Showing posts with label Jodoh Depan Mata. Show all posts
Showing posts with label Jodoh Depan Mata. Show all posts

Tuesday, 15 July 2014

Jodoh Depan Mata (Bab 3) ~ Nur Safiyyah

Hari ini aku berniat mahu mengulangkaji pelajaran di perpustakaan. Selepas habis kelas terakhir hari ini jam 5 petang tadi, aku terus bergerak ke bahagian bawah perpustakaan dengan kak Sarah. Malas rasanya mahu pulang ke bilik. Tambahan pula, kami tidak boleh bersolat. Jadi, tidak perlu tergesa-gesa mengerjakan solat asar. Kami berbincang mengenai subjek kegemaranku iaitu Kimia. Memandang pembelajaran hari ini agak laju, ada banyak tajuk-tajuk kecil yang aku kurang faham. Leka menelaah sehingga kami tidak perasan jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Tiba-tiba muncul Fadzli dan Haris di celah-celah rak buku. Mereka bergerak ke arah meja kami. Aku dan kak Sarah ketika itu mengemas-ngemas buku dan pen yang berselerak.
“Rajin betul kau orang study group,” Haris dari jauh bersuara. Fadzli sudah pun melabuhkan punggungnya di salah satu kerusi berdekatan kami. Rupanya mereka datang untuk meminjam buku.
“Syira, rambut kau paras pinggang eh?,” tangan Fadzli menunjukkan paras pinggang. Tiba-tiba sahaja dia bersuara.
“Mana kau tahu?,” aku bingung. Walaupun aku ni taklah baik sangat tapi aku masih memakai tudung. Seinggat aku, waktu kecil-kecil dulu waktu main dengan dia memang aku tak pakai tudung. Takkan dia ingat lagi kot. Kalau dia ingat pun mana sama dengan sekarang.
“Tudung kau jarang. Nampak rambut kau. Pakailah anak tudung,” nadanya rendah menasihati aku. Mungkin dalam benak fikirannya aku seolah-olah seperti tidak memakai tudung.
“Malaslah. Panas,” ringan mulut aku menjawab. Jauh di sudut hati aku rasa tak selesa diperkatakan sebegitu. Tapi pakaian aku memang tak menepati syarat pun. Padanlah kena tegur macam tu. Kena tegur baru nak rasa malu. Alahai Syira.
“Panas lagi api neraka,” pedih telinga aku mendengarnya. Bajet aku tak tahu semua itu agaknya.
“Kau lelaki, bolehlah cakap. Cuba kau jadi perempuan,” aku menjawab dengan nada yang rendah. Aku lihat Fadzli mengeleng-gelengkan kepalanya. Aku buat endah tak endah. Dia angkat kaki menolong Haris mencari buku rujukan yang sepatutnya.
Fadzli ni memang kepoh sikit. Banyak mulut. Tetapi masih menghormati orang lain. Cuma kadang-kadang mulutnya terlebih laser. Cakap pakai lepas je. Dia tidaklah alim sangat tapi ada didikan agama daripada orang tuanya. Sebab tu kadang-kadang di macam ustaz sikit. Aku pun diberi didikan agama oleh orang tuaku. Cuma soal aurat aku kurang menitik beratkan. Bukan apa, dah terbiasa begini.
“Fadzli tu memang macam tu ye sejak dari sekolah?,” kak Sarah bertanya sewaktu kami bergerak ke bilik masing-masing.
“Macam tu? Macam tu macam mana?,” aku tidak dapat menangkap kata-kata kak Sarah.
“Macam tadi. Nasihat kan Syira masa kita kemas buku tadi,” kak Sarah menerangkan. Ah, tension je aku dengar.
“Oh, macam tadi. Taklah, dulu masa sekolah menengah kita orang tak rapat pun. Masa kecil-kecil selalu main sama-masa tapi bila dah besar kita orang buat hal masing-masing,” kalau ikutkan hati malas aku nak terangkan kat kak Sarah. Tapi nanti dia salah faham pula.
“Tapi akak tengok dia ambil berat pasal Syira lah. Akak tengok dia selalu nasihat Syira tapi dengan orang lain biasa je,” kak Sarah memandang aku dengan senyuman.
“Ala, dia tu mengada-ngada. Bajetlah tu. Lagipun kita orang kan dah kenal dari kecil tu yang dia selamba nak tegur. Kalau dengan orang lain dia malu kot. Malu-malu kucing. Meow,” aku berseloroh. Tidak mahu kak sarah berfikiran bukan-bukan.
“Macam-macamlah kamu ni Syira. Akak masuk bilik dulu. Esok kita jumpa,” kami melambaikan tangan masing-masing. Macam nak pergi jauh je gayanya. Bilik kami berlainan blok tapi jalan untuk ke blok aku mesti melalui blok kak Sarah. Sebab tu kami selalu balik bersama.
“Syira,” kak Sarah memanggil aku yang sudah mahu bergerak ke bilik. Aku menoleh kak Sarah.
“Tak salah rasanya kamu dengar cakap Fadzli tu,” kak Sarah mengangguk dan berlalu pergi. Sepanjang perjalanan ke bilik aku memikirkan kata-kata kak Sarah.
“Lambat balik hari ni Syira,” Farahin bertanya apabila kami berselisih di luar pintu. Farahin membawa bajunya untuk dibasuh.
“Tadi pergi perpustakaan. Tu yang lambat balik. Basuhkan baju aku sekali boleh tak,” aku bergurau. Laju dia menggeleng.
