Wednesday 29 October 2014

No. 23 (Bab 2) ~ Packy Sidique

Lebuhraya KESAS.
APRIL menguatkan pegangan stereng kereta. Dia memandang ke hadapan, ke arah perjalanan yang dia tidak pasti akan membawanya ke mana. Sama seperti hidupnya yang tiba-tiba sahaja jadi tunggang terbalik. Sesekali, dia melepaskan nafas berat. Masih tidak pasti dengan keputusan yang dia buat. Yang dia tahu, hanya itu sahaja pilihan yang dia ada. Mujurlah Ti’ah sudi temankan dia ke sini. Itupun setelah mendapat kebenaran dari Mek Ani. Natrah yang dia panggil Ti’ah sejak kecil itu, memang sahabat setia yang sukar dicari ganti. Sahabat Lima Bintang!
“ Ini Lebuhraya KESAS, kan!” Soal Ti’ah mematikan lamunan April.
April angguk perlahan.
“ Kalau ikut peta google yang aku tengok semalam… bila kita nampak bangunan Impian Meridian Condominium yang tinggi tu, tandanya… kita dah sampai Subang Jaya.”
“ Kau nak risau apa, Ti’ah! Cewek GPS kita kan boleh terus tunjuk jalan ke sana. Kita cuma ikut aje arahan dia,” balas April sambil buat muka ‘boring tahap gaban’.
Ti’ah mencebek.
April geleng kepala. Tersungging senyum di bibir. Ti’ah ini memang kepoh! Apa nak risau, teknologi zaman sekarangkan, serba canggih. Senang saja mahu ke mana-mana walaupun tidak tahu tempat. Masukkan alamat, cewek GPS (Global Positioning System) yang cakap orang putih slanga British itu, terus beri kita arahnya.
April pula, malas mahu berfikir. Kepala dia tengah berserabut. Hati pula asyik tidak tenteram. Kalau boleh, dia mahu diam sahaja sepanjang perjalanan. Mahu tenangkan hati. Namun terpaksa juga mendengar Ti’ah yang asyik ‘pok pek pok pek’ tidak berhenti semenjak memulakan perjalanan tadi.
“ Pendapat aku la… kita tak boleh bergantung sangat dengan teknologi. Ada juga kes yang orang sesat berhari-hari sebab terlalu bergantung pada GPS. Sebab tu aku google jugak peta Subang Jaya…” Ti’ah tersengih.
“ Suka hati kaulah!”
“ Kau ni… itu kira langkah keselamatan tau!” Getus Ti’ah sambil kepalanya menjengah cermin depan melihat keadaan langit yang kelihatan mendung.
“ Mendung aje cuaca ni. Kokni cakap… GPS ni, kalau mendung kadang-kadang dia buat hal.” Mata Ti’ah tiba-tiba dipincingkan ke depan.
“ Kalau tak silap aku, ikut imej gambar yang aku tengok… tu lah bangunan kondominium Impian Meridian.” Ti’ah sudah jadi tak senang duduk. Sekejap-sekejap, dia memfokus pandangannya ke arah bangunan yang nampak semakin jelas.
Melihat aksi Ti’ah, April pun, ikut tak senang duduk. Bukannya apa… sejak tadi, Cewek GPS sudah mula mendiamkan diri. Entah apa yang tidak kena, April pun tidak tahu. Yang saspensnya, mereka semakin menghampiri bangunan yang dikatakan Ti’ah tadi.
“ Ti’ah! Cuba kau cek GPS tu, senyap jer…”
“ Biar betul.. kan aku dah cakap, GPS ni… bukan boleh pakai sangat,” bebel Ti’ah menjeling April. Pantas tangannya dihalakan ke arah telefon yang melekat kepada pemegang di papan pemuka kereta. Jarinya menekan beberapa butang, kemudian menunggu sebentar dengan muka pucat penuh keresahan.
‘Recalculating! Recalculating!’
Perkataan itu kedengaran berulang beberapa kali. April telan air liur. Bahagian yang tak bagusnya, mereka kini dalam jarak tak sampai 200 meter dari kondominium Impian Meridian. Dengan kelajuan kereta mereka sekarang, tak sampai 5 minit, mereka akan melepasi bangunan yang Ti’ah maksudkan.
“ Kalau ikut google, kita kena ambil susur kiri, naik ke atas… lepas tu, ambil arah kanan pula. Macam mana ni April?”
Kondominium Impian Meridian semakin dekat. Susur ke kiri tu pula terletak selepas bangunan kondominium itu. Alahai! Cewek GPS pula asyik duk ‘recalculating’ tak berenti sejak tadi.
“ Aku nak buat apa?” Tanya April. Mereka semakin menghampiri susur ke kiri.
Dia sudah keliru. Dia kini berada di lorong paling tepi sebelah kanan. Tentu sukar kalau tiba-tiba saja  mahu bergerak ke lorong paling kiri dalam jeda masa dan jarak sesingkat itu. Tapi, kalau teruskan juga, mereka akan terus sampai ke Shah Alam. Itu lagilah kes berat!
Tangan April sudah keras di stereng. Muka berubah pucat.
“ Ambil kiri! Cepat!” Ti’ah tiba-tiba memberi ultimatum.
Seperti gaya pemandu professional F1, April membuat gerakan garisan condong 45 darjah, merentasi dua lorong. Mulutnya tidak berhenti membaca ‘Bismillah’ dan segala ayat yang dia ingat. Mata pulak bergerak dari cermin pandang belakang ke cermin sisi bersilih ganti. Bimbang jika menerima hentaman dari belakang.
Ti’ah sudah keras di kerusi sebelah. Mulutnya asyik beristighfar sejak tadi. Sesekali terdengar dia mengucap syahadah.
“ Fuhh!!!”April melepaskan nafas lega. Ti’ah buat aksi sapu peluh di dahi.
Mereka hampir berjaya sampai ke lorong yang paling kiri. Mujur tak ada insiden yang tak diingini. Dia perlu memintas sebuah kereta waja untuk segera masuk ke susur keluar. Mujur sempat! Walaupun terlalu dekat dan menerima bunyi hon bertalu-talu dari pemandunya. Namun kelegaan itu tidak kekal lama, kerana tiba-, dia ternampak kelibat hitam muncul dari sebelah kiri kereta yang dipotongnya…
“ Motor! Elak! Elak!” Jerit Ti’ah.
April kejang kaku. Tidak mampu berbuat apa-apa.
‘ Dam! Sreeettt… Dam!’
Bahagian belakang sebelah kiri Honda Citynya  dihentam oleh sebuah motosikal yang memotong kereta waja tadi dari sebelah kiri. Impak perlanggaran itu menyebabkan motosikal itu terjatuh lalu terseret memasuki laluan susur lalu menghentam benteng di bahagian tepi jalan. Penunggangnya jatuh bergolek di atas jalan. Mujur April sempat menekan brek, dia berhenti hanya beberapa meter dari lokasi penunggang itu terbaring.
April dan Ti’ah berpandangan.
“ Mati aku! Aku langgar orang ke?” April sudah mahu menangis.
“ Kalau ikut bunyi tadi tu… memanglah! Jomlah keluar! Tengok keadaan dia tu!”
“ Aku dah macam nak pengsan ni! Jantung aku dah macam orang lari pecut. Kaki aku dah terketar-ketar, nak berdiripun tak larat. Tolong aku!”
“ Habis tu, kau nak biarkan dia terbaring kat situ… sampai petang nanti?”
Isy! Tak adalah macam tu! Aku takut. Kalau mati orang tu, macam mana?”
“ Ceh! Cabul betul mulut kau!” Ti’ah buka pintu tanpa menunggu April. Kalau tunggu April, pakai matilah orang tu kalau masih hidup lagi. Kalau tidak pun, pakai pengsan sampai ke petanglah nampak gayanya. Apabila melihat Ti’ah keluar, April segera menurut. Terkocoh-kocoh dia berlari sambil bersembunyi di belakang Ti’ah.
Arghhh!!! Bunyi erangan yang kuat menyambut mereka.
Lelaki itu sedang berusaha sedaya upaya untuk bangun. Nampaknya, macam taklah teruk sangat. Tetapi motosikal yang sedang ‘landing’ di tepi benteng jalan tu, nampak teruklah juga. Makan ribu juga kalau nak dibaiki.
Masih bertopi keledar ‘fullface’, lelaki itu akhirnya berjaya berdiri. Namun masih perlu menampung badannya pada penghadang jalan.
Entah dari mana datangnya keberanian, cepat saja mulut April memohon maaf.
“ Encik okay ke? Maaflah! Saya betul-betul tak nampak encik!”
“ Ya encik! Betul tu… kami tak biasa jalan kat sini. Kami tak sengaja.” Ti’ah pula menyampuk.
Lelaki itu menoleh ke arah motosikalnya. Dia berdengus. Kedua-dua tangan dikepalkan tanda menahan marah. Dia menundukkan muka. Dengan perlahan, dia menanggalkan topi keledar yang dipakainya. Perkara pertama yang tertangkap dek pandangan mata April adalah ‘sideburn’ di pipi kanannya. Rambut di depan dahi jatuh berjurai sebaik topi keledar itu dibuang dari atas kepala. Jatuh dan panjangnya sekadar menutup sebahagian dari mata kirinya. Orangnya berkulit putih. Tinggi! Tegap. Macam model.
Oh! Oh! Muka itu! Wajah itu! Mulut April separuh ternganga.
“ Macam yang selalu aku bayangkan…” bisiknya antara dengar dan tidak di telinga Ti’ah.
Lelaki itu pula, kini dalam kedudukan sedang bercekak pinggang memandang April. Dia menunding jari ke arah April. Baru hendak menunding jari sebenarnya. Niatnya terhenti apabila melihat April yang tiba-tiba menjadi lembik macam kain buruk dan terus pengsan di hadapannya.
“ April!” Jerit Ti’ah. Terus mendapatkan April yang sudah terjelepuk di atas jalan.
“ Aik! Belum marah dah pengsan!” Ucap lelaki itu perlahan sambil kehairanan membelek jari telunjuknya.
“ Dia langgar aku, aku yang teruk… dia pulak yang pengsan?” Lelaki itu bercakap sendiri sambil geleng kepala lagi.
Ti’ah pula… sedaya upaya sedang menyembunyikan senyumnya.
Pengsan konon! Pengsan sebab nampak lelaki yang wajah dan penampilannya… ada ‘aura kursani’. Lelaki dengan ciri-ciri idaman  hati April selama ini.



