Tuesday 20 December 2016

Kukatakan Tidak (Maksudnya Ya) ~ Bab 1 ~ Bunick Firdaus

Buku teks Malaysian Derivatives yang masih di tangan aku tolak ke tepi. Lama-lama baca buku teks, mahu pecah kepala otak aku. Subjek kira-kira, tapi baca buku teks untuk faham memang tak boleh hadam. Soalan peperiksaan akhir tahun-tahun sebelumnya yang sudah lunyai berconteng aku jeling sekilas. Katil bujang aku sudah berselerak dengan kertas-kertas tutorial. Baca buku atas katil, satu lagi perangai aku yang tak berapa nak elok. Pada aku, kalau baca buku atas katil, dah mengantuk boleh terus tidur. Aci tak?
            Peperiksaan akhir hanya tinggal sebulan setengah sahaja. Semester hadapan, aku sudah tidak perlu bertarung di dalam dewan peperiksaan lagi, cuma perlu untuk membuat latihan industri dan juga menyediakan tesis sahaja. Selepas itu, Insya-Allah aku akan bergelar graduan. Dah boleh mula kerja. Yang paling penting, boleh tolong ayah dengan mak.
“Ara, mak dah nak pergi ini.” Panjang umur mak, baru je fikir dah tercongok kat depan pintu bilik aku yang tidak bertutup.
“Mak nak pergi mana?” Aku pandang mak yang sedang membetulkan tudungnya. Lengkap berbaju kurung dah mak aku ni.
“Lupalah tu.” Emak berjalan menghampiri katil dan dia melabuhkan duduknya.
Aku yang sedang berbaring bangun dan menyandar di kepala katil. Lupa? Mak ada cakap ke nak pergi mana-mana hari ni?
“Huh, lain kali kalau nak belajar, jangan baring kat katil ni nak oi… Tu meja belajar dah adakan?” Mak alihkan kalkulator saintifik di bawah punggungnya.
“Mak, kalau kat katil senang sikit nak buka buku banyak-banyak. Kat meja tu sempitlah mak.” Aku bagi ayat bela diri kat mak.
“Buka buku apanya…mak tengok Ara je yang terlentang kat atas katil ni.” Emak gelengkan kepalanya beberapa kali.
Aku cuma mampu sengih. Dah memang perangai anak mak macam ni. Redha ajelah mak… “Eh, mak tak cakap pun lagi mak nak pergi mana.” Aku kembali kepada soalan asal yang masih belum dijawab oleh emak.
“Mak nak pergi kenduri kahwin anak bos ayah.” Jawab emak sambil berdiri. Baju kurung pesak gantung berwarna hijau muda ditarik-tarik sedikit.
“Kat mana?”       
“Presint 9.”
“Adik ikut?”
“Tak, mak pergi dengan ayah je. Naik motor, senang nak parking nanti.”
“Hish, mak ni tak senonohlah. Ada ke pakai baju cantik-cantik lepas tu naik motor kapcai ayah tu.” Aku juga sudah turut berdiri. Kalau mak dengan ayah je yang pergi, makanya terpaksalah aku menguruskan askar-askar seramai tiga orang tu kat rumah.
“Susah bawak kereta. Lagi senang naik motor.” Emak sudah berpusing dan berjalan keluar dari bilik aku. “Mak dah masak untuk makan tengah hari. Tinggal nak masak nasi je. Nanti Ara tolong bagi adik-adik makan.” Pesan emak.
Yes! Aku senyum sendiri. Tak payah masak. Tinggal nak hidang je untuk adik-adik lelakiku itu. “Okey mak. Lagi nak pesan apa?”Aku menyeringai pada mak. Seronok sebab tak payah masak.
“Tengok adik-adik tu.Jangan bagi diorang main jauh-jauh.” Pesan emak lagi.
“Alamak, jauh mana sangat la Hazran tu nak pergi. Paling jauh pun kat taman depan tu aje.” Aku pandang keliling rumah, kelibat Hazran, si bongsu yang baru berumur enam tahun langsung tidak kelihatan. Ada dalam bilik dengan Hafizi agaknya.
“Humaira, sekarang ni orang jahat bukan kira jauh ke dekat. Kat depan rumah pun ada budak yang kena culik tau.” Emak tolak pintu jeriji yang tidak berkunci. Mungkin ayah sudah menunggu di luar rumah agaknya.
“Ye lah mak. Nanti Ara kurung Hazran dalam bilik.”
“Main-main. Hakimi mana?” Tanya emak sambil mengambil sandal dari dalam kabinet kasut.
“Entah, pagi tadi keluar pergi kelas tambahan tak balik-balik lagi mak.” Aku julurkan kepala keluar rumah. Malas mahu menghantar emak dan ayah sebab aku tak pakai tudung. “Mak, nanti jangan lupa kunci pagar ye.” Giliran aku pula yang memberi pesanan penaja kepada emak.
Emak cuma anggukkan kepala. Ayah yang sedang menunggu emak di luar pagar sudah membunyikan hon beberapa kali. Isyarat supaya emak cepat-cepat keluar. “Jangan lupa bagi adik-adik makan tau. Nanti tengokkan diorang sekali.” Pesanan dari emak masih belum berakhir.
“Tau mak. Mak pergi je makan nasi kenduri sedap-sedap.” Aku melambai ke arah emak yang sedang membuka pintu pagar. Mak ni, bagi pesanan macamlah dia dah tak nak balik ke rumah. Pintu jeriji aku kunci setelah kelibat emak dan ayah hilang dari pandangan. Rumah teres setingkat yang terletak di kawasan perumahan lama Taman Ayer Hitam ini sunyi sahaja. Mungkin waktu tengah hari macam ni, masing-masing lebih suka berkurung di dalam rumah daripada berada di bawah terik mentari. Tunggulah petang karang, hiruk pikuklah jawabnya taman permainan di hadapan rumah aku ini. Kadang-kadang, nak je aku alihkan taman permainan tu jauh-jauh dari rumah, biar bunyi bising tidak menembusi dinding batu rumah teres ini.
Aku kembali ke dalam bilik dan memerhatikan katil yang berselerak. Dan aku perhatikan pula meja belajar yang kemas. Ironi sekali. Akhirnya, aku melabuhkan duduk di kerusi dan laci meja aku buka perlahan. Buku catatan berwarna margenta aku keluarkan dari laci. Sekeping foto sewaktu mengikuti ekspedisi ke Gunung Stong aku tarik dari helaian buku catatan itu. Gambar aku, Zeti, Ija dan Nina aku tenung lama. Namun, bukanlah figura kami berempat yang menarik perhatianku, tetapi sebaliknya kelibat seorang lelaki yang sedang melintas di belakang kami sewaktu gambar itu diambil yang menjadi tatapan mataku sekarang. Lelaki di dalam gambar itu telah membuatkan aku sedikit tidak waras. Sedikit sahaja. Tetapi, ingatan pada lelaki itu tidak pernah hilang. Mukhlis, pelajar tahun akhir jurusan perakaunan di kampus Shah Alam itu tidak pernah aku sapa. Bahkan, dia mungkin sama sekali tidak mengetahui akan kewujudan aku di situ. Cuma aku, ya cuma aku yang memendam rasa terhadapnya. Syok sendiri. Titik!
