Tuesday 26 May 2015

Si Pemandu Hati (Bab 2) ~ Nazira Ilias

Pukul 8.30 pagi lagi Najihah keluar dari rumah. Ada temuduga di tempat Alia bekerja. Itupun Alia yang bagi tahu ada kekosongon jawatan di situ. Dengan penuh harapan, Alia bercakap sebelum ni.
Aku rasa rezeki kau ada kat sini…
Najihah terus saja mengaminkan kata-kata Alia. Dia mengenakan kemeja berwarna hijau lembut, selendang hijau lumut dan seluar khaki yang tak akan mungkin berwarna hijau. Warna hitamlah, takkan nak padankan dengan seluar berwarna hijau pucuk pisang kut?? Euwww…ngeri! Mahu seumur hidup Alia tu tak nak mengaku yang Najihah ni BFF dia.
Najihah perlu tampil kemas untuk menunjukkan keyakinan diri dia. Keterampilan itu adalah penting untuk mengorat majikan haha. Pembetulan, nak mengorat kerja sebenarnya, yeah!
Najihah diberi pas lawatan di pos pengawal apabila diberitahu tujuan dia ke sini. Dia diminta untuk bertemu dengan penyambut tetamu. Dan kemudian, dia diminta untuk mengisi borang permohonan pekerjaan. Lepas tu, dia bertafakur sementara menunggu giliran untuk ditemuduga.
Alhamdulillah…temuduga pun boleh dijawab dengan agak baik rasanya walaupun cuak sampai ke tulang sum-sum. Mujur dah soal siasat Alia sebelum ni mengenai latar belakang syarikat dan study apa yang patut. Kalau tidak parah jugaklah.
Sebelum pulang ke rumah, Najihah terus ke kedai buku. Niat di hati nak melihat, tapi akhirnya rembat jugak sebuah buku. Biasalah Najihah, kalau tak membeli memang tak sah. Eleh, kumpul duit banyak-banyak nak buat apa kalau tak dibelanjakan ke jalan yang benar. Heh Najiihah, kau tu kumpul duit ke? Mengabehkan duit confirm. Dahlah duit poket kau pun mak bapak yang taja. Najihah geli hati dengan monolog dia. Hish! Apesal aku senyum sorang-sorang ni? Nanti ada orang dalam kedai ni cakap aku sawan pulak. Baik aku pergi bayar dulu.
Setelah selesai membayar, Najihah bergerak pulang dengan mengambil teksi. Nak tunggu bas, alamatnya boleh tidur lena aku kat sini. Baik ambik teksi yang boleh balik sekarang jugak. Mahal pun mahallah! Kalau tak cukup duit, suruh Mak Cik Aisyah yang kat rumah tu je yang tolong bayar .

