Tuesday 13 October 2015

Dona Karan Penang (Bab 5) ~ Fatihah Pauzihal

Kak Jah mundar mandir di dalam bilik yang dikongsi bersama Zurin dan Rohaida. Dia risaukan Farah. Kebanyakan kawan-kawannya sudah mula bercerita tentang Farah. Dia tidak suka mendengar cerita-cerita agak negatif sebegitu. Baginya adik-adik yang menyewa bersama-samanya di apartmen Desa Universiti adalah ibarat adik-adiknya sendiri. Sebagai ketua yang dilantik secara tidak rasmi oleh penghuni apartmen 8-9-8  itu, dia rasa bertanggungjawab.
                Dia teringatkan kata-kata abang Syuk Auw yang kononnya, Farah berbaik dengan Rezal sebab nak duit Rezal saja. Mariam Tan pun ada bercerita yang Farah kononnya marah-marah dekat Rezal di Kafe kotak depan orang ramai. Siap bercerita, Rezal menangis lagi. Rohaida pula beritahu yang dia pernah nampak Farah naik kereta perodua kembara yang Rezal baru beli. Ish, pening dia memikirkan tentang ini. Setahu dia, Farah bukan berperangai sebegitu.
                Mulanya dia tidak percaya. Ye lah, masa Farah bercinta-cinta dengan Jandur dulu, paling banyak pun sekali seminggu je dia keluar. Itu pun berteman. Kalau tersalah lambat sikit, dia pasti menelefon rumah. Adab-adab di jaganya dengan baik. Walaupun budak tu berpewatakan agak kasar sedikit, tapi dia tahu menjaga batas susila. Biasanya dia payah nak melayan lelaki. Kenapa dia jadi macam tu ya? Kalaulah semua tu fitnah, takkanlah semua orang dengki dan cemburu dengannya? Kenapa? Motif apa? Dia tu serba sederhana. Bukan anak orang kaya pun. Bukan cantik sangat pun. Bukan baik sangat pun. Ish....
                “Assalamualaikum!” Pintu bilik tempat kak Jah berjalan mundar mandir di kuak sedikit.
                “Waalaikumussalam. Ha, Farah, masuklah,” Farah senyum dan berjalan masuk ke bilik. Kak Jah kemudiannya duduk bersila di atas tikar mengkuang milik Zurin. Farah turut bersila.
                “Ada apa ni kak Jah?” Kak Jah menarik nafas panjang, kemudian dia senyum. Dia menarik tangan Farah dan menepuk-nepuk perlahan belakang tangan Farah dengan tapak tangan. Dia perlu penuh hikmah agar tiada salah faham dan terguris rasa.
                “Farah dah makan?” Farah mengangguk.
Bukan ke mereka makan bersama tadi? Giliran Bali dan Zurin yang masak hari ini. Hari minggu memang mereka akan bergilir memasak.   
                “Farah sihat?” Farah angguk lagi.
Apa kena dengan kak Jah ni. Pantas Farah menarik tangan dari pegangan kak Jah dan melekapkan tangannya ke dahi kak Jah. Tak panas pun. Tak demam ni, tapi buang tabiat ke apa kak Jah ni?
                Kak Jah ketawa kecil dengan kelakuan Farah itu.
                “Akak ni nak kata demam, tidak. Period ke? Atau terkena simptom pra-haid” Kak Jah gelak lagi.
                “Tak.. akak nak tanya sikit ni. Tapi, Farah jangan ambil hati pulak ye?” Farah angguk.
                “Farah sedih lagi pasal Jandur tu?” Farah geleng kepala.
Memang pada luarannya dia sudah tidak merasa apa-apa perasaan lagi pada ‘Jantan Durjana’ tu, tapi hakikatnya, tak tahulah. Rasanya, kalaulah Jandur tu duda anak 4, mungkin dia akan berfikir juga walaupun sedikit untuk menerimanya. Tapi Jandur tu sudah sah sah suami orang, jadi dia memang tidak akan berkompromi. Biarlah dia kecewa pun, yang penting dia bukan peruntuh rumahtangga orang lain!
                “Farah dah ada pengganti?” Farah geleng sekali lagi.
                “Tak mainlah cinta-cintan ni kak. Cukuplah tersilap langkah sekali. Malas arr nak layan!” Tiba-tiba dia nampak Jandur senyum. Ish... pergi jauh-jauh...
                “Tak adalah... kawan lelaki yang Farah selalu jumpa tu?” Farah mengerutkan dahinya tanda dia sedang berfikir.
                “Sape? Roswadi si Gajah Gila tu? Abang Basri? Shamir? La, dia orang tu kan satu kuliah. Shamir tu sedara saya kak,”
Farah gelak kecil sendirian. Dia teringatkan rahsia Roswadi, rakan sekuliahnya yang pecah berderai kelmarin. Kononnya menggunakan nama ‘Gajah Gila’ semasa berchatting dalam laman sembang MIRC, sebab nak mengorat salah seorang rakan sekuliah mereka juga. Akhirnya tembelang pecah dan Farahlah yang tukang pecahkan rahsia itu bila dia menyamar sebab nak menolong sahabatnya itu. Farah menarik balik gelak ketawanya apabila dia melihat wajah Kak Jah yang serius. Wanita itu menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Wajahnya masih tidak puas hati.