“Kak Ara, mak pergi mana?” Hazran yang tiba-tiba muncul di dalam bilikku sedikit mengejutkan aku.
“Adik dah nak makan ke?” Lain yang ditanya Hazran, lain pulak yang aku tanya dia.
Hazran gelengkan kepalanya beberapa kali. Mungkin belum lapar agaknya. Pagi tadi agak lambat kami bersarapan kerana gas habis sewaktu emak tengah menggoreng bihun.
“Mak pergi mana?” Hazran ulang soalan yang sama lagi sekali.
“Mak pergi kenduri kahwin.” Aku jawab sambil melenggang menuju ke dapur.
“Kenapa mak tak cakap dengan adik dia nak pergi kenduri?” Si bongsu itu masih belum puas hati ditinggalkan oleh emak dan ayah tanpa pengetahuannya.
Aku garu kepala yang tidak gatal. Nak jawab apa pada si kecil ini? “Mak lupa kot…”
“Mak banyak makan semut la tu…” selamba saja Hazran menuturkan ayat itu.
Aku bulatkan mata pada Hazran. Mana dia dengar orang cakap macam tu? Takkkan kawan-kawan dia kat prasekolah dah pandai cakap macam orang tua?
“Adik dengar cikgu cakap kalau selalu lupa, banyak makan semut.” Hazran bagaikan mengerti sahaja apa yang bermain di fikiranku.
“Cikgu sekolah adik cakap macam tu?”
Laju Hazran anggukkan kepalanya.
Aku gelengkan kepala beberapa kali. Tapi nak buat macam mana, budak-budak sekarang memang cepat meniru perbuatan orang lain. Tak kiralah tengok kat televisyen atau pun perbuatan yang berlaku secara langsung di hadapan mereka.
“Cikgu adik cakap salah ke kak?” Tanya Hazran lagi.
Errr, nak jawab apa ye? Aku sendiri pun tidak dapat memastikan adakah teori banyak memakan semut itu boleh mengganggu gugat sistem memori manusia itu benar atau salah.
“Betul ke kak?” Hazran terus mendesak.
Hisy budak ni, macam saja je nak test kakak dia yang memang tak tahu nak jawab apa.
“Adik pernah nampak ke mak makan semut?” aku soal balik Hazran sebagai cara untuk melepaskan diri dari menjawab soalannya itu.
Laju Hazran geleng kepala. “Mana ada orang makan semut Kak Ara.” Jawabnya.
“Dah tu, tak betullah tu apa yang cikgu adik cakap.” Ujarku sambil mengambil periuk nasi dari dalam kabinet. Tong berisi beras aku buka dan  memasukkan dua pot beras ke dalam periuk nasi elektrik itu.
“Habis tu, cikgu sekolah adik bohong la ye?” Hazran masih lagi mengikutku dari belakang.
Aduh, aku yang baru mahu membuka paip di sinki mati kutu. Nak jawab apa lagi ni eh?
“Cikgu adik tipu ke Kak Ara?” Hazran tanya lagi.
Namun, belum sempat aku menjawab Hazran sudah berlari keluar dari dapur. Fuhhhh...lega tak payah jawab soalan yang susah mengalahkan soalan peperiksaan nak jadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik!
 “Kak Ara, ada orang datang.” Hazran yang tiba-tiba muncul di dapur sedikit mengejutkan aku yang sedang membasuh beras di sinki.
“Siapa?” aku tanya Hazran. Budak kecik ni dah macam ribut je. Patutlah dia berlari keluar dari dapur tadi, mungkin dia dengar orang bagi salam kot.
“Entah.” Pendek sahaja jawapan si kecil itu.
“Hazran buka pintu ke tadi?” Perhatianku masih lagi pada periuk yang berisi beras. Tinggal sekali je lagi nak basuh, lepas tu dah boleh masak dah.
“Tak, adik dengar orang bagi salam. Lepas tu adik intai ikut tingkap.” Hazran masih lagi setia berdiri di sebelah aku.
“Betul ke orang datang rumah kita?” Aku alihkan pandangan pada Hazran. Sekejap sahaja. Tuala kecil yang tergantung di dinding aku capai dan bawah periuk yang basah aku lap sebelum memasukkannya ke dalam rice cooker. Aku tekan suis rice cooker itu dan aku berpaling menghadap Hazran.
“Betul Kak Ara, ada kereta polis.” Jawab Hazran sambil menarik tanganku keluar dari dapur.
“Kereta polis?” aku tanya Hazran lagi sekali. Budak ni biar betul. Buat apa polis nak datang rumah aku pulak tengah hari buta macam ni?
“Buat apa polis datang rumah kita Kak Ara?” Hazran tanya soalan yang turut bermain di fikiranku.
Aku angkat bahu. Dan tanpa menjawab soalan Hazran, aku kembali menuju ke pintu rumah. Kelihatan dua orang lelaki lengkap beruniform warna biru tua sedang berdiri di luar pagar. Lampu kereta peronda polis yang menyala tanpa bunyi siren itu sedikit membuatkan aku mula merasa takut. Sekilas, aku teringat pada Hakimi yang masih belum pulang. Kesalahan apakah yang dilakukan oleh Hakimi?
Pintu yang terbuka aku biarkan sahaja dan aku bergegas ke dalam bilik untuk menyarung tudung. Tidak sampai tiga minit, aku sudah berdiri di luar rumah bersama-sama dengan Hazran. Hafizi yang tadi khusyuk mengulangkaji pelajaran turut keluar apabila melihat kereta peronda polis itu di hadapan rumah kami. Namun dia hanya berdiri di muka pintu sahaja.
“Assalamualaikum cik. Saya Koperal Muhammad dari Balai Polis Cawangan Trafik Putrajaya.” Lelaki yang berusia sekitar empat puluh tahun itu memperkenalkan dirinya sebaik sahaja aku membuka mangga pintu pagar.
“Waalakummussalam…” jawabku sambil memegang tangan Hazran disebelah.
“Ini rumah Encik Hamzah Bin Yusof ke?” soal Koperal Muhammad.
Aku anggukkan kepala. Kenapa polis ni cari ayah? Ayah ada buat salah ke? Atau ayah ada waran tangkap sebab tak bayar saman trafik?
