Friday 14 April 2017

Dia, A ~ (Prolog - Bab 1) ~ Ednin

PROLOG

REMOTE SENSOR kereta ditekan. Akhirnya, kakinya berani melangkah ke arah bus stand yang bertentangan dengan Sekolah Menengah (P) Raja Hamimah itu. Sepuluh minit dia menunggu di dalam kereta tadi, mengumpul semangat untuk berhadapan dengan gadis yang tengah menunggu bas itu.

   Cadangan Sun dua hari lepas disahut dengan berat hati. Tangan diraupkan ke muka sambil dia mengaminkan doa di dalam hati. Fuhhh, minta-mintalah Tuhan bukakan hati si dia yang sudah berada di dalam lingkungan 20 tapak dari tempat dia memarkir kereta.

   Matanya memandang lagi si gadis bertudung hitam itu. Gadis itu sedang menunduk membaca sambil tersenyum keseorangan. Tiba-tiba perasaan gemuruh dan takut mula bercambah di hatinya.
   Adoi, betul ke apa yang dia sedang lakukan ni? Dia bertanya kepada diri.
   Tak muda sangat ke? Sekali lagi dia bertanya.
   Bertubi-tubi suara yang menjengah kepalanya ketika ini.
   Tapi bukankah ini hak dia untuk meluahkan perasaan?
   Lagipun dia pasti dengan perasaannya ketika ini dan juga perasaannya sejak setahun sebelumnya.
   Dia pasti bahawa gadis itulah yang terbaik untuknya. Kut?
   Dia bukannya Sun- si playboy yang masih keliru dalam mencari si dia yang satu itu.

   Dia adalah Farhan- dan dia tahu apa yang dia inginkan. Dan bila dia mahu sesuatu, dia bekerja kuat untuk mendapatkannya. Dan dia juga akan memastikan apa yang dia mahukan itu tercapai, tak kiralah apa yang dia perlu lakukan.

   Kedua-dua tapak tangan digenggam. Come on, Farhan! Man up and go! Dalam hati, Farhancuba untuk memberi prep talk kepada dirinya.

   Sepuluh derap langkah lagi sebelum mereka berdiri secara berdepan.
   Sekali lagi dia memandang gadis bertudung hitam di hadapannya. Gadis itu masih tak menyedari kehadirannya, masih lagi hanyut dengan material pembacaannya.
   Dari sumber yang dipercayai, dia tahu yang si gadis memang pembaca tegar, membaca apa jua genre yang kena dengan moodnya.

   Berlainan pula dengan dia yang memang anti buku itu. Farhan lebih gemarkan aktiviti luar dari memeruk di dalam ruang, membaca. Berada di dalam rumah, memenatkan dirinya.
   Dan bukan fakta itu saja yang dia dapat tahu, malah hal-hal lain juga dia sudah berjaya risik dari ejen yang dia upah dengan air teh dan nasi lemak ayam setiap pagi selama setahun itu.

   Nama si gadis ialah Abiir Humairah binti Abdul Halim. Dipanggil Abiir oleh rakan-rakan dan kakak di kalangan famili. Berumur 18 tahun dan merupakan anak sulung kepada pasangan En. Abdul Halim dengan Pn. Hamidah. Dia juga kakak tunggal kepada Aiman Haziq binti Abdul Halim, junior Farhan sendiri.

   Abiir juga adalah seorang pembahas sekolah. Disebabkan pertandingan bahas Bahasa Melayu itulah mereka bersua muka. Mereka dipertemukan di pusingan akhir Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Selangor tahun lepas.

   Kiranya, Farhan jatuh cinta serta merta bila melihat petahnya Abiir di atas pentas membalas hujahnya tapi nasib tetap menyebelahi sekolah Farhan. Dan sejak itu, dia cuba mengorek rahsia dari orang sekeliling mengenai Abiir Humairah.

   Dari Sun, si kawan baik, dia mendapat tahu yang Abiir Humairah itu kakak kepada Aiman. Junior tingkatan tiga sekolah mereka. Apa lagi dia pun cuba merisik rahsia-rahsia tentang si kakak dari Aiman.

   Mula-mula Aiman malas juga nak melayan diorang tapi dengan ‘upah’ teh ais dan nasi lemak ayam setiap hari (tanpa serik) selama setahun itu, akhirnya Aiman mengalah juga. Info mengenai kakaknya sampai juga di telinganya.

