Thursday, 5 March 2015

Poskad (Bab 6) ~ Ednin

KAKINYA DISERET LEMAH ke arah tandas. Maisa masih lagi mamai setelah bangun dari tidur. Yellah, jam baru menunjukkan pukul 4.15 pagi. Kalau mengikut definisi waktu Maisa, 4.15 pagi masih lagi ‘malam’ untuknya. Masih lagi waktu tidur baginya. Tapi dek kerana mengikut tentatif program yang mula seawal 5.30 pagi, terpaksalahdia bangun mempersiapkan diri.
Sampai saja di hadapan tandas, telinga Maisa terus menangkap bunyi pancuran air di dalam tandas  menandakan ada orang di dalamnya. Lantas Maisa mengambil tempat di koridor surau. Sila dibuka dan badannya yang lenguh dek kerana beralaskan hanya lantai balai raya itu disandarkan pada dinding.
Mata yang masih setengah buka itu dipisatnya lembut sambil dia mengangkat kepala ke atas.
            Pappp.
Rahang Maisa jatuh serta-merta.
Kantuknya tadi sudah hilang sebaliknya matanya kini sudah terbuka luas melihat panorama di atas kepalanya.
Kawasan sekeliling kampung itu gelap tanpa lampu-lampu tapi dengan kehadiran bintang dan bulan di langit terang melanturkan cahaya mereka, menggantikan kegelapan kampung orang asli itu.
Subhanallah.
Cantiknya alam semesta ciptaan Tuhan yang satu ini. Tak putus-putus lafaz Subhanallah keluar dari bibirnya.
            Akhirnya senyum yang jarang keluar dari seorang Maisa tersimpul jua.
            Bukan sesaat, seminit...
Tapi, lama.
Buat seketika, Maisa rasa tenang tanpa memikirkan masalahnya.
 
 
           
“EH AIS… akak tak perasan Ais. Buat apa duduk kat sini? Sibuk tengok bintang ye?”
            Maisa tersentak dari lamunannya. Kepalanya berpaling pada suara menegurnya. Figura kak Shamizah yang baru saja selesai mandi itu berdiri di hadapannya. Kakak yang berwajah lembut itu tersenyum kepadanya sebelum turut sama memandang langit di atas.
            “Aah kak. Cantik kan?”
            “Bintang di sini memang cantik, Ais. Mungkin sebab kawasan ni suci dari pembangunan-pembangunan macam kat KL tu. Nanti kalau dah siang sikit, Ais tengok sunset pula. Subhanallah Ais… cantik sangat!”
            “Ye ke kak?”
            Kak Shamizah mengangguk. Bahu Maisa ditepuknya.
            “Bumi kg Leryar ni bumi bertuah, Ais. Bukan senang nak jumpa ni kat KL kan? Kg Leryar ini banyak mencoretkan kenangan indah, Ais.” Ujar kak Shamizah. Dia dulu pertama kali menjejak kaki ke kawasan ini turut terpukau juga dengan keindahan kawasan ini. Dengan tenangnya tanpa bunyi riuh pikuk hon kereta dan segarnya udara tanpa pencemaran.
            “Betul tu kak… kalau tengok ni kat KL kita nampak lampu KLCC dulu kan kak?”
            Kak Shamizah tergelak. Dia membetulkan pegangan tuala di tangannya. Dia ingin cepat ke dalam mengejutkan sahabat-sahabatnya yang lain
            “Ais tengoklah dulu. Akak nak masuk dalam dulu… tapi Ais jangan lama-lama sangat tengok bintang ni. Kang nanti bila orang lain dah bangun, ramai pula yang nak guna tandas…”
            “Baik kak. Kejap lagi Ais masuk…”
            “Okay. Baik-baik ya duduk seorang kat sini. Akak masuk dulu ya…” Pamit kak Shamiza sebelum masuk ke dalam balai raya di mana menempatkan peserta perempuan.
            Maisa mengangguk faham. Beg kecil yang terisi toileteries dicapainya lalu dia bangkit dari duduknya. Aku ada dua hari lagi untuk melihat panorama indah ini!
Ayuh bangun dan bersedia, Ais. Tugas berat menantimu selepas ini. Lillahi ta’ala.
 
 
MAISA MELANGKAH beiringan dengan kak Iman, ketua fasilitatornya ke hujung balai raya. Mengikut modul yang diberikan oleh abang Azli, dia bakal bersama dengan anak-anak remaja orang asli. Program mereka ini boleh dikatakan dibahagikan kepada tiga kelas modul.
Modul pertama pada orang-orang dewasa di mana, kalau tak salah Maisa, kelas mereka ini lebih kepada kelas agama dan mengaji di mana fasilitatornya dikendalikan oleh peserta program yang datangnya dari jurusan agama.
            Modul kedua pula modul yang dikendali oleh dia dan dua orang lagi peserta program. Kalau mengikut nama tertera yang di atas kertas modul ini ialah dia, kak Iman dan seorang lagi peserta, Ikwan. Modul ini menekankan aspek-aspek sosial remaja dan pelajaran-pelajaran mereka di sekolah.
            Manakala modul terakhir pula adalah untuk kanak-kanak kecil. Mereka akan diajar membaca, menulis dan juga beberapa aktiviti yang lain.
            Disamping itu ada juga pemeriksaan kesihatan pada penduduk di sini. Akan ada beberapa orang pelajar dari jurusan medik yang bakal memeriksa tahap kesihatan mereka di bawah selaan seorang doktor dari klinik kesihatan di situ.
            “Tak ada yang datang lagi ni, Ais…” Kak Iman bersuara bila mereka sampai di hujung balai yang sudah disusun atur dengan kerusi dalam bentuk bulatan itu. Kak Iman mengambil tempatnya. Fail bewarna hijau diletakkan di kerusi sebelah.
            “Macam inilah, Ais. Iniah ujian bila buat program komuniti… kadang-kadang tak semua apa yang kita rancang akan berjalan seperti di dalam rancangan. Salah satunya penerimaan dan sokongan dari penduduk setempat tu sendiri…”
            “Kak Iman dah selalu join program ke?”
            Kak Iman mengangkat fokusnya dari kertas modul. “Program kembara ni baru empat kali… sebelum ni akak terlibat dalam aktiviti dalam universiti je… tapi lama-lama tu fikir nak keluar juga dari kepompong, sebab tu akak join kembara…”
            “Mesti akak dah arifkan dengan program ni.” Jari Maisa bermain dengan bucu kotak Double A yang diisi dengan bahan-bahan untuk modul mereka.
            “Bolehlah sikit-sikit, Ais. Masih belajar lagi… setiap program kembara ni tak sama. Lain orang lain ragamnya…”
            “Pernah tak akak buat program tapi tak ada yang datang?”
            Kak Iman tergelak. “Macam akak kata tadi… ini salah satu ujian yang kami selalu dapat. Tapi nak kata tak ada seorang pun yang datang tu tak adalah, ada juga penduduk yang supportive. Tapi Alhamdulilah, selama dengan kembara, semua program kami berjalan dengan lancar. Orang asli ini baik-baik tau, Ais. Cuma diorang ni malu sikit… kita kenalah pandai tackle, kena pandai pujuk…”
            Maisa mengangguk faham. “Tapi ini kak, kalau tak ada yang datang macam mana?” tanya Ais gusar. Yellah sudah sepuluh minit berlalu tapi tiada siapa pun yang datang ke ‘bulatan’ mereka ini. Lagipun sejak semalam, dia hanya melihat beberapa orang remaja sahaja yang datang bersolat jemaah dengan mereka. Yang lain, entah di mana menghilang. Kewujudan mereka gagal dikesan.
            Kak Iman tersenyum. Dia juga menyedari masalah itu dan sebab itulah, dia sudah awal-awal lagi mengerahkan fasilitator yang lagi satu untuk melaksanakan misi penting.
            “Kita kena positif, Ais. Tambah-tambah lagi bila dalam misi baik macam ni. Allah kan sentiasa ada pada jalan yang benar.”
            Maisa terdiam. Rasa nak ketuk kepala pula dengan perangai cuak dan kelam kabutnya ini. Betullah orang hebat-hebat ni mesti kena sentiasa tenang, tidak mudah melatah. Sedangkan Rasulullah dulu bertahun-tahun berdakwah sebelum Islam diterima oleh penduduk Mekah. Apalah sangat dengan apa yang dia lakukan ini?
            “Kita tunggu lagi ya?”
            Maisa mengangguk setuju. Lalu tangannya menyelongkar beg silangnya. Modul dibawa keluar.
            “Eh diorang tak ubah pula nama Ais dalam ni…”
            Maisa angkat kepala memandang kak Iman. Mulut kak Iman dimuncungkan pada muka hadapan modul. Muka depan modul itu tertera nama peserta yang last minute tak jadi mengikuti program Kembara ini.
            “Ais…”
            “Hurm…” Matanya masih meneliti modul.
            “Jangan risau ye. Sebenarnya akak dah ada Plan B.”
            “Plan B?”
            Kak Iman mengangguk sambil tersenyum.
            “Akak percaya dia ni. I believe his charms can works on the teenagers…”
            Maisa menjungkit kening. Dia tak faham sebenarnya apa yang dikatakan oleh kak Iman ni. Agaknya macam nilah kut stail orang sastera Inggeris bercakap. Penuh metafora yang orang biasa tak tahu pangkalnya.
           
