Wednesday 19 April 2017

Fir & Anne ~ (Bahagian I - 1) ~ RodieR



BAHAGIAN I

Hati itu misteri yang tak terungkap,
Menyukai tanpa sebab,
Membenci tanpa alasan,
Dan dia pergi jua,
Tanpa berpaling walau sekilas...


1

Dua tahun kemudian...

      Buku rujukan tebal berkulit hitam dengan gambar abstrak besi konkrit itu ditutup serentak dengan bunyi geseran kertas dan buku pelajar-pelajar lain yang juga sama sibuk dengan dia mengemas barang di akhir kuliah. Ini kali kedua dia mengikuti kuliah Civil Engineering Fundamentals itu. Semalam, secara rasmi sesi pembelajarannya bermula. Siap dekan yang bagi kuliah pertama sebagai pengenalan.

      Sekilas dia memandang seisi dewan sambil beg galas biru gelap yang setia menemaninya dari sejak zaman tingkatan enam itu digalas di sebelah bahu. Rata-rata yang dilihatnya pelajar lelaki. Perempuan yang ada pun tak sampai dua puluh orang agaknya. Kelas dia kali ini mungkin ada dalam seratus dua puluh orang.

Baru beberapa sesi kuliah yang dihadirinya. Subjek yang didaftarnya pun masih terasa kabur di fikiran. Ini kan pula nak berkenalan dengan rakan-rakan sekelas walaupun perempuan tak ramai, namun macam tadi, dia masuk agak lambat. Masih lagi tak dapat nak menyesuaikan diri dengan blok, bangunan dan letak duduk dewan. Sesat. Jadinya, dia duduk dalam dewan itu pun agak terasing daripada pelajar-pelajar perempuan yang lain.

      Perlahan-lahan dia menapak turun ke pintu utama. Dia cuba senyum pada seorang pelajar perempuan yang turut sama bersaing turun dengannya. Namun, baru dia nak berpaling menghulurkan salam perkenalan, bahunya tiba-tiba dirempuh kasar dari belakang, sampai terjatuh beg galasnya.

      “Hei!”
      “Shit! Sorry!” suara garau lelaki yang membalas.
      Laju dia mengangkat muka dan tepat memandang sepasang mata yang turut tajam merenungnya. Tergamam sekejap dia di situ.

      “Your bag.” Beg biru gelap yang dihulur lelaki itu lambat-lambat diambilnya. Sepasang kaki masih lagi terasa bagai terpaku di lantai. “Sorry again.”
      Dan laju kembali lelaki itu berjalan meninggalkannya. Dia membetulkan badan dan beg itu digalas di kedu-dua belah bahu kini. Satu patah kata pun tak dibalasnya pada lelaki itu. Kelibat lelaki itu hilang di sebalik pintu yang kini tertutup kembali. Lama dia renung pintu itu. Pelajar perempuan yang dia nak berkenalan tadi pun dah hilang entah ke mana. Dia pun dah lupa tujuan asalnya terhenti tadi. Sebab lelaki itu. Apa lelaki itu buat di sini?

      Soalan bodoh, Aina Insyirah. Kan ini dewan kuliah Fakulti Kejuruteraan Awam? Dia datang nak belajar la!
      Tapi... tapi kenapa kat sini?

      Setahu dia, Ahmad Firdaus itu memohon asasi persiapan ke Jepun lepas SPM dulu. Itu yang diberitahu oleh Nisa padanya tanpa ditanya. Biasalah, budak bijak. Dia yang waktu itu terasa nak memohon masuk asasi juga terus membantutkan niat dan bertukar pada matrikulasi. Apabila keputusan SPM keluar dan baginya tidak berapa memberangsangkan, dia ambil keputusan masuk tingkatan enam. Dua tahun mungkin boleh untuk dia perbetulkan langkah semula. Dan dia ingat, ada waktu itu Nisa bagitau, Haris dan Firdaus berjaya masuk ke asasi persiapan ke Jepun, yang mengambil masa dua tahun juga.

      Jadi... jadi apa dia buat di sini?
      Seingat dia pagi tadi, dia masih bangun tidur di Malaysia. Spesifiknya, di selatan semenanjung Malaysia. Takkanlah pula dewan kuliah ini boleh jadi teleport mengangkut dia ke Jepun?

      Ya Allah, apa yang kau mengarut ni, Anne??
      Muka diraup perlahan dan langkah diatur semula keluar dari dewan. Sedar tak sedar dah tinggal dia seorang yang terpacak di situ. Penangan lelaki itu lagi. Macam mana ni? Takkan dia salah orang. Dia tak rasa dia salah orang. Dia takkan lupa renungan tajam itu sampai bila-bila, dan tadi kali kedua dia menerima renungan yang sama.

