BAB 2
Sudu bubur didekatkan ke bibir Nelly yang merekah kering. “Makan lagi
sesudu ya.” Pujuk Ariel. Hari ini dia seperti ingin luangkan cuti hujung
minggunya bersama dengan Nelly. Nelly memang susah hendak makan. Menurut kata
jururawat, malam semalam Nelly langsung tidak mahu makan.
Nelly menggelengkan kepala. “I dah kenyang sangat ni.”
“Kenyang apanya? You baru makan sesudu bubur. Semalam pun you tak dinner.”
Sudu didekatkan lagi ke bibir Nelly. Ariel senyum apabila Nelly membuka kecil
bibirnya dan makan sesudu lagi bubur.
“Riel...” Nelly mengiringkan sedikit kepalanya sebagai tanda tidak mahu
makan bubur lagi.
“I ada beli buku baru.” Ariel memotong kata-kata Nelly, dia tahu apa yang
hendak dikatakannya.
“Buku apa?” Nelly bertanya dan dia sangat teruja apabila mendengar
tentang buku baru yang dibeli Ariel. Dia suka sangat mendengar suara Ariel yang
tenang ketika membaca untuknya.
“Adalah... kalau you nak I bacakan, makan lagi dua sudu bubur.”
“You main tipu, I dah makan dua sudu bubur tadi.” Rungut Nelly lemah dan
perlahan. Hari ni dadanya semakin ketat dan ada ketikanya dia susah hendak
bernafas. Tetapi biarlah, dia tidak mahu beritahu pada Ariel.
Ariel ketawa perlahan. “Strategi namanya tu.” Begitulah dia setiap kali ada
bersama Nelly ketika tiba waktu makan. Terpaksa bermain tarik tali kalau hendak
beri Nelly makan.
“I nak tidur sekejap.” Pinta Nelly selepas minum air mineral dari gelas
berstraw yang diberikan oleh Ariel. Dadanya sudah semakin sesak.
“You okey tak ni?”
Nelly anggukkan kepala. Seboleh mungkin dia mahu menyimpan rasa sakit
ini. Dia tidak mahu lagi menyusahkan Ariel.
“You okey tak ni?” sekali lagi dia bertanya, tidak puas hati dengan
anggukan Nelly tadi.
“Okey, tapi letih sikit hari ni. Letih makan banyak sangat.” Jawab Nelly bergurau
dalam suara perlahan dan seboleh mungkin mengawal rasa sesak di dadanya.
Ariel senyum. “Kalau macam tu you rehatlah dulu.” Bahagian atas kepala
katil diturunkan semula supaya Nelly boleh baring dengan selesa.
“Nel, you kena kuat semangat hadapi keadaan ini.” Bisik Ariel perlahan di
sisi Nelly, walau pun dia tahu ia seperti menjirus air di daun keladi. Semangat
Nelly semakin hilang sejak penglihatannya hilang.
Sejak itu Nelly lebih suka mendiamkan diri dan ada kalanya dia menangis
sendiri. Apabila ditanya, dia hanya akan menggelengkan kepala tanda tidak mahu
berkongsi cerita. Tetapi dia tahu, Nelly menyimpan perasaan sedih apabila dia dibuang
keluarga. Kawan-kawan menjauh dan dia sudah jadi sebatang kara dalam sekelip
mata.
Paling memedihkan apabila mereka sering kali berkongsi rasa bersalah yang
tiada penghujungnya. Betapa dalam sihat dan kesenangan yang Allah berikan,
mereka lupa tentang satu perkara. Kewajipan sebagai seorang Islam.
“Thanks.” Ucap Nelly. Dia cuba menenangkan dirinya dengan berzikir. Dalam
hatinya, tidak pernah putus zikirnya, biarlah kalau dia pergi... pergi dalam
keadaan yang beriman dan sentiasa ingat kepada sang Pencipta.
“You’re welcome. “Nel, I keluar sekejap ya nak beli coffee.” Tiada reaksi
dari Nelly,
Ya Allah, semoga sakit yang dideritai oleh Nelly akan berkurangan dan
Engkau ampunilah segala dosa-dosanya, yang kecil mahupun yang besar. Dia hanya
mampu berdoa dalam setiap solatnya. Doa adalah senjata yang paling berkesan.
Ketika dia hendak bergerak jauh dari katil, pipi cengkung Nelly kelihatan
basah. Dia menangis lagi. Tangisan Nelly dalam diam itu seperti pisau yang
menghiris hatinya. Kepiluan itu terasa hingga ke tulang.
Ketika sudah berada di luar wad, hatinya rasa gelisah. Tak apalah,
nanti-nanti pun dia boleh minum coffee. Pintu lungsur automatik terbuka semula.
Sungguh, hatinya sangat berat hendak meninggalkan Nelly sendirian di bilik
dalam keadaan yang kritikal seperti ini.
Sebenarnya sejak malam tadi, tekanan darah Nelly tidak menentu. Ada
kalanya rendah dan ada masanya stabil. Malam tadi juga Nelly mengalami masalah
pernafasan. Itulah yang diberitahu oleh jururawat yang menjaga Nelly ketika dia
bertanya pagi tadi.
Langkahnya diatur semula ke arah katil Nelly. Semerbak bau ubat memenuhi
ruang yang tertutup ini. Pada mulanya dia terasa loya dengan bau ubat-ubatan
yang diambil Nelly. Tetapi lama-kelamaan bau-bau ini sudah jadi sebati dengan
hidungnya.
“Nel, I tak akan tinggalkan you.” Ya Allah, jika inilah jalan yang terbaik, aku reda
dengan seikhlas-ikhlasnya. “Ingatlah pada Allah selalu, teruskan berzikir.”
Pesan Ariel, malah itulah yang dipesankan oleh ustaz dan ustazah mereka.
Dalam kepayahan dia dapat menangkap juga bahasa kurang jelas Nelly yang
sedang berzikir.
“I tetap akan sayangkan you sebagai seorang sahabat duni akhirat.” Ucap
Ariel, memang benar itu yang dia maksudkan. Dia sayang pada Nelly. Sayangkan
Nelly dengan seikhlas hatinya. Nelly adalah sahabatnya dunia dan akhirat!
Sahabat yang hanya bukan pada waktu senang saja.
Ketika dia mengusap lembut air mata yang mengalir di pipi cengkung Nelly
dengan tisu. Dada Nelly berombak semakin kuat. Melihat keadaan Nelly seperti
ini dia sendiri yang sebak. Sejak dia berjumpa semula dengan Nelly dua tahun
lepas dan sejak berita penyakitnya ini sampai ke pengetahuan Ibu bapanya. Nelly
disisihkan terus, kejam sungguh percaturan manusia. Itu pun mereka tidak
mengetahui punca Nelly dapat penyakit ini. Cubalah kalau mereka tahu, tentu
Nelly akan dihina dengan teruknya.
No comments:
Post a Comment