Koperal Muhammad menarik nafas panjang sebelum kembali membuka mulutnya. “Cik dengan adik-adik cik boleh ikut kami ke Hospital Putrajaya?” soalnya lagi.
“Hospital?” Giliran aku pula yang menyoal Koperal Muhammad.
“Ya, Hospital Putrajaya. Encik Hamzah dan Puan Maimunah terlibat dengan kemalangan jalan raya di Presint 15 tadi.” Koperal Muhammad jeda seketika.
“Kemalangan?” aku ulang balik apa yang dikatakan oleh pegawai polis itu. Rasa seolah-olah mahu pecah kepalaku apabila mendengar berita emak dan ayah terlibat dengan kemalangan. Namun, aku cuba untuk bertenang dan tidak panik. Mungkin kedua-dua mereka hanya mendapat kecederaan ringan sahaja.
“Betul cik, kedua-dua ibu bapa cik terlibat dengan kemalangan jalanraya.” Ulang Koperal Mohammad.
“Emak dengan ayah saya tak apa-apakan tuan? Kecederaan mereka tak teruk kan?” Tangan Hazran aku genggam kuat, seolah-olah cuba untuk mendapatkan kekuatan dari si kecil itu. Aku pandang wajah Koperal Muhammad di hadapanku. Dia hanya menundukkan kepalanya.
“Tuan, macam mana dengan emak dan ayah saya? Mereka cedera teruk ke?” Aku soal untuk kali kedua.
“Cik, kami perlu bawa cik dan adik-adik cik ke hospital untuk buat pengecaman mayat mangsa kemalangan.”
Kali ini, aku rasa seperti langit mahu runtuh menghempap kepalaku. “Ma..ma..mayat?” Sukar sekali untuk aku menyatakan perkataan yang sangat menakutkan itu.
“Ya cik, kedua ibu bapa cik meninggal di tempat kejadian. Jadi, cik perlu ke hospital dengan kami sekarang.”Koperal Muhammad menjawab soalanku dengan wajah mendung.
Aku sudah jatuh terjelepuk ke atas jalan tar. Musibah apakah ini? Belum sampai sejam pun lagi emak dan ayah meninggalkan rumah. Dan sekarang, aku perlu mengecam mayat kedua-dua mereka? Aku genggam kuat kedua tanganku. Air mata yang sudah berguguran ke pipi aku biarkan sahaja. Sungguh, tanganku terlalu lemah untuk menyapu air mata yang bagaikan hujan lebat di musim tengkujuh.
“Kak Ara, kenapa ni?” Hafizi yang tiba-tiba muncul terus sahaja bertinggung di hadapanku. “Kenapa Kak Ara menangis?” soalnya sambil mendongak ke atas melihat wajah kedua-dua pegawai polis itu.
Aku peluk Hafizi yang masih tidak tahu apa-apa tentang berita kemalangan maut kedua orang tua kami. Aku tarik sekali Hazran yang masih terpinga-pinga melihat aku menangis di atas jalan tar.
“Sabar cik, ini semua dugaan Allah untuk cik dan adik-adik. Banyakkan istighfar.” Koperal Muhammad turut mencangkung di sebelahku.
“Kenapa ni Kak Ara? Tuan isnpektor, kenapa kakak saya menangis?” Hafizi menyoal Koperal Muhammad pula apabila soalannya kepadaku tidak berjawab.
“Dik, kita kena pergi ke hospital sekarang.” Koperal Muhammad pegang tangan Hafizi. Dia juga tidak mampu untuk menjawab soalan dari Hafizi yang sedang memandangnya sekarang.
“Kenapa nak kena pergi ke hospital? Kak Ara sakit ke?” Hafizi alihkan pandangan kepadaku pula.
Aku geleng kepala. Perlahan-lahan aku leraikan pelukan Hafizi dan Hazran. Air mata yang masih berladung di birai mata aku kesat perlahan. “Abang Kimi belum balik lagi ke?” Aku soal Hafizi yang masih kehairanan dengan situasi sekarang.
“Tu Abang Kimi!!!” Jerit Hazran tanpa sempat dijawab oleh Hafizi.
Aku alihkan pandangan ke arah simpang jalan masuk ke rumahku. Hakimi yang sedang menggalas beg laju berlari. Mungkin dia juga pelik kenapa kereta peronda polis berada di hadapan rumah kami.
“Apa dah jadi ni kak? Apa polis ni buat kat rumah kita?” Soal Hakimi bertalu-talu sebaik sahaja dia merapati aku.
Aku tarik Hakimi pula ke dalam pelukanku. Dan sekali lagi, pecah tangisanku di bahu adik lelakiku itu. “Mak dengan ayah Kimi...” aku tidak mampu untuk menghabiskan ayat itu. Sungguh, aku tidak tahu bagaimana untuk aku khabarkan berita sedih itu kepada adik-adikku.
“Kenapa dengan mak dan ayah Kak Ara?” Hakimi tanya aku yang masih kejap memeluknya.
“Mak dan ayah dah tak ada Kimi.” Aku menangis lagi. Dan semakin laju air mataku merembes ke pipi, semakin kejap pelukanku pada Hakimi.
“Kak Ara cakap apa ni? Mak dan ayah tak ada? Mereka pergi mana?” Hakimi tolak aku dari pelukannya.
Koperal Muhammad dan rakannya hanya memerhatikan sahaja kami adik beradik. Mungkin mereka berdua juga tidak mempunyai ayat yang paling sesuai untuk menjelaskan duduk perkara sebenar kepada adik-adikku.
“Kimi, kita kena pergi ke hospital sekarang.” Aku abaikan sahaja soalan Hakimi. Biarlah ketiga-tiga mereka masih berteka-teki. Sampai sahaja di hospital nanti, jawapan pasti akan terbentang di hadapan mata mereka tanpa perlu aku mengatakan apa-apa pun. Aku bangun dan berpaut pada Hazran yang sudah pun berdiri dari tadi lagi.
“Nak pergi hospital buat apa Kak Ara? Siapa yang sakit? Mak dan ayah ke?” Hakimi menyoal lagi. Bukan satu, tapi tiga soalan sekaligus. “Kenapa Kak Ara tak nak jawab? Siapa yang sakit ni?”
Aku ketap bibir. Kuat. Nafas ku tarik sedalam yang mungkin. Cuba untuk mencari kekuatan untuk terus bersuara. “Masuk dalam rumah, tutup semua tingkap. Kita kena pergi ke hospital sekarang. Hafizi dan Hazran pun kena ikut sekali.” Itu akhirnya yang terluah dari mulutku.
Hakimi masih lagi enggan berganjak dari tempat dia duduk. Aku tarik tangannya supaya berdiri. Namun, dia mengeraskan tubuhnya walaupun aku sudah menariknya dengan sepenuh kudrat yang aku ada.
“Bangun Kimi, kita kena pergi ambil mayat ayah dan mak kat hospital.” Aku menangis lagi apabila mengucapkan ayat itu.