“Syira, tu ada bungkusan untuk kau. Ada orang letak di luar bilik kita. Waktu aku balik tadi memang dah ada depan pintu,” Fizah menunjukkan bungkusan di atas katil aku.
“Siapa yang bagi ni?,” soalku.
“Tak tahulah siapa yang bagi. Tak ada nama kat bungkusan tu. Secret admire kot,” dia meneka. Berdebar-debar aku nak membuka hadiah ni. Dah lama tak dapat hadiah macam ni.
“Bukalah cepat,” Fizah tak sabar-sabar mahu aku membuka bungkusan itu. Dia yang tadinya melipat baju terus duduk dibirai katil aku.
“Sabarlah. Nak bukak lah ni,” aku pun tak sabar nak tahu apa yang ada dalam bungkusan ini. Maklumlah, bukan selalu dapat hadiah. Dah lah cantik bungkusannya.
“Rasanya orang yang bagi hadiah ni mesti budak kat sini juga. Kalau orang luar mesti dia hantar melalui pos,” Fizah mengeluarkan teorinya dan aku bersetuju. Bungkusan dah pun siap di buka. Perlahan-lahan aku buka kotak kecil ini. Agak berat juga kotak ni.
“Makkkkkkkkkkkkkkkk!,” kami berdua menjerit-jerit. Kotak tadi aku campak entah kemana. Hadiah yang aku dapat ialah sekumpulan katak. Aku dah dapat teka siapa punya angkara ni. Kurang ajar kau Tasha.
“Syira, katak tu pergi bawa meja kau. Cepatlah buang. Aku geli,” Fizah sudah berada di atas katilnya. Cepat betul dia melarikan diri. Katak-katak tadi aku tolak menggunakan penyapu. Ada tiga ekor kesemuanya.
“Kenapa kau orang menjerit-jerit ni?,” Farahin yang sibuk membasuh tadi pun boleh dengar jeritan kami. Tina dan Nadirah pun masing-masing keluar dari bilik untuk melihat apa yang terjadi.
“Mana datang katak-katak ni?,” soal Farahin. Dia agak terkejut melihat katak yang melompat-lompat melarikan diri.
“Ada orang hantar,” aku menjawab pendek. Sekarang fokus aku cuma untuk menghalau katak yang masih melompat-lompat riang dalam bilik kami.
“Meh aku tolong kau. Bagi aku penyodok tu,” Farahin membantu aku menghalau katak-katak tadi. Harap-harap katak tadi tak masuk ke bilik orang lain. Haru nanti di buatnya. Fizah sudah pun turun dari katilnya.
“Siapa yang hantar ni Syira?,” soal Farahin lagi. Dia tidak jadi meneruskan basuhannya. Tangannya masih terlekat buih-buih sabun.
“Nanti malam aku cerita. Aku nak mandi dulu,” aku memberi alasan kerana aku betul-betul letih. Tadi dah lah balik lambat. Lepas tu boleh pulak dapat kejutan macam ni. Menyirap betul darah aku. Kotak dan bungkusan yang digunakan untuk mengisi katak tadi aku  kutip. Ada tulisan di dalam kotak tadi.
Ini baru permulaan Syira. Kau takkan aman dekat sini. HAHA!
“Sah ini kerja si Tasha,” aku mengomel sendiri. Kotak dan bungkusan tadi aku buang. Sakit betul hati aku. Aku mandi dan berehat selepas itu. Memandangkan aku tidak boleh solat aku hanya mendengar bacaan al-Quran Farahin dan Fizah. Rasa tenang sedikit apabila mendengar ayat-ayat al-Quran waktu-waktu macam ni.
“Syira kata nak cerita pasal katak tadi,” lamunan aku terhenti apabila Farahin mengingatkan aku perihal tadi. aku bangkit dari katil dan mendekati mereka yang masih bertelekung di tengah-tengah bilik.
“Katak tu sepupu aku yang hantar,” aku memberitahu mereka dengan malas.
“Kau ada sepupu ke kat sini? Tak pernah bagitahu pun. Kenapa dia buat kau macam tu?,” Fizah menyoalku bertalu-talu. Aku memang tak pernah bagitahu perihal Tasha kepada orang lain melainkan kak Sarah.
“Nama dia Natasha Ameera. Kita orang tak rapat. Lebih tepat, dia tak suka aku. Aku pun tak suka dia. Sebab tu dia bagi aku hadiah katak,” aku menjawab dan meletakkan kepalaku si riba Fizah.
“La, Tasha. Aku kenal dia. Dia satu kuliah dengan aku. Aku pun tak berkenan dengan dia. Gedik sangat. Tak sangka kau orang sepupu,” celoteh Farahin. Mukanya kelat. Dia pun meletakkan kepalanya di riba Fizah.
“Ish, tak baik cakap macam Farahin,” Fizah menegur Farahin. Kepala kami diusap perlahan.
“Kenapa dia tak suka kau dan kau tak suka dia,” Fizah menyoal lagi. Masing-masing nak tahu pasal Tasha secara detail.
“Dia tak suka aku sebab aku ni miskin, tak kaya macam dia. Lagipun mak dia nak tanah yang bapak aku dapat, padahal nenek aku dah bagi dia tanah lagi besar. Dan aku tak suka dia sebab dari kecil aku dengan aku kena telan caci maki dia. Macam anjing kurap dia buat kami,” aku menjawab jujur. Suara aku agak keras dan marah.
“Sabar Syira. Tak rugi jadi orang yang sabar,” Fizah mengelus rambutku. Dia cuba menenangkan aku yang sudah mula marah.

