Thursday 31 October 2013

Vehaen: Satu Cerita (Bab 1 - Bahagian I): Ainul Farihah


SENYUM terukir melihat gambar dalam bingkai tersebut. Bingkai yang di dalamnya terdapat gambarnya, si suami, dan si anak terletak rapi di atas meja kecil sebelah katilnya. Entah bila dia meletakkan gambar  tersebut dalam bingkai itu, dia sendiri tidak pasti. Abi agaknya…
Bingkai gambar itu dicapai. Jari-jemari menyentuh cermin bingkai tersebut. Rindu…
Tanpa sedar, titisan air mata mengalir perlahan-lahan di pipi. “Rifa’ie, tunggu ummi di hadapan pintu syurga…”
                                                                                 ^_^
“Pulang sebelum maghrib, ya,” pesan si ibu.
Anak muda berjiwa besar itu mengangguk tanpa mengeluarkan sepatah bicara. Kasut yang sudah robek disarung ke kaki. Batang lastik buatan sendiri digenggam rapi. Tangan si ibu dan dahi si adik yang masih bayi itu dikucup sebelum dia melangkah menyertai rakan-rakan lain.
“Assalamu’alaikum, ummi,” Langkah anak yang berusia 8 tahun itu diatur sambil melambai ke arah si ibu yang sedang menggendong adiknya.
Dia menatap wajah ibunya. Sayu hatinya, bagaikan itu tatapan terakhir buatnya.
                                                                  ^_^
Dia merenung ke arah langit. Cerah langit pada petang itu. Mentari juga kelihatan ceria. Tiada apa yang berubah pada hari itu. Sama ada cuaca, mahupun suasana.
“BUM!”
Suasana akan tetap serupa seperti hari-hari sebelumnya, sehingga ada yang akan mengubah semua itu.
“BAM! BAM!”
Balingan batu oleh anak-anak Palestin dibalas dengan dentuman peluru.
“ ‘Abbas,” Dia berteriak kecil apabila rakannya itu tumbang disisinya. Bahunya berlumuran darah. Segera dia mengheret rakannya ke sebuah tempat terlindung sebelum keluar menyertai rakan-rakan yang lain. Kereta kebal itu tetap sahaja bergerak ke hadapan. Anak-anak muda pula tidak berundur, langsung tidak menunjukkan sebarang rasa gentar terhadap zionis.
“Hati-hati,” Seorang rakan berteriak. Anak kecil itu mengubah posisinya apabila melihat muncung kereta kebal berubah arah.
“BAM!”
Jantungnya berdegup kencang apabila dirasakannya peluru kereta kebal itu lalu betul-betul di hadapan wajahnya. Dia bertahmid.
“Rif’at!”
Dia menoleh.
“BUM!”
“Rif’at!!”
Gelap.
                                                                  ^_^
“Ummi, Rif’at mimpi lagi malam tadi,” Rif’at menyapa ibunya yang sedang leka menyediakan sarapan. Mimpi yang sama kian berulang sejak kebelakangan ini.
“Lain kali, bagi salam dulu,” tegur Dr. Amina.
Rif’at merapatkan kedua tapak tangannya sambil tersengih, “Hehe, Aasif jiddan, nasitu (maaf sangat-sangat, saya terlupa) . Assalamu’alaikum, ummi,”.
Ucapan salamnya dibalas.
“Ummi…” tuturnya perlahan. Ibu mengangkat sebelah keningnya.
“Hari ini, 29 Disember, umur Rif’at genap 14 tahun,” Rif’at menjeling sambil tersengih ke arah  Dr.Amina.
Senyum terukir. “ Rif nak umi wish selamat hari jadi ke?”
“Itu yang pertama. Ada lagi satu,” Rif’at masih berteka-teki. Jelingan dihalakan ke arah barisan fail-fail yang berwarna hitam yang tersusun rapi di atas sebuah rak.
“Ummi dah janji,”.
Dr. Amina Ali mengukir senyum sebelum mengatur langkah ke arah rak buku tersebut lalu mencapai salah sebuah fail hitam yang dimaksudkan. Fail tersebut dihulurkan kepada Rif’at.
“Kalau dah bersedia, bukalah. Dengan nama Allah..” Senyuman yang penuh tersirat maknanya menghiasi wajah Dr. Amina.
                                                                ^_^
“Beit Lahya,” tuturnya perlahan sambil menyelak perlahan helaian kertas yang sudah kekuningan warnanya. Beit Lahya, Gaza. Itu tempat lahirnya. Palestin, tanah airnya. Bertarikh 11 November enam tahun lepas, dia dibawa ke Malaysia, dan dijadikan anak angkat kepada pasangan Dr. Amina Ali dan Dr. Abu Khairuddin. Segala ingatannya berkenaan masa silamnya sebagai anak Palestin telah dipadam.
      Malaysia. Jauh dirinya merantau. Huuh..
Ibunya, Dr. Amina, berdarah tulen Palestin. Beliau menjadi pelajar perubatan di Universiti Islam Antarabangsa di Kuantan, seterusnya mengahwini Abu Khairuddin dan menetap di Malaysia. Kedua-dua mereka pernah menjadi ahli pasukan perubatan yang dihantar untuk bertugas di Gaza 6 tahun lepas, yang membawa pertemuan dengan dirinya.
“Ummi bawa Rif pulang sebagai anak angkat?” Pertanyaan Rif’at mematikan lamunan Dr. Amina.
Yup..Rif….tak terkejut, ya?” Dr. Amina menduga. Mengetahui bahawa diri sendiri adalah hanya anak angkat kebiasaannya hakikat yang mengejutkan bagi seorang anak yang tidak mengetahui kebenaran tersebut. Namun reaksi Rif’at langsung tidak menunjukkan bahawa dia terkejut.
Rif’at menggeleng.
“Rif dah tahu sebelum ni?” Wajah anaknya ditatap.
“Rif agak je. Suspicous juga bila tiada gambar Rif kecil-kecil dulu,” Rif’at tersengih.
Dr. Amina turut tersenyum.  “Itu je?”
Plus, ada sekeping gambar ummi dan abi dengan seorang budak kecil. Gambar tu tercicir di ruang  tamu,” Rif’at membelek lagi fail tersebut. “It was’nt me in that picture. It must be your son,”. Petah bicara bahasa inggerisnya memandangkan dia pernah bersekolah di sebuah international school.
So, you’re the one who put it in a frame and put it on my bed-side table?” Dr. Amina bertanya.