                “ Rezal ke kak?” Farah nampak wajah Kak Jah berubah sebaik sahaja dia menyebut nama Rezal.
“Dia tu tak betul kak... Rasanya penyakit keturunan kot..” Farah menyambung ayat bila memandang wajah ingin tahu dan tidak puas hati kak Jah.
“Tak baik dik cakap macam tu,” Farah tutup mulut. Memang kadang-kadang mulut dia celupar tapi dia  tak bermaksud pun untuk menghina Rezal.
“Farah suka dekat dia?” Farah buka mata seluasnya. Pantas dia mengelengkan kepala.
“Farah rasa, Rezal tu salah faham kak.” Kak Jah diam. Dia mahu mendengar dari mulut Farah sendiri adakah benar apa yang dia dengar dari sahabat-sahabatnya yang lain.
“Dia tu kawan tak sengaja je kak,” Kak Jah kerutkan dahi kemudian dia senyum kecil apabila Farah sudah mula bercerita tentang lelaki skima anak orang kaya yang dia langsung tidak ada hati kepadanya itu!           
“Macam ni lah Farah. Bukan kak Jah larang Farah nak kawan dengan sesiapa pun. Tapi, Farah kena hati-hati. Kita tak tahu, mungkin ada orang yang tak suka kita berkawan dengan orang tu atau mungkin orang dah salah anggap? ” Farah angguk beberapa kali.
                “Farah kena hati-hati dik. Yang lepas tu lepaslah. Jangan pula kita nak balas dendam atas apa yang orang lain lakukan kepada orang lain!”
Walaupun kurang mengerti bicara dari Kak Jah namun Farah mengangguk kecil. Tanda dia menghormati gadis itu yang sudah dianggap sebagai kakaknya dan ketua di rumah yang mereka kongsi bersama itu.
                “Dah lah... pergilah Farah nak tengok tv ke, nak tidur ke. Ingat pesan akak ye dik?” Kak Jah menggosok perlahan rambut Farah yang lurus itu sambil tersenyum.
                Farah bangun dari bersila dan berjalan keluar dari bilik itu. Telinganya masih terngiang-ngiang lagi kata-kata kak Jah.
                “Farah kena hati-hati dik. Yang lepas tu lepaslah. Jangan pula kita nak balas dendam atas apa yang orang lain lakukan kepada orang lain!” Aku nak balas dendam kat siapa?
**************************************************************************

                Farah melunjurkan kakinya ke depan. Dia duduk di atas batu di Visi Rock, di atas bukit, berhampiran dengan bangunan Hal Ehwal Pelajar. Dari Visi Rock dapat di lihat mercu tanda Pulau Pinang dengan jelas iaitu KOMTAR. Jambatan Pulau Pinang juga jelas kelihatan. Sesekali menenangkan diri di situ, hilang sedikit rasa resah.
                “Jahatkah aku?” Farah bermonolog sendiri. 
                “Aku nak balas dendam ke?”
Farah memintal-mintal hujung tudung bawal warna biru tua yang dipakainya. Dia teringatkan kata-kata kak Jah beberapa hari yang lepas.
Dia bangun, berjalan di balik batuan yang tersusun. Langit mendung tapi tidak menunjukkan tanda-tanda hendak hujan. Pukul 6.30 petang, sepatutnya dia sudah berada di rumah tapi entah kenapa, sebaik sahaja selesai solat Asar di bilik sahabat sekuliahnya, Afida, di Desasiswa Bakti tadi, dia melencongkan motosikalnya ke sini.
                “Masihkah aku kecewa?” Dia pun tidak pasti dengan perasaannya sendiri. Kecewa memanglah kecewa. Siapa yang tak kecewa bila harapan sudah di beri dan di terima. Jiwa yang kosong sudah terisi. Kasih mula menggamit sedikit demi sedikit. Tunas kasih sudah mula bercambah. Malah bunga-bunga cinta.... bunga-bunga cinta? Uwek!.... apa yang aku jiwangkan ni?
                Tiba-tiba saja Farah mengelengkan kepala beberapa kali, laju.  Kemudian dia mendongak ke langit, menyedut udara yang masih lagi segar dan bersih kerana kehijauan yang sentiasa di jaga di kawasan ini. Dia bangun dan berdiri di atas batu.
