Showing posts with label Jurutera Hati Saya. Show all posts
Showing posts with label Jurutera Hati Saya. Show all posts

Thursday, 5 December 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 8): Normaslina Masri



MIMI PANDANG Melissa dari mejanya. Seperti biasa Melissa nampak tekun ketika bekerja, langsung tak ambil pusing hal keliling yang tak ada kena-mengena dengannya. Kerja. Kerja. Dan kerja. Itu sahaja yang Melissa tahu di pejabat ini. Jangan haraplah kalau nak ajak dia bersembang atau mengumpat waktu pejabat macam sekarang ni.
Irfan Suhaili. Itu tanda nama yang terpampang kat pintu bilik. Mimi merenung sepotong nama yang berukir cantik itu. Lama. Lama dia merenungnya sambil berfikir. Kenapa Melissa tak suka Irfan? Kenapa pula Irfan macam orang tak faham bahasa? Irfan tahu Melissa membencinya, tapi dia tetap tidak mahu mengalah. Irfan tetap selalu cari fasal dan buat Melissa susah. Kadang-kadang kerja yang tidak sepatutnya pun dia akan paksa Melissa buat.
Melissa bukan la gadis kasar, atau kurang ajar. Selama dia bersahabat dengan Melissa belum pernah lagi dia nampak Melissa bergaduh dengan sesiapa dekat pejabat ni. Tapi kenapa dengan Irfan, Melissa akan jadi seorang Melissa yang lain? Skandal? Ini persoalan yang bermain-main di fikiran Mimi semenjak dua tiga menjak ni. Hari tu dia cuba korek tapi Melissa langsung tak mahu buka mulut. Maka makin bertambahlah curiga yang telah ada kat dalam kepala Mimi.
“Mimi.” Melissa panggil namanya.
“Haa?”
“Jom makan?” Mimi lihat jam di depannya. Aduh, dia berangan sampai tak sedar dah sampai waktu makan. Tanpa banyak soal Mimi bangkit dari meja. Hari ini adik office boy tolong bungkuskan nasi ambang. Jadi dia dan Melissa tak perlu keluar, banyak masa sikit nak bersembang.
“Nak minum air apa?” Melissa sedang berada di hadapan peti sejuk. Ada macam-macam jenis air kat situ. Ada yang pejabat sediakan dan ada juga staf yang beli dan letak kat situ untuk semua minum.
“Jus oren tu kut.”
“Yang ini?”  Mimi angguk. Dia duduk bersantai di meja macam mem besar.
“Wah, masih berasap-asap lagi ni.” Kata Melissa, dia menadah tangan dan membaca doa. Mimi hanya memerhatikan sambil mengarang ayat dalam kepala. Hari ini dia mesti rungkaikan segala persoalan tentang Melissa dan Irfan.
“Mel.” Melissa yang sedang menggigit kepak ayam memandangnya.
“Kau dengan Irfan kenapa ye?”
“Kenapalah kau tanya soalan tu. Putus selera aku, tahu?”
“Okey. Okey. Aku tanya lain kali, tapi kau kena janji. Kau mesti bagi aku jawapan eh?”
“Tengoklah macam mana nanti.” Balas Melissa acuh tak acuh.
“Mel.” Panggil Mimi lagi.
“Apa lagi?”
“Kau suka lelaki yang macam mana eh? Maksud aku lelaki yang kau nak buat suami?” Melissa tersenyum. Panjang sungguh senyumannya.
“Impian aku satu je.”
“Satu je? Menarik ni, selalunya orang letak kriteria sampai lima enam baru boleh jadi suami. Apa dia?”
“Engineer. Aku teringin nak kahwin dengan engineer.” Mimi tersedak apabila mendengar jawapan yang diberi oleh Melissa. Sampai berair-air matanya.
“Pelik aku dengan kau ni.”
“Apa yang peliknya? Okeylah tu, kalau aku cakap aku nak kahwin dengan ‘Chelsea nombor sembilan’ nanti kau kata otak aku senget pulak.”
“Engineer? Itu aje?”
“Ya. Itu aje.” Melissa tersenyum lagi. Mimi menggelengkan kepalanya. Eh, tapi kan Irfan kan engineer juga? Aha… Mimi sudah tahu dapat satu petunjuk. Mimi tersenyum memandang Melissa, tahulah macam mana aku nak buat apa nanti. Itu janji Mimi pada dirinya.