Rif’at hanya mengangguk. Dr. Amina hanya senyum. Wajah si anak ditatap lagi. Muka seorang anak arab kelihatan melalui kulitnya yang putih dan mulus juga matanya. Lebih tepat, seorang anak Gaza. Rif’at yang cilik. Tidak mustahil dia dan suaminya tertarik untuk menjadikan anak muda itu sebagai anak angkat. “Tak sedih?”
“Allah dah takdirkan Rif di sini dengan ummi dan abi yang menyayangi Rif, kenapa perlu sedih? Takdir Allah selalu cantik dan terbaik, cuma manusia yang selalu tak sedar hal ni,” Rif’at mengangkat muka sambil melontarkan senyuman pada Dr. Amina. “Tapi… keluarga asal Rif?”
Dr. Amina hanya menggeleng. “Tak dapat dikenalpasti,”.
Angguk. “Ummi…”
“Hmm..”
“Satu hari nanti, Rif nak jejak tanah air Rif semula, eh..” Sengih terukir, memaparkan gigi yang tersusun rapi.
“Insya-Allah,”. Dr. Amina mengangkat wajah. “Terima kasih sebab jadi anak ummi yang baik untuk 6 tahun,”.
“Anak abi juga..”
Rif’at dan Dr. Amina berpaling. Dr. Abu Khairuddin melangkah masuk ke ruang dapur tersebut.
“Abi dari mana?”
“Dari rumah sebelah. Ada jiran baru berpindah masuk. Ada masa, pergilah ziarah dan berkenalan,” Dr. Abu Khairuddin menghirup secangkir kopi yang sedia terhidang. “Pak cik Rosli itu ada anak lelaki sebaya kamu, Rif. Tapi abi tak ingat namanya,”.
“Ouh,” Patutlah kedengaran sedikit kecoh di luar rumah pada pagi itu. Macam menarik…
Tanpa membuang masa, Rif’at mengatur langkah ke arah biliknya yang terletak di tingkat atas, meninggalkan kedua orang tuanya berbual. Lantas dia mendekati tingkap lalu menyelak langsir. Rumah jiran diperhati.
Dari situ, kelihatan kelibat beberapa orang yang sedang berdiri membelakanginya, cuma wajah-wajahnya tidak dapat dilihat jelas dari tingkapnya. Ada seorang lelaki dewasa dan seorang remaja lelaki. Ouh, mungkin itu budak yang abi cakap tadi.
Remaja lelaki itu berpaling.
Muka macam taiko, detik hatinya lagi. Dari hujung kepala hingga hujung kaki diamatinya budak lelaki itu. Rambut tercacak, t-shirt short sleeve yang ditambah pula dengan inner hitam, dengan leggingnya yang boleh dikategorikan sedikit longgar dari legging biasa dan sneakers hijau yang agaknya dengan jarak 10 kilometer dari situ boleh kelihatan kehijauannya. Striking habis.
Entah mengapa, budak itu mempunyai tarikannya tersendiri, membuatkan Rif’at tidak sabar ingin mengenalinya. Meskipun dia sedar penampilan lelaki itu dan dirinya agak jauh berbeza, namun dia tidak melihat pada penampilan semata. Mungkin kerana dia tidak pernah ada kawan rapat. Dalam erti kata lain, sahabat.
Mungkin.
                                                                  ^_^
Dia menatap rumah baru yang tesergam indah di hadapan mata. Indah. Terbit sedikit rasa syukur, tidak lagi duduk di rumah teres yang amat sempit, sehingga dahulunya dia terpaksa berkongsi bilik tidur dengan abangnya. Sungutan menjadi halwa telinga setiap hari.
“Pergi tolong angkat barang lah,” Afiq Hafiz dengan sengaja melanggar bahunya.
“Apa langgar-langgar?” Dia berteriak kasar. Afiq diberi jelingan maut, namun tidak dilayan. Dibiarkan Afiq beredar. Lagi jauh, lagi aman damai dunia aku…
Sengih terukir saat matanya menatap keyboard Casio Tk-9000 yang dikapit rapi dicelah ketiak. Bermain keyboard, satu-satunya hobi dan minatnya.
“Pergi tolonglah,” Sekali lagi bahunya dilanggar dengan sengaja.
“Kau nak apa?” Imran mendengus. Afiq, dengan sikap semula jadinya yang malas mahu melayan kerenah Imran terus berjalan pergi.
Dia meletakkan keyboardnya bersama barang-barang yang baru sahaja dipunggah keluar dari lori. Langkah diatur menuju ke arah lori barang. Matanya tertumpu kepada seorang lelaki yang berjambang rapi dan berbadan tinggi yang sedang berbual dengan ayahnya.
Jiran sebelah, agaknya.
Tanpa sedar, ada mata yang memerhati dirinya.
                                                                ^_^
Beberapa hari telah berlalu. Tahun pula sudah menjangkau ke tahun baru, 2029, membawa umurnya meningkat kepada 15 tahun. Tidak seperti remaja lain, mereka sudah memulakan sesi persekolahan baru, namun Rif’at masih seperti dahulu. Dia diberi pendidikan istimewa memandangkan dirinya baru sahaja 6 tahun menjadi pelajar dan rakyat di negara ini.
“Kalau prestasi Rif baik, tahun ini, Rif boleh duduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) seperti pelajar lain,” kata Dr. Abu Khairuddin.
Automatik, senyuman segaris terukir mengenangkan kata-kata ayahnya itu. Rif’at menongkat dagu dengan lengannya. Bertapa di tepi tingkap itu merupakan kesukaannya, terutamanya pada waktu malam. Dari situ, dia dapat lihat bulan, bintang, serta merasai  nyamannya bayu malam yang seringkali menenangkan jiwa, mengingatkan dirinya pada Sang Pencipta semua itu.
Pandangannya beralih ke arah rumah jirannya.
Nafasnya dihela. Sehingga kini, Allah masih belum memberinya peluang untuk mengenali jiran itu. Dia jarang sekali kelihatan berada di rumah, mahu pun sekitarnya. Melalui pemerhatian Rif’at, dapat disimpulkan bahawa dia bukanlah seperti abang dan adik-adiknya yang agak mesra dengan jiran tetangga.
Namanya juga dia belum tahu. Hampir setiap petang si jiran itu akan keluar dengan rakan-rakannya yang bermotor.  Menurut cerita abangnya, adik keduanya itu asalnya tidak berkelakuan seperti itu sebelum ini Cuma semenjak kematian ibunya dua tahun lalu, dia berubah menjadi pelajar yang bermasalah.
“Huh,” satu keluhan pendek  dilepaskan. Sabar, Rif. Allah dah tulis bila waktunya…
Hatinya kembali tenang.