AKMAL FIRDAUS memerhati proses memuat-naik Mat Top ke dalam lori. Sedih melihat keadaan Mat Top, memang patah riuk. Sesekali, dia menjeling ke arah April. Geram benar dia. Sudah langgar orang… pura-pura pengsan pula. Dia ingat dia boleh lepas agaknya? Nantilah kau wahai April! Dia menjongket senyum. Pertama kali dia berjumpa orang dengan nama April. Nasib baik bukan Ogos atau September.
Tiba-tiba, dia garu kepala. Dia teringatkan sesuatu. Terus telan air liur. Diapun salah juga. Kenapalah dia tak gunakan lorong motosikal? Aduh! Macam mana boleh bawa motor sampai tidak sedar ambil lorong kereta. Nampaknya kena buat bodoh ajelah.
Mula-mula tadi, dia ingat dia sudah nampak bidadari. Mana tidaknya, perempuan secantik April muncul dengan baju kurung putih sebaik sahaja dia kemalangan. Ingatkan, dia sudah selamat masuk syurga! Walaupun dia tidaklah alim sangat, sebagai orang Islam, dia tetap mahu masuk syurga. Dia tersenyum sinis pada diri sendiri.
 Geram juga apabila memikirkan insiden tadi. Tak pasal-pasal ‘buah hati’ kesayangannya kena masuk bengkel. Lepas itu, kena fikirkan pula bagaimana mahu ke tempat kerja sementara Mat Top okay. Mula-mula macam mahu herdik aja perempuan itu. Tapi… baru angkat jari telunjuk saja… terus pengsan. Terus dia batalkan niat mahu menghamburkan kemarahan. Apabila sudah sedar yang dia juga bersalah, dia pendamkan saja. Cuma, dia hairan sungguh! Orang kena langgar tidak pengsan. Orang yang melanggar pula yang pengsan? Adakah itu akal mahu melepaskan diri?
Awalnya tadi, dia risau jugak. Bimbang jika dia benar-benar tersilap mengeeluarkan pistol. Itu yang lama benar dia membelek jari telunjuk. Manalah tahu, dalam pening-pening, dia buat kesilapan bodoh begitu. Mujur lepas itu dia teringat yang pistolnya ditinggalkan di tempat selamat di ofis kecilnya. Dan, dia menjadi lebih yakin, apabila melihat gelagat kawan si April yang berbaju warna ceria itu, asyik tersenyum saja gayanya. Ada ke patut! Kawan dia pengsan, dia asyik senyum-senyum sejak dari tadi…
Dia mengerling plat kereta Honda City. Oh! Plat ‘D’.  Orang Kelantanlah...
Kata kawan yang berdiri di sebelahnya tadi, mereka pertama kali datang ke Selangor dengan berkereta. Patutlah. Senasiblah dengan dia. Dia pun, baru sampai dari Pulau Pinang hampir sebulan. Masih terkial-kial mencari jalan dan memilih lorong ketika di lebuhraya. Dia mula faham situasi mereka. Faham tu satu hallah, dan sedar salah sendiripun satu hal jugak. Cuma, siapa nak bayar kos baik-pulih Mat Top nanti? Lagipun, dia macam tidak boleh menerima lakonan April tadi. Dia tidak mahu tertipu. Perempuan sekarang gemar menggunakan wajah cantik mereka untuk mengenakan lelaki. Maaflah ye! Dia tidak mudah terpengaruh dan tertipu, okay!
Yang makin membuatkan dia tidak percaya, April itu pengsannya tidak lama. Lepas kena renjis air… bangunlah dia. Selepas bangun… terus jadi bisu. Tapi matanya asyik pandang muka Akmal, pandang arah Akmal. Entah kenapa, dia sendiri juga, asyik terasa mahu pandang perempuan itu. Cantik!
Akmal berkalih dan menjengah laluan lebuh raya. Dari jauh, dia nampak kereta Waja miliknya berhenti di bahu jalan. Sebentar tadi, dia sudah menelefon Syuhada. Cepat sungguh Syuhada sampai. Syuhada berlari-lari anak mendapatkan Akmal. Terus dibeleknya badan Akmal dari atas sampai ke bawah dan berhenti di bahagian betis yang cedera akibat terseret.
“ Ouch! Adeh… adeh…” Akmal mengaduh bila bahagian luka itu disentuh Syuhada. “Sakitlah Dada!”
“ Abang okay ke? Mak dah duk teriak kat rumah bila dengaq abang accident. Tu lah! Sapa suruh doa benda pelik-pelik pagi tadi? Haa… kan dah jadi!” Dia bercakap dalam loghat Pulau Pinang.
“ Abang okay. Sikit saja lukanya. Tu… buah hati abang tu yang teruk…” Akmal buat muka sedih. Memohon simpati.
“ Orang risau kat dia, dia pulak duk risau kat Mat Top dia!” Rajuk Syuhada.
Akmal tersengih. Dia menyentuh lembut pipi Syuhada. Rasa terharu sebab adik kesayangan nampak sangat risaukan keadaannya.
“ Tak dak apa aih! Abang okay!” Dia naikkan tangan menunjukkan otot lengannya.
“ Sapa langgaq abang? Mai adik nak pi haria dia! Perempuan?” ‘Haria’ itu maksudnya marah teruk-teruk dalam bahasa Pulau Pinang.
“ Isy! Kan tadi abang doa minta terlanggar marka! Tu… markalah yang abang dapat.” Akmal memuncungkan mulut ke arah April dan Natrah yang terduduk di bahu jalan. Muka April nampak sedih sungguh!
“ Oh! Ya ka? Kira doa pagi tadi, makhbullah?”
“ Tau tak per!” Akmal tersengih. “Tapi, macam tak boleh percaya je. Dia siap berlakon pengsan! Ingat abang nak kesian kat dia? Salah dia tadi tu!”
“ Jangan nak dera budak tu pulak! Lagi satu, kalau nak menyakat tu… jaga sikit bahasa abang. Orang utara ni kasar. Kadang-kadang melawak bagi kita… orang dengar macam kasar dan menyakitkan hati. Faham!”
“ Mana ada nak sakat, nak marah lagi ada…” Akmal memaut bahu Syuhada. “ Kesian kat Mat Top. Sah-sah kena masuk ICU.” Dia buat suara sedih melihat motosikalnya sudah siap dimuat-naik. Motosikal itu akan dihantar ke mekanik di seksyen 16. Tak adalah jauh sangat dari tempat dia tinggal.
“ Jom! Kita jumpa budak berdua tu sebelum balik.” Ajak Akmal.
Syuhada mengangguk. Membontoti Akmal yang sudah mula bergerak ke arah kereta Honda City yang sudah kemek bahagian belakangnya. Kedua-dua perempuan itu, bangun sebaik melihat Akmal bergerak mendekat.
“ Macam mana? Dah okay?” Soal Akmal pada April.
April senyum sedikit sebelum kemutkan hidung. Tiada jawapan.
Hisy! Comel pula Akmal tengok. Tetapi dia tidak mahu tertipu dengan lakonan untuk melepaskan diri. “ Okay ke pengsan awak tu?” Soalnya lagi sekali. Dia menyebut perkataan pengsan dengan menggerakkan kedua-dua jari telunjuk dan jari hantu, dua kali seperti menulis tanda koma.