“Tak apa Syira, kami kan ada. Jangan layan sangat dia,” Farahin pula menambah. Azan berkumandang menandakan waktu isyak sudah masuk. Aku bangkit ke meja belajar dan membuat tutorial yang masih belum berjawab. Fizah dan Farahin pula solat isyak berjemaah.

Wednesday, 9 July 2014

Jodoh Depan Mata - Bab 2: Nur Safiyyah

Awal-awal pagi lagi riuh suasana aras blok aku. Rasanya semua orang sangat teruja nak memulakan sesi pembelajaran. Biasalah kalau awal-awal macam ni. Nanti dah lama-lama mesti tak seriuh hari ini. Terpaksalah aku beratur lama untuk menunggu giliran mandi. Selepas bersarapan air milo dan biskut kering, kami bertiga bergerak ke kelas masing-masing. Rasa malu pun ada sebab semuanya orang baru yang tak dikenali. Ada beberapa rakan kelas yang sudah pun berada di kelas. Sempatlah kami berkenalan.
Seperti biasa, di awal sesi kami diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Terasa macam zaman sekolah rendah pula. Tapi bagus juga sesi kenal diri, senang sikit nak tahu nama. Kalau tak, ada yang berhoi-hoi pulak. Tapi dalam banyak-banyak orang dalam kelas, aku macam kenal seorang.
“Assalamualaikum, nama saya Mohamad Fadzli bin Arif. Boleh panggil Fadzli. Asal Selangor,” dia memperkenalkan diri. Aku menoleh sedikit. Sah memang aku kenal dia. Kawan sekolah. Sebelum ni tak pula dia bagitahu aku yang dia dapat kat sini. Ceh! Memang aku tak perasankan dia sebab dia masuk dari belakang dan aku pula duduk di barisan hadapan.
Kiranya aku dengan Fadzli adalah sepatrikum iaitu kawan sekelas dan sekuliah aku sepanjang di matrikulasi. Kami memang kenal sesama sendiri sebab duduk sekampung. Dari sejak dari tadika hingga ke sekolah menengah kami bersekolah di tempat yang sama. Masa kecil-kecil dulu, selalulah jugak aku main dengan dia. Main galah panjang, tangkap belalang, pergi sekolah pun sama-sama sebab rumah dia taklah jauh sangat dari rumah aku. Tapi bila masuk sekolah menengah semuanya berubah. Masing-masing buat hal sendiri. Jumpa pun macam tak kenal. Mungkin bila besar rasa malu tu dah ada.
 “Syira, kau nampak tinggilah sekarang, masa sekolah rendah je..hehe,” kata Fadzli berseloroh. Tiba-tiba je Fadzli bergurau dengan aku. Memang sumpah aku rasa kekok. Aku hanya memandang sinis manakala Haris, kawan sekelasku juga cuma tersenyum sumbing. Aku yang mengemas buku kecil dan pensel langsung tidak memandangnya walaupun mejanya tidak jauh dari mejaku.
“Kau orang memang kenal lah ni kan?,” soal Haris yang berloghat Kedah.
“Haah. Siapa tak kenal best student sekolah aku ni,” jawab Fadzli. Mamat ni perli aku ke apa. Aku buat-buat tak dengar.
“Sombong kau ye,” Fadzli menambah. Benganglah tu bila aku mematikan diri tak menjawab pertanyaan dia.
“Mana ada. Kau tu yang sombong. Tak cakap pun dapat matrik sini,” sengaja aku menjawab semula.
“Takkan nak bagitahu satu kampung kot,” jawab Fadzli. Dia menaikkan keningnya macam Ziana Zain. Aku mencebik.
      Hari ini kelas tak mula lagi. Cuma sesi berkenalan sesama pelajar dan bersama pensyarah. Kuliah pun hanya pengenalan tajuk-tajuk utama setiap subjek. Awal-awal ni, masih ada beberapa borang yang perlu diisi dan dilengkapkan. Esok mungkin sesi pembelajaran akan bermula. Untuk aktiviti hari ini hanya bertukar-tukar maklumat diri sesama sendiri seperti nama, nama samaran, nombor telefon dan e-mel. Mudah untuk berhubung nanti. Lagipun, kami masih belum dapat mengingati nama satu dengan yang lain. Kalau ingat pun, tertukar nama dengan orang lain. Biasalah, baru hari pertama.
      Sewaktu aku bergerak ke kafeselepas tamat sesi pembelajaran, telefon bimbit aku bergetar. Ada mesej.
+Nampaknya kita sekelas.
-So?
+So, kau kenalah tolong aku selalu. Maklumlah, aku taklah pandai macam kau.
-Tengoklah macam mana. Ikut mood aku.
+Haha. Bajet gila la minah ni. Kau kat sekolah menengah bolehlah menyombong dengan aku. kat sini jangan harap ok?
-Sejak bila pula aku sombong.
+Sejak kau masuk sekolah menengah.
-Mana ada.
+Ada.
      Hari pertama lagi si Fadzli dah tunjukkan taringnya. Mati aku kalau macam ni.


Belajar di matrikulasi sememangnya sangat seronok walaupun jadualnya agak padat. Ternyata, tidak sia-sia aku menolak tawaran menyambung pelajaran ke UiTM dalam jurusan Chemical Engineering dan tawaran Maktab Perguruan semata-mata untuk mengikuti program matrikulasi. Di sini, kami akan melalui dua semester iaitu selama setahun. Antara subjek yang kami pelajari ialah Matematik, Biologi, Kimia, Bahasa Inggeris, Agama Islam dan Dinamika. Walaupun pembelajaran agak laju berbanding ketika di sekolah menengah, aku begitu menyukai cara dan suasana pembelajarannya.
Aku menyiapkan tutorial yang diberi oleh pensyarah. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Fadzli menelefon.
“Assalamualaikum, boleh saya mengurat cik Syira,” Fadzli mempermainkan aku. mentang-mentanglah satu matrik, bukan main syok dia nak membuli aku dekat sini.
“Kau nak apa sebenarnya Fadzli? Aku sibuk ni,” aku berbohong dan menaikkan sedikit suara.
“Janganlah marah. Aku nak tanya pasal tutorial semalam soalan nombor 5, macam mana nak buat?,” tanya Fadzli. Aku membuka buku tutorial yang berada di atas meja tulis, soalan nombor lima aku cari tapi malangnya masih kosong tidak berjawab.
“Aku tak buat lagi la Fadzli, nanti malam kot aku siapkan,” kata aku berbasi-basi. Aku sendiri pun belum siap, macam mana nak tolong dia.
“Okey, kalau macam tu, malam nanti aku telefon kau balik eh. Kau buat tau, jangan tak buat pulak,” Fadzli mengingatkan aku.
“Yelah, nanti aku tanya roomate aku macam mana nak buat. Emmm..Assalamualaikum,” aku menamatkan talian tanpa sempat dia menjawab salamku. Aku mencuba untuk menyiapkan soalan yang masih belum berjawab. Namun, hampa. Aku tidak dapat menyelesaikannya.
“Farahin,dapat tak jawapan tutorial Matematik soalan nombor 5?,” soalku menghampiri meja tulisnya.
“Dapat,” dia menjawab pendek. Kebetulan dia baru menyiapkannya.
“Tunjukkan boleh tak?,” pintaku.
“Boleh..sini,” dia memanggilku yang duduk di birai katil bercadar kuning miliknya. Sungguh, Farahin tidak kedekut ilmu. Walaupun dia mengambil Sains Fizik dan aku mengambil Sains Hayat tapi kebanyakkan subjek adalah sama. Tu yang senang nak meniru tu. Hehe.
      Aku menghantar pesanan kepada Fadzli untuk memberikan jawapan yang diminta sebentar tadi. Malas aku nak menelefonnya. Mesti ada sahaja perkara yang nak disakatnya. Tapi sempat juga dia membalas mesej aku.
+Terima kasih sebab tolong abang..hehe
 Eee..tolonglah. Muntah darah aku baca. Aku membuat sedikit ulangkaji memandangkan soalan yang mudah pun aku masih tidak dapat jawab. Sampai lewat petang baru aku berhenti. Itupun selepas Farahin menyuruh aku mandi kerana waktu maghrib hampir masuk waktunya.


