Thursday, 11 February 2016

Mana Pelamin Qausar (Bab 2) ~ Hananee Amir

Hizwan dan Qausar. Kawan baik sejak sekolah rendah. Susah senang, harung sama-sama. Rahsia Qausar, Hizwan simpan. Rahsia Hizwan macam tu juga. Rapatnya hubungan mereka berdua bak kata Mak Ani, kalau Hizwan tu namanya Izzaidah, dia dah buat menantu. Tapi hanya untuk Qausar sebab Qausar tak sudi beradik iparkan Hizwan.
Qausar ada adik perempuan namanya Qaisara. Dan sebab Hizwan tu tetap Hizwan dan takkan jadi Izzaidah, maka tak dapatlah Mak Ani jadikan menantu. Maka tak payahlah Qausar dapat mimpi ngeri beradik iparkan Hizwan sebab awal-awal dia dah pesan kat Qaisara, cari lelaki lain selain Hizwan. Dia dah pangkah Hizwan awal-awal. Hizwan memang kawan paling baik yang dia ada. Tapi dia tetap tak mahu Hizwan jadi adik ipar dia tak kira atas alasan apa!
“Bosan aku. Kat rumah tengok kau. Kat sekolah tengok kau. Kat mana-mana kau. Dah macam dihantui Hizwan dah aku ni.” Kata Qausar menolak waktu Hizwan mengusik nak meminang Qaisara bila dia dah ada kerja nanti.
“Musnah impian aku nak ada adik ipar Tan Sri.” Sambung dia kemudian dengan muka selamba.
“Mana tahu time tu aku dah jadi Tan Sri.” Mengekek gelak Hizwan.
Setiap kali Qausar ada masalah, yang pertama Qausar cari adalah Hizwan. Kalau kena marah Mak Ani, yang pertama dicari pun Hizwan. Kalau kena rotan dengan cikgu, yang dicari pun Hizwan. Ada sekali kena pumping 50 kali kat dewan perhimpunan sebab kena tangkap hisap rokok dalam toilet, yang dicari pun Hizwan!
“Yang kau benak sangat hisap rokok dalam jamban bau hancing tu dah kenapa? Kau tahu tak, dahlah yang kau sedut tu asap. Ada racun, kau tambah pulak dengan hancing kencing tu? Tak ke lagi toksid?” Hizwan akan membebel setiap kali Qausar meluah rasa. Bebel Hizwan bukan calang-calang. Membebel tu dah memang hobi tak rasmi dia. Mak Ani kata, Hizwan patut jadi pembaca berita kalaupun bukan pengulas sukan atau host rancangan hiburan. Tapi Qausar tetap nak jadi engineer sebab dia suka buat kira-kira.
Hubungan baik sejak zaman sekolah, terikat tidak hanya dalam kenangan. Hizwan masih Hizwan yang dia selesa dan percaya. Hizwan itu jugalah yang dia percayakan untuk jaga Raihana waktu Hizwan sambung pengajian kat UPM.
“Macam tahu-tahu ke Rai dapat pergi UPM. Allah hantar kau kat sana juga. Jaga Rai untuk aku.” Katanya dengan wajah berbunga, hari yang sama Hizwan dapat surat tawaran universiti. Hizwan cebir bibir. Bukan pasal dia kisah sangat nak jagakan Raihana. Dia tak kisah langsung pun. Raihana pun bukan budak umur sebulan dua yang dia dia perlu tukarkan lampin, buatkan susu segala. Dah besar panjang. Cuma tolong tengokkan je itupun atas dasar kawan. Dia rasa tak susah mana.
Yang Hizwan sakit hati tu, awal-awal dulu dia janji nak sama-sama sambung study kat UPM. Sama-sama nak jadi engineer kononnya. Sudahnya Qausar boleh mintak masuk UTM, Diploma Kejuruteraan Mekanikal Aeronautik. Boleh?
“Mak aku nak aku jadi pilot.” Kata dia membela diri.
“Tapi kau dah janji dengan aku.”
“Yelah. Tapi mak dengan kawan kena dulukan mak. Kau tahulah. Aku ni kan anak yang taat.” Hizwan putus harap bila Qausar dah guna nama Mak Ani. Mahu tak mahu memang kena akui yang Qausar ni dalam keadaan apapun akan patuh pada Mak Ani.
Dah berbelas tahun berlalu. Hubungan Hizwan dan Qausar masih rapat macam dulu. Kalau ikutkan perangai Qausar dengan Hizwan ni memang jauh beza. Hizwan ni gila-gila sikit. Merewang je kerjanya. Perempuan pun keliling pinggang masa zaman belajar dia. Cuma bila dia terima Dahlia yang mak dia berkenan sangat jadi menantu tu, perangai dia dah berubah terus. Tak ada dah perempuan  keliling pinggang lagi. Tak sangka dia berubah macam tu sekali. Qausar pulak jenis tak banyak cakap. Senyap. Banyak masa dia serius je. Kawan-kawan kat sekolah dulu kata dia ni gaya cikgu disiplin je. Memanjang buat muka serius. Kalau orang buat lawak pun, sikit je dia senyum. Susah nak tengok dia gelak. Tapi yelah, orang kata, perbezaan tu lah yang menyebabkan sesuatu hubungan tu kekal. 
“Ada Hanif call ke whats up kau ke?” Soal Hizwan. Hanif tu kawan dia masa kat sekolah menengah dulu. Anak cikgu bahasa inggeris, Cikgu Hasan namanya. Cikgu Hasan yang Qausar paling tak suka sebab pernah sebat bontot dia dengan rotan 3 kali gara-gara lupa nak siapkan kerja sekolah. Jadi sebab dia tak suka kat Cikgu Hasan, dia boikot tak suka sekali kat Hanif padahal Hanif tu punyalah baik dengan dia. Bapak yang rotan bontot dia, anak terpalit sama.
“Tak pulak. Ada apa?” Soal Qausar.
Reunion tu…”
Reunion?” Apa ke buat muka pelik sebut reunion? Benda tu tak pelik langsung. Yang peliknya cuma Qausar tak pernah boleh nak datang. Tu je.
“Ha…diorang nak buat raya haji nanti. Sebab time tu ramai yang balik kampong. Kau join?” Soal Hizwan lagi. Hizwan sebenarnya dah tahu jawapannya. Saja nak tanya. Mana tahu kali ni Qausar ubah fikiran ke. Nak datang bawak Munirah ke kenalkan kat kawan-kawan kan? Manalah tahu.
“Kerja.” Sepatah saja jawabnya.
“Ni dah reunion kali ke 5. Memang setiap kali reunion kau kena kerja. Ke memang sengaja Hanif buat reunion time kau kerja supaya kau tak dapat join?” Ayat tu dilontar dengan tawa tapi mendalam maksudnya. Sindir sampai lubuk hati paling dalam.
“Kau gila tuduh Hanif sampai macam tu?” Qausar gelak. Yelah, dia anggap Hanif tu musuh masa sekolah je dulu. Masa dia tak boleh nak fikir yang Cikgu Hasan atau panggilannya Sir Hasan buat macam tu kat dia untuk kebaikan diri dia. Bukan sengaja nak rotan bontot dia tak tentu hala. Sebab rotan Sir Hasan tu lah, dia boleh menguasai bahasa inggeris dengan baik padahal masa sekolah dulu dia benci betul dengan Sir Hasan tu.
