Friday 10 April 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Bab 3) ~ Naurah Iman

Sungguh! Inilah pertama kali dalam hidup Ian Hanif, dia merenung skrin telefon banyak kali sejak dua minggu yang lalu. Hilang lagi perempuan bernama Hanna ini. Senyap sunyi sahaja tanpa khabar berita. Hanna ni nak main aci sorok dengan dia ke?
Kenapa ya? Ian bingung sendiri. Temannya ini, asyik nak lari sahaja daripada dia. Dia ada buat kesalahan lagi ke? Aduh! Tak fahamlah. Dan yang paling dia tak faham, adalah dengan diri dia sendiri. Bila Hanna tak ada, dia rasa juga kekosongan itu. Jika tidak, masakan dia mencari Hanna selama setahun.
Dan bila Hanna sudah ada depan mata, terasa kekosongan itu terisi dengan sendirinya. Pelik betul rasa ini. Nak-nak pula sejak bertemu tempoh hari. Lain sungguh! Ian tengok jam. Penipu! Janji nak telefon, tapi haram tak telefon pun. Ian merungut sendirian. Mengata dan mengutuk kawan sendiri sejak beberapa hari yang lalu. Skrin telefon dijenguk lagi.
Isy! Nak buat kerja pun tak senang. Macam mana Ian nak buat kerja dengan senang dan tenang, kalau kebanyakkan masa hanya nampak muka Hanna depan mata. Itu, kalau waktu mata dia bulat terbuka pun sudah terbayang-bayang. Cuba, kalau dia pejam mata! Macam-macam yang datang. Aduh! Susahlah begini. Haih! Dia mengeluh pula.
Dia menyandarkan kepala pada kerusi sambil pejam mata. Lepas kejadian dia pengsan tempoh hari, Ian kembali berhati-hati apabila menaiki lif. Ingatkan tempoh tujuh tahun sudah cukup lama untuk menghilangkan rasa tersebut, namun dia tersilap perhitungan. Rasa itu masih ada. Tak pernah hilang sebenarnya. Mengingatkan perkara itu, tubuhnya menggigil sedikit.
Hmm… Ian lepaskan nafas yang ditahannya tadi. Bagaimana ni? Soalnya sendiri. Dia meraup rambutnya. Umur dia sudah masuk tiga puluh dua. Rata-rata kawan-kawannya sudah ada ada dua tiga orang anak. Dia? Sekadar anak tekak, anak telinga dan anak mata. Oh ya, anak saudara juga termasuk sekali. Mungkin kadang-kadang ada anak kucing juga! Kalau dia terpaksa jaga bagi pihak kakak iparnya.
Ian ada kawan perempuan, tapi satu kawan perempuan istimewa pun dia tak ada. Yang dia ada sekarang ini lebih kepada suka-suka. Sekadar teman biasa. Untuk mengisi masa lapang. Namun, untuk dipanjangkan menjadi peneman hidup atau nama lainnya isteri, Ian kena fikir panjang.
Tapi… sebenarnya tak perlu fikir panjang pun, sebelum kelip mata pun, jawapan dia tidak. Dia tidak mahu. Dia boleh menjawab dengan yakin mengenai hal nikah kahwin ini. Bukannya menolak sunnah atau menolak fitrah, dia tak mahu fikir dan entah, dia lebih suka hidup sendiri buat masa sekarang. Menyebutnya sahaja sudah cukup membuatkan jantungnya berdegup laju. Dahi bermandi peluh. Menyebabkan bibir jadi pucat lesi.
Lalu, Ian ambil jalan paling mudah. Tak payah fikirlah. Lagi seronok hidup begini. Apabila kena memikirkan akan ‘perkara’ itu, Ian akan cepat-cepat menyibukkan diri. Cukuplah pengalaman ngeri itu sekali.
Sekali? Oh! Tak!  Tiga kali sebenarnya. Campur yang baru-baru ini cukup jadi tiga. Cukup-cukuplah tu! Dan ketiga-tiganya juga telah membuatkan dia rebah ke bumi. FOBIA dia seumur hidup. Ian mengusap wajah. Rasa penat tiba-tiba.
