Monday 17 April 2017

Lapan Tahun Itu ~ (Prolog - Bab 1) ~ Fizziany

PROLOG


VAN AMBULAN yang laju membelah jalan sekitar Bandar Hilir, Melaka berhenti dengan kasar di hadapan pintu masuk Hospital Mahkota Medical Centre. Bunyi brek van ambulan yang ditekan begitu kuat membuatkan tayar kenderaan itu bergeser kasar dengan tar jalan. Dua orang lelaki bergegas dengan cemas membukan pintu belakang van tersebut dengan wajah yang pucat. Pintu automatik terbuka dan tertutup acapkali dilewati oleh penghuni hospital swasta itu. Dari dalam bangunan hospital swasta itu, enam orang pekerja hospital dengan uniform biru muda bergegas menghampiri van dan terus membantu untuk mengeluarkan pesakit yang sedang parah terbaring di atas troli pesakit. Beberapa pasang mata yang ada di hadapan pintu masuk utama hospital tersebut terus sama memandang keadaan itu dengan penuh minat, bagai tidak mahu melepaskan peluang menonton saat-saat kecemasan yang jarang terbentang di mata.
Troli pesakit dilaraskan lalu ditolak laju masuk ke dalam hospital. Semua pekerja yang sedang melakukan tugas itu kelihatan penuh cekap mengendalikan tugas mereka tanpa lengah. Orang awam yang menghuni ruang lobi serentak mengalihkan pandangan mereka ke arah kes kecemasan yang sedang terpampang di hadapan mata mereka.  Sekujur tubuh yang berbalut kain putih berlumuran darah sedang ditolak di atas troli pesakit itu dengan laju.  Jururawat-jururawat yang ada di sekeliling troli pesakit cuba memberi bantuan sebaik mungkin. Pesakit yang sedang terbaring itu kelihatan mamai dan separa sedarkan diri. Wajahnya bengkak dan ada bekas darah kering di bahagian pipi dan dahi. Matanya sekejap tertutup dan sekejap terbuka merenung sekelilingnya dengan pandangan liar. Saat melewati orang ramai, ada mulut yang berbisik sesama mereka. Kasihannya.... Itu kata hati kecil mereka bila hanya mata dapat menghantar rasa simpati. Troli ditolak ke dalam lif kecemasan dan butang ke tingkat 3 terus ditekan. Wad kecemasan.
Menunggu di dalam lif bagai satu penantian penuh azab. Wajah-wajah jururawat dan pengendali troli masing-masing sebu. Otak mereka tepu. Saat itu, tiada kata yang mampu diungkap selain hati yang menjerit mahu segera tiba ke destinasi yang dituju. Suasana di dalam lif langsung tidak berbunyi. Hanya deruan mesin pengangkut lif sahaja yang kedengaran menderu-deru di telinga sekaligus menambah rasa gelisah yang sedia ada. Lebih-lebih lagi bila melihat darah yang masih aktif mengalir dari kecederaan kaki si pesakit.  Dahi jururawat yang sedang berdiri di hujung kaki pesakit berpeluh. Ting! Sebaik lif terbuka, terus kakitangan hospital itu meluru keluar. Troli ditolak semakin laju memasuki wad.
Seorang doktor pakar yang sudah dimaklumkan akan kes itu sudah menanti kes itu di ruang wad. Salah seorang jururawat yang memegang laporan kes itu segera menyerahkan laporan kes itu kepada doktor muda yang sedang menanti. Di waktu malam yang sudah hampir ke penghujung waktu, hanya doktor itu yang masih bertugas untuk kes-kes kecemasan parah seperti itu.
“Kes apa?” soal doktor muda tersebut seraya mengekori langkah laju para kakitangan hospital yang lain.
“Accident kereta. Tadi, ada orang bawa dia ke Hospital Alor Gajah, tapi dia minta dirujuk ke sini. Jadi Hospital Alor Gajah tolak ke sini...” jawap jururawat tersebut yang cuba menyaingi langkah laju doktor muda itu. Doktor itu meneliti laporan pesakit itu yang tidak  lengkap.