 “Hah Jiha, macam mana?” Mak Cik Aisyah terus soal selidik Najihah. Belum sempat pun anak dia tu nak masuk ke rumah. Baru je tengah tanggalkan heels ni.
“Entahlah bu, menggeletar sebelum nak masuk tadi. Tawakal je lah.” Najihah tuju ke dapur. Kena cari air untuk cas tenaga nak bercakap. Kalau lambat dapat air, kena dapatkan bantuan CPR pulak karang.
“Dah tu..bila dapat jawapan?”  Tanya Mak Cik Aisyah yang turut ikut ke dapur.
“Dia orang cakap tunggu je call. Tak naklah harap sangat. Mesti dia orang pilih yang banyak pengalaman kan bu. Orang ni zero.” Najihah cakap lepas teguk air sejuk yang dia punch dari water cooler.
“Kita doa je lah. Kalau dah rezeki…mesti ada.” Mak Cik Aisyah cakap dalam tenang.
“Tak taulah, bu. Ramai yang gagah perkasa masa datang interview tadi. Rasa dah tak ada harapan dah ni.” Najihah buat muka sekupang.
“Kamu mintak jawatan apa tadi? Bodyguard?” Nak buat lawak pula Mak Cik Aisyah ni. “Memang tak ada harapanlah.” Mak Cik Aisyah ketawa besar.
Najihah mengherotkan bibir. “Ibu masak apa, bu? Lapar…” Najihah buat suara lemah.
“Selaklah bawah tudung saji tu…macam tak biasa pulak dengan rumah sendiri.” Mak Cik Aisyah jawab serupa mak tiri bawang putih.
“Ye laa… tanya pun dah tak boleh ke?” Sakat Najihah.
“Najihah sayang…ada kurma daging , sayur campur, udang sambal pun ada. Nak ibu suapkan?” Mak Cik Aisyah menyindir.
“Hehe… macam tulah ibu mithali. Tak apalah bu, tak payah susah-susah.” Najihah ketawa kecil.
Pada malamnya dah tak ada apa nak dibuat. Najihah hanya menghabiskan masa dengan membaca buku yang dibeli tadi. Sebenarnya, memang hari-hari pun tak buat apa bukan setakat malam ini je. Macam tak percaya dia boleh beli buku motivasi. Spesis buku yang langsung tak pernah berminat dia pegang sebelum ni. Sadis! Dah tak cukup motivasi macam sekarang ni hah baru lah nak kecoh. Boleh tahan juga buku yang ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi ni, sarat dengan hukum-hakam dan nasihat yang ditulis melalui penceritaan. Tiba-tiba terasa banyak betul dosa yang dia buat tanpa sedar. Istighfar.
Sebelum Magrhib tadi, Mak Usu ada menelefon di rumah ini. Rajin juga dia ambil berat hal anak buah dia yang tanam anggur macam Najihah ni. Teringat pulak cakap-cakap orang tua tu tadi.   
“Haa kamu ni…kakak kamu ada cakap yang kamu tengah stress tak ada kerja.” Nyaring je suara Mak Usu bila bertanya. Bukannya tahu nak bercakap lemah-lembut. Jenis mulut bersuara speaker. Pedih telinga.
“Hish…mana ada, orang okeylah.” Suara Najihah mendatar.
“Sekilas suara kamu tu…Mak Usu dah tangkaplah. Jangan kamu nak simpan-simpan, tak elok untuk kesihatan. Nanti senang sembelit.” Terkekeh-kekeh Mak Usu ketawa. Tak ada rasa lawak pun. Mana datang entah kaitan sembelit tu?
“Ermm.. seksa tau tak ada kerja ni Mak Usu.” Mengaku juga Najihah akhirnya.
“Dah tu…datanglah rumah Mak Usu. Duduk sini, baru senang nak cari kerja. Macam tak biasa pulak kamu. Apa halnya yang berat sangat nak ke sini?” Mak Usu cuba serius.
“Aih..bukan tak nak. Tapi, orang cuba cari area sini dululah Mak Usu, sayang.” Najihah mengeluh.
“Bila-bila je kamu nak, kamu boleh datang sini… Pak Usu pun memang pelawa kamu ke sini. Tak payahlah fikir lama-lama sangat. Bila nak datang nanti.. bagi tau je.”
“Ok...thank you Mak Usuuuuuuu. I love you!”

