Friday 14 April 2017

Fir & Anne ~ (Prolog) ~ RodieR

Prolog 1


Kata dia, dia suka. Tapi, dia sendiri pun tak tahu sebabnya. Kata orang, itu cinta monyet. Eh, bukan. Cinta ni biasanya berbalas. Dia tak tahu pun rasa hati lelaki itu. Macam mana dia nak tahu. Dia kenal lelaki itu, tapi lelaki itu tak kenal dia. Tak tahu pun nama dia. Orang putih kata ini lebih pada crush. Menaruh minat pada seseorang. Tapi, pada dia, apa yang dia rasa bukan minat. Dia tahu minat itu macam mana. Macam dia minat kumpulan penyanyi Backstreet Boys. Macam dia minat Siti Nurhaliza. Itu minat. Suka dari jauh dan cukup setakat itu. Tapi, untuk lelaki ini, dia nak lebih.

Lebih yang macam mana, dia pun tak tahu. Mungkin macam kawan baiknya, Nisa yang berkepit dengan Haris setiap kali ada peluang. Dan peluang itu datangnya apabila cikgu tak masuk kelas, apabila waktu rehat, apabila waktu stayback untuk belajar sesi petang di meja yang diletak di sebelah dewan. Kadang-kadang dia juga ikut belajar dengan mereka, dan rasa yang meresap ke hati setiap kali dia nampak mereka berbual mesra itu tak dapat nak ditafsirkan macam mana.

Hmmm...

Banyak sungguh dia guna perkataan ‘macam mana’ tu di sini ye?
Berbalik pada lelaki itu. Dia senyum. Setiap kali dia teringat, dia akan tersenyum. Dahsyat juga penangan lelaki itu kan?

Padahal bukan selalu pun dia boleh nampak lelaki itu. Mereka bukan sekelas. Paling akhir mereka duduk satu kelas ialah ketika tingkatan satu dulu. Itu pun sekejap saja apabila dia naik satu kelas, tinggalkan lelaki itu. Apabila dah masuk tingkatan lima ni pun, mereka tak sekelas, walau satu aliran. Dia macam boleh agak lelaki itu akan pilih sains kejuruteraan. Dan dia yang masih tak tahu aliran mana hendak diikutnya ketika tamat PMR dulu, saja mengambil sains kejuruteraan juga. Dia dapat 8A. Suka hati dia la kan nak masuk aliran mana. Belajar apa-apa pun susah kan? Tapi, setakat ini dia boleh ikut lagi. Tak pernah lagi dapat D. Harap-harap SPM hujung tahun nanti pun macam tu juga.

Berbalik pada lelaki itu. Eh, suka benar dia terpesong daripada tujuan asal ye? Lelaki itu selalu dilihatnya di koperasi. Kadang-kadang aje nampak di kantin. Tapi, yang paling kerap adalah waktu balik. Waktu dia duduk di meja di tepi dewan itu menunggu abah datang mengambilnya, dia akan nampak lelaki itu menunggu di tempat yang sama. Lelaki itu balik dengan van sewa. Van berwarna merah gelap. Nombor platenya pun dia dah hafal. Lelaki itu selalu duduk di depan. Dia selalu nampak lelaki itu berbual-bual mesra dengan pemandu van itu. Dan dia makin jatuh hati.

Jatuh hati? Hmm... betul la agaknya dia dah jatuh hati. Crush, bak kata orang putih sana. Cinta mungkin terlalu hebat, tapi apa yang dirasanya mungkin dah hampir ke arah itu. Macam mana ye nak buat lelaki itu jatuh hati pada dia juga?

Tengok tu. ‘Macam mana’ lagi.
Sudah-sudah la tu berangan, Aina Insyirah.

Dia senyum lagi, tapi terasa pahit, kelat. Setakat berangan macam ni, macam mana dia nak menarik perhatian si Ahmad Firdaus tu seorang?

Dia mengeluh dan kembali tunduk menghadap buku latih tubi Matematik Tambahan di depannya. SPM, Aina. Ingat SPM. Yang lain abaikan dulu. Tak kira lah sejauh mana dia jatuh hati pada senyum si Ahmad Firdaus itu yang bukan ditujukan padanya pun, tapi pada si pemandu van sewa berwarna merah.

