Monday 16 February 2015

... dan Angin pun Berbisik (Bab 2) ~ Adileah

BAB 2

Sudu bubur didekatkan ke bibir Nelly yang merekah kering. “Makan lagi sesudu ya.” Pujuk Ariel. Hari ini dia seperti ingin luangkan cuti hujung minggunya bersama dengan Nelly. Nelly memang susah hendak makan. Menurut kata jururawat, malam semalam Nelly langsung tidak mahu makan.
Nelly menggelengkan kepala. “I dah kenyang sangat ni.”
“Kenyang apanya? You baru makan sesudu bubur. Semalam pun you tak dinner.” Sudu didekatkan lagi ke bibir Nelly. Ariel senyum apabila Nelly membuka kecil bibirnya dan makan sesudu lagi bubur.
“Riel...” Nelly mengiringkan sedikit kepalanya sebagai tanda tidak mahu makan bubur lagi.
“I ada beli buku baru.” Ariel memotong kata-kata Nelly, dia tahu apa yang hendak dikatakannya.
“Buku apa?” Nelly bertanya dan dia sangat teruja apabila mendengar tentang buku baru yang dibeli Ariel. Dia suka sangat mendengar suara Ariel yang tenang ketika membaca untuknya.
“Adalah... kalau you nak I bacakan,  makan lagi dua sudu bubur.”
“You main tipu, I dah makan dua sudu bubur tadi.” Rungut Nelly lemah dan perlahan. Hari ni dadanya semakin ketat dan ada ketikanya dia susah hendak bernafas. Tetapi biarlah, dia tidak mahu beritahu pada Ariel.
Ariel ketawa perlahan. “Strategi namanya tu.” Begitulah dia setiap kali ada bersama Nelly ketika tiba waktu makan. Terpaksa bermain tarik tali kalau hendak beri Nelly makan.
“I nak tidur sekejap.” Pinta Nelly selepas minum air mineral dari gelas berstraw yang diberikan oleh Ariel. Dadanya sudah semakin sesak.
“You okey tak ni?”
Nelly anggukkan kepala. Seboleh mungkin dia mahu menyimpan rasa sakit ini. Dia tidak mahu lagi menyusahkan Ariel.
“You okey tak ni?” sekali lagi dia bertanya, tidak puas hati dengan anggukan Nelly tadi.
“Okey, tapi letih sikit hari ni. Letih makan banyak sangat.” Jawab Nelly bergurau dalam suara perlahan dan seboleh mungkin mengawal rasa sesak di dadanya.
Ariel senyum. “Kalau macam tu you rehatlah dulu.” Bahagian atas kepala katil diturunkan semula supaya Nelly boleh baring dengan selesa.
“Nel, you kena kuat semangat hadapi keadaan ini.” Bisik Ariel perlahan di sisi Nelly, walau pun dia tahu ia seperti menjirus air di daun keladi. Semangat Nelly semakin hilang sejak penglihatannya hilang.
Sejak itu Nelly lebih suka mendiamkan diri dan ada kalanya dia menangis sendiri. Apabila ditanya, dia hanya akan menggelengkan kepala tanda tidak mahu berkongsi cerita. Tetapi dia tahu, Nelly menyimpan perasaan sedih apabila dia dibuang keluarga. Kawan-kawan menjauh dan dia sudah jadi sebatang kara dalam sekelip mata.
Paling memedihkan apabila mereka sering kali berkongsi rasa bersalah yang tiada penghujungnya. Betapa dalam sihat dan kesenangan yang Allah berikan, mereka lupa tentang satu perkara. Kewajipan sebagai seorang Islam.
“Thanks.” Ucap Nelly. Dia cuba menenangkan dirinya dengan berzikir. Dalam hatinya, tidak pernah putus zikirnya, biarlah kalau dia pergi... pergi dalam keadaan yang beriman dan sentiasa ingat kepada sang Pencipta.
“You’re welcome. “Nel, I keluar sekejap ya nak beli coffee.” Tiada reaksi dari Nelly,
Ya Allah, semoga sakit yang dideritai oleh Nelly akan berkurangan dan Engkau ampunilah segala dosa-dosanya, yang kecil mahupun yang besar. Dia hanya mampu berdoa dalam setiap solatnya. Doa adalah senjata yang paling berkesan.



Ketika dia hendak bergerak jauh dari katil, pipi cengkung Nelly kelihatan basah. Dia menangis lagi. Tangisan Nelly dalam diam itu seperti pisau yang menghiris hatinya. Kepiluan itu terasa hingga ke tulang.
Ketika sudah berada di luar wad, hatinya rasa gelisah. Tak apalah, nanti-nanti pun dia boleh minum coffee. Pintu lungsur automatik terbuka semula. Sungguh, hatinya sangat berat hendak meninggalkan Nelly sendirian di bilik dalam keadaan yang kritikal seperti ini.
Sebenarnya sejak malam tadi, tekanan darah Nelly tidak menentu. Ada kalanya rendah dan ada masanya stabil. Malam tadi juga Nelly mengalami masalah pernafasan. Itulah yang diberitahu oleh jururawat yang menjaga Nelly ketika dia bertanya pagi tadi.
Langkahnya diatur semula ke arah katil Nelly. Semerbak bau ubat memenuhi ruang yang tertutup ini. Pada mulanya dia terasa loya dengan bau ubat-ubatan yang diambil Nelly. Tetapi lama-kelamaan bau-bau ini sudah jadi sebati dengan hidungnya.
“Nel, I tak akan tinggalkan you.”  Ya Allah, jika inilah jalan yang terbaik, aku reda dengan seikhlas-ikhlasnya. “Ingatlah pada Allah selalu, teruskan berzikir.” Pesan Ariel, malah itulah yang dipesankan oleh ustaz dan ustazah mereka.
Dalam kepayahan dia dapat menangkap juga bahasa kurang jelas Nelly yang sedang berzikir.
“I tetap akan sayangkan you sebagai seorang sahabat duni akhirat.” Ucap Ariel, memang benar itu yang dia maksudkan. Dia sayang pada Nelly. Sayangkan Nelly dengan seikhlas hatinya. Nelly adalah sahabatnya dunia dan akhirat! Sahabat yang hanya bukan pada waktu senang saja.
Ketika dia mengusap lembut air mata yang mengalir di pipi cengkung Nelly dengan tisu. Dada Nelly berombak semakin kuat. Melihat keadaan Nelly seperti ini dia sendiri yang sebak. Sejak dia berjumpa semula dengan Nelly dua tahun lepas dan sejak berita penyakitnya ini sampai ke pengetahuan Ibu bapanya. Nelly disisihkan terus, kejam sungguh percaturan manusia. Itu pun mereka tidak mengetahui punca Nelly dapat penyakit ini. Cubalah kalau mereka tahu, tentu Nelly akan dihina dengan teruknya.


Thursday 12 February 2015

... dan Angin pun Berbisik (Bab 1) ~ Adileah

Bahagian I
Ariel
Satu perkara yang dia faham tentang cinta adalah, jangan pernah ego apabila bercinta. Benarlah, erti cinta bukan seperti yang tertulis di Kamus Dewan.