                Tiada sesiapa pun di sini waktu ini. Mungkin sebab cuti yang diberikan kerajaan bersambung dengan hari minggu bermula esok, jadi ramai yang sudah pulang ke kampung sehabis kuliah. Begitulah kebiasaannya. Kalau tidak, masih ada lagi pengunjung yang sedang berjiwang karat di atas kawasan Visi Rock ni. Dulu, ramai juga pasangan yang memadu asmara di sini. Tapi sejak kawalan keselamatan di ketatkan, dan sudah ramai pasangan-pasangan yang di tangkap, sudah tak nampak lagi couple-couple berdua di sini. Kalau nak berdating pun, pasti membawa beberapa orang teman lain. Dia pun pernah sekali datang ke sini dengan Jandur. Masa tu ada Fini, Zurin dan Bali sama. Mereka berkelah makan pizza. Seronok juga mengenangkan saat itu.
                “Farah!” hampir terlompat, dia sudah mula terhuyung hayang di atas batu yang dia berdiri. Ada satu tangan memegang bahunya sebelum sempat dia jatuh. Pantas di tepisnya tangan itu dan dia menjauh sedikit.
                “Rezal? Kau buat apa kat sini?”
Rezal yang memakai jeans biru dan baju t berkolar tersengih di hadapannya kini. Entah bila mamat ni memerhatikannya, dia pun tak pasti.
                “Sebenarnya... saya ikut awak dari tadi lagi. Saya perhatikan awak. Saya rindulah kat awak....” Apa? Rezal mula menghampirinya.
                “Satu hari saya tak nampak muka awak. Saya dah tak tahan menanggung rindu ni,”
Ya Allah, Farah rasa seperti semua nasi goreng yang dimakan di kafetaria Desasiswa Bakti tadi  mahu terhambur keluar. Dia memang alergi dengan mamat sorang ni. Dengan cermin mata bingkai hitam tebalnya itu, rambut yang di sikat rapi dan berminyak, baju berkolar yang di butangkan sepenuhnya. Ya Tuhan... kenapa dia rasa macam perutnya memulas-mulas?
                “Rezal, baik kau pergi, kalau tak...” Rezal sengih meleret. Dia semakin mendekat. Tak tahulah kenapa lelaki itu menjadi seberani itu. Biasanya dia tak melawan, ikut saja setiap kata-kata Farah.
                “Rezal, baik kau pergi dari sini... nanti aku...”
                “Nanti apa? Awak nak buat apa? Orang tak ada ni Farah, kita berdua saja ni...” Entah kenapa Farah rasa seram sejuk. Sudahlah tak nampak pun kenderaan melalui kawasan ni. Rezal semakin mendekat. Tanpa berfikir panjang lagi, Farah memberikan satu hayunan pancung yang dipelajarinya dalam seni silat gayung, ke dada lelaki itu sebelum sempat tangan lelaki itu memegang lengannya. Bukan itu saja, dia turut melompat dari batu, kemudian memberikan satu tumbukan padu di wajah lelaki itu, hingga lelaki itu jatuh terlentang ke belakang. Sebelum dia hilang kewarasan, dan dia hilang rasa simpati, takut-takut masuk ICU si mamat skima ni, terus dia berlari pantas menuju ke motosikalnya.
                Beberapa kali dia menghentak pedal motosikal namun enjin tak dapat di hidupkan. Dia terpaling-paling ke belakang. Dadanya berombak kencang tatkala dia ternampak Rezal terhincut-hincut kian menghampirinya. Di sudut bibir lelaki itu ada darah.
                “Farah.... tunggu!”
Hormon adrenalin yang dirembeskan oleh kalenjar endokrin yang dikenali sebagai kalenjar adrenal  dalam badannya mula mengalir bila kelibat Rezal tinggal beberapa kaki sahaja. Lelaki itu senyum sambil meludah air ludah yang bercampur darah ke tanah. Farah terbayangkan filem yang pernah ditontonnya satu waktu dulu. Begitulah caranya seorang perogol bersiri mendekati mangsanya. Nampak baik, pendiam dan skema, tetapi sebenarnya seorang psikopat. Separa sedar, Farah menolak motosikalnya dengan kaki  ke tengah jalan yang agak curam. Entah mengapa, dia begitu takut tika ini...
                “Farah... tunggu,”
                “Farah!!!”

                “Gedegang!” Farah sudah tercampak ke jalan berturap tar!

Tuesday 6 October 2015

Lilin (Bab 5) ~ Ainul Farihah

5 RAZI. 11.40 AM.
“Pang…” Zahid mencuri panggil Aliff dengan suara yang direndahkan. Sekali-sekala dia menjeling ke arah Teacher Zarinah yang sedang membantu pelajar perempuan menjawab soalan subjek Matematik Tambahan itu. Seperti biasa, suasana akan bertukar sepi bila semua pelajar baru mula buat latihan yang diberi.
Bila masa berlalu dan fikiran makin berselirat serta rasa nak muntah selesaikan soalan Matematik Tambahan tapi tak dapat-dapat jawapan, kebisingan akan mula menguasai. Pelajar yang jenis tekad memang akan istiqamah buat sampai dapat. Sayangnya, tak ramai yang jenis macam tu dalam kelas ni.
