PAGI-PAGI LAGI Alisya sudah menapak ke arah jalanraya. Di pandang ke kiri dan ke
kanan. Jalan yang panjang. Jalan yang agak lengang. Jalan kampung. Nun di seberang
jalan, terdapat tali air yang mengairi sawah yang sedang menghijau dengan anak
padi yang baru ditabur 2 minggu.
Di hujung
pemandangan sawah yang luas menghijau itu, kawasan bukit bukau berwarna biru
melatari pemandangan kampung itu. Satu pemandangan yang sempurna di mata
Alisya!
Alisya tersenyum
meleret. Dia mengepal-ngepal jemarinya. Di mana dia hendak bermula? Kakinya
melangkah ke depan sedikit.
“Alis!!!”
terdengar laungan Tok Cah secara tiba-tiba. Pantas Alisya memandang ke arah
rumah neneknya. Kelihatan Tok Cah sedang bercekak pinggang di pintu dapur. Tok
Cah menggamitnya pulang. Pantas, Alisya berlari-lari anak kembali ke laman.
“Nak kemana? Kan
tok cakap, petang nanti tok bawak kamu ke rumah Wani...” kata Tok Cah dengan
senduk di tangan. Tengahari ini, dia nak memasak sedap sikit. Selalunya, bila
tinggal seorang diri, makan apa pun tak apa. Asalkan perut kenyang. Tapi, bila Alisya ada, dia hendak
juga berebut makan dengan cucunya yang satu ini.
“Ala...tengok-tengok
sawah saja...” kata Alisya protes. Risau sangat Tok Cah akan dia. Rimas Alisya
dibuatnya. Tok Cah masuk semula ke dalam rumah untuk memasak.
“Masuk, mari
tolong tok masak gulai ni...” arah Tok Cah dari dalam rumah. Alisya masih di
luar rumah. Melalui tiang-tiang rumah yang tinggi, Alisya dapat lihat rimbunan
pohon-pohon pisang yang banyak di belakang rumah neneknya. Sejak bila tok tanam
pisang. Getus hatinya.
Melihat buah-buah
pisang yang nampaknya sedang mahu masak dengan warna kuning keemasan yang
cantik, menggamit hati Alisya untuk meneroka kawasan itu.
Alisya melangkah
kaki ke belakang rumah. Pagar buluh yang di buat bagi membahagikan kawasan
rumah dan kebun di buka dan Alisya terus masuk. Pokok-pokok pisang itu merimbun
dengan subur. Bahkan, kebun yang nampaknya terjaga dengan elok itu langsung
tidak ada semak samun. Rumputnya ditebas dengan elok. Alisya asyik mejamu mata
dengan pemandangan baru itu sambil langkah kakinya makin jauh ke dalam kebun
pisang.
Ada beberapa
pokok nenas yang daunnya berduri di tepi telaga kecil. Alisya merapati telaga
kecil itu lalu menjengah ke dalam telaga. Air telaga yang jernih membiaskan
wajahnya yang putih bersih. Alisya tersenyum sendirian merenung wajahnya di
air.
“Erkk..Hmm..”
deheman kasar serta merta menghapus angan Alisya yang sedang tersenyum. Pantas
dia tersentak dan terus menoleh ke belakang. Darah Alisya berderau bila ditegur
secara tiba-tiba sebegitu.
Seorang lelaki
yang berkemeja lusuh warna kelabu dan seluar jeans lusuh berwarna biru tegak
berdiri di belakangnya kira-kira 5 meter darinya. Alisya memandang lelaki itu kehairanan.
Lelaki itu juga memandangnya penuh curiga. Wajah lelaki itu cerah, tampak
begitu matang dengan alis kening yang panjang dan hidung yang mancung. Dagunya
yang berlekuk, sukar dilihat pada lelaki biasa. Hensem...bisik hati Alisya
sendirian.
Lelaki itu
memandang Alisya lagi. Dia kemudian menapak perlahan-lahan ke arah telaga.
Alisya hanya diam memerhatikannya tanpa suara. Lelaki itu masih memandangnya
walau sedang berjalan menuju ke telaga.
Sebiji tong kecil
yang diikat tali sebagai timba, diambil dan lelaki itu menjatuhkan timba itu ke
dalam perigi. Alisya yang berdiri di tepinya tidak dihiraukan. Timba ditarik ke
atas bila air sudah penuh. Lelaki itu terus membawa timba berisi air ke arah
beberapa pokok pisang dan dia duduk di satu tunggul pokok yang sudah dicantas
elok. Batu pengasah dikeluarkan dan dia terus mengasah parang di tangannya.