Nasib baik sebelum SPM dia sempat minta maaf. Minta halal semua ilmu yang Sir Hasan bagi dan minta halal semua yang terumpat dan terkutuk secara sengaja atau tak. Nak pastikan ilmu berkat. Kot cikgu tak halal ilmu dia, bawak kapalterbang terhempas pulak karang. Takut juga kan. Walaupun Cikgu Hasan kata, semua cikgu akan mendoakan yang baik-baik saja untuk anak muridnya.
“Kut lah. Dendam lama. Kau datang tak ni?” Soalan diulang lagi.
“Kerja. Yang mana yang kau tak faham?”
“Juruterbang ada satu je ke kat Malaysia ni? Hebat sangat kau ni sampai orang lain tak boleh ganti?” Sinis. Qausar cebir bibir. Tak terasa langsung.
“Yang kau tu kerja macam orang gila, macam kau seorang je engineer dalam dunia ni aku tak pernah persoal pun.” Balas balik.
“Tapi aku masih ada masa untuk keluarga, untuk kawan-kawan. Kau? Kau dah macam duduk kat marikh tau. Sorang-sorang.” Hizwan jeling. Macamlah dia pernah rasa duduk kat Marikh.
“Alah! 5 kali reunion, aku tak pernah datang. Majlis macam biasa je kan? Tak cacat apapun.” Susah betul nak bagi Hizwan faham yang dia memang tak boleh nak datang reunion tu. Dan lagi, setiap kali ada reunion, setiap kali jugak dia kena bergaduh dengan Hizwan dan buat karangan 40 mukasurat kenapa dia tak boleh datang, tak nak datang dan takkan datang. Macam kehadiran dia penting sangat. Atau macam reunion tu penting sangat.
“Tapi kawan-kawan semua tanya pasal kau kat aku. Letihlah nak jawab.”
“Susah-susah kau tampal kertas kat dahi jendol kau tu. Tulis situ. Qausar kerja, tak dapat hadir reunion. Settle.” Memang sejenis cadangan nak mintak penampar. Kalau yang cakap tu bukan Qausar, memang dia nak bagi hadiah penampar je.
“Datang jelah. Raihana bukan datang pun.” Sengaja nama Raihana dipetik sama.
“Ni bukan sebab Rai la. Apa je aku buat, semua nak kaitkan dengan Rai. Kenapa? Bosanlah hidup ni kalau macam ni.” Marah pulak. Sebut nama Raihana je nak marah.
“Dah tu, kalau aku sebut Munirah kau macam tak berminat je. Aku sebut lah Raihana. Tu pun nak emosi. Kalau kau dah move on, dah tak simpan Raihana dalam hati. Let it be jelah.” Membebel pulak dia.
“Senang nya kau cakap kan.”
“Salah? Tengok aku. 100 kali pun orang sebut pasal Wardah, aku tak gegar pun. Wardah tu cuma sebahagian kisah silam aku je. Sekarang aku dah ada Dahlia. Time reunion, aku rilek je kenalkan Dahlia dengan Wardah ‘ini bekas kekasih abang.’. Dahlia ok je. Kau ni yang emosi lebih-lebih.” Tadi dia yang mulakan, petik nama Raihana tak tentu pasal. Bila Qausar marah, dia marah Qausar balik.
“Kita ni hidup, kena berani terima kenyataan. Jangan terus dihantui kenangan. Kau ni bila nak move on? Sampai bila kau nak macam ni? Munirah kan ada. Bukak lah mata luas-luas. Nak ditagih bini orang tu kenapa? Kulit kau tu dah tebal sangat nak tahan api neraka? Berdosa woi!” Qausar pandang Hizwan dengan muka marah.
“Bila pulak aku cakap aku tagih bini orang?” Qausar melawan pulak.
“Dah tu? Sampai bila kau nak macam ni. Kalau kau dah move on. Dah lupakan bini orang tu, kau dah tak macam ni tau.”
“Macam ni yang macam mana?” Qausar dah mula naik rimas. Hizwan ni kalau dia dah start membebel, memang Mak Ani pun kalah. Tu belum dia keluar teori harapan, teori masa depan dengan macam-macam teori lagi yang kadang-kadang tak masuk akal. Tapi disebabkan dalam dunia ni, hanya Hizwan kawan dia yang paling memahami, dia tahankan je cuping telinga dia yang macam nak cair setiap kali mode membebel dia jadi aktif. Dia ni agaknya dulu masa dalam perut patutnya jadi perempuan. Keluar-keluar jadi jantan. Tu kuat membebel tu. Eh! Boleh macam tu?
“Macam orang mati bini.”
“Aku kalau mati bini, aku cari lain.” Qausar gelak. Marah Qausar ni kalau dengan Hizwan, 5 minit tak sampai. Lepas tu dah boleh bergelak tawa semula. Kalau dengan orang lain, payah betul nak bergurau senda macam ni.
“Serius? Ni yang bukan bini, belum mati pun, kenapa kau tak boleh cari lain.”
“Aku kan ada Munirah. Kau nak suruh aku cari berapa ramai lagi pulak. Dengar Munirah karang kecik hati dia pulak.” Amboi. Dah pandai jaga hati Munirah pulak sekarang ni.
“Munirah?”
“Kenapa dengan Munirah?” Qausar malas nak tengok muka Hizwan yang dia tahu tengah pandang dia dengan muka sinis dia tu. Malas nak sambung merepek dengan teori entah apa-apa.
“Kau anggap Munirah tu apa sebenarnya?” Mulalah tu.
“Perempuan lah..” Qausar gelak paksa.
“Aku serius ni Sar…” Hizwan dah betulkan duduk tak puas hati dengan jawapan Qausar.
“Kalau aku lah ada tunang baik macam Munirah tu, aku mintak mak aku kahwinkan aku cepat tau. Mak aku belum sebut kahwin lagi aku dah suruh mak aku kahwinkan aku.” Qausar gelak.
“Dah Munirah nak kat aku. Tak nak kat kau. Takkan tu pun salah aku. Dah memang dari azali aku lagi hot dari kau.”
“Munirah yang salah pilih.”
“Mak dia lah. Kan mak dia yang nak sangat bermenantukan aku tu. Nampak aku ni? Ciri-ciri menantu idaman aku macam mana.” Qausar gelak lagi.
“Kau momok bakal mak mertua kau ye.”
“Mana ada. Aku cakap yang betul je. Hanya permata mengenal manikam tau.” Eksen tak tentu hala. Dah sama kena lah dengan Hizwan kawan dunia akhirat dia tu.
Diam.
            “Sar…”
            “Ha… ”
            “Kau sayang aku tak?” Ayat tu buat Qausar yang tadi duduk diam termenung layan perasaan, buntang biji mata pandang Hizwan.
            “Kau jangan macam-macamWan. Anak kau dah masuk dua. Dalam dunia ni, dalam banyak-banyak kawan, engkau lah aku rasa kawan yang paling kawan sekali. Kau jangan nak rosakkan….”
            “Kau mengarut apa ni ..setaaannnnnn.” Tawa Qausar meletus.
            “Memang sayang tu untuk orang bercinta je?”
            “Dah tu…berbelas tahun aku jadi kawan kau, kau tak pernah tanya. Tiba-tiba cakap pasal sayang. Mahu tak nerveous aku ni?” Tawa Qausar meledak lagi.
“Aku baru nak bagi nasihat dengan nada paling sweet ni. Potong lah kau.” Hizwan bagi satu tamparan kuat kat lengan Qausar.
“Ok…sorry….apa nasihatnya tu sayang.”
“Engkau ni kan…aku bodohkan kau karang. Jadi bodoh terus.”