 BAB 1
Ariel menyelak muka surat terakhir terjemahan Al-Quran. Surah An-Naas. “Nel, we have come to the end of the tafsiran Al-Quran.” Sekilas matanya mengesan anggukan Nelly yang perlahan. Nelly yang dahulu rambutnya sentiasa berwarna blonde kini sudah ditutupi dengan lapisan kain tudung.
“I bacakan ya.” Pinta Ariel dan tafsiran Al-Quran sudah terbentang di kedua belah tangannya.
“Hmm.” Nelly menganggukkan kepala memberi persetujuan.   
“Katakanlah (wahai Muhammad) aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
“Alhamdulillah, habis jugak kita baca terjemahan ni bersama.” Bisik suara Nelly perlahan dan hampir saja tidak kedengaran. Bacaan Ariel jelas dan tenang. Setiap butir bicara Ariel tu meresap ke dalam hatinya.
“Alhamdulillah.” Balas Ariel dalam senyuman. Dahulu sebelum penglihatan mata Nelly hilang, dia selalu mengaji dengan ustazah Mardiah. Manakala dia pula dengan suami ustazah Mardiah, iaitu ustaz Halim.
Apabila Nelly dimasukkan ke hospital dia lebih banyak mengaji sambil disemak oleh ustazah Mardiah melalui telefon. Kadang kala sahaja ustazah Mardiah akan menjenguk Nelly, itu pun kalau kesihatan Nelly mengizinkan. Tapi sekarang keadaannya semakin merosot, mata yang dahulunya cantik sudah tidak boleh melihat lagi. Kesihatan Nelly sudah jauh daripada harapan untuk pulih seperti sediakala.
“Nel.” Panggil Ariel lembut. Nelly adalah sahabatnya dunia akhirat. Itu janjinya.
“Ya.”
“You tahu tak, Surah An-Naas ni adalah surah yang ke-114 dan diturunkan di Madinah. Surah ni ada 6 ayat tau.”
“Oh.” Nelly menganggukkan kepala. Syukurlah dia masih punya teman di sebalik setiap kesakitan yang dialaminya.
“You tahu tak kenapa surah ni dinamakan An-Naas?”
“Kenapa ya Riel?” sayangnya dia sudah tidak dapat melihat renungan mata Ariel lagi tetapi dia tahu ketika ini Ariel sedang memandangnya. Sejak kesalahan yang dilakukan kepada Yasmeen, dia terus membuang jauh segala perasaannya kepada Ariel. Tetapi tidak semudah itu. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu
“Surah ni dinamakan An-Naas yang bermaksud manusia. Kerana pada awal surah ni, Nabi Muhammad (s.a.w) diperintahkan memohon perlindungan kepada Allah S.W.T Pemelihara dan Pentadbir sekalian manusia.”
“Surah ni samalah juga dengan surah Al-Falaq ya Ril? Yang mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah S.W.T dari segala bahaya.”
“Betul tu.”
“Riel, thank you for reading me the tafsiran.” Ucap Nelly. Ada orang hidayahnya datang cepat. Ada orang lain pula hidayahnya lambat. Seperti dirinya, hidayah datang pada saat nyawa di hujung tanduk. Jika difikirkan rasa takut, boleh menyebabkan seluruh badannya menggigil. Sudah berpuluh tahun hidupnya di dunia ini, tidak satu pun dia ingat kepada kekuasaan Allah S.W.T. Terasa betapa ruginya dengan masa yang disia-siakan dengan segala perkara yang melekakan.
Ariel tersenyum kecil. Walau pun Nelly tidak dapat melihat, tetapi dia tahu Nelly dapat merasakan senyumannya kerana Nelly juga turut tersenyum.
“Nel, Braille Al-Quran terjemahan yang you pesan tu may be sampai esok. I dah dapat the tracking number. Nanti bolehlah you ulang baca.”
“Insya-Allah.” Sempat kah dia hendak membacanya. Tahap kesihatannya sudah tidak menentu. Contohnya hari ini, dia rasa sangat lemah dan kalau boleh dia hendak tidur saja.
“You rehat ya.” Cadang Ariel dan dia juga sudah menyimpan tafsiran Al-Quran miliknya ke dalam beg sandangnya.
“Yalah.”
Kepala katil yang dinaikkan ketika membaca tafsiran tadi diturunkan semula untuk keselesaan Nelly berehat. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Dia reda, inilah balasan Allah yang harus diterima untuk segala kekhilafannya.
Dia gagal menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Dia sepatutnya menjadi lelaki yang memimpin dan bukannya lelaki yang dipimpin oleh wanita-wanita yang seksi dan menggoda. Salah seorangnya adalah Nelly.



Nelly, yang dia pernah kenal bertahun dulu. Gebu, seksi, manja dan lincah. Tetapi Nelly hari ini yang berada di hadapannya sudah bukan seperti dirinya lagi. Tubuhnya sudah lebih menonjolkan tulang dan kulit daripada daging. Hatinya meringis perlahan setiap kali memandang Nelly.
Sayangnya dia disisih keluarga kerana sakit yang dihidapinya. Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi mereka tetapi sayang... permintaannya selalu ditolak. Hatinya bertambah pedih setiap kali mendengar permintaan dan harapan Nelly untuk bertemu dengan ibu bapa dan ahli keluarganya. Mujurlah Nelly sudah tidak boleh melihat. Jika tidak pastilah Nelly dapat raut wajahnya yang sedang berdalih dan terus-terusan menipu.
Benarlah kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Sama seperti hubungannya dengan Yasmeen. Dia hanya mampu merancang untuk hidup bersama dengan Yasmeen hingga hujung nyawa. Tetapi Allah takdirkan perjalanan mereka seperti ini.
Pernah satu hari tu ketika berada di kampung, emak menangis tepi pintu bilik selepas melihat dia solat dan mengaji selepas solat maghrib. Kata emak, bacaannya lancar dan buat hati rasa tenang ketika mendengar setiap patah bacaannya. Akhirnya mereka sama-sama menangis selepas itu
Emak, apabila Allah ingin bukakan pintu hati kita untuk berubah. Dia tidak pernah terlewat walau pun sesaat. Itu jugalah yang ustaz Halim pernah beritahu kepadanya ketika dia sedang menangis di hadapan pintu masjid. Alhamdulillah dia ditemukan dengan ustaz Halim, saat dia hilang arah.
Berbalik kepada soal Nelly, dia ikhlas menjaga Nelly atas dasar persahabatan. Sebagai seorang sahabat, dia juga tidak akan sekali-kali membuka aib Nelly dan bagaimana dia dihinggapi oleh Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) kerana mengamalkan seks bebas dengan pelbagai lelaki selepas mereka berpisah. Ralatnya dia dengan tindakan Nelly Tuhan aja yang tahu. Tetapi semuanya sudah ditakdirkan dan beginilah takdir kehidupan mereka berdua. Tetapi ini adalah rahsia yang dia akan simpan sampai mati.  
Hatinya belas dan sering kali dia menangis dalam diam apabila memikirkan segala kesilapan yang pernah dia lakukan.  Syukur kerana masih diberi kesempatan untuk kembali ke jalan yang benar dan bertaubat. Sedangkan Nelly, telah ditarik nikmat kesihatannya satu persatu. Ya Allah, terima kasih kerana memberikan aku peluang untuk sujud kepadaMu
Desahan suara Nelly yang sedang menahan kesakitan menyedarkannya dari lamunan. Kepalanya ditoleh memandang Nelly yang terbaring lesu.  Kulitnya sudah melepuh dan ada masanya berbau hanyir. Sudah tiba masanya untuk dia beritahu keluarga Nelly. Nelly sangat perlukan mereka pada saat-saat akhir seperti ini. Harapannya biarlah Nelly pergi di sisi keluarganya dalam keadaan yang tenang.
Pintu lungsur automatik terbuka sendiri dan dia melangkah keluar meninggalkan Nelly seketika. Hatinya semakin sayu mengingatkan keadaan Nelly tetapi dia perlu kuat untuk sahabatnya itu.

Nombor telefon bimbit abang sulung Nelly di dail. Pada mulanya, dia menerima reaksi negatif. Tetapi apabila dimaklumkan tentang keadaan Nelly yang nazak, barulah abang sulungnya hendak bertanya dengan lebih lanjut. Sebelum ini, dia memang tahu Nelly ada masalah dengan ahli keluarganya. Mereka memang tidak rapat sejak kecil, masing-masing sibuk dengan haluan sendiri.