Riak muka April berubah. Dari bajet comel tadi, sudah ada aura mahu bertukar menjadi singa. Dia bercekak pinggang. Sedang menahan marah. Mengherotkan mulut ke sebelah kanan sehingga menampakkan lesung pipit dalam terbenam. Cantik! Walaupun sedang mengawal marah, dia masih kelihatan cantik. Jantung Akmal tiba-tiba terasa seperti tersentak. Libang-libu pula getarannya.
“ Maksud awak… saya pura-pura pengsan?”
Akmal angkat bahu. Tersenyum sinis sambil mata melilau ke arah lain. Menggambarkan yang dia sedang ‘boring tahap gaban’. Terasa jari Syuhada sedang mencuit pinggangnya. Mesti adik kesayangannya itu tidak bersetuju dengan tindakannya.
“ Awak ingat, saya ni miskin sangat ke sampai nak lari dari menanggung kesalahan yang saya buat? Awak ingat… motor cabuk awak tu, kalau saya baiki boleh buat saya jatuh miskin ke? Eh! Kapal terbangpun saya boleh baiki tau! Awak ingat…” dia terhenti di situ apabila sahabat di sebelahnya menarik tangan bajunya sekaligus menggeleng.
Huh! Sekali bercakap, macam rifel memuntahkan peluru. Hek eleh! Kaya sangatlah sampai ada duit mahu baiki kapal terbang. Dia ingat… dia tu kaum kerabat Sultan Brunai kut?
“ Isy! Saya berlanggar dengan anak jutawan rupanya. Baguslah kalau macam tu. Jadi, saya harap… jangan hanya cakap saja.”
April mahu membuka mulut, namun ditahan oleh sahabatnya, dia menarik April ke belakang dan dia sendiri bergerak ke depan.
“ Saya Natrah. Pembantu April. Jangan risau! Kami akan bayar. Encik tinggalkan nombor telefon atau kad. Ataupun…” namun sebelum dia sempat habis bercakap, Akmal sudah meningkah.
“ Saya yang perlu beri nombor telefon?” Akmal menyoal.
 Natrah mengangguk.
“ Lepas saya beri, awak balik rumah awak, lepas tu… hilang. Awak ingat saya nak percaya. Pikiaq pakai otak sikit la. Senang hangpa nak laghi, kan!” Dia bercakap dalam loghat Pulau Pinang pekat. Sengaja menekan sesetengah perkataan sambil mengikut cara Mami Saira Banu menggerakkan dagunya.
“ Pulak!” Natrah geleng kepala.
April menghela nafas. “Wey la...geraenyo aku dge mung ni. Bakpo yae payoh bbaso gak? Mung ingat kito nih jenih ggapo? Nah...ambik kad ni. Ado alamat tepat nego denge numbo telefon skali. Ghoyatlah bilo muto mung nih doh siap. Tok soh runsing la...aku bayar dari A sapa Z. Kalu mung tok cayo, mung gi ler puko gamba keto aku skali. Puah hati?” Dia membalas dalam loghat Kelantan. Maksudnya, ‘Wey la… geram betul dengan kau ni. Apa yang payah sangat? Kau ingat, kami ni orang jenis apa? Nah! Ambil kad ni. Ada alamat perniagaan dan nombor telefon sekali. Hubungi bila motor awak tu dah selesai. Jangan risau! Kami akan bayar dari A sampai Z. Kalau tak percaya, encik boleh ambil gambar kereta saya. Puas hati?’, dan jawapan itu buat Akmal menelan air liurnya.
Kini giliran Akmal pula ternganga. Minah cantik ini, beri jawapan dalam loghat Kelantan? Dia faham suku ayat aja, yang selebihnya kedengaran seperti bahasa siam. Padan muka sendiri! Nak ajak orang bergaduh sangat.“ Korang cakap siam ke?” Tingkahnya. Di waktu yang sama, kad yang dihulur, disambut dan dimasukkan ke dalam kocek belakang.
“ Abang, sudahlah tu. Settle elok-elok.” Celah Syuhada setelah lama diam menjadi pemerhati. “ Maaf ye! Jangan gaduh-gaduh. Kita selesai baik-baik.” Syuhada memandang April. Tersenyum.
“ Tak apalah… saya bukan nak bergaduh sangat. Suami puan ni yang mula dulu. Nanti puan contactlah saya. Saya akan bayar kos baik-pulih motor suami puan tu” balas April. Dia mengelak dari memandang Akmal.
Akmal pandang Syuhada. Syuhada hanya mengangkat bahu.
 “ Tak apa, jangan risau. Saya akan call. Kalau tidak… rugilah saya,” celah Akmal cepat-cepat sebelum sempat Syuhada meneruskan kata-kata.
 “ Lagi satu, saya harap… suami puan tak payahlah buat repot polis, nanti NCB saya kena potong. Lagipun, saya baru kat sini, susah pulak nak ke sana sini untuk segala urusan kalau tak tahu jalan. ” Sehabis bercakap, April memaksa diri untuk tersenyum pada Syuhada.
Aiseh! Manisnya senyuman walaupun kelihatan terpaksa. Manisnya macam madu lebah.
Hmm… Lain kali, hati-hati sikit. Itu mujurlah saya tak perlu masuk hospital. Awak pandu kereta macam Formula One. Mengalah Formula One sebenarnya. Ini pertama kali saya jumpa Micheal Schumacher versi perempuan. Ganas betul!” Selamba Akmal menuturkan ayat itu. Namun ia telah mengundang riak masam kembali di wajah April.
Syuhada cuit pinggang Akmal.
“ Encik tak patah riuk atau apa-apa kan! Janganlah nak panjang-panjangkan pula. Nak gelar-gelar saya pula.” Balas April dengan tona suara yang mula berubah.
Hek eleh! Tiba-tiba Akmal rasa, perempuan cantik di hadapannya ini… dah kerek semacamlah pulak. Memang benar apa yang dia kata tu! Nak marah apa pulak? Memanglah April bawa kereta tadi, ganas tahap tak hengat!
 “ Kami minta diri dululah, cik berdua ni… nak ke mana? ” Syuhada berbasa basi. Mungkin dia cuba menyelamatkan keadaan. Akmal pula berpusing ke arah belakang kereta. Melihat kemek yang terhasil. Dia mengeluarkan telefon dan merakamkan gambar. Sempat lagi menjeling ke arah April yang semakin masam wajahnya. Sambil bergerak kembali ke sebelah Syuhada, dia mencebir bibir. “ Sekadar kemek, tak akan mengganggu keadaan enjin rasanya.”
Syuhada senggong pinggang Akmal lagi sekali. “ Minta diri dululah,” ucap Syuhada segera menarik tangan Akmal.
April angguk. Menjeling ke arah Akmal. Mukanya masih kekal masam…
Akmal sengaja sumbingkan senyum. Harus dia mengaku, dalam masam wajah April tu, tetap ada manisnya!