Pagi ini hujan turun dengan sangat lebat. Terasa sejuk hingga ke tulang namun aku berusaha untuk bangun dari katil dan bersiap untuk solat subuh serta bersarapan. Seperti biasa, aku akan ke kelas dengan berpakaian baju kurung, tudung bawal yang dipin di bahu dan kasut bertutup. Ringkas dan mudah. Pagi-pagi buta lagi telefon bimbit aku dah berbunyi. Fadzli lagi.
“Ha, nak apa?,” kasar aku menjawab panggilan.
“Amboi kasaq nampak. Assalamualaikum,” dia ketawa. Tak tahu apa yang kelakar sangat.
“Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatu,” ambil kau. Panjang aku jawab.
“Nak minta tolong sikit boleh tak?,” bukan main sopan kalau nak minta tolong. Lemah lembut je suara dia.
“Nak minta tolong apa?,” nada aku masih sama. Kasar. Budak ni bukan boleh bagi muka. Mengada-ngada karang.
“Tolong belikan abang roti. Abang tak sempat nak sarapan,” lemah-gemalai betul ayat dia.
“Apa kejadahnya berabang-abang ni? Kau ingat aku ni bini kau,” telan kau Fadzli. Maaf, aku bukan orang gaji kau.
“Oh, bukan ye. Ah, berkira sangat. Tolong lah wei,” boleh pula cakap macam biasa. Sedap sikit telinga aku dengar.
“Aku malaslah,” tak kuasa aku nak belikan dia makanan. Nanti ada je yang tak kena. Tak ikut selera dia lah, tak sedap lah.
“Yelah, macam ni lah kawan,” dia buat-buat merajuk. Aku tak percaya langsung. Tidak siapa nak melayan drama dia pagi-pagi ni.
“Macam ni lah. Macam mana lagi. Dah lah, aku blah dulu ye,” sengaja aku kasar-kasarkan bahasa aku.
“Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!,” Fadzli menjerit kuat. Sakit telinga aku. Dia mematikan talian.
      Sepanjang di kelas, Fadzli merenung aku tajam. Tak puas hatilah tu. Ada aku kisah.
      “Syira, jom makan. Akak dah lapar ni,” ajak kak Sarah setelah kelas Biologi tamat sebentar tadi. Kak Sarah merupakan kawan baik aku di kelas dan dialah yang selalu meleyan kerenah aku. Rapatnya kita orang sampai duduk bersebelahan dekat kelas atau dewan kuliah. Kak Sarah ni kecik je orangnya. Kecil-kecil cili padi. Sangat prihatin dan baik.
“Jom. Hari ni kita makan kat kafe B ye kak Sarah,” pintaku sambil mengemas buku di atas meja.
“Okey, jom kita gerak,” kata kak Sarah sambil tersenyum. Aku hanya menganggukkan kepala dan membalas senyumannya.
      Ramai pula orang membeli makanan waktu ini. Selalunya lengang je. Nampaknya, terpaksalah aku beratur panjang. Tiba-tiba aku terasa baju aku disimbahi air. Aku menoleh ke belakang. Argh, habis baju aku terkena air sirap.
Sorry, saya tak sengaja...haha. Hoi, orang miskin. Nampaknya kita satu matriklah. Lebih baik kau jangan muncul depan aku. Kalau tak, hari-hari kau mandi air sirap,” angkuh suara perempuan berambut ikal di depan aku. Perempuan yang aku benci. Bukan setakat dia, satu keluarga dia aku benci. Sampai mati pun aku tetap benci.
“Kau ingat aku takut ke?,” aku menengking tepat ke mukanya. Semua mata memandang kami. Aku segera pergi dan dengan sengaja aku langgar bahunya. Hilang selera aku nak makan. Kak sarah mengejarku.
“Kurang ajar kau Syira. Tunggulah nasib kau,” aku masih dengar ugutan perempuan gila itu. Malas aku nak melayannya. Kenapalah kau ada dekat sini.
“Syira, tunggu akak,” aku tidak memperdulikan panggilan kak Sarah. Aku betul-betul marah dengan tindakan perempuan gila tu.
“Siapa dia?,” kak Sarah bersuara termengah-mengah.
“Tasha, Natasha Ameera,” aku menjawab penuh kebencian. Kakiku laju melangkah. Selaju jantung aku berdenyut.
“Apa hubungan dia dengan Syira,” kak Sarah bertanya lagi. Aku pasti yang dia benar-benar tidak mengerti apa yang berlaku sebentar tadi.
“Sepupu Syira,” air mata mula bergenang. Tunggu masa untuk jatuh. Rasa malu apabila diperlakukan sedemikian di depan khalayak ramai. Namun, aku tahan. Aku tidak akan sesekali menjatuhkan air mata kerana perempuan tak sedar diri itu.
“Kenapa dia buat macam tu?,” kak Sarah masih mengikutiku sampai ke bilik. Dia terpaksa mengejar aku yang berjalan laju.
“Kak sarah kenapa tak pergi bilik kak Sarah? Ni dah sampai bilik Syira,” aku menyoalnya.
“Akak nak tahu kenapa dia buat Syira macam tu,” bersungguh-sungguh betul Kak Sarah. Aku mempelawanya masuk dan meminta diri menukar baju terlebih dahulu. Baju yang terkena air sirap tadi aku rendam seketika. Aku masuk semula ke bilik.
“Natasha Ameera tu sepupu Syira. Dia memang benci Syira sejak dari dulu lagi,” aku memulakan bicara. Aku tahu, kak Sarah tak sabar untuk mengetahui hal sebenar. Aku capai tin biskut dan air isotonik di atas meja. Aku hidangkan kepada kak Sarah.
“Tapi kenapa?,” kak Sarah menyoal. Air isotonik tadi diminumnya sikit.
“Sebab Syira miskin kak. Dia dan keluarganya memang tak suka orang yang miskin. Memang dari kecil kami dengar makian dan cacian dari keluarga dia. Keadaan makin teruk bila keluarga dia nakkan tanah yang nenek bagi ayah. Padahal dia dapat tanah lagi besar dari ayah,” aku mengunyah biskut yang ada untuk melapik perut sementara menunggu petang. Maklumlah, tadi tak sempat membeli makanan. Kalau tak kerana perempuan tu, mesti aku dah kenyang sekarang ni.
“Sampai macam tu sekali? Tapi kau orang kan satu keluarga,” kak Sarah bertanya lagi. Mukanya berkerut. Nampak macam drama kan? Tapi itulah realitinya yang terpaksa aku sekeluarga hadap.
“Keluarga atas nama je kak. Tak tahu apa yang dia nak buat lagi lepas ni,” aku mengeluh kecil.
“Tak apa Syira, kalau dia buat apa-apa kat Syira, siaplah dia. Akak pandai bersilat,” seloroh kak Sarah. Kak Sarah dah lah kecil, sekali kena tolak terus terpelanting. Selepas menghabiskan biskut yang berbaki, kak Sarah meminta diri. Katanya mahu membeli makanan. Kesian dia. Disebabkan aku, dia pun tak dapat beli makanan.
Terasa seperti mahu menelefon mak. Mahu mengadu perihal Tasha kerana mak lebih memahami. Mungkin kemarahan aku akan reda selepas berborak dengan mak.
“Assalamualaikum, mak. Sihat?,” aku memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam, Syira. Mak sihat je kat sini. Kamu?,” suara mak lembut menjawab. Menenangkan.
“Alhamdulillah, sihat juga. Rindulah kat mak?,” sengaja aku bermanja-manja dengan mak. Memang aku anak manja mak pun. Sampai kak long pun cemburu dengan aku. Tapi sebenarnya, mak tak pernah melebihkan mana-mana anaknya. Semua sama rata.
“Mak pun rindu kamu juga. Ha, ni kenapa tiba-tiba telefon mak?,” mak seperti dapat meneka sesuatu.
“Emm..mak Tasha ada kat sinilah mak,” aku berterus-terang.
“La, ye ke? Tak tahu pula mak yang dia pun belajar sama dengan kamu. Macam mana kamu tahu dia pun kat sana?,” suara mak sedikit risau.
“Tadi waktu Syira nak beli makanan kat kafe kita orang terserempak. Dia simbah Syira dengan air sirap. Habis baju Syira mak. Semua orang pandang Syira. Malu betul tadi mak. Rasa macam nak cekik-cekik je dia,” bersungguh-sungguh aku bercerita. Kalau mak ada depan mata aku mesti mak tergelak melihat aksi aku seakan-akan mencekik seseorang dengan menggunakan bantal.
“Astagfirullah al-azim. Tak habis-habis si Tasha tu berdendam dengan kita. Habis tu kamu buat apa?,” soal mak. Nadanyakesal dengan perangai Tasha yang tak sudah-sudah menyakitkan hati aku.
“Apa lagi, Syira tengking dia balik. Tak bestlah mak bila sama tempat belajar dengan Tasha. Dia tu sanggup buat apa saja mak,” rungut aku. Bantal tadi aku campak ke dinding. Dinding pun aku nampak macam muka si Tasha.
“Sabarlah Syira. Jangan layan sangat dia. Yang penting kamu belajar betul-betul. Buktikan kat dia yang kamu pun boleh berjaya,” sungguh-sungguh mak bercakap.
“Terima kasih mak. Emm..mak, ada ke mak ngah datang serang mak lagi. Tasha dengan mak dia kan sama je. Manalah tahu dia bagitahu mak dia pasal Syira satu tempat dengan dia. Karang ada je cerita buruk pasal Syira yang Tasha bagitahu mak dia,” aku membebel panjang. Mak dengan anak sama je perangai.
“Tak ada pula mak ngah kamu datang. Ingat Syira, jangan cari pasal dengan Tasha. Mereka orang berada, mereka boleh buat apa sahaja mereka suka,” mak mengingatkan. Aku tahu mak risau kalau-kalau Tasha buat sesuatu kepada aku. Bagi dia orang duit boleh beli segala-galanya.