Tuesday 10 February 2015

... dan Angin pun Berbisik (Prolog) ~ Adileah

PROLOG

Ariel memerhati dari dalam kereta yang dipandunya. Perkarangan mahkamah syariah masih lengang diawal pagi begini. Dia memandang jam di dashboard yang menunjukkan angka 8:00 pagi. Dari jauh dia memandang Yasmeen yang sedang melangkah keluar dari dalam kereta milik Aiman dan menuju ke arah kereta selang dua buah dari kereta Aiman. Dia kenal sangat, itu kereta Abah Yasmeen yang juga merupakan bapa mertuanya.
Ya Allah rindunya dia pada Yasmeen, sudah hampir setengah tahun mereka tidak berjumpa selepas kejadian ditikam dengan gunting oleh Nelly dan Yasmeen telah dimasukkan ke hospital. Semuanya kerana perasaan marah dan cemburu Nelly pada perkahwinan rahsia mereka.
Dari awal lagi dia sudah beritahu pada emak dan abah yang dia tidak setuju pada perkahwinan pilihan keluarga ini. Tetapi sebagai anak yang patuh, dia menurut juga permintaan mereka. Lagi-lagi apabila emak sudah mengambil kesempatan di atas kelemahannya. Dia tidak boleh lihat emak menangis!
Walau pun terpaksa dia terima juga pilihan emak dan abah tetapi siapa menyangka apabila dia sendiri tidak boleh menidakkan rasa cinta cinta yang hadir selepas itu. ‘perkahwinan paksa’ ini akhirnya menjadi perkara yang perkara yang paling membahagiakan sehinggalah rahsia mereka diketahui oleh Nelly. Nama pun satu pejabat, selama manalah mereka berdua dapat merahsiakannya daripada pengetahuan Nelly.
Akhirnya semua ini menjadi cerita yang paling ngeri dalam hidupnya apabila menerima surat peguam daripada Yasmeen . Perlukah kita melepaskan orang yang kita sayang supaya dia dapat hidup bahagia? Tangannya mengurut dahi. Sakit di kepala tidaklah separah sakit di hati.
Yasmeen, sudah terawatkah lukanya hingga tergamak menghantar surat peguam dan menuntut cerai. Inikah maknanya cinta pada Yasmeen?
“Cinta tu apa?”
Ya dia masih ingat soalan Yasmeen tentang maksud cinta. Lalu dia jawab dengan telusnya berdasarkan kepada penerangan yang dia dapat dari Kamus Dewan. Cinta itu bermaksud perasaan atau berperasaan sangat berahi antara lelaki dan perempuan.
Keluhannya dalam. Jadi ini bukanlah cinta Yasmeen kalau kita memilih untuk berpisah. Cinta, adalah apabila kita bersedia untuk menghadapi saat susah dan senang bersama. Jatuh dan dan bangun bersama. Bisik Ariel dalam hati. Songkok hitam disarungkan ke kepalanya. Yasmeen datang ditemani oleh Ibu, Abah dan Aiman. Dia pula hanya ditemani oleh seorang peguam syariah, encik Ibrahim.
Semalam, teruk dia dimarahi oleh Emak dan Abah. Bagi Yasmeen, cintanya sudah bertukar menjadi benci (itu yang dia fikir ketika surat tuntutan cerai Yasmeen sampai ke tangannya). Padanya pula, inilah tanda cinta darinya untuk Yasmeen. Dia mahu Yasmeen mencari bahagianya sendiri. Biarlah kebahagiaan Yasmeen itu nanti memberikan kebahagiaan kepadanya juga. Itulah yang dia harapkan, tetapi bolehkah dia bahagia dengan melepaskan Yasmeen?
Pintu kereta dibuka dan dia melangkah keluar. Hatinya berdebar kencang. Sebentar lagi, berakhirlah kisahnya dengan Yasmeen. Mungkin benar kata orang, setiap percakapan mereka adalah satu doa. Bukankah dia dan Yasmeen sendiri selalu bercakap soal cerai dan lihatlah hari ini menjadi buktinya.
“Assalamualaikum.” Sapa Ariel sambil bersalaman dengan Ibu dan Abah.
“Waalaikumussalam.” Jawab Haji Dzulkefli dan Hajah Fatimah.
Kemudian dia beralih kepada Yasmeen dan menghulurkan tangan. Ini adalah kali yang terakhir untuk mereka sebagai pasangan suami isteri. “Meen.” Panggil Ariel penuh kerinduan. Ya Allah, kuatkanlah hatiku. Doa Ariel dalam hati.
Yasmeen menyambut huluran tangan Ariel, untuk kali yang terakhir sebagai isteri kepada Ariel. Walau pun begitu dia masih enggan memandang Ariel, kepalanya ditolehkan ke arah lain, bimbang hatinya akan berubah.
Dia datang ke sini kerana hendak berpisah, bukannya hendak buat drama tangisan air mata. Terasa erat pegangan tangan Ariel. Hatinya goyah, tetapi cepat dia menarik pegangan tangannya daripada genggaman Ariel.
“Sudahlah Ariel.” Balas Yasmeen tanpa sedikit pun memandang ke arah Ariel.
“Maafkan I.” Pinta Ariel, mana tahu dia ada peluang untuk berbaik semula dengan Yasmeen. Dia sudah bersedia membuang jauh segala rasa malunya hanya untuk memiliki semula hati Yasmeen. Malah sejak surat tuntutan cerai ni sampai, sudah bermacam-macam cara dia buat untuk berhubung dengan Yasmeen, tetapi dia telah membina tembok tebal yang tinggi.
Yasmeen masih membuang pandang ke arah tempat meletak kereta dan beberapa kenderaan lain yang dipandu masuk. Suasana mahkamah syariah ini tidak pernah ada bahagia rasanya. Semuanya terasa suram atau lebih tepat tempat ini adalah tempat untuk berduka.
Ariel masih memandang Yasmeen, melepaskan rindu dan menyimpan seluruh kenangan terakhir yang dia ada tentang Yasmeen. Yasmeen nampak kurus, mungkin kesan daripada masalah yang melanda perhubungan mereka. Sudah sembuhkan luka di perutnya? Atau lukanya masih berdarah sama seperti hati Yasmeen yang keras tu?
Yasmeen merengus geram dengan karenah Ariel di hadapannya ini. Ariel yang asyik memandangnya sejak tadi tanpa segan silu dengan Abah dan Ibu yang ada bersama. Tolonglah Ariel... Yasmeen menarik nafas sedalam yang mungkin dan menghela nafasnya. Dia mahu semua ini berakhir dengan pantas. Dia hendak mulakan hidup baharu.



“Encik Ariel, puan Yasmeen. kita dah boleh masuk ni.” Encik Ibrahim bersuara memandangkan peguam daripada pihak si isteri, puan Latifah juga sudah ada bersama mereka.
Yasmeen berpelukan dengan ibu dan abahnya sebelum masuk ke dalam bilik perbicaraan. “Ibu dan abah, doakanlah yang terbaik untuk Meen.” Pinta Yasmeen. Restu ibu bapa adalah yang paling tulus. Itulah yang dia harapkan dalam keadaan yang seperti ini.
“Meen, dah tiba masa.” Aiman menegur. Bahu Yasmeen ditepuk perlahan. Definisi cinta Yasmeen nyata berbeza. Hukuman untuk Ariel katanya. Apa saja yang terbaik untuk kamu wahai teman. Bisik Aiman dalam hati. Dia sudah memberikan nasihat kepada Yasmeen, selebihnya Yasmeen sendirilah yang harus menentukan hala tuju hidupnya sendiri.
Ariel menoleh ke arah Yasmeen. Berkali-kali dikatakan kepada dirinya sendiri, bukan ini yang dia mahukan. Dia cuma mahu hidup bahagia dengan Yasmeen. Bukankah sebelum pergaduhan dengan Nelly itu, hubungan mereka sudah baik. Bukankah mereka sudah saling mencintai antara satu sama lain?
“Encik Ariel silakan.”
“Thanks Encik Ibrahim.” Ariel membetulkan songkok di kepala dan melangkah masuk mengekori encik Ibrahim dari belakang dan Yasmeen menyusul tidak lama selepas itu.
Bila perbicaraan ini sudah sedia sejuk terasa bagai pisau yang menoreh hatinya. Seperti mimpi ngeri apabila dia ke sini untuk melafazkan cerai. Selepas beberapa proses soal jawab akhirnya dalam nada yang tersekat-sekat dia melafazkan talak satu.
“Saya Muhammad Ariel bin Sazali, melepaskan Yasmeen binti Dzulkefli dengan talak satu.” Perlahan-lahan dia melafazkan talak ke atas Yasmeen dan ketika itu mata mereka berpandangan sesama sendiri.
Yasmeen mengesat air matanya yang mengalir perlahan. Tiada kata yang dapat dia sampaikan saat ini untuk menzahirkan betapa hatinya turut terluka.
Ariel sedang menahan perasaannya sendiri memandang mata Yasmeen yang bergenang itu. Ringan sahaja tangannya hendak memeluk Yasmeen dan melegakan segala kesedihannya. Yasmeen, punya tempat yang paling istimewa dalam hatinya. Walau pun selepas lafaz cerai, tempat untuk you tetap ada di situ. Ariel akhirnya mengesat air mata yang mengalir dengan jari telunjuknya.
Jika dia tahu sakitnya begini, pastilah dia akan jaga hati Yasmeen sebaik yang mungkin. Pasti dia akan lebih berani berhadapan dengan masalah dalam perhubungan mereka. Semuanya sudah terlambat Ariel. Langkah kakinya berat. Kepalanya terasa berdenyut. Dahi dirasai dengan telapak tangan, dia demam dan di saat ini dialah lelaki yang paling lemah.
Dalam langkah yang semakin lemah, Ariel melangkah ke keretanya. Satu yang dia belajar dalam hidupnya hari ini. Jangan pernah ego dalam soal cinta dan jujurlah dalam melafazkan kata cinta.