“Bodoh-bodoh pun, aku jadi pilot tau!” Tawa meledak kuat! Gila!

Wednesday, 10 February 2016

Kapcai Biru Kenari Kuning (Bab 2) ~ Fizziany

PAGI-PAGI LAGI Alisya sudah menapak ke arah jalanraya. Di pandang ke kiri dan ke kanan. Jalan yang panjang. Jalan yang agak lengang. Jalan kampung. Nun di seberang jalan, terdapat tali air yang mengairi sawah yang sedang menghijau dengan anak padi yang baru ditabur 2 minggu.
Di hujung pemandangan sawah yang luas menghijau itu, kawasan bukit bukau berwarna biru melatari pemandangan kampung itu. Satu pemandangan yang sempurna di mata Alisya!
Alisya tersenyum meleret. Dia mengepal-ngepal jemarinya. Di mana dia hendak bermula? Kakinya melangkah ke depan sedikit.
“Alis!!!” terdengar laungan Tok Cah secara tiba-tiba. Pantas Alisya memandang ke arah rumah neneknya. Kelihatan Tok Cah sedang bercekak pinggang di pintu dapur. Tok Cah menggamitnya pulang. Pantas, Alisya berlari-lari anak kembali ke laman.
“Nak kemana? Kan tok cakap, petang nanti tok bawak kamu ke rumah Wani...” kata Tok Cah dengan senduk di tangan. Tengahari ini, dia nak memasak sedap sikit. Selalunya, bila tinggal seorang diri, makan apa pun tak apa. Asalkan perut kenyang. Tapi, bila Alisya ada, dia hendak juga berebut makan dengan cucunya yang satu ini.
“Ala...tengok-tengok sawah saja...” kata Alisya protes. Risau sangat Tok Cah akan dia. Rimas Alisya dibuatnya. Tok Cah masuk semula ke dalam rumah untuk memasak.
“Masuk, mari tolong tok masak gulai ni...” arah Tok Cah dari dalam rumah. Alisya masih di luar rumah. Melalui tiang-tiang rumah yang tinggi, Alisya dapat lihat rimbunan pohon-pohon pisang yang banyak di belakang rumah neneknya. Sejak bila tok tanam pisang. Getus hatinya.
Melihat buah-buah pisang yang nampaknya sedang mahu masak dengan warna kuning keemasan yang cantik, menggamit hati Alisya untuk meneroka kawasan itu.
Alisya melangkah kaki ke belakang rumah. Pagar buluh yang di buat bagi membahagikan kawasan rumah dan kebun di buka dan Alisya terus masuk. Pokok-pokok pisang itu merimbun dengan subur. Bahkan, kebun yang nampaknya terjaga dengan elok itu langsung tidak ada semak samun. Rumputnya ditebas dengan elok. Alisya asyik mejamu mata dengan pemandangan baru itu sambil langkah kakinya makin jauh ke dalam kebun pisang.
Ada beberapa pokok nenas yang daunnya berduri di tepi telaga kecil. Alisya merapati telaga kecil itu lalu menjengah ke dalam telaga. Air telaga yang jernih membiaskan wajahnya yang putih bersih. Alisya tersenyum sendirian merenung wajahnya di air.
“Erkk..Hmm..” deheman kasar serta merta menghapus angan Alisya yang sedang tersenyum. Pantas dia tersentak dan terus menoleh ke belakang. Darah Alisya berderau bila ditegur secara tiba-tiba sebegitu.
Seorang lelaki yang berkemeja lusuh warna kelabu dan seluar jeans lusuh berwarna biru tegak berdiri di belakangnya kira-kira 5 meter darinya.  Alisya memandang lelaki itu kehairanan. Lelaki itu juga memandangnya penuh curiga. Wajah lelaki itu cerah, tampak begitu matang dengan alis kening yang panjang dan hidung yang mancung. Dagunya yang berlekuk, sukar dilihat pada lelaki biasa. Hensem...bisik hati Alisya sendirian.
Lelaki itu memandang Alisya lagi. Dia kemudian menapak perlahan-lahan ke arah telaga. Alisya hanya diam memerhatikannya tanpa suara. Lelaki itu masih memandangnya walau sedang berjalan menuju ke telaga.
Sebiji tong kecil yang diikat tali sebagai timba, diambil dan lelaki itu menjatuhkan timba itu ke dalam perigi. Alisya yang berdiri di tepinya tidak dihiraukan. Timba ditarik ke atas bila air sudah penuh. Lelaki itu terus membawa timba berisi air ke arah beberapa pokok pisang dan dia duduk di satu tunggul pokok yang sudah dicantas elok. Batu pengasah dikeluarkan dan dia terus mengasah parang di tangannya.
Alisya hanya memandang lelaki itu. Lelaki itu begitu asyik dengan kerjanya. Alisya memerhatikan sekelilingnya. Dia nampak ada sebuah rumah yang kecil di hujung kebun. Rumah itu terletak di tanah sebelah yang bersambung dengan tanah milik neneknya.
“Awak ni siapa ye...kenapa ada kat kebun pisang tok?” soal Alisya berani. Dia memberanikan diri memandang lelaki itu. Perlahan-lahan, langkahnya diatur ke arah lelaki itu. Lelaki itu tidak memandangnya, sebaliknya terus mengasah parang dengan khusyuk.
Melihat soalannya tidak berjawab, Alisya mendengus. Dipandang parang yang sedang diasah pula. Hisy...tak boleh jadi ni. Harap muka je hensem, belum tentu dia baik. Nasib tak baik, parang tu naik atas kepala aku pulak....Alisya meneguk air liur pekat. Gelisah. Adegan drama Tamil yang selalu menghayun parang kepada orang segera terbias diingatannya. Ngeri pula Alisya jadinya.
Alisya berundur perlahan-lahan. Kemudian menapak laju meninggalkan kebun pisang neneknya itu. Dari jauh, lelaki itu mengangkat wajahnya merenung langkah Alisya yang laju meninggalkannya. Lelaki itu mengukir senyum sinis, kemudian kembali meneruskan kerjanya.



“KAU ke mana?” sebaik dia muncul di pintu dapur, Tok Cah sudah bercekak pinggang. Alisya terus menuju ke meja makan tanpa rasa bersalah. Kerusi ditarik dan dia terus duduk. Tok Cah turut duduk sama, menghadap makanan yang sudah tersedia di depan mereka.
“Kebun pisang tok ke, belakang ni?”soal Alisya sambil menunjukkan ke arah belakang rumah neneknya.
“Ha’a..” angguk Tok Cah sambil mencedok nasi ke pinggan.
“Siapa yang jaga kebun tu?” soal Alisya lagi. Wajah lelaki muda tadi masih lekat di kotak ingatannya. Tok Cah  memandang Alisya kehairanan.
“Kamu pergi kebun ke tadi?” soal Tok Cah lagi. Alisya mengangguk saja. Tok Cah senyum simpul.
“Amir...Dia yang tolong jaga kebun tu...dapatlah jugak tanah tu dimanfaatkan dari dibiar penuh semak samun...Kamu jumpa dia tadi?” soal Tok Cah lagi. Dia sudah memulakan makan sebaik habis berdoa.
“Lelaki yang putih-putih...tinggi-tinggi tu ke? Hidung mancung macam hero Hindustan tu?” soal Alisya lagi. Tok Cah angguk sambil senyum gelihati.
“Sempat jugak kau menelek muka dia...” perli Tok Cah lucu. Banyak sangat tengok cerita Hindustan si Alisya nih!  Alisya menarik nafas geram.
“Scary muka dia...” Alisya membebel sabil mencedok kuah gulai  ke dalam pinggan nasinya.
“Scary? Apa tu?” soal Tok Cah bila melihat Alisya menjungkit bahunya ketakutan.
“Menakutkan!” kata Alisya. Tok Cah merenung wajah Alisya aneh.
“Budak tu baik...apa yang takutnya?” soal Tok Cah. Alisya menggeleng-geleng.
“Mata dia macam harimau bila pandang orang. Takut...” komen Alisya lagi. Tok Cah tersengih lucu.
“Dia memang macam tu. Dia tak kenal kamu lagi kot. Sebab tu dia pandang kamu macam pandang orang bersalah. Tiba-tiba masuk kebun pisang orang...Nasib baik dia tak halau kamu...” kata Tok Cah. Alisya diam saja. Wajah lelaki itu muncul lagi di ingatannya.