Dia kemudian menutup laporan tersebut dan terus masuk ke dalam bilik pembedahan. Bau ubat-ubatan menyerap masuk ke rongga hidung doktor muda itu. Suasana di dalam bilik pembedahan itu kian sibuk. Pesakit itu dihampiri. Ada 4 orang lagi pekerja hospital yang akan melakukan pembedahan bersamanya. Doktor itu terus memakai penutup hidung dan mulut. Pekerja-pekerja hospital tadi memberi laluan kepada doktor muda itu agar berdiri di tepi kepala pesakit. Doktor muda itu terus memandang wajah pesakit tersebut.
Mulanya dia hanya memandang kepada kecederaan parah yang dialami pesakit. Luka-luka di sekitar tubuh pesakit diteliti sambil mengenalpasti tindakan segera yang harus dilakukannya. Kemudian, dia meneliti pula raut wajah pesakit itu yang bengkak. Pipi yang membengkak hingga hampir terkena mata membuatkan doktor itu merenung jauh di sebalik kecederaan itu. Lama direnung raut wajah itu. Matanya terkebil-kebil dengan hati yang mula berombak. Nafasnya perlahan-lahan hilang rentak bila dia mula menyedari sesuatu pada raut wajah itu.
Matanya terpaku merenung wajah pesakit tersebut. Wajah seorang perempuan. Rambutnya yang panjang kini disarungkan dengan penutup kepala. Wajahnya yang ada kesan darah dibahagian mata dipandang. Kulit mukanya yang putih bersih kini kelihatan lebam di bahagian pipi dengan sedikit warna kebiruan. Nafas doktor muda itu bagaikan terhenti setelah lama  merenung wajah gadis itu. Dia meneguk air liur pekat.  Bibirnya tergesip. Terkejut. Tergamam. Tidak salah lagi. Matanya tidak akan salah mengenal orang. Orang yang paling lama hidup dalam jiwanya yang hilang. Kini dia yakin dengan apa yang ada di hadapannya. Dia???
Nafasnya berlari laju memandang gadis itu. Seluar yang dipakai oleh gadis tadi digunting oleh pekerja hospital. Seluar tersebut berlumuran darah. Doktor itu memandang pula cedera yang terdapat di bahagian kaki. Kakinya patah! Tulang betisnya sudah dapat dilihat. Hati doktor itu menggigil. Mengapa dia??? Mengapa dia begitu cuai hingga sebegini jadinya? Lutut dan sendi mula longlai. Semangat yang membuak di dada mula terungkai.
“Doktor Rizman....” bila dia dicuit oleh salah seorang jururawat yang ada di sisinya, Pantas Rizman menarik nafas kasar. Dia sedikit terperanjat. Rizman kembali memusatkan pandangan terhadap kecederaan pesakit yang amat dikenalinya suatu ketika dulu itu. Semangatnya yang terbang hilang tadi kini kembali bersatu dengan dirinya. Dia merenung gadis itu lagi. Tiba-tiba gadis itu juga tuurt memandangnya. Bola mata gadis itu juga kelihatan membulat pada mulanya, tapi kemudian mula mengendur bila pandangan mereka bertaut.
Mata gadis itu yang separuh sedar juga bagaikan merenungnya penuh makna dalam kepayahan melawan kesakitan. Bertentang mata dengan sepasang mata bundar itu membuatkan Rizman lemah. Dia memandang jururawat di hadapannya.
“Bagi dia G.A... dan bius..” arah Rizman. Jururawat tersebut mengangguk faham lalu memakaikan satu alat pernafasan yang mengandungi gas penahan sakit ke hidung dan mulut pesakit itu. Selepas itu gadis itu dibius. Rizman menarik nafas dalam-dalam. Dengan pantas, dia memulakan kerjanya. Dia tidak mahu lambat seminit pun untuk mengeluarkan gadis itu dari kesakitan yang sedang dialaminya. Tidak sampai 2 minit dibius, gadis itu sudah tidak sedarkan diri. Dia dibawah kawalan ubat penahan sakit dan pelali.
