka berminat untuk bekerjasama dengan kita.” Amin menjawab lancar.
“That’s a good news, I guess. Okey lepas tu aku dah tak ada apa-apa kan?” Isyraf mahu confirmkan semula jadualnya.
“Tak ada. Bos nak ke mana-mana ke?” Amin dah bersedia mahu menekan skrin tab yang dibawanya bagi menambah jadual baru untuk hari itu.
“Nope. I’ll be staying at the office then. Aku nak discuss semula dengan pihak Next Innovation berkenaan business meeting minggu depan.” Isyraf membalas sambil langkah kakinya semakin laju.
Tiba-tiba dia brek mengejut. Amin yang juga berjalan laju di belakangnya tak sempat nak brek, terus melanggarnya.
“Kenapa…. bos?” Amin bertanya sambil mengusap-usap dahinya yang sakit akibat perlanggaran tadi. Dia sedang menunduk menaip sesuatu di skrin tab, sebab itulah dahinya yang sakit.
Isyraf menoleh ke belakang. Kenapa perempuan yang berjalan di sebelah Fahmi itu macam familiar?
“Siapa tu?” Dia bertanya pada Amin.
Amin mengerutkan dahinya. “Klien Datuk, mungkin?” dan berjalan menuju ke pintu lif yang bertutup. Dia tekan butang ke bawah. Sekejap sahaja lif terbuka.
“Kau tanya Fahmi, siapa dia tu.” Isyraf memberikan arahan setelah mereka masuk ke dalam lif. Mustahil klien papa. Papa tak pernah bawa masuk klien ke dalam bilik pejabat. Tak semua orang ada akses ke tingkat paling atas ini.

“Baik, bos.” Amin menjawab patuh.

No comments:

Post a Comment