Dan getar di hati semakin laju tiba-tiba…

Tuesday 28 October 2014

Jiran Masam Manis (Bab 4) ~ Bunick Firdaus

Pagi-pagi lagi Fayyad sudah berada di luar rumah. Pada mulanya dia mahu menegur jirannya yang kelihatan agak kelam kabut itu. Namun, dia matikan hasratnya bila mendapati jirannya itu begitu sibuk menghidupkan enjin kereta, kemudian membuka pintu pagar dan mengeluarkan kereta, mengunci pintu pagar dan akhirnya masuk semula ke dalam kereta dan terus berlalu pergi dari situ. Mungkin jirannya sudah terlewat untuk ke pejabat. Dia yakin akan tiba masanya untuk dia berterima kasih kepada gadis itu.
Fayyad menapak ke arah garaj,   kunci pada tangannya dipusing-pusingkan. Dia tarik kain kanvas yang membungkus Yamaha R6 2010. Lama dia merenung ke arah objek berwarna biru putih itu, ingin saja dia memeluk motor kesayangan yang sudah lama dia abaikan. Dia tidak perlu risau untuk menghidupkan enjin motor  ini walapun sudah lama tidak menunggangnya kerana dia tahu selang dua tiga hari, abah akan memanaskan enjin motor berkuasa tinggi ini. Kadang-kadang, Haziem atau Faris akan membawa motor ini untuk diselengggara dan dia amat berterima kasih di atas sikap prihatin kedua-dua orang kawan karibnya itu.
Lewat malam tadi, dia sudah membuat reherseal penuh menunggang motorsikal itu di kawasan perumahannya. Bukan apa, dia sudah terlalu lama tidak menunggang, jadi seharusnya dia memeriksa terlebih dahulu adakah skill menunggang motorsikalnya sudah berkarat atau belum. Lesen memandunya juga sudah beberapa kali diperiksa, masih belum tamat tempoh memandangkan sebelum ini dia memperbaharui lesen memandunya untuk tempoh lima tahun. Cukai jalan motorsikal itu pun sudah diperbaharui oleh abah tiga bulan lepas.
Dengan lafaz Bismillah, suis motor itu dicucuh pada palam. Dia sudah tidak sabar untuk menunggang motor itu. Inshallah dia masih ingat bagaimana untuk mengemudi motor berkuasa tinggi ini di atas jalanraya yang sibuk sebentar nanti.
“Yad, nak pergi pejabat naik motor ke?” Hajjah Sakinah agak risau sebenarnya bila malam tadi Fayyad memberitahu yang dia ingin ke pejabat dengan menaiki motor, bukan kereta.
“Ha ah mak. Dah lama Fayyad tak naik motor ni. Rindu sangat,” Fayyad tersengih di atas motor sambil tangannya memulas throttle twisters motor beberapa kali. Bunyi enjin motor yang mengaum kuat setiap kali dia memulas throttle twisters itu membuat dia semakin tidak sabar untuk menunggang.
“Fayyad bawak kereta je lah dulu hari ni,” Hajjah Sakinah agak bimbang dengan rancangan Fayyad yang mahu menungggang motorsikal untuk ke pejabat pada pagi itu.
Saranan dari emaknya hanya disambut dengan gelengan oleh Fayyad. “Mak, jangan risau okey. Fayyad janji bawak motor ni slow je, Fayyad tak bawak laju-laju pun.”
“Huh, macamlah mak tak tahu kalau Fayyad naik motor macam mana.”
“Itu dulu mak, sekarang ni Fayyad janji Fayyad akan lebih berhati-hati.”
“Elok-elok ada kereta, nak jugak naik motorsikal tu. Entah apa yang seronok naik motorsikal pun mak tak tahulah.”
“Mak, naik motorsikal ni ada thrill.
Thrill konon, kalau hujan pun basah jugak. Beli motor mahal-mahal, kalau time hujan tetap kena berhenti kat bawah jambatan. Buat rugi duit je.”
“Nanti kalau nampak macam hari nak hujan, Fayyad bawaklah kereta. Mak jangan tak tau naik motorsikal ni lebih nikmat dari naik kereta. Esok-esok kalau Fayyad bawak mak pusing-pusing naik motor ni dah tentu-tentu mak tak nak turun.”
“Ye la tu, kalau mak larang pun bukan Fayyad nak dengar kan.  Bawak motor tu elok-elok, jangan cilok mencilok,” emak mengajuk iklan keselamatan yang sering sahaja diputar di radio Era.
Fayyad gelak besar bila mendengar emaknya mengajuk iklan yang sampaikan oleh oleh Acha Septriasa. Ada bakat juga mak aku ni! “Yad pergi dulu mak, assalamualaikum.”
Hajjah Sakinah memerhatikan kelibat Fayyad yang kian menghilang dari pandangan. Moga-moga kehidupan Fayyad akan lebih tenang selepas ini. Ya Allah, kau selamatkanlah anak-anakku walau di mana pun mereka berada.


Welcome home bro!” Faris hulurkan tangan untuk bersalam dengan Fayyad yang kembali mula bekerja selepas setahun bercuti.
Thanks Ris,” Fayyad pandang keliling biliknya yang sudah lama ditinggalkan. Tiada apa pun yang berubah, Semuanya tetap sama seperti dahulu.
“You are most welcome. Dah lama kami tunggu kau kembali kerja. Pejabat ni sangatlah kelam kabut sejak kau tak ada.”
Sorry bro sebab aku dah susahkan kau dengan Haziem. Patutnya korang dah pecat aku.”
No big deal Yad, Alhamdulillah aku dengan Haziem boleh managed bisnes kita ni. Lagipun mana boleh pecat kau, kau punya idea untuk set up company ni. Takkan kami nak jadi kaduk naik junjung pulak.” Faris sudah duduk di atas sofa di dalam bilik Fayyad.
“Aku rasa korang berdua dah cukup bagus untuk running company ni. Aku tak ada pun korang still boleh expand bisness ni.”
“Kau cakap apa ni bro? Kitaorang cuma sambung projek yang kau dah dapat sebelum kau cuti dulu. Okey, tipulah kalau aku kata kita tak ada projek baru, tapi hampir lima puluh peratus job yang kita baru dapat ni datang dari contact kau. Diorang tertarik lepas tengok portfolio company kita which is kau adalah penyumbang terbesar dalam projek-projek yang lepas. Kitaorang dah lama tunggu kau buat come back, please don't start a day dengan perasan pesimis okey!” Ujar Faris dengan penuh semangat.
“Aku dah lama tak kerja. Tak tahu nak start dari mana…”
“Yad, don't be rushing. Take your time. For time being, aku dan Haziem akan handle macam biasa. Once you dah ready, we'll hand over all your belonging to you. Just like the old days.
“Hai bro! Awalnya sampai.” Haziem menjengukkan kepala dari luar bilik Fayyad.
“Masuk Ziem, pasal apa kau berdiri kat luar je?” Fayyad menggamit Haziem yang sedang memegang pintu bilik sambil mencondongkan badannya ke dalam.
“I harap aku boleh masuk dan sembang-sembang dengan kau, tapi aku ada meeting kat Putrajaya pukul sembilan. I'll catch you later. Banyak aku nak kena update kau lepas ni. Gua chow dulu!” Haziem mengunjukkan fail ditangannya kepada Fayyad dan Faris seraya menutup pintu bilik Fayyad.
“Okey bro, aku tak nak ganggu kau. Lagi pun aku nak siapkan story board untuk tender Kementerian Pelajaran.” Faris sudah bangun dan bersedia untuk keluar. “Good luck bro, we hunger for your brilliant idea.”
“Inshaallah, I'll work on it.” Fayyad menaikkan ibu jarinya kepada Haziem sebagai tanda bagus. Dia perlu membuktikan kepada semua orang yang dia masih mampu untuk bekerja seperti dahulu. “Bro, kalau ada apa-apa yang perlu aku buat don't hesitate to give it to me.” Dia masih sempat berpesan kepada Haziem sebelum lelaki itu keluar dari biliknya.
Sure, I'm glad to hear that.” Haziem tutup pintu bilik Fayyad setelah memastikan itu adalah ayat terakhir dari business partner cum best buddynya itu.
Fayyad sudah bersendirian di dalam bilik yang ditinggalkan lebih dari setahun itu. Dia perlu membuat sedikit perubahan. A new life has begun! Jadi, apa sahaja yang akan mengingatkan dia pada kenangan yang amat menyakitkan itu perlu dijauhkan dari pandangan matanya. Biarlah Athira bersemadi di dalam hatinya sahaja. Kata orang, barang lepas jangan dikenang, kalau dikenang rosaklah jiwa!
Dia capai frame gambar yang terletak di penjuru meja. Dahulu, gambar itulah yang akan memberikan motivasi sekiranya dia tertekan dengan kerja-kerja di pejabat. Insan yang sedang tersenyum manis di dalam  gambar itu pula adalah satu-satunya cinta hati yang sangat membahagiakan. Tapi itu cerita dulu, kini semuanya sudah berlalu. Kenangan itu akan tetap ada dalam hati, cuma dia tidak akan terpedaya dengan kenangan yang hampir meranapkan hidupnya sekali lagi.
Laci mejanya dibuka dan dengan berhati-hati dia meletakkan frame gambar itu di dalam laci. Bukan niatnya untuk terus melupakan Athira, tapi dia harus memulakan hidup baru. Athira sudah pergi meninggalkannya. Tidak guna untuk dia terus menangisi permergian Athira dari hidupnya. Cukuplah sekali dia menjadi lelaki yang tewas setelah ditinggalkan oleh Athira. Pemergian Athira sememangnya memberi impak yang sangat besar kepadanya, dan kini dia sudah sedar bahawa menangis air mata darah sekali pun, Athira tetap tidak akan kembali kepadanya seperti dulu.
Kasihnya pada Athira tidak pernah berubah, dan tidak akan pernah luak. Bertahun dia menganyam kasih dengan Athira, namun ternyata jodoh mereka tidak panjang. Walaupun Athira sudah tiada di sisinya, hidupnya tetap perlu diteruskan.