Hati Rizman berlumba-lumba untuk mencari damai yang sudah dikucar-kacirkan sebaik dia terpandangkan gadis itu sejak tadi. Seusia nafasnya tak mungkin dapat dlupakan wajah itu. Mengapa dia bertemu semula dengan gadis ini dalam keadaan ini? 8 tahun... 8 tahun lamanya dia sudah lupakan gadis itu. 8 tahun lamanya dia sudah menguburkan memori bersama gadis itu. Sangkanya kenangan yang pernah hadir bersama gadis itu cuma satu persinggahan hati dalam diari remajanya. Tapi, dia tidak menyangka. Sungguh dia tidak sangka!
Setiap masa yang pernah dihabiskan bersama gadis itu, setiap perbualan antara mereka berdua dan setiap gurau senda marah cerca bersama gadis itu berlumba-lumba muncul satu demi satu mengoyak isi memori manis yang telah dikunci rapat-rapat oleh hatinya. Bahkan dia pernah berikrar di satu ketika, semua kenangan-kenangan yang mengusik jiwa itu takkan lagi dikenang buat selamanya. Baginya saat itu, apa yang pernah hadir antara dia dan gadis itu, biarlah ia kekal bagai hanya satu persinggahan dalam usia mudanya.
Bukan mudah hendak menolak semua memori itu setelah hati dan jiwanya dibawa pergi saat gadis itu tiba-tiba hilang khabar berita darinya. Pergi tanpa pesan. Hilang tanpa bayang. Pemergian gadis itu suatu masa dahulu meragut jiwanya sekaligus menujah jasadnya ke lohong kosong yang gelap bertahun lamanya.
Bangkit dari semangat yang sudah punah, dia nekad mahu meneruskan hidup tanpa dibayangi masa lalu. Ayahnya menjadi sebab mengapa dia berada di tahap ini. Ayahnya yang membawa dia pada kedudukannya sekarang. Bila dihimpit dan dikelilingi kesibukan tugas baru, dia gembira. Amat gembira. Dahulu, dia pernah berfikir bahawa mungkin jika dengan berdiam diri dan melayan perasaan duka akan menghilangkan kedukaannya. Tapi dia silap. Nyata, makin dia menyendiri, makin lama dia mengenang dan mencuba untuk melupakan, sebenarnya ia makin mencarikkan perasaannya. Semakin kuat dia mencuba melupakan, semakin parah dan dalam luka di hatinya.
Lalu cadangan ayah diikutinya. Dia mencuba pelbagai perkara. Paling ketara menyesakkan jadual hariannya dengan bermacam acara. Tidak lama... Dia akhirnya berjaya melupakan semua keperitan hati. Lalu dia telah bertemu dengan penawar itu. Sibuk bererti kita melupakan persekitaran kita. Juga hati kita. Ianya berkesan. Lalu Rizman menjadi manusia paling sibuk di Hospital Mahkota Medical Centre itu.
Susah payah dia melupakan segalanya, Rizman ternganga kini. Berperang dengan perasaan sendiri antara kecewa, terkilan, ralat dan benci. Kecewa kerana gadis ini begitu lalai menjaga diri sendiri hingga mendapat kemalangan seperti ini. Terkilan kerana dia tidak ada di saat gadis itu meraung dan meratap kesakitan sebelum ini. Ralat kerana dengan susah payah dia berusaha untuk menjaga gadis itu dengan perpisahan mereka, tetapi gadis itu kini ada di hadapannya. Dia benci kerana dia tahu kini perasaannya goyah kembali. Rizman mengetap bibir kesal. Mengapa tiba-tiba dia muncul setelah hatinya tenang saat ini? Begitu banyak rumah sakit yang ada di tanah ini, mengapa dia di sini? Begitu banyak saat yang beratur dalam sehari, mengapa saat ini yang dipilih oleh Tuhan hingga aku bertemunya kembali? Untuk apa pertemuan semula ini?
Lelah bercampur gelisah. Nafas berlari tak terkira seiring dengan denyutan nadinya. Rizman merenung gadis itu dalam-dalam sekali lagi. Dalam hatinya yang menggigil dan berdebar melawan rasa, dia melakukan tugasnya secepat dan sebaik mungkin. Mengapa ? Mengapa sekarang? Mengapa selepas 8 tahun, tiba-tiba wajah itu dapat ditatapinya semula! Sungguh dia tidak menduga...