“Pang…” seru Zahid lagi.
Aliff menoleh, mengangkat kening sebelah.
“Kejut Zuhair tu..” Telunjuknya menghala ke arah Zuhair yang wajahnya kini selamat mencium meja, lelap dengan lenanya. Aliff malas-malas menepuk perlahan belakang Zuhair. Nampak sangat Aliff pun tengah muka tahan mengantuk.
Zahid cuma sengih.
“Haa…sengih sorang-sorang tu kenapa?” Hadri menyiku di sebelah. Zahid menjuihkan bibir ke arah bahagian tempat duduk Zuhair.
“Dah macam Zombie buat addmath dah aku tengok,” Hadri ketawa kecil. Mana tidaknya, tengok tangan Aliff dan Pa’an macam nak tak nak je pegang kalkulator dan pensil tekan. Zuhair memang dah selamat dah ‘syahid’ atas meja. Cuma Umar yang bersemangat buat latihan. Umar punya kepala memang pakar bab kira-kira.
“Haa..mengumpat, ingat aku tak dengar?” Laju Umar menoleh ke arah Hadri.
Hadri gelak kecil sambil geleng-geleng. “Kau zombie ke?”.
“Kurang ajar,” Sengih Umar sambil acu penumbuk.
“UMAR!”
Suara Teacher Zarinah yang tidaklah kuat mana, tapi cukup untuk seisi kelas menumpukan pandangan ke arah Umar. “Dah siap ke belum?”.
“Lagi satu soalan, teacher,” Dengan bangganya dia jawab. Kira cepatlah tu dia jawab sampai tinggal satu je lagi soalan bila mana dia lihat rata-rata masih tersekat pada tiga soalan terawal. Teacher Zarinah membalas dengan anggukan sambil memberi isyarat tangan menyuruhnya menyiapkan saki baki soalan yang belum dijawab.
Tatkala pandangan guru itu beralih pula pada Hadri yang ternyata telah memusingkan badannya menghadap ke kawasan tempat duduk Umar, Hadri dengan muka tidak bersalah melambai dengan senyum lebar. Zahid pula lekas berpura-pura menumpukan perhatian. Dalam diam, dia masih lagi menjeling Zuhair yang tidak berganjak dari posisinya. Aliff pula kejap-kejap menepuk Zuhair, kemudian meneruskan kerjanya.
“Dah siap, Hadri?”.
On the way, teacher,” Hadri mengekalkan senyuman lebar dengan riak tidak bersalah. Tangan yang tadinya melambai kini menuding ke arah buku latihan.
“Kalau stuck, minta tolong Umar tu,” Ternyata kepandaian Umar dalam subjek tersebut mendapat pengiktirafan rasmi dari guru veteran Matematik Tambahan tersebut. Setelah yakin Teacher Zarinah sudah mengalihkan pandangannya ke arah lain, Umar dan Hadri kembali saling berpandangan. Zahid juga kembali menoleh ke arah Umar. Umar buat muka berlagak.
“Sampai mana dah?”.
“Aku tengah stuck sebenarnya…” Hadri garu belakang leher sambil senyum gigit bibir. “Nak tolong?”.
“Ceh,” Umar angkat kening dua kali.
“Tolonglah…” Hadri pula buat muka kesian.
Zahid langsung tidak menyampuk. Kalau ikutkan, Umar, Aliff, Pa’an dan teman rapat mereka yang lain-lain sebenarnya sporting je dengan teman-teman yang lain. Cuma siapa yang cari pasal, memang kena lah jawabnya. Mula keluar taring mereka.
Bukan tidak pernah mereka di barisan pengawas ni berperang dahsyat dengan Aliff dan lain-lain. Waktu-waktu biasa mereka okay, ‘sempoi’, dan sporting je. Bila sampai situasi yang melibatkan peraturan sekolah atau asrama, mereka di barisan pengawas ni hakikatnya tidak boleh lari daripada menjalankan amanah. Ada masa mereka boleh bertolak ansur dan ada masanya mereka terpaksa bertegas. Bila masuk bab bertegas tu yang bibit-bibit permulaan perang akan tercetus.
Dalam ramai-ramai, cuma Zuhair yang agak berbeza dari rakan-rakannya. Dia memang jenis kurang bergaul dengan orang yang tidak dirapatinya sangat. Apatah lagi kalau dengan pengawas, memang boleh dilabel tahap allergi dengan pelajar-pelajar berbaju oren ini. Secara zahirnya, Zuhairlah paling susah untuk dirapati.
Zahid menghela nafas. Entah kenapa, sejak awal tahun ini, dia tertarik untuk mengambil berat tentang manusia yang seorang itu. Walaupun seringkali dimaki, ditengking, dibuat tidak endah dan sebagainya, ada satu bahagian dalam hatinya yang terus mendorong agar dia mendekati pelajar tersebut.