           
 
“TENGOK TU… Kan akak dah cakap. He did it…” kak Iman tiba-tiba bersuara di dalam kelompok yang sedang bersila di atas lantai balai raya itu. Maisa yang sedang melihat Umairah, adik yang berusia lapan tahun itu mengangkat muka bersama dengan beberapa orang lain yang turut sama berada di situ.
            Tadi setelah lama menunggu kumpulan sasaran modul mereka yang tak kunjung tiba, kak Iman ada mengajaknya untuk ‘melepak’ di modul kedua yang sudah siap membuka ‘bulatan’ tidak jauh dari tempat mereka.
Adik-adik yang berusia dari lingkungan 5-12 tahun itu kelihatan semangat untuk mengikuti program. Lain sekali dengan tingkah kumpulan sasaran modulnya yang tidak muncul-muncul walaupun 20 minit mereka menunggu tadi. Mungkin fitrah kanak-kanak yang lebih sukakan perkara baru dan sifat ingin tahu yang membuatkan mereka begitu berkobar-kobar mahu belajar.
Serta-merta Maisa mengalih pandangannya dari kak Iman ke arah pintu balai raya. Dari jarak tak sampai empat meter itu, Maisa melihat Ihsan masuk sambil memeluk bahu Agus diikuti dengan beberapa orang remaja yang mungkin seusia Agus.
Ihsan sudah mengangkat ibu jarinya ke arah kak Iman yang sedang tersenyum bangga.
“Inilah plan B akak…” bisik kak Iman di sebelahnya.
Maisa hanya mengangguk faham. Rupa-rupanya plan B kak Iman melibatkan lelaki itu tapi macam mana pulak yang si Ihsan ni boleh terlibat dalam modul mereka? Bukankah nama yang tertera di muka hadapan modul adalah Ikwan Hilmi, bukannya Ahmad Redha Ihsan kan? Maisa menggaru kepalanya yang dilitupi tudung.
“Jom, kita mulakan modul…” kak Iman yang duduk tadi sudah bingkas bangun. Seluarnya ditepuk-tepuk dahulu membuang debu. Maisa ikut berdiri lalu mengekori kak Iman yang akhirnya berhenti di hadapan Ihsan.
“Macam mana akak? Hebat tak saya?”
Kak Iman menjeling. “Orang hebat tak akan tanya soalan macam tu…”
Ihsan tersenyum. Matanya dikerlipkan pada kak Iman.
“Sudah, sudah. Nanti kita bincang. Sekarang ni jom kita start modul…” Kak Iman sudah mengambil tempatnya sambil dia memanggil enam orang remaja yang mengikut Ihsan tadi. Mereka masing-masing mula memenuhi ‘bulatan’ kerusi yang disediakan mereka tadi.
“Akak… kalau kawan saya ni ikut, boleh akak?” Tiba-tiba satu suara bertanya. Budak lelaki yang memakai baju belang-belang merah biru itu menunjukkan seorang kawannya yang macam malu-malu.
“Apa salahnya? Tiada yang salah pun, Amin.” Kak Iman menjawab lembut. Tangannya sudah mengedarkan kertas A4 kepada ahli bulatan.
“Tapi saya tak sekolah, kakak…” Lemah budak lelaki tinggi lampai itu menjawab. Sebaik saja ayatnya habis terus dia tunduk memandang lantai.
Khali.
Masing-masing diam.
Maisa menelan air liur. Ini pertama kali dia berjumpa dengan orang yang tidak ke sekolah. Ingatnya bumi Malaysia ini semua remajanya mesti ke sekolah. Rupa-rupanya masih ada yang tidak berpeluang lagi ke sekolah…
“Ehhh siapa kata orang bersekolah tu saja kena belajar? Semua orang kat dunia ni kena belajar… kehidupan ini kan ada banyak proses pembelajaran. Semua orang akan alami proses pembelajaran, sama ada formal seperti apa yang kita belajar di sekolah, mahupun tidak formal seperti apa yang kita belajar di sekeliling kita…” tiba-tiba Ihsan menjawab.
Maisa mengalihkan tumpuannya pada Ihsan. Lain betul mendengar pandangan yang keluar dari bibir lelaki yang selama ini dia ingat hanya tahu bersuka-suka. Tengoklah gaya Ihsan dari awal program ini, lelaki itu kan tak habis-habis berbual kosong. Siap boleh main handphone dalam hall lagi… tak sangka pula boleh mengeluarkan point ‘matang’ macam ni.
“Betul tu… setiap orang cara pembelajarannya berbeza. Macam kakak, kakak belajar dalam jurusan lukis manakala abang belajar dalam jurusan matematik. Ilmu yang kami dapat tak sama… begitu juga dengan adik, kawan adik mungkin ke sekolah belajar ilmu formal… tapi adik di rumah, mungkin belajar ilmu tak formal… mungkin cara nak menangkap ikan? Ataupun mencari madu… adik-adik yang bersekolah tak mungkin akan belajar ini kan?” Maisa pula menyambung apa yang dikatakan oleh Ihsan tadi.
Mereka semua mengangguk.
“Betul kak, Anang ni pandai buat madu dari lebah tualang. Dia jual di pasar…” Agus menyampuk. Anang menolak bahu Agus, seolah-olah tak mahu Agus menceritakan kerjanya.
“Nanti bolehlah Anang yang ajar kakak cara nak membuatnya…”
Anang mengangguk setuju. “Boleh kak… kan abang Ihsan dah janji tadi.”
Maisa dan kak Iman serta-merta memandang Ihsan bila mendengar perkataan ‘janji’ yang keluar dari mulut Anang. Ihsan yang duduk di sebelah Anang itu hanya tersengih monkey. Bahu Anang dipeluknya.
“Sun…” Mata kak Iman mengecil memandang Ihsan.
“Janji orang lelaki akak…”
Kak Iman menggeleng. “We’ll talk later…”
Ihsan angkat bahu.
            “So, jom kita start modul kita hari ni nak tak?”
            Masing-masing mengangguk setuju dengan cadangan kak Iman. Modul mengenai ‘Islam dan Remaja’ itu dimulakan usai lafaz Bismillahirrahmanirrahim terbit dari bibir kak Iman.

