Friday 22 July 2016

Vehaen II: Rif'at ~ Ainul Farihah

Telahan Yusuf ternyata benar. Di dalam bilik di mana Rif’at kini ditahan, terdapat hanya sebuah meja yang agak besar dengan dua buah kerusi yang terletak bertentangan. Rif’at duduk di sebuah kerusi dengan seorang tentera berdiri di belakangnya manakala lelaki bermisai tadi kini duduk bertentangan dengannya. Di meja yang besar itu hanya ada passport Rif’at yang kini terbuka, lantas mempamerkan butiran tentang dirinya.
“Kau lahir di Beit Lahiya?”. Dalam bahasa inggeris pegawai itu bertanya.
Rif’at angguk.
“Untuk apa kau datang ke sini?”.
Untuk pulang ke tanah air aku la… Dan jawapan itu dia hanya biarkan bergema di dalam hati. Semestinya, fikirannya lebih kuat untuk menjadi rasional tika ini, memandangkan dia sendiri merasakan apa yang bakal berlaku pada pasukan paramedik ini kini terletak pada nasibnya juga.
“Kerana mahu berbakti dengan pasukan paramedik yang aku sertai ini,” jawab Rif’at dengan tenang, mengharapkan pada nada suaranya juga kedengaran keyakinan yang akan membunuh segala prasangka dalam kepala si zionis di hadapannya itu.
“Aku pelajar perubatan, ayah dan ibuku doktor. Dulu mereka juga pernah sertai pasukan paramedik di Gaza,” tambah Rif’at dengan segera.
Sememangnya tentera Israel tidak akan melepaskannya dengan begitu mudah. Pelbagai lagi persoalan ditujukan kepadanya, adakalanya dengan cara provokasi seperti mahu marah, hentak meja, acah-acah tarik picu revolver dan  macam-macam lagi. Ketenangan Rif’at yang ternyata lebih mencabar kredibiliti pegawai Israel tersebut.
Rif’at ketika itu merasakan masa berlalu begitu perlahan. Sempat lagi dia membayangkan kalau Imran dan Amrullah bersamanya ketika itu. Agak-agak Imran akan guna lengan ‘sado’nya itu atau tidak kerana soalan-soalan yang dilontarkan pegawai di hadapannya itu pasti menguji kesabaran seorang Imran yang Rif’at kenali. Mujur Rif’at sedar bahawa dia kini berada dalam situasi genting, maka tiadalah dia tersengih mahupun tersenyum seorang diri dek terhibur membayangkan kerenah Imran dan Amrullah.
Keadaan yang sama berlanjutan sehingga beberapa ketika, pintu terbuka dan seorang tentera Israel yang tinggi lampai berjalan masuk terus menuju ke arah pegawai bermisai itu. Dia membisikkan sesuatu. Rif’at mengagak bahawa berita yang dibawakan oleh tentera itu bukanlah berita yang baik.
Allahu… Moga mereka-mereka di luar sana tiada masalah seperti aku. Baru Rif’at teringat akan sahabat-sahabatnya di luar sana. Seketika tadi, fikirannya sangatlah tertumpu untuk menjawab soalan si pegawai bermisai itu agar tidak tersalah jawab yang mungkin mengundang kesulitan.
Seketika, kedua-dua manusia tersebut berbincang sesuatu dalam bahasa Hebrew sambil sesekali menuding ke arah Rif’at. Daripada apa yang Rif’at faham, sesuatu telah berlaku yang memerlukan mereka untuk membuat keputusan segera, sama ada ingin melepaskan mereka ini atau sebaliknya. Rif’at tahu dia kini menjadi kunci, sama ada perjalanan pasukan paramedik itu terhenti di setakat di sempadan Rafah itu, atau mungkin dirinya sahaja yang tidak dibenarkan melepasi sempadan itu.
Satu…
Dua…
Tiga…
Sekali lagi detik yang berlalu terasa begitu lambat dan nafasnya seakan tertahan-tahan.
Allah…mudahkanlah… Hati meratib asma’ yang Esa, dengan doa sesungguh mungkin meski cuma sepatah.
Pegawai bermisai itu kembali memandang ke arahnya. Lama, sebelum kembali memandang butirannya yang terpapar di dalam passport berwarna merah itu.
“Keluar,”.