Tuesday, 8 October 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 7): Normaslina Masri



“MESTI ADA apa-apa kan ni?” teka Melissa. Sekarang ini dia dan Mimi sedang menikmati minum petang. Dari pagi Mimi sudah memujuknya supaya Melissa ponteng daripada pergi bersenam. Alasannya, bersenam hari-hari pun tak bagus juga. Tak baik untuk kesihatan minda, itu kata Mimi la. Mimi tak tahu betapa bagusnya mengayuh basikal dalam Spinning Class tu, semua anggota badan akan bergerak, lepas tu berpeluh macam nak rak, barulah semua tekanan dapat dikeluarkan. Tapi kan, Mimi tak tahu juga sebab lain yang tersirat, instructor kelas ni boleh tahan kacak tau. Itu yang buat Melissa lagi bersemangat nak  sampai tak sanggup nak ponteng walaupun sehari.
“Tak ada apa le.” Mimi tersenyum-senyum kambing.
“Tak percaya aku.”
“Aku sebenarnya…”
“Haaaa, kan aku dah kata.” Sergah Melissa sebelum sempat Mimi meneruskan kata-kata.
“Mel, kau ni kalau tak sergah aku boleh tak? Lama-lama aku boleh kena sakit jantung tahu?” Mimi marah. Rupanya dia terkejut dengan sergahan Melissa tadi.
“Sebenarnya apa?” tanya Melissa. Sudu pada gelas minumannya dikacau perlahan.
“Aku nak cuti. Panjang la jugak. Tolong cover kerja  aku ye?” Mimi buat muka manja.
“Cari orang lain la.”
“Siapa lagi kalau bukan engkau?”
“Itu aku tak tahu la.” Balas Melissa acuh tak acuh.
“Tolonglah….” Rayu Mimi lagi.
“Aku ni kan sebenarnya bukanlah berkira kerja sangat. Tapi apabila teringat kat si…” Melissa tidak menghabiskan ayatnya.
“Kenapa kau dengan bos aku tu selalu tak sebulu eh?”
“Itu kau kena tanya dialah.”
“Apasal pulak aku nak kena tanya dia? Aku kan tengah tanya kau ni?” Mimi siap tongkat dagu lagi.
“Aku tak ada jawapan.”
“Kau pernah ada skandal dengan Irfan ye?”
“Kau ni memang tak sayang mulut betul tau.” Melissa sudah naik marah.
“Habis kalau bukan skandal apa? Aku tak nampak ada sebab lain yang kukuh, yang boleh diterima akal.”
“Aku…” kemudian Melissa terdiam. Dia nampak Irfan sedang menuju ke sini. Cepat-cepat Melissa keluarkan iPad dari beg tangan.
“Aku apa?” Sengal betul Si Mimi ni.
“Aku tiba-tiba terasa nak jadi Ninja. Nak potong buah.” Melissa tunjuk Mimi permainan yang dia suka main.
“Ini makin menambahkan syak. Kau dengan Irfan…” Melissa sepak kaki Mimi. Ketika itu Irfan sudah berada di belakang Mimi.
“Awak panggil saya?” tanya Irfan. Muka Mimi bertukar pucat. Tanpa dipelawa Irfan duduk di sebelah Mimi.
“Mana ada bos.” Mana ada bos, Melissa mengulang kata-kata Mimi dalam hati sambil mengata Irfan. Menyemak aja duduk kat sini, putus selera Melissa dibuatnya.
“Saya dengar awak sebut nama saya tadi.”
“Macam la kat dalam dunia ni nama awak seorang je Irfan.” Melissa menyampuk.
“Saya tak kata macam tu.”
“Saya tak kata macam tu.” Melissa mengajuk kata-kata Irfan.
“Melissa.” Serentak Mimi dan Irfan memanggil namanya.
“Dahlah Mimi, aku nak balik. Sambung esok je ye?” Melissa betul-betul angkat kaki. Dia tahu Mimi dan Irfan marah atas sikap kurang sopannya. Ah, Mimi tu pandailah dia memujuknya nanti. Dan Irfan pula? Irfan? Ada Melissa kisah?