Wednesday, 4 March 2015

Ash (Bab 1) ~ RodieR

1
Headphone Boy
Pintu ditutup perlahan. Teman sebiliknya yang tekun menekan highlighter pada nota Pharmacognosy itu mengangkat kepala dari meja belajarnya. Berkerut sedikit dahinya melihat wajah keruh si kawan yang baru masuk itu.
            “Kau apa hal?” datar dia bertanya, tangan mencapai penutup highlighter dan pen itu diletakkan di atas meja.
            “Aku jumpa awek kau kat perpustakaan tadi, Zhar.” Sama datar dia menjawab, duduk di katil. Beg galas di belakang dirungkai dari bahu dan diletakkan di sebelahnya.
            Arif Zharfan mengangguk, tenang. “Ina cakap apa?” highlighter diambil semula dan diputar-putar di celah jemari sebelah tangan.
            “Fasal Mia.”
            Oh. “Dah tau cerita kenapa dia jadi macam tu?” Zharfan bertanya lagi. Hanya teman wanitanya, Arina dan segelintir rakan perempuan kelas mereka yang memanggilnya dengan nama Arif. Kalau geng-geng lelaki, nama Zhar atau Zharfan itu yang lebih lekat dengannya. Kadang-kadang dipanggil Zip-Zap Zhar. Basketball nicknames. Sebab dia memang selalu berlari laju macam lipas kudung sambil melantun bola dari hujung court ke hujung satu lagi. Itu kelebihan dia. Fast running. Ke kiri ke kanan. Zip-zap!
            Dia angguk.
            “Kenapa dia jadi macam tu?” Zharfan bertanya lagi. Ish, macam cakap dengan budak darjah satu la cakap dengan mamat sorang ni. Sepatah-sepatah kena ditanya! Tapi, memang persoalan yang satu ini lama dah bertandang di fikirannya. Apatah lagi di fikiran si rakan di depan yang dah lama menaruh hati pada si gadis itu seorang.
One particular girl named Amilia Aisya. Yang sejak buka semester baru ini macam baru lepas dijatuhkan balik ke bumi dek makhluk asing. Lain daripada yang dulu. Jauh sangat bezanya. Keceriaan dan keletah selamba gadis itu yang dulu, dah hilang bagai ditarik dek puting beliung. Dia lebih banyak senyap bungkam, tunduk, dengan muka keruh bagai ada awan gelap berarak di atas kepala. Banyak juga masanya dia mengesan mata gadis itu yang merah, bagai baru lepas menangis. Dan itu sangat pelik. Sebab satu kelas tahu betapa kerasnya hati Mia. Macam tak logik langsung emosi sedih itu ada dalam dirinya. Puas dikoreknya daripada Ina, tapi setia sungguh teman wanitanya itu seorang pada sahabat baiknya. Tak nak bercerita langsung. Atau mungkin baru sekarang Ina tau cerita? Mia tu bukan jenis perempuan yang senang nak bercerita hal perasaan atau apa sahaja. Selalu sangat dah dia mendengar komen yang satu itu daripada Ina.
            “Si mamat Copper... Kuprum Guy... what-the-heck-was-his-name tu tinggalkan dia.” Senada ayat itu menyapa telinga Zharfan.
            Copper? Kuprum? Oh. “Betul la dia ada apa-apa dengan budak tu?” budak medik, setahunya. Selalu belajar dengan Mia, tapi tak pernah digosipkan bersama. Sebab satu kelas tau Mia tu macam mana. Pantang diusik, digosip, mau sebulan dihadiahinya muncung sehasta. Tak kira pada siapa. It’s just not her thing, really. Tu yang si kawannya ini seorang dah tak boleh nak buat apa. Hanya boleh memendam perasaan, memandang dari jauh.
            Dia geleng. “Tak ada apa-apa. Budak tu baru nak approach dia pun, baru bagitau perasaan dia, dan Mia tolak.”
            That is so Mia! Tapi...
            Dahi Zharfan kembali berkerut. “Dah tu? Yang si Mia tu sedih senyap sekarang ni apa kena pulak?”
            “Dia menyesal.”
            “Dia menyesal?”
            Dia angguk. “Tapi budak tu pulak hilang tanpa berita. Kononnya pergi sambung belajar ke Australia.”
            “Merajuk?”
            “Mungkin.”
            “Ceh!” terkeluar sepatah kata itu dari bibir Zharfan, tak dapat nak ditahan. Kawan di katil menarik senyum nipis. “Maknanya Mia mungkin ada perasaan kat budak tu jugak la?”
            “Mungkin.” Dia mengulang lagi.
            “Dan itu sebabnya yang kau balik dengan muka tapai tak cukup peram macam tu?” selamba Zharfan menyambung.
            Laju dia mengangkat muka, merenung tajam sahabat di depan. “Ada ke muka tapai!”
            “Cuba kau pergi tengok cermin, muka kau sekarang. Sejibik-sebijik tapai!”
            Dia ketawa kecil, menggeleng kepala. “Ada je la kau ni, Zhar.”
            “That’s it then, right?” Zharfan kembali serius.
            “Aku cuma nak dia happy, Zhar. Aku tak sedap hati tengok dia sedih macam tu.” Tenang dia berkata, jujur.
            “Seeing it on the bright side, this might be your biggest chance.”
            Giliran dahinya pula yang berkerut. “Chance apakebenda pulaknya?”
            Zharfan dah galak menjongket kening dengan sengih nakal di bibir. “Nak cucuk jarum.”
            Dahinya terasa dah hampir berlipat dengan kerutan yang bertambah. “Bila masa aku ambik elective course belajar menjahit?”
            “Hoi!” sergah Zharfan. Budak ni... buat lawak tak kena tempat betul la. “Maksud aku, cucuk jarum tu maknanya wahai sahabatku yang seriously kena pergi belajar bahasa Melayu balik, mencuba nasib. Mana tau kut-kut Mia boleh terima kau.” Dia menjulingkan mata ke siling bilik. Betul la aku tengah cakap dengan budak darjah satu.
            “Oh.” Dia sengih kelat.
            “Oh?” Tu je dia ni boleh cakap? Punya baik aku bagi cadangan, oh je yang dijawabnya?
            “I’ll be her friend, alright. Always has been, anyway.” Sengihnya dah menjadi senyum nipis.
            “Dan mungkin boleh diusahakan untuk jadi lebih daripada itu?” Zharfan sengih nakal lagi.
            Dia menjongket bahu. “Aku takkan buat silap macam si mamat tu buat. I’ll take it slow.”
            “Mamat mana? Mr. Kuprum?”
            Dia tergelak kecil. “Cooper. Nama dia Cooper. Aku baru teringat.”
            “Apa-apa la.” Endah tak endah Zharfan membalas. “Nama betulnya apa?”
            Dia menjongket bahu lagi. “Entah. Tak pernah tahu dan tak mahu tahu pun.”
            “You might as well make it your business to know.” Serius sungguh nada Zharfan kali ini.
            “Apasal pulak?”
            “So, kau takkan tersalah sebut nama entah apa-apa and painstakingly reminds her of him.” Masih lagi serius Zharfan berkata.
            “Oh, ek?” Dia sengih tiba-tiba. “Painstakingly huh? Gitu rupanya ayat-ayat bunga yang kau guna nak mengayat Ina eh? Kelas!” Sengihnya dah menjadi tawa mengusik.
            Zharfan merengus, geram. Buat main pulak budak ni.

***

Headphone Girl
Kenangan itu…

“Nama?”
“Diyana Aishah Abdullah. You?”
Senyum kecil terukir di bibir. “Ashraf Abdul Hafiz.”
“Nickname?”
“Ash.” Serentak mereka berdua menjawab. Ketawa.
“You can’t be serious?” Dalam sisa tawa lelaki itu bertanya. “Panggil Ash jugak?”
Dia angguk. “Yup.”
“No, no... you can’t be called that too.”
Dia mencebik. “Chauvinist much?” Salah ke kalau nick dia tak macam perempuan biasa?
“Bukan.” Ashraf dah menggeleng laju. “Let’s call you Di.”
“Apakehal...”
“Since we’re going to be close, takkan nak seksa orang lain apabila panggil I, you yang menjawab, panggil you, I pun gatal berpaling jugak?” Dengan senyum nakal, lelaki itu membalas.
Berkerut seribu dahinya. “Huh? Close?”
“Yes, Di. Close.” Mata itu dah bersinar lain macam. “Nak sekelas untuk empat tahun ni, Di, mesti la kena close.” Lelaki itu sudah selamba mengisytihar nickname baru baginya.


Dan entah kenapa sesi perkenalan dia dengan Ashraf dua tahun dulu itu selalu saja bermain-main di fikiran, tak pernah dilupa. Sungguh, dia cuba untuk lupa, tapi setiap kali dia berjumpa lelaki itu, berlawan cakap dengannya, memang dia akan teringat kembali. Perbualan dua tahun dulu dan perkenalan mereka selama ini yang sehingga kini, masih membuat dia terseksa dek penangan entah apa rasa yang mencengkam dada.

