Monday, 9 February 2015
Poskad (Bab 5) ~ Ednin
MAISA MENGHAMPIRI Nab dan kak Fatin sebaik saja taklimat selesai. Rata-ratanya semua
peserta program Kembara sudah mula memulakan tugas masing-masing. Ahli
Jawatankuasa Catering sudah mula bersilat di belakang balai untuk menyiapkan juadaha
makan malam mereka nanti.
Manakala beberapa peserta lelaki sudah ke
kampung sebelah untuk mengambil barang-barang untuk diguna untuk program mereka
keesokan hari. Semuanya tangkas bekerja. Mungkin sudah terbiasa mengikut
program-program kemasyarakatan begini.
Maisa
memandang kawasan sekelilingnya. Kawasan penempatan orang asli itu bersih dan
kemas. Rumah batu yang dibina oleh kerajaan itu cukup untuk mereka meneruskan
hidup.
“Rumah
ni mereka baru dapat, Ais. Kalau dulu penduduk kampung ni duduk di atas bukit
sana… rumah berlantaikan buloh tapi dah dapat pampasan dari JKR bila JKR bina
highway. Ini first time jugak kak Fatin datang rumah baru diorang ni…”
Maisa
mengangguk faham. Dia ada juga membaca berita mengenai itu di media masa. Tak
sangka pulak, dia sendiri dapat datang dan melihat perkampungan orang asli ini.
“Alhamdulilah…
kemudahan cukup. Ada balai, ada surau… dengar kata nanti nak buat padang
permainan…”
“Surau?
Diorang ni orang Islam ye kak?”
Kak
Fatin tersenyum mengangguk. “Majoriti penduduk kampung ni orang Islam… tu ha…
abe Ubin tu… kak Fatin sendiri saksikan pengislaman dia dua tahun lepas. Salah satu kenangan manis kak Fatin dengan
penduduk kg leryar ni.” Jari kak Fatin dihalakan kepada seorang lelaki lebih
kurang dalam usia60-an yang sedang bersembang dengan abang Azli.
“Itulah
tugas kita, Ais. Kita datang sini bukan saja nak suka-suka enjoy. Nak popular
ke apa ke… kitadatang sini adalah untuk jadi superhero…” Nab mengangkat tangan
kanannya. Konon-kononnya mahu menunjukkan betapa superheronya dia.
“Superhero?”
“Yellah
superhero. Superhero ummah. Kalau superman, misinya menyelamatkan dunia. Kita
punya misi menyelamatkan ummah…” Semangat Nab bersuara. Penduduk di sini
memerlukan mereka sebenarnya.
“Betul
tu! Kita datang sini nak membantu mereka ni. Ramai rata-ratanya mereka ini
Islam tapi ilmu Islam mereka terbatas. Sekaligus,kalau ada program ni kita
boleh tunjuk ajar mana yang patut, bantu apa yang perlu…”
Maisa
menelan air liur. Terasa berat pula program ini di fikiran Maisa. Ingatkan
program ini ringkas macam aktiviti sukaneka yang dia selalu buat masa di
sekolah menengah dulu. Ini dah bersangkut dengan berdakwah ni… Dia bukannya
dari sekolah agama seperti kak Fatin dengan Nab.
“Jangan
risau… Ais gunakan je apa kepakaran Ais. Kalau ikut modul, program ini kan
banyak aktiviti kan? Bukannya nak sampaikan beauty of Islam je. Kan ada
aktiviti sukan, ada kelas-kelas insentif untuk subjek sekolah, ada aktiviti
kesihatan… tapi di samping tu kita boleh terapkan dengan nilai-nilai Islam
kan?”
Maisa
mengangguk faham. Betul juga apa yang kak Fatin cakap tu. Islam itukan
merangkumi pelbagai bidang. Bukan hanya ustaz saja yang boleh berbicara pasal
Islam. Orang psikologi macam Nab, atau kejuteraan macam kak Fatin hatta si seni
bina macam dia pun boleh berdakwah dalam cara masing-masing.
“Berat
juga kerja ni ye kak Fatin…”
“Berat
tu untuk langkah pertama je, Ais… lepas ni aku gerenti mesti kau nak datang
lagi.” Nab menyampaikan pengalamannya. Dulu masa dia mahu ikut program ini pun
dia rasa berat juga. Rasa tak bersedia… bolehkah dia? Mampu ke? Tapi semua
halangan itu dia tolak tepi. Sekarang setiap semester dia akan datang ke sini.
Tambah-tambah lagi bila sudah ada keluarga angkat. Rasa bertanggungjawab pula
untuk turun ke sini. Rindunya berlabuh pada abe Apan dengan amek Rina dan
adik-adik angkatnya.
Maisa
diam. Matanya memandang gunung di hadapan mereka. Betul ke ni?
Nab
tergelak. Tangannya memukul bahu Maisa. Maisa ni cepat cuak betul!
“Jangan
risau. Kau tak berseorangan kat sini. Kau ada whole family to begin with… kami
semua ni kan family kau…”
Maisa
membuat muka. Yellah tu, Nab. Padahal kalau diikutkan modul dan tentatif. Dia
dengan Nab bakal berpisah nanti. Nab akan bertugas sebagai fasilitator untuk
kanak-kanak sekolah rendah manakala dia pula bakal mengambil kelas sekolah
menengah.
“Jom
kita berziarah!” Kak Fatin tiba-tiba bersuara. Kertas modul yang setia dalam
tangannya itu dilipat dua lalu diletakkan ke dalam poket seluar.
“Rumah
mana kita nak pergi dulu Nab?”
Nab
tersengih kerang. “Rumah Nab ye kak Fatin. Nab tak sabar nak jumpa amek Rina
dengan adik-adik ni… tadi jumpa abe Apan dia kata amek Rina dah lahirkan baby
baru! Ish tak sabar nihhh…”
Nasib
baik tadi sebelum sampai Nab sudah menerangkan term-term yang sering digunakan
oleh ahli-ahli Kembara di sini. Ziarah itu maksudnya aktiviti melawat dan
berkunjung ke rumah-rumah orang Asli. Sambil itu, ahli-ahli program akan cuba
menerapkan nilai-nilai Islam semasa melawat mereka. Manakala amek pula adalah
panggilan untuk emak manakala abe pula adalah panggilan untuk ayah.
“Oiii cik kak. Kau dok berangan
apa! Jom jom tengok adik baru aku…” tangan Nab sudah merangkul tangan Maisa.
Terpaksa Maisa menonong mengikut dua gadis yang nampak gayanya tak sabar-sabar
nak berziarah.
Maisa tersenyum. Bangganya Maisa
punya kawan yang sifat kemanusiaan mereka tinggi begini.
Syukur ya Allah untuk kurniaanMu
ini.
“OI LAMBATNYAkakak aku datang ni…” Suara Mustaqim, pelajar jurusan farmasi itu bergema
di rumah kecil itu. Dua pasang mata yang duduk di sebelahnya lantas teralih
pada tiga gadis yang baru saja masuk ke dalam rumah.
“Kau
diamlah Qim. Kitorang tolong budak catering potong sayur jap tadi. Mana dia
adik kita Qim?” Nab menonong masuk ke dalam rumah selepas memberi salam.
Matanya melilau mencari ibu angkatnya. Dia dengan Mustaqim dulu dijadikan anak
angkat oleh keluarga amek Rina ini.
“Amek
Rina baru je letak dia dalam bilik. Baby baru tidur…”
Senyuman
Nab berubah segaris. Baru saja semangat dia nak mendukung si kecil yang tak
salahnya mesti sudah berusia tiga bulan.
“Pandai
ya kamu Qim. Pandai-pandai saja…” Suara amek Rina menyahut dari dapur. Mustaqim
tersenyum monkey. Aduh amek ni, tak sempat dia nak usik ‘kakak’nya ini.
“Ini ha babynya. Amek tadi pergi
buat susu untuk Huda…” Amek Rina datang dari arah dapur dengan bayi perempuan
di dalam dukungannya.
Nab
sudah menyeringai memandang Mustaqim. Geram! Mustaqim ini memang terkenal
dengan perangainya yang kaki usik. Ada saja telatah dan usikannya. Selalunya,
memang Nablah yang bakal menjadi mangsa usikannya. Dulu pernah sekali dia
letakkan katak di dalam kasut Nab. Riuh satu kampung mendengar jeritan Nab,
yang sememangnya semulajadi high pitching tu!
“Huda
ye nama dia amek? Nab ambil ye amek?” Nab sudah datang mendekati amek yang baru
mengambil tempat di ruang tamu.
“Ehh
ini ahli baru juga ye?” tanya amek Rina bila Maisa selesai bersalam dengannya.