 Beginilah rutin hidup Najihah tetap sama dan statik. Walaupun bumi beredar menggantikan siang dan malam, dia tetap begitu. Hanya goyang kaki di rumah walaupun pada hakikatnya sangat perit rasanya hidup menganggur. Boleh berkarat otak jadinya, tak mencabar hidup langsung. Mujur ada buku-buku jadi peneman hidup. Najihah kembali membaca buku motivasinya yang belum luak setengah pun. Tengah khusyuk melayan buku, terdengar pintu bilik diketuk dari luar.
“Masuk je bu, pintu tak pernah kuncilah.” Sejak bila pula Mak Cik Aisyah pandai ketuk-ketuk pintu ni, selalunya main rempuh terus. Kadang-kadang berdentum bunyi pintu ni dirempuh orang tua tu.
“Tadaaa…akulah, Alia Yasmin Binti Arif. Aku tak kahwin lagi, jangan panggil aku ibu!” Alia terus lompat di atas katil. Lepas tu, dia rampas buku yang ada di tangan Najihah.
“Nota Hati Seorang Lelaki…wahhh!”Alia baca tajuk kemudian selak-selak buku tersebut.
“Ohhoo…patutlah ada angin ribut yang tak berapa nak kencang depan pintu rumah aku petang tadi. Rupanya kau nak datang sini. Apa mimpi? Eh, macam mana kau boleh senang-senang masuk terus ke tempat beradu aku ni? Ibu tak panggil pulak, tak dengar enjin kereta kau pun?”
“Wei-wei…agak-agaklah soalan. Tak suka aku datang sini ke?” Alia sempat buat suara merajuk. “Dah tiga puluh kali ibu kau panggil. Haram tak jawab. Apa kau buat dalam bilik ni? Harap je buku ada kat tangan, otak dah sampai ke mana entah?” Alia gelak buat-buat. Saja nak cari pasal la tu.
“Tak ada rajinnya ibu aku nak bertegang leher.” Najihah mencebik. “Paling banyak pun dua tiga kali je ibu aku panggil, lepas tu mesti surrender. Yang lebih tu kau yang menambah ikut sedap mulut engkau.”  
Alia tersengih. “Tak adalah, mana kau nak dengar… ibu kau tak panggil sekali pun. Ibu kau suruh aku naik terus ke bilik.”   
“Hermh…dah agak dah.” Najihah menguap.
“Aku merempit ke sini tadi…naik scooter. Memang kau tak dengarlah bunyi enjin kereta aku. Tapi kalau aku naik kereta pun…dijamin tak dengarlah kalau kau buat pekasam dalam bilik ni. Enjin Myvi aku tu smooth je tau. Apa kau ingat enjin kereta aku ada bunyi enjin motorboat ke yang sampai satu pekan boleh dengar.” Panjang Alia berhujah.
Najihah ketawa kuat. “Kira merempit ke kalau bawa setakat 40 km/jam dengan scooter veteran kau tu.”
“Hey-hey…ini tahap menghina. Kau jangan nak perkecilkan kebolehan scooter kesayangan aku.” Alia gelak perlahan. Kemudian gelak besar. Akhirnya Najihah gelak bersama. Sedar pun Lia dengan kemampuan scooter dia tu.
“Ada hal apa kau datang rumah aku malam-malam gini?” Najihah tanya lepas masing-masing dah berhenti ketawa. Lia ni kalau tak ada sebab yang munasabah jangan haraplah nak melangkah ke rumah Najihah ni.
“Aku keluar beli barang tadi.. dah alang-alang dekat, singgah rumah kau terus. Saja nak tanya…interview macam mana?” Dia tunjuk muka penuh bersemangat.
“Ah engkau…dah berapa hari aku interview, baru nak tanya khabar. Macam niiiii ke kawan?” Najihah menjuih bibir. Marah-marah pun, cerita jugaklah serba sikit pasal temuduga tu.
“Oh…ok lah tu, kalau kau dapat kerja situ best lah aku nanti.” Alia sudah berkira-kira.
“Apesal pulak kau yang best kalau aku dapat kerja?” Najihah sarkastik.
“Seronok bagi pihak kawan aku. Itu pun tak boleh ke? Takkan pulak aku nak tumpang sedih bila kau dapat kerja. Itu sewel namanya!” Lembut Alia bercakap.
“Tau pun sewel…aku tak suruh pun kau buat macam tu.” Najihah senyum sumbing.
“Ish kau ni…suruh salah, tak suruh pun salah. Peninglah. Weh…tak pe la, nak balik dah. Jom teman aku sampai bawah! Boleh kita laga-laga pipi kat bawah tu nanti.” Alia gelak sambil tu dia tarik tangan Najihah turun katil.
“Boleh jugak kalau kau nak merasa cium selipar aku tu. Moh kita ke sana.” Najihah pulas telinga Alia. Menjerit perempuan tu sambil turun tangga.