Friday 25 October 2013

Tic Tac Toe (Bab 1 - Bahagian I): Jill Naura



DERUMAN enjin kereta Honda Hybrid CR-Z memecah kesunyian lebuhraya yang lengang malam itu. Laju kenderaan itu memecut tanpa mengambil kira halaju yang telah ditetapkan demi keselamatan pengguna jalanraya. Pedal minyak terus ditekan sehingga mencecah pada kelajuan 160 kilometer sejam. Memang mengundang kecelakaan!
Bukannya dia tidak peka dengan bahaya memandu laju pada waktu gelap. Lebih-lebih lagi di tengah-tengah hujan yang lebat turun membasahi bumi. Setiap butir titisan air yang turun dari langit itu berdetak-detak menghentam cermin kereta lalu berderai, mengaburi pandangan. Fikhri tidak peduli. Kalau dia ditimpa kemalangan sekalipun, dia rela. Tiada kecederaan fizikal mampu menandingi keperihan yang menghurung jiwanya ketika ini.
Seksa rasanya apabila memori luka gagal dihentikan dari terus bersiar di layar mata. Terbayang-bayang kelibat kekasihnya, Afrina yang begitu mesra bersama seorang lelaki berbangsa Itali. Tidak segan silu mereka berpelukan. Wajah Afrina yang tampak begitu gembira menusuk ke jantung Fikhri bagaikan sebilah pedang Samurai yang maha tajam. Tidak dia sangka gadis pujaan hatinya sanggup menduakan dirinya lantas menoda selautan cinta suci yang diciptakan khas untuk gadis yang bernama Afrina itu!
Dia tidak berdaya untuk membuat apa-apa. Ikutkan hati, mahu sahaja dia terjah Afrina ketika itu. Bersemuka dari mata ke mata. Biar gadis itu melihat betapa hatinya sakit apabila cintanya dilayan seperti sampah, dipijak-pijak seperti pasir.  Tetapi, akibat luka yang mendalam, dia tidak mampu. Tubuhnya terasa lemah dan seluruh jiwanya rebah dek pengkhianatan yang baru disaksikan tanpa sengaja. Allah S.W.T Maha Kaya. Nyata, itu petunjuk dariNya. Siapa sangka Fikhri akan terserempak dengan kekasihnya di hotel tempat dia bermesyuarah. Siapa yang dapat menduga, ketika Afrina sepatutnya berada di kampungnya di Sabah, melawat ibunya yang kegeringan, dia sebenarnya mendustakan kata. Fikhri sedayanya menahan perasaan. Dia sendiri yang telah menghantar Afrina ke lapangan terbang untuk pulang ke Sabah!
Siapa pula yang mampu menjangka, Afrina gamak bermain dengan perasaannya. Fikhri benar-benar kesal. Semenjak kejadian itu petang tadi, dia menjadi tidak keruan. Sepanjang perjalanan pulangnya, dia melepaskan geram dengan memandu selaju-lajunya. Dia kecewa. Barulah dia faham mengapa ada yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana putus cinta. Sakitnya terlalu perit untuk diungkapkan akan kata-kata. Sesaat, terdetik juga di sudut hatinya agar dia ditimpa kemalangan. Namun, dia segera beristigfar. Mengingatkan diri bahawa hidupnya kerana Maha Pencipta, bukannya kerana Afrina.
Dalam dia memandu tanpa sikap berhemah, dia akhirnya sampai di perkarangan rumah agam milik ibu bapanya, Datuk Fakhrul dan Datin Wahiza yang terletak di Damansara. Kakinya menekan brek secara mendadak. Berdesing bunyi tayar tatkala bergeser kasar dengan permukaan lantai yang kasar. Sekilas, dia terpandang sebuah kereta yang dikenalinya terletak di perkarangan rumah itu. Walau sekilas pandang, dia tahu kenderaan itu milik Tan Sri Rosman, kawan baik bapanya. Namun, dia tidak memberi perhatian atau cuba memikirkan sebab dan tujuan orang itu ke mari bertandang. Otaknya masih terlalu tepu memikirkan hatinya yang masih berdarah akibat ditoreh oleh sang kekasih hati.
Enjin kereta pantas dimatikan. Pintu kereta dihayun kasar lalu dihempas kuat sebaik dia melangkah keluar. Dengan perasaan yang membuak-buak, dia mengeluarkan segugus kunci dari kocek seluarnya sambil melangkah menuju ke pintu utama. Bagasi pakaian yang terletak di dalam but kereta pun tidak dia pedulikan. Sedangkan makan dan pakainya sendiripun dia tidak terhirau, inilan pula barangnya yang tidak bernyawa. Besar sungguh impak penikaman Afrina!
Satu anak kunci diasingkan lalu diselitkan ke dalam lubang kunci yang terletak di tombol gangsa pintu. Dengan satu rentapan yang kuat, dia memutarkan anak kunci mengikut arah jam.
Tap! Patah anak kunci.
Damn it’. Semakin mendidih darah dibuatnya. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambut yang sudah sedia kusut nampak semakin tidak terurus.
Dia hilang sabar. Telapak tangannya mula menggenggam penumbuk. Tangannya yang gagah itu diangkatkan ke dada pintu lalu diketuk-ketuknya sedaya mungkin.