Ada segelintir yang mengatakan usahanya cumalah sia-sia kerana sudah empat tahun Zuhair bersekolah di situ, seperti itu jugalah perangainya. Ada sebahagian juga yang memberinya dorongan untuk merapati Zuhair, dan baginya, mereka-mereka ini sama sepertinya. Melihat bahawa masih ada sinar harapan untuk seorang Zuhair berubah walaupun pada tahun terakhir di sekolah tersebut.
Zahid menarik nafas dalam-dalam kemudian menghembuskannya perlahan dengan tenang. Setiap kali terfikirkan hal yang satu itu, dia akan akhirinya dengan mendoakan dalam hati supaya Zuhair akan terbuka hati suatu hari nanti. Maka setelah kata-kata dalam hati mengungkap doa sebagai harapan, dia kembali melakukan kerjanya. Hadri dah selamat tarik kerusi beralih ke meja Umar sebab nak selesaikan soalan yang agak payah.
Sementara itu….
“Apa lagi kau ni….?” Kedengaran Zuhair bersuara meskipun mukanya tersembam ke permukaan meja. Kali ini tangan Aliff yang menepuk belakang badannya dialihkan. Dia toleh ke arah Aliff yang duduk di sebelahnya dalam keadaan kepala mengiring di atas meja.
Pergh…mata Aliff yang sepet tu pun dah macam tak boleh nak buka dah…. Zuhair sengih dengan mata yang terbuka cuma sebentar, kemudiannya kembali dipejamkan.
“Kawan baik kau tu haa…suruh kejut kau,” Sekilas, Aliff memberi isyarat mata menunjuk ke arah Zahid namun tidak kelihatan oleh Zuhair yang terpejam matanya.
“Kawan baik mana pula….?”.
“Zahid Arrazin,”.
Terus berkerut dahi Zuhair walau cuma sebentar. Dia buat-buat tidak dengar. “Kau dah buat sampai mana, dowh?”.
“Ada la sikit,” Aliff menjawab. “Dah la…kau bangun la pula.. Penat aku tengok kau tidur,”.
Zuhair sengih lagi tanpa membuka mata.  “Siapa suruh tengok? Tidurlah,”.
Aliff goyangkan kepala gaya macam orang tak berapa nak waras. Bila malas nak layan Zuhair, begitu sahajalah responnya. Melihatkan Aliff yang mengendahkan saranannya, dia buka mata, memandang tepat ke arah tangan  temannya itu yang tidak henti mencuba dan mencuba menjawab latihan yang diberi.
“Sampahlah tajuk Intergration ni…” rungutnya.
Aliff sengih. “Linear Law hari tu pun kau kata sampah. Semua topik sampah bagi kau, weyh…”.
“Fizik tak, okay… Bahasa arab pun…. Okay apa.. English tu sampah betul,” komennya. Kepala masih selamat berada di atas meja.
Aliff menggeleng tanpa memandang Zuhair. “Subjek kau suka boleh la kau cakap bukan sampah. Kau fikir SPM ni kau exam dua tiga subjek yang kau suka?.. ‘Bapak’ kau menteri pendidikan rupanya,”.
“Diam kau…” Mata kembali dipejam.
Dijelingnya rakan di sebelah yang sudah kembali memejamkan mata. Aliff cuma sengih. Fizik memang subjek kegemaran Zuhair. Seteruk-teruk kawannya ini, bukan dia benci semua benda yang berkaitan dengan pelajaran sebenarnya. Bagi Zuhair yang dikenalinya, apa yang memutarbelitkan fikiran, dia jadi malas nak fikir. Fizik digemari Zuhair sebab konsep dan aplikasinya lebih dekat dengan hidup.
Physics is all about how things work…
Cuma bahagian paling pelik adalah Zuhair amat skor subjek Bahasa Arab. Itu memang satu benda yang dikira paling ‘pelik binti ajaib bin magik’ tentang Zuhair Amir yang satu batch sedia maklum. Tatkala Bahasa Arab menjadi subjek bahasa yang paling digeruni semua orang sebab boleh dikira killer subject, Zuhair dikatakan jawab peperiksaan untuk subjek itu macam petik jari.
Terbukti waktu peperiksaan, bila hampir semua orang terkumat-kamit dan ada yang rasa nak muntah hafal karangan, Zuhair paling selamba siap boleh tidur sementara tunggu peperiksaan Bahasa Arab bermula. Tidak cukup dengan itu, tempoh yang diberi untuk menjawab kertas soalan Bahasa Arab yang melibatkan karangan merupakan tempoh peperiksaan paling panjang, iaitu dua jam setengah atau tiga jam.
Zuhair Amir, minit ke empat puluh dah cabut keluar.
Sehingga hari ini, dia pun tak tahu macam mana kepala Zuhair ni boleh cepat tangkap kalau pelajaran Bahasa Arab. Pelajar-pelajar lain pun ada yang cuba korek rahsia daripada temannya itu, namun katanya; ‘belajar je la elok-elok..’. Zuhair pun bukan kedekut ilmu sangat, kalau diminta berkongsi, dia layan je.