***
BEIT LAHIYA, GAZA
Selesai membantu Solah dan Fida’ menyusun raifal mengikut jenis yang masih berbaki, Najdat turut sama melabuhkan punggung di batuan besar yang kini seakan menjadi kerusi untuk mereka duduk. Seketika, masing-masing menggerakkan bahu dan lengan dek kelenguhan mengangkat raifal dan senjata berat yang lain. Disebabkan pada hari itu mereka tidak bersekolah, Fida’ mencadangkan agar mereka mengemaskini bilik yang menjadi tempat persembunyian senjata rampasan mereka.
“Adik kau dah sihat?” Fida’ bertanya, menoleh ke arah Solah.
Solahuddin Ayyubi atau lebih gemar dipanggil Solah mengangguk sambil tersenyum lebar. “Alhamdulillah, sudah. Gigih ayah aku ke hospital mencari ubat. Sesak juga katanya,”.
Hospital dan kesesakan. Bukanlah satu perkara baru. Najdat hanya menjadi pendengar tanpa sepatah bicara, seperti biasa.
“Hari ini pasukan paramedik itu sudah bergerak ke kem pelarian Khan Younis. Mereka berpecah kepada dua pasukan, satu pasukan lagi terus ke Deir Al-Balah,” Fida’ melaporkan. Matanya tidak lari dari menatap skrin telefon bimbitnya. Dalam kalangan mereka, hanya Fida’ dan beberapa orang sahaja yang mempunyai telefon bimbit. Kebiasaannya, jika mereka berpecah kepada pasukan kecil seperti itu, Fida’ akan menjadi pelapor kepada pasukannya memandangkan dia adalah sumber komunikasi.
“Pecah dua? Mereka ada ramaikah?” Solah melompat turun dari batuan tempat mereka duduk itu.
“Dalam dua puluh orang juga,”.
“Semua lelaki?”.
“Ada perempuan. Dalam dua atau tiga orang sahaja setiap pasukan,” Fida’ angkat muka. “Pasukan Miqdad akan beransur-ansur pulang sehinggalah salah satu pasukan paramedik itu selamat sampai ke Gaza City,”.
Najdat hela nafas.
Ada juga yang masih mahu membantu mereka. Kerana itu bagi mereka, setiap bantuan yang tiba itu adalah salah satu rahmat Tuhan dalam meringankan apa yang mereka hadapi. Kerana itu juga, mereka sebolehnya bersungguh mahu memastikan setiap pasukan yang dihantar ke Gaza itu selamat masuk dan pulang. Mereka tahu, hakikatnya, bukan semua manusia yang hidup di muka bumi ini kejam.
Ada yang ingin membantu, namun tidak berpeluang. Maka apabila ada yang mendapat peluang untuk menyumbang bakti terhadap mereka di Gaza ini, warga Gaza sendiri teramatlah menghargai kedatangan mereka. Mereka tahu manusia-manusia yang datang ini datang dengan kesungguhan, kerana peluang seperti ini, pada zaman ini terutamanya, amatlah susah diperolehi.
“Aku mahu meronda hari ini,” ujar Najdat. Solah dan Fida’ memandang ke arahnya. Tanpa perlu bertanya, mereka tahu apa yang membuatkan Najdat memutuskan sedemikian tiba-tiba sedangkan sejak awal tadi tiada dalam perancangan pun apa yang mahu dilakukan pada hari ini. Semalam sahaja, seorang lelaki ditembak sehingga dua puluh butir peluru menembusi badannya. Situasi itu diceritakan oleh seorang perempuan yang menjadi saksi kejadian, mengatakan bahawa tentera Israel mendapati lelaki tersebut membawa sebilah pisau  bersamanya walhal lelaki tersebut langsung tidak menggunakan pisau tersebut untuk mempertahankan dirinya.
Dasar zionis pengecut. Sebilah pisau yang tidak digunakan berbalas 20 das tembakan.
Rasa bersalah ternyata menyelubungi Najdat dan rakan-rakannya. Senjata yang mereka ada terhad, juga sebenarnya adalah hasil rampasan daripada mana-mana tentera Israel yang berjaya ditewaskan. Ada juga yang sempat diselamatkan sebelum gudang senjata tentera Gaza disita Israel. Para pemuda yang mempunyai kemahiran dalam menggunakan senjata di kawasan Beit Lahiya itu secara tidak langsung merasakan segala apa yang berlaku terletak di bahu mereka.