Friday 18 October 2013

Aduhai Redza (Bab 5): Qaisy



TANGAN mencapai getah rambut di atas meja. Rambutnya yang panjang melepasi bahu diikat kemas. Tia menarik nafas dalam-dalam. Segala homework yang diberi sudah pun berjaya disiapkan. Yelah, hujung minggu macam ni kan masanya untuk menyiapkan segala homework. Ditambah pula dengan cikgu-cikgu yang sakan memberi kerja rumah macam tak ada hari esok. Dan macam ada pertandingan siapa bagi homework kat pelajar dia menang. Sudahnya, yang merana pelajar-pelajar yang berdedikasi sekalian.
               Tia pandang jam di dinding. Sudah pukul 4.00 petang. Lepas je makan tengahari dengan mummy dan abang Zack (abang Zaf tak ada sebab ada urusan yang perlu disiapkan, katanya) terus dia buka buku. Menyiapkan segala kerja sekolah yang bertimbun. Langsung tak tengok pun jam. Sekaranglah baru berkesempatan nak tengok jam sudah pukul berapa. Melampau sungguh!
Tia mencapai laptop yang sengaja diletakkan di atas katil supaya tumpuannya tak terganggu dengan godaan dari laptop kesayangannya itu. Tanpa menunggu sesaat dia menghidupkan laptop itu. Sekali lagi dia memandang jam. Agak-agak dia sibuk ke sekarang?
               Setelah selesai dia memasukkan password laptopnya, dia menunggu dua saat untuk laptopnya benar-benar bersedia untuk digunakan. Jari telunjuk bergerak di atas touch pad, menekan icon Skype yang tertera di bahagian kiri desktopnya. Anak mata meneliti mencari seseorang di ruangan contactsnya. Orang yang diharapkan akan online ketika itu dan bibirnya melirik segaris senyuman saat matanya terpandangkan icon berwarna hijau di sebelah namanya itu.

               Tia comel : Ehem

               Tia menaip. Senyuman masih bergayut di bibir. Dia berharap sangat orang itu membalasnya.

               Ash kacak : Ye saya?

               Tia menjerit suka. Yay! Dia balas. Dia balas. Okay, kenapa teruja sangat ni? Ashraf Aiman je pun. Bukannya artis ke hape.

               Tia comel : Abang kacak sihat?
               Ash kacak : Abang kacak sihat sangat-sangat. Adik comel?

               Tia tergelak membaca apa yang ditaip Ashraf. Bengong! Perangai tak berubah. Ingatkan aku pindah sekolah ni bolehlah nak tengok perangai dia berubah tapi sama je. Tia geleng kepala. Seronok. Rindunya kat dia ni.

               Tia comel : Adik comel sihat je. Abang kacak busy ke tak?
               Ash kacak : Busy la jugak. Terpaksa layan gadis-gadis.