Alisya hanya
memandang lelaki itu. Lelaki itu begitu asyik dengan kerjanya. Alisya
memerhatikan sekelilingnya. Dia nampak ada sebuah rumah yang kecil di hujung
kebun. Rumah itu terletak di tanah sebelah yang bersambung dengan tanah milik
neneknya.
“Awak ni siapa
ye...kenapa ada kat kebun pisang tok?” soal Alisya berani. Dia memberanikan
diri memandang lelaki itu. Perlahan-lahan, langkahnya diatur ke arah lelaki
itu. Lelaki itu tidak memandangnya, sebaliknya terus mengasah parang dengan
khusyuk.
Melihat soalannya
tidak berjawab, Alisya mendengus. Dipandang parang yang sedang diasah pula.
Hisy...tak boleh jadi ni. Harap muka je hensem, belum tentu dia baik. Nasib tak
baik, parang tu naik atas kepala aku pulak....Alisya meneguk air liur pekat.
Gelisah. Adegan drama Tamil yang selalu menghayun parang kepada orang segera
terbias diingatannya. Ngeri pula Alisya jadinya.
Alisya berundur
perlahan-lahan. Kemudian menapak laju meninggalkan kebun pisang neneknya itu.
Dari jauh, lelaki itu mengangkat wajahnya merenung langkah Alisya yang laju
meninggalkannya. Lelaki itu mengukir senyum sinis, kemudian kembali meneruskan
kerjanya.
“KAU ke mana?” sebaik dia muncul di pintu dapur, Tok Cah sudah bercekak
pinggang. Alisya terus menuju ke meja makan tanpa rasa bersalah. Kerusi ditarik
dan dia terus duduk. Tok Cah turut duduk sama, menghadap makanan yang sudah
tersedia di depan mereka.
“Kebun pisang tok
ke, belakang ni?”soal Alisya sambil menunjukkan ke arah belakang rumah
neneknya.
“Ha’a..” angguk
Tok Cah sambil mencedok nasi ke pinggan.
“Siapa yang jaga
kebun tu?” soal Alisya lagi. Wajah lelaki muda tadi masih lekat di kotak
ingatannya. Tok Cah memandang Alisya
kehairanan.
“Kamu pergi kebun
ke tadi?” soal Tok Cah lagi. Alisya mengangguk saja. Tok Cah senyum simpul.
“Amir...Dia yang
tolong jaga kebun tu...dapatlah jugak tanah tu dimanfaatkan dari dibiar penuh
semak samun...Kamu jumpa dia tadi?” soal Tok Cah lagi. Dia sudah memulakan
makan sebaik habis berdoa.
“Lelaki yang
putih-putih...tinggi-tinggi tu ke? Hidung mancung macam hero Hindustan tu?”
soal Alisya lagi. Tok Cah angguk sambil senyum gelihati.
“Sempat jugak kau
menelek muka dia...” perli Tok Cah lucu. Banyak sangat tengok cerita Hindustan
si Alisya nih! Alisya menarik nafas
geram.
“Scary muka dia...” Alisya membebel sabil mencedok kuah
gulai ke dalam pinggan nasinya.
“Scary? Apa tu?” soal Tok Cah bila melihat Alisya
menjungkit bahunya ketakutan.
“Menakutkan!”
kata Alisya. Tok Cah merenung wajah Alisya aneh.
“Budak tu
baik...apa yang takutnya?” soal Tok Cah. Alisya menggeleng-geleng.
“Mata dia macam
harimau bila pandang orang. Takut...” komen Alisya lagi. Tok Cah tersengih
lucu.
“Dia memang macam
tu. Dia tak kenal kamu lagi kot. Sebab tu dia pandang kamu macam pandang orang
bersalah. Tiba-tiba masuk kebun pisang orang...Nasib baik dia tak halau
kamu...” kata Tok Cah. Alisya diam saja. Wajah lelaki itu muncul lagi di
ingatannya.
“ASSALAMUALAIKUM..” suara lelaki jelas kedengaran
di depan rumah. Alisya yang asyik menonton televisyen bergegas bangun membuka
pintu rumah. Sebaik pintu rumah dibuka, wajah lelaki yang ditemuinya di kebun
pisang pagi tadi tersembul di depan tangga. Alisya dan lelaki itu saling
berpandangan. Terkedu sekejap Alisya melihat lelaki itu.
Lelaki itu juga
nampak tidak selesa melihat Alisya yang membuka pintu. Lelaki itu menyeluk
kocek kemejanya dan mengeluarkan sekeping sampul berwarna coklat muda.
“Tok Cah ada?”
soal lelaki itu tenang sambil matanya memandang wajah Alisya. Alisya angguk
pantas, kemudian masuk ke dalam rumah.