“Baiklah mak. Mak jaga diri tau. Nanti kirim salam semua. Nanti bila-bila Syira telefon mak lagi,” talian dimatikan. Rasa sedikit lega apabila dapat meluahkan kepada mak. Tak sama macam meluahkan kepada kawan yang kita rapat.

Thursday, 19 June 2014

Jodoh Depan Mata - Bab 1: Nur Safiyyah

“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,” aku mengucapkan syukur berkali-kali. Surat yang baru sahaja di hantar oleh posmen aku baca sekali lagi. Rasa macam tidak percaya.
      “Mak, Syira dapat matrik Melaka. 18 Mei ni kena daftar,” kata aku kegirangan. Berlari-lari aku memdapatkan mak. Akhirnya impian aku tercapai.
“Alhamdulillah, dapat juga Syira masuk matrik. Nasib baik dekat je. Nanti lepas ayah balik, bagitahu dia,” mak bersuara sebelum meneruskan jahitannya. Riak wajahnya gembira. Namun, kerana begitu banyak tempahan baju terpaksa disiapkan, mak tidak begitu melayan kerenahku. Aku tidak berkecil hati. Aku memahami kesibukan ibu mengambil upah menjahit baju.
Aku mencapai tudung berwarna ungu yang tersangkut di dinding sebelum berlari ke pantai di belakang rumah.
Di pantai ini aku menunggu ayah pulang iaitu seorang nelayan yang aku sayangi. Tidak sabar rasanya memberi tahu perkhabaran gembira ini. Angin kuat hampir sahaja mengoyakkan surat tawaranku. Aku masukkan semula di dalam sampul. Sampai ke telinga aku senyum. Ini adalah langkah pertama sebelum untuk aku mencapai cita-cita aku ke menara gading. Walaupun nampak macam poyo je tapi aku peduli apa.
“Kak Syira dapat masuk matrik ye,” soal adik lelakiku, Nizam yang masih berbaju sekolah. Dia menghisap-hisap aiskrim Malaysia yang berperisa milo. Habis kotor bajunya. Sememeh je dia.
“Haah. Ish, ni apa kotor-kotor ni. Dah lah, abang pergi masuk dalam, makan. Lepas ni nak pergi sekolah agama kan? Kak Syira nak tunggu ayah,” aku mengarahkan adik lelakiku yang biasanya kami panggil abang untuk masuk ke rumah.
“Ala, kejaplah. Abang nak habiskan aiskrim dulu. Ayah lambat lagi lah balik. Lebih baik kak Syira masuk dulu,” ada sahaja abang menjawab. Walaupun baru darjah empat, kadang-kadang macam orang tua cara dia bercakap. Mungkin sebab bergaul dengan kami semua yang dah besar-besar.
“Syira, masuk lah dulu. Ayah kamu lambat lagi balik. Ni tolong gosokkan baju Nizam ni. Kejap lagi dia nak pergi mengaji,” mak sedikit menjerit dari dalam rumah. Hasrat aku nak menunggu ayah terbantut. Terpaksa pula menggosok baju budak kecil ni.
“Kan abang dah cakap tadi. Tak nak dengar,” abang mengomel kecil. Rasa macam nak cubit-cubit je budak ni.
“Okey,” aku menjawab pendek. Ikut kata hati mahu sahaja aku tunggu sampai ayah balik.