Wednesday, 25 September 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 6): Normaslina Masri



TAUFIK mengemaskan ikatan kasutnya. Kemudian dia menuju ke salah satu treadmill di sudut yang terlindung. Setelah memanaskan badan selama lima minit, Taufik mula berlari perlahan. Hari ini hari ketiga dia di sini. Sudah sebulan dia tidak bersenam, semenjak dia mula ditukarkan di daerah ini. Lalu apabila dia terasa badannya mula terasa berat, cepat-cepat dia mendaftar di pusat kecergasan yang jaraknya hanya lima minit dengan memandu dari pejabat.
Rumah yang baru Taufik sewa juga masih belum siap berkemas. Ada barang-barang yang masih di dalam kotak. Yang sudah dipunggah cuma barang-barang penting seperti pakaian dan buku-buku sahaja. Alangkah bagusnya kalau mama ada. Terasa menyesal pula menolak pelawaan  ketika mama menawarkan diri untuk meminjamkan pembantu rumah.  Bukan Taufik nak jual mahal, dia cuma tak mahu mama susah payah kerana dia. Cukuplah apa yang mama lalui kebelakangan ini, Taufik tak mahu tambah apa-apa lagi.
Liana. Nama itu Taufik sebut dalam hati. Nama tunangannya. Oh, Taufik hampir terlupa pula. Liana sudah pun menjadi bekas tunangannya. Sebab itu dia membawa hatinya ke sini. Kisah yang telah hampir setahun berlalu itu masih meninggalkan kesan dalam hatinya. 
Dua bulan sebelum bernikah, Liana tiba-tiba minta putus. Tiada angin tiada ribut, itulah keputusan yang Liana ambil. Lebih teruk lagi, Liana langsung tak mahu duduk berbincang lagi. Liana sudah nekad untuk meninggalkannya. Tanpa alasan yang kukuh, Liana hantar keluarganya untuk memutuskan pertunangan mereka. 
Saat itu, Taufik terasa seperti orang bodoh. Dia kehilangan arah. Memang dia lelaki,  tapi kalau lelaki dia tak boleh rasa kecewa ke? Tak adil bukan? Berbulan jugalah dia bermuram durja. Berduka nestapa. Yang buat Taufik sakit hati ialah, mama jatuh sakit sejak pertunangannya terbatal. Mamanya menghidapi kemurungan. Sampainya hati Liana, menghancurkan hatinya dan memalukan keluarganya.
Tiga bulan selepas pertunangan mereka putus, Taufik dengar cerita yang Liana telah bernikah dengan mat salih. Kerja pilot katanya. Hati Taufik terluka sungguh masa berita itu tersebar. Mudahnya Liana berubah hati. Bertahun-tahun berkasih sayang dan kemudian mengikat janji rupanya belum cukup untuk merantai hati seorang perempuan.
Sejak itu Taufik berjanji pada dirinya sendiri, dia akan kahwin dengan siapa sahaja yang suka dengan dia. Dia tidak mahu letak syarat atau apa-apa kriteria pun. Asalkan perempuan tu daripada keluarga yang baik-baik, elok paras rupa, ada budi bahasa dia akan kata ya kalau perempuan tu ajak dia kahwin. Ya, sungguh. Taufik akan kata YA pada perempuan yang berani melamarnya!
“Hai. Baru kat sini ke?”
Taufik terperanjat. Tiba-tiba sahaja ada perempuan menegurnya.
“Ya.” Taufik siap angguk kepala lagi walaupun dia dah beri jawapan pada soalan perempuan yang berpakaian sukan warna hijau pucuk pisang ni.
“Dah berapa lama daftar kat sini?”
“Tiga hari.”
“Oh. Nama I Ruby.” Perempuan tadi memperkenalkan diri.
“Taufik.” Taufik tersenyum malu-malu.
“Kalau ada nak tanya apa-apa, jangan segan-segan ye?”
“Baik.” Kemudian Ruby mula berjalan di atas treadmill. Tanpa menoleh pun Taufik tahu Ruby asyik pandang-pandang dan jeling-jeling kat dia. Taufik mula terasa seram. Cepatnya doa dia dimakbulkan? Janganlah Ruby cuba-cuba menguratnya, doa Taufik dalam hati.