“Ayuh, ajak yang lain juga. Aku pasti mereka juga kebosanan,” kata Najdat.
Israel tak pernah lama dalam membiarkan suasana aman seperti kebelakangan ini. Ini semua propaganda…dan rakyat Gaza ini sudah masak benar dengan perangai zionis laknatullah itu.
Najdat memandang langit tatkala Solah dan Fida’ berlari masuk ke dalam bilik senjata.
Sejak misi melindungi pasukan paramedik dari Malaysia bermula, hatinya sebenarnya sudah terasa seperti ada sesuatu yang akan berlaku. Sesuatu yang bakal mengubah hidupnya tidak lama lagi. Tetapi apa, dia sendiri tidak tahu dan tidak pasti. Mungkin Tuhan hanya menghantar rasa, supaya dirinya bersedia mengakhiri peribadi sepinya yang sekarang ini.
Sudah lama kasih sayang keluarga tidak membuatkannya tersenyum.
Mana ada yang hidup lagi dah…
***

KHAN YOUNIS, GAZA
Seperti rancangan yang telah diatur, sebaik sahaja mereka melepasi sempadan Rafah, pasukan mereka terus sahaja berpecah kepada dua. Pasukan pertama terus menuju ke Deir Al Balah yang terletak sedikit jauh berbanding dengan pasukan kedua yang akan berkampung di kem pelarian Khan Younis.
“Punya la aku bayangkan kau kena tumbuk tampar macam dalam cerita orang putih tu…” Semangat Irfan Halim berkata kepada Rif’at. “Macam scene kalau kena soal siasat dalam bilik tahanan tu,”.
“Banyak sangat tengok movie la kau ni,” Rif’at membalas.
“Agak la..” Irfan mengakui sambil sengih sumbing.
Rif’at dan yang lainnya turut tersengih. Tengok gaya Irfan sahaja dia sudah tahu dia ini bukan setakat kaki movie, tapi juga minat dalam videografi dan fotografi. Mana tidaknya, sejak tiba di Mesir tempoh hari, hanya dia seorang yang tidak lekang dengan handicam jenama Olympus di tangan.
“Haa…sembang la sementara boleh. Sekali dah mula medical check up kejap lagi, lagi 8 hari la korang dapat rehat,” Dr. Irham selaku ketua pasukan mengingatkan mereka yang galak bercerita. Kali ini mereka menaiki sebuah van menuju ke kem pelarian di Khan Younis.
“8 hari yang belum tentu lagi boleh dapat lain kali, biarlah tidak rehat pun,” Mus’ab mengangkat kening dua kali.
Yusuf sengih sambil geleng-geleng kepala. “Betul la tu. Tapi kalau tak penat fizikal, bukan manusia la kita ni,”.
Tawa pecah hingga reda sedikit demi sedikit.
Lantas jeda seketika suasana di belakang van tersebut.
***
Tugas Rif’at hakikatnya lebih kepada pembantu perubatan, berbanding dengan mereka yang lain kebanyakannya sudah mencapai kelayakan seorang doktor. Mujur juga dia ini pelajar perubatan walaupun tidak sempat menghabiskan pengajian. Selainnya, ada juga beberapa orang seperti Yusuf yang juga masih lagi seorang pelajar seperti dirinya, namun mereka telah lebih awal mendapat latihan sebaik sahaja terpilih untuk menyertai ekspedisi di Gaza ini.
Kali pertama berada sendiri di sebuah kem pelarian seperti yang selalu didengari dan dibaca, Rif’at kini melihat dan merasa sendiri keadaannya. Melihat wajah-wajah warga Gaza membuatkan Rif’at kali pertama benar-benar merasakan dirinya pulang ke kampung halaman walau tidak seorang pun tidak dikenalinya di situ.
Kalau bukan kerana dia turut memakai topeng muka dan berpenampilan kemas,  pasti dia juga dianggap sebagai penghuni kem pelarian tersebut. Keadaan pasukan tersebut jadi mudah dengan kehadiran Rif’at. Bukan setakat pembantu perubatan, siap boleh jadi penterjemah lagi bagi teman-temannya.
“Bagaimana, hari pertama?” Sengaja Yusuf melanggar perlahan bahunya tatkala berjalan melepasinya.