 
      Hari ini ayah pulang sedikit lewat. Nasib baik aku tidak menunggunya di tepi laut. Kalau tidak, mahu berjanggut aku menunggunya. Katanya rezeki hari ini lebih dari biasa.  Banyak ikan dan cuaca pun bagus. Alhamdulillah. Rezeki keluarga ini tidak pernah putus. Kalau tidak ke laut, ayah ke kebun memetik kelapa sawit. Cukuplah untuk makan anak-beranak. Lagi pun, mak ada mengambil upah menjahit. Buat tambah-tambah. Aku bersyukur kerana keluarga kami tidak lah sesusah mana jika dibandingkan dengan orang lain. Tapi kalau boleh, aku tidak mahu ayah ke laut lagi. Risau kalau-kalau perkara buruk berlaku.
“Ayah, Syira dapat masuk matrik melaka. 18 Mei ni daftar,” ayat yang sama aku gunakan pagi tadi kepada mak. Aku menghampiri ayah yang menjinjing plastik berisi ikan. Inilah untungnya jadi nelayan. Ada lebih boleh bawa ke rumah buat lauk. Jimat duit daripada beli di pasar. Lagipun ikan yang ayah selalu bawa balik segar lagi.
“Alhamdulillah. Dapat juga kamu masuk matrik,” memang sehati sejiwa betul mak dan ayah. Ayat pun lebih kurang sama je. Aku meletakkan ikan di sinki.
“Minggu depan ajak kakak kamu beli barang keperluan. Nanti tak ada lah terkocoh-kocoh. Borang-borang yang nak kena cop bagi kat ayah, nanti ayah suruh ketua kampung cop,” pesan ayah panjang lebar sebelum ke dapur.


      Seminggu sebelum bertolak ke matrik, aku dan kak long membeli barang keperluan. Aku sekadar membeli apa yang perlu. Tak mahu membazir.
      “Banyaknya Syira bawa barang. Ni nak lari rumah ke ni?,” getus kak long. Dia yang dari tadi memerhatikan aku mengemas barang tidak betah duduk. Aku berusaha mengzip beg balik kampung yang agak besar.
“Kalau banyak sangat barang, Dayana tak nak tolong tau. Penat,” Dayana, adik perempuanku yang kini tingkatan empat mengomel. Ingatkan dia khusyuk buat nota sejarah, rupanya menyampuk juga budak ni. Kak long dan aku berpandangan dan tersengih.
“Mana ada banyak. Kak long dulu lagi banyak dari ni kan?,” aku cuba mengingatkan kak long atau nama penuhnya Nur Aina sewaktu dia mula-mula melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di salah sebuah kolej di pantai timur. Memang haru nak mengangkat barangnya. Dah lah biliknya di tingkat empat. Jauh pula tu. Memang rasa nak patah tulang pinggang. Nasib baik kami berenam sekeluarga ikut sekali. Kalau tak, mahu pengsan mengangkatnya.
“Kak long jauh, sebab tu bawa banyak. Meh lah. Kak Long tolong kemaskan. Banyak sangat ni,” kak long memang begitu. Sakit mata kalau tengok orang lain berkemas. Ada sahaja yang tidak kena.
“Kak long belajar lagi berapa lama ye,” soalku. Rasanya dah lama dia melanjutkan pelajarannya.
“Kak long lagi satu sem. Lepas ni praktikal. Lepas tu kerja,” kak long menjawab sambil memasukkan semula baju yang dipunggahnya. Semuanya tersusun rapi dan tiada yang tertinggal seperti tadi.
“Dah siap kemas semuanya. Mak dengar berborak je dari tadi. Apa yang diborakkan?,” mak menyoal sambil menyelak sikit langsir bilik kami. Di tangannya ada baju yang hendak di sembat.
“Tinggal sikit je mak,” aku membalas. Mata tidak menunjukkan tanda-tanda mahu tidur. Mungkin sebab teruja nak daftar esok. Dah lah esok kena bangun awal. Ayah bercadang nak bertolak awal. Bagus juga, kalau lambat mesti panjang barisan kena beratur. Nanti lambat pula mak dan ayah balik ke banting semula.