               Tia ketap bibir. Say what? Terpaksa layan gadis-gadis? Apa yang aku ketinggalan ni? Banyak sangat gadis nak dilayan? Jangan nak mengada sangatlah kan Encik Ashraf Aiman. Serius jangan nak bermain dengan api. Saya cemburu di sini.

               Tia comel : Gadis?
               Ash kacak : Susah la taip. Video call boleh? Ke tak boleh?

               Tia tak balas. Nak video call? Hmm…okay jugak. Dah lama tak tengok Encik Ashraf Aiman ni. Entah apalah jadi kat dia kan?

               Tia comel : Okay.

               Tak sampai pun dua saat Ashraf membuat panggilan video. Amboi, bukan main laju kau ye. Tia sengih. Accept! Dan wajah Ashraf terpampang di skrin laptopnya. Tia tekup mulut. Aaa…kelakarnya muka dia!
               “Haa…gelak gelak. Nak kena ke?” Ashraf buat muka garang. Muka garang yang tak menjadi.
               Terhambur juga tawa yang disimpan melihatkan wajah Ashraf di skrin laptopnya ketika itu. Sumpah comel! Err…comel ke? Atau lebih tepat lawak. Kelakar! Tia pandang skrin laptop. “Eh, kenapa kau nampak lawak?”
               “Diamlah.” Ashraf memuncungkan bibirnya. Dah serupa itik pun. Tia ketawa meriah. Dah lama dia tak berborak dengan Ashraf Aiman itu.
               “Apasal dengan rambut kau weh?” Tia menyoal sambil menilik wajah Ashraf yang terpampang di skrin laptopnya. Macam ada yang lain pada Ashraf selain rambut dia yang dah pendek tu. Pendek? Haha. Sah, kena potong dengan cikgu disiplin sebab rambut panjang.
Bukannya dia tak tau Ashraf Aiman tu tak suka potong rambut. Kalau tak kena paksa, jangan harap dia nak jejakkan kaki kat kedai gunting rambut. Tapi, kalau bab nak bergaya bukan main rajin pulak siap pergi salon. Nampak tak mengada tu? Tapi, apa yang lain eh? Bukan rambut tu. Hmm.
               “Biasalah. Kau macam tak faham.” Ashraf membalas sambil lewa. Bukannya Tia tak tahu tapi sajalah buat-buat tak tahu tu. Saja nak sakitkan hatinya yang sedia membara berapi tu.
               “Cantik rambut kau.” Perli.
               Not a word.”
               Tia jelir lidah. Eleh, ingat aku takut? Boo! “Eh, apasal kau nampak lain eh?” Lama dia menilik wajah di skrin itu.
               “Kau nak kata aku makin berisi ke?”
               Haa! Tulah. Dia makin berisi. Betul tu. Tia angguk. Ashraf mendengus. Haha. Mesti dia tak suka orang cakap dia berisi. Gasak kaulah. Dah memang kau berisi. Itu benda yang memang tak boleh nak dielakkan.
               “Meen, miss you!”
               “Hahaha…baru sekarang nak hargai aku kan?” Tia mengejek dengan ketawa dibuat-buat saja nak bagi Ashraf sakit hati. Ashraf mendengus. Tia sengih. Selain ahli keluarganya, hanya Ashraf yang memanggilnya Meen. Dari mula perkenalan memang Ashraf dah memanggilnya begitu sampaikan dia pun dah tak kisah. Mula-mula tu dia macam tak selesa juga tapi bila dah lama-lama macam dah tak ada yang pelik.
               “Aku memang sayang kau kan?”
               “Kau sayang semua gadis-gadis kan? Bukan aku sorang.” Tia perli lagi. Sengaja juga dia menekankan perkataan gadis-gadis itu. Ashraf ni memang ramai sangat yang minat sampai dia dah tak larat nak rasa cemburu. Biarlah. Ashraf berhak nak pilih sesiapa pun. Siapa dia untuk menghalang? Sekadar kawan baik. Kawan baik yang tak beri apa-apa makna pun. Ah, sedihlah pulak!
               Jealous?”
               “Tak.”
               Jealous la tu.”
               “Apa-apa jelah.” Tia malas nak layan. Ashraf senyum. Dia sudah pun menongkat dagu. Tia juga turut sama menongkat dagu memandang Ashraf.
               “Aku dah cakap banyak kali kat kau. Aku sayang kau sorang je. Diorang tu lain.”
               “Aku pun sayang kau. Apa bezanya?”
               “Banyak. Sangat banyak.”
               “Apa yang banyak sangat beza tu?” Tia angkat kening. Menduga.
               “Pertama, diorang semua bukan Tia Ameena Abdullah Mursyid.”
               Tia sengih. Eleh, tu je ke bezanya? Takat itu, aku pun boleh jawab. Poodah! Ayat manis sekarang tak main la brader. Pergi bertapa seratus tahun lagi la kat gunung air terjun sana. Lepas tu baru test balik ayat manis tu.