Sekilas, bayangan gadis jiran sebelah rumah melintas di matanya. Wajahnya cukup mengingatkan dia pada gadis di dalam gambar itu. Ah, yang pergi tetap pergi dan tidak akan kembali lagi. Berdoa sajalah moga si dia itu tenang dan bahagia di sana. Lalu, bagaimana pula caranya untuk dia mendekati gadis jiran sebelah rumah? 

Monday 27 October 2014

Seruan Hati (Bab 4) ~ Azilawati Mat Angsar

Balik dari bercuti panjang Muna terasa ingin melepaskan ketagihan.  Ketagihannya terhadap permainan komputer.  Lebih teruk lagi, Muna sebenarnya semakin seronok bermain judi dalam talian.  Semenjak dikenalkannya oleh sepupu Boy, Muna terus jatuh cinta.  Ini kerana permainan ini berbeza daripada permainan yang lain.  Muna perlu berani bertaruh dan cepat berfikir serta bertindak.
Duit tabungnya sudah licin dalam beberapa kali sahaja dia ke sana.  Bahkan Muna sendiri sudah berani meminjam duit daripada sepupu Boy pula.  Sekarang, kerana Muna baru balik dari kampung, dia miliki duit yang agak lebih.  Selain ayah, emak juga ada memberikan sedikit wang saku kepadanya.
“Hoi!”
Hilang sudah segala akal budi, Muna memulakan pertemuannya dengan Biyah.  Temannya itu sedang sibuk mengemas pakaiannya masuk ke dalam almari.
Tanpa menunggu dipelawa, Muna lantas duduk di katil Biyah.  “Kau pergikah malam ini?”
“Hai... kalau aku ini, aku fahamlah... rindu sangat aku pada cinta hati aku itu.  Ini kau... atau ada apa-apakah yang aku tidak tahu yang terjadi di belakang aku, Muna?”
Panjang pula jawab si Biyah.  Namun, apa yang hendak didengar Muna tidak juga keluar dari bibirnya.  Lalu Muna mengulang tanya, “Biyah, kau pergi tidak?”
Biyah tersenyum meleret.  “Macam biasalah.  Gila kau kalau tidak pergi?!”
“Okey.  Macam biasa, ya?” Muna membuat janji lantas berlalu.
Malam itu tanpa menunggu lama mereka mengulangi lagi kegiatan salah tersebut.  Sebenarnya, Muna sudah lama tidak menyertai Biyah semenjak peristiwa malam itu.  Alasan Muna adalah untuk fokus pada pelajaran.  Tidak seperti Biyah yang sudah jauh hanyutnya, Muna masih lagi kuat memegang janji untuk berjaya.  Muna tidak sanggup balik dengan hampa setelah apa yang diusahakannya selama ini.
Kalau sewaktu UPSR dahulu, dialah juara, untuk PMR ini juga Muna mahu melakar namanya sebagai yang terkemuka.  Melanggar peraturan sekolah bukanlah bermakna Muna menjadi pelajar yang gagal.  Tidak sama sekali.  Pantang buat Muna kalau kalah sebelum berjuang!
Malam ini pun, Muna sudah berikrar pada dirinya sendiri bahawa ia akan menjadi malam terakhir buatnya.  Selepas ini tumpuan hanya akan ditumpahkan kepada peperiksaan besar yang kedua dalam hidupnya.  Tambahan pula, Muna diburu rasa bersalah kerana telah menyalahgunakan wang hasil keringat kedua-dua orang tuanya.  Entah bagaimana Muna boleh terfikir untuk menggunakan duit yang sedikit itu untuk bermain judi.  Muna menekan kepalanya.
“Muna... jom!” sepupu Boy mendekatinya dari belakang.  Memberi isyarat.
Muna hanya menggeleng.  Memanglah seronok, tetapi Muna tahu di mana dia harus berhenti.
“Alah... macam biasalah... kalau kau tidak ada, aku dahulukan.”
“Tidak mahulah.  Aku penat sedikit malam ini.”
“Oh!  Sebab baru balik dari kampungkah?”
Pemuda berkepala botak itu kini cuba untuk berbual lebih lama.  Dia sebenarnya sudah lama meminati Muna.  Yang di matanya sangat berbeza.  Menarik.
Sekadar senyum segaris yang Muna berikan.  Akan tetapi matanya tetap melekat di atas skrin, bermain game.  Rasanya Muna mahu pulang lebih awal malam itu.  Tiba-tiba sahaja dia berasa hilang minat pada semua itu.  Muna sudah berasa bosan.  Ataukah sebenarnya Muna sudah dibelenggu oleh rasa bersalahnya?  Bersalah kerana tidak lagi amanah.  Bersalah kerana di dalam hati dan fikirannya kini telah semakin jauh daripada apa yang telah molek ditanam dan dibajai oleh kedua-dua ibu bapanya.
“Muna belajar baik-baik di sana.  Bukan untuk ayah... bukan untuk emak... tetapi untuk Muna sendiri.  Memang ayah mahu tengok Muna berjaya, dapat ijazah... ibu bapa mana yang tidak mahu melihat semua itu?  Apalagi Muna seorang sahajalah anak kami.  Cuma ayah mahu Muna ingat selalu... kejayaan yang sebenar adalah bilamana kita sudah menjadi orang yang berguna pada agama kita, pada bangsa kita, negara kita... tahu menggunakan yang sementara untuk yang kekal lama.  Muna faham?”
Jelas terngiang-ngiang di benak ingatan Muna pesanan keramat Muhsin sewaktu dia balik bercuti kali ini.  Semakin hendak dilupakan, semakin ingat jadinya.  Muna mengetuk-ngetuk kepalanya.  Cuba untuk membuang jauh suara bapanya itu.  Kemudian Muna letakkan kedua-dua belah tangannya di kedua-dua belah pipi.  Lantas dengan kuatnya Muna menekan pula wajahnya.
Terasa pundaknya disentuh lembut.  Muna terkejut.  Gesit dia berpaling untuk berhadapan kini dengan sepupu Boy.  Tangan yang baru diletakkan itu, Muna tepis.  Kasar.  Satu lagi kepantangan buat Muna adalah menyentuhi dirinya tanpa keperluan, tanpa kebenaran!
“Maaf!  Aku tengok kau macam penat sangat.  Kau hendak cuba sesuatu?  Aku ada...”
“Eh, Biyah mana?”
“Hei, kenapa tanya Biyah ini?  Dia sudah Boy uruskan... baik punya!”
Menyampah betul Muna tengok muka pemuda botak itu.  Senyumnya seakan mengandung sesuatu.  Muna mula rasa tidak sedap hati.  “Mana Biyah?”
Tanpa mengendahkan pemuda tersebut, Muna menolak keras kerusinya ke belakang.  Kuat juga terkena pada sepupu Boy itu.  Namun tidak sedikit pun Muna pedulikan.  Dia segera bangun.  Apa yang penting bagi Muna sekarang ini adalah di manakah Biyah, sahabat baiknya itu?  Muna perlu mencari Biyah.  Muna mesti menemui Biyah supaya mereka dapat segera balik ke asrama.  Muna sudah tidak betah untuk duduk walau seminit lagi di situ.
“Biyah!!”
“Hei, Muna... apa ini?  Janganlah buat kecoh pula...”
Selain daripada sepupu Boy, beberapa orang lagi kawan-kawan lelaki Boy cuba menghalang langkah Muna.  Manakala kawan-kawan perempuan Boy pula melihat Muna dengan wajah meluat.  Mereka mencebik dan menggeleng.  Serasakan pada pandangan mereka semua, Muna begitu kecil.