Dan Hakimi terus sahaja terkulai layu apabila mendengar setiap patah kata yang keluar dari mulutku. 

Monday 19 December 2016

Padamu Jua (Hatiku Berteduh) ~ Bab 1 ~ Aidah Bakri

Aku bentangkan hamparan cintamu
Untuk mengalas peraduan lenamu
~Hanif~

            “Manusia dilahirkan sebagai makhluk sosial yang tentunya hidup tak boleh sendirian. Jangan pernah kita lupa pada fitrah penciptaan manusia, Hanif.” Kata-kata Abi Daud kali pertama pertemuan mereka berjumpa, masih terngiang-ngiang di telinganya. Hidup tak boleh sendirian. Manusia perlu hidup dalam kelompok yang saling membahagiakan. Benar, dia mahu hidup dalam kelompok yang mampu saling membahagiakan.

            Justeru itu dia tak pernah menyesal dengan keputusan yang dia ambil… menyerahkan Afra ke dakapan cinta hatinya. Dia tak pernah hilang Afra malah teman hidupnya bertambah dengan hadinya insan-insan yang menyayangi Afra… penghuni Darul Hanan dan Samir. Malah dia turut diberi peluang untuk menumpang kasih sayang mereka. Rasa kosong dan sunyi selama in, terisi sedikit demi sedikit.

            Terasa bahu kanannya ditepuk dari belakang. Pantas dia menoleh. Meihat senyum diulas bibir Firdaus, dia turut mengoyak senyum.
            “Yang lebih indah adalah menyayangi dia tanpa mengharapkan sesuatu perasaan apa pun daripadanya.” Ujar Firdaus sambal memeluk bahu Hanif. Menyalur semangat buat Hanif yang bijak menyimpan kecewa sendiri. Hanif ukir senyum pada setiap yang menyapa. Namun dia tahu hati Hanif terluka parah.

            “Aku pegang kata-kata Afra… jangan risau kalau matahari hilang… jangan gusar bila mendung bertandang sebab kita akan dapat lihat indah pelangi selepas itu buat menghias langit.”
            “Betul kata Afra tu.” Sokong Firdaus.
            “Sekarang aku nampak pelangi yang dia maksudkan… kau, Samir dan penghuni Darul Hanan. Apa pun Afra itu masih cousin yang paling aku sayang. Aku tak akan pernah kehilangan dia sampai bila-bila pun.” Walaupun masih ada rasa sayu dalam bilik hatinya, namun Hanif  tetap positif. Melihat Afra bahagia di hadapannya sudah cukup memadai bagi dirinya.

            Hanif masih memandang pasangan pengantin yang sudah berdiri di hadapan Tuan Zakri dan Puan Jasmine berhampiran dengan pintu masuk. Kedua-dua orang tuanya turut berada di situ. Tidak ada kesal dalam hatinya biar dia tahu dia sayang Afra lebih dari seorang sepupu.

            Cukuplah dia menyayangi Afra dalam diam, menyalurkan rindu melalui doa-doa di setiap sujudnya dan menjaga Afra melalui doa-doa itu. Dia tahu Afra duduk dalam hati lelaki hebat. Tak ada apa pun yang perlu dirisaukan. Dia yakin Afra akan bahagia selamanya. Apa yang lebih berharga buat dirinya adalah melihat hidup Afra dilimpahi kebahagiaan.

            “Kau sendiri sebenarnya sangat hebat Nif, sanggup berubah dalam sekelip mata. Afra sebenarnya sangat bertuah memiliki sepupu hebat seperti kau. Sanggup lakukan apa sahaja untuk dia… untuk melihat dia bahagia.” Ujar Firdaus lagi.

            Hebat? Apa hebatnya aku ni Fir? Keluh hati Hanif. Kalau benar hebat, tak adalah Afra terlepas ke tangan orang lain. Kalau benar hebat… tentu tak ada ruang untuk Samir menyentuh hati Afra. Kalau benar hebat… tentu Afra tidak berpaling melihat lelaki lain.

            “Are you okay, son?” Tan Sri Jalil pula mengambil tempat di sisi Hanif sementara Firdaus sudah menjauh ke tengah halaman.