Dari dalam kereta milik Aiman. Yasmeen memandang Ariel yang melangkah lemah ke arah keretanya. Sesekali dia nampak Ariel melekapkan telapak tangannya ke dahi. Demamkah dia?
“Meen, kau okey?”
“Hah? Oh okey.” Okey ke Yasmeen? tergamaknya kau menuntut cerai kerana, kononnya itu adalah hukuman untuk setiap perbuatan Ariel.
“Yalah tu...”
“Ya aku okey.”
“Kalau okey, tak kanlah asyik pandang Ariel kat belakang tu.”
“Aku rasa dia tak sihat.” Yasmeen bersuara perlahan. Kasihannya Ariel demam, dia tu jarang sakit. Kalau dapat sakit, susah hendak baik. Agaknya siapalah yang boleh tengokkan dia kat rumah?
Telefon bimbit dicapai. Dia perlu beritahu pada Munira untuk tengokkan Alongnya tu. Aiman menegur ketika dia sedang menaip.
“Kau nak mesej siapa tu?”
“Angah.” Jawab Yasmeen tanpa sedar.
“Nak buat apa?” tegur Aiman geram dan suaranya sedikit tinggi.
“Tolong tengokkan Ariel, kesian dia kalau sorang-sorang kat rumah.”
“Kau tak payah nak cari pasallah Meen, kau yang mintak cerai... kau yang sombong tadi dan sekarang kau nak tunjukkan yang kau kisahkan pasal kesihatan Ariel.” Bebel Aiman geram. Tudung yang senget dibetulkan sedikit. Benci betul kalau pakai tudung kain satin yang begini, susah hendak lekat di kepala. Enjin kereta dihidupkan. Marahnya meluap-luap dengan sikap Yasmeen sejak pagi tadi. Degil tak boleh diajar. Paling dia benci adalah ego Yasmeen yang tinggi!
“Aku...” Yasmeen teragak-agak dan kata-kata Aiman tu masuk ke dalam hatinya. Kenapa dia rasa sangat sakit?
“Kau dah cerai Meen. Sedarlah sikit.” Bebel Aiman geram.
Yasmeen diam. Tiba-tiba hatinya berdetik cemas. Adakah ini yang dia mahukan? Adakah ini penyudah yang dia inginkan? Peluh merenek di dahi. Dia baru sedar betapa egonya dia dalam cinta! Yasmeen, kau dah buat kesalahan besar kerana menidakkan rasa cinta pada Ariel. Sekarang, semuanya sudah terlambat.

Monday 9 February 2015

Poskad (Bab 5) ~ Ednin

MAISA MENGHAMPIRI Nab dan kak Fatin sebaik saja taklimat selesai. Rata-ratanya semua peserta program Kembara sudah mula memulakan tugas masing-masing. Ahli Jawatankuasa Catering sudah mula bersilat di belakang balai untuk menyiapkan juadaha makan malam mereka nanti.
 Manakala beberapa peserta lelaki sudah ke kampung sebelah untuk mengambil barang-barang untuk diguna untuk program mereka keesokan hari. Semuanya tangkas bekerja. Mungkin sudah terbiasa mengikut program-program kemasyarakatan begini.
            Maisa memandang kawasan sekelilingnya. Kawasan penempatan orang asli itu bersih dan kemas. Rumah batu yang dibina oleh kerajaan itu cukup untuk mereka meneruskan hidup.
            “Rumah ni mereka baru dapat, Ais. Kalau dulu penduduk kampung ni duduk di atas bukit sana… rumah berlantaikan buloh tapi dah dapat pampasan dari JKR bila JKR bina highway. Ini first time jugak kak Fatin datang rumah baru diorang ni…”
            Maisa mengangguk faham. Dia ada juga membaca berita mengenai itu di media masa. Tak sangka pulak, dia sendiri dapat datang dan melihat perkampungan orang asli ini.
            “Alhamdulilah… kemudahan cukup. Ada balai, ada surau… dengar kata nanti nak buat padang permainan…”
            “Surau? Diorang ni orang Islam ye kak?”
            Kak Fatin tersenyum mengangguk. “Majoriti penduduk kampung ni orang Islam… tu ha… abe Ubin tu… kak Fatin sendiri saksikan pengislaman dia dua tahun lepas.  Salah satu kenangan manis kak Fatin dengan penduduk kg leryar ni.” Jari kak Fatin dihalakan kepada seorang lelaki lebih kurang dalam usia60-an yang sedang bersembang dengan abang Azli.
            “Itulah tugas kita, Ais. Kita datang sini bukan saja nak suka-suka enjoy. Nak popular ke apa ke… kitadatang sini adalah untuk jadi superhero…” Nab mengangkat tangan kanannya. Konon-kononnya mahu menunjukkan betapa superheronya dia.
            “Superhero?”
            “Yellah superhero. Superhero ummah. Kalau superman, misinya menyelamatkan dunia. Kita punya misi menyelamatkan ummah…” Semangat Nab bersuara. Penduduk di sini memerlukan mereka sebenarnya.
            “Betul tu! Kita datang sini nak membantu mereka ni. Ramai rata-ratanya mereka ini Islam tapi ilmu Islam mereka terbatas. Sekaligus,kalau ada program ni kita boleh tunjuk ajar mana yang patut, bantu apa yang perlu…”
            Maisa menelan air liur. Terasa berat pula program ini di fikiran Maisa. Ingatkan program ini ringkas macam aktiviti sukaneka yang dia selalu buat masa di sekolah menengah dulu. Ini dah bersangkut dengan berdakwah ni… Dia bukannya dari sekolah agama seperti kak Fatin dengan Nab.
            “Jangan risau… Ais gunakan je apa kepakaran Ais. Kalau ikut modul, program ini kan banyak aktiviti kan? Bukannya nak sampaikan beauty of Islam je. Kan ada aktiviti sukan, ada kelas-kelas insentif untuk subjek sekolah, ada aktiviti kesihatan… tapi di samping tu kita boleh terapkan dengan nilai-nilai Islam kan?”
            Maisa mengangguk faham. Betul juga apa yang kak Fatin cakap tu. Islam itukan merangkumi pelbagai bidang. Bukan hanya ustaz saja yang boleh berbicara pasal Islam. Orang psikologi macam Nab, atau kejuteraan macam kak Fatin hatta si seni bina macam dia pun boleh berdakwah dalam cara masing-masing.
            “Berat juga kerja ni ye kak Fatin…”
            “Berat tu untuk langkah pertama je, Ais… lepas ni aku gerenti mesti kau nak datang lagi.” Nab menyampaikan pengalamannya. Dulu masa dia mahu ikut program ini pun dia rasa berat juga. Rasa tak bersedia… bolehkah dia? Mampu ke? Tapi semua halangan itu dia tolak tepi. Sekarang setiap semester dia akan datang ke sini. Tambah-tambah lagi bila sudah ada keluarga angkat. Rasa bertanggungjawab pula untuk turun ke sini. Rindunya berlabuh pada abe Apan dengan amek Rina dan adik-adik angkatnya.
            Maisa diam. Matanya memandang gunung di hadapan mereka. Betul ke ni?
            Nab tergelak. Tangannya memukul bahu Maisa. Maisa ni cepat cuak betul!
            “Jangan risau. Kau tak berseorangan kat sini. Kau ada whole family to begin with… kami semua ni kan family kau…”
            Maisa membuat muka. Yellah tu, Nab. Padahal kalau diikutkan modul dan tentatif. Dia dengan Nab bakal berpisah nanti. Nab akan bertugas sebagai fasilitator untuk kanak-kanak sekolah rendah manakala dia pula bakal mengambil kelas sekolah menengah.
            “Jom kita berziarah!” Kak Fatin tiba-tiba bersuara. Kertas modul yang setia dalam tangannya itu dilipat dua lalu diletakkan ke dalam poket seluar.
            “Rumah mana kita nak pergi dulu Nab?”
            Nab tersengih kerang. “Rumah Nab ye kak Fatin. Nab tak sabar nak jumpa amek Rina dengan adik-adik ni… tadi jumpa abe Apan dia kata amek Rina dah lahirkan baby baru! Ish tak sabar nihhh…”
            Nasib baik tadi sebelum sampai Nab sudah menerangkan term-term yang sering digunakan oleh ahli-ahli Kembara di sini. Ziarah itu maksudnya aktiviti melawat dan berkunjung ke rumah-rumah orang Asli. Sambil itu, ahli-ahli program akan cuba menerapkan nilai-nilai Islam semasa melawat mereka. Manakala amek pula adalah panggilan untuk emak manakala abe pula adalah panggilan untuk ayah.
“Oiii cik kak. Kau dok berangan apa! Jom jom tengok adik baru aku…” tangan Nab sudah merangkul tangan Maisa. Terpaksa Maisa menonong mengikut dua gadis yang nampak gayanya tak sabar-sabar nak berziarah.
Maisa tersenyum. Bangganya Maisa punya kawan yang sifat kemanusiaan mereka tinggi begini.
Syukur ya Allah untuk kurniaanMu ini.
           