   Tapi jawapan si Aiman itu menyebabkan dia terpaksa menarik balik proses mengayatnya. Kata si Aiman:

   "Kak Abiir tu? Mana ada boyfriend, dia tu sumpah nerd gilerr. Dia cakap dia tak mahu fikir pasal relationship-relationship ni. SPM bang oiiii. Thick glasses's mode is on. Lagipun dah banyak dah lelaki dia reject selama ni. Bagi kak Abiir lelaki yang dok mengayat anak dara orang ni bukannya spesies yang boleh dipercayai. Dia blacklist terus! "

   Disebabkan itu dia tangguhkan dahulu proses mengayat si jantung hati. Berbulan-bulan jugak dia pandang si jantung hati itu dari jauh sambil dia pujuk diri sendiri juga. Lagipun masa tu dia sendiri tengah sibuk dengan STPM.

   Selepas SPM saja, dia menyambung menyiasat lagi. Berjumpa dengan Aiman, lepak-lepak di Starbucks, KFC, McD dan mana-mana tempat yang boleh melepak, mencungkil rahsia. Tak kiralah di Selangor hatta Kuala Lumpur pun dia sanggup redah untuk bertanyakan perihal Abiir dari Aiman.

   “Abang Paan suka kat kak Abiir ke? Seriously?”
   Mata yang sedia bulat itu bertambah bulat di matanya. Gelak syaitan nirrojim Aiman di tengah-tengah food court Jusco itu. Mahu je Farhan pelempang budak yang berumur 15 tahun itu tapi ditahan juga perasaannya. Mana taknya itulah sumber 'emas'nya. Kalau dia bagi pelempang, memang sahlah kena ucap selamat tinggal pada operasi ayat-mengayat Abiir si jantung hati.

   “Abang, seriously.. lupakan je la kak Abiir tu. Dia cakap dia tak percaya cinta-cinta sebelum berkawen ni. Kalau kawan tu serius nak dia, kena masuk meminang. So abang you got no chance la. You’re player at heart and don’t you ever dare to main-mainkan my sister okay!”

   Terkulai layu Farhan di bangku bila mendengar kata-kata Aiman itu. Lama dia memandang Aiman, meminta pengertian tapi sebaliknya Aiman hanya mengangkat bahu lalu menghirup Slurpee dengan rakusnya. Slurpee free mana tak rakus?

   Sebulan lebih juga dia memikirkan cara-caranya untuk memikat si jantung hati itu.
   Tapi semuanya balik kepada kata-kata Aiman.
   Kalau serius nakkan si jantung hati tu = masuk meminang.
   Itu saja opsyen yang tinggal.

   Tapi takkan la sampai nak masuk meminang Abiir kut? Dia nak masuk 18 tahun, aku pun nak masuk 20 tahun. Jauh lagi masa depan diorang.

   “Dah kau nak sangat, masuk meminang je la. Lepas kau habis degree nanti, kahwin. Apa susah? Nak kata kau tak mampu, ekonomi tak stabil, tak juga. Family kau mampu, kau nanti habis belajar, kerja terus dengan bapak kau. Semua dah secure. Just go and propose la Paan oi.”

   Dia teringat kata-kata Sun itu hari.
   GILA! Memang itu dia hamburkan pada Sun itu hari. Tapi kepala Sun tu memang macam tu, gila-gila. Jenis riang-riang raya, tak pernah nak serius.
   Kepala kata gila, hati kata mahu.
   Demit!

   Masa tu memang dia kata gila, tak masuk akal. Dan sebetulnya memang dia nak letak tanda noktah pada nama Abiir tu tapi bila saja keretanya melewati bus stand SMPRH tadi, dan bila saja lensa matanya mentitik fokus Abiir yang sedang menunggu bas di situ.

   Benda yang dia kata gila, tak masuk akal tu semakin hilang, semakin bertukar jawapan.

   Gila dah jadi normal. Tak masuk akal dah jadi masuk akal.
   Dan seminit selepas tu, dia memberhentikan kereta di bahu jalan.
   Dan setengah jam selepas berfikir, tambah tolak, bahagi darab.

   Dia akhirnya berada dalam keadaan dua derap langkah dari Abiir yang masih lagi tenggelam dengan dengan dunia bacaannya itu.
   “Awak...” Perkataan awak itu keluar tergagap dari mulutnya. Oh ini yang boleh keluar dari mulut seorang pembahas?