“Jaga hal masing-masing sudahlah!’
Muna dengar salah seorang daripada mereka bersuara.  Kalau tidak silap, dia juga merupakan senior di sekolahnya.
Namun semua itu Muna tidak ambil pusing sama sekali.  Dalam hidup Muna tiada apa yang perlu ditakuti.  Sekurang-kurangnya sehingga ke saat ini, Muna belum kenal erti takut itu.  Sedari kecil, Muna sudah terbiasa mencuba.  Walau mungkin sesuatu itu nampak payah dan mustahil di mata orang lain, tetapi tidak buat Muna.  Segalanya Muna akan redah.  Yang penting, ia tidak salah.
Sekarang ini terlanjur sudah berbuat salah, Muna tidak melihat sebab untuk dia menarik diri.  Untuk dia mulai berasa takut.  Apatah lagi tujuannya sangat jelas.
“Biyah!!”
Pintu bilik menonton Muna tolak.  Dia masuk sebentar sambil memanjangkan lehernya, mencari.  Geli melihat apa yang terpampang di hadapan dua matanya.  Sangat benarlah seperti apa yang Muna sangkakan selama ini.  Orang muda yang kemaruk dengan aksi lucah orang lain di kaca lebar.
Keluar dari bilik tersebut, Muna terus menuju ke arah belakang.  Bilik kecil berdekatan dengan tandas dihampirinya.  Samar cahaya lampu yang keluar dari bawah pintu bilik tersebut itulah yang menarik perhatian Muna.  Segera ditolak daun pintu.
“Biyah?!!”
“Muna??!”
Tanpa berlengah Muna terus menolak tubuh Boy ke tepi.  Dia cuba menarik Biyah agar bangun.  “Jom, Biyah kita balik!”
Matanya liar mencari pakaian Biyah.  Muna kutip satu-satu baju Biyah sebelum dicampakkan ke muka sahabatnya itu.
Sungguh, Muna benar-benar marah dengan apa yang dilihatnya.  Tergamak Biyah melakukan perbuatan terkutuk itu?  Sejahat-jahat dirinya, Muna hanya bermain judi.  Itu pun baru sahaja bermula, Muna terus berhenti!!  Yang pasti, tempat ini adalah neraka bagi Muna.  Biyah mesti diajak balik dengan segera.
“Pakai baju kau, Biyah!” Muna memberi arahan.  “Balik!!”
“Hoi, apa ini, betina?!!” Boy berang.  Tidak terduga ada yang akan mengganggunya.  Apalagi yang berani buat kacau itu adalah seorang perempuan.  Dia rasa tercabar.
Biyah hanya duduk menikus di atas tilam tidak beralas.  Menutup tubuhnya dengan baju yang baru tadi Muna campakkan.  Sebenarnya, Biyah mulai rasa takut.  Takut dek kerana tertangkap oleh Muna.  Takut melihat tindakan Muna dan juga Boy yang mula naik angin itu.
“Balik, Biyah!!” Muna tidak mempedulikan Boy.  Dia mendekat kembali pada Biyah, sedangkan matanya terus berjaga-jaga memandang ke arah Boy.
“Kau mahu jadi herokah?  Hah, Muna?!  Kau tahu bukan berapa ramai geng aku??” Boy mula mengugut.
“Aku tidak mahu cari pasal dengan kau, Boy.  Aku cuma hendak bawa Biyah balik,” Muna tetap teguh dengan keputusannya.  Sedikit pun tidak terdengar gentar pada suaranya.  Hal ini membuatkan amarah Boy lebih membuak.
“Hoi!!”  Boy tarik tudung Muna.
Tidak seperti Biyah, Muna tidak pernah menukar pakaiannya.  Dia tetap dengan baju kurung dan tudung yang dipakai untuk ke kelas persediaan malam.
Muna diam.  Diperhatikan sahaja Boy membuang kasar tudungnya ke lantai.  Tidak cukup dengan itu, Boy tendang pula kerudung tersebut.
“Aku betul-betul tidak mahu cari pasal dengan kau.  Aku cuma mahu Biyah balik dengan aku!” Muna mengulang lagi kata-katanya kepada Boy sebentar tadi.  Kali ini lebih tegas.
Muna berpaling pula kepada Biyah.  Belum pun sempat Muna hendak membuka mulutnya, Boy sudah menolak Muna ke tepi.  Keras tolakan Boy mendorong Muna ke dinding.  Dinding yang diperbuat daripada papan lapis itu bergegar dilanggar Muna.
“Muna!!” Biyah menjerit.
Waktu itulah ramai kawan-kawan Boy berani datang menunjukkan muka.  Muna sedar bahawa di tempat ini, Boy adalah sanjungan semua.  Dia adalah ketua.  Selama menyertai mereka, Muna dapat lihat dengan jelas akan pengaruh rakan sekolahnya itu.  Barangkali kerana Boy adalah yang paling kaya di antara semua.  Justeru, suaranya sangat-sangat didengari.
“Muna... blah.  Muna... blah, Muna!!”
Kata-kata si botak, sepupu Boy itu tidak juga Muna peduli.  Dia yang terjelepok jatuh tadi, cuba bangun setelah mengutip kain tudungnya di lantai.  Biyah sekali lagi menjadi destinasi.
“Muna... blah, Muna... aku kata blah, blah-lah, Muna!!” si botak bersuara lagi seraya mendekat pada Muna.  Dia cuba menghalang Muna daripada menghampiri Biyah.  Kerana Boy sudah ada dekat dengan Biyah.  Boy yang sedang marah.  Sangat marah.
“Biyah, balik!!”
“Hei, betina!  Kau hendak aku jadikan kenduri untuk kawan-kawan akukah?!”
Seketika kedua-dua pasang mata itu bertentangan.  Tiada di antara mereka yang mahu mengalah.  Muna renung tajam dan penuh marah pada Boy.  Begitu jugalah dengan pemuda tersebut.  Jelas kedengaran desah nafas kedua-dua mereka yang ternyata sangat kencang dan berat.  Masing-masing sedang menahan rasa, menjadikan suasana tiba-tiba sepi.
“Muna...” seru Biyah terketar-ketar memanggil sahabatnya.  Suaranya memecah kebungkaman di situ.
Tanpa menoleh ke arah Biyah, Muna bersuara, “Kita balik!!”
“Tidak... aku tunggu, kau balik dahulu, Muna...”
“Biyah??!!!”  Siapa pun akan tahu betapa besarnya amarah Muna ketika itu.  Suaranya bulat dan menggentarkan hati.  Renungan Muna beralih ke arah Biyah pula kini.
“Kau balik dahulu, Muna...” ulang Biyah dengan tubuh menggigil.  Dia tidak berani menentang muka Muna.
“Blah, Muna... blah...”
Muna terasa ada tangan yang menarik lengannya.  Si botak.  Dia seorang sahaja yang berani bersuara.  Dia nampaknya bersungguh-sungguh benar mahu Muna pergi.  Muna sempat melihat ke wajah Boy.  Ternyata lelaki itu puas tatkala mendengar pilihan Biyah.
Sebelum berlalu, Muna tinggalkan sebuah renungan tajam pada Biyah.  Hati Muna sudah menjerit, merintih.  Muna kecewa.  Muna hampa.  Biyah bukan lagi sahabat yang dikenalinya sejak kecil dahulu.  Biyah kini adalah orang asing bagi Muna.  Biyah sudah tidak dapat hendak diselamatkan lagi.
“Biyah!!!!!!!!!!!”