“Woi….aku rasa teacher dah pandang sini lah…” Aliff menyiku Zuhair tatkala anak matanya menangkap kelibat Teacher Zarinah berpusing ke arah mereka.
“Hmmm…”.
Aliff hela nafas. Kejap lagi kena la tu…
“ZUHAIR AMIR!!”.
Kan dah kena….
****



Hari ini hari Isnin. Hari yang paling tidak digemarinya dalam kelima-lima hari dia berkhidmat sebagai guru. Sebab hari ini merupakan hari yang paling ramai pelajar akan hantar buku latihan yang diberi tempoh seminggu untuk disiapkan. Setiap pagi Isnin je, mula la bertimbun buku-buku latihan daripada beberapa kelas yang diajarnya.
Maka bila nak balik pun, kena la angkut sebanyak yang mampu untuk dibawa pulang ke rumah. Kereta kalau parking dekat dengan bilik guru tu boleh la cerita tapi sekolah ni besar tak agak. Boleh kurus ulang alik dari sayap timur ke sayap barat sekolah. Ada la dekat 800 meter.
Mahu atau tidak, Teacher Sophia melangkah keluar dari bilik guru dengan beg tangan di bahu kanan, beserta dua beg kain yang mengandungi buku-buku latihan di tangan kanan dan kiri. Boleh -tahan juga beratnya. Kawasan dataran perlu direntasi sebelum tiba di kawasan letak kenderaan berbumbung yang terletak di hadapan padang sekolah.
Tatkala melintasi kolam ikan yang terletak di hadapan tangga bangunan tersebut, satu suara menyapa dengan nada teragak-agak.
“Err…teacher…” Zuhair menegur dalam posisi duduk di bangku batu menghadap meja bulat yang terletak betul-betul di sebelah kolam ikan tersebut. Teacher Sophia menghentikan langkahnya, menoleh.
Sejak bila pula dia ada dekat sini…. “Yes, Zuhair?”.
May I help you…” Seakannya Zuhair mahu menyambung lagi ayatnya, namun dia tahu pelajarnya itu kehilangan kata-kata. Lekas Zuhair menghabiskan ayatnya itu dengan isyarat tangan, menunjuk ke arah beg kain yang dibawanya.
“Oh, you want to help me carry these?” Teacher Sophia mengangkat sedikit kedua-dua tangannya.
Laju Zuhair mengangguk.
Yes, you may…” ujar Teacher Sophia. Zuhair terus membisu meskipun kedua-dua beg kain yang agak berat itu kini sudah bertukar tangan. “Wait here, okay. I want to take some other things,”.
Dengan dua kali anggukan, Teacher Sophia menghilang kembali ke dalam bilik guru yang berada berhampiran.
Setelah guru bahasa inggerisnya menghilang dari pandangan, Zuhair menggetap bibir.
Habisla…speaking tunggang terbalik lagi la aku hari ni… Suara dalam hati sudah mula merungut. Dengan guru lain seperti Teacher Zarinah si guru Addmath, Cikgu Sai si guru Bio dan segala macam lagi guru yang mengajar dalam bahasa inggeris, dia kira boleh layan lagi kalau nak berdalih dengan mereka.
Tapi sekali dengan cikgu bahasa inggeris yang seorang ini, memang haram la nak cakap bahasa ibunda. Tersasul atau sengaja cakap bahasa melayu sekalipun, teacher akan balas balik dalam bahasa inggeris. Kadang-kadang tu, teacher memang buat-buat tak faham kalau ada pelajar yang cakap bahasa melayu. Tapi teacher layan je kalau rojak sekalipun, asalkan mencuba.
Nak dengar teacher cakap bahasa melayu, boleh dengar dekat bilik guru je yakni sewaktu teacher bersembang dengan guru-guru lain. Dah tu, dapat pula Teacher Sophia tu sebagai guru kelasnya tahun ini. Dia pula yang paling banyak buat hal dalam kelas, jadinya kadang-kadang dia diam sebab tak tahu nak jawab apa. Kalau kesalahan berjema’ah dengan rakan-rakannya, kira okey sebab si Pa’an memang jenis muka tembok buat rojak bahasa inggeris dan melayu ikut sesedap rasanya.
Sampai satu tahap, kalau teacher tersasul walau cuma sepatah perkataan bahasa melayu, satu kelas akan gelak dan bertepuk sakan. Teacher pun gelak sekali sebab tak sangka boleh tersasul. Itu baru satu patah perkataan, kalau satu ayat memang terbaik habis la. Boleh jadi setahun sekali dengar teacher cakap satu ayat penuh bahasa melayu.
Nampak tak kemahalan bahasa melayu pada guru bahasa inggerisnya ini?
Anak muridnya harus berbicara dengannya dalam bahasa inggeris di mana sahaja, dalam kelas atau di luar. Tiada kompromi.