“ASSALAMUALAIKUM..”  suara lelaki jelas kedengaran di depan rumah. Alisya yang asyik menonton televisyen bergegas bangun membuka pintu rumah. Sebaik pintu rumah dibuka, wajah lelaki yang ditemuinya di kebun pisang pagi tadi tersembul di depan tangga. Alisya dan lelaki itu saling berpandangan. Terkedu sekejap Alisya melihat lelaki itu.
Lelaki itu juga nampak tidak selesa melihat Alisya yang membuka pintu. Lelaki itu menyeluk kocek kemejanya dan mengeluarkan sekeping sampul berwarna coklat muda.
“Tok Cah ada?” soal lelaki itu tenang sambil matanya memandang wajah Alisya. Alisya angguk pantas, kemudian masuk ke dalam rumah.
“Tok!!” Tok Cah yang baru keluar dari bilik air dipanggil segera. Tok Cah menapak ke muka pintu.
“Ada apa?” soal Tok Cah memandang Alisya yang terkulat-kulat di muka pintu. Alisya menuding jari telunjuknya ke tanah. Di hujung tangga, lelaki itu masih menanti. Tok Cah keluar ke anjung rumah.
“Oh...kau Amir. Kenapa tak naik?” pelawa Tok Cah. Selalunya, Amir akan naik ke anjung rumah dan berbual-bual dengan Tok Cah. Tapi kali ini, dia hanya berdiri di hujung tangga.
“Oh..tak apa tok. Saya nak hantar duit pisang saja...” Amir naik 2 anak tangga dan menghulurkan sampul itu kepada Tok Cah yang turun ke tangga.
“Kamu dah makan?” soal Tok Cah lagi. Langkah Amir yang nampaknya mahu bergegas pulang terhenti sejenak.
“Saya nak pergi kedai Kak Yan tok..” ujar Amir. Dia tidak biasa berbohong dengan Tok Cah. Tok Cah mengdengus.
“Tak payah susah-susah makan luar. Tok masak banyak hari ni..Jom makan!” ajak Tok Cah. Amir jelas kelihatan segan. Barangkali kerana ada anak dara yang sedang memandangnya di muka pintu dengan mata yang tak berkedip!
“Tak apa tok...Lain kali sajalah..” tolak Amir segan.
“Eh, jangan macam tu...mari!” Tok Cah sudah pun naik ke rumah dengan harapan Amir naik ke rumah juga. Alisya masih di muka pintu memandang Amir dan Tok Cah. Amir terkesima. Tok Cah nampaknya sudah ke dapur barangkali, menyendukkan nasi untuknya seperti biasa.
“Naiklah...” melihat Amir yang masih tercegat macam kulat di hujung tangga, Alisya terus bersuara. Amir menghela nafas berat. Alisya melangkah ke dalam rumah. Dengan berat hati, Amir menanggalkan kasutnya dan mendaki anak tangga ke rumah Tok Cah.



“MAKAN. Tambah lagi nasi tu...tadi tok nak panggil kamu makan sekali, tapi si Alis ni dah makan dulu...jadi tok ikut sajalah..” kata Tok Cah ramah bercerita. Sejak Amir masuk makan tadi, dia tak habis-habis bersembang pasal pisang dengan Amir. Alisya hanya curi-curi pasang telinga perbualan mereka dari atas.
“Yang tadi tu...cucu tok. Dia tinggal di Petaling Jaya. Tengah tunggu SPM. Itu yang mak dia hantar duduk sini...nak habiskan masa kat sini sementara nak tunggu keputusan SPM keluar...” panjang lebar Tok Cah bercerita tentang Alisya pada Amir.
“Oo...” dan Amir langsung tidak menunjukkan sebarang minat. Hanya..’ooo” yang keluar dari mulutnya. Tak fahamkah Tok Cah yang si Amir tu tak berminat nak tahu kisah Alisya? Alisya rasa sebal. Tidak adil kalau cerita tentangnya saja dijaja pada lelaki itu. Dia berhak juga tahu kisah lelaki itu!
Alisya bangun, lalu turun ke dapur. Dia pura-pura ke peti ais dan mengeluarkan sebotol air masak sejuk. Lalu dia turut duduk sekali di meja makan, di hadapan Amir. Amir sempat menjeling ke arah Alisya yang sedang membuka penutup botol.
“Alis...ni Amir, yang jaga kebun pisang tok..” kata Tok Cah. Alisya memandang Amir di depannya dan mengukir senyum. Hai...Rasa macam nak lambai tangan saja. Namun Amir tidak membalas senyumannya, tetapi hanya tunduk hormat. Alisya terkedu. Terus mati angannya untuk jadi peramah.
“Dah sudah ke?” soal Tok Cah bila Amir tiba-tiba bangun dan membawa pinggan ke sinki.

“Dah tok...banyak dah saya makan. Terima kasih..” kata Amir sambil membasuh pinggannya di sinki. Alisya hanya memandang Amir yang membelakanginya. Sungguh, dia tidak pernah nampak ayahnya mebasuh pinggan. Malah, dia sendiri tidak pernah membasuh pinggan. Selalunya kerja-kerja itu dibuat oleh orang gaji mereka. Melihat Amir membasuh pinggan di sinki, Alisya terpana.