               Teringat perbualannya dengan abahnya. “Ian belum sedia lagilah abah. Nanti Ian kahwinlah!” itu jawapan Ian setiap kali abahnya, Iskandar bertanya. Abah ni, tak habis-habis mintak cucu pada dia pula. Bukannya tak ada langsung! Kalau tak ada tu, lainlah cerita. Ini sudah ada tiga orang pun daripada abang dan adiknya. Abangnya ada satu, adiknya ada dua. Nak jugak daripada dia, buat apa? Dia ini, isteri pun tak ada, celah mana pula nak datang cucunya!
                Ian ambil anak angkat boleh abah? Anak juga tu! Tak fasal-fasal bahunya kena tampar.
                Aduh! Sakitlah abah! 


“Abah tak sukalah Ian main-mainkan orang perempuan macam ni. Tak baik tahu! Cuba Ian sebutkan, beritahu abah, Ian berkenan yang mana satu? Biar abah masuk meminang! Mahu?” tegur Iskandar. Dia menggerakkan badan ke hadapan. Meletakkan kedua-dua siku di atas lutut. Itu postur badan, perhatian Iskandar bermaksud seratus peratus fokus.
                “Abah!!!” panjang jawab Ian. Dia malas hendak bertegang urat dengan abahnya hari ini. Jawapan dia tetap sama. Tunggu dan lihat. Belum masanya lagi. Penatlah nak ulang jawapan yang sama. Ian rasa nak rekod sahaja jawapan dia pada Iskandar dan suruh abahnya dengar setiap kali abah tanya soalan tu.
                “Atau Ian ada sembunyikan apa-apa daripada abah? Jangan buat Ian! Jangan nak cari fasal! Mama dan abah tak ajar Ian buat benda-benda begitu.” Terus Iskandar duduk tegak. Dia merenung Ian yang sedang duduk berhadapan dengannya. Renungan bermakna abahnya itu, membuatkan Ian tertawa. Faham benar dia akan maksud renungan tersebut.
Sejak mama tak ada, Iskandar semakin rapat dengan dia dan adik beradik. Sifat ingin tahu abahnya melebihi daripada sikap ingin tahu mama. Dengan mama lebih rileks. Tapi kalau mama sudah naik hantu, semua pakat-pakat lari mendapatkan abah. Mama lagi garang! 
“Abah… Ian masih waras lagilah. Nabi tak mengaku umat tau kalau Ian buat macam tu! Ian ni lelaki normal. Nafsu Ian yang satu ni pun, masih pada perempuanlah abah.” jelas Ian apabila reda tawanya. Gilalah dia kalau dia buat seperti itu. Buatnya Allah terbalikkan dunia seperti zaman Nabi Allah Lut tu, alahai, sia-sianya hidup.
                “...lagipun, apa yang seronoknya ‘berkawan’ dengan yang sama jantina ni. Tak seronoklah abah. Apa yang Ian ada, dia pun ada jugak.” Terangkat dua-dua kening Iskandar mendengar jawapan anaknya itu. Tahu pun!
 “Habis tu, bila abah suruh kahwin, kenapa Ian tak nak? Tak mahu? Cuba terangkan pada abah ni, supaya abah boleh faham. Bukannya abah tak restu Ian nak pada sesiapa pun. Siapa pun pilihan Ian, abah tak ada halangan. Abah terima sahaja!” susah betul Ian apabila diajak bercakap mengenai rumahtangga. Asyik mengelak sahaja. Jangan ingat perempuan sahaja yang akan kena tanya soalan seperti ini. Lelaki pun samalah. Nak pula kalau hidup sudah stabil macam Ian ni.
Sukarnya bercakap dengan Ian mengenai isu yang satu itu adalah sama susahnya, kalau hendak mengheret dia ke klinik atau ke hospital. Dia lebih rela duduk bertapa di dalam bilik sambil merengek-rengek mintak perhatian. Sampaikan, Iskandar terpaksa menjemput doktor datang ke rumah untuk merawat budak degil ini. Semakin menjadi-jadi pula tu, tahap kedegilannya sejak kebelakangan ini. Makin tua makin degil. Susah sungguh hendak dipujuk. Dalam kepala tu ada batu agaknya. Berapa besar? Tak tahulah! Iskandar mengeluh berat.
                Ian senyum sambil lidah bermain dengan gigi. Senyuman bermakna. Keningnya terangkat sebelah. Namun belum sempat Ian membuka mulut, Iskandar terlebih dahulu memotong.