Maisa
mengangguk. “Nama saya Maisa, amek. Amek panggil je Ais.”
“Ohhhhh….”
tiba-tiba ada satu suara yang menyambung dari belakang. Lantas Maisa berpusing
ke belakang, melihat Ihsan yang sudah membuat gaya ‘peace’ kepadanya.
“Ini amek Rina. Mari sini amek
kenalkan Ais dengan anak-anak amek. Nanti Ais ajar mereka ya… amek tak pandai…”
Suara amek Rina kedengaran sayu di telinganya.
“Ini
Agus, paling tua. Tingkatan 4.” Agus yang duduk di sebelah Ihsan hanya
memandang Maisa. “Lepas tu Anuar, tingkatan 1. Kamalia pula darjah enam…
Amalina darjah lima… Heliza darjah tiga... Rashid darjah satu… Iwan tiga tahun…
dan yang si bongsu ni, Huda.”
Maisa
mengangguk faham. Matanya menilik wajah anak-anak amek Rina. Semuanya hampir
seiras amek Rina dan juga abe Apan. Mata mereka bulat, kulit mereka gelap dan
rambut pula lurus dan hampir coklat warnanya.
Dari anggaran Maisa, amek Rina
masih lagi kelihatan muda. Kalau ikutkan matanya, mungkin berusia pertengahan
30-an tapi sudah mempunyai anak yang besar dan ramai. Mungkin budaya orang Asli
kut untuk berkahwin dalam usia muda dan mempunyai anak-anak yang ramai begini.
“Amek… kami balik dululah macam
tu. Kut-kut boleh tolong diorang pasang khemah untuk esok. Malam nanti amek
datanglah. Kita maghrib berjemaah sekali. Kamu Agus pun kena datang, bawa
adik-adik… abang tunggu tau! Kalau datang, esok pagi kita main bola sepak…”
Abang Azli sudah bangun dari duduknya. Mustaqim dan Ihsan juga turut ikut
serta. Agus sudah menunjukkan ibu jarinya. Dengar saja perkataan ‘bola sepak’
dari mulut abang Azli, terus terbuka luas mata Anuar dan Agus.
Amek Rina mengangguk faham.
“Nanti amek ikut sekali kalau Huda tidur awal…”
“Insha-Allah,
amek…” tegur Nab di sebelah amek.
Perkataan
Insha-Allah itu kan bermaksud dengan izin Allah. Tak salah kalau kita nak
menyebut Insha-Allah setiap kali kita mahu membuat perjanjian atau perancangan.
Bukankah apa yang yang berlaku semuanya dengan keizinan Allah. Dan bukankah
lebih indah kalau setiap perancangan kita disertakan dengan keizinan dan rahmat
Allah? Itulah fungsinya lafaz Insha-Allah pada setiap langkah dan perancangan
yang kita mahu lakukan.
“Yallah,
amek lupa. Insha-Allah, Lee.”
Abang
Azli tersenyum lalu meminta diri untuk pulang. Agus dan Anuar turut mengikut
ketiga-tiga lelaki itu keluar. Kini hanya ada mereka bertiga saja di ruang tamu
dengan amek Rina, Huda dan Heliza, anak amek yang darjah tiga.
“Amek
rindu Nabilah tak amek?” Nab bersuara sambil tangannya mengagah Huda diribanya.
Amek
tersenyum. “Amek rindu nak dengar Nab bercerita…”
Nab
tersenyum. Kak Fatin pun. Maisa hanya menjadi penonton di situ. Nak menyampuk
pun dia tak tahu apa-apa.
“Kisah
Nabi Ibrahim nak tak, amek? Lagipun nak dekat dah dengan musim haji ni. Nanti
Nabilah boleh ceritakan pasal ibadah haji pada amek…”
Amek
Rina mengangguk. Wajah itu sudah bercahaya mahu mendengar kisah-kisah nabi.Heliza
yang sedang bermain di depan pintu turut juga mendekati ameknya. Tak berapa
lama kemudian, Nabilah mula bercerita pada lima perempuan di hadapannya.
Maisa
yang baru pertama kali di situ tersentuh melihat situasi di hadapannya.
Kisah-kisah nabi dan rasul yang mereka hadam sejak dari sekolah rendah ini
rupa-rupanya masih ada yang tidak tahu.
Ya
Allah, betullah kata Nab tadi. Mereka perlukan kita…
Thursday, 5 February 2015
Si Dia dari Boston (Bab 5) ~ Norliza Baharom
Haninah sudah pun
serba-sedikit berkemas barang-barang yang mana perlu dibawa ke Boston. Satu beg
pakaiannya sudah penuh dan disorong ke bawah katil buat sementara waktu.
Passport dan visa sudah diperolehi, tersemat kemas di dalam beg sandangnya –
digantungkan di tepi dinding. Kapal terbangnya akan berlepas pada hari Rabu
minggu depan. Hari itu hari Sabtu. Ibu
dan abahnya masih belum tahu, namun dia bercadang untuk memberitahu abahnya
petang nanti, selepas dia pulang dari bendang.
Kini dia berasa sedikit teruja untuk melawat negara asing
itu bersama Ainun. Kadang-kadang dia tersenyum sendirian membayangkan Boston
sepertimana yang diceritakan oleh Ainun dan seperti yang dilihatnya di
gambar-gambar dalam internet. Mungkin benar kata Ainun, berada di tempat yang
asing buat seketika mungkin mampu menghembuskan sedikit semangat untuknya. Dia
lantas membisikkan doa ke hadrat Ilahi agar harapannya itu dimakbulkan.
Kedengaran di luar motosikal buruk abahnya sudah menjerit
di halaman rumah. Baru pukul 12, menandakan abahnya sengaja pulang awal hari
ini untuk makan tengahari bersama-sama. Lebih senang kalau memberitahu mereka
semasa makan nanti, fikir Haninah. Haninah bergegas ke dapur, membantu emaknya
menghidangkan makanan.
Dia duduk bersetentangan dengan abahnya di meja makan.
Lelaki tua berumur lebih 60 tahun itu sedang bersemangat menceritakan bagaimana
tanah kebun kelapa sawitnya yang satu ini mencatat jualan rekod berbanding
bulan-bulan lain.
“Dekat 3 tan bulan ni.
Cuaca hujan panas macam ni lah yang baik sekali. Kalau dah masuk musim hujan
nanti dah tak dapat macam ni.” sambil makan, dia sibuk mengomel.
Haninah menambahkan
sesenduk lagi nasi ke dalam pinggan Pak Ngah Hamdan sambil dia masih lagi asyik
bercerita tentang kebun kelapa sawitnya itu.
“Abah,” potong Haninah
untuk memulakan bicara.
Ayahnya mengangkat
muka. “Hmm… kenapa?” tanyanya sambil mulut masih lagi perlahan-lahan mengunyah
makanan.
“Ninah nak minta
kebenaran abah ni. Si Ainun, dia nak berjumpa dengan tunangnya Umar. Jadi dia
mengajak saya untuk menemankan dia. Sekarang ni si Umar masih di –”
Sedang
Haninah berkata-kata, kedengaran bunyi deruman kereta di luar rumah. Kuat dan
jelas. Setiap kepala memaling ke arah bunyi itu. Kereta itu kedengarannya
diletak benar-benar di hadapan rumah.
“Biar abah tengok
sekejap.” kata abahnya yang sudahpun selesai makan dan membasuh tangannya.
Haninah mengeluh kecewa. Hampir benar dia hendak memberitahu, ada pula yang
mengganggu.
Tidak
lama ayahnya keluar kedengaran bunyi riuh rendah dengan suara-suara yang sangat
dikenali Haninah. Suara kanak-kanak kecil bercakap kuat dan satu suara lelaki
dewasa yang memang sangat dikenalinya.
Abang sulongnya, Azam
yang tinggal di Terengganu.
Dan benar seperti yang
dijangka, muka abang sulungnya muncul di hadapan pintu dapur disusuli tiga
orang anaknya yang kelihatan lebih kurang sebaya, serta isterinya Latifah.
Kenapa pula balik waktu begini? Leter Haninah di
dalam benaknya. Sekarang bukannya Deepavali, atau Raya Cina, atau Raya Puasa.
Biasanya mereka tak akan balik hujung minggu begini. Terengganu bukannya dekat,
fikirnya lagi.
Ketiga-tiga
anak Azam yang masing-masing berumur 3, 6, dan 8 tahun meluru ke arah nenek
mereka di meja makan, menjerit “Nenek! Nenek!”. Mak Ngah Rafidah kelihatan
terkejut bercampur gembira menerima tubuh-tubuh kecil itu di dalam dakapannya.