   Si jantung hati angkat muka. “Ye?” Buku di tangan ditutup. Senyuman terukir di wajah ceria itu.
Farhan menggenggamkan tangan.
   Satu minit..
   Dua setengah minit..
   Tiga empat suku minit..
   Nak cakap ke tidak?
   “Bas saya dah nak sampai ni. Awak ada apa-apa nak cakap ke?” Dia mendengar Abiir bersuara.

   Farhan diam. Kepalanya ligat mencari ayat yang sesuai, takkan nak berlutut would-you-marry-me kut? Dah la tak ada cincin, tak ada bunga apa? Hanya ada diri sendiri...

   “Awak…” Suara itu memanggil lagi.
   Dia menyeluk poket belakang, ada wallet yang ada RM260 je, itupun duit yang dia dapat bila menolong bapanya di pejabat sejak habis STPM dua bulan lepas... di sebelah lagi ada kunci rumah dengan kunci kereta...Ini saja yang aku ada... boleh ke nak jaga anak orang? Tapi cadangan Sun tu macam bernas di kepalanya. Dia menarik nafas. Hembus.

   Yakin.

   Dan sekarang tiba masanya, untuk dia menunaikan haknya untuk meluah...
   “Kita couple?”

   Serentak dia mengeluarkan jam G-Shock dari tangan kanannya. Lalu diserahkan kepada Abiir yang dah melopong di depannya. Farhan tahu, sumpah dia tahu, yang muka dia dah bertukar warna sekarang ni. Wajah dihadapan itu ditatapnya. Jelas sekali riak terkejut di wajah itu. Dan ya juga, si jantung hati, saya juga terkejut...

   “Err.. you must be joking, right?” Tenang.
   “I’m serious, Abiir.”
   Abiir bersandar di kepala bangku. Oh oh...
   “Tapi…”

   Farhan bangun. Perkataan 'tapi' itu menyesakkan kepalanya. The buts, the however.. sumpah memang bukan ayat kegemarannya. Macam bila tengok rancangan realiti di TV, juri-juri mesti akan mulakan komen dengan you're good, you’re great... and then comes the buts, and the howevers.. to tell the bad news. Kononnya macam nak meneutralkan balik perasaan itu.

   “It's okay. Awak ambik masa fikir.”
   Dan kini tiba pula hak Abiir untuk menjawab soalannya dan dia mahu gadis itu benar-benar berfikir akan soalannya tadi. Biarlah berapa lama Abiir nak ambil pun, dia tak kisah.
   Farhan dah memulakan langkahnya kembali ke arah tempat dia memakir kereta tadi.

   “Farhan!” Dia mendengar Abiir menjerit namanya. Dia berpaling, lama dia mereka memandang sesama sendiri. Melihat sepasang mata bundar di hadapannya, dia sudah dapat mengesan jawapan si gadis.

   Tanpa menunggu jawapan, Farhan terus berpaling dan berjalan tak menoleh ke belakang lagi. Dia tahu, arif sangat akan jawapan si gadis.

   The answer is NO. And it has been decided in just merely with a few seconds.





BAB 1

10 tahun kemudian...

KUNCI KERETA dicampakkan ke atas katil. Kemudian dia merebahkan diri sekali atas katil yang bercadarkan corak abstrak, campuran warna merah dan hitam itu. Tali leher yang menjerut leher dilonggarkan. Entah kenapa hari ni melampau betul rasa penatnya.

   Tangan kanan diletakkan ke dahi, mahu merehatkan otak selepas hari yang sibuk. Satu hari berlari sana sini menyelesaikan hal-hal syarikat. Dari kilang di Balakong berlari balik ke pejabat di Damansara untuk mesyuarat dengan pembekal pula. Lepas itu pula, dia ada lunch date dengan klien dan malam nanti, dia perlu menghadirkan diri untuk alumni dinner di Concorde Shah Alam pulak.

   Dah serupa robot rasanya. Nasib baiklah juga rumahnya di Shah Alam. Sekurang-kurangnya, tak ada la gila sangat nak redah jam nanti. Ada jugalah masa untuk dia nak lelapkan mata sekejap. Mata dipejamkan seketika.

   Tok tok tok.
   Dia mendengar ketukan pintu.
   Tok tok tok.

   Dia masih memejamkan mata. Tak mengendahkan ketukan pintu. Sungguh dia mahu berehat sekejap. Selepas seketika, dia terdengar pintu dibuka perlahan. Bunyi tapak kaki bergerak ke arah katil, tempat dia sedang berbaring ini. Bunyi derap langkah kaki itu berhenti.

Diam seketika ruang kamar yang bewarna kelabu putih itu. Farhan masih lagi dalam posisi sebelumnya. Sungguh, dia mahu melelapkan mata.

