Tuesday 19 May 2015

Sampaikan Salamku (Bab 6) ~ Reza al-Razi

SENYAP-SENYAP, Azlan mengisi borang permohonan ke universiti tanpa pengetahuan keluarganya. Dia telah nekad. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap akan meneruskan niatnya untuk menyambung pelajaran ke universiti. Liyana sudah pun mendaftar masuk ke Tingkatan 6 STPM. Liyana ada memujuknya untuk turut sama masuk ke Tingkatan 6 namun dia tidak mahu. Jika dia turut mengambil STPM, bererti dia akan terus berada di rumah itu. Dia ingin keluar dari rumah itu. Dia ingin lari dari penderitaan yang selama ini mencengkam kehidupannya.
            Beberapa bulan selepas permohonannya, dia akhirnya diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor kampus Segamat dalam bidang Pengurusan Maklumat. Dia sangat bersyukur. Kini dia sudah berada di permulaan garisan untuk mencapai impiannya.
            Persiapan ke universiti dilakukan secara senyap-senyap. Pemeriksaan kesihatan, pembayaran yuran dan urusan-urusan lain semuanya dilakukan tanpa pengetahuan ahli keluarganya. Mujurlah ada keluarga pak longnya yang sudi membantu. Liyana, walaupun kurang bersetuju dengan hasratnya itu namun tetap membantu dia membuat persiapan. Liyana menjadi orang kuat di belakangnya.
            Hari ini, Liyana menemani Azlan ke bandar menguruskan hal-hal berkaitan kemasukannya ke universiti disamping membeli beberapa barang keperluan. Mereka ke bandar dengan menaiki bas.
            Azlan dan Liyana melangkah keluar dari Klinik Hashim selepas selesai urusan pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan ini diwajibkan kepada semua pelajar baru yang bakal mendaftar masuk ke universiti.
            “Lepas ni temankan aku pergi beli baju kemeja ye. Baru teringat yang aku tak ada langsung baju kemeja yang elok sikit.”
            “Baju kemeja? Kau ada duit ke?”
            “Ada la sikit. Aku beli sehelai je. Lagipun dalam surat tawaran dia ada tulis suruh sediakan satu kemeja warna putih. Nanti kalau tak ada susah pulak.”
            “Oh, okeylah! Jom!”
            Mereka mengatur langkah ke deretan kedai pakaian yang terletak berhadapan dengan klinik tersebut. Mereka bergerak dari satu kedai ke satu kedai bagi memilih baju yang sesuai dengan harga yang berpatutan.
            “Ha, tu nampak macam ada kemeja warna putih lengan panjang. Jom tengok!” Liyana menghalakan jari telunjuknya ke arah deretan baju kemeja di sebuah kedai.
            Azlan mengekori Liyana menuju ke arah deretan baju-baju tersebut.
            “Mana yang sesuai? Aku mana reti pilih-pilih baju ni." Azlan bingung seketika. Sememangnya dalam hidupnya, sangat jarang dia berpeluang membeli-belah seperti itu. Seingat dia macam tak pernah sepanjang dia tinggal bersama dengan ibunya. Baju yang dipakainya pun sekadar mengharapkan ehsan pemberian orang.
            “Erm, kau ambil yang ada jalur merah tu la. Nampak cantik sikit. Harga dia pun tak adalah mahal sangat. Tak apa kan ada jalur sikit-sikit?” Liyana membawa mata daripada baju kameja tersebut ke wajah Azlan.
            “Aku rasa tak apa kot. Lagipun jalur dia halus-halus je. Masih putih lagi.”
            Liyana mengoyak ketawa nipis. “Masih putih lagi ye.. Kau pergi try dulu. Lepas tu tunjuk kat aku. Alang-alang kau beli la seluar slack warna hitam sekali.”
            “Seluar slack? Budget tak cukup la. Lagipun seluar slack aku kat rumah tu rasanya elok lagi.”
            “Tak apa. Seluar ni aku belanja. Dah, pilih cepat!” Liyana menarik tangan Azlan ke arah tempat seluar lelaki.
            Azlan lantas memilih seluar slack yang bersesuaian dengannya. Dia lalu menuju ke bilik persalinan untuk mencuba pakaian tersebut. Selesai menyarung pakaian yang baru dipilihnya itu, dia lalu keluar dari bilik persalinan tersebut.
            Liyana yang setia menanti di hadapan bilik persalinan itu seakan terpaku melihat Azlan mengenakan kemeja yang lengkap dimasukkan ke dalam seluar slack itu. Anak muda itu tampak segak di matanya dengan mengenakan pakaian ala korporat tersebut.
            “Dah yang kau terpaku pandang aku macam tu kenapa? Handsome sangat ke aku ni?” Azlan mengenyitkan matanya ke arah Liyana.
            Terasa darah menyerbu ke muka dengan tiba-tiba. Cepat-cepat Liyana melarikan pandangan ke arah lain. Entah mengapa hatinya rasa semacam tatkala memandang Azlan dalam persalinan itu. Kenyitan mata Azlan lagilah buat dia rasa serba tak kena. Semacam ada debaran yang sedang melanda sukma kala itu. “Huh, perasan! Aku cuma pandang baju tu je. Cantik sangat. Sesuai dengan kau. Dah, pergi tanggal cepat. Lepas tu bayar.” Liyana cuba berlagak biasa.
            “Oh, kena tanggal ke? Ingatkan boleh terus pakai balik rumah.” Azlan menayang senyum.
            “Sengal!” Senyum turut terukir di bibir Liyana.