***

      Dagu ditongkatkan dengan kedua-dua belah tangan yang dikepal, kedua-dua sikunya bertapak di meja itu sambil sepasang matanya asyik mengikut gerak langkah pelajar-pelajar yang baru keluar dari surau. Hari ini hari terakhir sekolah. SPM baru saja habis tadi. Setelah selesai bergambar dengan guru-guru dan rakan-rakan sekelas, mereka dijamu makan tengah hari di kantin. Kemudian, sama-sama bergerak ke surau untuk solat zuhur berjemaah, mendengar sedikit ceramah agama daripada Ustaz Faiz dan sekarang dia duduk di bangku kayu di sebelah dewan, seorang, menunggu abah datang mengambil, tapi yang sebenarnya menunggu seseorang yang lain juga.

      “Ha! Termenung!”
Bahunya ditepuk kuat dari belakang sampai terjatuh sikunya dari atas meja. Laju dia berpaling. “Nisa!” lengan sahabat baiknya itu ditepuk kuat. “Sakit dada orang terkejut la!”

      Nisa ketawa mengekek. “Dah tu, jauh sangat termenungnya. Fikir apa?”
      Dia mengeluh perlahan. “Dah last day.” Balasnya perlahan sambil membetulkan lipat tudung putihnya. Herot-berot dibuatnya tudung itu, terkejut dengan Nisa.

Nisa ikut melabuh duduk di sebelahnya. “Iye.”
“Entah macam mana kita lepas ni.”

Nisa sengih, ikut menghala pandang ke arah pelajar-pelajar lelaki yang baru keluar surau. Tadi pelajar-pelajar lelaki diminta tunggu dulu oleh Ustaz Faiz. Tolong-tolong mengemas surau tu kembali, membersih apa yang patut. Jasa terakhir selepas solat zuhur berjemaah terakhir mereka di situ.
“Nak macam mana lagi, macam ni la.” Nisa jawab selamba.
“Entah ke mana kita lepas ni? Berjumpa lagi ke tak?” Dia pula masih bersungut rendah.
Nisa menggeleng. “Nisa tak nak fikir lagi fasal tu.” Sahabatnya itu berpaling merenungnya. “Jangan la borak lagi fasal tu.”

Dia senyum, mengangguk. “Okey.”
Dia pandang Nisa semula dan nampak gadis itu senyum semacam pada gerombolan pelajar lelaki dari surau tadi. Dia berpaling kembali dan nampak kelibat Haris. Patut la. Automatik matanya mencari juga seseorang itu semula. Masih tiada. Tanpa sedar, dia mengeluh.

Takkan dah balik? Van merah yang setia mengambilnya itu ada saja di situ di tepi jalan. Setia sungguh pakcik pemandu van itu menghantar dan mengambil penumpangnya walhal hampir separuh penumpangnya sedang bercuti. Hanya pelajar-pelajar yang menduduki SPM saja yang ada kini. Dia pun tak nampak juga bayang pakcik pemandu van itu. Mungkin pakcik itu juga turut sama-sama solat berjemaah dengan mereka tadi.

Bahunya disendol oleh Nisa perlahan. “Kenapa ni? Mengeluh macam apa je. SPM dah habis la.”

Dia gigit bibir. Betul. SPM dah habis. Dia mungkin dah tak jejak kaki lagi di sekolah ini. Mungkin hanya sekali lepas ini, untuk ambil keputusan. Tapi, waktu tu ada ke peluang untuk berjumpa dia?

Tipis. Dia sedar peluang itu tipis. Rasa itu makin memberat di dada. Apa yang boleh dia buat? Boleh tak dia bagi tau Nisa? Tanya pendapat sahabat baiknya itu? Dekat empat tahun dia menaruh minat dalam diam pada Si Ahmad Firdaus itu, namun seorang pun kawan-kawannya tak tahu. Nisa yang paling baik dengannnya ini pun tak pernah tahu. Pandai betul dia simpan.

“Nisa...”
“Hm?”
“Nisa kenal tak Firdaus?” lambat-lambat dia tanya juga akhirnya.
“Firdaus mana ni?”
“Ahmad Firdaus Abdullah.”

