FATIAH MERENUNG skrin
telefon bimbitnya. Ada mesej dari applikasi Whatsapp
yang masuk. Sejurus membaca mesej itu, Fatiah bingung sendirian. Ben,
rakannya yang duduk di sebelahnya menoleh.
“Kau
kenapa?” soal Ben. Mereka rakan sekelas di sekolah. Rumah mereka juga tidak
jauh. Ada di flat yang sama. Flat DBKL yang terletak di Jalan Cheras.
“Lia...”
ujar Fatiah perlahan sambil menunjukkan kepada Ben mesej yang diterimanya dari
Adelia. Ben membaca mesej itu dengan penuh minat. Apa-apa saja yang bersangkut
paut dengan Adelia, memang menarik minat Ben. Sudah lama dia menaruh hati pada
Adelia yang dingin itu. Pada Ben, biarlah rahsia hatinya dipendam sebaik
mungkin. Mungkin belum masanya untuk dia meluahkan isi hatinya pada Adelia. Lagipun, dia bimbang jika Adelia akan
berasa tidak selesa dengan hubungan persahabatan mereka selama ini.
“Macam
mana ni?” soal Fatiah seraya menjungkit kening kepada Ben. Wajah keduanya
berkerut. Ben menarik nafas payah. Dia bangun, sambil menyapu sisa-sisa kotoran
yang melekat di punggungnya. Matanya meliar ke arah orang ramai. Fatiah juga turut
bangun. Mereka mula mencari kelibat Adelia. Jam sudah hampir 9.30 malam. Mereka
berdua sebenarnya mahu pulang. Bimbang jika lambat mengejar LRT, mereka akan
ketinggalan LRT pula.
“Dia dah
sampai ke?” soal Ben dengan leher yang dipanjangkan mencari kelibat Adelia.
“Dia
cakap dah... Tapi..apahal dia tiba-tiba keluar malam? Dia tak pernah keluar
malam macam ni sebelum ni...” rungut Fatiah.
“Kalau
tak ada hal penting, dia takkan cari kita malam-malam macam ni..” ujar Ben
perlahan. Fatiah menjungkit kening. Faham. Setuju.
“Hah! Tu
dia!” laung Ben bila terpandangkan satu tubuh yang bergerak laju mencelah orang
ramai yang masih berpeleseran di Bukit Bintang malam itu. Mata Fatiah segera
memandang ke arah itu. Mereka berdua laju menapak menuju ke arah Adelia yang
turut menghampiri mereka berdua. Dari jauh, Ben sudah tersenyum lebar.
“Hai!! “
Ben segera melaung bila mereka sudah berdiri rapat di celah-celah orang ramai.
Nafas Adelia naik turun, tercungap-cungap berjalan laju sejak turun dari bas
awam tadi.
“Korang
dah nak balik ke?” soal Adelia dengan nafas yang tidak teratur.
“Lebih
kuranglah...” Fatiah menelek jam di skrin telefon bimbitnya. Ben hanya
tersenyum memandang keduanya.
“Kenapa?”
Kau keluar malam ni, apa hal?” soal Fatiah bertalu-talu. Adelia memandang kedua
wajah rakan karibnya. Sejak di tingkatan 3, mereka bertiga memang akrab di
sekolah. Ke mana-mana saja bertiga. Kini, selepas habis peperiksaan SPM, Ben
dan Fatiah banyak menghabiskan masa di sekitar Bukit Bintang. Lepak katanya.
Sementara Adelia berperang dengan maut ibunya yang saban hari menunggu masa
menjemput pulang. Setelah sebulan bertarung, akhirnya ibunya pergi dan Adelia
baru menyedari bahawa dia masih punya dunia yang perlu diterjah likunya.
“Aku..aku..”
Adelia meneguk air liur pekat. Dia memandang kedua wajah rakannya.
“Apa
dia?” soal Ben yang sedari tadi asyik merenungnya. Adelia senyum kelat.
“Aku nak
tumpang tidur rumah kau, malam ni boleh?” soal Adelia gugup kepada Fatiah.
Fatiah yang mendengar, nyata terkeejut. Riak wajahnya berubah serta merta. Fatiah
memandang Ben di sisinya. Fatiah meneguk air liur pekat.
Aku...”
melihat Fatiah yang berwajah resah seperti itu, hati Adelia terasa sebal.
Seakan menyesal pula dia meminta tolong tadi.
“Kalau
tak boleh tak apa..” segera Adelia memintas. Dia tidak mahu Fatiah merasa
bersalah.
“Bukan...
bukan aku tak bagi.. Tapi, kau pun tahu aku cuma tinggal kat flat. Rumah aku
ada 2 bilik je. Aku kongsi bilik dengan adik-adik aku. Kalau aku bawak kau, aku
takut mak aku marah..” resah Fatiah memberi alasan. Dia tidak mahu diselar
dengan tanggapan tidak mahu menolong kawan.