Hari ini hari pendaftaran untuk aku memasuki Kolej Matrikulasi Melaka. Perasaan bercampur baur sejak malam semalam sehinggakan aku tidak mampu melelapkan mata. Aku rasa hanya 3 jam sahaja aku dapat melelapkan mata sebelum mak mengejutkan aku untuk solat subuh. Hari ini, semua ahli keluarga menghantar aku. Adik-adikku mengikut bukan sebab apa, nak berjalan-jalan makan angin. Tetapi yang seronoknya, semua kena tolong angkat barang-barang aku. Mujur, kak long tolong kemaskan barang-barang aku. Kalau tak mesti penat nak angkat beg yang banyak berkali-kali naik ke tingkat tiga.
“Mak dengan ayah balik dulu. Belajar elok-elok. Nanti telefon mak bila ada masa,” pesan mak selepas semua barang-barang diletakkan di bilik. Kami berjalan menuju ke parkir kereta.
“Baik mak,” aku mencium tangan dan pipi ibuku. Aku peluk erat-erat tubunya. Rasa macam berat sangat nak lepaskan. Maklumlah, ini kali pertama aku berjauhan dari keluarga sebab sebelum ini aku hanya bersekolah di sekolah harian di kampung halaman. Tidak pernah aku berjauhan daripada keluarga dalam masa yang panjang.
“Ayah balik dulu, nak berjalan-jalan kat Melaka ni,” ayah mengusik aku. Sampai hati mereka berjalan tak ajak aku. Adik-adik aku apa lagi, tersenyum sumbing mengenakan aku. Aku menyalami ayah dan yang lain. Sempat aku menarik telinga abang, kawan gaduh di rumah. Sebaik sahaja kereta Waja milik ayah hilang dari pandangan, aku segera naik semula ke bilik. Banyak barang yang perlu di kemas.
“Hai, saya Insyirah. Awak?,” tanya aku kepada dua orang rakan sebilikku. Sewaktu aku masuk ke bilik masing-masing sibuk mengemas. Di sini, aku mempunyai dua orang rakan sebilik walaupun sepatutnya bilik ini boleh memuatkan sehingga empat orang.
“Saya Farahin,” kata kawan sebilikku yang mempunyai raut wajah yang cantik dan putih mulus.
 “Saya Hafizah. Panggil Fizah je. Selamat berkenalan, Syira,” balas gadis berkulit hitam manis yang berdiri disampingku. Aku kemudiannya mengemas barang-barang yang dibawa. Kali ini tiada mak dan kakak yang membantu. Mujur, mak selalu mengajar aku mengemas pakaian sendiri. Jadi, tidaklah begitu kekok.
Pada petangnya, kami diminta berkumpul untuk mengikuti orientasi yang berlangsung selama seminggu. Kami dibahagikan mengikut kumpulan dan di bawa mengelilingi kawasan kolej supaya biasa dan tahu tempat-tempat tertentu. Ada aktiviti sukan, aktiviti bersama mentor mentee dan banyak lagi aktiviti yang dijalankan. Sampai ramai yang demam kerana jadual yang padat dan cuaca yang agak terik. Aku hanya pening-pening dan sakit perut kerana tidak selera menjamah makanan kerana terlalu letih.


“Huh...habis jugak hari orientasi. Hari ni boleh rehat-rehat. Farahin, Fizah, hari ni kita pusing kolej nak? Boleh tengok-tengok dewan kuliah dengan makmal. Esok tak lah susah sangat nak pergi cari kelas. Nak tak?,” aku memberikan cadangan memandangkan semua hanya baring di atas katil. Walaupun semasa orientasi kami sudah di bawa pusing-pusing satu kolej, namun kami masih belum biasa dengan bangunan-bangunan yang ada.
“Nak !,” jawab Farahin dan Fizah serentak.
“Nak ikut !,” teriak Tina, jiran di bilik hadapan kami. Tiba-tiba sahaja Tina muncul. Dia memang ramah dan pandai bergaul orangnya. Sebab tu, kami selesa berkawan dengannya walaupun bukan sebilik. Dari hari pertama lagi dia sudah menunjukkan keramahannya.
“Boleh-boleh, ajak Nadirah sekali, boleh borak-borak. Lepas tu kita makan tengahari kat kafe,” Farahin membalas. Masing-masing bangkit dari katil dan bersiap.
Sepanjang seminggu berorientasi, kami tidak berkesempatan untuk kenal-mengenali antara satu sama lain. Maklumlah, aktiviti sangat padat sampai ke malam hingga semua keletihan. Balik sahaja ke bilik semua terbongkang tidur.
“Besar jugak ye kawasan matrik ni,” kata Nadirah memecahkan suasana sunyi.
“Farahin, awak orang mana?,” tanya Tina secara tiba-tiba.
“Saya orang Gombak,” jawab Farahin yang manis berlesung pipit.
Dari satu tempat ke satu tempat kami pergi. Sepanjang itu, rancak kami berbual-bual mengenai latar belakang masing-masing. Seronok rasanya mempunyai kenalan baru dari tempat yang berbeza-beza. Farahin dari Gombak, Fizah dari Perak, Tina dari Johor, Nadirah dari Negeri Sembilan dan aku pula dari Selangor. Walaupun baru sahaja berkenalan antara satu sama lain, tapi rasa macam dah lama sangat. Tiada rasa kekok langsung malah ada sahaja cerita dari mereka yang membuatkan aku tidak kering gusi. Selepas habis mengelilingi satu kawasan kolej, kami makan tengahari bersama-sama di kafe A. Harga makanan di sini murah dan rasanya boleh tahan sedap. Petang itu kami hanya berehat-rehat sahaja di bilik. Kami bergilir-gilir menggosok baju kerana hanya ada satu seterika sahaja. Itupun Fizah curi-curi bawa. Aku menggosok baju kurung dan tudung untuk seminggu. Malamnya pula, kami membelek-belek buku rujukan dan selebihnya membuat persiapan untuk ke kelas pada keesokannya.
“Fizah, nanti pagi kalau bangun awal tolong kejutkan ye?,” aku memesan. Takut terlajak tidur. Selalu mak yang kejutkan subuh.
“Okey, kalau lambat bangun kena simbah tau,” seloroh Fizah. Kelakar juga dia ni.
“Kejutkan I juga ye?,” Farahin bersuara seakan-akan mengada. Kami semua tergelak mendengarnya.

      Lampu dimatikan dan doa tidur dibaca.