Muna tahu bahawa jeritan batinnya itu tidak mungkin akan terdengarkan oleh Biyah.  Akan tetapi Muna hanya berharap Biyah dan Boy akan tertangkap!

Friday 17 October 2014

Jiran Masam Manis (Bab 3) ~ Bunick Firdaus

Suria julurkan kepalanya terlebih dahulu sebaik sahaja dia melebarkan daun pintu. Selepas memastikan tiada sesiapa pun di laman sebelah, laju sahaja dia menyarungkan kasut dan mula mengunci pintu. Odah pagi-pagi lagi sudah keluar kerana perlu menghadiri seminar di Melaka. Kalau tidak, pasti sahaja Odah akan menjadi mangsa untuk mengunci pintu rumah dan juga pagar hadapan. Laju sahaja dia bergerak pagi itu, dari menghidupkan enjin kereta, kemudian membuka pintu pagar dan mengeluarkan kereta dari bawah garaj sehinggalah kembali mengunci pagar tanpa perlu  melihat kelibat orang sebelah.
Dia menarik nafas lega sebaik sahaja berada di dalam kereta selepas mengunci pintu pagar. Pagi ni dia agak terlambat keluar dari rumah, dikerlingnya jam pada dashboard kereta. Tepat jam tujuh lima belas minit pagi. Dia terlambat hampir lima belas minit dari waktu kebiasaan. Selalunya pada waktu ini keretanya sudah meluncur laju di atas jalanraya. Nasibnya baik kerana tidak terserempak dengan jiran yang agak menakutkan itu.
Dia tidak rela untuk bertembung dengan jiran sebelah yang pada pemikirannya mempunyai masalah mental. Dia sanggup keluar dari rumah sebelum matahari memancarkan sinarnya, dan pulang dari pejabat pula hanya selepas bulan mengambil alih tugas matahari. Sampai bila harus begitu? Dia sendiri pun tidak tahu. Tegakah dia untuk terus bertahan semata-mata hanya untuk mengelak dari bertembung jirannya? Dia malas nak fikir. Lets follow the flow! Kalau susah-susah sangat, berpindah adalah tindakan yang paling baik!
Papa pun satu, banyak-banyak rumah kat Kuala Lumpur kenapa mesti beli rumah kat Shah Alam? Okey, terpulang pada papa nak beli rumah kat mana pun, tapi kenapa mesti meminta dia tinggal di rumah itu? Sewakan sahaja rumah itu, habis cerita. Tak perlulah dia hidup dalam ketakutan berjirankan manusia-manusia pelik itu! Tapi, apa pula alasan yang perlu dia berikan pada papa dan mama sekiranya dia mahu berpindah keluar dari rumah itu? Penat unpacked barang-barang pun belum hilang lagi, sudah mahu berpindah? Pasti Odah akan sekeh dia sampai pengsan kalau dia utarakan hasrat untuk berpindah dari rumah itu. Masalah! Masalah! Masalah!
Tapi, betulkah masalah yang dihadapinya itu begitu kronik sehingga memaksa dia untuk berpindah dari rumah yang baru seminggu diduduki. Abaikan sahaja jiran yang aneh itu. Hidup sahaja seperti biasa. Lagipun dia bukan dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu ada di rumah. Waktu siang dia kerja, malam baru balik rumah. Hari minggu pula duduk je dalam rumah, tak pun pergi tengok wayang, shopping dan hang out dengan Odah. Tapi takkan lah nak hidup macam tu je? Bila masa pulak nak bersantai-santai kat rumah? Takkan tak nak keluar jemur baju? Pokok bunga mama yang bermacam jenis tu takkan tak nak siram? Mati dia kalau mama tahu pokok-pokok bunga kesayangan dia tu tak mendapat bekalan air secukupnya. Mama kalau pasal pokok bunga, papa lalu kat belakang pun dia tak  sedar.
Dalam sibuk berkhayal atau lebih tepat lagi berfikir mencari jalan penyelesaian, akhirnya Suria berjaya juga sampai di pejabatnya yang terletak di Subang Jaya dengan selamat. Seperti biasa sejak seminggu yang lalu, dia antara orang yang terawal meletakkan kenderaan di hadapan bangunan pejabat tempat dia bekerja. Perjalanan dari Shah Alam ke Subang Jaya hanya mengambil masa kurang setengah jam sahaja, dengan syarat jalan tidak sesak. Kalau sesak, jawabnya hampir satu jam juga akan berada di atas Lebuhraya Persekutuan itu.
Kalau dahulu jarak dari rumah sewa ke pejabatnya hanya mengambil masa lima belas minit sahaja. Tapi selepas berpindah masuk ke rumah yang baru dibeli oleh papa, jarak perjalanan semakin bertambah. Walaupun agak kurang setuju dengan cadangan papa supaya dia berpindah ke rumah itu, namun akhirnya dia akur juga dengan permintaan papa dan mama.
Diheretnya sekali Odah supaya tinggal dengannya. Sejujurnya, dia agak takut untuk menghuni rumah berkembar dua itu seorang diri. Lalu, Odah yang baru sahaja berpindah ke Kelana Jaya dijadikan mangsa untuk menjadi temah serumahnya. Nasib baik juga Odah masih belum mendapat rumah sewa, dan peluang itu diambil sepenuhnya oleh Suria. Odah yang sebelum ini bekerja di Pulau Pinang, baru sahaja ditukarkan ke Shah Alam selepas dinaikkan pangkat. Kebetulan yang cukup sempurna untuk Suria dan Odah!
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pada cermin kereta mengejutkan Suria yang masih bersandar pada seat kereta. Dia matikan enjin selepas memastikan penghawa dingin dan sistem radio kereta sudah berada dalam posisi off. Pintu keretanya dibuka dari luar sebaik sabbaik sahaja auto lock terbuka. “Terima kasih,” Suria senyum kepada Hilman, ketuanya yang sedang berdiri di sebelah keretanya.
“Assalamualaikum Suria.” Hilman senyum balik kat Suria.
“Waalaikummussalam bos. Awalnya bos pagi ni.”
“Saya yang awal atau Suria yang lambat?”
Suria tengok jam pada pergelangan tangan kiri, sudah hampir jam lapan pagi. Patutlah ketuanya sudah sampai. “Saya lambat sikit pagi ni,” ujarnya sambil memperlahankan langkah. Dia agak tidak selesa untuk menyaingi langkah Project Manager atau lebih mesra disapa dengan panggilan bos di pejabat tapak syarikat pembinaan itu. Tahu-tahu sajalah radio buruk di pejabatnya pasti sahaja akan berbunyi andainya berita dia dan Hilman berjalan bersama-sama tersebar nanti.
Hilman yang menyedari langkah Suria semakin perlahan turut berhenti bila mendapati Suria sudah sedikit terkebelakang. “Suria takut ke nak jalan dengan saya? Takut kena gossip?” Hilman memasukkan kedua tangannya ke dalam kocek seluar.
“Taklah, mana ada saya takut.” jawab Suria dengan pantas.
“Kalau tak takut kenapa tak saing dengan saya?” soal Hilman lagi. Dia tahu sebenarnya Suria segan untuk berjalan bersama-sama dengannya. Bukan Suria sahaja, bahkan boleh dikatakan semua pegawai dan kakitangan bawahannya agak takut-takut untuk dekat dengannya. Garang sangat ke aku ni?
“Pakai kasut baru, sakit kaki. Sebab tu saya jalan perlahan je,” Suria pandang kakinya yang bersarung dengan heel setinggi dua inci itu. Nasib baik kasut Primavera itu masih kelihatan agak baru, kalau tidak pagi-pagi dah kantoi dengan bos!
Oh I see, mak saya cakap kalau beli kasut baru, sebelum pakai kita kena gigit kasut tu dulu sebelum dia gigit kaki kita,” Hilman panjangkan petua yang diberikan oleh arwah ibunya suatu waktu dahulu. Dia memperlahankan langkahnya bagi menyaingi Suria yang tertinggal di belakang.
Really Encik Hilman? Boleh percaya ke?” Suria menyoal ketuanya itu dengan penuh minat. Ini kali pertama dia mendengar petua yang agak lucu itu.
“Cubalah, belum try belum tahu kan?”
Suria menjuihkan bibirnya, baru tersedar yang ketuanya itu hanya main-main dengan petua kaki dan kasut itu.
I'm not lying. Saya dah pernah buat, it works.” Hilman yakinkan Suria yang tidak percaya dengan petua itu. Dia menekan butang lif sebaik sahaja mereka berdua sampai di lobi lif.
“Okey, only if you buy me the shoes,” Suria semakin selesa berbual dengan bosnya itu. Ternyata, Hilman bukanlah seorang ketua yang sukar didekati. Dia sendiri tidak tahu kenapa semua pekerja di bawah seliaan Hilman seakan takut untuk berbual dengan Hilman. Dan dia sendiri terikut-ikut dengan momokan itu, langsung turut menjarakkan dirinya dari Hilman. Mereka hanya akan berinteraksi tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan pejabat sahaja. Tiada masa untuk berborak-borak kosong. Mungkin juga kerana Hilman itu baru sahaja ditukarkan ke pejabat tapak yang terletak di Subang Jaya itu. Belum pun sampai tiga bulan lagi Hilman mengisi kerusi Project Manager yang dokosongkan oleh Haji Fauzi setelah ketua lamanya itu diserang strok. Akan dia khabarkan kepada kawan-kawan pejabatnya tentang penemuan baru ini! 
“Awak ni memang suka berangan ye?” Soalan Hilman menyentap lamunan Suria.
“Mana ada bos, Mat Jenin je yang suka berangan,” Suria sengih, cover malu sebenarnya.
“Tak salah kalau nak berangan, cuma jangan tinggi sangat sebab kalau jatuh nanti tak adalah sakit sangat. Lagi satu, angan-angan je tak cukup kalau tanpa usaha.” Hilman kedengaran seperti pakar motivasi yang sering keluar di kaca televisyen je.
“Betul tu bos, tapi apa salahnya kalau kita angankan sesuatu yang sangatlah mustahil untuk kita dapat. Tak dapat betul-betul, dapat dalam angan-angan pun jadilah.”
“Berangan tu dah masuk dalam kategori aktiviti lagha tau tak? Ye lah, kalau dah asyik berangan je, satu apa pun tak jadi. Masa terbuang macam tu aje.”
“Wah bos, dah boleh buat part time jadi motivator ni.” usik Suria. Langkahnya diperlahankan sebaik sahaja pintu lif sudah terbentang di depan mata. Diperhatikan sahaja Hilman yang pantas menekan butang lif.
“Saya tak ada bakat nak convince orang lain. Lagipun muka saya ni agak menakutkan okey!” Hilman sudah tergelak kecil dengan kenakalan Suria itu.
“Saya gurau jelah boss. Don't take it seriously.” Suria sudah masuk ke dalam lif  sebaik sahaja pintu lif terbuka. Perbualan mereka terhenti apabila memasuki lif yang hampir penuh dengan pekerja-pekerja lain.