Nisa ketawa kecil. “La, mana tak kenal. Kawan Haris tu. Kan dia orang sekelas?”
Dia angguk perlahan. Betul la tu. Memang Haris dengan Firdaus satu kelas. Dia banyak kali nampak Firdaus pun sebab selalu lelaki itu ada berborak dengan Haris.
“Kenapa dengan Firdaus?”

Dia jongket bahu sebelah. “Tak de apa-apa.” Tiba-tiba rasa tak nak la pula bagi tau pada Nisa. Tiba-tiba rasa tak bersedia.
“La, dah tanya, cakap tak de apa-apa pulak?” Nisa sudah berkerut pelik dan laju dia memandang ke depan semula, mengelak renungan sahabatnya itu. “Aina...”
“Hm?”
“Aina suka Firdaus eh?”

Laju dia berpaling menghadap si kawan. “Hei! Mana ada Aina cakap macam tu!”
“Muka merah tu kenapa?” Dalam ketawa, Nisa mengangkat telunjuk tepat menunjuk pada wajahnya.

Dia pun ikut mengangkat tangan merasa pipi sendiri. Memang ada rasa hangat semacam. “Tak la!”

“Iye la tu!” Nisa pandang dia dengan mata bercahaya semacam. “Nak bagitau dia tak? Nisa boleh bagitau.”

“Eh, jangan! Aina tak suka dia la. Saja je tanya. Buat apa nak bagitau? Tak payah!”
Makin kuat Nisa ketawa. “Apa yang Aina mengarut ni? Sekejap cakap tak suka, sekejap macam suka.”
Laju dia menggeleng. “Tak suka. Confirm! Aina tak kenal dia la. Nak suka macam mana??”
“Meh la nak bagi kenal.” Nisa sudah bangun tiba-tiba.
Dia pun ikut bangun. “Nisa! Nisa nak pergi mana tu??” Langkah Nisa yang laju diturutinya, laju juga.

“Dah last day ni, Aina. Bila lagi nak kenal-kenal? Okey apa. SPM pun dah habis.” Selamba saja ayat itu dilemparkan oleh Nisa dengan kaki yang masih laju melangkah di depannya. “Haris!” dia melaung pula pada si teman lelakinya yang masih lepak berborak dengan kawan-kawannya di bawah gajah menyusur di depan dewan.
“Nisa!” Dia panggil lagi kawannya itu, kuat, namun haram budak tu nak berhenti.
Nisa senyum pada kawan-kawan Haris sebelum memanggil lelaki itu ke sebelahnya. “Firdaus mana?”

Haris berkerut sekejap sebelum sepasang matanya melilau mencari sahabat nan seorang. “Entah. Tadi dia ada tolong-tolong ustaz dengan pakcik Rosli, pakcik van dia tu. Duduk sekejap mengaji kut. Dia kata tadi ada nak tanya hukum apa entah kat ustaz.”
“Oh.”
“Kenapa?”
“Tak, Aina ni ha...appp!” mulut Nisa dipekup laju olehnya yang termengah-mengah mengejar dari tadi.
Haris tersengih. “Kenapa ni? Aina?”
Laju dia menggeleng sebelum tangannya ditarik semula.
Nisa pecah ketawa. “Apa la Aina ni. Peluang kena dicari.”
Haris masih berkerut. “Peluang apa ni?” Dia tanya sebelum berkalih pandang pada seberang jalan. “Ha, tu ha Firdaus. Panjang umur la dia ni.”

Automatik dia dan Nisa ikut berpaling. Firdaus sedang berjalan tenang, beriringan dengan pakcik pemandu vannya, songkok hitam di kepalanya ditarik turun kemudian dilipat di tangan.

“Firdaus!” Laju saja Haris memanggil.
Sang jejaka itu berpaling, terkejut. “Ada apa?”
“Sini la kejap.”

Dia nampak Firdaus bercakap perlahan dengan pakcik vannya. Dia nampak pakcik itu mengangguk dengan senyum sebelum berlalu ke arah van merah gelapnya. Dia nampak juga langkah Firdaus yang menghampiri mereka.