 
 
“OI LAMBATNYAkakak aku datang ni…” Suara Mustaqim, pelajar jurusan farmasi itu bergema di rumah kecil itu. Dua pasang mata yang duduk di sebelahnya lantas teralih pada tiga gadis yang baru saja masuk ke dalam rumah.
            “Kau diamlah Qim. Kitorang tolong budak catering potong sayur jap tadi. Mana dia adik kita Qim?” Nab menonong masuk ke dalam rumah selepas memberi salam. Matanya melilau mencari ibu angkatnya. Dia dengan Mustaqim dulu dijadikan anak angkat oleh keluarga amek Rina ini.
            “Amek Rina baru je letak dia dalam bilik. Baby baru tidur…”
            Senyuman Nab berubah segaris. Baru saja semangat dia nak mendukung si kecil yang tak salahnya mesti sudah berusia tiga bulan.
            “Pandai ya kamu Qim. Pandai-pandai saja…” Suara amek Rina menyahut dari dapur. Mustaqim tersenyum monkey. Aduh amek ni, tak sempat dia nak usik ‘kakak’nya ini.
“Ini ha babynya. Amek tadi pergi buat susu untuk Huda…” Amek Rina datang dari arah dapur dengan bayi perempuan di dalam dukungannya.
            Nab sudah menyeringai memandang Mustaqim. Geram! Mustaqim ini memang terkenal dengan perangainya yang kaki usik. Ada saja telatah dan usikannya. Selalunya, memang Nablah yang bakal menjadi mangsa usikannya. Dulu pernah sekali dia letakkan katak di dalam kasut Nab. Riuh satu kampung mendengar jeritan Nab, yang sememangnya semulajadi high pitching tu!
            “Huda ye nama dia amek? Nab ambil ye amek?” Nab sudah datang mendekati amek yang baru mengambil tempat di ruang tamu.
            “Ehh ini ahli baru juga ye?” tanya amek Rina bila Maisa selesai bersalam dengannya.
            Maisa mengangguk. “Nama saya Maisa, amek. Amek panggil je Ais.”
            “Ohhhhh….” tiba-tiba ada satu suara yang menyambung dari belakang. Lantas Maisa berpusing ke belakang, melihat Ihsan yang sudah membuat gaya ‘peace’ kepadanya.          
“Ini amek Rina. Mari sini amek kenalkan Ais dengan anak-anak amek. Nanti Ais ajar mereka ya… amek tak pandai…” Suara amek Rina kedengaran sayu di telinganya.
            “Ini Agus, paling tua. Tingkatan 4.” Agus yang duduk di sebelah Ihsan hanya memandang Maisa. “Lepas tu Anuar, tingkatan 1. Kamalia pula darjah enam… Amalina darjah lima… Heliza darjah tiga... Rashid darjah satu… Iwan tiga tahun… dan yang si bongsu ni, Huda.”
            Maisa mengangguk faham. Matanya menilik wajah anak-anak amek Rina. Semuanya hampir seiras amek Rina dan juga abe Apan. Mata mereka bulat, kulit mereka gelap dan rambut pula lurus dan hampir coklat warnanya.
Dari anggaran Maisa, amek Rina masih lagi kelihatan muda. Kalau ikutkan matanya, mungkin berusia pertengahan 30-an tapi sudah mempunyai anak yang besar dan ramai. Mungkin budaya orang Asli kut untuk berkahwin dalam usia muda dan mempunyai anak-anak yang ramai begini.
“Amek… kami balik dululah macam tu. Kut-kut boleh tolong diorang pasang khemah untuk esok. Malam nanti amek datanglah. Kita maghrib berjemaah sekali. Kamu Agus pun kena datang, bawa adik-adik… abang tunggu tau! Kalau datang, esok pagi kita main bola sepak…” Abang Azli sudah bangun dari duduknya. Mustaqim dan Ihsan juga turut ikut serta. Agus sudah menunjukkan ibu jarinya. Dengar saja perkataan ‘bola sepak’ dari mulut abang Azli, terus terbuka luas mata Anuar dan Agus.
Amek Rina mengangguk faham. “Nanti amek ikut sekali kalau Huda tidur awal…”
            “Insha-Allah, amek…” tegur Nab di sebelah amek.
            Perkataan Insha-Allah itu kan bermaksud dengan izin Allah. Tak salah kalau kita nak menyebut Insha-Allah setiap kali kita mahu membuat perjanjian atau perancangan. Bukankah apa yang yang berlaku semuanya dengan keizinan Allah. Dan bukankah lebih indah kalau setiap perancangan kita disertakan dengan keizinan dan rahmat Allah? Itulah fungsinya lafaz Insha-Allah pada setiap langkah dan perancangan yang kita mahu lakukan.
            “Yallah, amek lupa. Insha-Allah, Lee.”
            Abang Azli tersenyum lalu meminta diri untuk pulang. Agus dan Anuar turut mengikut ketiga-tiga lelaki itu keluar. Kini hanya ada mereka bertiga saja di ruang tamu dengan amek Rina, Huda dan Heliza, anak amek yang darjah tiga.
            “Amek rindu Nabilah tak amek?” Nab bersuara sambil tangannya mengagah Huda diribanya.
            Amek tersenyum. “Amek rindu nak dengar Nab bercerita…”
            Nab tersenyum. Kak Fatin pun. Maisa hanya menjadi penonton di situ. Nak menyampuk pun dia tak tahu apa-apa.
            “Kisah Nabi Ibrahim nak tak, amek? Lagipun nak dekat dah dengan musim haji ni. Nanti Nabilah boleh ceritakan pasal ibadah haji pada amek…”
            Amek Rina mengangguk. Wajah itu sudah bercahaya mahu mendengar kisah-kisah nabi.Heliza yang sedang bermain di depan pintu turut juga mendekati ameknya. Tak berapa lama kemudian, Nabilah mula bercerita pada lima perempuan di hadapannya.
            Maisa yang baru pertama kali di situ tersentuh melihat situasi di hadapannya. Kisah-kisah nabi dan rasul yang mereka hadam sejak dari sekolah rendah ini rupa-rupanya masih ada yang tidak tahu.