Tuesday, 3 March 2015

Ash (Prolog) ~ RodieR

BUK!!!
“Whoa!”
“Haiya!”
Dua suara bersuara serentak. Terhenti dari langkah yang tadi diatur laju berlawanan arah. Tangan lelaki itu automatik naik nak memegang headphones yang terjatuh dari telinga dan tersangkut di hud baju sejuknya yang juga terlucut dari menyarung kepala. Dia turut sama mengangkat tangan menahan headphones di leher yang hampir mencekik selendang hitam yang dipakai. Tergamam seketika apabila jeritan Chester melagukan korus Easier to Run hampir serentak kedengaran kuat dari kedua-dua pasang headphones itu, berserabut dengan PA system yang sedang berkumandang dengan pengumuman entah apa.
 “Oh.”
“Hah.”
Sama lagi serentak sepatah kata itu keluar dari mulut masing-masing.
Tangan kiri laju menyeluk poket jeans depan, menekan butang stop pada MP3 playernya. “Sorry.” Sepatah dia berkata dengan senyum sesaat sebelum kembali menarik muka serius. Dia tau salah dia. Jalan tak tengok depan, mata sibuk melilau mencari nombor bas, sampai hentam dilanggarnya orang entah siapa-siapa. Sebab dah lewat. Kalau tak jumpa bas dalam masa lima minit lagi ni, memang akan terlepas dan memang sampai mati ibu ayah tak bagi dah dia balik sendiri. Seorang. Ini saja peluang dia nak tunjuk dia boleh berdikari. Independent. Berdiri dengan kakinya sendiri. Ataupun untuk kes sekarang, balik kampung tanpa perlu orang menghantar mengambil atau naik kapal terbang yang sememangnya membazir duit.
Jejaka di depannya itu ikut menarik senyum sesaat. “Tak apa.” Tangannya yang tadi terhenti dari seinci nak menyentuh headphones di bahu bahana tersampuk dengan lagu yang sama didengari itu kembali menyarungkan benda yang masih menjerit itu di telinga. Hud baju sejuk gedabaknya pun sama ditarik menutup kepala dan dilajakkan lagi ke depan hingga hampir menutup separuh mata. Dia mengangkat sebelah tangan sebelum berlalu tanpa sepatah kata lain.
Dia yang tercegat di situ terasa dahinya berkerut sedikit. Headphones kembali disarung ke kepala yang berlapik selendang. Dia menggeleng. Ikut pada gaya pakai baju gedabak tu, mungkin jugak salah dia yang menyebabkan terlanggar tadi, bukan salah aku. Sarung hud tutup muka macam tu, boleh ke nampak jalan betul-betul? Dia menggeleng lagi. Jadinya, aku pun berhak dapat kata maaf jugak kan? Ini tidak, habuk tak ada, apa tak ada, pergi macam tu aje??
Hoi la minah, yang kau nak sibuk fikir fasal mamat tu kenapa?
Fikiran logiknya tiba-tiba menyergah. Banyak masa sangat ke terluang sampai nak sia-siakan macam ni? 

Oh, tidak! Aku tak jumpa lagi bas aku! Kelam kabut dia berpusing, bergerak laju mencari bas, dengan 

tangan kiri kembali menekan butang play di dalam saku. Chester di telinga menjerit lagi.

Monday, 2 March 2015

... dan Angin pun Berbisik (Bab 3) ~ Adileah

BAB 3

Syukurlah dua tahun lepas, dia bertembung dengan Nelly di hospital Puteri Damai ni. Kebetulan dia melawat salah seorang kawannya yang sakit dan ketika itu Nelly baru selesai dengan rawatan susulannya. Bayangkanlah kalau dia tidak berjumpa dengan Nelly, entah bagaimanalah keadaannya sekarang.
Tangan lemah Nelly teraba-raba mencari topeng alat bantu pernafasan yang terlekat di hidung  menarik perhatiannya.  
“Ada apa Nel?” telinganya didekatkan pada Nel. Tangan mereka bertautan walau dibatasi oleh sarung tangan keselamatan. Kudis pada permukaan kulit kadang kala mengeluarkan bau hanyir. Tetapi apabila kita sayangkan seseorang, apa saja cacat celanya di hadapan kita akan tertutup dek rasa sayang tu. Itulah yang dia selalu bisikkan dalam hati.
“I mintak maaf Riel, pada you... pada Yasmeen. Ampun kan dosa I.” Bisik Nelly perlahan dan hampir tidak kedengaran. Nafasnya semakin berat, dadanya terasa sangat ketat.
“Yasmeen dan maafkan you. Family you pun on their way to visit you, bertahan ya.” Ketika menghubungi abang sulung Nelly dua hari lepas, dia memang merayu sungguh-sungguh untuk datang melawat Nelly buat kali yang terakhir. Entahlah dia seperti dapat merasakan yang masa Nelly sudah semakin hampir.
Dia semakin dapat merasakan persahabatan mereka di dunia ini sudah semakin tiba ke penghujungnya. Tetapi walau nanti mereka sudah terpisah, Insya-Allah dia tidak akan lupakan Nelly.
“Because of me, you dan Yasmeen berpisah.” Sambung Nelly lagi selepas mengumpul segala kudratnya untuk menyambung kata.
“Nel, kita dah janjikan tak nak ungkit cerita ni lagi.” Perpisahan dengan Yasmeen bukanlah perkara yang menyenangkan. Tetapi percayalah persahabatannya dengan Nelly juga adalah perkara terbaik dalam hidupnya. Nelly juga telah membukakan jalan untuknya berubah.
“Maaf, I dah banyak menyusahkan you.” Nafasnya sudah tertahan-tahan.
“Nel, in friendship tak pernah ada istilah menyusahkan atau terhutang budi.” Dia ikhlas hendak membantu Nelly dan dia tak mahu lagi perkara ini dibangkitkan. Dulu dia pernah sayang sungguh-sungguh pada Nelly kerana cinta. Hari ini dia masih sayangkan Nelly sebagai sahabatnya, sahabat dunia dan akhirat.