                                                                                      BAB 1
                                                                                   

“MANA?! MANA?!” Johan bagaikan kucing hilang anak. Separuh sasau. Tak ubah bagai orang kurang siuman, menggeledah setiap ceruk rumah. Baju-baju berlimbungan segenap ruang. Pintu almari bagai mahu tercabut engsel dikopaknya kasar. Tangannya yang sasa ganas menyelongkar segenap inci ruang di dalam rumah. Hatinya berang. Barang yang sudah dua hari dicari masih belum ditemui. Dia mahu mengamuk. Dia tidak dapat mengawal emosi marahnya.
Biarlah anak tirinya yang sudah menginjak dewasa itu melihat topeng yang selama ini memagari wajahnya. Biarlah dirinya yang sebenar terlihat. Dia sudah muak berpura-pura baik selama 3 tahun ini.
“Mana? Mana Lia???” teriaknya kasar. Tangannya masih ligat memunggah barang-barang milik arwah isterinya yang baru saja dikahwini 3 tahun lalu. Arwah Mariam baru saja 2 hari dikebumikan dan dia sekarang bagai cacing kepanasan.
Adelia yang bersembunyi di ceruk dapur, di celah mesin basuh yang sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi kecut perut. Wajahnya yang putih bertukar pucat. Hatinya berdebar-debar. Darahnya berderau.
“Lia!!!” tiba-tiba suara Johan kian kuat dan garang. Bak halilintar yang membelah bumi. Serentak dengan itu kedengaran bunyi tapak kakinya yang berdentum-dentum menghampiri ruang dapur. Hati Adelia makin kecut. Dia makin takut. Bibirnya menggigil.
“Kau nak menyorok buat apa? Hoih! Keluar!!!” tengking Johan sambil bercekak pinggang memandang Adelia yang duduk menikus di tepi mesin basuh. Hati Adelia tersentak. Dia bangun perlahan-lahan dengan seluruh tubuhnya yang menggeletar. Bapa tirinya itu sudah gila agaknya. Sejak arwah ibunya meninggal, dia bertukar menjadi raksasa Godzilla yang amat menakutkan. Godzilla menakutkan? Boleh kata begitulah kot...kerana Godzila makan orang!
“”Mana? Kan aku suruh kau cari!!!” tengking Johan kuat kepada Adelia. Kata-katanya bagaikan batu berapi yang menghujani Adelia yang menggigil ketakutan dengan wajah garang Johan.
“Lia dah cari...” rintih Adelia terketar-ketar.
“Habis tu?” Johan menempelak dengan wajah bengis. Sungguh, dia naik cuak dengan hidupnya kini. Marah melihat wajah anak tirinya yang kini menjadi beban padanya.
“Lia masih tak jumpa...” ujar Adelia resah.
“Sial!! Kau sama macam mak kau tau? Sial!!!” Johan tak betah berdiri tegak. Mendengar kata-kata itu, hati Adelia remuk rendam. Diketap bibirnya yang merah merekah. Pilu benar hatinya. Kubur mak masih basah, tergamak bapa tirinya ini mencela sebegitu. Adelia rasa mahu saja dia menjerit ke arah Johan kerana mencela arwah ibunya. Tapi melihat Johan yang begitu garang dan bengis, dia takut.
“Aku bagi kau masa sampai pagi esok! Aku tak mahu tahu mana kau nak cari...tapi lepas aku bangun pagi esok, aku nak geran tanah tu! Kau faham?!!” jerkah Johan sambil turun satu anak tangga. Jarinya laju menuding tajam ke arah Adelia yang tegak berdiri ketakutan.
“Tapi.. Lia nak cari kat mana...” Adelia mula menangis. Dia jelas takut dengan ugutan itu.
“Argghhh...itu masalah kau! Bukan masalah aku! Kalau kau tak jumpa geran tanah tu, kau yang aku jual kat Tauke Chong esok! Kau faham?!!” Johan menjerkah sekuat hati. Dia menghamburkan rasa geram dan marahnya pada anak gadis itu. Adelia laju mengangguk faham dengan linangan airmata. Johan menarik nafas enat, kemudian mendengaus geram. Da melangkah dengan langkah yang kasar meninggalkan Adelia keseorangan di situ. Dia mahu keluar. Adelia mengurut dadanya. Ugutan Johan bukan main-main. Dia perlu lakukan sesuatu.
  