Hatinya mula rasa tak keruan. Sekejap rasa macam berdenyut. Sekejap rasa macam tak. Muka yang tadi merah rasanya dah turun warna. Sebab boleh terasa pipinya sejuk tiba-tiba. Mungkin wajahnya dah pucat tak berdarah. Sebelah kakinya menapak nak mengundur, namun cepat saja pergelangan tangannya disambar Nisa dan dipegang kemas. Dia berpaling pada sahabat di sebelah, menggeleng, namun Nisa masih jua tak berganjak. Siap jongket-jongket kening lagi minah bertuah tu.

“Kenapa?” suara Firdaus kedengaran dekat di sebelah telinganya namun langsung dia tak berani nak berpaling.

“Nak balik dah?” selamba saja Haris bertanya.
“Ha’ah, dah lambat. Kesian Pakcik Rosli tunggu aku lama.”
“Firdaus.” Rendah saja Nisa memanggil.
Dia cengkam jemari Nisa yang masih kejap memegangnya, kuat.
“Ni Aina Insyirah, kenal tak?”
Nak tak nak dia, Si Aina Insyirah kena berpaling juga menghadap lelaki itu. Dia senyum sikit.

Firdaus lambat-lambat mengukir senyum juga, walau nampak dahinya yang berkerut, tak faham. “Sorry. Tak kenal. Hai.”

“Okey, Firdaus, ni Aina Insyirah, panggil Aina. Aina, ni Ahmad Firdaus, panggil Firdaus. Sekarang dah kenal.” Senang saja Nisa berkata.
Firdaus ketawa kecil. “Okey.”

“Aina suka kat kau. Dia nak nombor telefon boleh?” laju Nisa menyambung, rendah nadanya tapi cukup untuk didengar mereka bertiga di situ.

Aina tergamam. Sah dia rasa jantung dia berhenti berdegup. “Nisa!!”
Haris pun dah tersedak air liur sendiri.

Firdaus ikut terdiam. Mukanya diraup perlahan sebelum menjelingnya di sebelah. Nampak sangat lelaki itu serba salah. “Er, sorry...”

Dia menggeleng laju. “Nisa main-main je, jangan percaya.” Laju dia berkata, gelabah campur gemuruh campur gentar campur entah la apa lagi!

Nisa ketawa sebelum ikut menggeleng. “Weh, mana ada Nisa main-main. Ala, Firdaus. Apa salahnya bagi nombor telefon kat Aina? Boleh kenal-kenal.”
Dia menggeleng laju lagi sebelum tunduk apabila perasan sepasang mata Firdaus yang tajam merenungnya.

Sorry, but no, thanks.” Perlahan saja suara lelaki itu menyapa pendengarannya, tapi ayat itu cukup tajam menusuk ke dasar hatinya.

“Firdaus, hei...” Haris cuba memujuk.
Dia angkat muka, tapi Firdaus sudah tak memandangnya.

“Aku balik dulu la weh.” Bahu Haris ditepuk oleh Firdaus sebelum laju dia menapak ke arah van merah gelapnya yang masih setia menunggu, langsung tak berpaling lagi.






Prolog 2


Kata dia, dia tak suka. Tapi sebenarnya, dia pun tak tahu sebabnya. Kerusi belajarnya yang didudukinya itu dipusing kuat sehingga bilik tidurnya yang sederhana besar itu juga turut berpusing di sekelilingnya. Tiba-tiba dia teringat perihal siang tadi. Tangannya dihulur mencapai tepi meja dan dipegang. Kerusi yang berpusing itu berhenti.

Aina...

Aina apa dah namanya? Imtiyaz? Irdina? Istiqamah? Haish! Istikharah?
Hesy, Ahmad Firdaus! Apa ke situ pulak perginya kau? Kepala pening sebab berpusing tadi la ni.

Pelipis digaru perlahan. Apa-apa la namanya, lupa.
Sebenarnya, dia kenal tak kenal budak perempuan itu. Dia selalu nampak Aina itu dengan Nisa. Ada juga dia nampak Aina itu waktu balik sekolah, menunggu ayahnya datang mengambil dengan proton Wira warna merah darah. Tak ingat pula nombor platenya apa. Setakat itu la saja pun dia tahu budak perempuan itu. Tak pernah berminat pun nak tahu lebih.

Nak bagi nombor telefon? Nak berkenal-kenalan?
Maaf la ye, itu bukan cara dia.