               “Kedua, diorang takde semua yang kau ada.”
               “Diorang cantik Ash.”
               Ashraf menggelengkan kepalanya dengan jari telunjuk digawang-gawangkan ke kiri dan ke kanan. Muka serius. “Ketiga, diorang tak dapat gelang macam kau dapat.” Senyum nipis.
               Tia mencebik. “Eleh, entah-entah gelang kau bagi tu gelang tikam yang 20 sen tu.”
               Ashraf gelak. Gelang tikam? Apa ke hina sangat gelang tu? Aku beli mahal oi! Mahal okay. Gelang tu silver tau. SILVER! Tapi, takkan nak canang harga gelang yang dia beli tu kat orang kot? Tu namanya menunjuk. Dia beli untuk Tia bukan untuk menunjuk. Nasib kaulah Ashraf Aiman dia boleh cakap tu gelang tikam siap letak harga 20 sen pulak tu. Murah betul gelang tu. Tsk.
               “Murah sangat ke nilai gelang tu?”
               “Eh, gurau jelah. Haa…ada lagi tak? Baru tiga.”
               “Keempat, aku tak sayang diorang macam aku sayang kau.”
               “Tapi, sayang jugakkan?”
               “Deh, tambi. Siapa je cukup gila nak sayang gadis ramai-ramai? Kau sorang pun dah serabut kepala otak tau tak?” Ashraf buat muka sedih. Tia ketawa. Comel je.
               “Okay okay. Diorang yang lain sihat?”
               “Sihat semuanya. Tak nak tanya aku?”
               “Kau memang aku dah nampak sihat. Tak tanya pun takpe.” Tia gelak sepuas hati. Seronok dapat mengenakan kawannya itu.
               “Ceh, aku ditigakan oleh diorang.” Balas Ashraf tak puas hati. Bantal di atas katilnya dicapai dan dipeluk erat. Tia dah angkat kedua-dua belah kakinya di atas kerusi dan memeluknya.
               “Ala, tapi kau tetap teratas.”
               Ashraf senyum. “Jangan buat aku cairlah.”
               Tia gelak meriah. Entah berapa banyak dia gelak agaknya. Muka Ashraf dah memerah menahan malu. Dia malu dengan ayat yang baru didengarinya. Bukannya Tia tak tahu dia ada perasaan lebih dari seorang kawan terhadap gadis itu. Cuma gadis itu telah menolaknya dengan elok. Dia tahu, Tia tak pernah menganggapnya lebih dari seorang kawan. Dia tahu itu, tapi tak salah rasanya mencuba. Tak kisahlah. Asalkan Tia bahagia, dia turut sama bahagia. Okaylah tu kan?
               “Meen...”
               “Apa?”
               “Bila nak lepak sama?”
               “Kau datang ambik aku la.” Tia angkat-angkat kening. Senyuman masih bergayut di bibir. Ashraf mencebik.
               “Macamlah kau nak lepak dengan kitorang lagi.” Lirih nada suara Ashraf tika itu. Tia mengerutkan dahi. Ah, sudah! Apahal mamat ni nak buat ayat syahdu lagi sadis ni?
               “Apasal pulak?”
               “Yelah, orang tu dah ada kawan baru mana nak ingat kawan lama.” Ashraf dah masuk sesi berjauh hati. Tia dah mengekek suka. Mengada sangatlah si Ashraf Aiman ni pun. Bajet aku akan bersedih samalah kalau dia buat ayat sedih gitu?
               “Eleh, ke orang tu yang lupa orang sini?”
               “Meen, pernah ke aku lupa kau?”
               “Ha, yang kau nak sentap pehal? Aku yang patut sentap sebab kau cakap aku lupa kawan lama.” Tia buat muka sedih. Ashraf dah sengih-sengih depan skrin laptopnya.
               “Sejak bila kuat sentap ni?”
               “Sejak tukar sekolah.” Tia menyengih menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.
               So, sekolah baru macam mana? Okay?”
               Angguk. “Okay.” Tia senyum. Manis. Ashraf turut sama senyum.
               “Baguslah. Nanti kirim salam kat kawan-kawan baru kat sana.”
               Angguk lagi. “Okay. Tak nak kirim salam kat gadis-gadis?”
               Geleng. “Kau sorang dah cukup.” Ashraf kenyit mata. Tia hanya gelak. Dalam pada mereka sedang rancak berbual telefon bimbitnya bordering. Anak mata terus beralih dari skrin laptop ke telefon bimbit di sebelah. Nombor tak dikenali. Siapa?
               “Ash, kejap. Ada orang call.”
               Ashraf angguk. Menunggu.
               Tia capai telefon bimbit, tekan butang hijau dan melekapkannya ke telinga. Dalam otak masih memikirkan siapa yang menelefonnya. Dia ada bagi nombor kat sesiapa ke? Hmm.