Friday, 5 February 2016

Mana Pelamin Qausar (Bab 1) ~ Hananee Amir

Bukan semua kisah cinta hujungnya bahagia. Bukan sikit kisah cinta tamatnya derita. Kita merancang, Allah yang menentukan. Cinta bukan indah macam tulisan novel, macam drama kat tv. Hidup ni skripnya kadang-kadang jauh tersasar. Bukan silap siapa-siapa. Memang begitu kejadiannya. Ada masanya,  Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah. Agar kita bersyukur saat kita bertemu orang yang benar.
            Kisah cinta Raihana dan Qausar pada sesetengah orang barangkali hanya cinta monyet biasa. Kisahnya bermula sejak tingkatan 3. Hubungan Raihana dan Qausar bukan lagi rahsia. Saamada Pak Usin atau Haji Salim, samaada Hajah Maznah dan Mak Ani, keduanya sudah memberi restu. Jarak rumah keduanya juga tak jauh mana. Sepelaung je bak kata Haji Salim. Semuanya nampak mudah pada mulanya. Semuanya nampak elok-elok saja. Tapi kita bukan siapa-siapa, untuk meneka apa yang akan berlaku keesokan harinya.
            “Aku memang berkenan nak buat Rai jadi menantu aku Nah. Kalau kau tak ada halangan.” Kata Mak Ani. Dulu. Waktu tu Raihana baru tingkatan 4. Hajah Maznah yang sedang menatang dulang kopi tergelak kecil. Baru tingkatan 4 dah ada orang cop!
            “Baru tingkatan empat je Ani oi. Lap hingus pun belum bersih lagi. Karang tak pasal-pasal kita pulak kena lap hingus dia orang. Dengan tisu lap hingus tu sekali kita yang kena belikan. Dah jauh sangat kau fikir tu.” Balas Hajah Maznah.
            “Kau tak setuju? Kau tak suka Qausar jadi menantu kau?” Mak Ani macam tak puas hati sebab Hajah Maznah macam tak setuju dengan cadangan dia. Dan lagi, reaksi Hajah Maznah macam nak tolak anak kesayangan dia. Mestilah dia merentan. Anak kesayangan dia tu.
            “Tak adalah macam tu. Aku pun suka kalau Qausar jadi menantu aku. Rumah pun dekat. Anak aku, itulah Raihana seorang. Kalau kahwin orang dekat, senang sikit nak berunding balik raya nak-nak nya. Tapi kau tak rasa terlalu awal nak bukak cerita pasal berbesan?” Belum apa-apa, dah fikir tentang rundingan nak balik raya. Bahu Mak Ani ditepuk perlahan. Takut lah Mak Ani kecik hati.
Mana lah tahu dia fikir lain pulak. Padahal Hajah Maznah tak niat pun nak rendah-rendahkan dia dan keluarga dia tu. Jujurnya, Hajah Maznah memang berkenan dengan Qausar juga. Budi bahasanya baik. Paling penting, Qausar rajin nak solat ke masjid walaupun dia masih muda. Nampak tu? Ciri-ciri menantu pilihan? Susah nak cari budak muda baya-baya dia tu, selalu ke masjid apatah lagi solat subuh. Sebut pasal jihad, perjuangan segala, berdegar-degar sampai Gunung Fuji pun boleh runtuh. Nak bangkit solat subuh je tak berdaya memaksa diri.
            “Zaman sekarang Nah, zaman siapa cepat, dia dapat.” Mak Ani separuh bisik.
            “Kira kau cop Raihana lah?” Hajah Maznah gelak.
            “Kalau kau sudi. Kau boleh cop Qausar sekali. Budak-budak tu pun suka sama suka aku tengoknya. Aku setuju je. Dari dia pilih budak yang tak tentu hala kat luar, baik dia pilih jiran tetangga yang dah tahu busuk masamnya.” Sungguh-sungguh Mak Ani menanam impian. Hajah Maznah tak ada bantahan. Macam yang dia cakap awal-awal tadi. Dia memang tak ada halangan.
            Waktu zaman sekolah, semuanya baik-baik saja. Raihana dan Qausar memang jarang nak bergaduh. Gaduh sikit-sikit tu biasalah. Cemburu sikit-sikit pun biasalah. Semuanya aman damai saja. Qausar penyayang orangnya. Raihana pulak manja. Kan dah kena padanannya tu.
            “Nanti Rai tak nak tunggu lama-lama.” Kata Raihana kat buaian besi bawah rumah. Kat situlah selalunya Raihana, Qausar dan Hizwan melepak bertiga. Tiga orang ni memang kawan baik sejak sekolah rendah lagi. Hizwan ada sama waktu tu. Sibuk dengan komik Naruto kat tangan. Hanya sekali sekala saja dia menyampuk. Selebihnya dia khayal dalam dunia anime nya. Dia ni memang hantu komik. Segala jenis komik dia baca. Dragon Ball, Mutiara Naga, Raja Rimba, Juara Wira, Dewata Raya.
            “Maksud?” Qausar kerut dahi.
            “Rai nak habiskan study, lepas tu kita kahwin terus.” Itulah yang Qausar paling suka dengan Raihana. Dia sangat berterus terang. Apa yang dilihat, itulah dia yang sebenarnya. Dia tidak bersembunyi disebalik apa-apa. Yang buruk nampak begitu. Yang baiknya pun nampak begitu. Ah! Masa suka memang semuanya nampak indah!
            “Mana boleh. Kena tunggu saya confirm jadi pilot. Kapten Ghazi kata, masa masih dalam latihan, tak boleh kahwin.” Balas Qausar. Dalam tak suka dan tak minat jadi pilot macam impian Mak Ani tu, dia cari juga maklumat sikit-sikit dari Kapten Ghazi. Anak Wan Seman ketua kampong tu. Cita-cita dia nak jadi engineer. Sama macam cita-cita Hizwan juga. Tapi Mak Ani nak dia jadi pilot. Terbang tinggi mencari cinta katanya. Jadi antara impian dia dan impian Mak Ani, dia dulukan Mak Ani. Dalam segala hal, memang dia akan dulukan Mak Ani. Macam mana Mak Ani boleh tak sayang dia? Macam mana Qaisara tak jadi cemburu dengan Qausar sebab Mak Ani selalu menyebut dia? Anak taat dan patuh macam ni, dah susah nak dapat dalam dunia.
            “Lama lah?” Muka kecewa habis. Boleh bayang budak tingkatan empat, cerita pasal nikah kahwin lepas tu kecewa sebab tak boleh kahwin awal? Nak sebut apa? Gatal?
            “Kalau ikut Kapten Ghazi. Umur 25 dah boleh kahwin. Oklah time tu. Masuk UTM, jadi pegawai kadet. Diploma Kejuruteraan Aeronautik 3 tahun. Lepas tu akan diserapkan ke Pusat Latihan Terbang untuk  ambil basic flying dalam dua tahun. Tamat basic flying nanti, akan dianugerahkan  ‘sayap penerbangan’. Lepas tu kena ikut conversion course samaada untuk pesawat pejuang, pesawat angkut atau helicopter. Dalam umur 23 macam tu, baru jadi pilot dengan title leftenen. Time tu baru boleh kahwin.” Kapten Ghazi tu, senior Qausar masa kat sekolah menengah yang dah jadi pilot dah pun. Jadi banyak juga maklumat yang dia dapat dari Kapten Ghazi. Semua maklumat tu dia dapat dari Kapten Ghazi lah.
            “Kata tak nak jadi pilot. Tapi beria cari maklumat macam dah tak sabar sangat nak terbang.” Raihana senyum senget sengaja nak sindir. Dia bukan kisah pun Qausar nak jadi engineer ke, nak jadi pilot ke hatta nak jadi tukang kebun ke. Yang penting kerjanya halal. Cuma dia memang tahu yang Qausar nak jadi engineer sama macam Hizwan. Tapi Mak Ani nak dia jadi pilot. Itu je. Hal anak beranak, dia malas nak campur. Makwe boleh cari kat mana-mana. Mak, itulah seorang sampai bila-bila tak ada galang gantinya.
            “Itu dikenali sebagai ‘anak yang taat’” Tiba-tiba Hizwan buat gaya nak termuntah. Nampak sangat sambil baca komik dia tu, dia duk pasang telinga. Dia ni memang selalu je menyibuk kat mana-mana Raihana ada. Sebab dia kata, lelaki dengan perempuan kalau berduaan, akan ada yang ketiga iaitu syaitan. Raihana tanpa perasaan pun kata.
            “Jadi kau lah syaitan tu. Kau yang ketiga.” Qausar menghambur tawa besar.
Syaitan tak syaitan pun, Hizwan tu lah kawan terbaik yang Raihana dan Qausar ada. Disebalik sikap dia yang kadang-kadang atau lebih tepat, ‘selalu menjengkelkan’. Tapi tu lah juga kawan yang paling kawan, kawan yang paling faham. Tutup mata sebelah dengan perangai menjengkelkan dia tu, maka Raihana dan Qausar akan bersyukur sebab ada kawan yang ‘hampir sempurna’. Kawan susah senang. Kawan yang mulut macam puaka tapi hati macam malaikat. Tapi yang tu, dia sebut dalam hati je. Tak nak Hizwan dengar. Saja tak nak bagi Hizwan mengepak. Nanti dia jadi riak, pahala dia pun jadi kurang!