Diusap-usapnya kepala cucu-cucunya sambil dia tersenyum lebar.
Kak Latifah yang bertudung biru muda dan berbaju kurung
merah menghulurkan tangannya dan disambut oleh Haninah. Dia tidak berkata
apa-apa, dan wajah biasa yang ditunjukkan tiap kali datang ke sini. Suram dan tidak
teruja. Bahkan lebih sugul dari biasa. Begitu juga ekspresi wajahnya bila dia
bersalam dengan ibu mertuanya.
“Mak.”
sapanya, seperti terpaksa. Tidak pun bertanya khabar walau sepatah. Kelihatan
jelas riak jauh hati di wajah Mak Ngah Rafidah. Membuatkan Haninah juga
mempunyai perasaan yang sama setiap kali dia melihat kakak iparnya itu.
Tersinggung.
Latifah kemudian terus duduk di salah satu kerusi di meja
makan itu, hanya memandang ke arah suaminya dan bapa mertuanya yang masih lagi
berbual-bual.
Itu jugalah sebabnya mengapa Haninah merasa pelik kenapa
tiba-tiba sahaja mereka terjenguk di sini tanpa diduga; memberitahu terlebih
dahulu pun tidak. Kakak iparnya itu seperti selalu, suam-suam kuku sahaja.
Biasanya mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak perlu pulang menjenguk.
Kadang-kadang bila ada cuti panjang pun mereka akan mengelak dengan berbagai
alasan.
Abang
Longnya itu pun sama, dua kali lima. Jarang sekali hendak memikirkan tentang
orang tua. Melainkan kalau ada pertolongan yang diperlukannya. Sudah berapa
kali pulang semata-mata hendak meminjam wang dari abahnya. Tiada maksud lain.
Satu perkara yang
mengecewakan Haninah ialah betapa senangnya abahnya ‘membeli’ apa sahaja yang ‘dijual’
oleh abang sulungnya itu. Tidak kiralah apa pun cerita dari abang Long yang
sampai, mudah sangat percaya. Jika tidak percaya pun, mudah sangat kasihan,
mudah sangat akur untuk membantu.
Maka
abangnya itu tidak pernah mendapat balasan dan pengajaran. Tidak pernah
mengenal erti susah yang sebenar-benarnya. Oleh itu tidak pernah hendak belajar
untuk berdikari. Setiap kali dia terhantuk dan terngadah, ada sahaja tangan
yang sedia memangkunya. Memikirkan
tentang itu, hati Haninah mendidih geram.
Namun
bila difikirkan semula, itulah lumrahnya hati seorang ayah. Seburuk-buruk mana
pun, tetap anaknya juga. Takkan sampai hatinya membiarkan anak sendiri
tercungap-cungap dan tergapai-gapai, tiada haluan.
Setelah bersalam dengannya dan ibunya, abang Longnya
duduk di meja makan. Di situ jelas kelihatan wajahnya kusut, letih dan tidak
bermaya. Mesti ada sesuatu yang tak
kena lagi, fikir Haninah di dalam benaknya. Dia bingkas bangun membuatkan
air minuman untuk tetamu yang baru sampai itu.
“Sebenarnya abah, emak,
saya sudah lama dibuang kerja. Sudah masuk tiga bulan.” Azam membuka cerita.
Wajahnya ditundukkan ke meja makan. Haninah tidak terkejut mendengar kata-katanya.
Mak Ngah Rafidah
beristighfar.
“Kenapa Long?” dia
bertanya kepada anaknya.
“Susah saya nak
jelaskan, Mak. Panjang ceritanya. Senang cerita, saya dikhianat di tempat
kerja.” jelas Azam dengan perlahan dan teragak-agak. Isterinya hanya
memandangnya dengan wajah kosong dan muram. Pak Ngah Hamdan
menggeleng-gelengkan kepala. Keluhan panjang dilepaskannya.
Haninah
menjeling ke arah abangnya, cuba membaca air muka lelaki itu. Mungkin ada
benarnya abangnya itu dikhianat. Tetapi kalau difikirkan akan sikap panas baran
abangnya itu yang kadang-kadang boleh membawa kepada konflik dan salah faham,
masalah selalunya berpunca darinya sendiri.
Haninah menghidangkan
air minuman di atas meja sambil telinganya peka mendengar.
“Saya juga ada masalah
nak membayar sewa rumah di Paka tu. Mana nak membayar kereta lagi, api air.
Anak sekolah lagi. Jadi, nak minta kebenaran abah dan emak buat sementara waktu
ni supaya kami dapat tinggal di sini, sampai saya dapat kerja yang lain.”
sambung Azam, tunduk. Isterinya
kelihatan tidak senang duduk di atas kerusinya. Anak-anak mereka sudah pun riuh
rendah bermain di luar rumah, tidak menyedari segala masalah yang menimpa
ibubapa mereka.
Suasana di dalam dapur
hening buat seketika.
“Banyak sangat masalah kau ni Azam. Lepas satu, satu yang
aku dengar.” Pak Ngah Hamdan bersuara. Jelas yang dia sendiri sudah penat
dibebani oleh masalah anak sulungnya itu. Azam mendengar dengan wajah mencuka.
“Aku dengar dari orang
kampung ni, kau ada berhutang dengan dua tiga orang lagi di sini. Masih belum
langsai. Betul ke?” tambah Pak Ngah Hamdan lagi.
Azam terkedu dengan pertanyaan itu. Mulutnya terbuka
seperti hendak mengatakan sesuatu. Tetapi dibatalkan niatnya, terpaksa membenarkan
apa yang dikatakan oleh abahnya itu.
Pak Ngah Hamdan
menggeleng kepala. Mak Ngah Rafidah kelihatan seperti hendak menangis.
“Macam inilah.” sambung
Pak Ngah Hamdan setelah beberapa lama berfikir.
“Kamu dan keluarga kamu
boleh tinggal di sini, dengan syarat kamu tolong aku bekerja di kebun sawit dan
sawah padi yang ada beberapa petak lagi tu. Upah yang aku berikan pada kamu,
kamu gunakan untuk keluarga kamu dan beransur-ansur kamu bayar hutang-hutang
lapuk kamu tu.”
Mendengar kata putus
abahnya itu, Azam mengangguk-angguk perlahan.
Begitulah
kalau sudah terdesak, detik hati Haninah. Akhirnya sanggup juga memegang tanah
dan lumpur. Kalau sebelum ini cakap dan lagaknya sentiasa gah. Kalau tidak
memakai tali leher dan baju kemeja, bukan kerja namanya. Begitulah kalau Tuhan
mahu mengajar, tidak perlu menunggu lama.
Haninah
juga dapat melihat wajah terdesak dan keterpaksaan kakak iparnya. Mungkin kakak
iparnya itulah yang paling merasa tersepit dengan masalah ini. Masakan tidak,
terpaksa menumpang ihsan daripada orang-orang ‘asing’ yang tidak pernah
digemarinya.
Haninah yakin, sudah tentu abang Long dan kak Latifah
sudah pun cuba meminta tolong daripada keluarga sebelah kakak iparnya. Cuma
setakat yang dia tahu, keluarga kak Latifah itu pun bukan orang-orang senang.
Rumah pun hanya rumah papan kecil, tidak mampu menampung kedatangan orang baru.
Namun terdetik di hati Haninah simpati akan anak-anak
saudaranya yang masih kecil itu. Memikirkan mereka, Haninah cuba bersikap
redha.
Setelah beberapa ketika, Haninah tersedar daripada
gelumang masalah yang dibawa oleh abangnya dan menyedari masalahnya sendiri
kini yang semakin terbeban. Lantas dia bergegas meminta diri masuk ke bilik
tidur. Tanpa bertangguh dia menyambar telefon bimbit yang terletak di atas
katil dan mula mendail.
“Wa”alaikumussalam.”
dia menjawab salam yang sudah pun diberikan menerusi corong telefon itu.
“Ainun, aku ada masalah
besar ni.”
“Apa dia?” Ainun
bertanya.
“Abang Long aku, ada di
sini.”
“Bila pula dia balik?
Kenapa kau tak cakap dengan abah kau awal-awal?”
“Aku sedang bercakap
dengan abah akulah tadi tu, tiba-tiba sahaja dia sampai. Tak sempat nak
bagitau.”
“Bila dia balik semula
ke Paka?”
“Dia takkan balik.”
“Hah!?”
Lantas Haninah
menceritakan berita terbaru tentang abangnya itu.
“Macammana ni Ainun?”
tanyanya lagi meminta nasihat.