Thursday, 12 June 2014

Jodoh Depan Mata - Prolog: Nur Safiyyah

“Ikan kekek mak iloi-iloi, ikan gelama mak ilai-ilai, nanti adik mak iloi-iloi, pulang sama mak ilai-ilai..”, umpan cacing tanah tadi belum disambar ikan. Aku sudah mula bosan. Macam manalah budak lelaki boleh sabar pancing ikan lama-lama. Aku naik muak tunggu macam ni. Sampai berjanggut baru dapat ikan gamaknya.
“Tak naklah nyanyi lagi tu. Iloi-iloi. Tak nak. Bosan,” Fadzli sudah tidak duduk diam. Sekejap bergerak ke kana. Sekejap ke kiri. Kaki seluar yang panjang ditarik hingga ke bawah lutut
     Joran yang diperbuat dari kayu dan tali dibiarkan diatas tembok. Memancing tepi tembok memang tak dapat ikan best. Yang ada pun belukang. Bukan kami nak sangat ikan pun. Cuma melepaskan gian nak memancing. Lepas ikan mengena umpan kami lepaskan semula. dapat tangkap dua tiga ekor cukuplah.
“Dah tu nak nyanyi lagu apa?,” aku tidak puas hati. Dari tadi semuanya tak kena. Tadi waktu nak pasang umpan dikatanya salahlah. Aku menyanyi pun dia nak komen. Dia je yang betul.
“Lagu tanya sama pokok. Kau tahu kan,” aku angguk. Lagu kacang macam tu, takkanlah tak tahu. Peluh sudah mula membasahi dahi. Aku angkat bahu aku dan mengelap peluh.
Kami nyanyi sama-sama. “Tanya pada pokok apa sebab goyang, nanti jawab pokok angin yang goncang, tanya sama angin apa sebab hujan, nanti jawab angin tanyalah awan.  Awan nanti kata aku kandung air, sampai tempat sejuk aku pun cair, lihat dalam air nampak bayang-bayang, campak satu batu bayang pun hilang,” Fadzli mengambil seketul batu dan mencampakkan ke dalam air mengikut lirik lagu.
     Baru kejap tadi aku rasa ikan main tarik-tarik umpan aku. Sikit je lagi nak mengena. Potonglah dia ni. Lari semua ikan-ikan. Dahlah dari tadi seekor ikan pun tak dapat.
“Apa ni, nanti larilah semua ikan-ikan tu. Kacau lah,” aku ambil batu kecil dan baling ke arah Fadzli. Mengena. Betisnya merah. Siapa suruh pakai angkat seluar. Rasakan.
“Kau takkan dapat ikan punyalah. Kau bukan tahu memancing pun. Kau tu perempuan, pergilah main masak-masak ke. Ni pergi memancing. Nak jadi jantan ke?,” dia naik berang. Ah dia ni memang. Senang naik angin. Ingat dia sorang je ke boleh naik angin. Aku pun bolehlah.
“Kau tak puas hati kenapa? Aku ada susahkan kau ke?,” joran kayu tadi aku campak. Aku berdiri atas tembok. Aku renung tajam.
     Fadzli sudah cecah tanah pasir. Dia singsing bajunya ke atas bahu. Gaya orang nak bergaduh. Aku turun sekali. Ingat aku takut ke. Ini Syira lah. Silap besar kalau dia pandang aku sebelah mata.
“Kau nak gaduh ke dengan aku. Sini,” Fadzli menggerakkan jari telunjuknya. Memanggil aku.  Dia sudah membuka langkah.
“ Kau ingat aku kecut? Aku bagitahu bapak aku. Nanti kau mesti kena marah.  Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa, tahu tak,” aku mengugut. Fadzli dengan aku memang berani tapi dengan bapak aku, jangan harap. Terkencing dia dalam seluar.
“Bagi tahulah. Kau ingat aku takut. Kalau berani kita lawan satu sama satu. Ni nak panggilkan bapak kau pula. Pengecut,” makin lantang suaranya. Kau tunggu Fadzli, kalau ayah ada kat rumah, dah lama aku panggil.
“Kau diamlah pelat,” aku menjerit ke arah Fadzli. Bengang. Tak padan dengan pelatnya, ada hati nak cari gaduh.
     Fadzli mengepal penumbuknya dan memukul-mukul tapak tangannya. Dia memang cukup pantang orang mengejeknya pelat. Habis dikerjakannya. Tapi dengan perempuan takkan dia nak buat macam tu.
“Sepet penakut,” Fadzli pula membalas. Tak puas hatilah tu.
Blah lah kau. Aku tak nak kawan kau,” aku malas nak melayan budak pelat hingusan tu. Buang masa je. Banyak lagi kerja aku boleh buat.
     Aku bergerak menuju ke rumah. Joran tadi aku biarkan saja di situ. Fadzli juga bergerak pulang ke rumah dia. Kami pulang berlenggang.
“Pinggan tak retak nasi tak dingin, kau tak nak, aku lagi tak ingin. Nanti jangan pula cari aku,” amboi sombong betul. Nanti dia juga cari aku. Fadzli balik dengan menghentak-hentakkan kakinya.
“Eleh, nanti kau cari aku dulu. Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” aku menjelirkan lidah. Dia pun membalas. Aku perlahan-lahan bergerak ke pintu belakang. Alamak, ada mak cik Timahlah pulak.
“Kau tengok budak-budak tu. Pantang jumpa.nak bergaduh je kerjanya”,mak bercakap pasal aku dan Fadzli. Takkanlah bergaduh kat belakang tu sampai ke dalam rumah boleh dengar.
     Ni semua Fadzli punya pasal. Kalau dia tak mulakan dulu mesti tak jadi macam ni. Kurang asam punya budak. Kalau aku kena bebel dengan mak siaplah dia. Aku libas-libas dia.
 “Ala, budak-budak gaduh tu biasalah. Kejap lagi bosan tak ada kawan nak main, eloklah tu,” fuh. Nasib baik Mak Timah back up kita orang. Sayanglah Mak Timah.
“Si Fadzli tu pun satu, tak habis-habis nak cari pasal,” mak Timah menambah. Betul tu Mak Timah. Aku bersorak dalam hati.Aku masih lagi menyorok di belakang. Pasang telinga. Nanti agak-agak line dah clear baru masuk.
“Anak aku, si Syira tu pun sama. Bukannya nak beralah. Ni makin dia api-apikan si Fadzli tu. Mengamuklah budak tu,” mak pula menambah. Adui. Ingatkan dah selamat. Relakslah mak. Takkan orang buli kita takkan nak duduk diam je.
“Budak-budak ni, asyik bergaduh je. Sorang kaki buli, sorang kaki melawan. Nanti aku kahwinkan dua-dua ni karang,” nak tergolek aku dengar. Aku ni kecil lagi kot. Baru sekolah rendah. Kalau nak kahwin pun mestilah dengan yang elok-elok sikit. Dengan si Fadzli tu, harap-harap dijauhkan.
“Ha, tu lah. Jangan sampai dah besar nanti jadi macam ni sudah. Memang aku kahwinkan budak berdua ni nanti,” kalau mak nak kahwinkan aku dengan Fadzli tu memang aku lari dari rumah. Biarlah orang nak cakap apa pun.
     Kahwin? Mustahil. Aku dengan Fadzli tak mungkin akan berkahwin.Tak ingin aku berlaki macam tu. Kaki buli!