            “Ok..Rai tunggu. Tapi tak nak lama-lama tau.” Getik sungguh lah perbualan. Hizwan punyalah berbulu mendengar siap buat muka menyampah semua. Ni kalau muntah dah bukan warna hijau lagi. Merah, oren, jingga, semua ada dah ni.
            “SPM tak habis lagi dah bincang pasal kahwin? Apa ke masalah kau orang ni? Kau ingat kahwin tu senang? Macam main pondok-pondok?” Sampuk Hizwan. Komik tiga buah dah habis dibaca. Dia lunjur kaki. Menguap dan menggeliat. Kalau komik memang gigih dia baca. Baca 3 komik pun tak rasa apa. Cuba kalau baca buku sejarah ke, geografi ke, 3 mukasurat pun dah menderita gila rupanya. 
            “Cerita kahwin bukan cerita mulia ke? Bukan impian mulia?”
            “Mulialah. Tapi kalau yang sebut pasal kahwin tu budak umur 16 tahun, tak ke gedik namanya.” Hizwan gelak. Kasanova sorang ni manalah ada fikir nak kahwin. Tukar perempuan macam tukar baju je. Mentang-mentang lah muka handsome.
            Hubungan baik tu berubah sedikit demi sedikit selepas Raihana masuk UPM. Mereka dah selalu bergaduh. Jarak barangkali memisahkan. Kejujuran mula jadi keraguan. Qausar dulu tak ada nak cemburu-cemburu sangat. Kalau sikit-sikit tu adat. Raihana tak pernah rasa terkongkong. Raihana ni pulak, memang tak suka dikongkong. Maklumlah, dia kan anak tunggal. Biasa dapat apa yang dia nak. Biasa diturut apa yang dia mahu. Tegur sikit-sikit tu adalah. Setakat tegur, pergi Hari Sukan pakai baju lengan pendek, setakat tegur jangan bergurau senda sampai bertepuk tampar dengan Hizwan tu masih biasa. Sebab dia kata walau macam mana rapat pun Raihana dengn Hizwan, tarafnya tetap bukan muhrim jadi tak payah nak bertepuk tampar sangat. Dosa tetap dosa. Cemburu nombor dua, tegur-menegur, tu yang utama. Bila Raihana masuk UPM dan Qausar kat UTM, ceritanya dah berbeza.
            “Kau rilek lah. Apa gelabah sangat ni. Aku ada, aku tengokkan Rai. Jangan risaulah. Tumpukan perhatian pada pelajaran kau. Tu lebih utama dan lebih penting. Kau ingat, Mak Ani nak kau jadi pilot. Jangan sebab hal-hal macam ni nanti Mak Ani jadi kecewa. Raihana memang penting. Tapi Mak Ani lebih penting. Kau kan anak yang taat. Ingat tu.” Bebel Hizwan kat telefon waktu Qausar call semata-mata tanya pasal Raihana.
            “Kau tu jangan rapat sangat dengan Aakhif.” Tegur Hizwan sewaktu dia dan Raihana berjalan pulang balik ke kampus selepas tamat kuliah. Satu petang yang damai, dalam jerebu sumbangan jiran kesayangan, Indonesia. Nafas rasa sesak tapi malas nak pakai mask. Jadi sedut jelah jerebu yang bau asap tu. Time ni tak payah nak gigih sangat sembur perfume yang mahal-mahal sebab semuanya akan bertukar menjadi bau sama je. Asap!
            “Kau dah kenapa? Terhasut dengan Qausar?” Raihana tarik muka.
            “Kau keluar dengan Aakhif kan semalam? Pergi Mines?” Raihana tarik muka lagi satu darjah. Lebih masam dari tadi. Kalau tak kerana Qausar sungguh-sungguh suruh jaga dan tengok-tengokkan Raihana, dia memang malas nak masuk campur hal Raihana ni. Dah besar panjang. Tegur sikit, muncung dua tiga hari. Dia buat semua ni semata-mata kerana Qausar je. Lagipun, Hizwan yakin Raihana tahu jaga diri. Hizwan yakin. Raihana jujur dan setia dengan Qausar. Cuma masalahnya Qausar tak yakin. Dan Hizwan jadi mangsa kat tengah-tengahnya!
            “Bukan berdua pun. Aleya dengan Tony ikut sekali.” Dia jeling.
            “Tak cakap dengan aku pun.”
            “Dah sejak bila aku kena report semua aktiviti aku dengan kau?” Ha! Nampak? Nampak tak yang Raihana ni tak faham bahawa beban dan amanah yang terpikul dibatu jemala Hizwan dari Qausar untuk jagakan dia ni amat besar? Ini cerita amanah. Raihana tahu tak, orang yang tak memenuhi amanah tu adalah salah satu ciri-ciri munafik? Takkan tu pun nak cerita kat dia padahal dia ni sekolah agama tinggi juga. Anak imam terkenal lagi kat kampong sana. Nak sangat anak kerani sekolah macam Hizwan ni terangkan semua? Nak suruh kasanova ni cerita bab agama? Bab setia? Huh!
            “At least kau bagitahu lah aku kau nak ke Mines dengan Aakhif, dengan Leya, dengan Tony. Kalau Qausar tanya, senang aku nak jawab. Kau pun tahu sekarang ni Qausar buat aku macam cctv kat sini. Hari-hari call aku tanya pasal kau. Dah tu apa nak jawab?”
            “Cakap jelah kau tak tahu. Susah apa.”
            “Kalau Qausar tu terima perkataan tak tahu ..senang kerja aku. Aku record je. Bila Qausar call, aku tekan play je. Masalahnya dia tak nak jawapan tak tahu.”
            “Kalau tak pun kau reka je cerita apa-apa. Qausar percayakan kau.” Senangnya dia cakap. Sekarang ni, nak cakap dengan Raihana susah. Nak cakap dengan Qausar lagi susah. Dua-dua tak dengar kata. Kalau tahu nak jadi macam ni. Baik dia apply universiti kat Maldives ke, kat Papua New Guinea ke. Jadi tak payah terbabit dengan masalah cinta dua makhluk yang bermasalah ni. Tapi tak tahu pulak Maldives dengan Papua New Guinea tu ada ke universiti? Lagipun kalau study jauh-jauh sangat nanti dia rindu pulak dengan Qausar. Dia ni memang tak boleh lama tinggalkan Qausar. Gaduh pun gaduh jugak. Tapi berpisah lama-lama memang tak boleh.
            “Ni amanah. Kalau aku tipu, dah jadi tak amanah. Tak amanah tu dosa. Munafik. Ada paham?” Rasa nak marah. Memang dah marah pun. Raihana dengan Qausar ni kira dia punya marah je. Ingat Hizwan tak tahu nak marah? Kasanova pun tahu marah tau.
            Mulanya Hizwan ingat semua tu sementara je. Yelah, dulu duduk dekat-dekat. Nampak depan muka. Sekarang dah jauh. Hizwan ingat jeles sikit-sikit, gaduh sikit tu biasa. Makin lama makin jadik teruk pulak. Hizwan dah cuba seberapa daya nak tolong. Tapi akhirnya dia tak terdaya juga.
Sejak Raihana hantar gambar dia dengan Aakhif, masa tu kat puncak gunung mana entah untuk satu aktiviti kelab, cemburu Qausar makin tak terkawal. Hizwan mulanya tak salahkan Qausar. Salah Raihana juga. Yang cari pasal hantar gambar-gambar macam tu kenapa? Sebenarnya banyak juga gambar yang Raihana hantar melalui email pada Qausar. Niat dia nak bercerita tentang aktiviti kelab dia je. Qausar jadi cemburu sebab salah satu gambar yang dihantar tu ialah gambar Raihana dengan Aakhif. Gambar duduk atas batu pegang bendera UPM je. Bukan gambar berpeluk cium ke bermesra-mesra ke. Tak. Tapi kalau dah namanya cemburu buta. Dengan bendera pun dia nak cemburu. Start dari tu, Raihana dan Qausar dah selalu sangat bergaduh. Mangsanya sekali lagi, Hizwan.
Kat UPM, Raihana tak nak dengar cakap Hizwan padahal Hizwan dah janji dengan Qausar nak jaga Raihana. Kat UTM pulak, Qausar tak tentu arah asyik call Hizwan tanya pasal Raihana.
“Ni kau orang ni…. kalau tak kerana Qausar tak boleh kahwin sampai tamat kursus, aku memang nak suruh kahwin je. Kau orang yang bercinta, aku yang jadi gila. Aku ada 10 girlfriend pun tak huru hara macam kau orang ni tau!” Marah Hizwan pada Raihana. Dia berani marah Raihana jelah. Dengan Qausar dia tak cakap apa pulak. Lain.
Gaduh tak gaduh, cemburu tak cemburu pun, hubungan Raihana dan Qausar masih boleh dipertahan sampai semester akhir pengajian. Sekejap baik. Sekejap gaduh. Sekejap cemburu. Sekejap ok. Selalunya yang ok tu time cuti semester bila Raihana balik kampong dan duduk rumah je. Time tu tak ada gaduh. Time tu, dia orang sambung balik plan nak kahwin awal dia orang tu sambil Hizwan rasa tambah berbulu kat hati dengan telinga. Tapi bila semester bermula semula, start gaduh semula. Startlah Hizwan juga yang jadi mangsa.
Sampai lah satu hari disemester akhir. Semuanya berakhir disitu kerana satu peristiwa yang membuat Qausar kesal sampai bila-bila.