“Aku
pun pening kepala juga Ninah. Walaupun aku tak duduk serumah dengan kau, faham
benar aku dengan abang Azam tu. Dari kecil aku kenal perangai dia. Suka sangat
dia mencari pasal dengan kau. Ingat lagi aku masa arwah Zahid mula-mula datang
beraya dulu, disoal-siasatnya arwah tu bagaikan pegawai polis menyoal
penjenayah. Minta maaflah, terus-terang aku sendiri memang tak berkenan dengan
sikap abang Azam tu.” kata Ainun dengan sedikit rasa bersalah.
“Itu engkau. Aku ni?
Setiap kali dia di sini aku rasa nak menjinjit beg keluar dari rumah ni, kau
tau!” balas Haninah, panas hati. Hatinya bergolak resah.
Haninah memang tidak pernah serasi dengan abangnya yang
sulung itu. Azam sentiasa mahu menimbulkan kemarahan hatinya. Sangat suka
mengambil tahu dan masuk campur perihal peribadinya lebih dari yang perlu.
Mentang-mentang dia abang yang paling tua. Memikirkan yang dia akan tinggal di
rumah ini membuatkan Haninah berasa lebih tidak senang hati.
Selain
Azam, Haninah mempunyai dua orang lagi abang yang masing-masing sudah berkerja
dan berkeluarga – Abang Langnya, Hasbi berada di hujung semenanjung, di Gua
Musang, Kelantan. Abang Ngahnya, Khairul pula tinggal nun jauh di Singapura,
kerana peluang bekerja sebagai pensyarah di sebuah Universiti di sana tidak
dapat ditolaknya.
Jarang kedua-dua abangnya itu pulang ke
kampung atas alasan jarak yang jauh itu. Tambahan pula abang Longnya kini sudah
tinggal di sini, Haninah yakin mereka bertambah gembira kerana tidak perlu
pulang selalu.
Walaupun hubungan Haninah dengan dua lagi
abangnya itu tidaklah serapat mana, dan kadang-kadang dia sendiri berasa kecil
hati melihat sikap endah tak endah mereka dalam mengambil berat soal orang tua,
namun tidaklah sampai dia mempunyai perasaan yang sama seperti perasaannya
terhadap Azam. Azam memang seolah-olah tidak pernah menganggap dirinya sebagai
adik. Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, bagi Azam Haninah
terlalu dimanjakan oleh kedua-dua ibubapa mereka.
Pada
masa yang sama, Haninah merasakan yang dia akan mempunyai masalah untuk
mendapatkan izin abahnya supaya dia boleh ke Boston. Abangnya mungkin akan
masuk campur. Sudah menjadi fitrah Azam untuk sentiasa membuat orang lain
mendengar pendapatnya, dan jika tidak diterima, naik anginlah dia. Bagi
abangnya itu, Haninah perlu patuh mendengar cakapnya sama seperti dia perlu
patuh kepada kedua-dua orang tuanya.
“Emm.. aku tak suka nak
menghasut kau, tapi bagaimana kalau kau menipu sikit?” cadang Ainun secara
tiba-tiba. Haninah tersentak, tetapi tidak dinafikan yang dia ada juga
memikirkan perkara yang sama.
“Maksud kau?”
“Kau cakaplah yang kau
hendak menemankan aku ke KL saja selama beberapa hari, tak perlu cakap yang
kita hendak ke Amerika…” jelas Ainun.
“Kalau dia bertanya
bagaimana? Aku tak mahu menipu abah dan emak aku, Ainun. Tak tenang hati aku di
sana nanti. Lagipun bayangkan kalau apa-apa jadi. Masalah besar nanti..” jawab
Haninah. Dia merasa serba salah.
“Aku faham, betul juga
tu. Susah macam ni...” keluh Ainun. Masing-masing terdiam sebentar di gagang
telefon. Kedengaran suara riuh-rendah anak-anak saudaranya yang masih lagi
belum berhenti bermain.
“Beginilah, kau cakap sajalah pada abah kau. Tak perlu nak mereka-reka cerita. Kalau dia bagi, bagilah. Kalau kau tak dapat pergi, aku tak marah. Jangan risau semua tu. Yang penting, hati kita senang.” sambung Ainun.
“Beginilah, kau cakap sajalah pada abah kau. Tak perlu nak mereka-reka cerita. Kalau dia bagi, bagilah. Kalau kau tak dapat pergi, aku tak marah. Jangan risau semua tu. Yang penting, hati kita senang.” sambung Ainun.
“Betul ke ni?” tanya
Haninah kepada sahabat baiknya itu. Terfikir dia akan passport dan visa yang
sudah pun dibuat dan dibayar oleh tunang sahabatnya itu.
“Betul. Aku tak kisah.
Kau cuba je dulu, minta kebenaran dari abah kau. Baca doa banyak-banyak sebelum
tu.” nasihat Ainun.
“Baiklah.” jawab
Haninah perlahan.
Di suatu petang di luar rumah, Azam sedang duduk di atas
kerusi rotan sambil melihat anak-anaknya berkejar-kejaran di atas tanah halaman
yang lapang dan tidak berumput. Kelihatan beberapa ekor ayam jiran sedang
mematuk-matuk di tanah, mencari makan.
Pak Ngah Hamdan sedang duduk di gigi tangga,
membersihkan tapak kasut berkebunnya yang dilekati lumpur tebal lebih seinci.
Dia mahu ke kebun lagi, menjenguk pekerja-pekerja yang sedang menguruskan
tandan-tandan sawitnya.
“Macam mana dengan si
Haninah tu bah? Dah habis sedihnya?” tanya Azam tiba-tiba, kepada Pak Ngah
Hamdan.
“Entahlah, macam itu
juga.” jawab Pak Ngah Hamdan pendek sambil dia meneruskan kerjanya.
“Tak mahu kahwin ke
dia?” tanya Azam lagi.
“Tak mahu katanya. Dah
jenuh aku dan mak kau mencarikan calon. Dia memang tak nak. Menangis dia kalau
dipaksa sangat.” Pak Ngah Hamdan mengeluh. “Biarlah dia. Kalau dipaksa-paksa
pun dia tak mahu, nak buat apa. Kalau sampai masanya nanti, kahwinlah dia.”
tambahnya lagi sambil dia menyarungkan kasuh getah ke kaki. Tongkat motosikal
dinaikkannya, sudah bersedia untuk pergi.
“Mengada-ngada si
Haninah tu.” bisik Azam kepada dirinya sendiri.
Matanya masih lagi memandang ke arah anak-anaknya yang
sedang bermain. Pak Ngah Hamdan menghidupkan enjin motosikalnya lalu bergerak
pergi ke kebun. Asap berkepul-kepul tinggal terawang-awang di tengah laman.
Memang sudah rutinnya pergi ke kebun waktu-waktu begini dan pulang semula
sebelum waktu makan tengahari.
“Naufal!” tiba-tiba
Azam melaung nama anaknya yang paling tua. Tanpa membuang masa anak yang
berumur 8 tahun itu berlari ke arah bapanya, patuh.
“Pergi panggil Ucu
Ninah di dalam bilik.” Azam menyuruh sambil memandang anaknya itu dengan
pandangan yang tajam.
Naufal pun terus
berlari masuk menuju ke bilik Haninah dan mengetuk-ngetuk pintu.
Sejurus Haninah membuka
pintu, melihat anak saudaranya tercegat, mendongak dan memandang ke arahnya.
“Kenapa, Naufal?”
tanyanya lembut.
“Ucu Ninah, ayah
panggil.” sampainya ringkas, selaku utusan.
Haninah mengerutkan
dahi. “Ayah nak apa?” dia bertanya, dengan sedikit nada jengkel.
“Tak tahu.” jawab
Naufal sambil mengangkat bahu, lantas berlari pergi. Dia tidak sabar hendak
menyambung mainnya yang tergendala.
Haninah menarik nafas
panjang dan kuat. Betapa dia malas untuk bersemuka dengan abangnya itu.
Apalah yang dia nak kali ni,
fikirnya. Dia mengenakan tudung kepalanya dengan
malas lalu berjalan keluar, menutup pintu biliknya lalu menuju ke beranda.
Azam masih lagi duduk di tempat yang sama dengan
sepuntung rokok ditangannya yang sudah separuh jalan dihisap. Haninah datang
dan melabuhkan punggung di bahagian paling hujung kerusi rotan itu. Tidak
langsung memandang ke arah abangnya, ditetapkan wajahnya ke hadapan melihat
tiga anak saudaranya yang sedang bermain kejar-kejar.
“Ada apa Long?”
tanyanya dengan nada serius.
“Along dengar abah dan
emak banyak kali cuba mencarikan kau jodoh.”