Hilman memerhatikan lenggok Suria keluar dari lif setelah mereka sampai di tingkat lapan. Dia langsung tidak berpeluang untuk menggamit Suria untuk berjalan dengannya. Dia akhirnya melangkah perlahan-lahan sambil melihat kelibat Suria yang makin menghilang. Jujur dia akui, dia tertarik dengan keperibadian Suria yang ceria itu. Ada rasa aneh yang menyelinap di celahan jiwanya sebentar tadi. Sekilas, dia teringatkan Elena. Gadis pilihan ibunya yang cukup membuatkan dia rasa serba salah. Rimas!

Thursday 16 October 2014

Sampaikan Salamku (Bab 2) ~ Reza al-Razi

AZLAN memandang kosong ke arah dinding bilik. Hari yang sepatutnya gembira kini berubah mendung dengan peristiwa yang berlaku siang tadi. Sungguh dia tak menduga seperti itu reaksi yang ditunjukkan kedua orang tuanya tatkala dia menunjukkan keputusan SPMnya kepada mereka. Keputusan 6A 3B IC itu ternyata tidak mampu memberikan kegembiraan kepada mereka. Begitu mendalam kebencian kedua orang tuanya sehinggakan kejayaannya dalam SPM itu langsung tidak dihargai.
Mata kini beralih pula memandang atap rumah. Tubuh sudah direbahkan ke tilam. Dia melepaskan keluhan berat. Peristiwa siang tadi terasa sukar untuk diusir pergi daripada terus menyesakkan otaknya. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata berbisa penuh kebencian emak dan ayah tirinya itu tatkala dia menunjukkan keputusan peperiksaannya kepada mereka.

            “Kau dapat keputusan bagus pun nak buat apa? Tak ke mana pun! Duduk sini aje cari duit. Dah tak kuasa lagi aku nak menanggung hidup kau,” ujar Jamilah tatkala Azlan menunjukkan keputusan SPMnya.
            “Tapi mak, Lan nak masuk universiti. Lan nak capai impian Lan."
            “Impian apanya? Kau ingat aku ada duit? Daripada berhabis duit bayar yuran kau belajar, baik aku gunakan duit tu untuk adik-adik kau sekolah!” Hasan pula mencelah.
            “Habis tu selama ni ayah ke yang tanggung hidup Lan? Ayah ke yang bayar yuran sekolah Lan?” Entah dari mana datangnya keberanian, lancar sahaja mulutnya menjawab kata-kata ayahnya. Benarlah kesabaran manusia itu ada hadnya. Selama mana dia mampu bertahan? Dia juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.
            Pang!
            Satu tamparan padu hinggap di pipinya.
            “Kurang ajar! Berani kau lawan aku! Kalau aku tak bela kau, dah lama kau mampus! Dasar anak tak kenang budi!” Hasan dah mula naik darah. Dia mencapai tali pinggang yang kebetulan berada di atas meja lalu melibas alat itu ke badan Azlan dengan bertalu-talu.
            “Sakit yah! Sakit! Maafkan Lan ayah!” Azlan menjerit sambil menangis menahan sakit.
            Hasan tak memperdulikan rayuan Azlan. Tubuh anaknya itu terus dipukul bertalu-talu. Hasnah pula sekadar menjadi pemerhati sahaja. Langsung tak menunjukkan tanda-tanda ingin membela anaknya itu.
            “Tu la, siapa suruh kau melawan ayah kau. Rasakanlah sendiri akibatnya.” Tanpa perasaan Hasnah menuturkan.
Kata-kata ibunya sekadar menambahkan luka di hatinya. Luka akibat libasan tali pinggang oleh ayah tirinya itu mungkin sahaja boleh sembuh. Namun luka di hati belum tentu boleh sembuh. Silap-silap boleh bernanah menjadi penyakit benci dan dendam yang sukar diubati.
********



4A 6B
AKSARA dan angka yang tercatat itu direnungnya berkali-kali. Mengharapkan mungkin ada keajaiban yang akan berlaku. Mana tahu keputusan 6B itu akan berubah kepada 6A dengan kuasa Magic. Atau mungkin ada pari-pari yang datang membawa tongkat lalu mengubah keputusan yang dah tercetak kekal di kertas itu dengan menggunakan kuasa tongkatnya.
Liyana menarik nafas panjang. Mengarut apa kau Liya! Mana ada pari-pari yang nak datang tolong ubah keputusan kau ni. Kalaulah masa boleh diundur, mesti punya aku akan study sungguh-sungguh. Malu la dekat Azlan. Dia dapat 6A tapi aku dapat 4A je.
Liyana membawa tangan meraup wajah. Sungguh dia tak dapat nak menerima keputusan peperiksaan SPMnya itu.
“Liya.”
Kedengaran suara ibunya Hasnah memanggil daripada luar bilik.
“Apa?” Dia menjawab malas.
“Keluar makan.”
“Orang tak ada selera la.”
“Jangan nak mengada-ngada. Keluar makan cepat. Kalau ye pun sedih takkanlah sampai tak nak makan. Keputusan kau tu bukannya teruk sangat pun. Okeylah tu dapat 4A. Anak-anak orang lain tu lagilah. Satu A pun tak ada.”
“Yalah, yalah. Orang keluarlah ni.” Liyana merengus perlahan. Mak aku ni dah mulalah tu nak membebel! Tubuh diangkat dari katil lalu kaki digerakkan menuju ke dapur.


SPM tu bukanlah alat sebenar untuk mencapai kejayaan dalam hidup.