            Ya Allah, betullah kata Nab tadi. Mereka perlukan kita…

Thursday 5 February 2015

Si Dia dari Boston (Bab 5) ~ Norliza Baharom

Haninah sudah pun serba-sedikit berkemas barang-barang yang mana perlu dibawa ke Boston. Satu beg pakaiannya sudah penuh dan disorong ke bawah katil buat sementara waktu. Passport dan visa sudah diperolehi, tersemat kemas di dalam beg sandangnya – digantungkan di tepi dinding. Kapal terbangnya akan berlepas pada hari Rabu minggu depan. Hari itu hari Sabtu.  Ibu dan abahnya masih belum tahu, namun dia bercadang untuk memberitahu abahnya petang nanti, selepas dia pulang dari bendang.
            Kini dia berasa sedikit teruja untuk melawat negara asing itu bersama Ainun. Kadang-kadang dia tersenyum sendirian membayangkan Boston sepertimana yang diceritakan oleh Ainun dan seperti yang dilihatnya di gambar-gambar dalam internet. Mungkin benar kata Ainun, berada di tempat yang asing buat seketika mungkin mampu menghembuskan sedikit semangat untuknya. Dia lantas membisikkan doa ke hadrat Ilahi agar harapannya itu dimakbulkan.
            Kedengaran di luar motosikal buruk abahnya sudah menjerit di halaman rumah. Baru pukul 12, menandakan abahnya sengaja pulang awal hari ini untuk makan tengahari bersama-sama. Lebih senang kalau memberitahu mereka semasa makan nanti, fikir Haninah. Haninah bergegas ke dapur, membantu emaknya menghidangkan makanan.
            Dia duduk bersetentangan dengan abahnya di meja makan. Lelaki tua berumur lebih 60 tahun itu sedang bersemangat menceritakan bagaimana tanah kebun kelapa sawitnya yang satu ini mencatat jualan rekod berbanding bulan-bulan lain.
“Dekat 3 tan bulan ni. Cuaca hujan panas macam ni lah yang baik sekali. Kalau dah masuk musim hujan nanti dah tak dapat macam ni.” sambil makan, dia sibuk mengomel.
Haninah menambahkan sesenduk lagi nasi ke dalam pinggan Pak Ngah Hamdan sambil dia masih lagi asyik bercerita tentang kebun kelapa sawitnya itu.
“Abah,” potong Haninah untuk memulakan bicara.
Ayahnya mengangkat muka. “Hmm… kenapa?” tanyanya sambil mulut masih lagi perlahan-lahan mengunyah makanan.
“Ninah nak minta kebenaran abah ni. Si Ainun, dia nak berjumpa dengan tunangnya Umar. Jadi dia mengajak saya untuk menemankan dia. Sekarang ni si Umar masih di  –”
Sedang Haninah berkata-kata, kedengaran bunyi deruman kereta di luar rumah. Kuat dan jelas. Setiap kepala memaling ke arah bunyi itu. Kereta itu kedengarannya diletak benar-benar di hadapan rumah.
“Biar abah tengok sekejap.” kata abahnya yang sudahpun selesai makan dan membasuh tangannya. Haninah mengeluh kecewa. Hampir benar dia hendak memberitahu, ada pula yang mengganggu.
Tidak lama ayahnya keluar kedengaran bunyi riuh rendah dengan suara-suara yang sangat dikenali Haninah. Suara kanak-kanak kecil bercakap kuat dan satu suara lelaki dewasa yang memang sangat dikenalinya.
Abang sulongnya, Azam yang tinggal di Terengganu.
Dan benar seperti yang dijangka, muka abang sulungnya muncul di hadapan pintu dapur disusuli tiga orang anaknya yang kelihatan lebih kurang sebaya, serta isterinya Latifah.
Kenapa pula balik waktu begini? Leter Haninah di dalam benaknya. Sekarang bukannya Deepavali, atau Raya Cina, atau Raya Puasa. Biasanya mereka tak akan balik hujung minggu begini. Terengganu bukannya dekat, fikirnya lagi.
Ketiga-tiga anak Azam yang masing-masing berumur 3, 6, dan 8 tahun meluru ke arah nenek mereka di meja makan, menjerit “Nenek! Nenek!”. Mak Ngah Rafidah kelihatan terkejut bercampur gembira menerima tubuh-tubuh kecil itu di dalam dakapannya. Diusap-usapnya kepala cucu-cucunya sambil dia tersenyum lebar.
            Kak Latifah yang bertudung biru muda dan berbaju kurung merah menghulurkan tangannya dan disambut oleh Haninah. Dia tidak berkata apa-apa, dan wajah biasa yang ditunjukkan tiap kali datang ke sini. Suram dan tidak teruja. Bahkan lebih sugul dari biasa. Begitu juga ekspresi wajahnya bila dia bersalam dengan ibu mertuanya.
“Mak.” sapanya, seperti terpaksa. Tidak pun bertanya khabar walau sepatah. Kelihatan jelas riak jauh hati di wajah Mak Ngah Rafidah. Membuatkan Haninah juga mempunyai perasaan yang sama setiap kali dia melihat kakak iparnya itu. Tersinggung.
            Latifah kemudian terus duduk di salah satu kerusi di meja makan itu, hanya memandang ke arah suaminya dan bapa mertuanya yang masih lagi berbual-bual.
            Itu jugalah sebabnya mengapa Haninah merasa pelik kenapa tiba-tiba sahaja mereka terjenguk di sini tanpa diduga; memberitahu terlebih dahulu pun tidak. Kakak iparnya itu seperti selalu, suam-suam kuku sahaja. Biasanya mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak perlu pulang menjenguk. Kadang-kadang bila ada cuti panjang pun mereka akan mengelak dengan berbagai alasan.
Abang Longnya itu pun sama, dua kali lima. Jarang sekali hendak memikirkan tentang orang tua. Melainkan kalau ada pertolongan yang diperlukannya. Sudah berapa kali pulang semata-mata hendak meminjam wang dari abahnya. Tiada maksud lain.
             Satu perkara yang mengecewakan Haninah ialah betapa senangnya abahnya ‘membeli’ apa sahaja yang ‘dijual’ oleh abang sulungnya itu. Tidak kiralah apa pun cerita dari abang Long yang sampai, mudah sangat percaya. Jika tidak percaya pun, mudah sangat kasihan, mudah sangat akur untuk membantu.
Maka abangnya itu tidak pernah mendapat balasan dan pengajaran. Tidak pernah mengenal erti susah yang sebenar-benarnya. Oleh itu tidak pernah hendak belajar untuk berdikari. Setiap kali dia terhantuk dan terngadah, ada sahaja tangan yang sedia memangkunya.  Memikirkan tentang itu, hati Haninah mendidih geram.
Namun bila difikirkan semula, itulah lumrahnya hati seorang ayah. Seburuk-buruk mana pun, tetap anaknya juga. Takkan sampai hatinya membiarkan anak sendiri tercungap-cungap dan tergapai-gapai, tiada haluan.
            Setelah bersalam dengannya dan ibunya, abang Longnya duduk di meja makan. Di situ jelas kelihatan wajahnya kusut, letih dan tidak bermaya. Mesti ada sesuatu yang tak kena lagi, fikir Haninah di dalam benaknya. Dia bingkas bangun membuatkan air minuman untuk tetamu yang baru sampai itu.
“Sebenarnya abah, emak, saya sudah lama dibuang kerja. Sudah masuk tiga bulan.” Azam membuka cerita. Wajahnya ditundukkan ke meja makan.  Haninah tidak terkejut mendengar kata-katanya.
Mak Ngah Rafidah beristighfar. 
“Kenapa Long?” dia bertanya kepada anaknya.
“Susah saya nak jelaskan, Mak. Panjang ceritanya. Senang cerita, saya dikhianat di tempat kerja.” jelas Azam dengan perlahan dan teragak-agak. Isterinya hanya memandangnya dengan wajah kosong dan muram. Pak Ngah Hamdan menggeleng-gelengkan kepala. Keluhan panjang dilepaskannya.
Haninah menjeling ke arah abangnya, cuba membaca air muka lelaki itu. Mungkin ada benarnya abangnya itu dikhianat. Tetapi kalau difikirkan akan sikap panas baran abangnya itu yang kadang-kadang boleh membawa kepada konflik dan salah faham, masalah selalunya berpunca darinya sendiri.
Haninah menghidangkan air minuman di atas meja sambil telinganya peka mendengar.
“Saya juga ada masalah nak membayar sewa rumah di Paka tu. Mana nak membayar kereta lagi, api air. Anak sekolah lagi. Jadi, nak minta kebenaran abah dan emak buat sementara waktu ni supaya kami dapat tinggal di sini, sampai saya dapat kerja yang lain.” sambung Azam, tunduk.  Isterinya kelihatan tidak senang duduk di atas kerusinya. Anak-anak mereka sudah pun riuh rendah bermain di luar rumah, tidak menyedari segala masalah yang menimpa ibubapa mereka.
Suasana di dalam dapur hening buat seketika.
            “Banyak sangat masalah kau ni Azam. Lepas satu, satu yang aku dengar.” Pak Ngah Hamdan bersuara. Jelas yang dia sendiri sudah penat dibebani oleh masalah anak sulungnya itu. Azam mendengar dengan wajah mencuka.
“Aku dengar dari orang kampung ni, kau ada berhutang dengan dua tiga orang lagi di sini. Masih belum langsai. Betul ke?” tambah Pak Ngah Hamdan lagi.
            Azam terkedu dengan pertanyaan itu. Mulutnya terbuka seperti hendak mengatakan sesuatu. Tetapi dibatalkan niatnya, terpaksa membenarkan apa yang dikatakan oleh abahnya itu.
Pak Ngah Hamdan menggeleng kepala. Mak Ngah Rafidah kelihatan seperti hendak menangis.
“Macam inilah.” sambung Pak Ngah Hamdan setelah beberapa lama berfikir.
“Kamu dan keluarga kamu boleh tinggal di sini, dengan syarat kamu tolong aku bekerja di kebun sawit dan sawah padi yang ada beberapa petak lagi tu. Upah yang aku berikan pada kamu, kamu gunakan untuk keluarga kamu dan beransur-ansur kamu bayar hutang-hutang lapuk kamu tu.”
Mendengar kata putus abahnya itu, Azam mengangguk-angguk perlahan.
Begitulah kalau sudah terdesak, detik hati Haninah. Akhirnya sanggup juga memegang tanah dan lumpur. Kalau sebelum ini cakap dan lagaknya sentiasa gah. Kalau tidak memakai tali leher dan baju kemeja, bukan kerja namanya. Begitulah kalau Tuhan mahu mengajar, tidak perlu menunggu lama.
Haninah juga dapat melihat wajah terdesak dan keterpaksaan kakak iparnya. Mungkin kakak iparnya itulah yang paling merasa tersepit dengan masalah ini. Masakan tidak, terpaksa menumpang ihsan daripada orang-orang ‘asing’ yang tidak pernah digemarinya.
            Haninah yakin, sudah tentu abang Long dan kak Latifah sudah pun cuba meminta tolong daripada keluarga sebelah kakak iparnya. Cuma setakat yang dia tahu, keluarga kak Latifah itu pun bukan orang-orang senang. Rumah pun hanya rumah papan kecil, tidak mampu menampung kedatangan orang baru.
            Namun terdetik di hati Haninah simpati akan anak-anak saudaranya yang masih kecil itu. Memikirkan mereka, Haninah cuba bersikap redha.
            Setelah beberapa ketika, Haninah tersedar daripada gelumang masalah yang dibawa oleh abangnya dan menyedari masalahnya sendiri kini yang semakin terbeban. Lantas dia bergegas meminta diri masuk ke bilik tidur. Tanpa bertangguh dia menyambar telefon bimbit yang terletak di atas katil dan  mula mendail.