               “…tapi bukan dengan mereka-mereka yang tak cukup kain tu Ian. Yang itu… abah bantah, abah tak suka. Abah tak restu. Jangan haraplah kalau nak jadi menantu abah kalau pakai baju pun tak cukup kain macam tu. Miskin sangat ke, sampai nak beli kain cukup untuk tutup badan pun tak ada duit. Yang itu, mintak dijauhkan. Jangan bawa jumpa abah.” Iskandar siap tadah tangan lagi. Berdoa semoga jodoh anaknya jatuh dengan perempuan baik-baik.
                Iskandar tak tahulah dengan perangai anaknya yang satu ni. Kawan perempuannya sikit punya ramai, tapi tak ada seorang pun yang Ian mahu panjangkan menjadi suri rumah tangganya. Hidup dia dah stabil. Apa lagi yang Ian tunggu? Yang dia perasan, Ian seakan mengelak. Cepat sahaja dia mengubah tajuk perbualan. Bila ditanya, tidak mahu pula dia berkongsi. Jawabnya nantilah, tunggulah! Sabarlah! Kamu tu bukan makin mudalah Ian.
               Ian ketawa sampai senak perut. Dia tak pernah tahu pun, sampai begitu sekali abahnya tidak suka dengan kawan yang dia sedia ada. Siap dengan amaran sekali pula tu.
               “Abah tak bergurau Ian.” Marah Iskandar apabila anaknya tertawa seperti itu. Jari telunjuk di arahkan kepada Ian yang mengesat air mata. Itulah ketawa tak ingat dunia. Ketawa pada abah sendiri pula tu.
               “Okey abah. Okey! Nanti kalau Ian bawa mereka datang sini, Ian suruh mereka pakai elok-elok sikit. Nanti bolehlah abah nilai ya.” Ian angguk sedikit. Dadanya diurut perlahan. Lelah kerana terlalu banyak ketawa.
               “Nak berpura-pura depan abah? Sampai bila?” marah benar Iskandar apabila Ian berkata begitu.
                “Abah...”
Ian…” panggil Iskandar. Dia belum habis membebel lagi.
                “...kamu bukannya makin muda. Takkan kamu tak habis berseronok lagi. Nanti bila umur sudah banyak, anak-anak masih kecil lagi. Semuanya aktif bertenaga. Sedang kita, semakin tua, tenaga makin kurang. Tak terlayan nanti!” Nasihatnya pula.
                “Ian nikah dengan perempuan baharu habis sekolahlah kalau macam tu abah. Isteri Ian nanti boleh tolong cover untuk Ian kalau Ian dah tak larat nak layan budak-budak tu nanti!” mudah sungguh cadangan Ian.
                “Isy! Budak ni!...” Iskandar rasa hendak luku sahaja kepala anaknya itu.
               “Tengok! Abah pun panggil Ian budak lagi. Bilanya Ian nak nikah kalau macam ni! Belum cukup dewasa lagi anak abah ni.” Wah! Ian pandai betul putar belit kata-kata abahnya. Bila nak seriusnya pun tak tahu. Kalau dengan Hajar, dah lama paha Ian tu kena ‘ketam’.
“Ian..., abah serius ni!”
“Abah kahwin baru ajelah. Ian belum nak kahwin lagi.” Tidak terkesan langsung dengan teguran ayahnya itu. “…dapat jugak Ian mama baru dan mungkin adik beradik baharu.” selamba sahaja Ian mencadangkan Iskandar supaya berkahwin lagi. Keluarga mereka kecil sahaja. Itu yang asyik telinga dia kena asak. Pedihnya rasa telinga.
Dan Ian sebagai anak tengah kadang-kadang ada juga rasa sunyi menjengah jiwa. Bila tengok abang dan adiknya bahagia, dia teringin nak ada famili sendiri tapi apabila mengenangkan ‘hal’ itu dia jadi pengecut. Jadi tidak berani. Pokoknya sekarang, dia memang mahu beristeri! Tapi dia belum sedia.