Semua orang tahu kisah mereka dan bagaimana kisah cinta mereka terputus. Kisah cinta mereka menjadi topik perbualan yang hangat di pejabat tempatnya bekerja dahulu. Eh janganlah salah faham, dia cintakan Yasmeen juga... sampai mati mungkin. Macam mana ya dia hendak jelaskan perasaan ini kerana soal hati ada persoalan yang paling sukar hendak diterangkan.
“Dalam keadaan macam ni, I dah banyak susahkan you.” Ulang Nelly sekali lagi.
“Shhh... jangan cakap apa-apa lagi. I nak you rehat.” Pujuk Ariel lembut. Air matanya sudah bergenang. Sudah sampai masanya? Dia memandang dada Nelly yang sedikit berombak, pantas topeng alat bantu pernafasan dirapatkan ke muka Nelly tetapi dia mengelakkan kepalanya perlahan.
“Tak...”
“Ingat tak kita pernah pergi Fraser Hill dulu? You bawak bekal bihun goreng.” Masa tu Nelly belum lagi selemah ini. Dia masih boleh berjalan walau pun perlahan saja. Dia juga masih boleh menguruskan dirinya sendiri.
Nelly tersenyum perlahan tetapi tidak lama kerana selepas itu dia meringis sakit kerana bibirnya yang kering. Dia ingat lagi masa tu walau pun tubuhnya ada beberapa kudis kering, walau pun dia sudah mula memakai pakaian yang panjang menutupi kulitnya yang penuh cela. Ariel tidak pernah geli untuk jalan bersama dengannya. Ariel tidak pernah memandang jijik padanya.
Sekarang dia sudah semakin lemah dan mengharapkan sepenuhnya bantuan jururawat. Malu, sedih, rasa rendah diri, semuanya ada. Apabila sedang sakit tenat kita dijaga oleh orang asing. Mungkin rasanya akan berbeza apabila kita dijaga oleh ahli keluarga sendiri.
“You are my best friend Nel.” Air mata yang mengalir di pipi Nelly tu bagai pisau yang menghiris hatinya. Memandang wajah sedih Nelly buatkan hatinya ngilu.
“I... dah tak boleh nak buat bekal macam tu lagi.”
“You akan sembuh.” Dia sanggup bayar berapa saja harganya untuk Nelly sembuh. Tolonglah ya Allah, berikanlah Nelly peluang sekali lagi untuk melalui kehidupan yang lebih baik.
Nelly menggelengkan kepalanya. Dia sudah tidak ada harapan untuk sembuh. “Hidup I... mungkin akan terhenti di sini.” Dadanya semakin kuat berombak. Suara Nelly semakin perlahan dan terputus-putus.
“Nel, family you dah sampai.” Bisik Ariel sebak. Inilah saat yang paling dia tidak mahu lalui. Tidak untuk jangka sama yang secepat ini dan tidak untuk berpisah dengan sahabatnya.
Matanya dipejamkan seketika apabila mama dan papa Nelly berjalan menghampiri katil Nelly. Kemudian di belakangnya pula ada abang dan kakak Nelly. Mereka sudah siap dipakaikan pakaian keselamatan dan topeng muka.
“Nel sayang mama.” Kedengaran tangisan mama Nelly.
“Ma... pa...” panggil Nelly perlahan dan tangannya tergawang-gawang mencari tangan mama dan papanya.
“Nel. Papa ada sini.” Papa Nelly menghampiri katil anaknya. Wajahnya sugul dan sedih.
Mama dan papa Nelly memandang Ariel memohon penjelasan.
“What happened to Nelly?” soal abang Nelly yang sulung.
“Virus ni dari you ke?” sindir kakak Nelly.
Ariel diam, ini bukan salahnya. Dia hanyalah seorang sahabat kepada Nelly. Dia pernah terangkan ini kepada mama dan papa Nelly. Sudah terang bukan darinya. Tetapi mungkin adik-beradik Nelly tidak tahu apa yang terjadi.
“Sudahlah tu guys.” Mama Nelly mencelah. Hatinya sudah cukup gelisah dengan keadaan Nelly, ditambahkan pula dengan perbalahan mereka.
“Ma, dia kena bertanggungjawab.” Abang sulung Nelly sudah mengepal penumbuknya.
“Bukan salah Ariel.” Celah papa Nelly.
“Ampunkan...” ucap Nelly tersekat-sekat. Nafasnya memberat.
“Doctor.” Jerit Ariel cemas apabila dilihatnya Nelly semakin susah untuk bernafas.
“Nel.” Sambung Nelly. Dadanya semakin sempit dan dia tahu inilah saatnya apabila sakarat maut datang menjemput.
“Mama dah lama ampunkan segala dosa Nel.”
“Papa pun dah maafkan segala dosa Nel. Maafkan papa sayang.”
“Abang maafkan Nel. Abang pun nak mintak maaf.” Ucap abang Nelly.
“Kakak pun sayang, maafkan kakak.”
Keadaan Nelly semakin jatuh merosot. Ariel menghembus nafasnya perlahan. Jiwanya berantakan antara kesal dan sedih. Dia memberi ruang kepada ahli keluarga Nelly. Abang dan kakaknya. Benarlah kata orang, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Semuanya sudah terlambat.
“Mengucap sayang.” Bisik papa Nelly di cuping telinga Nelly.  
Ariel yang berdiri sedikit jauh ke belakang, mendengar lafaz kalimah syahadah yang diucapkan oleh Nelly. Perlahan dan tersekat-sekat. Ya Allah... Ariel mengesat air matanya yang mengalir apabila mendengar suara papa Nelly yang sangat menyedihkan.
 Suara papa Nelly kedengaran sangat mengharukan dan menyedihkan di telinganya. Segala-galanya berakhir di sini. Pagi yang hening, hujan gerimis. Perginya Nelly meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Tenanglah dikau di sana wahai sahabatf... Al-Fatihah.
Esakan tangis ahli keluarga Nelly yang hadir sesekali menerjah cuping telinganya. Apabila roh sudah terpisah dari jasad, air mata sudah tidak berguna lagi. Hanya doa dan amalan yang mulia saja yang diperlukan oleh si mati.

Nelly, tenanglah di sana. Bisik Ariel dalam hati, di sebalik rasa sedih dia juga mengucapkan kesyukuran. Hari ni, detik ini berakhirlah segala kesakitan dan penyeksaan yang ditanggung oleh Nelly.

Monday, 16 February 2015

... dan Angin pun Berbisik (Bab 2) ~ Adileah

BAB 2

Sudu bubur didekatkan ke bibir Nelly yang merekah kering. “Makan lagi sesudu ya.” Pujuk Ariel. Hari ini dia seperti ingin luangkan cuti hujung minggunya bersama dengan Nelly. Nelly memang susah hendak makan. Menurut kata jururawat, malam semalam Nelly langsung tidak mahu makan.
Nelly menggelengkan kepala. “I dah kenyang sangat ni.”
“Kenyang apanya? You baru makan sesudu bubur. Semalam pun you tak dinner.” Sudu didekatkan lagi ke bibir Nelly. Ariel senyum apabila Nelly membuka kecil bibirnya dan makan sesudu lagi bubur.
“Riel...” Nelly mengiringkan sedikit kepalanya sebagai tanda tidak mahu makan bubur lagi.
“I ada beli buku baru.” Ariel memotong kata-kata Nelly, dia tahu apa yang hendak dikatakannya.
“Buku apa?” Nelly bertanya dan dia sangat teruja apabila mendengar tentang buku baru yang dibeli Ariel. Dia suka sangat mendengar suara Ariel yang tenang ketika membaca untuknya.
“Adalah... kalau you nak I bacakan,  makan lagi dua sudu bubur.”
“You main tipu, I dah makan dua sudu bubur tadi.” Rungut Nelly lemah dan perlahan. Hari ni dadanya semakin ketat dan ada ketikanya dia susah hendak bernafas. Tetapi biarlah, dia tidak mahu beritahu pada Ariel.
Ariel ketawa perlahan. “Strategi namanya tu.” Begitulah dia setiap kali ada bersama Nelly ketika tiba waktu makan. Terpaksa bermain tarik tali kalau hendak beri Nelly makan.
“I nak tidur sekejap.” Pinta Nelly selepas minum air mineral dari gelas berstraw yang diberikan oleh Ariel. Dadanya sudah semakin sesak.
“You okey tak ni?”
Nelly anggukkan kepala. Seboleh mungkin dia mahu menyimpan rasa sakit ini. Dia tidak mahu lagi menyusahkan Ariel.
“You okey tak ni?” sekali lagi dia bertanya, tidak puas hati dengan anggukan Nelly tadi.
“Okey, tapi letih sikit hari ni. Letih makan banyak sangat.” Jawab Nelly bergurau dalam suara perlahan dan seboleh mungkin mengawal rasa sesak di dadanya.
Ariel senyum. “Kalau macam tu you rehatlah dulu.” Bahagian atas kepala katil diturunkan semula supaya Nelly boleh baring dengan selesa.
“Nel, you kena kuat semangat hadapi keadaan ini.” Bisik Ariel perlahan di sisi Nelly, walau pun dia tahu ia seperti menjirus air di daun keladi. Semangat Nelly semakin hilang sejak penglihatannya hilang.
Sejak itu Nelly lebih suka mendiamkan diri dan ada kalanya dia menangis sendiri. Apabila ditanya, dia hanya akan menggelengkan kepala tanda tidak mahu berkongsi cerita. Tetapi dia tahu, Nelly menyimpan perasaan sedih apabila dia dibuang keluarga. Kawan-kawan menjauh dan dia sudah jadi sebatang kara dalam sekelip mata.
Paling memedihkan apabila mereka sering kali berkongsi rasa bersalah yang tiada penghujungnya. Betapa dalam sihat dan kesenangan yang Allah berikan, mereka lupa tentang satu perkara. Kewajipan sebagai seorang Islam.
“Thanks.” Ucap Nelly. Dia cuba menenangkan dirinya dengan berzikir. Dalam hatinya, tidak pernah putus zikirnya, biarlah kalau dia pergi... pergi dalam keadaan yang beriman dan sentiasa ingat kepada sang Pencipta.
“You’re welcome. “Nel, I keluar sekejap ya nak beli coffee.” Tiada reaksi dari Nelly,
Ya Allah, semoga sakit yang dideritai oleh Nelly akan berkurangan dan Engkau ampunilah segala dosa-dosanya, yang kecil mahupun yang besar. Dia hanya mampu berdoa dalam setiap solatnya. Doa adalah senjata yang paling berkesan.