“Wa”alaikumussalam.” dia menjawab salam yang sudah pun diberikan menerusi corong telefon itu.
“Ainun, aku ada masalah besar ni.”
“Apa dia?” Ainun bertanya.
“Abang Long aku, ada di sini.”
“Bila pula dia balik? Kenapa kau tak cakap dengan abah kau awal-awal?”
“Aku sedang bercakap dengan abah akulah tadi tu, tiba-tiba sahaja dia sampai. Tak sempat nak bagitau.”
“Bila dia balik semula ke Paka?”
“Dia takkan balik.”
“Hah!?”
Lantas Haninah menceritakan berita terbaru tentang abangnya itu.
“Macammana ni Ainun?” tanyanya lagi meminta nasihat.
“Aku pun pening kepala juga Ninah. Walaupun aku tak duduk serumah dengan kau, faham benar aku dengan abang Azam tu. Dari kecil aku kenal perangai dia. Suka sangat dia mencari pasal dengan kau. Ingat lagi aku masa arwah Zahid mula-mula datang beraya dulu, disoal-siasatnya arwah tu bagaikan pegawai polis menyoal penjenayah. Minta maaflah, terus-terang aku sendiri memang tak berkenan dengan sikap abang Azam tu.” kata Ainun dengan sedikit rasa bersalah.
“Itu engkau. Aku ni? Setiap kali dia di sini aku rasa nak menjinjit beg keluar dari rumah ni, kau tau!” balas Haninah, panas hati. Hatinya bergolak resah.
            Haninah memang tidak pernah serasi dengan abangnya yang sulung itu. Azam sentiasa mahu menimbulkan kemarahan hatinya. Sangat suka mengambil tahu dan masuk campur perihal peribadinya lebih dari yang perlu. Mentang-mentang dia abang yang paling tua. Memikirkan yang dia akan tinggal di rumah ini membuatkan Haninah berasa lebih tidak senang hati.
Selain Azam, Haninah mempunyai dua orang lagi abang yang masing-masing sudah berkerja dan berkeluarga – Abang Langnya, Hasbi berada di hujung semenanjung, di Gua Musang, Kelantan. Abang Ngahnya, Khairul pula tinggal nun jauh di Singapura, kerana peluang bekerja sebagai pensyarah di sebuah Universiti di sana tidak dapat ditolaknya.
 Jarang kedua-dua abangnya itu pulang ke kampung atas alasan jarak yang jauh itu. Tambahan pula abang Longnya kini sudah tinggal di sini, Haninah yakin mereka bertambah gembira kerana tidak perlu pulang selalu.
 Walaupun hubungan Haninah dengan dua lagi abangnya itu tidaklah serapat mana, dan kadang-kadang dia sendiri berasa kecil hati melihat sikap endah tak endah mereka dalam mengambil berat soal orang tua, namun tidaklah sampai dia mempunyai perasaan yang sama seperti perasaannya terhadap Azam. Azam memang seolah-olah tidak pernah menganggap dirinya sebagai adik. Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, bagi Azam Haninah terlalu dimanjakan oleh kedua-dua ibubapa mereka.
Pada masa yang sama, Haninah merasakan yang dia akan mempunyai masalah untuk mendapatkan izin abahnya supaya dia boleh ke Boston. Abangnya mungkin akan masuk campur. Sudah menjadi fitrah Azam untuk sentiasa membuat orang lain mendengar pendapatnya, dan jika tidak diterima, naik anginlah dia. Bagi abangnya itu, Haninah perlu patuh mendengar cakapnya sama seperti dia perlu patuh kepada kedua-dua orang tuanya.
“Emm.. aku tak suka nak menghasut kau, tapi bagaimana kalau kau menipu sikit?” cadang Ainun secara tiba-tiba. Haninah tersentak, tetapi tidak dinafikan yang dia ada juga memikirkan perkara yang sama.
“Maksud kau?”
“Kau cakaplah yang kau hendak menemankan aku ke KL saja selama beberapa hari, tak perlu cakap yang kita hendak ke Amerika…” jelas Ainun.
“Kalau dia bertanya bagaimana? Aku tak mahu menipu abah dan emak aku, Ainun. Tak tenang hati aku di sana nanti. Lagipun bayangkan kalau apa-apa jadi. Masalah besar nanti..” jawab Haninah.  Dia merasa serba salah.
“Aku faham, betul juga tu. Susah macam ni...” keluh Ainun. Masing-masing terdiam sebentar di gagang telefon. Kedengaran suara riuh-rendah anak-anak saudaranya yang masih lagi belum berhenti bermain.
 “Beginilah, kau cakap sajalah pada abah kau. Tak perlu nak mereka-reka cerita. Kalau dia bagi, bagilah. Kalau kau tak dapat pergi, aku tak marah. Jangan risau semua tu. Yang penting, hati kita senang.” sambung Ainun.
“Betul ke ni?” tanya Haninah kepada sahabat baiknya itu. Terfikir dia akan passport dan visa yang sudah pun dibuat dan dibayar oleh tunang sahabatnya itu.
“Betul. Aku tak kisah. Kau cuba je dulu, minta kebenaran dari abah kau. Baca doa banyak-banyak sebelum tu.” nasihat Ainun.
“Baiklah.” jawab Haninah perlahan.