“Tok!!” Tok Cah
yang baru keluar dari bilik air dipanggil segera. Tok Cah menapak ke muka
pintu.
“Ada apa?” soal
Tok Cah memandang Alisya yang terkulat-kulat di muka pintu. Alisya menuding
jari telunjuknya ke tanah. Di hujung tangga, lelaki itu masih menanti. Tok Cah
keluar ke anjung rumah.
“Oh...kau Amir.
Kenapa tak naik?” pelawa Tok Cah. Selalunya, Amir akan naik ke anjung rumah dan
berbual-bual dengan Tok Cah. Tapi kali ini, dia hanya berdiri di hujung tangga.
“Oh..tak apa tok.
Saya nak hantar duit pisang saja...” Amir naik 2 anak tangga dan menghulurkan
sampul itu kepada Tok Cah yang turun ke tangga.
“Kamu dah makan?”
soal Tok Cah lagi. Langkah Amir yang nampaknya mahu bergegas pulang terhenti
sejenak.
“Saya nak pergi
kedai Kak Yan tok..” ujar Amir. Dia tidak biasa berbohong dengan Tok Cah. Tok
Cah mengdengus.
“Tak payah
susah-susah makan luar. Tok masak banyak hari ni..Jom makan!” ajak Tok Cah.
Amir jelas kelihatan segan. Barangkali kerana ada anak dara yang sedang
memandangnya di muka pintu dengan mata yang tak berkedip!
“Tak apa
tok...Lain kali sajalah..” tolak Amir segan.
“Eh, jangan macam
tu...mari!” Tok Cah sudah pun naik ke rumah dengan harapan Amir naik ke rumah
juga. Alisya masih di muka pintu memandang Amir dan Tok Cah. Amir terkesima.
Tok Cah nampaknya sudah ke dapur barangkali, menyendukkan nasi untuknya seperti
biasa.
“Naiklah...”
melihat Amir yang masih tercegat macam kulat di hujung tangga, Alisya terus
bersuara. Amir menghela nafas berat. Alisya melangkah ke dalam rumah. Dengan
berat hati, Amir menanggalkan kasutnya dan mendaki anak tangga ke rumah Tok
Cah.
“MAKAN. Tambah lagi nasi tu...tadi tok nak panggil kamu makan sekali, tapi si
Alis ni dah makan dulu...jadi tok ikut sajalah..” kata Tok Cah ramah bercerita.
Sejak Amir masuk makan tadi, dia tak habis-habis bersembang pasal pisang dengan
Amir. Alisya hanya curi-curi pasang telinga perbualan mereka dari atas.
“Yang tadi
tu...cucu tok. Dia tinggal di Petaling Jaya. Tengah tunggu SPM. Itu yang mak
dia hantar duduk sini...nak habiskan masa kat sini sementara nak tunggu
keputusan SPM keluar...” panjang lebar Tok Cah bercerita tentang Alisya pada
Amir.
“Oo...” dan Amir
langsung tidak menunjukkan sebarang minat. Hanya..’ooo” yang keluar dari
mulutnya. Tak fahamkah Tok Cah yang si Amir tu tak berminat nak tahu kisah
Alisya? Alisya rasa sebal. Tidak adil kalau cerita tentangnya saja dijaja pada
lelaki itu. Dia berhak juga tahu kisah lelaki itu!
Alisya bangun,
lalu turun ke dapur. Dia pura-pura ke peti ais dan mengeluarkan sebotol air
masak sejuk. Lalu dia turut duduk sekali di meja makan, di hadapan Amir. Amir
sempat menjeling ke arah Alisya yang sedang membuka penutup botol.
“Alis...ni Amir,
yang jaga kebun pisang tok..” kata Tok Cah. Alisya memandang Amir di depannya
dan mengukir senyum. Hai...Rasa macam nak lambai tangan saja. Namun Amir tidak
membalas senyumannya, tetapi hanya tunduk hormat. Alisya terkedu. Terus mati
angannya untuk jadi peramah.
“Dah sudah ke?”
soal Tok Cah bila Amir tiba-tiba bangun dan membawa pinggan ke sinki.
“Dah tok...banyak
dah saya makan. Terima kasih..” kata Amir sambil membasuh pinggannya di sinki.
Alisya hanya memandang Amir yang membelakanginya. Sungguh, dia tidak pernah nampak
ayahnya mebasuh pinggan. Malah, dia sendiri tidak pernah membasuh pinggan.
Selalunya kerja-kerja itu dibuat oleh orang gaji mereka. Melihat Amir membasuh
pinggan di sinki, Alisya terpana.
No comments:
Post a Comment