   "ALONGGGGGGG!"

   Terkejut. Terus dia bingkas bangun. Wajah yang masam mencuka itu dipandangnya. "Dah kenapa ni Ezzah? Along penat lah. Bagi chance la Along nak take a nap kejap..."

   Ezzah tersengih sambil dia mengambil tempat di sebelah abangnya. "Saja nak kejutkan. Ingat Ezzah tatahu yang Along buat-buat tak dengar bila Ezzah ketuk tadi?"

   Farhan mencebir. "What’s up? Hal apa yang pentang sangat ni sampai datang bilik Along ni?”

   Ezzah tersenyum manja. Kedua-dua tangannya disuakan, seakan-akan meminta sesuatu. Kening Farhan terangkat. Tak faham. “Dah nak apa pulak ni?”

   Muka yang senyum tadi kembali masam. Ezzah terus duduk di birai katil. Geramnyaaaa!

   “Kenapa?" Farhan bertanya lagi.
   "Lupa lagi la tu?"

   Farhan tersengih. Tapi sengihannya mati bila terpandang mata yang sedang tajam memandangnya. Dia cuba memikirkan apa yang adiknya inginkan kali ini. Apa yang Ezzah idamkan minggu ini?

   Sejak Ezzah berbadan dan Uzair masih di atas kapal, untuk bekerja- dialah yang bertukar menjadi segala tukang untuk menggantikan Uzair.

   Tukang bawak kereta bila Ezzah mahu ke mana-mana.
   Tukang angkat bag plastik bila Ezzah mahu shopping. Dan mengenali Ezzah, yang kaki shopping tu.. wow! That’s a BIG business kut.

   Serius dia dah taubat dah tak nak ikut Ezzah untuk bershopping. Hal itu semuanya dia serahkan pada mama. Tidak pun pada Hadhira, adik iparnya. Biar perempuan yang menemani, lebih afdal gitu.

   Haa lagi satu, dia juga menjadi tukang membeli makanan.

   Mula-mula dia geram juga. Mana taknya pukul dua pagi, ketuk bilik teringin nak makan ikan bakar. Siapa tak geram. Tapi bila mengingatkan hanya dia yang Ezzah ada, dia turutkan jua. Takkan nak suruh papa yang dah tua tu kut, atau Ezzaq yang dah ada anak bini?

   Maka semuanya kembali kepada dia, si abang sulung yang single mingle ni. Untunglah dapat abang yang bujang tra dang dang ni walaupun umurnya memang dah tahap umur wajib kahwin dah pun. Dan untunglah juga yang dia ada adik perempuan sorang. Kalau dibuatnya sepuluh. Hands down! Awal-awal lagi dia angkat bendera putih.

   “Berangan!”

   Farhan tersengih. Gotcha! Dia menguap malas.
   “Along mesti tak beli kan?"

   Farhan cuba memikirkan kembali. Apa yang dia lupa sebenarnya? Patutnya dia buat reminder di dalam telefon pintarnya, taderlah nak gila fikir balik apa yang dia lupa.

   "Along... nanti on the way balik carikan buku pregnancy kat Ezzah eh?"
   Farhan menepuk dahi.

   “Kan lupa lagi kan? Dua minggu lepas lagi Ezzah dah ingatkan. Every day. Every morning.”
   "Along lupa dan sangat-sangat busy lately. Sekarang akhir tahun, banyak benda nak kena follow up dekat kilang."
   Ezzah menjeling. Dah dua minggu kut dia minta buku itu dari Along! Itupun susah ke? Air mata mula bergenang...

   "Yellah. Yellah."

   Kata Ezzaq hormon orang mengandung memang pelik sikit. Macam Ezzah ni la kut. Tak dapat buku pun boleh buat air mata.

   "Along pergi beli sekarang." Sambungnya lagi. Farhan mencapai kunci kereta disebelahnya. Dia bingkas bangun berdiri. Rasanya tadi dia ada nampak kedai buku di deretan kedai sebelum masuk kawasan perumahan mereka.

   "Tak payahlah.. nanti Ezzah pergi beli sendiri." Tiba-tiba Ezzah rasa dia dah terlebih. Nak merajuk tak bertempat dengan Along sendiri. Padahal memang betul pun, nampak sangat dah, yang Along tu penat bekerja. Tambah-tambah bila papa selalu sakit-sakit sekarang ni. Kerja Along dah jadi ganda dua.