“Alhamdulillah… macam pulang ke kampung halaman pula aku rasa,” Rif’at membalas. Biarpun ‘kepulangannya’ tidak bersambut, namun mendengarkan bicara-bicara warga kem pelarian itu sahaja sudah cukup membuatkan Rif’at terasa seperti di kampung halaman. Selama 12 tahun berada di Malaysia, abi tidak pernah membiasakan dirinya tidak berbahasa arab, apatah lagi arab ‘ammi Palestin. Di Vehaen, Rif’at lebih berpeluang melancarkan kembali Bahasa arabnya apabila bertemu dengan pelajar-pelajar dari timur tengah, sekali gus mempelajari dialek Bahasa arab negara-negara lain.
 Botol air di sisi dicapai, mencuci sisa darah di telapak tangan. Sedari tadi membantu Asyraf membaluti bahu seorang lelaki separuh umur yang mengalami pendarahan teruk akibat luka tembakan. Dia memandang sekeliling. Ternyata di kem pelarian Khan Younis ini, apa yang lebih diperlukan adalah bekalan makanan dan ubat berbanding sumbangan tenaga paramedik seperti mereka kerana doktor-doktor yang dihantar daripada hospital berdekatan sudah mencukupi.
Mungkin mencukupi buat masa sekarang.
Ketangkasan seorang manusia menarik perhatian Rif’at sejak kali pertama mengenalinya di kem ini. Sedari tadi tidak berhenti ke hulu ke hilir bertanyakan khabar penghuni di kem ini. Bagaikan dia sudah mengenali semua yang berada di situ dan begitu juga sebaliknya.  Mungkin sudah lama berkhidmat di sini.
“Menung apa, anak muda?” Manusia itu lantas menegur mesra, menyedari dirinya diperhatikan.
“Kagum dengan doktor,” jujur Rif’at menjawab.
Dr Rashed ketawa sambil menepuk bahu Rif’at. “Aku lagi kagum dengan anak muda macam kau ni, Rif’at. Kadang anak muda zaman ini selalu berfikir, tempat sebegini bukan untuk mereka,”. Ringkas, tapi padu. Kemudian, dia berlalu pergi.
Namanya, Zain Ar-Rashed atau dikenali ramai di situ dengan panggilan Dr Rashed. Melihat ketangkasan dan aktifnya manusia itu jika mahu dibandingkan dengan orang lain sudah cukup membuatkan Rif’at cukup kagum dengan semangat yang terzahir pada perbuatannya itu, apatah lagi bila sudah mengetahui kisah hidupnya.
Badannya berangka besar, seperti orang arab kebanyakannya. Jambangnya tebal, mengingatkan Rif’at pada abi di Malaysia sana. Seorang hafiz al-quran, dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya. Satu perkara yang membuatkan Rif’at amat tertarik dengan manusia ini adalah kelulusan kedoktorannya.
Doktor falsafah, atau nama lainnya PhD. Bukan kerana susuk tubuh hebat ini mampu memperolehi kelulusan itu dalam masa yang singkat. Ringkasnya adalah kerana Dr Rashed itu menyelesaikan pengajian kedoktorannya dan disambung pula dengan Master, seterusnya PhD di tempat yang sama dengan dirinya.
Vehaen University.
Dr Rashed mengahwini isterinya ketika baru sahaja menamatkan pengajian manakala isterinya ketika itu berada dalam tahun akhir pengajian dalam bidang yang sama. Kedua-duanya adalah kelahiran Gaza atau lebih tepat, Khan Younis dan sememangnya bertekad untuk meneruskan pengajian dalam bidang tersebut. Kedua-duanya punya cita-cita untuk berkhidmat sekembalinya mereka ke Gaza nanti.
 Mereka berdua kemudiannya terus menetap di Birmingham sementara menanti Dr Rashed menyudahkan Master dan PhDnya dalam tempoh yang dikira agak singkat daripada kebiasaan. Sepanjang di Birmingham, Dr Rashed dan pasangannya dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Ditakdirkan, pada saat-saat akhir Dr Rashed akan menyudahkan PhDnya itu, berlaku satu rusuhan  dan demonstrasi disebabkan kes pengeboman di Chelsea. Suasana ketika itu dipanggil ‘Dark Days’ bagi semua warga muslim yang berada di seluruh pelosok United Kingdom. Keselamatan warga muslim walaupun ramai di kawasan Birmingham itu tidak lagi terjamin apabila kelompok anti-muslim bertindak di luar kawalan dan keadaan itu langsung tidak mendapat perlindungan daripada polis tempatan.