            “Don’t worry dad. Mustahil I rebah hanya kerana seorang wanita. Ini Hanif tau. Sedikit pun tak goyah walaupun tak berjaya memiliki Afra.” Hanif tetap tidak mahu kelihatan lemah di mata ayahnya.
            Tan Sri Jalil berdehem. Wajah kacak anak tunggalnya diperhati lama. Memang Hanif masih mampu membalas senyum yang dihulur. Masih mampu tenang melihat gadis kesayangan bersanding di pelamin indah bersama lelaki lain.

            “Kalau perempuan lain mungkin ya… tapi ini Afra. The way you looked at her… semua orang boleh tahu betapa dalamnya perasaan you pada dia.” Ujar Tan Sri Jalil akhirnya.

            Hanif meraba pangkal tengkuknya. Sudah puas dia menjaga pandangan matanya hari ini namun tetap juga ada yang perasaan. Sudah puas dia mengawal dirinya agak berlagak seperti tetamu yang lainnya. Namun ada juga ingin menduga hatinya.

            “I’m okay today, daddy. I’ll be okay tomorrow.” Luah Hanif perlahan.
            “Kalau you masih simpan dia dalam hati you, kenapa lepaskan pada orang lain? Tak berbaloi you seksa perasaan sendiri.” Ada waktu memang sukar untuk Tan Sri Jalil memahami apa yang ada di fikiran anak sendiri. Berkorban untuk orang yang dicintai… namun berbaloikah? Kalau dia sendiri… mustahil dia lepaskan orang yang dia cintai ke tangan orang lain.

            “Daddy tahu tak kenapa kita tak boleh terlalu senang berlebihan bila kita diberi kenikmatan?” soal Hanif.
            “Tell to me.” Pinta Tan Sri Jalil.
            Seringkali meninggalkan Hanif seorang diri di sini, hari ini dia mulai sedar yang Hanif sudah jauh berubah. Menjadi lelaki yang lebih matang dengan wajah yang sentiasa tenang. Ada waktunya dia sendiri menjadi malu dengan Hanif. Dia ayah yang tidak mampu memberi bahagia yang hakiki kepada satu-satunya waris yang dia ada itu.

            “Agar kita boleh menjaga yang lain untuk tetap bersyukur. Memang sedih bila terpaksa melepaskan Afra tapi bila melepaskan dia I boleh merasai nikmat yang lebih besar bila dipertemukan dengan mereka yang lain… I rela lepaskan dia Dad. Ada nikmat yang lebih besar sebagai ganjarannya.” Ujar Hanif perlahan.

            Jeda. Tan Sri Jalil terkedu mendengar alasan Hanif. Entah mengapa hatinya tersentuh dengan kata-kata Hanif yang jelas lebih bertanggungjawab pada diri sendiri dan insan sekitarnya. Hanif sudah benar-benar matang. Dia yang sudah seusia itu pun tidak pernah memikirkan nikmat di sebalik setiap kejadian Allah. Dia malu tiba-tiba.

            “Daddy bangga dengan you.” Luah Tan Sri Jalil perlahan.
            “I pun belajar dari mereka daddy.”

            Abi Daud kata, Allah tak pernah kejam kepada makhluknya.  DIA tak akan biarkan kita sedih untuk selama-lamanya. DIA bagi kita perasaan sedih dan kecewa ini  supaya kita tahu betapa nikmatnya rasa gembira. Barulah  kita akan rasa bersyukur.