Tuesday, 17 September 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 5): Normaslina Masri



JAM EMPAT lima puluh lima petang. Itu mengikut jam dinding yang terletak di tengah-tengah pejabat. Tapi jam kat komputer dah menunjukkan pukul lima. Irfan merenung kalendar. Hari ini hari Rabu. Sekejap lagi mesti Cinderella lalu. Irfan tersengih seorang diri.
Nah sekarang sudah tepat jam lima petang. Dari mejanya Irfan nampak Melissa berdiri. Irfan bangkit dan dia berdiri berhampiran dengan cermin bilik yang memisahkan dia dengan dunia luar.
Melissa sedang mengemaskan kertas-kertas yang bertabur. Kemudian dia menyusun pen, pensel, stapler ke dalam bekas kaca empat segi yang berwarna ungu terang. Setelah komputernya ditutup, dia nampak Melissa bergegas meninggalkan meja.
“Mel.” Ifran dengar suara Mimi memanggil nama Melissa dari pintu bilik yang tidak tertutup rapat.
“Cakap esok jelah. Aku nak cepat ni.”
“Eh, sekejaplah. Aku nak tanya fasal ni.” Mimi menunjukkan kertas di tangannya.
“Hari ni hari Rabu kan? Aku ada Spinning Class.”
“Tak boleh harap la kau ni.” Mimi sudah mahu naik angin. Sementara itu Melissa menunjukkan isyarat bagus kat Mimi. Irfan tersenyum. Melissa oh Melissa. Tak berubah langsung dia. Masih sama macam dulu, keras kepala dan buat apa sahaja yang dia suka. Anginnya juga tak boleh diramal langsung, silap hari bulan boleh terbang kita dibuatnya.
Kemudian dia nampak Mimi seperti mahu menuju ke biliknya. Cepat-cepat Irfan duduk di meja semula. Irfan tersengih, dah macam kartun pula rasanya.
Tuk. Tuk. Pintu diketuk.
“Bos.” Panggil Mimi. Irfan angkat muka dari kertas di hadapannya.
“Ya.”
“Saya tak dapat nak siapkan report yang bos nak tu.”
“Bukan kena hantar esok pagi ke?” tanya Irfan semula.
“Betul. Tapi…”
“Tapi apa?” potong Irfan.
“Mel tak mahu tolong saya.” Mimi pasang muka kasihan.
“Awak tak beritahu dia ke?”
“Dah.”
“So?”
“Dia kata dia ajar esok.”
“Dia dah balik?” Kura-kura dalam perahu betul Irfan ni.
“Ya. Dia kata dia ada Spinning Class.”
“Call dia.” Arah Irfan
“Eh, nanti dia marah.” Mimi nampak terkejut apabila dengar arahan Irfan.
“Kenapa awak takut sangat?”
“Sebab saya suruh dia ajar masa dia dah angkat beg.”
“So?” Irfan angkat kening.
“So…..”
“Jawapan dah tahu kan?” tanya Irfan.
“Dah.” Perlahan aja suara Mimi.
Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, Irfan menyambung sengihannya. Antara dia dengan Melissa ada rahsia yang tersimpan. Rahsia lama! Sebab itu, Melissa langsung tak mahu berbaik-baik dengannya. Dan sebab itu juga Irfan sengaja cari gaduh dengan Melissa.