   Farhan menggelengkan kepala. “Tak payah, tak payah. Along pergi sekarang.” Dia dah berjanji dengan Uzair untuk menjaga Ezzah. Kang nanti kalau apa-apa jadi pada Ezzah, tak terjawab pada Uzair nanti. Lagipun apalah sangat nak berkorban untuk adik sendiri.

   "Tapi.."
   "Ezzah nak ikut ke atau tak nak?"
   Ezzah menggeleng. Malas nak menukar baju.
   "Okay buku mengandung kan? Lagi?"
   “Yang tu je kut. I just need that.”
   “Roger.” Kaki melangkah keluar dari biliknya.
   "Beli banyak-banyak sikit ye Along." Ezzah menjerit.

   "Iyeeee." Jawabnya perlahan. Kaki dihalakan ke tangga. Kalau macam ni lah rasa susahnya nak jadi seorang suami, dia terpaksa berfikir balik berjuta kali pasal cadangan-cadangan orang tersayang yang menyuruhnya berkahwin.

   Nasib baiklah dulu tak teruskan misi gila-gila dia tu. Betullah kata orang, setiap yang berlaku itu ada rencananya tersendiri. Lagi baik tumpukan pada kerjaya yang baru nak menapak ni.



BOOK’S COTTAGE. Dia membaca dalam hati perkataan yang tertera di papan tanda warna putih itu. Pelik sungguh nama kedai ini. Kalau sekali tengok dari luarannya, dia tak akan dapat meneka bahawa kedai ini adalah kedai buku. Mujurlah ada perkataan ‘book’ di hadapan namanya. Kalau tidak, dia kena menapak ke tempat lain pula.

   Book’s cottage ini mengingatkan dia pada deretan kedai yang jumpa ketika berkunjung ke Paris beberapa tahun lepas. Fasad hadapan kedai itu ringkas dengan batu-bata merah dan tingkap kaca besar dan juga pintu bewarna putih.

   Melalui tingkap besar itu juga dia melihat dua kerusi yang diletakkan di dalam kedai,  bersebelahan tingkap. Mungkin untuk kegunaan melepak atau membaca?

   Farhan tersenyum. Memang tepat betul pilihan dekorasi dengan nama kedai itu. Farhan terasa seolah-olah dia sedang menghala masuk ke rumahnya sendiri. Mungkin agak kecil tapi err... welcoming. Interesting choice of decoration too! Bagus citarasa pemilik kedai ini. Pujinya dalam hati. Terus tangannya menolak pintu putih itu ke dalam.

   Dan bunyi loceng angin kedengaran seketika.

   Mata Farhan memandang segenap pelusuk kedai buku itu. Wow. Dia kagum sekali lagi dengan dekorasi dalam kedai ini. Kedai ini sudah diubahsuai menjadi satu setengah tingkat.
   Matanya tertumpu pada aras setengah tingkat di hadapannya. Aras itu juga dipenuhi dengan buku-buku dan beberapa bean bags yang berwarna warni di lantainya. Seperti loteng kecil yang dia selalu nampak di dalam cerita-cerita Inggeris.

   Manakala di aras bawah (tempatnya berdiri sekarang ini) ada berbaris-baris rak buku berwarna putih. Dan setiap rak itu dibahagikan ikut genre. Matanya mencari genre mana yang sesuai sehinggalah matanya menangkap perkataan Health/Kesihatan di satu rak putih itu.

   “So there you are.” Dia berkata sendirian. Tanpa melengahkan masa kakinya bergerak ke sana. Rak buku yang penuh dengan genre ibu mengandung itu dipandangnya. Banyak juga rupanya buku-buku ni di pasaran. Dari Bahasa Melayu sehinggalah ke Bahasa Inggeris.
   Terkaku juga dia di situ. Yang mana satu mahu dipilih ini?

   Tangannya terus mencapai buku Diet Ibu Mengandung di rak. Sinopsis di belakang dibaca laju. Terus, buku itu dimasukkan ke dalam raga yang disediakan.

   Sekali dia berdiri berteleku di situ. Nak pilih yang mana pulak ni. Jari telunjukknya berlari di atas buku-buku itu, memilih secara rawak.

   “Boleh saya tolong?” Satu suara menegur.
   Farhan terdiam. Suara tu macam pernah didengar. Pantas dia berpaling ke kanan...
   Dan disitulah 'si dia' berdiri dengan senyuman terukir di bibir.
   Nampak makin manis.
   Nampak makin matang.

   Selepas 10 tahun...

No comments:

Post a Comment