Haninah hanya diam
membisu. Bibirnya digetap, menahan marah yang tiba-tiba membuak. Isu itu
baginya tiada orang lain di rumah ini yang layak membincangkan dengannya
melainkan emak dan abahnya.
“Along bukannya apa,
sudah lama dah rasanya arwah kawan kau tu meninggal dunia. Kesian dekat emak
dan abah tu, ke hulu ke hilir mencarikan calon yang sesuai buat kau.
Fikirkanlah perasaan mereka.” kata Azam. Nada suaranya, bagi Haninah, hanyalah
nada mengambil berat yang palsu, dibuat-buat. Hanya untuk menyakitkan hatinya.
Memang dasar tak
sedar diri, kutuk Haninah di dalam hati. Kalau abangnya itu benar-benar
mengambil berat tentang perasaan ibu dan bapa mereka, sudah tentu dia tak akan
berada di sini, meminta abahnya menampung hidup dia dan keluarganya. Sampai tua
dan beranak-pinak pun masih mengharapkan kudrat ibubapa. Hutang yang keliling
pinggang itu pun mengharapkan orang tua juga yang melangsaikan. Apakah itu
kalau bukan sikap hipokrit!
“Bang Long, soal jodoh
saya biarlah saya fikirkan sendiri dan bincangkan bersama emak dan abah. Orang
lain tak perlulah risau. Saya bukan berniat sedikit pun nak menyusahkan hati
emak dan abah. Namun setahun peninggalan arwah bagi saya tak sama dengan
setahun bagi orang lain.” Haninah membalas, walaupun niat dihatinya mahu
menyumpah seranah abangnya itu. Marahnya itu hampir tidak tertahan lagi;
abangnya itu tidak menunggu lama untuk cuba menyakitkan hatinya.
“Sebelum bang Long
hendak memberikan pendapat, saya harap bang Long memikirkan juga tentang
perasaan saya.” tambah Ninah, jelas dan tegas.
Azam berganjak sedikit
di tempat duduknya, menampakkan yang dia tersinggung dengan jawapan dari
Haninah itu. Puntung rokok di tangannya didekatkan lagi ke mulut dan disedut
dalam-dalam.
Haninah
sedar benar akan sebab mengapa abangnya itu begitu membencikannya. Ini kerana
dalam hidup Azam, hanya Haninah seorang sahaja selain bapanya yang berani
bercanggah pendapat dengannya. Haninah seorang sahaja yang sanggup bertegang
leher mempertahankan hak-haknya sekiranya dia mendapati Azam cuba menggunakan
kuasanya sebagai abang yang paling tua untuk masuk campur.
Isteri
dan anak-anaknya terpaksa patuh sentiasa dek kerana sikapnya yang suka mengugut
dan membentak itu. Haninah merasakan kelebihan yang dimilikinya pada waktu itu
hanyalah kerana dia perempuan – ada sedikit rasa malu abangnya untuk berkeras,
dan ibubapanya masih ada untuk membela. Jika dia lelaki, sudah lama penampar
sulung abangnya itu hinggap di pipinya berkali-kali.
Abang
Ngah dan abang Langnya sendiri pun sentiasa mengelak dari bersanggah dengan
Along mereka. Pendek kata, mereka lebih senang terus sahaja mengelak dari
bertemu dengannya. Makin jaranglah abang-abangnya itu balik ke kampung nanti,
fikir Haninah.
“Aku tak kisah. Cuma
nanti yang susah kamu, Ninah. Membujang sampai ke tua. Dipandang serong oleh
orang kampung. Takkan kamu nak mengharapkan emak dan abah menampung kamu sampai
mati?” sambung Azam pula, pedas.
Telinga Haninah
berdesing. Kata-kata abangnya itu baginya sungguh biadap.
“Agaknya bang Long
lupa, yang selepas saya habis belajar nanti, saya boleh mencari kerja dan hidup
sendiri.” Haninah memandang Azam tepat dimukanya buat pertama kali. Dadanya
berombak kencang.
“Rezeki datang dari
Allah - bukan bang Long atau orang lain yang tentukan. Bahkan rezeki bang Long
sekarang ni pun saya lihat sudah semakin sempit. Mungkin bang Long perlu
muhasabah diri dulu, jangan risau soal saya. Insya-Allah saya mampu berdikari
dan membayar hutang saya sendiri.” dia menangkis lagi dengan jawapan yang
sinis. Diselitkannya juga sindiran dengan harapan abangnya itu dapat menyedari.
Senang benar habis sabarnya bila terpaksa berhadapan dengan manusia yang kurang
akal sebegini.
Azam menegakkan
badannya seperti ular tedung selar yang sedia mematuk mangsa.
“Memanglah kau ni adik
yang kurang ajar!” selar Azam. Puntung rokok di tangannya yang sudah pendek
dilenyek-lenyekkan di dalam bekas abu rokok di hadapannya.
“Walau saya berpangkat
adik, tak semestinya saya yang kurang ajar.” balas Haninah pula.
“Aku cuma nak
menasihatkan kau. Bukannya nak mendengar kau mengutuk dan menyindir aku pula!”
“Kalau nasihat itu
sendiri dalam bentuk kutukan dan sindiran, bang Long ingat saya nak mendengar
saja, menerima?” bangkang Haninah.
“Biadap!” bentak
Alongnya, pada satu ketika tangannya menggenggam penumbuk. Namun tanpa berbuat
apa-apa, dia terus meninggalkan Haninah menuju ke dalam rumah, masuk ke dalam
bilik tidurnya dan menghempaskan pintu. Mungkin hendak melepaskan pula rasa
marah dan tidak puas hatinya di hadapan isterinya pula.
Haninah menggigil geram. Tangannya sendiri sedang berbuku
seperti sedia untuk membalas serangan abangnya sekiranya ia terjadi. Air
matanya bergenang dek kerana marah.
Dia
juga bangun dan berjalan laju menuju balik ke ke biliknya. Hampir-hampir dia
menghempaskan pintu bilik ketika menutupnya. Namun mengenangkan ibunya yang
berada di dapur mungkin terkejut, dia menahan diri.
Dia
ingat aku ni hamba abdinya, boleh diteriak, dibentak sesuka hati? Dengan bini
dan anak-anaknya bolehlah! Haninah membentak di dalam hati. Telefon bimbit
yang sebelum itu di dalam genggamannya dibaling ke atas katil. Dia duduk di
hujung katil dan mula menangis. Cuba menenangkan semula hatinya yang telah
terkacau oleh kezaliman abangnya sendiri.
Setelah
tangisnya reda, dia mengangkat muka. Sekarang nekadnya bertambah kuat untuk
mengikut Ainun pergi ke Boston. Seribu kali lebih baik daripada terperangkap di
dalam rumah ini bersama dengan abangnya. Apa yang perlu dilakukannya kini
hanyalah menunggu abahnya pulang dari bekerja.
*
Haninah
sengaja menunggu masa di mana Azam ada bersama sekali dengan abahnya di ruang
tamu itu, selepas semua selesai makan malam. Tujuannya supaya nanti ketika dia
sedang sibuk berkemas dan hendak pergi, Azam tidak sibuk mengambil tahu dan
mempersoalkannya.
“Abah, Insyaallah hari Rabu ni, Ninah akan pergi
menemankan Ainun, ada program cuti untuk budak-budak Universiti selama dua minggu.”
Haninah membuka bicara. Ibu jari kanannya berlaga dengan ibu jari kirinya,
mengawal gemuruh.
“Di mana?” tanya
ayahnya sambil menyapu-nyapu perutnya yang sudah kenyang.
“Di KL, di kampus.”
jawab Haninah. Rasa bersalah kerana terpaksa menipu abahnya menyengat tajam di
sanubari. Berat untuk dia melakukannya tetapi telahpun dinekadkan di dalam hati.
Dirinya berasa berdosa, namun dia sanggup melakukannya semata-mata tidak mahu
memandang muka abang sulungnya terlalu lama.
Azam memasang telinga tetapi tidak sekali pun
menoleh ke arahnya – berkat pertelingkahan tadi.
“Abah jangan risau,
ayah Ainun akan menghantar kami nanti terus ke KL.” tambah Haninah lagi,
sedikit teragak-agak.
Abahnya menganggukkan
kepala, setuju. Azam diam sahaja membatu sambil matanya melekat di kaca
televisyen yang sedang menyiarkan berita.
“Nak duit belanja ke?”
tanya abahnya tiba-tiba.
“Err, boleh juga
sedikit.” jawab Haninah.
Pak Ngah Hamdan mengeluarkan beberapa keping wang kertas
50 ringgit dan menghulurkannya kepada Haninah. Azam melihat dengan ekor
matanya.