Friday 22 July 2016

Vehaen II: Rif'at ~ Ainul Farihah

Telahan Yusuf ternyata benar. Di dalam bilik di mana Rif’at kini ditahan, terdapat hanya sebuah meja yang agak besar dengan dua buah kerusi yang terletak bertentangan. Rif’at duduk di sebuah kerusi dengan seorang tentera berdiri di belakangnya manakala lelaki bermisai tadi kini duduk bertentangan dengannya. Di meja yang besar itu hanya ada passport Rif’at yang kini terbuka, lantas mempamerkan butiran tentang dirinya.
“Kau lahir di Beit Lahiya?”. Dalam bahasa inggeris pegawai itu bertanya.
Rif’at angguk.
“Untuk apa kau datang ke sini?”.
Untuk pulang ke tanah air aku la… Dan jawapan itu dia hanya biarkan bergema di dalam hati. Semestinya, fikirannya lebih kuat untuk menjadi rasional tika ini, memandangkan dia sendiri merasakan apa yang bakal berlaku pada pasukan paramedik ini kini terletak pada nasibnya juga.
“Kerana mahu berbakti dengan pasukan paramedik yang aku sertai ini,” jawab Rif’at dengan tenang, mengharapkan pada nada suaranya juga kedengaran keyakinan yang akan membunuh segala prasangka dalam kepala si zionis di hadapannya itu.
“Aku pelajar perubatan, ayah dan ibuku doktor. Dulu mereka juga pernah sertai pasukan paramedik di Gaza,” tambah Rif’at dengan segera.
Sememangnya tentera Israel tidak akan melepaskannya dengan begitu mudah. Pelbagai lagi persoalan ditujukan kepadanya, adakalanya dengan cara provokasi seperti mahu marah, hentak meja, acah-acah tarik picu revolver dan  macam-macam lagi. Ketenangan Rif’at yang ternyata lebih mencabar kredibiliti pegawai Israel tersebut.
Rif’at ketika itu merasakan masa berlalu begitu perlahan. Sempat lagi dia membayangkan kalau Imran dan Amrullah bersamanya ketika itu. Agak-agak Imran akan guna lengan ‘sado’nya itu atau tidak kerana soalan-soalan yang dilontarkan pegawai di hadapannya itu pasti menguji kesabaran seorang Imran yang Rif’at kenali. Mujur Rif’at sedar bahawa dia kini berada dalam situasi genting, maka tiadalah dia tersengih mahupun tersenyum seorang diri dek terhibur membayangkan kerenah Imran dan Amrullah.
Keadaan yang sama berlanjutan sehingga beberapa ketika, pintu terbuka dan seorang tentera Israel yang tinggi lampai berjalan masuk terus menuju ke arah pegawai bermisai itu. Dia membisikkan sesuatu. Rif’at mengagak bahawa berita yang dibawakan oleh tentera itu bukanlah berita yang baik.
Allahu… Moga mereka-mereka di luar sana tiada masalah seperti aku. Baru Rif’at teringat akan sahabat-sahabatnya di luar sana. Seketika tadi, fikirannya sangatlah tertumpu untuk menjawab soalan si pegawai bermisai itu agar tidak tersalah jawab yang mungkin mengundang kesulitan.
Seketika, kedua-dua manusia tersebut berbincang sesuatu dalam bahasa Hebrew sambil sesekali menuding ke arah Rif’at. Daripada apa yang Rif’at faham, sesuatu telah berlaku yang memerlukan mereka untuk membuat keputusan segera, sama ada ingin melepaskan mereka ini atau sebaliknya. Rif’at tahu dia kini menjadi kunci, sama ada perjalanan pasukan paramedik itu terhenti di setakat di sempadan Rafah itu, atau mungkin dirinya sahaja yang tidak dibenarkan melepasi sempadan itu.
Satu…
Dua…
Tiga…
Sekali lagi detik yang berlalu terasa begitu lambat dan nafasnya seakan tertahan-tahan.
Allah…mudahkanlah… Hati meratib asma’ yang Esa, dengan doa sesungguh mungkin meski cuma sepatah.
Pegawai bermisai itu kembali memandang ke arahnya. Lama, sebelum kembali memandang butirannya yang terpapar di dalam passport berwarna merah itu.
“Keluar,”.
***
BEIT LAHIYA, GAZA
Selesai membantu Solah dan Fida’ menyusun raifal mengikut jenis yang masih berbaki, Najdat turut sama melabuhkan punggung di batuan besar yang kini seakan menjadi kerusi untuk mereka duduk. Seketika, masing-masing menggerakkan bahu dan lengan dek kelenguhan mengangkat raifal dan senjata berat yang lain. Disebabkan pada hari itu mereka tidak bersekolah, Fida’ mencadangkan agar mereka mengemaskini bilik yang menjadi tempat persembunyian senjata rampasan mereka.
“Adik kau dah sihat?” Fida’ bertanya, menoleh ke arah Solah.
Solahuddin Ayyubi atau lebih gemar dipanggil Solah mengangguk sambil tersenyum lebar. “Alhamdulillah, sudah. Gigih ayah aku ke hospital mencari ubat. Sesak juga katanya,”.
Hospital dan kesesakan. Bukanlah satu perkara baru. Najdat hanya menjadi pendengar tanpa sepatah bicara, seperti biasa.
“Hari ini pasukan paramedik itu sudah bergerak ke kem pelarian Khan Younis. Mereka berpecah kepada dua pasukan, satu pasukan lagi terus ke Deir Al-Balah,” Fida’ melaporkan. Matanya tidak lari dari menatap skrin telefon bimbitnya. Dalam kalangan mereka, hanya Fida’ dan beberapa orang sahaja yang mempunyai telefon bimbit. Kebiasaannya, jika mereka berpecah kepada pasukan kecil seperti itu, Fida’ akan menjadi pelapor kepada pasukannya memandangkan dia adalah sumber komunikasi.
“Pecah dua? Mereka ada ramaikah?” Solah melompat turun dari batuan tempat mereka duduk itu.
“Dalam dua puluh orang juga,”.
“Semua lelaki?”.
“Ada perempuan. Dalam dua atau tiga orang sahaja setiap pasukan,” Fida’ angkat muka. “Pasukan Miqdad akan beransur-ansur pulang sehinggalah salah satu pasukan paramedik itu selamat sampai ke Gaza City,”.
Najdat hela nafas.
Ada juga yang masih mahu membantu mereka. Kerana itu bagi mereka, setiap bantuan yang tiba itu adalah salah satu rahmat Tuhan dalam meringankan apa yang mereka hadapi. Kerana itu juga, mereka sebolehnya bersungguh mahu memastikan setiap pasukan yang dihantar ke Gaza itu selamat masuk dan pulang. Mereka tahu, hakikatnya, bukan semua manusia yang hidup di muka bumi ini kejam.
Ada yang ingin membantu, namun tidak berpeluang. Maka apabila ada yang mendapat peluang untuk menyumbang bakti terhadap mereka di Gaza ini, warga Gaza sendiri teramatlah menghargai kedatangan mereka. Mereka tahu manusia-manusia yang datang ini datang dengan kesungguhan, kerana peluang seperti ini, pada zaman ini terutamanya, amatlah susah diperolehi.
“Aku mahu meronda hari ini,” ujar Najdat. Solah dan Fida’ memandang ke arahnya. Tanpa perlu bertanya, mereka tahu apa yang membuatkan Najdat memutuskan sedemikian tiba-tiba sedangkan sejak awal tadi tiada dalam perancangan pun apa yang mahu dilakukan pada hari ini. Semalam sahaja, seorang lelaki ditembak sehingga dua puluh butir peluru menembusi badannya. Situasi itu diceritakan oleh seorang perempuan yang menjadi saksi kejadian, mengatakan bahawa tentera Israel mendapati lelaki tersebut membawa sebilah pisau  bersamanya walhal lelaki tersebut langsung tidak menggunakan pisau tersebut untuk mempertahankan dirinya.
Dasar zionis pengecut. Sebilah pisau yang tidak digunakan berbalas 20 das tembakan.
Rasa bersalah ternyata menyelubungi Najdat dan rakan-rakannya. Senjata yang mereka ada terhad, juga sebenarnya adalah hasil rampasan daripada mana-mana tentera Israel yang berjaya ditewaskan. Ada juga yang sempat diselamatkan sebelum gudang senjata tentera Gaza disita Israel. Para pemuda yang mempunyai kemahiran dalam menggunakan senjata di kawasan Beit Lahiya itu secara tidak langsung merasakan segala apa yang berlaku terletak di bahu mereka.
“Ayuh, ajak yang lain juga. Aku pasti mereka juga kebosanan,” kata Najdat.
Israel tak pernah lama dalam membiarkan suasana aman seperti kebelakangan ini. Ini semua propaganda…dan rakyat Gaza ini sudah masak benar dengan perangai zionis laknatullah itu.
Najdat memandang langit tatkala Solah dan Fida’ berlari masuk ke dalam bilik senjata.
Sejak misi melindungi pasukan paramedik dari Malaysia bermula, hatinya sebenarnya sudah terasa seperti ada sesuatu yang akan berlaku. Sesuatu yang bakal mengubah hidupnya tidak lama lagi. Tetapi apa, dia sendiri tidak tahu dan tidak pasti. Mungkin Tuhan hanya menghantar rasa, supaya dirinya bersedia mengakhiri peribadi sepinya yang sekarang ini.
Sudah lama kasih sayang keluarga tidak membuatkannya tersenyum.
Mana ada yang hidup lagi dah…
***