               Hello.”
               “Tia…Tia...Tia.” Sahut suara dihujung sana. Tia kerut dahi. Dah, siapa pulak ni? Angkat call terus panggil nama aku macam tu.
               Hello?”
               “Tia! Ni Sam.”
               “Hah?” Tia pelik. Sam? Bilanya aku bagi nombor kat dia? Ada ke? Ada eh? Eh, ye ke ada? Tia keliru. Otak cuba mengingati jika dia ada memberi nombor telefonnya kepada Sam. Ada ke ada ke? Oh, ada! Dia teringat. Sebelum nak balik mereka ada bertukar nombor telefon. Cis! Aku yang tak save nombor dia. Haha.
               “Sam la. Sam.”
               “Ha…ye. Kenapa?”
               “Keluar jom.”
               Kerut di dahi bertambah lagi selapis. Keluar? Pergi mana? Anak mata memandang jam yang terlekat di dinding. Lagi beberapa minit hendak pukul  5.00 petang. Dan dia juga baru teringat dia belum pun solat Asar. Tulah, ralit sangat berborak dengan Ash sampai tak tengok jam. Elok sangatlah tu.
               “Pergi mana?”
               “Adalah. Lepak-lepak. Jomlah. Aku ambik kau.”
               “Eh, tak naklah.”
               “Jomlah Tia. Kawankan? Aku ambik kau kat rumah pukul 5.30 petang.”
               “Cakap dulu pergi mana?”
               “Lepak-lepak je. Ala, nanti kau taulah. Tau tau.” Sam masih cuba memujuk. Tia garu kepala. Nak lepak? Mana je? Lepas je daddy dapat notis kena transfer tempat kerja, mereka sekeluarga pun mengikut pindah sama. Yelah, takkan nak suruh daddy tinggal sorang-sorang pulakkan? Rumah lama terus daddy sewakan entah pada siapa. So, dia tak berapa tahu sangat selok-belok kawasan itu.
               “Erm…”
               “Jomlah.”
               “Tapi…”
               Come on la Tia. 5.30 nanti aku ambik kau. Nanti text aku alamat rumah kau. Bye.
               Hah? “Cop! Sam aku tak boleh.” Ish, mamat ni. Cubalah bawak bersabar sikit. Aku tak habis cakap lagi ni. Jari telunjuk menolak anak rambut ke tepi dan diselitkan dibalik telinga.
               “Alaaaaa…jomlah Tia.” Sam masih berusaha memujuk.
               Tia gigit bibir. Serba salah dibuatnya. Bukan tak mahu keluar tapi macam dah petang sangat je. Sebenarnya bukan dia tak boleh nak keluar petang-petang macam tu tapi perasaan malas bertimpa-timpa. Nak kena bersiap tu yang paling dia tak suka. “Malaslah Sam.”
               Please, Tia?”
               Kepala yang tak gatal digaru. Nak pergi ke tak? Kalau ikut pun tak salah. Boleh juga dia tengok keadaan tempat barunya ni. Kalau tak ikut, duduk jelah kat rumah ni. Alaaaa… Cepat, Tia. Fikir…fikir… “Aku…ikut kot?”
               “Betul-betullah.”
               “Yelah yelah. Aku ikut.”
               “Okay! Nanti text alamat kau. Bye.”
               Belum pun sempat Tia membalas, Sam terlebih dahulu menamatkan panggilan. Tia merenung skrin telefon yang sudah berubah gelap. Nafas dihela panjang. Dia ni pun, tak menyempat-nyempat aku nak tanya macam-macam dia dah letak. Kira kalau aku ikut dia lepak sama bermakna aku lepak sekali dengan Rex la kan? Aaaa…duh.
               “Meen...”
               Tia terlupa Ashraf masih lagi di talian. Telefon bimbit ditangan diletakkan semula di atas meja – bersebelahan laptop. Anak mata kembali pada skrin laptopnya.
               Sorry, kawan.” Senyum.
               “Kawan baru?”
               Angguk.
               “Kenapa?”
               “Ajak lepak.”
               “Wah, baguslah. Dah ada kawan. Taklah aku risau kat sini.”
               “Poodah kau nak risau. Geli.” Ashraf gelak. Tia juga.
               “Okaylah, aku nak bersiap ni. Bila-bila aku call lagi. Bye sayang.”
               Bye busuk. Jaga diri.”
               Ashraf angguk sambil mengukir senyuman yang sentiasa berjaya menenangkan hati Tia. Senyuman Ashraf yang sentiasa menemaninya dahulu. Tapi, Ash dah jauh. Ash dah tak ada depan mata. Ash dah tak boleh nak gembirakan dia macam dulu. Takpelah, buat kawan baru. Mana tahu boleh jumpa seseorang macam Ash ke? Haha. Kalau ada. Talian dimatikan. Tia memandang sepi skrin laptop. Anak mata memandang lagi jam di dinding. 5.15. Okay, jom solat dan bersiap!