“Terima kasih, bah.”
ucap Haninah sambil mencium tangan abahnya, terharu.
Wednesday, 4 February 2015
Lukis di Langit Kita (Bab 5) ~ Hananee Amir
Saiful, satu-satunya kawan baik yang
Ikram ada. Dan selaku kawan baik Ikram, bukan sekali dua dia menjadi tempat
Abang Azril dan Abang Huzir mengadu, meluah persaan dan kebimbangan tentang
Ikram. Tentang masa depannya. Tentang kedegilannya. Apa saja tentang Ikram.
Ikram bukannya ramai kawan. Apatah lagi sejak tamat persekolahannya. Banyak
masa hanya dihabiskan di cafe tua kesayangannya tu. Itu saja kehidupan yang dia
ada. Kawan yang dia ada pun itulah satu-satunya, Saiful. Dia seolah-olah telah
melupakan segalanya hanya untuk mempertahan café tua peninggalan arwah mama dan
papanya itu.
“Kau
nasihatkan dia tu sikit. Kau baik dengan dia. Dia mungkin nak dengar cakap kau.
Abang ni dengan Abang Azril dah naik jenuh dah bercakap, berleter, membebel,
marah. Tapi tak diendahkannya.” Adu Abang Huzir satu petang ketika Saiful
singgah ke rumah mahu menemui Ikram. Ikram pula tiada dirumah. Ada usrah
disurau katanya. Saiful baru balik dari Scotland waktu tu. Sajalah konon nak surprise kan Ikram dengan motor baru dia
tu, rupanya dia yang makan surprise
sendiri. Terjebak dengan sessi luahan perasaan Abang Huzir pulak.
Nak
nasihat Ikram? Senang lagi kerja jadi sukarelawan Mercy Malaysia kot. Panjat Kinabalu pun tak susah
nak nasihatkan Ikram. Bukan sekali dua dia bagi nasihat. Dah tahap berleter dah
pun. Tapi ada apa-apa yang berubah? Sama je. Ikram memang dah bulat tekad.
Sampai dia yang susah nak putus asa tu pun jadi putus asa. Suruhlah dia buat
kerja lain, mintaklah dia tolong hal lain, insyaAllah dia boleh usahakan. Tapi
bukan bab-bab nak nasihat Ikram atau nak pujuk Ikram. Rasa macam kena hukuman
mati pulak.
“Abang
bukan tak suka dia teruskan legasi café tu. Abang suka. Abang pun sayang café
tu. Abang tahu café tu banyak kenangan. Bukan pada Ikram je. Pada kami semua
satu keluarga. Arwah papa abang beli café tu dulu sebagai lambang cinta dia
pada mama abang. Tapi dia kena fikir masa depan dia juga. Sampai bila dia nak
duduk bertunggu tangga kat cafe tu? Kau pun tahu café tu bukannya mendatangkan
hasil pun. Banyak yang perlu diubah kalau nak hidupkan semula café tu. Nak ubah
macam mana kalau dia sendiri tak nak berubah? Nak berubah ni kena ada ilmu
juga.” Tambah Abang Huzir lagi.
“Dia
takut abang jual café tu kalau dia sambung studi.” Air kotak laici yang dihulur
Abang Huzir, disambut dengan tangan kanan. Biskut oreo yang masih dalam
plastik, tapi sudah dibuka paketnya tu pun disambut sama. Ni lah rezeki
kunjungan ke rumah orang bujang. Yang dalamnya tak ada seorang perempuan pun.
Kalau Abang Azril ada, kadang-kadang ada juga kuih-muih. Abang Huzir memang tak
rajin nak masak. Nak hidang air teh secawan pun dia malas. Ikram kata Abang
Huzir ni kerajinan dia berkemas-kemas, basuh baju, lipat kain. Abang Azril
pulak bahagian memasak. Ikram? Untunglah…
“Abang
gertak dia je. Takkan tergamak nak jual café tu. Tu kan kenangan arwah mak dan
ayah abang. Abang cuma gertak dia supaya dia dengar cakap abang. Tak sangka
pulak dia makin tak dengar cakap. Salah strategi.” Senyum segaris terukir
dibibir. Kesian Abang Huzir, abang manalah tak sayang adik. Dia cuma nak
terbaik. Kesian Ikram jugak. Dia cuma nak mempertahan café tu. Dan kesian, kat
Saiful sebab terjebak dengan semua ni.
“Dia
memang dah tak minat belajar kot bang. Kita tak boleh paksa dia kalau dia dah
tak minat. Tak kemana nanti jadinya.”
“Jadi
kemana dia boleh pergi dengan café tua tu?” Saiful tak dapat nak jawab.
Macam-macam nama café tu dapat. Cafe tua, café nak roboh, café hujan.
Macam-macam nama padahal nama sebenarnya White
Blossom Café. Dapat nama Café Hujan, sebab setiap kali hujan, orang akan
ramai datang berkunjung. Makan-makan kek dan minum-minum sambil tunggu hujan
teduh. Kalau tak hujan, tak ada sangat orang. Nak harap 5 orang sehari pun
payah.
“Kalau
café tu boleh bagi masa depan, bagi untung, abang pun tak gaduh nak suruh dia
sambung studi untuk masa depan dia. Kau tahu kan, café tu nak balik modal pun
payah. Jadi?”
“Kita
tak tahu apa yang dia fikir.” Bukan Saiful nak menangkan Ikram, cuma Saiful
rasa tak adil je nak tuduh Ikram macam-macam. Dalam hati Ikram kita tak tahu.
Ikram mungkin ada sebab. Ikram tak cerita semuanya pada Saiful walaupun dalam
banyak hal, selalunya Saiful akan tahu. Lelaki ni bukan suka sangat nak cerita
soal hati dan perasaan ni. Walaupun Ikram selalu juga cerita. Tapi Ikram tak
cerita semua rasanya.
“Dia
dah lama berhenti berfikir.” Erk! ayat macam orang patah hati sangat.
“Dia
tu, satu-satunya adik abang. Abang cuma nak yang terbaik untuk dia je. Sambung
belajar. Cari masa depan, untuk dia juga. Bukan untuk abang. Bukan untuk orang
lain. Tapi dia tak nak. Kalau cakap lebih sikit, merusuh. Berkurung dalam
bilik. Macam anak dara kena paksa kahwin. Jadi macam mana lagi abang nak buat?
Cuba kau cakap.” Abang Huzir menambah lagi. Ye, tahu. Bukan senang nak nasihat
Ikram. Tak payah nak bagi ayat penekanan sangat. Tak payah nak bagi metafora
sampai anak dara kena paksa kahwin. Macam kritikal sangat bunyinya.
“Dia
perlukan masa kot bang. Kita bagi dia masa sikit.”
“Berapa
lama? 10 tahun?” Saiful sengih. Rasa menyesal pulak datang tadi tak call Ikram dulu. Ikram tak ada, dia
pulak kena dengar ceramah Abang Huzir. Kejutan lah sangat kan?
“Entahlah
bang. Kadang-kadang saya pun tak faham dengan dia. Tapi yelah, kalau semua
orang pakat-pakat hentam dia, kesian jugak.”
“Kau
tengok Umairah tu. Perempuan. Tapi cita-citanya tinggi. Dulu masa sekolah
bukannya dia pandai sangat pun. Ikram jauh lebih pandai dari dia. Tapi sekarang
kau tengok dia dengan Umairah. Macam langit dengan bumi.” La! Umairah terjebak
sekali? Ni memang boleh sebabkan rusuhan ni kalau Ikram tahu. Dah lah dia
dengan Umairah tu memang tak sebulu dari dulu. Disamakan pulak. Dibanding-banding.
Memang boleh mewujudkan pergaduhan.Perang saudara.
“Orang
lain-lain bang. Rezeki pun lain-lain. Kita tak tahu rezeki orang. Masa depan
orang.” Ayat-ayat Saiful memang semua memihak pada Ikram. Macam dia kata
tadilah. Kalau semua orang nak hentam Ikram, kesianlah kat Ikram. Siapa nak
sebelahkan dia. Dia bukan buat dosa pun. Dia cuma nak pertahan café tu je. Café
tempat mak dan ayah dia bertemu, jatuh cinta, kahwin dan mencari rezeki untuk
anak-anaknya sehinggalah kedua-duanya meninggal dunia. Dia tak buat jenayah
pun.
Betul,
dia jadi lupa untuk memikirkan masa depan. Terperangkap dalam kenangan.