12 tahun lalu, ceritanya pun bermula…

Thursday, 4 February 2016

Kapcai Biru Kenari Kuning (Bab 1) ~ Fizziany

KERETA MERCEDES BENZ  berwarna hitam metalik menyusur jalan kecil di hadapan rumah kampung Tok Cah.  Bunyi deruman enjin kereta tersebut membuatkan Tok Cah segera keluar ke anjung rumah untuk menyambut ketibaan anak menantunya. Semalam, anak perempuannya Puan Narimah telah menelefonnya dan memaklumkan akan kepulangan mereka hari ini. Besar hati Tok Cah mendengar berita itu.
Bila kereta itu sudah berhenti, Tok Cah sudah turun ke tanah. Anak tudung yang dipakai di kepalanya, dibetulkan sekali-sekala. Bimbang ada anak rambut yang terjulur keluar. Isi perut kereta keluar dan menampakkan susuk tubuh masing-masing.
“Assalamualaikum mak,” ramah Puan Narimah menyapa Tok Cah sebaik keluar dari kereta. Tubuh Tok Cah yang sudah bongkok sedikit diraih ke dalam pelukan. Suaminya, Encik Ahmad Kamal keluar dari kereta dan menyalami tangan Tok Cah sambil bertanya khabar.
“Mana Alis?” Tok Cah menjengah ke tempat duduk belakang kereta yang agak lewat dibuka dari dalam. Puan Narimah turut memandang. Encik Ahmad Kamal pula sedang membuka but kereta untuk mengeluarkan barang-barang mereka.
“Tu...” muncung mulut Puan Narimah dihala ke arah anak gadisnya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Alisya keluar dengan langkah lemah lalu mengukir senyum ketat di wajahnya.
“Haa...dah besar...lama tok tak jumpa kau,” Tok Cah menghampiri Alisya dan mereka berpelukan.
“Tok sihat?” soal Alisya sambil memandang neneknya.
“Sihat...jom, masuk dalam. Makan...korang mesti penat jalan lama sangat...” Tok Cah merangkul tubuh Alisya dan mereka beriringan naik ke rumah kayu yang berwarna kuning itu. Puan Narimah membantu suaminya memunggah barang lalu mereka naik ke rumah Tok Cah.





“ DIA  tak marah ke?” soal Tok Cah bimbang. Dia tahu, Puan Narimah mahu meninggalkan Alisya bersamanya beberapa bulan ini sementara menanti keputusan SPM keluar. Sebulan selepas peperiksaan, Alisya agak nakal di bandar bilamana dia asyik keluar berparti dengan rakan-rakan sebayanya.
Hal itu membimbangkan Puan Narimah. Dia dan suami tidak ada masa untuk melayan Alisya yang tinggal seorang diri di rumah. Tapi, mereka juga bimbang dengan aktiviti sosial anak mereka yang agak bebas. Meskipun mereka kenal rakan-rakan Alisya, tapi bagi Puan Narimah, anak perempuan tak elok keluar malam-malam hingga lewat malam. Bila ditegur, Alisya asyik marah-marah.
Alisya memang degil. Dia anak tunggal. Di tinggalkan dengan pengasuh sejak kecil hingga umurnya remaja. Selepas itu, dia bersendirian dan banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawannya. Puan Narimah melihat Alisya membesar dengan kadar yang tidak seimbang. Hendak diajar bagaimana lagi, Puan Narimah sendiri tidak tahu. Cara paling akhir untuk menyekat kebebasan Alisya adalah, menghantarnya ke kampong dan tinggal bersama neneknya buat sementara waktu. Puan Narimah sangat berharap agar ibunya, Tok Cah dapat mengajar Alisya serba sedikit tentang hidup di kampong. Mudah-mudahan, Alisya dapat berubah sedikit.
“Marah ke tidak, itu keputusan saya mak. Dia kena ikut...dok kat bandar pun, asyik merayap je. Langsung tak lekat kat rumah! Saya nasihat beratus kali pun, dia langsung tak peduli...” kata Puan Narimah. Tok Cah menghela nafas. Dia memandang wajah Puan Narimah.
“Kau ni, bertegas sangat dengan dia sejak kecil...cubalah fahami sikit kehendak dia...takdelah dia asyik nak memberontak saja..” kata Tok Cah meberi pendapat. Puan Narimah menghela nafas berat.
“Kehendak dia terlalu luas mak. Susah nak penuhi. Itu nak...ini nak...tengok orang macam ini, nak macam ini. Tengok kawan macam itu, nak macam itu. Dia tak tahu yang betapa susahnya saya dan ayah dia berusaha untuk dia...” keluh Puan Narimah. Tok Cah menelan air liur pekat. Dia mengeluh.
“Hmm...habis tu, muktamad la ni? “ soal Tok Cah. Puan Narimah angguk lagi. Tok Cah merenung Puan Narimah yang sedang menghirup teh o di depannya.
“Sebagai ibu, aku nak kau banyak berdoa untuk dia. Doa seorang mak ni...mustajab. Itu yang boleh merubah dia...” pesan Tok Cah. Puan Narimah memandang Tok Cah. Dia menghela nafas payah. Perlahan-lahan dia mengangguk. Tok Cah bangun menuju ke sinki. Puan Narimah pula, termenung seketika.