 Punya asyik layan Facebook, tak sedar jam dah menghampiri ke sembilan pagi. Najihah terus memadam komputer riba dan capai tuala ke bilik mandi. Ada tugas rutin yang belum lagi dilaksanakan hari ni, nanti kecoh pula mem besar rumah ini.
Macam biasalah bila dah jadi orang gaji ni, perlu kemas rumah, sapu sampah, dan vacuum carpet. Cuci kain je dia tak buat sebab ‘orang gaji Jepun’ yang buat. Siram bunga tu jarang-jarang, disebabkan Taiping kaya dengan taburan hujan, biar hujan je yang buat. Kerja masak-memasak pulak memang dia serrunder, masak sikit-sikit tu bolehlah tapi tak sedap. Tak ada ummph kata orang. Akhirnya tolong kupas bawang jelah jawabnya. Huh, banyaknya alasan yang tak berapa nak konkrit di sini, cakap malas sudah.
Sedang Najihah bersiap-siap nak ke bawah, telefon bimbit dia memekak-mekak di atas katil. Najihah meneliti skrin telefon tersebut. Ada nombor yang tak dikenali yang terpapar.
“Saya Suzana…minggu lepas Cik Ain ada datang interview di syarikat kami? Jadi masih berminat lagi ke dengan jawatan yang Cik Ain mohon hari tu?”
“Oh ya! Mestilah saya berminat dan saya memang tunggu panggilan daripada pihak Cik Suzana.” Jawab Najihah ceria.
“Tahniah ya, Cik Ain! Kalau macam tu boleh datang lapor diri esok…pukul 10.00 pagi di sini. Jumpa Tuan Hj. Ramli ya…Head of Department yang menemuduga Cik Ain tempoh hari. Tapi sebelum itu…jumpa saya dahulu.”
Sure …saya datang esok. Terima kasih.” Najihah yakin. Dah rasa macam nak pergi masuk pusat latihan tentera pulak sebab nak kena lapor diri segala.
“YAHOOO…ibuuuuuuuuuu!” Najihah melompat-lompat. Dia kemudian melilau-liliau mencari Mak Cik Aisyah. Mula-mula ke dapur kemudian ke depan. “Ibu, ibu…ibu kat mana?” Rentak lagu Taufik Batisah yang keluar.
“Ibu kat luar ni…kenapa terjerit-jerit tu?” Laung Mak Cik Aisyah.
Najihah jalan ke muka pintu utama. “Puas orang cari kat dalam. Buat apa bu…siram pokok bunga eih. Malam tadi tak hujan ke bu?” Najihah buat-buat tanya sambil tangan capai hose di tangan Mak Cik Aisyah. Hose bertukar tangan.
“Apa kamu ingat hari-hari boleh hujan ke? Kalau nak tunggu kamu siram, boleh mati kering semua pokok-pokok ni.” Mak Cik Aisyah memulangkan paku buah keras. Najihah tersengih, buat muka cekodok. Basah satu laman dia dah kerjakan.
“Bu…orang dapat kerja! Kena lapor diri esok.” Ceria suara Najihah.
“Hah iyeke…ibu dah rasa rezeki kamu memang kat situ. Kerja nanti buat elok-elok. Kena kerja dengan jujur, jangan curi tulang…nanti rezeki tak berkat. Kalau tak tahu…kena bertanya, awak tu orang baru kat situ…dah tu jangan sombong-sombong.” Padat nasihat Mak Cik Aisyah kepada anak bongsu dia.
Yes Ma’am…segala perintah berada di atas batu jemala patik!” Najihah angkat tabik depan mak dia. Batu jemala? Apa benda tu? Najihah main sebut je ikut drama penglipurlara.
“Ada-ada je bila orang tua bercakap…entah dengar entah tidak.” Sanggah Mak Cik Aisyah.
Najihah mengangguk kepala tanda mendengar cakap Mak Cik Aisyah sambil bernyanyi-nyanyi kecil menyiram bunga.