Bermusuh dengan orang-orang yang sayangkan dia yang hanya mahu melihat dia
berjaya tapi dia dah jadikan musuh. Tapi tu tak cukup untuk menghukum dia
dengan segala tuduhan yang buruk. Ikram pada Saiful, masih sama macam Ikram
yang dia kenal masa kat sekolah dulu. Ikram yang rajin, Ikram yang baik hati,
Ikram yang penyayang. Cuma kerana rasa terlalu sayang pada café tu, dia jadi
lupa nak fikirkan masa depan.
“Rosakkan
masa depan tu pun jenayah. Jenayah pada diri sendiri. Kan menghukum diri
sendiri tu namanya.” Abang Huzir macam faham pulak apa yang Saiful fikirkan.
Saiful sekadar senyum. Air kotak yang tadi dah habis dia sedut masuk dalam
perut. Abang Huzir hulur sekotak lagi. Dia sambut, tapi tak terus minum. Tak
nak lah minum manis banyak sangat. Kajian menunjukkan dalam sekotak air ni ada
tujuh sudu gula. Bayangkan kalau dua kotak. Dah 14 sudu dah. Tu belum kira kopi
yang dia ambil pagi tadi. Fresh orange
yang dia minum tengahari tadi. Kek lagi. Roti manis lagi. Tu yang nampak tu.
Yang tak nampak? Yang dalam nasi? Mee? Patutlah orang Malaysia ni banyak yang obes
dan kadar menghidap kencing manis semakin meningkat dari sehari ke sehari.
“Tapi
tu jenayah pada diri sendiri bang. Tak
sama dengan jenayah rompak, rogol, pecah amanah.” Sekali lagi Saiful
menyebelahkan Ikram. Huzir gelak sepatah.
“Patutlah
Ikram suka kawan dengan kau. Kau je sebelahkan dia tak kira apa.” Gelak Abang
Huzir meletus kuat. Air kotak yang tadi dia bagi kat Saiful, dia ambil balik.
Cucuk kan straw, lepas tu sedut
sendiri. La! Tadi bukan dia bagi Saiful ke? Sekarang dia sendiri minum. Buruk
siku.
“Abang
bukan apa Pol ….dia tu lelaki. Satu hari nanti nak kahwin. Kalau macam tu gaya.
Macam mana dia kahwin? Nak tanggung anak orang? Sekarang bolehlah. Café tak
untung pun perut dia masih kenyang. Makanan sentiasa ada kat rumah. Tak gaduh
mati kebulur. Tapi takkan dah kahwin nanti nak macam ni? Abang bukan berkira.
Tapi hidup ni ada tanggungjawab. Bukan kenangan semata-mata.” Abang Huzir
sambung membebel. Sekarang dia sambung makan biskut oreo pulak. Tadi dia bagi
kat Saiful. Saiful makan sekeping je. Sekarang dia makan dah 3 keping. Dia
sediakan makanan untuk diri dia sendiri ke macam mana ni?
“Kalau
sampai seru nak kahwin nanti dia tahulah. Sekarang ni dia belum ada rancangan
nak kahwin lagi. Jadi kita tak bolehlah nak hukum dia sebelum sampai masanya.”
Abang Huzir ni beria je cakap pasal nikah kahwin. Yang dia tu sampai sekarang
tak kahwin lagi kenapa? Ke dia tak kahwin sebab Ikram tak kahwin? Parahlah
macam tu. Ikram ni, tanda-tanda nak kahwin pun masih belum ada. Jangan kata nak
kahwin. Jauh lagi tu. Mahunya jadi bujang terlajak si Abang Huzir ni. Tu baru
Abang Huzir, Abang Azril tak kira lagi. Ke diorang ni cadang-cadang nak naik
pelamin sekali? Gila meriah.
“Siapa
yang nak kat dia dengan keadaan dia macam tu.” Eh! Abang Huzir tak tahu ke
Ikram ni punya laku masa kat sekolah dulu. Sampai Saleha anak doktor tu dengan
Naela Anak Cikgu Iskandar bertumbuk kat gate sekolah, pasal Ikram lah. Tapi
sia-sia jelah mandi air tanah merah depan sekolah tu. Sebab Ikram pilih Husna.
Tak berbaloi langsung. Tapi tu masa sekolah la. Masa ketampanan adalah
satu-satunya motif untuk jatuh cinta. Bila dah kerja, motif dah lain dah.
Ikram ni pulak masa kat
sekolah memang handsome, ketua
pengawas pulak tu. Tu baru sebut yang bertumbuk kat gate sekolah. Yang simpan hati diam-diam belum sebut lagi. Yang
hantar surat pakai sampul bunga-bunga, pen berpewangi dengan surat ditabur
bedak? Yang bukan sekeping dua jumlahnya. Orang tak tahu. Siapa kata tak ada
orang nak kat Ikram?
Tapi tu dululah.
Sekarang, cukuplah tengok café dia tu. Jangan sebut nak gaduh bertumbuk depan gate. Pandang sebelah mata pun tak.
Kalau kena kahwin paksa dengan Ikram macam dalam drama tv tu, takut-takut ada
yang bunuh diri pulak nanti.
Tapi bila difikir
balik, Ikram bukanlah bodoh sangat. Takkan dia tak fikir masa depan. Dia tu
bijak orangnya. Bijak ni bukan kira pakai sijil je. Bukan kira ada ijazah je
baru bijak. Bukan kira ada master baru bijak. Tengok berapa ramai kat dunia
luar tu, yang ada master, tapi tinggal mak ayah kat stesen bas lepas habis
kikis duit kwsp mak bapak dia? Berapa ramai yang ada degree, tapi terbabit
dengan keganasan keluarga? Pukul anak bini, kadang-kadang sampai berbunuh.
Dan berapa ramai pulak
kat luar tu yang sekolah tak habis, dihimpit kemiskinan. Tapi berjaya dalam
hidup. Kadang-kadang orang macam ni siap bukak kilang. Bagi kerja kat orang
yang ada degree, ada master bagai. Jadi, mengukur kebijaksanaan seseorang tu
hanya melalui sijil yang dia ada, adalah salah. Itu fakta nombor satu. Fakta
nombor dua, dia yakin Ikram ada perancangan untuk masa depan dia. Ikram pun
takkan selama-lamanya nak hidup seorang berteman café tua tu. Dia kenal Ikram.
Dia tahu.
Abang Huzir dengan
Abang Azril pun kenal Ikram. Tentu diorang tahu. Cumanya dia takut kalau Ikram
terus tenggelam sedangkan Ikram tu amanah arwah mak dan ayah dia. Bukan dia
sengaja nak sebelahkan Ikram dalam segala hal. Cuma dia rasa yakin dengan
kemampuan Ikram. Dia percayakan Ikram. Dan dia nak Ikram tahu yang Saiful
sentiasa ada dan sentiasa yakin yang satu hari nanti Ikram akan berjaya. Dia
tak minta lebih. Dikenang sebagai kawan susah dan senang tu dah cukup baik.
“Dia masih kawan dengan
Ratna?” Tiba-tiba soalan Abang Huzir berubah arah. Tak jadi Saiful nak ambil
oreo dari dalam peket.
“Tak tau.”
“Takkan tak tahu. Kau
dengan dia kan macam belangkas.” Mak Oih! Ayat. Kalau orang dengar, jadi
tuduhan gay pulak karang. Musnahlah
harapan Saiful nak mengurat Nora Danish. Bak kata Ikram, taste Saiful ni semua Miss J je. Dulu dia terkenan kat Maya. Budak
kerja service center dekat dengan
tempat kerja dia tu. Miss J jugak. Tapi muda lagilah. Bergetah lagi. Sudahnya
tak jadi kahwin jugak. Sebab? Dia kata dia nak tunggu Ikram kahwin dulu dan
Maya tak nak tunggu. Putus macam tu je. Yang Nora Danish tu, cerita rekaan dia
jelah. Nora Danish pun tak tahu dia wujud dalam dunia ni dan sedang berkawan
dengan seorang manusia gila yang kerjakan café tak ada untung tu. Kalau dia
paksa Nora Danish kawin dengan dia, mahu meraung Nora Danish.
“Dia pun tak cerita
semuanya dengan saya bang…”
“Hmmm”
“Kenapa abang tanya?”
“Taklah. Hari tu abang
nampak dia jumpa Ratna. Kat depan Econsave tu… tu abang tanya. Kalau kamu
tahu.”
“Terserempak je kot.”
Tak sempat habis perbualan tentang
Ratna, Ikram dah balik. Dengan jubah putih, kupiah putih, sandal hitam. Jalan
kaki je dari surau. Nampak sungguh ‘nur suami soleh dia tu’.
“Lama
ke tunggu?” Soal dia sebaik berbalas salam.