                                                                                     

ALISYA  merenung kereta yang sudah jauh meninggalkan rumah kampung neneknya. Tok Cah tinggal seorang diri setelah kematian suaminya 7 tahun lalu. Walau dia sudah tua, tapi tubuhnya masih kuat. Rumah kampung yang agak besar dengan 4 bilik itu kekal bersih hasil jagaan Tok Cah.
Alisya berpaling ke belakang. Dilihatnya Tok Cah sedang duduk di kerusi rotan di anjung rumah memerhatikannya. Alisya melangkah naik ke anjung rumah lalu melabuhkan punggungnya di kerusi rotan sebelah Tok Cah.
“Mana pergi basikal tok dulu?” soal Alisya. Sejak tadi, dia tercari-cari basikal Tok Cah yang dulu pernah ditungganginya. Tok Cah memandang Alisya.
“Nak buat apa basikal tu?” soal Tok Cah. Dia tertawa kecil di dalam hati. Budak ni memanglah! Baru sampai je, dah nak berjalan.
“Ala...nak jalan-jalan pusing kampunglah. Lama  dah Alis tak jalan sini. “ kata Alisya sambil memegang tangan Tok Cah.
“Kau ni..tok ikat kaki tu baru tahu...mak kau dah pesan kat tok, jangan bagi kau berjalan sangat...” kata Tok Cah.
“Allaaa.....” Alisya menghenyakkan punggungnya ke kerusi rotan tanda protes.
“Tok janganlah jadi macam mak...asyik nak kongkong Alis...Itu tak boleh, ini tak boleh. Bosanlah duduk saja..” rengek Alisya sambil mengusap lengan Tok Cah. Tok Cah bangun dari kerusi dan mahu masuk ke dalam rumah. Alisya cepat-cepat membuntuti langkah Tok Cah.
“Haa...ada sebab kenapa orang tua-tua tak bagi kita buat itu, buat ini...semua tu untuk kebaikan kita Alis. ..” bebel Tok Cah sambil menghala ke bilik yang bakal diinapi Alisya.
“Alis tahu...tapi, Alis bosan duduk saja...Alis nak jalan-jalan, baru luas pemandangan...luas pengetahuan...” ujar Alisya berfalsafah. Tok Cah tersengih lucu. Bantal yang baru ditukar sarung di letak ke kepala katil.
“Banyaklah kau punya luas pengetahuan...Dah! Dah! Basikal tu tok dah jual kat lori besi buruk. Dah rosak..” kata Tok Cah. Selimut dari dalam almari yang lama tidak terusik di letak ke katil. Alisya mengeluh kesal.
“Jual? Ala...habis tu, nak gi jalan naik apa...” keluh Alisya. Langkah Tok Cah yang keluar dari bilik itu diekori lagi. Tok Cah masuk ke biliknya. Alisya masih ikut.
“Duduk rumah sajalah. Orang perempaun tak elok asyik berjalan sangat...” ujar Tok Cah acuh tak acuh. Kali ini Alisya sudah hilang bicara. Sebelum Tok Cah membuka kisah zaman anak daranya, lebih baik dia  diam, sekaligus mematikan perbualannya dengan Tok Cah.
Fine...dok rumah aje...” keluah Alisya sambil memandang Tok Cah dengan rasa jengkel. Tok Cah buat tidak peduli. Dia bersiap-siap untuk sembahyang Maghrib.



MALAM. Bulan penuh mengambang gah di langit  malam. Deretann bintang-bintang yang menaburi langit begitu jelas kelihatan di angkasa. Cahaya bulan yang menyimbah alam begitu indah di mata Alisya. Alisya terus mendongak merenung langit.
“Tak lenguh ke tengkuk kau tu...” sapa Tok Cah tiba-tiba. Suis lampu di tekan sekaligus memantulkan cahaya terang di anjung rumah yang menghadap jalanraya.
“Alaa..tok! Tutup lampu tok! Jangan buka  lampu!” teriak Alisya. Tok Cah terkedu, namun segera mematikan suis lampu.
“Apa tak kena dengan kau ni? Dok bergelap kat sini...” marah Tok Cah.
“Kalau pasang lampu, tak nampak bintang kat langit...” kata Alisya dengan kepala yang masih mendongak merenung langit. Tok Cah menghampiri Alisya dan turut sama menjengah langit. Benar, malam itu cukup cantik. Bulan penuh dan bintang-bintang mencerap langit.
“Macam tak pernah tengok bintang...” juih Tok Cah seraya duduk di kerusi rotan di anjung.
“Tok...kat bandar, Alis tak pernah nampak bintang! Alis tak pernah tengok langit secantik ni...Rupanya, bila semua lampu ditutup, bila cahaya kat bumi tak ada, barulah kita nampak bintang yang bersinar kat langit....” ujar Alisya teruja. Tok Cah menggeleng-geleng. Dia tersenyum.
“Tok! Tengok tu! Ada bintang berderet tiga...” tunjuk Alisya kepada Tok Cah. Tok Cah jungkit kening.
“Tok dah tengok hari-hari...” ujar Tok Cah sambil menjuihkan bibirnya.
“Tok ni tak sportinglah!” getus Alisya sambil mendengus geram. Tok Cah sengih lucu. Dia meninjau ke arah jalan. Kelihatan beberapa buah motorsikal yang melalui jalan kampung di hadapan rumahnya. Pasti itu motorsikal orang kampung yang baru pulang dari surau mengerjakan solat Isyak.
“Jomlah masuk Alis. Dah malam ni...tak elok duduk lama-lama kat luar malam-malam ni...” kata Tok Cah sambil bangun.
“Ala...Alis nak tengok bintang dan bulan...” kata Alisya.
“Esoklah pula..” pujuk Tok Cah.
“Ala...awal lagi...belum pukul 10 pun...” kata Alisya lagi.
“Masuk...kita ni berdua je perempuan tinggal dalam rumah ni. Nampak dek orang, tak manis berembun lama-lama kat luar ni...bahaya..” kata Tok Cah.
“Apa yang bahayanya tok..ni kan kampung. Mana sama dengan KL..Kat kampung, takkan bahaya jugak..” kata Alisya. Tok Cah menarik nafas geram. Budak ni memang suka menjawab!
“Hati orang kita tak tahu Alis...nenek bimbangkan kau tu...” marah Tok Cah. Alisya diam, merenung Tok Cah.
“Dah...jom masuk...” arah Tok Cah sambil mebuka pintu rumah. Alisya merenung Tok Cah. Matanya terkedip-kedip merenung Tok Cah. Tok Cah juga tak ubah seperti emak. Banyak betul peraturan!

“Jom....” keras sikit suara Tok Cah kali ini. Dia sudah melangkah bendul mahu masuk ke dalam rumah. Alisya menghela nafas geram. Lambat-lambat, langkahnya diatur masuk ke dalam rumah kampung itu. Tok Cah mengunci pintu rumah. Alisya terus menghala ke biliknya.