 Pukul 9.40 pagi lagi Najihah sudah berdiri dihadapan meja Suzana. Di sebabkan waktu belum lagi ke jam 10, maka Najihah diminta oleh Suzana untuk duduk dahulu di ruang menunggu di Jabatan Sumber Manusia. Beberapa minit selepas itu, Najihah dijemput masuk oleh Haji Ramli yang mungkin baru masuk ke pejabat. Tapi, mugkin juga dia baru sahaja selesai urusan di sekitar kawasan ini sahaja, disebabkan pendingin hawa di bilik dia sedia terpasang sebaik Najihah melangkah masuk ke bilik tersebut.
Have a sit, Ain.” Pelawa Haji Ramli.  
Thanks, Tuan Haji.” Najihah membalas dengan penuh hormat.
Before thatI would like to wishing you congratscause you will be apart of our big family in this company.” Haji Ramli memberi kata-kata aluan.
Yes sir... thank you. Actually… thanks cause I’ve been selected to fullfil on this position and give me a chance to show my ability.” Ewah, yakin sangat la tu!
Orang tua itu tersenyum. Kemudian, dia menghulurkan sekeping kertas yang tercetak dengan tajuk Job Descriptions pada Najihah.  “Now… I just let you know regarding on what you have suppose to do.  Lebih tepat lagi... your JD. Menjaga kebajikan semua staf dan driver di sini adalah tugas utama awak. Kemudian, awak perlu menyemak dan menyediakan report daripada saman yang diterima from each buses and drivers either from this companies or our subsidiaries. And the rest are stated in your JD.. awak akan belajar from time to time, then. Boleh faham Ain?” Serius jugak suara pak aji ni.
Najihah meneliti sebentar kertas di tangan. “Boleh Tuan Haji… but I need your help to guide me till I’ll be able to stand on myself.” 
Good…awak boleh belajar ikut peringkat. Bidang tugas ni awak tak akan faham dalam sehari dua. Ia ambil masa untuk awak benar-benar mahir. Tapi dengan syaratlah…you must have your own initiative to learn a lot of things and the key is hardworking.”  
“Insyaallah... I’ll do my best for company the interest and please give me a chance to prove it.” Seriusnya Najihah bercakap. Dalam hati berdebar-debar.
“Jadi…bila awak boleh mula bekerja di sini?” Haji Ramli minta kata putus.
“Bila- bila yang Tuan Haji mahu, saya bersedia.” Cantik jawapan tu Najihah.
“Hari ni, boleh?” Pintas Hj. Ramli. Glurp, Najihah telan air liur. Hah ambik engkau, Najiihah, nak sangat. “ Just jokingyou can start on Monday. Oh, rumah awak tak jauh dari sini kan?” Haji Ramli menokok soalan.
“Err err.. yupjust around 15 minutes. So shouldn’t be a problem.” Tergagap-gagap Najihah pada mulanya untuk bercakap bila disuruh memulakan kerja pada hari ini juga.          
“So,  anything else’s you want to know from me?” Soal Haji Ramli lagi.
“Ermm…I think, there’s nothing at all.” Najihah jawab sambil geleng kepala.
So that’s it. After this awak boleh jumpa dengan Suzana dululah untuk tengok tempat awak…dan ada beberapa document that you have to fullfil including your offer letter. Okay then...I’ll see you next week.” Haji Ramli tersenyum manis.
Najihah hanya diberi sebuah meja. Satu partition yang agak luas dilengkapi dengan almari berkunci. Dan ada satu bilik kecil untuk kemudahannya menyimpan segala dokumen penting syarikat seperti maklumat pekerja.

Dia ditempatkan dibelakang Jabatan Operasi yang sengaja dibiarkan terbuka untuk memudahkannya bertemu dengan semua staf khususnya pemandu bas. Kedudukannya sedikit jauh daripada bilik Haji Ramli tetapi masih lagi dalam aras yang sama. Najihah berkemas-kemas dahulu apa yang patut. Memandangkan meja tersebut sudah lama dibiar, maka habuknya pun tebal berinci-inci. Kemas biar kasi bersih, sekurang-kurangnya minggu hadapan dia boleh memulakan kerja dengan senang hati. Kemudian Najihah bingkas pulang. 

No comments:

Post a Comment