“MANA SAM?” Apek memandang Rex yang sedang ralit memetik gitar ditangannya. Rex angkat muka dari gitar ke wajah Apek. Dia melihat sekeliling. Haah. Mana Sam? Tadi kata dah nak gerak tapi batang hidung pun tak nampak.
               “Entah. On the way kot.” Rex menjawab tapi anak matanya masih meliar mencari tubuh Sam. Kot kotlah dia tengah main hide and seek ke. Dia tu bukannya boleh diduga apa yang dia nak buat. Mereng. Dalam pada dia sibuk mencari telinga menangkap bunyi deruan enjin motosikal. Sam. Rex kenal bunyi motosikal itu. Anak mata terus mencari arah datangnya bunyi itu. Eh?
               “Yo.” Sam melangkah menghampiri dengan gitar di tangan.
               “Hoi, apa cerita bawak gadis?” Paan menyakat dengan mata dikenyitkan. Sam tepuk bahu Apek dengan Rex. Apek sengih penuh makna. Rex pandang Tia tak lepas. Dah kenapa Tia ada kat sini? Dengan Sam pulak tu. Sam ajak? Tapi kenapa Sam mesti ajak Tia sekali?
               “Budak kelas aku.”
               “Bukan main kau sekarang. Kenalkan la.” Apek pandang Tia. Sebuah senyuman dihulurkan kepada Tia. Tia angguk turut sama membalas senyuman itu. Dia terkejut sebenarnya. Sangat terkejut.
Sebaik sahaja turun dari motosikal tadi, benda pertama yang menyapa matanya adalah Rex yang sedang memetik gitar. Sedap! Tu sahaja yang mampu dia katakan. Rex pandai main gitar. Dan dia juga tahu Sam pandai main gitar sebab masa atas motor tadi dia perasan ada beg gitar melepasi bahu Sam.
               “Ni Tia. Yang kat hujung sana tu Paan. Sebelah Rex tu Apek. Yang tu, tak payah kenalkanlah.”
               “Kau dah kenal, Rex?” Apek soal Rex. Rex hanya mengangguk. Tak bersuara. Atau lebih tepat suaranya macam tak terkeluar. Dia masih terkejut. Gadis setahun lalu dah ada betul-betul depan mata. Hanya terpisah dengan beberapa tapak sahaja.
               Sorry lambat. Tadi aku ambik Tia kat rumah.”
               “Takpe. Kau bawak awek cantik kira maaflah.” Paan gelak meriah. Tia dah malu-malu. Dia sudah pun melabuhkan punggungnya di atas tunggul kayu yang ada di situ. Berdepan dengan Rex. Sam di sebelahnya. Gitar dibahu ditarik ke depan.
               “Ada lagu best?”
               Geleng. “Takde ilham.”
               “Dah ada depan mata takkan takde ilham lagi.” Sam mula masuk jarum. Tia yang tak tahu apa-apa hanya pasang telinga. Tak menyampuk. Rex pandang Sam. Tajam. Macam nak telan pun ada gayanya. Sam menyengih.
               “Eh, Joe dengan Fadil mana?” Rex memandang kiri dan kanan mencari lagi dua orang kawannya yang langsung tak kelihatan. Sekarang baru nak teringat padahal sampai dah lama.
               “Er, takpe ke aku join sekali ni? Tiba-tiba suara Tia kedengaran. Bertanya dengan nada teragak-agak. Empat pasang mata memandang serentak ke arah Tia yang nampak tak senang duduk. Menguis-nguis pasir dengan hujung selipar.
               “Eh, takpe sangat. Kira masyuklah ada awek cantik lepak sekali.” Paan menjawab dengan sengihan di bibir.
               Memerah muka Tia apabila mendengarkan ayat yang baru keluar dari mulut Paan. Cantik? Eh, eh, mana ada cantik! Rabun ke?
               “Betul tu. Asyik-asyik tengok muka dorang pun jemu jugak.” Apek menyahut dengan gelak besar.
               Sam mencebik. Bukan main korang pancingkan? “Sekaranglah nak cakap jemu bagai. Padahal lepak boleh kata tiap hari melepak.” Perli Sam. Apek dengan Paan hanya menyengih.
               Rex berdehem. “Tak payah nak bertekak sangatlah. Tia tengok tu.” Dia mengerling sekilas Tia yang masih tampak kekok.
               “Eh, takpe takpe.” Tia membalas. Kaku. Kekok. Dia rasa macam dia menganggu pulak. Yelah, diorang nak lepak aku pun ada sekali. Tak ke macam menyibuk. Sam la ni pergi angkut aku sekali. Bengong! Kalau tahu macam ni tak adanya aku nak ikut. Memang aku tolak sungguh-sungguh.
               “Okay, jom nyanyi.” Sam mula petik gitar. Melodi lagu Your Call – Secondhand Serenade memenuhi ruang udara. Rex turut sama memetik gitarnya. Memainkan melodi yang sama. Paan dan Apek test vokal melagukan lirik lagu itu.
Tia tersenyum lebar. Favourite song! Perlahan-lahan dia turut sama menyanyi. Mulanya perlahan. Kemudian entah kenapa dia jadi seronok sehingga tak sedar dia dah menyanyi sama kuat dengan Paan dan Apek. Dan entah bila Paan dan Apek berhenti – hanya dia yang menyanyi dia pun tak sedar. Apa yang dia tahu sebaik sahaja Sam dan Rex berhenti memetik gitar mereka bertiga tepuk tangan. Kecuali Rex. Rex hanya memandang tepat ke arahnya.
               “Sedapnya suara.” Paan memuji.
               “Cair weh. Cair.” Apek menggiat. Tia ketap bibir. Malu. Boleh tak nak benam muka dalam tanah? Serius, malu teramat ni.
               ENCORE! Lagu lain weh.” Sam bersorak.
               “Bisinglah kau.” Rex bersuara. Perlahan. Mereka bertiga ketawa serentak.
               Meriah. Tia jadi malu sendiri. Entah macam mana dia boleh lupa diri. Seronok sangat agaknya. Dah lama tak rasa tenang dan seseronok sekarang. Dah lama tak karaoke kot. Tia pandang Rex.
Rex masih memandang wajahnya dan dalam sekali imbas dia seperti ternampak ada segaris senyuman di bibir itu. Rex senyum. Senyum? Tia mengelipkan matanya berkali-kali. Rex masih juga senyum. Tia terpana.

Senyuman dia…senyuman membunuh. Membunuh jiwa.