Kerana pendirian teacher yang itu membuatkan pelajar akan berani untuk cuba bercakap dalam bahasa inggeris, biarpun tak selicin gelongsor atau sesedap rojak sebenar. English or rojak, you choose. Dua-dua teacher layan. Rojak tu pun boleh kira lagi baik daripada cakap bahasa melayu penuh.  Zuhair sengih membayangkan kalau guru bahasa arabnya, Ustaz Saudi atau mana-mana guru bahasa arab buat pendirian macam tu juga.
Pergh…mesti power…Masya-Allah. Subhanallah.
Shall we?” Suara Teacher Sophia mematikan lamunannya. Tanpa menunggu respon Zuhair, Teacher Sophia melangkah terlebih dahulu. Zuhair cepat-cepat menyembunyikan sengih lalu membuntuti gurunya itu. Baru beberapa langkah, dia sedar Teacher Sophia memperlahankan langkah untuk berjalan seiringannya.
Mereka kini melintasi kawasan dataran sekolah. Bahang panas mentari terasa. Suasana hingar-bingar. Sunyi dan kecoh yang tidak seberapa. Kawasan kantin yang terletak tidak jauh dari situ dipenuhi dengan pelajar-pelajar luar (pelajar yang tidak menghuni asrama), sedang menanti untuk dijemput pulang ke rumah.
I thought you have preparation class right now, are’nt you?”.
“Haaa?” Zuhair toleh memandang Teacher Sophia.
Preparation class, Zuhair. Prep.”.
“Oh, prep..” Dia tunduk, memandang jalan tar tersebut. “Hmm..”. Lalu dia mengangguk setelah tidak tahu respon apa yang perlu diberi.
Sepi cuma seketika.
“Ponteng, teacher,” jujur dia berkata.
“Hmm?” Mula dah gurunya itu buat nada tidak faham.
Zuhair menghela nafas berat lalu buat kali keduanya, dia menoleh ke arah gurunya itu. “Teacher, can we speak in malay?”
Hah. Ayat itu dia dapat tuturkan dengan lancar. Sebab dah berapa kali minta sejak dua tahun lepas, mentah-mentah kena tolak. Lepas itu dia tidak minta lagi. Diam atau jawab mana yang mampu. Kalau nak minta atau jelaskan apa-apa, guna tangan sebagai bahasa isyarat. Kalau tidak, dengan mandat ‘taiko’nya dia rembat je sesiapa yang ada di situ jadi tukang terjemah bahasa.
Serasanya, setelah sekian lama, ini kali pertama dia memintanya lagi.
….dan hakikatnya, Teacher Sophia sendiri sedar bahawa permintaan itu sudah lama tidak didengarinya daripada pelajarnya yang itu. Namun jawapan yang diberikannya adalah cubaan semata-mata, ingin melihat respon Zuhair. “No. . we can’t,”.
“Okay…” Zuhair membalas dengan nada mengalah. “I will just….shut up..or…quiet..”. Ehmm…apa-apa pun boleh… Dalam fikiran berbalah nak guna perkataan mana bagi sedap sikit. Jarang apa macam ni… Biasanya blank, tak ada word langsung. Ini bila dah ada, tak tahu nak guna yang mana. ‘Selebet’ sungguhla…
Teacher Sophia mengukir senyum sebelum memberikan kata putus. “Okay, then… we may,”.
“Haa?” Zuhair berkerut, sengaja buat respon tidak faham walaupun nalurinya kuat mengatakan bahawa itu satu jawapan yang positif. Sebetulnya, dia tidak begitu pasti akan maksudnya. Nanti salah, buat malu je.
“Boleh laa…” Jawapan Teacher Sophia itu membuatkan senyum terukir di wajah Zuhair. “But not to often,”.
Oven?”.
Often…selalu,” Teacher Sophia melayan kerenah anak muridnya itu walaupun rasa nak gelak je tengok respon selamba Zuhair.  “Teacher tak nak kamu terbiasa sangat cakap bahasa melayu dengan teacher…”.
Kali ini Zuhair pula rasa nak gelak mendengar gurunya itu berbicara dalam bahasa melayu. Sumpah macam minah salleh cuba nak cakap melayu. Namun otot-otot pada wajahnya lagi kuat untuk tutup muka nak gelak, demi menghormati gurunya itu.
Also, not in front other student,” Tambah Teacher Sophia.
Itu dia faham, dan tidak semena-mena, satu rasa istimewa berputik dalam hati. Dalam kepala dia terfikir, dalam beberapa tahun Teacher Sophia dah berkhidmat sebagai guru bahasa inggeris, agaknya berapa ramai je yang dapat keizinan istimewa seperti yang diterimanya pada hari itu?
So…kenapa ponteng prep?” Teacher Sophia akhirnya memulakan bicara tidak formal mereka itu dalam bahasa ibunda meskipun tempat letak kereta berbumbung itu sudah tidak jauh dari situ.