            Azlan mengoyak ketawa lalu masuk semula ke dalam bilik persalinan untuk menanggalkan baju tersebut.
            Liyana tersenyum sendirian. Bahagia! Hanya perkataan itulah yang boleh menggambarkan rasa hatinya ketika itu. Dia berasa cukup bahagia dan terhibur setiap kali bersama Azlan. Susah senang dia sentiasa bersama dengan sepupunya itu. Dia akan menjadi pendengar yang setia apabila Azlan mempunyai masalah dan Azlan juga akan menjadi pendengar yang setia apabila dia pula yang mempunyai masalah.
            Selesai membayar harga baju dan seluar tersebut, kedua-dua mereka kemudiannya menuju ke gerai cendol yang berhampiran bagi membasahkan tekak. Dua mangkuk cendol pulut dipesan. Kira-kira lima minit menunggu, cendol tersebut sudah siap terhidang di hadapan mereka.
            Azlan menikmati cendol dengan penuh berselera. Sementara Liyana hanya mengacau-ngacau isi cendol sambil matanya tidak lepas memandang wajah Azlan. Dia tersenyum sendirian melihatkan gelagat Azlan yang nampak berselera menikmati cendol. Namun, jauh di sudut hati ada rasa pilu yang hadir. Sejak kebelakangan ini, perasaan sayu dan sedih terasa mencucuk-cucuk jiwanya apabila mendapat tahu Azlan ingin meneruskan hasrat menjejaki menara gading.
            Dia sedar, saat-saat indah bersama Azlan tidak lagi akan dapat dinikmati seperti selalu. Teman sepermainan sejak kecil itu akan meninggalkannya keseorangan. Bayangkan tujuh belas  tahun mereka hidup bersama tanpa pernah berpisah, tiba-tiba insan yang selalu berada di hadapan mata hilang begitu sahaja. Dia tidak dapat membayangkan hari-hari yang akan dilaluinya tanpa kehadiran Azlan. Pasti terasa janggal dan sepi.
            “Lah, kenapa tak makan lagi cendol tu? Tak nak bak sini bagi aku.” Azlan menegur Liyana yang tengah asyik dibuai perasaan.
            Liyana tersedar dari lamunannya. “Lan, betul ke kau nak tinggalkan aku?” Dengan nada sayu, soalan itu diajukan kepada Azlan.
            Keasyikkan menikmati keenakan cendol pulut terganggu dengan pertanyaan Liyana. Azlan mendaratkan sudu di tangan ke dalam mangkuk. “Kenapa kau tanya macam tu?”
            “Kita ni dari kecil tak pernah berpisah. Tiba-tiba je sekarang kau nak pergi tinggalkan aku. Aku tak boleh bayangkan macam mana hidup aku bila kau tak ada nanti Lan.” Liyana jujur meluahkan apa yang terbuku di hati.
            “Sayang jugak kau dekat aku ye!" Azlan ketawa. "Kau pun tahu kan yang aku pergi sambung belajar. Bukannya aku saja-saja nak tinggalkan kau. Dari dulu lagi aku sebenarnya nak keluar dari rumah tu. Hanya ni je cara aku dapat lari dari rumah tu. Aku dah cukup terseksa hidup dalam keluarga yang tak pernah nak sayang dan terima aku.” Ada nada sayu pada getaran suaranya.
            “Tapi aku kan ada Lan. Mak dengan ayah aku pun sayang dekat kau.”
            “Aku hargai kasih sayang kau orang dekat aku. Tapi tetap tak sama dengan kasih sayang daripada keluarga aku sendiri.”
            “Tapi kalau kau keluar dari rumah tu pun, kau tetap takkan dapat kasih sayang dia orang jugak.”
            “Tapi sekurang-kurangnya aku dapat lari daripada segala penderitaan dan rasa benci dia orang dekat aku. Aku dapat lari daripada terus hidup dengan orang-orang yang benci dekat aku.”
            Liyana hanya diam. Tak tahu nak berkata apa lagi. Dia sebenarnya amat memahami derita yang ditanggung sepupunya itu. Namun hatinya tetap berat untuk melepaskan sepupunya itu pergi.
            “Doakan aku Liya. Kau akan sentiasa ada dalam hati aku. Aku takkan lupakan kau sampai bila-bila."
            “Kau janji ye!”
            “Iye Liya. Takkanlah aku boleh lupa dekat kau. Kaulah satu-satunya kawan yang aku ada dekat dunia ni.”
            “Terima kasih Lan.” Liyana menutur rendah. Dia membuang pandangan jauh ke hujung jalan. Entah mengapa, hatinya dirasakan terlalu sebak ketika itu.
            Azlan merenung wajah Liyana yang bermuram durja itu. Dia memahami apa yang sedang dirasai oleh Liyana kala itu. Dia juga turut merasai perasaan yang sama. Berpisah itu bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi dengan insan yang selama ini menjadi tempat dia berkongsi suka dan duka sejak dari kecil lagi. “Dahlah, jangan sedih-sedih. Walaupun aku tak ada, tapi Aidil kan ada.” Azlan mengjongketkan kening sambil menanti reaksi daripada Liyana.
Serta-merta genggaman tangan berbentuk penumbuk terhidang di depan mata. Liyana memberikan jelingan maut tanda amaran sementara Azlan pula sudah terburai ketawanya.


Hidup memang takkan dapat lari daripada merasai pahitnya perpisahan. Tak ada benda yang akan kekal menjadi milik kita selamanya. Bahkan nyawa yang ada pun hanya pinjaman. Bila-bila masa aje akan terpisah daripada badan.

No comments:

Post a Comment