Nak kata dia pelik pun, katalah. Nak kata dia bukan berdarah muda, dia dah tujuh belas tahun, peringkat remaja yang meluap-luap dengan pelbagai keinginan, tapi yang satu itu boleh dia kawal lagi. Bukan dia tak ada rasa pada perempuan, mintak dijauhkanlah daripada dia menjadi golongan itu, tapi untuk mula menjalinkan hubungan yang lebih daripada namanya persahabatan, dia belum mahu lagi. Dan dia sebenarnya faham itu yang dimaksudkan oleh Nisa tadi tentang Aina.

Dia bukan macam Haris, yang senyum sampai ke telinga setiap kali nampak kelibat Nisa. Dia bukan macam kawan-kawan lelakinya yang lain, yang suka bersiul rendah apabila ada budak perempuan lalu di depan mata, yang berkepit di belakang bangunan sekolah, yang makan berdua-duaan di kantin, yang mengirim salam dengan pesanan ‘tak jawab, dosa!’.

Panggillah dia konvensional, dia tak kesah pun. Tapi, dia memang tak pernah senang, tak pernah suka dengan istilah ‘couple’ itu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan budak-budak sekolah. Belajar tu belajar la. Buat apa nak sibuk bercinta pula. Itu prinsip dia. Iye, muda lagi, konon dah nak ada prinsip bagai, tapi itu pegangan dia. Tak kacau orang lain pun.

Aina tu tak salah. Tiada salah apa pun pada gadis itu, cuma dia saja yang belum bersedia untuk semua benda tu. Berkenal-kenalan, bertukar-tukar nombor telefon, bergayut di talian berjam-jam tanpa ada topik yang munasabah pun. Sungguh, bagi dia kini, itu semua buang masa. Dan dia tak rasa Aina tu serius sangat sukakan dia pun. Tak logik di akal apabila tak pernah kenal, tak pernah pun bertukar bicara, tiba-tiba nak jatuh suka. Jadi, dia rasa Aina tu hanya dipermain-mainkan oleh Nisa saja. Kalaupun dia betul suka, sekejap saja dia akan lupa nanti. Banyak benda lain yang lebih penting boleh difikirkan oleh gadis itu daripada dia.

Dia tersentak apabila kedengaran bunyi ketawa halus yang dekat dengan biliknya. Dia mengangkat muka dan baru tersedar pintu biliknya terbuka separuh. Dia bangun dan laju menapak ke muka pintu nak menutupnya dan bertembung mata dengan adiknya, Diyana Aishah yang terhenti betul-betul di depan bilik.

Sorry, Eca...”
Pintu itu ditolaknya tutup, kuat.
Entah mengapa, dia ternampak bayangan wajah Aina pada raut muka bersalah yang ditunjukkan Diyana Aishah.

***

No, thanks.

No, thanks...

Dua patah perkataan itu diulang-ulangnya di dalam hati, tak terluah di mulut. Diulang-ulangnya di dalam fikiran, supaya kekal di situ, menjadi peringatan tentang kegagalan dia hari ini, tentang malunya yang bertimpa-timpa hari ini. Dia sentuh pipi sendiri. Hangat. Masih terasa malunya itu hingga kini, walau ada angin sejuk yang menyapanya daripada tingkap bilik yang terbuka. Hangat di pipi, di hati tetap terasa pedih.
Sampainya hati seorang Ahmad Firdaus itu...

Tapi, bukan salah dia juga, Aina.
Dia mengeluh perlahan dengan mata yang terpejam. Apa lagi yang boleh dijawab oleh lelaki itu apabila ‘diserang’ begitu?

Tak mengapalah Aina. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir kau bertukar-tukar patah perkataan dengan dia. Mungkin lepas ni dah tak jumpa dah. Kurang-kurang, perasaan yang terpendam selama ini dapat juga diluahkan, walau bukan betul-betul pada dia, walau dia nampak macam percaya tak percaya. Rasa hati yang lama disimpan itu tetap membuatkan lega juga apabila dapat dilepaskan keluar. Tak payah fikir dah fasal tu, tak payah fikir dah fasal Ahmad Firdaus. Okey, Aina?


Tapi kenapa ye, apabila mata itu dibuka, ada titisan jernih yang mengalir perlahan di pipinya?

1 comment:

  1. Aina dah 'jatuh' teruk guling-guling kat Fir tu.
    Sian dia.

    ReplyDelete