Zuhair sengih. “Malas, teacher. Kalau ikutkan pun, pelajar putera jarang pergi prep petang-petang ni. Ramai rehat dekat asrama je,”.
“Oh… tak kena tangkap dengan pengawas atau exco asrama?”
“Pengawas pun dah tak larat kalau tiap-tiap petang kena kerah. Bukan seorang dua, tapi ramai. You know pelajar lelaki, teacher…” Diselitkan juga dua patah perkataan bahasa asing itu.
Teacher Sophia mengangguk laju. “Yeah, I knew boy student very well…”. Pelajar lelaki, atau bahasa yang mereka gunakan di sekolah itu, pelajar putera dan puteri. Berkhidmat sebagai guru bertahun-tahun mengajarnya untuk mengenali pelajar. Bezanya pelajar lelaki dan perempuan. Dia pun pernah jadi pelajar.
…dan profesion seorang guru ini hakikatnya merupakan peluang kedua bagi seseorang yang pernah bergelar pelajar, kini berhadapan dengan manusia-manusia yang dia sendiri pernah jadi. Walaupun pelajar kebanyakannya berbeza attitud, pengalaman itu ternyata mengajar.
Menjadi guru yang berpengalaman, tidak jauh bezanya daripada menimba ilmu psikologi terhadap pelajarnya sendiri.
“Kenapa tak tidur dekat asrama je?” Zuhair dipandangnya. “I thought you love sleeping,”.
Sengih Zuhair melebar mendengarkan penyataan itu. Penyataan yang dikira sebagai perlian, namun entah mengapa bila diungkap gurunya itu tidak dirasakan sebagai satu perlian yang menyentuh hati. Betul la …teacher cakap macam tu sebab diri sendiri memang selalu sangat tidur dalam kelas.
Datang lambat sebab bangun lambat. Dah datang kelas tu pun tidur lagi. Sungguhlah kitaran tidur yang tidak normal.
“Penatlah asyik tidur je,” jawab Zuhair. “Saja saya nak jalan ambil angin depan kolam tadi. Main dengan kura-kura kecil. Dapat juga tolong teacher…”.
“Oh…” Teacher Sophia mengangguk. Mereka akhirnya tiba di hadapan kereta Proton Persona. Barang-barang yang dibawa dimasukkan ke dalam kereta di bahagian belakang. Seteleh pintu kereta bahagian tempat duduk penumpang itu ditutup rapat, Teacher Sophia memandang Zuhair.
Thank You, Zuhair. I have some chocolate, do you want some?” Kelam kabut Teacher Sophia menyeluk tangannya ke dalam bag tangan.
Eh….hilang dah bahasa melayu…. Zuhair tercengang cuma sebentar. Nasib baik faham. Lekas dia menggeleng. “I don’t eat chocolate, teacher,”. Maka dicubanya menolak dengan bahasa inggeris. Sungguhlah, dia pun tidak mahu mengambil kesempatan dengan peluang yang diberi.
Really? Wow…” respon gurunya.
“Kenapa terkejut sangat?” Zuhair menggaru belakang kepalanya.
Teacher Sophia senyum. “Jarang betul orang tak suka coklat. Anyway, thanks again, dear,”.
Zuhair menghadiahkan senyuman menyambut ucapan itu. Dia lupa perkataan ‘sama-sama’ dalam bahasa inggeris pada ketika itu. Senyum pun jadi. Belasah je la…
And…Zuhair..”.
Zuhair pandang tepat ke dalam mata Teacher Sophia. Nalurinya kuat mengatakan bahawa panggilan itu adalah kerana gurunya itu mahu menyampaikan sesuatu yang penting….. dan dia sedia mendengarnya. “Yes, teacher?”.
I want you to remember, keberkatan guru-guru tu penting dalam menimba ilmu ni,”.
Zuhair masih kekal dengan senyumannya, menyambut nasihat yang satu itu. Dia tahu itu. Sangat tahu.
Thank you , teacher.…”.
Terima kasih sebab ingatkan balik walaupun dia amat tahu itu… takut-takut lupa.
****



Dari jauh, seseorang tersenyum bahagia melihat situasi anak murid dan guru itu. Selama ini, ramai yang melihat bahagian buruk seorang Zuhair. Hakikatnya dia sedar satu perkara mengenai Zuhair, iaitu dia sangat berbudi dengan  guru-gurunya.
Cuma slack sikit bila mana dia dibawa menghadap guru disebabkan masalah disiplin ataupun kerana tidur di dalam kelas. Itupun dia tidak pernah lagi lihat Zuhair bercakap kasar atau mengata guru-gurunya. Itu juga bezanya dengan rakan-rakannya yang lain.

Zahid Arrazin getap bibir. Zuhair yang misteri. …dan dia tetap akan menjadikan apa sahaja yang baik daripada manusia itu sebagai contoh, menepis segala keburukannya yang pernah Zuhair lakukan. Dia percaya, orang macam Zuhair tak pernah tiada harapan langsung dalam hidup.