KHAN YOUNIS, GAZA
Seperti rancangan yang telah diatur, sebaik sahaja mereka melepasi sempadan Rafah, pasukan mereka terus sahaja berpecah kepada dua. Pasukan pertama terus menuju ke Deir Al Balah yang terletak sedikit jauh berbanding dengan pasukan kedua yang akan berkampung di kem pelarian Khan Younis.
“Punya la aku bayangkan kau kena tumbuk tampar macam dalam cerita orang putih tu…” Semangat Irfan Halim berkata kepada Rif’at. “Macam scene kalau kena soal siasat dalam bilik tahanan tu,”.
“Banyak sangat tengok movie la kau ni,” Rif’at membalas.
“Agak la..” Irfan mengakui sambil sengih sumbing.
Rif’at dan yang lainnya turut tersengih. Tengok gaya Irfan sahaja dia sudah tahu dia ini bukan setakat kaki movie, tapi juga minat dalam videografi dan fotografi. Mana tidaknya, sejak tiba di Mesir tempoh hari, hanya dia seorang yang tidak lekang dengan handicam jenama Olympus di tangan.
“Haa…sembang la sementara boleh. Sekali dah mula medical check up kejap lagi, lagi 8 hari la korang dapat rehat,” Dr. Irham selaku ketua pasukan mengingatkan mereka yang galak bercerita. Kali ini mereka menaiki sebuah van menuju ke kem pelarian di Khan Younis.
“8 hari yang belum tentu lagi boleh dapat lain kali, biarlah tidak rehat pun,” Mus’ab mengangkat kening dua kali.
Yusuf sengih sambil geleng-geleng kepala. “Betul la tu. Tapi kalau tak penat fizikal, bukan manusia la kita ni,”.
Tawa pecah hingga reda sedikit demi sedikit.
Lantas jeda seketika suasana di belakang van tersebut.
***
Tugas Rif’at hakikatnya lebih kepada pembantu perubatan, berbanding dengan mereka yang lain kebanyakannya sudah mencapai kelayakan seorang doktor. Mujur juga dia ini pelajar perubatan walaupun tidak sempat menghabiskan pengajian. Selainnya, ada juga beberapa orang seperti Yusuf yang juga masih lagi seorang pelajar seperti dirinya, namun mereka telah lebih awal mendapat latihan sebaik sahaja terpilih untuk menyertai ekspedisi di Gaza ini.
Kali pertama berada sendiri di sebuah kem pelarian seperti yang selalu didengari dan dibaca, Rif’at kini melihat dan merasa sendiri keadaannya. Melihat wajah-wajah warga Gaza membuatkan Rif’at kali pertama benar-benar merasakan dirinya pulang ke kampung halaman walau tidak seorang pun tidak dikenalinya di situ.
Kalau bukan kerana dia turut memakai topeng muka dan berpenampilan kemas,  pasti dia juga dianggap sebagai penghuni kem pelarian tersebut. Keadaan pasukan tersebut jadi mudah dengan kehadiran Rif’at. Bukan setakat pembantu perubatan, siap boleh jadi penterjemah lagi bagi teman-temannya.
“Bagaimana, hari pertama?” Sengaja Yusuf melanggar perlahan bahunya tatkala berjalan melepasinya.
“Alhamdulillah… macam pulang ke kampung halaman pula aku rasa,” Rif’at membalas. Biarpun ‘kepulangannya’ tidak bersambut, namun mendengarkan bicara-bicara warga kem pelarian itu sahaja sudah cukup membuatkan Rif’at terasa seperti di kampung halaman. Selama 12 tahun berada di Malaysia, abi tidak pernah membiasakan dirinya tidak berbahasa arab, apatah lagi arab ‘ammi Palestin. Di Vehaen, Rif’at lebih berpeluang melancarkan kembali Bahasa arabnya apabila bertemu dengan pelajar-pelajar dari timur tengah, sekali gus mempelajari dialek Bahasa arab negara-negara lain.
 Botol air di sisi dicapai, mencuci sisa darah di telapak tangan. Sedari tadi membantu Asyraf membaluti bahu seorang lelaki separuh umur yang mengalami pendarahan teruk akibat luka tembakan. Dia memandang sekeliling. Ternyata di kem pelarian Khan Younis ini, apa yang lebih diperlukan adalah bekalan makanan dan ubat berbanding sumbangan tenaga paramedik seperti mereka kerana doktor-doktor yang dihantar daripada hospital berdekatan sudah mencukupi.
Mungkin mencukupi buat masa sekarang.
Ketangkasan seorang manusia menarik perhatian Rif’at sejak kali pertama mengenalinya di kem ini. Sedari tadi tidak berhenti ke hulu ke hilir bertanyakan khabar penghuni di kem ini. Bagaikan dia sudah mengenali semua yang berada di situ dan begitu juga sebaliknya.  Mungkin sudah lama berkhidmat di sini.
“Menung apa, anak muda?” Manusia itu lantas menegur mesra, menyedari dirinya diperhatikan.
“Kagum dengan doktor,” jujur Rif’at menjawab.
Dr Rashed ketawa sambil menepuk bahu Rif’at. “Aku lagi kagum dengan anak muda macam kau ni, Rif’at. Kadang anak muda zaman ini selalu berfikir, tempat sebegini bukan untuk mereka,”. Ringkas, tapi padu. Kemudian, dia berlalu pergi.
Namanya, Zain Ar-Rashed atau dikenali ramai di situ dengan panggilan Dr Rashed. Melihat ketangkasan dan aktifnya manusia itu jika mahu dibandingkan dengan orang lain sudah cukup membuatkan Rif’at cukup kagum dengan semangat yang terzahir pada perbuatannya itu, apatah lagi bila sudah mengetahui kisah hidupnya.
Badannya berangka besar, seperti orang arab kebanyakannya. Jambangnya tebal, mengingatkan Rif’at pada abi di Malaysia sana. Seorang hafiz al-quran, dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya. Satu perkara yang membuatkan Rif’at amat tertarik dengan manusia ini adalah kelulusan kedoktorannya.