Ketika dia hendak bergerak jauh dari katil, pipi cengkung Nelly kelihatan basah. Dia menangis lagi. Tangisan Nelly dalam diam itu seperti pisau yang menghiris hatinya. Kepiluan itu terasa hingga ke tulang.
Ketika sudah berada di luar wad, hatinya rasa gelisah. Tak apalah, nanti-nanti pun dia boleh minum coffee. Pintu lungsur automatik terbuka semula. Sungguh, hatinya sangat berat hendak meninggalkan Nelly sendirian di bilik dalam keadaan yang kritikal seperti ini.
Sebenarnya sejak malam tadi, tekanan darah Nelly tidak menentu. Ada kalanya rendah dan ada masanya stabil. Malam tadi juga Nelly mengalami masalah pernafasan. Itulah yang diberitahu oleh jururawat yang menjaga Nelly ketika dia bertanya pagi tadi.
Langkahnya diatur semula ke arah katil Nelly. Semerbak bau ubat memenuhi ruang yang tertutup ini. Pada mulanya dia terasa loya dengan bau ubat-ubatan yang diambil Nelly. Tetapi lama-kelamaan bau-bau ini sudah jadi sebati dengan hidungnya.
“Nel, I tak akan tinggalkan you.”  Ya Allah, jika inilah jalan yang terbaik, aku reda dengan seikhlas-ikhlasnya. “Ingatlah pada Allah selalu, teruskan berzikir.” Pesan Ariel, malah itulah yang dipesankan oleh ustaz dan ustazah mereka.
Dalam kepayahan dia dapat menangkap juga bahasa kurang jelas Nelly yang sedang berzikir.
“I tetap akan sayangkan you sebagai seorang sahabat duni akhirat.” Ucap Ariel, memang benar itu yang dia maksudkan. Dia sayang pada Nelly. Sayangkan Nelly dengan seikhlas hatinya. Nelly adalah sahabatnya dunia dan akhirat! Sahabat yang hanya bukan pada waktu senang saja.
Ketika dia mengusap lembut air mata yang mengalir di pipi cengkung Nelly dengan tisu. Dada Nelly berombak semakin kuat. Melihat keadaan Nelly seperti ini dia sendiri yang sebak. Sejak dia berjumpa semula dengan Nelly dua tahun lepas dan sejak berita penyakitnya ini sampai ke pengetahuan Ibu bapanya. Nelly disisihkan terus, kejam sungguh percaturan manusia. Itu pun mereka tidak mengetahui punca Nelly dapat penyakit ini. Cubalah kalau mereka tahu, tentu Nelly akan dihina dengan teruknya.


Thursday, 12 February 2015

... dan Angin pun Berbisik (Bab 1) ~ Adileah

Bahagian I
Ariel
Satu perkara yang dia faham tentang cinta adalah, jangan pernah ego apabila bercinta. Benarlah, erti cinta bukan seperti yang tertulis di Kamus Dewan.

 BAB 1
Ariel menyelak muka surat terakhir terjemahan Al-Quran. Surah An-Naas. “Nel, we have come to the end of the tafsiran Al-Quran.” Sekilas matanya mengesan anggukan Nelly yang perlahan. Nelly yang dahulu rambutnya sentiasa berwarna blonde kini sudah ditutupi dengan lapisan kain tudung.
“I bacakan ya.” Pinta Ariel dan tafsiran Al-Quran sudah terbentang di kedua belah tangannya.
“Hmm.” Nelly menganggukkan kepala memberi persetujuan.   
“Katakanlah (wahai Muhammad) aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
“Alhamdulillah, habis jugak kita baca terjemahan ni bersama.” Bisik suara Nelly perlahan dan hampir saja tidak kedengaran. Bacaan Ariel jelas dan tenang. Setiap butir bicara Ariel tu meresap ke dalam hatinya.
“Alhamdulillah.” Balas Ariel dalam senyuman. Dahulu sebelum penglihatan mata Nelly hilang, dia selalu mengaji dengan ustazah Mardiah. Manakala dia pula dengan suami ustazah Mardiah, iaitu ustaz Halim.
Apabila Nelly dimasukkan ke hospital dia lebih banyak mengaji sambil disemak oleh ustazah Mardiah melalui telefon. Kadang kala sahaja ustazah Mardiah akan menjenguk Nelly, itu pun kalau kesihatan Nelly mengizinkan. Tapi sekarang keadaannya semakin merosot, mata yang dahulunya cantik sudah tidak boleh melihat lagi. Kesihatan Nelly sudah jauh daripada harapan untuk pulih seperti sediakala.
“Nel.” Panggil Ariel lembut. Nelly adalah sahabatnya dunia akhirat. Itu janjinya.
“Ya.”
“You tahu tak, Surah An-Naas ni adalah surah yang ke-114 dan diturunkan di Madinah. Surah ni ada 6 ayat tau.”
“Oh.” Nelly menganggukkan kepala. Syukurlah dia masih punya teman di sebalik setiap kesakitan yang dialaminya.
“You tahu tak kenapa surah ni dinamakan An-Naas?”
“Kenapa ya Riel?” sayangnya dia sudah tidak dapat melihat renungan mata Ariel lagi tetapi dia tahu ketika ini Ariel sedang memandangnya. Sejak kesalahan yang dilakukan kepada Yasmeen, dia terus membuang jauh segala perasaannya kepada Ariel. Tetapi tidak semudah itu. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu
“Surah ni dinamakan An-Naas yang bermaksud manusia. Kerana pada awal surah ni, Nabi Muhammad (s.a.w) diperintahkan memohon perlindungan kepada Allah S.W.T Pemelihara dan Pentadbir sekalian manusia.”
“Surah ni samalah juga dengan surah Al-Falaq ya Ril? Yang mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah S.W.T dari segala bahaya.”
“Betul tu.”
“Riel, thank you for reading me the tafsiran.” Ucap Nelly. Ada orang hidayahnya datang cepat. Ada orang lain pula hidayahnya lambat. Seperti dirinya, hidayah datang pada saat nyawa di hujung tanduk. Jika difikirkan rasa takut, boleh menyebabkan seluruh badannya menggigil. Sudah berpuluh tahun hidupnya di dunia ini, tidak satu pun dia ingat kepada kekuasaan Allah S.W.T. Terasa betapa ruginya dengan masa yang disia-siakan dengan segala perkara yang melekakan.
Ariel tersenyum kecil. Walau pun Nelly tidak dapat melihat, tetapi dia tahu Nelly dapat merasakan senyumannya kerana Nelly juga turut tersenyum.
“Nel, Braille Al-Quran terjemahan yang you pesan tu may be sampai esok. I dah dapat the tracking number. Nanti bolehlah you ulang baca.”
“Insya-Allah.” Sempat kah dia hendak membacanya. Tahap kesihatannya sudah tidak menentu. Contohnya hari ini, dia rasa sangat lemah dan kalau boleh dia hendak tidur saja.
“You rehat ya.” Cadang Ariel dan dia juga sudah menyimpan tafsiran Al-Quran miliknya ke dalam beg sandangnya.
“Yalah.”
Kepala katil yang dinaikkan ketika membaca tafsiran tadi diturunkan semula untuk keselesaan Nelly berehat. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Dia reda, inilah balasan Allah yang harus diterima untuk segala kekhilafannya.
Dia gagal menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Dia sepatutnya menjadi lelaki yang memimpin dan bukannya lelaki yang dipimpin oleh wanita-wanita yang seksi dan menggoda. Salah seorangnya adalah Nelly.