“DIA dah jumpa geran tanah tu?” soal Linda. Bahu Johan yang sasa diurut perlahan-lahan. Johan menghisap rokok yang tersepit di celah jarinya. Asap disedut dalam-dalam, kemudian dihembus perlahan-lahan ke udara. Berkepul-kepul asap putih memenuhi ruang udara bilik yang kecil itu.
“Belum..” jawab Johan perlahan. Linda mengerutkan dahi. Resah terpapar di ruang wajahnya.
“Macam mana boleh tak ada? Takkan pandai sangat perempuan tu sembunyikan?” rungut Linda tidak puas hati. Rumah arwah Mariam bukanlah besar sangat hingga nak cari sekeping geran tanah pun susah... Johan menggeleng. Pasrah buat seketika bila usahanya selama 2 hari masih nampak jalan buntu.
“Entah-entah dia bagi pada anaknya tak.... Kau dah tanya pada anak dara dia tu?” soal Linda.
“Aku dah tanya... Aku dah geledah bilik dia pun...tapi tak ada!” marah Johan seraya merenung tajam ke wajah kekasihnya, Linda. Linda berusia lewat 30-an. Namun tubuhnya masih menggiurkan dan dia masih cantik. Linda pandai menjaga badan dan hatinya. Dia sayangkan Linda  namun dia tidak tahu hala tuju perhubungan mereka.
Tangan Linda yang mengurut bahunya tadi segera ditolak. Linda memandangnya keruh.
“Mustahil hilang... aku yakin geran tu ada pada anaknya... Pada siapa lagi dia nak serahkan geran tu!” marah Linda. Johan mula naik berang. Seolah-olah Linda tidak percayakan kata-katanya.
“Aku dah cakap kan yang aku dah geledah satu rumah. Bilik budak tu pun aku dah terlangkupkan sampai tak nampak rupa bilik. Tapi tak ada! Aku nak cari kat mana lagi???” marah Johan. Linda menghela nafas geram. Bibirnya mencebik sambil merenung Johan.
“Kat badan dia? Kau dah check? Budak tu pun licik jugak! Bukan boleh percaya sangat!!!” cemuh Linda. Johan terdiam. Kata-kata Linda masuk akal. Dia seorang lelaki, manalah dia tahu otak perempuan.
“Otak kau ni boleh pakai jugak kadang-kadang ye...” Johan pantas menyarung semula t-shirtnya yang ditanggalkan sejak tadi. Linda memandangnya hairan. Johan bangun terkocoh-kocoh.
“Kau nak ke mana?” soal Linda bila melihat Johan sudah membuang puntung rokoknya ke lantai. Dipijaknya puntung rokok itu dan dia menghembus asap terakhir yang masih bersisa di dalam mulutnya. Kunci kereta yang tergantung di paku dinding segera dicapai.
“Aku nak baliklah! Nak geledah badan budak tu!” kata Johan.
“Aku nak ikut!!” Linda jadi resah. Kelam kabut dia bangun dan menarik tangan Johan. Johan hanya membiarkan saja Linda mengekorinya. Langkah mereka berdua laju keluar dari rumah flat yang hanya ada dua bilik. Bagai lipas kudung, mereka berdua meninggalkan flat itu.
  