               “Isy… susahlah cakap dengan kamu ni. Takkanlah kamu tak nampak, Ian. Abah ni dah tua. Kulit pun dah kendur ni ha! Mata pun tak secerah dulu. Sikit masa lagi kubur tu jadi rumah baharu abah tahu.” Iskandar bersandar dengan tangan diletakkan di atas tempat rehat kerusi itu. Sebelah tangannya memicit kepala. Sakit kepala kalau bercakap dengan Ian ni.
Diam Ian mendengar.
“…lagipun, mama kamu tu adalah hidup abah. Belum pernah terfikir atau terniat pun untuk orang lain gantikan tempat mama. Mama kamu adalah cinta hati abah. Dia ada dekat sini.” Iskandar sentuh dada. Dia bercakap seolah-olah isterinya masih ada menemaninya melewati usia senja. Pada penghujung ayat, suara itu direndahkan.
Matanya merenung jauh apabila teringat akan arwah isterinya itu. Kadang-kadang dia terlupa isterinya itu sudah lama menyahut seruan Ilahi. Rindu sentiasa mengamit hati. Namun, sudah sampai ajalnya, mama Ian meninggal dalam pangkuan selepas solat subuh bersama. Tidak ada sakit atau penyakit teruk yang sekurang-kurangnya dia boleh bersedia untuk itu. Sudah sampai janji Hajar dengan Allah S.W.T.
Mama Ian yang bernama Hajar Suhana itu hanya mengadu sakit kepala kepadanya sebelum Allah mengambil kembali hak-Nya yang dipinjamkan kepada Iskandar selama tiga puluh lima tahun. Dia reda. Kematian itu pasti.
Setiap yang bernyawa pasti merasai sakitnya sakaratulmaut. Setiap hari tanpa gagal kita dijenguk sebanyak tujuh puluh kali oleh malaikat yang bernama Izrail itu. Menunggu arahan Allah untuk masanya pula. Entah masa bila pula nyawanya akan ditarik pergi. Tidak lewat atau cepat walau sesaat pun. Itu adalah salah satu daripada janji-janji Tuhan pada hamba ciptaannya.
“Ian mintak maaf abah…, Ian tak bermaksud nak…” sebak dada Ian apabila Iskandar berkata begitu.
Iskandar menggoyangkan-goyangkan tangannya tanda dia tidak ambil hati atau ambil kesah. Dia kesahkan Ian. Dia risaukan Ian. Hanya Ian yang masih sendiri. Dia mahu Ian ada teman sebelum dia tutup mata.
Serba salah Ian dibuatnya. Dia tahu abah risaukan dirinya. Tapi nak buat macam mana. Dia mahu, tapi dia takut. Siapa agaknya yang boleh menghilangkan rasa takut itu? Satu keluhan tanpa bunyi dikeluarkan. Maafkan Ian bah!
“Abah selalu minta pada Tuhan, supaya anak abah yang kacak, yang baik hati ni, bertemu dengan jodoh yang baik. Perempuan yang Dia ciptakan, hanya untuk Ian. Bukan untuk orang lain.” Iskandar bangun dan dahi Ian selepas itu dicium dan dia berlalu. Tidak mahu memanjang-manjangkan perkara ini. Sudah selalu sangat diberitahu. Lebih baik dia duduk mengulangkaji surat cinta daripada Allah itu. Masih ada banyak lagi yang belum difahami.
“Ian akan fikirkan ya abah. Usah bimbang.” Ian bersuara perlahan. Bolehkah dia bertemu cinta sejati seperti cinta Iskandar dan Hajar Suhana? Dia tidak tahu. Cemburu dia melihat kesetiaan mama pada abah.
“Jangan main-mainkan perasan orang perempuan. Susah Ian nanti. Kalau mahu katakan mahu. Jika tidak, katakan tidak. Tak baik begitu. Usah beri mereka harapan.” nasihat Iskandar lagi.
Dia angguk perlahan. Kemudian, Ian sentuh dahinya. Sudah lama abah tak cium dahi dia. Ian buat janji pada sesuatu yang tidak pasti akan ditunaikan. Kemudian dia tersengih apabila terngiang-ngiang kata-kata Iskandar. Abah kata dia lawa dan baik. Besarnya hati ini apabila menerima pujian. Seronok.

Tapi abah, ada orang lain kata Ian cantik. Tak pernah lagi ada orang puji dia begitu. Sampai sekarang dia masih ingat lagi kata-kata itu.

No comments:

Post a Comment