Nelly, yang dia pernah kenal bertahun dulu. Gebu, seksi, manja dan lincah. Tetapi Nelly hari ini yang berada di hadapannya sudah bukan seperti dirinya lagi. Tubuhnya sudah lebih menonjolkan tulang dan kulit daripada daging. Hatinya meringis perlahan setiap kali memandang Nelly.
Sayangnya dia disisih keluarga kerana sakit yang dihidapinya. Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi mereka tetapi sayang... permintaannya selalu ditolak. Hatinya bertambah pedih setiap kali mendengar permintaan dan harapan Nelly untuk bertemu dengan ibu bapa dan ahli keluarganya. Mujurlah Nelly sudah tidak boleh melihat. Jika tidak pastilah Nelly dapat raut wajahnya yang sedang berdalih dan terus-terusan menipu.
Benarlah kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Sama seperti hubungannya dengan Yasmeen. Dia hanya mampu merancang untuk hidup bersama dengan Yasmeen hingga hujung nyawa. Tetapi Allah takdirkan perjalanan mereka seperti ini.
Pernah satu hari tu ketika berada di kampung, emak menangis tepi pintu bilik selepas melihat dia solat dan mengaji selepas solat maghrib. Kata emak, bacaannya lancar dan buat hati rasa tenang ketika mendengar setiap patah bacaannya. Akhirnya mereka sama-sama menangis selepas itu
Emak, apabila Allah ingin bukakan pintu hati kita untuk berubah. Dia tidak pernah terlewat walau pun sesaat. Itu jugalah yang ustaz Halim pernah beritahu kepadanya ketika dia sedang menangis di hadapan pintu masjid. Alhamdulillah dia ditemukan dengan ustaz Halim, saat dia hilang arah.
Berbalik kepada soal Nelly, dia ikhlas menjaga Nelly atas dasar persahabatan. Sebagai seorang sahabat, dia juga tidak akan sekali-kali membuka aib Nelly dan bagaimana dia dihinggapi oleh Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) kerana mengamalkan seks bebas dengan pelbagai lelaki selepas mereka berpisah. Ralatnya dia dengan tindakan Nelly Tuhan aja yang tahu. Tetapi semuanya sudah ditakdirkan dan beginilah takdir kehidupan mereka berdua. Tetapi ini adalah rahsia yang dia akan simpan sampai mati.  
Hatinya belas dan sering kali dia menangis dalam diam apabila memikirkan segala kesilapan yang pernah dia lakukan.  Syukur kerana masih diberi kesempatan untuk kembali ke jalan yang benar dan bertaubat. Sedangkan Nelly, telah ditarik nikmat kesihatannya satu persatu. Ya Allah, terima kasih kerana memberikan aku peluang untuk sujud kepadaMu
Desahan suara Nelly yang sedang menahan kesakitan menyedarkannya dari lamunan. Kepalanya ditoleh memandang Nelly yang terbaring lesu.  Kulitnya sudah melepuh dan ada masanya berbau hanyir. Sudah tiba masanya untuk dia beritahu keluarga Nelly. Nelly sangat perlukan mereka pada saat-saat akhir seperti ini. Harapannya biarlah Nelly pergi di sisi keluarganya dalam keadaan yang tenang.
Pintu lungsur automatik terbuka sendiri dan dia melangkah keluar meninggalkan Nelly seketika. Hatinya semakin sayu mengingatkan keadaan Nelly tetapi dia perlu kuat untuk sahabatnya itu.

Nombor telefon bimbit abang sulung Nelly di dail. Pada mulanya, dia menerima reaksi negatif. Tetapi apabila dimaklumkan tentang keadaan Nelly yang nazak, barulah abang sulungnya hendak bertanya dengan lebih lanjut. Sebelum ini, dia memang tahu Nelly ada masalah dengan ahli keluarganya. Mereka memang tidak rapat sejak kecil, masing-masing sibuk dengan haluan sendiri.

Tuesday, 10 February 2015

... dan Angin pun Berbisik (Prolog) ~ Adileah

PROLOG

Ariel memerhati dari dalam kereta yang dipandunya. Perkarangan mahkamah syariah masih lengang diawal pagi begini. Dia memandang jam di dashboard yang menunjukkan angka 8:00 pagi. Dari jauh dia memandang Yasmeen yang sedang melangkah keluar dari dalam kereta milik Aiman dan menuju ke arah kereta selang dua buah dari kereta Aiman. Dia kenal sangat, itu kereta Abah Yasmeen yang juga merupakan bapa mertuanya.
Ya Allah rindunya dia pada Yasmeen, sudah hampir setengah tahun mereka tidak berjumpa selepas kejadian ditikam dengan gunting oleh Nelly dan Yasmeen telah dimasukkan ke hospital. Semuanya kerana perasaan marah dan cemburu Nelly pada perkahwinan rahsia mereka.
Dari awal lagi dia sudah beritahu pada emak dan abah yang dia tidak setuju pada perkahwinan pilihan keluarga ini. Tetapi sebagai anak yang patuh, dia menurut juga permintaan mereka. Lagi-lagi apabila emak sudah mengambil kesempatan di atas kelemahannya. Dia tidak boleh lihat emak menangis!
Walau pun terpaksa dia terima juga pilihan emak dan abah tetapi siapa menyangka apabila dia sendiri tidak boleh menidakkan rasa cinta cinta yang hadir selepas itu. ‘perkahwinan paksa’ ini akhirnya menjadi perkara yang perkara yang paling membahagiakan sehinggalah rahsia mereka diketahui oleh Nelly. Nama pun satu pejabat, selama manalah mereka berdua dapat merahsiakannya daripada pengetahuan Nelly.
Akhirnya semua ini menjadi cerita yang paling ngeri dalam hidupnya apabila menerima surat peguam daripada Yasmeen . Perlukah kita melepaskan orang yang kita sayang supaya dia dapat hidup bahagia? Tangannya mengurut dahi. Sakit di kepala tidaklah separah sakit di hati.
Yasmeen, sudah terawatkah lukanya hingga tergamak menghantar surat peguam dan menuntut cerai. Inikah maknanya cinta pada Yasmeen?
“Cinta tu apa?”
Ya dia masih ingat soalan Yasmeen tentang maksud cinta. Lalu dia jawab dengan telusnya berdasarkan kepada penerangan yang dia dapat dari Kamus Dewan. Cinta itu bermaksud perasaan atau berperasaan sangat berahi antara lelaki dan perempuan.
Keluhannya dalam. Jadi ini bukanlah cinta Yasmeen kalau kita memilih untuk berpisah. Cinta, adalah apabila kita bersedia untuk menghadapi saat susah dan senang bersama. Jatuh dan dan bangun bersama. Bisik Ariel dalam hati. Songkok hitam disarungkan ke kepalanya. Yasmeen datang ditemani oleh Ibu, Abah dan Aiman. Dia pula hanya ditemani oleh seorang peguam syariah, encik Ibrahim.
Semalam, teruk dia dimarahi oleh Emak dan Abah. Bagi Yasmeen, cintanya sudah bertukar menjadi benci (itu yang dia fikir ketika surat tuntutan cerai Yasmeen sampai ke tangannya). Padanya pula, inilah tanda cinta darinya untuk Yasmeen. Dia mahu Yasmeen mencari bahagianya sendiri. Biarlah kebahagiaan Yasmeen itu nanti memberikan kebahagiaan kepadanya juga. Itulah yang dia harapkan, tetapi bolehkah dia bahagia dengan melepaskan Yasmeen?
Pintu kereta dibuka dan dia melangkah keluar. Hatinya berdebar kencang. Sebentar lagi, berakhirlah kisahnya dengan Yasmeen. Mungkin benar kata orang, setiap percakapan mereka adalah satu doa. Bukankah dia dan Yasmeen sendiri selalu bercakap soal cerai dan lihatlah hari ini menjadi buktinya.
“Assalamualaikum.” Sapa Ariel sambil bersalaman dengan Ibu dan Abah.
“Waalaikumussalam.” Jawab Haji Dzulkefli dan Hajah Fatimah.
Kemudian dia beralih kepada Yasmeen dan menghulurkan tangan. Ini adalah kali yang terakhir untuk mereka sebagai pasangan suami isteri. “Meen.” Panggil Ariel penuh kerinduan. Ya Allah, kuatkanlah hatiku. Doa Ariel dalam hati.
Yasmeen menyambut huluran tangan Ariel, untuk kali yang terakhir sebagai isteri kepada Ariel. Walau pun begitu dia masih enggan memandang Ariel, kepalanya ditolehkan ke arah lain, bimbang hatinya akan berubah.
Dia datang ke sini kerana hendak berpisah, bukannya hendak buat drama tangisan air mata. Terasa erat pegangan tangan Ariel. Hatinya goyah, tetapi cepat dia menarik pegangan tangannya daripada genggaman Ariel.
“Sudahlah Ariel.” Balas Yasmeen tanpa sedikit pun memandang ke arah Ariel.
“Maafkan I.” Pinta Ariel, mana tahu dia ada peluang untuk berbaik semula dengan Yasmeen. Dia sudah bersedia membuang jauh segala rasa malunya hanya untuk memiliki semula hati Yasmeen. Malah sejak surat tuntutan cerai ni sampai, sudah bermacam-macam cara dia buat untuk berhubung dengan Yasmeen, tetapi dia telah membina tembok tebal yang tinggi.
Yasmeen masih membuang pandang ke arah tempat meletak kereta dan beberapa kenderaan lain yang dipandu masuk. Suasana mahkamah syariah ini tidak pernah ada bahagia rasanya. Semuanya terasa suram atau lebih tepat tempat ini adalah tempat untuk berduka.
Ariel masih memandang Yasmeen, melepaskan rindu dan menyimpan seluruh kenangan terakhir yang dia ada tentang Yasmeen. Yasmeen nampak kurus, mungkin kesan daripada masalah yang melanda perhubungan mereka. Sudah sembuhkan luka di perutnya? Atau lukanya masih berdarah sama seperti hati Yasmeen yang keras tu?
Yasmeen merengus geram dengan karenah Ariel di hadapannya ini. Ariel yang asyik memandangnya sejak tadi tanpa segan silu dengan Abah dan Ibu yang ada bersama. Tolonglah Ariel... Yasmeen menarik nafas sedalam yang mungkin dan menghela nafasnya. Dia mahu semua ini berakhir dengan pantas. Dia hendak mulakan hidup baharu.