“Lama
jugak.” Nak je sambung. Lama jugak, puaslah menadah telinga dengar rintihan
hati abang kau ni.
“Motor
baru?” Dia tuding jari pada Ducati yang terdampar kat luar gate. Cantik gila.
Gagah gila. Tak setara langsung dengan Honda buruk reput dia tu.
“Jom,
aku bawak kau jalan-jalan. Sambil aku belanja tosai.” Saiful bagi cadangan.
“Cool jugak tu. Jap, aku salin baju.” Waktu
tu, Abang Huzir dah pun masuk kedalam rumah membiarkan mereka berdua berbual.
Dua kotak kosong dengan peket oreo yang dah kosong juga tu dihumban dalam tong
sampah.
“Baju
tu pun ok kot.”
“Jubah
ni?” Ikram pandang jubbah yang tersarung ditubuhnya sebelum kembali menala
pandang pada Saiful.
“Ha…
jubah pun baju. Apa kau ingat jubah tak boleh naik Ducati?”
“Jubah
aku ni ada sehelai je. Koyak nanti, aku nak mengemis kat siapa pulak mintak
belikan jubah? Aku kena jual kek 4 tahun baru boleh beli jubah ni kau tahu tak?
Dengan prestasi café aku tu.” Saiful tak dapat menahan gelak dengar ayat Ikram.
Ikram pun gelakkan diri dia sendiri.
“Yelah,
yelah. Dah cepat. Aku dah lapar ni.”
“ok…ok
….”
Monday, 2 February 2015
Belum Aku Temu (Bab 7) ~ Amri Ramli
Masih tempat yang sama. Biarpun ada berpuluh tempat makanan lain yang boleh
dituju, Amy dan Fez tetap pergi ke lokasi yang sama. Kata Fez, dia suka nasi
goreng yang disediakan di situ. Kawasan yang ramai orang tapi tidak banyak
kereta lalu lalang. Dan dari situ boleh nampak Jambatan Pulau Pinang.
Fez menanggalkan tali lehernya sebelum turun dari kereta. Dia datang dari
seberang sebaik sahaja habis mengajar. Walaupun kiranya tidak berbaloi membayar
tol semata-mata untuk datang makan tengah hari, tetapi Fez tidak kisah. Sekali
sekala dia dapat berjumpa dengan Amy, banyak benda yang dapat dikongsi.
Amy seperti biasa. Berseluar jeans dan baju lengan panjang. Terkocoh-kocoh
dari rumah tadi, Amy sampai di universiti dengan bersandal sahaja. Sandal yang
memang dipakai di luar, bukan sandal dari dalam tandas. Mujur tidak ada kelas
tutorial pada hari ini. Sekadar terperap di bilik siswazah sepanjang pagi. Juga
keluar makan di kafeteria pagi tadi. Tapi Amy tidaklah kisah sangat pun jika
ada yang ternampak dia sekadar memakai sandal. Pernah hari itu dia sekadar
pakai selipar jepun. Tak apalah. Bukannya berkaki ayam.
“Jom duduk sini,” Fez menuding ke arah meja yang mempunyai surat khabar.
Amy sekadar mengikut.
Pelayan pantas datang meminta pesanan. Fez sudah tahu apa yang dia mahu.
Nasi goreng istimewa dan air Horlicks ais. Amy dengan nasi goreng sotong dan
Nescafe ais.
“Hah, spill!” kata Amy sebaik
sahaja pelayan meninggalkan meja. Geram sedikit dia apabila melihat Fez
menyelak-nyelak surat khabar. Kata tadi ada benda yang mahu diceritakan.
“Oh,” Fez sedikit tersentak. Baru sahaja hendak menyelak bahagian hiburan.
“Kak Amy...” keluh Fez. “Kecewa ni..”
Memek muka Fez terus berubah serta merta sebaik sahaja dia mula bercerita
walau tadi sedang tersenyum riang.
“Apanya?” Amy berlembut. Sudah tahu
Fez sudah mula berperangai seperti anak manja.
Fez menarik nafas panjang sebelum dia bercerita fasal Farhana. Satu demi
satu diceritakan daripada Farhana masuk ke dalam kereta, memaksanya menyanyi
bersama dengan lagu, sehinggalah panggilan telefon di KFC. Semuanya digambarkan
secara terperinci kepada Amy. Amy mendengar sambil sekali sekala mencelah.
“Dia dah ada boyfriend la pula!
Ingatkan awal-awal tu bagi hint,
rupanya setakat ‘mesra alam’,” kata Fez.
“Ala.. kamu tu pun selalu saja ber’mesra alam’ dengan orang-orang lain,”
Amy tersenyum. “Ala.. sekali sekala, kamu la pula yang terkena.”
“Hm...” Fez memaksa dirinya tersenyum. Hati tidaklah terasa remuk. Bukanlah
kecewa yang menggila. Cuma terasa sukarnya hendak mencari yang satu. Bila dia
suka, mulalah si dia sudah berpunya.
Fez diam beberapa lama. Amy membiarkan sahaja Fez mengelamun sendiri. Air
Nescafe ais yang dipesan sudah pun sampai ketika Fez galak bercerita tadi. Dia
minum Nescafe ais itu perlahan-lahan sambil fikirannya melayang kepada Rael.
Tidaklah dirisau sangat fasal Fez dan pencariannya. Sekurang-kurangnya Fez
masih lagi muda. Dia sudah pun hendak mencecah 30 tahun akhir tahun ini. Dan
apa cerita si Rael?
“Spill!” tiba-tiba Fez bersuara.
“Apa?” Amy tertanya.
“Your face tells it maaa.. Ada la
benda kat kepala otak akak tu!” kata Fez.
Amy menarik muka. Bukannya marah. Tapi dia geram dengan diri sendiri.
Wajahnya sentiasa memaparkan apa yang terfikir di hati.
“Fikir fasal Rael tadi,” Amy bercerita.
“Kenapa dengan dia?” tanya Fez.
“Dia taknak kahwin lagi...” Amy terhenti sekejap. Makanan yang dipesan
sampai.
Sambil mulut menjamah, Amy menceritakan kerisauannya pada Rael. Walaupun
sudah 3 tahun mereka berkenalan, Rael sentiasa mengelak apabila Amy bercakap
fasal kahwin. Alasan yang diberi oleh Rael diulang-ulang. Sama ada masih belum
bersedia ataupun masih belum cukup duit.
“Ugut la sikit,” Fez memberi idea. “Biar dia ada push”.
“Tak naklah,” kata Amy perlahan. Amy terhenti lagi. Ada sotong yang
terlekat di celah gigi. Amy menyambung, ‘akak push nanti, push away
terus pula. He can be a good husband, you
know.”
“Or can he actually be a husband?”
tanya Fez.
Amy terkedu.
Fez terdiam. Kasihan pula dia melihat Amy. Rasa bersalah juga dia bercakap
begitu.
“I know he’s a good guy yeah,”
kata Fez.
Amy sekadar mengangguk.
“Dah dah dah, akak jumpa kamu bukan nak bercerita meruntun jiwa,” Amy
kembali tersenyum. Dia terhenti bercakap sekali lagi. Amy meradang pada sotong
yang begitu liat. Terus saja ditelan tanpa dikunyah. “Ha, apa cerita student kamu tu? Yang starring tak ingat tu?”
“Oh, yang budak Form 6 tu?” Fez sama tersengih. “Aiyo akak, dia usyar saya
tak berhenti. Ngeri pula.”
“Cute tak?”
“Cute juga.”
“Okay apa. Nanti bila kamu 30 tahun, dia 24 tahun. Taklah orang kisah pun.
Lagipun kamu tu lelaki.”
“Akak nih...”
“Dah, dah. Akak melawak je.
Jangan kamu buat betul pula.”
“Tak tak..”
“Eh, kamu ni makan lambat betul la.”
“Dah bersembang. Lambat la sikit.”
“Alasan. Kamu tu memang makan lambat. Dah, biar akak pergi bayar dulu.”
“Akak belanja ek?”
“Ya lah, ya lah.”
Amy melangkah ke kaunter. Tangannya mencapai dompet di dalam beg galas.
Sambil mencari-cari dompet dari beg galas yang penuh dengan pelbagai benda
termasuk telefon bimbit, buku nota dan gincu bibir, dia terperasan akan tiket
yang diberikan Adli tempoh hari. Tersimpan elok di dalam fail lutsinar. Amy
hampir terlupa pula akan teater muzikal tersebut. Dia menjeling tarikh yang
tertera di tiket.
Ah, malam lusa! Hati Amy tiba-tiba berdebar.
Subscribe to:
Posts (Atom)