“Tak... it’s okay. Tak apa...” Adelia cuba
meredakan rasa bersalah Fatiah.
“Kau
kenapa? Kenapa tiba-tiba nak tidur luar malam ni?” soal Fatiah kalut. Ben
menarik nafas resah. Dia berfikir sesuatu.
“Aku... aku lari dari rumah tu..” keluh Adelia
berterus terang. Ben dan Fatiah berpandangan. Masing-masing menarik nafas
resah. Wajah Adelia yang murung dipandang lama. Ben menggaru kepalanya sambil
membetulkan topinya.
“Beb...aku
rasa, baik kita story dalam LRT. Aku
takut nanti kita terlepas train...jom...”
ajak Ben bila melihat Fatiah dan Adelia yang termangu di situ. Berdri lama-lama
di tengah-tengah jalan itu pun tak selesa juga. Lagipun hari makin lewat.Kalau
bercerita dalam LRT, koman-koman pun mereka boleh duduk.
Fatiah
dan Adelia saling memandang Ben. Kata-kata Ben ada betulnya juga. Mereka angguk
setuju.
“Jom...”
dengan langkah perlahan, mereka bertiga bergerak seiringan menuju ke arah
stesen LRT Bukit Bintang.
“DIA bertegas nak jugak geran tanah
tu...Kalau dia tak dapat geran tanah tu, aku dia nak jual sebagai ganti...”
keluh Adelia yang duduk di tengah-tengah di antara Ben dan Fatiah. Beg sandang
birunya digenggam erat ke dada. Ben dan Fatiah merenungnya penuh empati. Sesekali
badang mereka berhinggut bila LRT yang sedang bergerak laju berhenti di
stesen-stesen yang tertera di dalam jadual perjalanan. Bunyi bising dari brek
LRT dan bunyi mulut orang awam tidak dipedulikan.
“Dia nak
buat apa jual rumah tu?” soal Fatiah. Adelia senyum kelat sebelum menjawap.
Berat hatinya hendak bercerita tentang keburukan orang.
“Dia tu
banyak berhutang... Dia bohong pada arwah mak aku, dia berhutang sebab nak
dapatkan rawatan pakar untuk sakit kanser mak aku. Tapi, aku tak nampak duit tu
pergi kepada rawatan mak aku pun...” keluh Adelia perlahan. Fatiah dan Ben
terdiam. Masalah kawan mereka ini rumit juga. Tak tahu bagaimana nak tolong.
“Habis
tu, malam ni, kat mana kau nak tidur ni?” soal Fatiah prihatin. Adelia diam tak
berkutik. Dia buntu.
“Rumah
kau Ben?” soal Fatiah sambil memandang Ben yang duduk di hujung. Ben mengetap
bibir resah. Dipandangnya Adelia yang muram wajahnya.
“Aku
memang nak tolong. Tapi rumah aku pun tak boleh...Tapi, aku ada kenal 1 mak cik
ni... dia ada buat sewa bilik kat kawasan rumah kedai kat Taman Segar. Kita trylah pergi minta sewa bilik untuk 1
malam saja. Esok...kita fikir semula macam mana nak tolong Lia...” ujar Ben.
Fatiah dan Adelia berpandangan.
“Kat
mana aku nak cari duit nak sewa bilik?” soal Adelia susah hati. Fatiah
terkebil-kebil berfikir. Ben menyeluk kocek jeansnya lalu mengeluarkan
dompetnya. Beberapa not RM10 dikeluarkan.
“Aku ada
RM30 saja. Kau?” soal Ben Fatiah dan Adelia memandang Ben terkebil-kebil. LRT
terus bergerak laju menuju ke arah Cheras.
WAKTU mereka bertiga tiba di
depan deretan bangunan kedai di Taman Segar, hari sudah lewat. Jam sudah hampir
pukul 11.30 malam. Ben melihat papan tanda yang tergantung di hadapan kedai.
“Haa...atas
ni lah...” kata Ben yakin. Dia terus berjalan laju menaiki anak tangga menuju
ke tingkat atas rumah kedai itu. Adelia meliarkan pandangannya. Rumah kedai itu
agak kotor. Dari sudut pandang waktu malam, bangunan rumah kedai itu memang
agak suram. Tapi bila melihat langkah Ben yang laju, dia ikut saja. Beg
sandangnya erat di dalam pelukan. Fatiah masih membuntuti di belakang. Bunyi
anjing berteriakan sahut bersahutan di luar.
Sebaik
sampai di tingkat satu bangunan itu, terus Ben menuju ke satu bilik. Adelia
memerhati sekelilingnya. Aras itu ada beberapa bilik kecil. Catnya juga sudah
pudar melalui lampu kalimantang yang terbias suram cahayanya.
Knok!Knok!
Pintu sebuah bilik yang agak besar berbanding bilik lain diketuk oleh Ben.
Adelia dan Fatiah berpandangan.