“Encik Ariel, puan Yasmeen. kita dah boleh masuk ni.” Encik Ibrahim bersuara memandangkan peguam daripada pihak si isteri, puan Latifah juga sudah ada bersama mereka.
Yasmeen berpelukan dengan ibu dan abahnya sebelum masuk ke dalam bilik perbicaraan. “Ibu dan abah, doakanlah yang terbaik untuk Meen.” Pinta Yasmeen. Restu ibu bapa adalah yang paling tulus. Itulah yang dia harapkan dalam keadaan yang seperti ini.
“Meen, dah tiba masa.” Aiman menegur. Bahu Yasmeen ditepuk perlahan. Definisi cinta Yasmeen nyata berbeza. Hukuman untuk Ariel katanya. Apa saja yang terbaik untuk kamu wahai teman. Bisik Aiman dalam hati. Dia sudah memberikan nasihat kepada Yasmeen, selebihnya Yasmeen sendirilah yang harus menentukan hala tuju hidupnya sendiri.
Ariel menoleh ke arah Yasmeen. Berkali-kali dikatakan kepada dirinya sendiri, bukan ini yang dia mahukan. Dia cuma mahu hidup bahagia dengan Yasmeen. Bukankah sebelum pergaduhan dengan Nelly itu, hubungan mereka sudah baik. Bukankah mereka sudah saling mencintai antara satu sama lain?
“Encik Ariel silakan.”
“Thanks Encik Ibrahim.” Ariel membetulkan songkok di kepala dan melangkah masuk mengekori encik Ibrahim dari belakang dan Yasmeen menyusul tidak lama selepas itu.
Bila perbicaraan ini sudah sedia sejuk terasa bagai pisau yang menoreh hatinya. Seperti mimpi ngeri apabila dia ke sini untuk melafazkan cerai. Selepas beberapa proses soal jawab akhirnya dalam nada yang tersekat-sekat dia melafazkan talak satu.
“Saya Muhammad Ariel bin Sazali, melepaskan Yasmeen binti Dzulkefli dengan talak satu.” Perlahan-lahan dia melafazkan talak ke atas Yasmeen dan ketika itu mata mereka berpandangan sesama sendiri.
Yasmeen mengesat air matanya yang mengalir perlahan. Tiada kata yang dapat dia sampaikan saat ini untuk menzahirkan betapa hatinya turut terluka.
Ariel sedang menahan perasaannya sendiri memandang mata Yasmeen yang bergenang itu. Ringan sahaja tangannya hendak memeluk Yasmeen dan melegakan segala kesedihannya. Yasmeen, punya tempat yang paling istimewa dalam hatinya. Walau pun selepas lafaz cerai, tempat untuk you tetap ada di situ. Ariel akhirnya mengesat air mata yang mengalir dengan jari telunjuknya.
Jika dia tahu sakitnya begini, pastilah dia akan jaga hati Yasmeen sebaik yang mungkin. Pasti dia akan lebih berani berhadapan dengan masalah dalam perhubungan mereka. Semuanya sudah terlambat Ariel. Langkah kakinya berat. Kepalanya terasa berdenyut. Dahi dirasai dengan telapak tangan, dia demam dan di saat ini dialah lelaki yang paling lemah.
Dalam langkah yang semakin lemah, Ariel melangkah ke keretanya. Satu yang dia belajar dalam hidupnya hari ini. Jangan pernah ego dalam soal cinta dan jujurlah dalam melafazkan kata cinta.



Dari dalam kereta milik Aiman. Yasmeen memandang Ariel yang melangkah lemah ke arah keretanya. Sesekali dia nampak Ariel melekapkan telapak tangannya ke dahi. Demamkah dia?
“Meen, kau okey?”
“Hah? Oh okey.” Okey ke Yasmeen? tergamaknya kau menuntut cerai kerana, kononnya itu adalah hukuman untuk setiap perbuatan Ariel.
“Yalah tu...”
“Ya aku okey.”
“Kalau okey, tak kanlah asyik pandang Ariel kat belakang tu.”
“Aku rasa dia tak sihat.” Yasmeen bersuara perlahan. Kasihannya Ariel demam, dia tu jarang sakit. Kalau dapat sakit, susah hendak baik. Agaknya siapalah yang boleh tengokkan dia kat rumah?
Telefon bimbit dicapai. Dia perlu beritahu pada Munira untuk tengokkan Alongnya tu. Aiman menegur ketika dia sedang menaip.
“Kau nak mesej siapa tu?”
“Angah.” Jawab Yasmeen tanpa sedar.
“Nak buat apa?” tegur Aiman geram dan suaranya sedikit tinggi.
“Tolong tengokkan Ariel, kesian dia kalau sorang-sorang kat rumah.”
“Kau tak payah nak cari pasallah Meen, kau yang mintak cerai... kau yang sombong tadi dan sekarang kau nak tunjukkan yang kau kisahkan pasal kesihatan Ariel.” Bebel Aiman geram. Tudung yang senget dibetulkan sedikit. Benci betul kalau pakai tudung kain satin yang begini, susah hendak lekat di kepala. Enjin kereta dihidupkan. Marahnya meluap-luap dengan sikap Yasmeen sejak pagi tadi. Degil tak boleh diajar. Paling dia benci adalah ego Yasmeen yang tinggi!
“Aku...” Yasmeen teragak-agak dan kata-kata Aiman tu masuk ke dalam hatinya. Kenapa dia rasa sangat sakit?
“Kau dah cerai Meen. Sedarlah sikit.” Bebel Aiman geram.
Yasmeen diam. Tiba-tiba hatinya berdetik cemas. Adakah ini yang dia mahukan? Adakah ini penyudah yang dia inginkan? Peluh merenek di dahi. Dia baru sedar betapa egonya dia dalam cinta! Yasmeen, kau dah buat kesalahan besar kerana menidakkan rasa cinta pada Ariel. Sekarang, semuanya sudah terlambat.