Berkenaan Dark Days itu pernah Rif’at sendiri dengar ketika berada di zaman persekolahan rendah. Abi juga berkata peristiwa itu meninggalkan kesan sehingga bertahun-tahun lamanya untuk meredakan kemarahan anti-muslim di UK seperti mana peristiwa 9/11 (World Trade Center dihentam pesawat) yang berlaku pada tahun 2001. Tatkala Rif’at menerima surat tawaran untuk menyambung pelajaran di Vehaen, suasana ketika itu sudah pun boleh dikatakan agak stabil. Kerana itu sepanjang keberadaannya di Birmingham, tidak pula berlaku diskriminasi terhadap warga muslim. Lebih-lebih lagi apabila Vehaen University sendiri menyediakan masjid sendiri untuk pelajar-pelajarnya yang beragama Islam.
Ditakdirkan, ketika Dr Rashed berada di Vehaen University, rumah yang disewanya telah dipecah masuk oleh sekumpulan anti-muslim. Sekembalinya Dr Rashed dari universiti, dia mendapati isteri dan anak-anaknya semuanya mati ditikam secara kejam oleh penjenayah-penjenayah yang berkenaan. Kes tersebut pada awalnya mahu diklasifikasikan sebagai kes pecah rumah, namun setelah Dr Rashed mengesahkan tiada barang yang hilang, konklusi dibuat bahawa ini adalah salah satu kes susulan daripada kemarahan kelompok anti-muslim.
Pihak polis pula ternyata memburukkan keadaan apabila membiarkan kes tersebut dengan alasan tiada bukti dan sebarang petunjuk untuk digunakan bagi menjejaki penjenayah. Dr Rashed pula yang disiasat mengalahkan penjenayah dengan soalan-soalan yang menunjukkan seakan-akan dia inilah pengganas muslim yang melakukan huru hara di Chelsea itu. Dr Rashed hampir sahaja berputus asa dengan situasi yang menekannya ketika itu, namun lekas dia bermuhasabah sehingga diberikan kekuatan untuk menghabiskan pengajiannya dan pulang ke Khan Younis.
Kepulangan yang membawa azam serta tekad yang pernah sama-sama dibulatkan dengan isterinya yang tercinta. Sehingga hari ini, azam dan tekad itu yang membuatkan dia terus tersenyum dan bersemangat menabur bakti pada kampung halamannya ini.
“Alhamdulillah…” Hamdalah mencuri keluar perlahan dari bibir Rif’at, mengenangkan segala apa yang dilalui bersama sahabatnya sepanjang di Birmingham jauh sekali lebih ringan berbanding dengan apa yang menimpa keluarga Dr Rashed. Melihatkan semangat manusia itu sedikit sebanyak memberi inspirasi kepadanya untuk semangat sentiasa.
“Abang…”.
Suara kanak-kanak yang menyapa itu lekas membuatkan Rif’at tunduk, memandang seorang kanak-kanak perempuan yang kini menghulurkan kedua-dua tangannya untuk minta didukung. Dari posisi Rif’at berdiri sahaja dia mampu melihat bahagian kepala kanak-kanak itu yang berjahit, sehingga membuatkan satu bahagian kepalanya botak tanpa rambut.
Rif’at senyum sebelum mendukung kanak-kanak perempuan itu.
Ketika itu, muncul pula di hadapannya seorang budak lelaki berusia sekitar 11 atau 12 tahun yang dikenali Rif’at sebagai abang kepada kanak-kanak yang kini berada dalam dukungannya. “Ouh, maafkan saya. Dia memang suka merayau…” katanya dengan sopan sambil tunduk ke bawah.
Melihatkan perilaku budak lelaki itu, Rif’at jadi kagum. Beradab. Lantas Rif’at menapak selangkah ke hadapan sambil meramas rambut budak lelaki tersebut. “Apa nama kamu?”.
“Marwan…”.
Rif’at mengambil nafas. “Tak apa Marwan, abang jaga adik kamu sebentar. Apa namanya?”.
“Fatima,”.
“Fatima….” Rif’at mengulang.
Budak lelaki itu tetap tunduk, diam tanpa sepatah kata.
“Dah makan, Marwan?”.
Dia menggeleng pula.

“Ayuh,” Bahu budak itu dipaut perlahan.

No comments:

Post a Comment