“Aunty Kimah...” laung Ben bila
ketukannya tidak mendapat reaksi dari penghuni di dalam bilik. Buat seketika,
pintu bilik dikuak dari dalam. Tersembul wajah seorang perempuan tua yang hanya
memakai baju kelawar separa lutut. Tubuhnya agak gempal. Bila dia berdiri di
muka pintu, hampir keseluruhan bilik yang dihuninya dapat dilihat oleh Fatiah
dan Adelia.
“Haa...Ben..apa
kau mau?” soal Aunty Kimah. Cara dia
bercakap, tak ubah macam orang Sarawak bercakap.
“Ini...yang
mau sewa bilik 1 malam tu...” kata Ben lalu menunjukkan ke arah Adelia. Pantas
Adelia tunduk hormat dan senyum segaris bila Aunty Kimah memandangnya.
“Satu
malam saja? Mengapa tak mahu sebulan? Lagi lama lagi baik...Bilik itu pun sudah
lama kosong...” kata Aunty Kimah. Dia
masuk kembali ke dalam biliknya dan mengambil segugus kunci. Sesekali dia
terbatuk-batuk sambil mengira kunci.
“Tak ada
duit lagi mau sewa lama-lama aunty...”
kata Ben pula sambil tersenyum. Aunty Kimah memandang Adelia.
“Duitnya?”
soal Aunty Kimah. Adelia dan Fatiah
saling berpandangan. Serentak dengan itu, Adelia pantas mengeluarkan sejumlah
wang RM50 yang dikongsi bersama Fatiah dan Ben sejak dalam LRT tadi. Wang RM60
itu terus diserahkan kepada Aunty
Kimah. Kunci bertukar tangan.
“Mari...”
Aunty Kimah memanggil mereka bertiga
membuntuti langkahnya menuju ke arah satu bilik. Tiba di depan pintu bilik
tersebut, langkah mereka berhenti.
“Ini
biliknya...” kata Aunty Kimah kepada
mereka bertiga. Dia merenung satu persatu wajah mereka bertiga.
“Sudah
lewat sangat ni Ben... Kau tak mahu balikkah? Nanti mama kau bising?” soal Aunty Kimah. Loghat Sarawaknya agak
pekat.
“Ya..ya...saya
balik sekarang...” Ben tersengih-sengih. Aunty
Kimah kemudian terus beredar dari situ dan masuk semula ke biliknya.
“So...kitorang balik dulu. Dah lewat
sangat ni...esok kita jumpa kat Leisure Mall...” kata Ben pada Adelia. Fatiah
angguk.
“Eh...terima
kasih ye korang...” sungguh terharu perasaan Adelia saat itu. Kebaikan
kawan-kawan yang sudi menolongnya di saat dia benar-benar perlukan pertolongan
amat dia hargai. Fatiah angguk dan menepuk bahunya. Ben cuma tersenyum sebagai tanda
selamat tinggal. Selepas itu, terus Ben dan Fatiah bergegas pulang ke flat
mereka yang terletak tidak jauh dari situ.
Bilik
yang dihuninya itu, memang sangat kecil. Ia hanya muat satu katil saiz Queen dan sedikit ruang untuk solat.
Bilik itu kosong. Langsung tidak ada apa-apa hatta sebiji bantal pun. Lantainya
yang ada tikar getah cuma kelihatan sangat berhabuk. Dalam waktu-waktu lewat
seperti ini, Adelia rasa ralat nak mengganggu Aunty Kimah lagi. Jadi, dia meletakkan beg sandangnya di hujung
sudut dan Adelia keluar. Biliknya berdepan dengan sebuah bilik lagi. Bilk itu
terletak di ruang hadapan yang menghadap bangunan luar. Adelia menapak perlahan-lahan, memasang
telinga dengan teliti. Dia takut jika kehadirannya disedari oleh penghuni lain
aras itu. Adelia berjalan perlahan-lahan. Aras itu ada 5 bilik kesemuanya.
Bilik Aunty Kimah letaknya di
tengah-tengah. Di tengah ruang aras itu, ada sebuah bilik mandi, sebuah tandas
dan dapur yang dikongsi oleh penghuni aras itu. Wah...dah macam Lodging Mak Limah dalam cerita P-Ramlee,
Masam-Masam Manis tu...
Adelia
mengetap bibir sambil dia menghendap sekelilingnya. Tapak kakinya
diperlahankan. Takut jika dia mengganggu orang lain yang sedang lena tidur. Dia
mahu mencari penyapu. Puas diperhatikan segenap ruang. Namun, sebiji batang
penyapu pun dia tak jumpa. Aduh...bagaimana nak tidur dalam keadaan bilik yang
kotor macam itu? Paling koman pun...kena mop dulu lantai bilik itu. Keluh
Adelia. Adelia mengetap bibir. Dia masih mencari. Tanpa sedar, sepasang mata
sedang memerhatikannya.
No comments:
Post a Comment