      Kenapa dia belajar kat sini jugak? Kenapa? Kenapa sama dengan dia?
      Boleh tak dia nak tukar course sekarang? Ataupun tukar universiti terus?
      Jangan jadi pengecut, Anne! Lagipun dah lambat. Semuanya dah didaftar secara rasmi pun. Jangan nak buat benda tak masuk akal, menyusahkan mak abah lagi. Bukannya tempat ni kecik sangat, boleh bertembung dengan dia lagi. Entah-entah itulah kali pertama dan terakhir kau nampak dia kat sini. Abaikan saja.

      Abaikan? Abaikan?!
      Dia mengeluh perlahan.

      Macam mana dia nak abaikan. Dah tentu-tentu dia tak boleh nak tidur malam ni, teringat pada lelaki itu.
      Ahmad Firdaus Abdullah! Kenapa teruk sangat awak buat kat saya ni? Jampi apa yang awak pakai, tolonglah ambil balik sekarang! Dah dua tahun, okey? Dua tahun! Saya dah berjaya lupakan awak, tau! Sikit. Kadang-kadang aje teringat balik. Tapi, hari ni... kenapa awak muncul?? Kenapa awak langgar saya tadi dan buat saya tahu awak ada kat sini? Kenapa? Kenapa? Kenapa??

***

      Sungguh dia tak sengaja. Tak sengaja nak melanggar budak perempuan itu tadi. Dia cuma nak cepat. Pandai sangat berjanji dengan Aiman nak mencari basikal hari ini, tiba-tiba tak sedar dia dah salah janji masa. Kuliah tak sempat habis lagi, dia dah buat Aiman terpacak menunggu di depan kolej. Ampun la sahabat, dia pun masih kelam kabut lagi nak faham jadual dia yang berselirat dengan kuliah dan tutorial. Ek eleh, macam dia seorang yang sambung belajar. Orang lain pun macam tu la, Fir. Tak ada kelam kabut macam kau pun, sampai dirempuhnya anak dara orang.

      Dia.

      Rasanya dia kenal. Rasanya itu rakan sekampung. Oh, salah, rakan senegeri. Spesifik lagi, rakan satu sekolah. Dia masih ingat lagi gadis itu. Lebih-lebih lagi apabila melihat wajah pucat terkejut yang sama macam suatu waktu dulu selepas SPM.

      Aina...
      Aina... er... Imtiyaz Irdina Istiqamah Istikharah?

      Okey, dia masih lagi lupa nama budak perempuan itu yang satu lagi.

      Tak apa, kalau jumpa lagi nanti, dia minta pilih mana yang berkenan daripada empat pilihan tu ye?
      Apa yang kau mengarut ni, Ahmad Firdaus?

      Kepala digeleng dengan kaki yang masih laju melangkah. Dah nampak kelibat Aiman yang dah serius semacam mukanya. Dia sengih serba salah. Alamatnya nak kena belanja kawannya itu makan tengah hari la nampaknya hari ini.

      “Dude, sor...”
      “Apasal lambat? Dekat sejam aku tunggu kau weh!”
      Tak sempat dia nak memenuhkan kata maaf yang hanya dua suku kata itu, Aiman sudah menyampuk dulu, siap menepuk bahunya, kuat.
      “Sorry.”
      “Kau buat apa tadi lambat ni?” berkerut-kerut dahi si sahabat, pelajar kejuruteraan kimia itu marah pada dia. Ataupun mungkin sebenarnya si Aiman sedang menahan silau matahari yang panas memancar, tegak di atas kepala.
      “Buat istikharah.” Selamba dia balas, bibir digigit menahan gelak.
      “Hah?”
      “Tanya la lagi soalan entah apa-apa. Aku kan dari kuliah ni. Nak buat apa lagi?” sarkastik dia tanya balik.
      “Kau cakap pukul satu. Aku dah tunggu sini dari pukul dua belas lima puluh lagi ni.”
      “Iye la, tau. Kuliah aku dragged. Petang ni kita free kan? Lunch dulu? Aku belanja.”
      Bersinar semula mata Aiman. “Kalau macam ni, kau lambat hari-hari pun aku sanggup tunggu.”
      “Banyak cikadak punya kawan. Nak belanja makan je tau.”
      “Jom! Jom!”
                Dan laju kembali langkah mereka mencari bangunan kafetaria.

No comments:

Post a Comment