            Di suatu petang di luar rumah, Azam sedang duduk di atas kerusi rotan sambil melihat anak-anaknya berkejar-kejaran di atas tanah halaman yang lapang dan tidak berumput. Kelihatan beberapa ekor ayam jiran sedang mematuk-matuk di tanah, mencari makan.
 Pak Ngah Hamdan sedang duduk di gigi tangga, membersihkan tapak kasut berkebunnya yang dilekati lumpur tebal lebih seinci. Dia mahu ke kebun lagi, menjenguk pekerja-pekerja yang sedang menguruskan tandan-tandan sawitnya.
“Macam mana dengan si Haninah tu bah? Dah habis sedihnya?” tanya Azam tiba-tiba, kepada Pak Ngah Hamdan.
“Entahlah, macam itu juga.” jawab Pak Ngah Hamdan pendek sambil dia meneruskan kerjanya.
“Tak mahu kahwin ke dia?” tanya Azam lagi.
“Tak mahu katanya. Dah jenuh aku dan mak kau mencarikan calon. Dia memang tak nak. Menangis dia kalau dipaksa sangat.” Pak Ngah Hamdan mengeluh. “Biarlah dia. Kalau dipaksa-paksa pun dia tak mahu, nak buat apa. Kalau sampai masanya nanti, kahwinlah dia.” tambahnya lagi sambil dia menyarungkan kasuh getah ke kaki. Tongkat motosikal dinaikkannya, sudah bersedia untuk pergi.
“Mengada-ngada si Haninah tu.” bisik Azam kepada dirinya sendiri.
            Matanya masih lagi memandang ke arah anak-anaknya yang sedang bermain. Pak Ngah Hamdan menghidupkan enjin motosikalnya lalu bergerak pergi ke kebun. Asap berkepul-kepul tinggal terawang-awang di tengah laman. Memang sudah rutinnya pergi ke kebun waktu-waktu begini dan pulang semula sebelum waktu makan tengahari.
“Naufal!” tiba-tiba Azam melaung nama anaknya yang paling tua. Tanpa membuang masa anak yang berumur 8 tahun itu berlari ke arah bapanya, patuh.
“Pergi panggil Ucu Ninah di dalam bilik.” Azam menyuruh sambil memandang anaknya itu dengan pandangan yang tajam.
Naufal pun terus berlari masuk menuju ke bilik Haninah dan mengetuk-ngetuk pintu.
Sejurus Haninah membuka pintu, melihat anak saudaranya tercegat, mendongak dan memandang ke arahnya.
“Kenapa, Naufal?” tanyanya lembut.
“Ucu Ninah, ayah panggil.” sampainya ringkas, selaku utusan.
Haninah mengerutkan dahi. “Ayah nak apa?” dia bertanya, dengan sedikit nada jengkel.
“Tak tahu.” jawab Naufal sambil mengangkat bahu, lantas berlari pergi. Dia tidak sabar hendak menyambung mainnya yang tergendala.
Haninah menarik nafas panjang dan kuat. Betapa dia malas untuk bersemuka dengan abangnya itu. 
Apalah yang dia nak kali ni, fikirnya. Dia mengenakan tudung kepalanya dengan malas lalu berjalan keluar, menutup pintu biliknya lalu menuju ke beranda.
            Azam masih lagi duduk di tempat yang sama dengan sepuntung rokok ditangannya yang sudah separuh jalan dihisap. Haninah datang dan melabuhkan punggung di bahagian paling hujung kerusi rotan itu. Tidak langsung memandang ke arah abangnya, ditetapkan wajahnya ke hadapan melihat tiga anak saudaranya yang sedang bermain kejar-kejar.
“Ada apa Long?” tanyanya dengan nada serius.
“Along dengar abah dan emak banyak kali cuba mencarikan kau jodoh.”
Haninah hanya diam membisu. Bibirnya digetap, menahan marah yang tiba-tiba membuak. Isu itu baginya tiada orang lain di rumah ini yang layak membincangkan dengannya melainkan emak dan abahnya.
“Along bukannya apa, sudah lama dah rasanya arwah kawan kau tu meninggal dunia. Kesian dekat emak dan abah tu, ke hulu ke hilir mencarikan calon yang sesuai buat kau. Fikirkanlah perasaan mereka.” kata Azam. Nada suaranya, bagi Haninah, hanyalah nada mengambil berat yang palsu, dibuat-buat. Hanya untuk menyakitkan hatinya.
            Memang dasar tak sedar diri, kutuk Haninah di dalam hati. Kalau abangnya itu benar-benar mengambil berat tentang perasaan ibu dan bapa mereka, sudah tentu dia tak akan berada di sini, meminta abahnya menampung hidup dia dan keluarganya. Sampai tua dan beranak-pinak pun masih mengharapkan kudrat ibubapa. Hutang yang keliling pinggang itu pun mengharapkan orang tua juga yang melangsaikan. Apakah itu kalau bukan sikap hipokrit!
“Bang Long, soal jodoh saya biarlah saya fikirkan sendiri dan bincangkan bersama emak dan abah. Orang lain tak perlulah risau. Saya bukan berniat sedikit pun nak menyusahkan hati emak dan abah. Namun setahun peninggalan arwah bagi saya tak sama dengan setahun bagi orang lain.” Haninah membalas, walaupun niat dihatinya mahu menyumpah seranah abangnya itu. Marahnya itu hampir tidak tertahan lagi; abangnya itu tidak menunggu lama untuk cuba menyakitkan hatinya.
“Sebelum bang Long hendak memberikan pendapat, saya harap bang Long memikirkan juga tentang perasaan saya.” tambah Ninah, jelas dan tegas.
Azam berganjak sedikit di tempat duduknya, menampakkan yang dia tersinggung dengan jawapan dari Haninah itu. Puntung rokok di tangannya didekatkan lagi ke mulut dan disedut dalam-dalam.
Haninah sedar benar akan sebab mengapa abangnya itu begitu membencikannya. Ini kerana dalam hidup Azam, hanya Haninah seorang sahaja selain bapanya yang berani bercanggah pendapat dengannya. Haninah seorang sahaja yang sanggup bertegang leher mempertahankan hak-haknya sekiranya dia mendapati Azam cuba menggunakan kuasanya sebagai abang yang paling tua untuk masuk campur.
Isteri dan anak-anaknya terpaksa patuh sentiasa dek kerana sikapnya yang suka mengugut dan membentak itu. Haninah merasakan kelebihan yang dimilikinya pada waktu itu hanyalah kerana dia perempuan – ada sedikit rasa malu abangnya untuk berkeras, dan ibubapanya masih ada untuk membela. Jika dia lelaki, sudah lama penampar sulung abangnya itu hinggap di pipinya berkali-kali.
Abang Ngah dan abang Langnya sendiri pun sentiasa mengelak dari bersanggah dengan Along mereka. Pendek kata, mereka lebih senang terus sahaja mengelak dari bertemu dengannya. Makin jaranglah abang-abangnya itu balik ke kampung nanti, fikir Haninah.
“Aku tak kisah. Cuma nanti yang susah kamu, Ninah. Membujang sampai ke tua. Dipandang serong oleh orang kampung. Takkan kamu nak mengharapkan emak dan abah menampung kamu sampai mati?” sambung Azam pula, pedas.
Telinga Haninah berdesing. Kata-kata abangnya itu baginya sungguh biadap.
“Agaknya bang Long lupa, yang selepas saya habis belajar nanti, saya boleh mencari kerja dan hidup sendiri.” Haninah memandang Azam tepat dimukanya buat pertama kali. Dadanya berombak kencang.
“Rezeki datang dari Allah - bukan bang Long atau orang lain yang tentukan. Bahkan rezeki bang Long sekarang ni pun saya lihat sudah semakin sempit. Mungkin bang Long perlu muhasabah diri dulu, jangan risau soal saya. Insya-Allah saya mampu berdikari dan membayar hutang saya sendiri.” dia menangkis lagi dengan jawapan yang sinis. Diselitkannya juga sindiran dengan harapan abangnya itu dapat menyedari. Senang benar habis sabarnya bila terpaksa berhadapan dengan manusia yang kurang akal sebegini.
Azam menegakkan badannya seperti ular tedung selar yang sedia mematuk mangsa.
“Memanglah kau ni adik yang kurang ajar!” selar Azam. Puntung rokok di tangannya yang sudah pendek dilenyek-lenyekkan di dalam bekas abu rokok di hadapannya.
“Walau saya berpangkat adik, tak semestinya saya yang kurang ajar.” balas Haninah pula.
“Aku cuma nak menasihatkan kau. Bukannya nak mendengar kau mengutuk dan menyindir aku pula!”
“Kalau nasihat itu sendiri dalam bentuk kutukan dan sindiran, bang Long ingat saya nak mendengar saja, menerima?” bangkang Haninah.
“Biadap!” bentak Alongnya, pada satu ketika tangannya menggenggam penumbuk. Namun tanpa berbuat apa-apa, dia terus meninggalkan Haninah menuju ke dalam rumah, masuk ke dalam bilik tidurnya dan menghempaskan pintu. Mungkin hendak melepaskan pula rasa marah dan tidak puas hatinya di hadapan isterinya pula.
            Haninah menggigil geram. Tangannya sendiri sedang berbuku seperti sedia untuk membalas serangan abangnya sekiranya ia terjadi. Air matanya bergenang dek kerana marah.
Dia juga bangun dan berjalan laju menuju balik ke ke biliknya. Hampir-hampir dia menghempaskan pintu bilik ketika menutupnya. Namun mengenangkan ibunya yang berada di dapur mungkin terkejut, dia menahan diri.
 Dia ingat aku ni hamba abdinya, boleh diteriak, dibentak sesuka hati? Dengan bini dan anak-anaknya bolehlah! Haninah membentak di dalam hati. Telefon bimbit yang sebelum itu di dalam genggamannya dibaling ke atas katil. Dia duduk di hujung katil dan mula menangis. Cuba menenangkan semula hatinya yang telah terkacau oleh kezaliman abangnya sendiri.
Setelah tangisnya reda, dia mengangkat muka. Sekarang nekadnya bertambah kuat untuk mengikut Ainun pergi ke Boston. Seribu kali lebih baik daripada terperangkap di dalam rumah ini bersama dengan abangnya. Apa yang perlu dilakukannya kini hanyalah menunggu abahnya pulang dari bekerja.

*
Haninah sengaja menunggu masa di mana Azam ada bersama sekali dengan abahnya di ruang tamu itu, selepas semua selesai makan malam. Tujuannya supaya nanti ketika dia sedang sibuk berkemas dan hendak pergi, Azam tidak sibuk mengambil tahu dan mempersoalkannya.
“Abah,  Insyaallah hari Rabu ni, Ninah akan pergi menemankan Ainun, ada program cuti untuk budak-budak Universiti selama dua minggu.” Haninah membuka bicara. Ibu jari kanannya berlaga dengan ibu jari kirinya, mengawal gemuruh.
“Di mana?” tanya ayahnya sambil menyapu-nyapu perutnya yang sudah kenyang.
“Di KL, di kampus.” jawab Haninah. Rasa bersalah kerana terpaksa menipu abahnya menyengat tajam di sanubari. Berat untuk dia melakukannya tetapi telahpun dinekadkan di dalam hati. Dirinya berasa berdosa, namun dia sanggup melakukannya semata-mata tidak mahu memandang muka abang sulungnya terlalu lama.
 Azam memasang telinga tetapi tidak sekali pun menoleh ke arahnya – berkat pertelingkahan tadi.
“Abah jangan risau, ayah Ainun akan menghantar kami nanti terus ke KL.” tambah Haninah lagi, sedikit teragak-agak.
Abahnya menganggukkan kepala, setuju. Azam diam sahaja membatu sambil matanya melekat di kaca televisyen yang sedang menyiarkan berita.
“Nak duit belanja ke?” tanya abahnya tiba-tiba.
“Err, boleh juga sedikit.” jawab Haninah.
            Pak Ngah Hamdan mengeluarkan beberapa keping wang kertas 50 ringgit dan menghulurkannya kepada Haninah. Azam melihat dengan ekor matanya.
“Terima kasih, bah.” ucap Haninah sambil mencium tangan abahnya, terharu.