ADELIA menutup rapat-rapat pintu rumah. Dengan berbekalkan beg galas, dia terus keluar dari perkarangan rumah yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Rumah yang terletak di perkampungan Kampung Baru itu segera ditinggalkannya dengan perlahan-lahan. Saat menutup pintu pagar rumah bercat putih itu, langkahnya mati sejenak. Adelia memegang pintu pagar yang sudah ditutup rapat. Direnung dalam-dalam rumah batu itu. Rumah pusaka arwah neneknya yang diwasiatkan kepada arwah ibunya. Kini, ibunya pergi menghadap Tuhan buat selama-lamanya. Dia yang tertinggal sendirian, saat ini merenung rumah penuh kenangan itu dengan sejuta rasa sayu.
Rumah ini, bukan sekadar rumah. Ia bukan sekadar binaan konkrit dan batu yang tegak di atas sebidang tanah. Ia adalah taman. Taman rohani. Di mana tersemat kenangan sejak dua generasi yang lalu. Di tanah ini, roh ibu dan neneknya jelas tergambar masih bermain di segenap ruang rumah. Rumah ini menjadi saksi  nenek membinanya. Rumah ini menjadi saksi seribu kenangan keluarganya. Rumah ini menyimpan suka duka ibu tunggal yang gigih membesarkan anaknya selama hampir 10 tahun.
Arwah bapanya meninggal dunia sewaktu dia kecil. Waktu dia hanya mampu mengingati beberapa memori. Sayangnya, memori bersama arwah ayah tidak banyak dipahat di situ kerana arwah ayah banyak keluar belayar. Arwah ibunyalah yang membesarkan dia.
Kini, rumah yang penuh dengan harga yang tak terhitung nilainya mahu dirampas darinya semata-mata mahu dijual? Rumah ini mahu dijual? Adelia mengetap bibir geram. Dalam tak sedar, dia menggeleng. Tidak...Takkan... Rumah ini, biarlah runtuh menyembah bumi sekalipun, takkan dia biarkan jatuh ke tangan orang lain. Adelia menarik nafas dalam-dalam. Setitis airmata jernih yang luruh di pipi segera diseka. Selamat tinggal.
Dia menarik nafas dalam-dalam. Pintu pagar besi yang sudah karat dilepaskan dengan tabah. Kakinya mengundur, satu langkah demi satu langkah. Akhirnya dia tiba di jalan besar. Dia perlu pergi. Pergi buat sementara waktu. Johan pasti pulang esok pagi menagih janji. Johan bukan lelaki yang lemah lembut dengan ibunya seperti dulu. Johan rupanya musang berbulu ayam. Dia tahu Johan takkan melepaskannya sewenang-wenang. Kalau rumah dan tanah itu tidak dapat dijual, Johan pasti akan menjualnya kepada Tauke Chong. Johan tidak bermain kata. Dia tahu hal itu.
Jadi, sebelum malam berakhir, sebelum Johan pulang, sebelum kelam malam bertukar siang, baik dia pergi dari situ. Itu lebih selamat. Selamat untuk dirinya. Selamat untuk tanah dan rumah pusaka itu. Langkah Adelia makin panjang.
  
“CIS!!! Jahanam!!!” Johan menyepak kerusi rotan yang ada di depan matanya. Sebaik pulang ke rumah bekas arwah isterinya, Adelia telah hilang. Puas dia mencari Adelia, memekik bagai orang gila di dalam rumah itu, tapi kelibat Adelia gagal ditemui. Bila Johan masuk ke dalam bilik Adelia dan memeriksa almari barang Adelia, dilihatnya beberapa dokumen penting seperti sijil-sijil sekolah dan surat-surat penting keluarga itu telah hilang dari tempatnya. Baju-baju yang selalu Adelia pakai juga hilang. Paling ketara, ialah bila Johan menyedari beg galas berwarna biru tua yang Adelia gunakan untuk ke sekolah kini telah hilang juga. Tahulah Johan bahawa Adelia terlebih pantas bertindak darinya.
“Sial!!! Kalau aku jumpa budak tu, aku lanyak dia cukup-cukup!”  marah Johan. Matanya meliar merenung segenap ruang rumah yang tak ubah bagai kapal perang yang dah pecah dibedil meriam. Kain baju dan barang berkapar di dalam rumah. Nafasnya naik turun, tercungap-cungap menahan marah.
Linda berjalan terkedek-kedek melepasi satu ruang ke satu ruang rumah. Dia menggeledah beberapa barang yang terdapat di dalam rumah itu. Linda masuk ke bilik utama. Beberapa barang seperti rantai manik milik arwah Mariam yang bertaburan di lantai dikutipnya.
“Ini mutiara betul ke...mutiara palsu?” soal Linda sambil tersengih ke arah Johan. Da menayangkan  seutas rantai mutiara yang masih elok ke mata Johan. Johan mengetap bibir geram. Dia jelak dengan sikap Linda. Perempuan ni memang tak boleh nampak barang perhiasan!
“Kau boleh tak jangan panaskan darah aku lagi!!!” marah Johan. Linda ditengkingnya. Linda mencebik geram lalu menyarung rantai itu ke lehernya. Dia tidak peduli dengan sikap Johan waktu itu.

Dia sudah kenal Johan lama. Mereka sudah berpacaran selama 6 tahun. Selama 6 tahun itu, dia kenal benar perangai Johan. Johan memang panas baran. Johan memang kuat menengking. Tapi, Linda ada cara untuk menenangkan lelaki itu. Tapi, sejak Johan berhutang dengan Tauke Chong sebanyak RM100,000 3 tahun lalu, Johan nampaknya memang susah hendak ditenangkan sikapnya. Bila dia panas baran, Linda akan diam saja sehingga panas baran Johan hilang.

No comments:

Post a Comment