Doktor falsafah, atau nama lainnya PhD. Bukan kerana susuk tubuh hebat ini mampu memperolehi kelulusan itu dalam masa yang singkat. Ringkasnya adalah kerana Dr Rashed itu menyelesaikan pengajian kedoktorannya dan disambung pula dengan Master, seterusnya PhD di tempat yang sama dengan dirinya.
Vehaen University.
Dr Rashed mengahwini isterinya ketika baru sahaja menamatkan pengajian manakala isterinya ketika itu berada dalam tahun akhir pengajian dalam bidang yang sama. Kedua-duanya adalah kelahiran Gaza atau lebih tepat, Khan Younis dan sememangnya bertekad untuk meneruskan pengajian dalam bidang tersebut. Kedua-duanya punya cita-cita untuk berkhidmat sekembalinya mereka ke Gaza nanti.
 Mereka berdua kemudiannya terus menetap di Birmingham sementara menanti Dr Rashed menyudahkan Master dan PhDnya dalam tempoh yang dikira agak singkat daripada kebiasaan. Sepanjang di Birmingham, Dr Rashed dan pasangannya dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Ditakdirkan, pada saat-saat akhir Dr Rashed akan menyudahkan PhDnya itu, berlaku satu rusuhan  dan demonstrasi disebabkan kes pengeboman di Chelsea. Suasana ketika itu dipanggil ‘Dark Days’ bagi semua warga muslim yang berada di seluruh pelosok United Kingdom. Keselamatan warga muslim walaupun ramai di kawasan Birmingham itu tidak lagi terjamin apabila kelompok anti-muslim bertindak di luar kawalan dan keadaan itu langsung tidak mendapat perlindungan daripada polis tempatan.
Berkenaan Dark Days itu pernah Rif’at sendiri dengar ketika berada di zaman persekolahan rendah. Abi juga berkata peristiwa itu meninggalkan kesan sehingga bertahun-tahun lamanya untuk meredakan kemarahan anti-muslim di UK seperti mana peristiwa 9/11 (World Trade Center dihentam pesawat) yang berlaku pada tahun 2001. Tatkala Rif’at menerima surat tawaran untuk menyambung pelajaran di Vehaen, suasana ketika itu sudah pun boleh dikatakan agak stabil. Kerana itu sepanjang keberadaannya di Birmingham, tidak pula berlaku diskriminasi terhadap warga muslim. Lebih-lebih lagi apabila Vehaen University sendiri menyediakan masjid sendiri untuk pelajar-pelajarnya yang beragama Islam.
Ditakdirkan, ketika Dr Rashed berada di Vehaen University, rumah yang disewanya telah dipecah masuk oleh sekumpulan anti-muslim. Sekembalinya Dr Rashed dari universiti, dia mendapati isteri dan anak-anaknya semuanya mati ditikam secara kejam oleh penjenayah-penjenayah yang berkenaan. Kes tersebut pada awalnya mahu diklasifikasikan sebagai kes pecah rumah, namun setelah Dr Rashed mengesahkan tiada barang yang hilang, konklusi dibuat bahawa ini adalah salah satu kes susulan daripada kemarahan kelompok anti-muslim.
Pihak polis pula ternyata memburukkan keadaan apabila membiarkan kes tersebut dengan alasan tiada bukti dan sebarang petunjuk untuk digunakan bagi menjejaki penjenayah. Dr Rashed pula yang disiasat mengalahkan penjenayah dengan soalan-soalan yang menunjukkan seakan-akan dia inilah pengganas muslim yang melakukan huru hara di Chelsea itu. Dr Rashed hampir sahaja berputus asa dengan situasi yang menekannya ketika itu, namun lekas dia bermuhasabah sehingga diberikan kekuatan untuk menghabiskan pengajiannya dan pulang ke Khan Younis.
Kepulangan yang membawa azam serta tekad yang pernah sama-sama dibulatkan dengan isterinya yang tercinta. Sehingga hari ini, azam dan tekad itu yang membuatkan dia terus tersenyum dan bersemangat menabur bakti pada kampung halamannya ini.
“Alhamdulillah…” Hamdalah mencuri keluar perlahan dari bibir Rif’at, mengenangkan segala apa yang dilalui bersama sahabatnya sepanjang di Birmingham jauh sekali lebih ringan berbanding dengan apa yang menimpa keluarga Dr Rashed. Melihatkan semangat manusia itu sedikit sebanyak memberi inspirasi kepadanya untuk semangat sentiasa.
“Abang…”.
Suara kanak-kanak yang menyapa itu lekas membuatkan Rif’at tunduk, memandang seorang kanak-kanak perempuan yang kini menghulurkan kedua-dua tangannya untuk minta didukung. Dari posisi Rif’at berdiri sahaja dia mampu melihat bahagian kepala kanak-kanak itu yang berjahit, sehingga membuatkan satu bahagian kepalanya botak tanpa rambut.
Rif’at senyum sebelum mendukung kanak-kanak perempuan itu.
Ketika itu, muncul pula di hadapannya seorang budak lelaki berusia sekitar 11 atau 12 tahun yang dikenali Rif’at sebagai abang kepada kanak-kanak yang kini berada dalam dukungannya. “Ouh, maafkan saya. Dia memang suka merayau…” katanya dengan sopan sambil tunduk ke bawah.
Melihatkan perilaku budak lelaki itu, Rif’at jadi kagum. Beradab. Lantas Rif’at menapak selangkah ke hadapan sambil meramas rambut budak lelaki tersebut. “Apa nama kamu?”.
“Marwan…”.
Rif’at mengambil nafas. “Tak apa Marwan, abang jaga adik kamu sebentar. Apa namanya?”.
“Fatima,”.
“Fatima….” Rif’at mengulang.
Budak lelaki itu tetap tunduk, diam tanpa sepatah kata.
“Dah makan, Marwan?”.
Dia menggeleng pula.

“Ayuh,” Bahu budak itu dipaut perlahan.