Masih tempat yang sama. Biarpun ada berpuluh tempat makanan lain yang boleh
dituju, Amy dan Fez tetap pergi ke lokasi yang sama. Kata Fez, dia suka nasi
goreng yang disediakan di situ. Kawasan yang ramai orang tapi tidak banyak
kereta lalu lalang. Dan dari situ boleh nampak Jambatan Pulau Pinang.
Fez menanggalkan tali lehernya sebelum turun dari kereta. Dia datang dari
seberang sebaik sahaja habis mengajar. Walaupun kiranya tidak berbaloi membayar
tol semata-mata untuk datang makan tengah hari, tetapi Fez tidak kisah. Sekali
sekala dia dapat berjumpa dengan Amy, banyak benda yang dapat dikongsi.
Amy seperti biasa. Berseluar jeans dan baju lengan panjang. Terkocoh-kocoh
dari rumah tadi, Amy sampai di universiti dengan bersandal sahaja. Sandal yang
memang dipakai di luar, bukan sandal dari dalam tandas. Mujur tidak ada kelas
tutorial pada hari ini. Sekadar terperap di bilik siswazah sepanjang pagi. Juga
keluar makan di kafeteria pagi tadi. Tapi Amy tidaklah kisah sangat pun jika
ada yang ternampak dia sekadar memakai sandal. Pernah hari itu dia sekadar
pakai selipar jepun. Tak apalah. Bukannya berkaki ayam.
“Jom duduk sini,” Fez menuding ke arah meja yang mempunyai surat khabar.
Amy sekadar mengikut.
Pelayan pantas datang meminta pesanan. Fez sudah tahu apa yang dia mahu.
Nasi goreng istimewa dan air Horlicks ais. Amy dengan nasi goreng sotong dan
Nescafe ais.
“Hah, spill!” kata Amy sebaik
sahaja pelayan meninggalkan meja. Geram sedikit dia apabila melihat Fez
menyelak-nyelak surat khabar. Kata tadi ada benda yang mahu diceritakan.
“Oh,” Fez sedikit tersentak. Baru sahaja hendak menyelak bahagian hiburan.
“Kak Amy...” keluh Fez. “Kecewa ni..”
Memek muka Fez terus berubah serta merta sebaik sahaja dia mula bercerita
walau tadi sedang tersenyum riang.
“Apanya?” Amy berlembut. Sudah tahu
Fez sudah mula berperangai seperti anak manja.
Fez menarik nafas panjang sebelum dia bercerita fasal Farhana. Satu demi
satu diceritakan daripada Farhana masuk ke dalam kereta, memaksanya menyanyi
bersama dengan lagu, sehinggalah panggilan telefon di KFC. Semuanya digambarkan
secara terperinci kepada Amy. Amy mendengar sambil sekali sekala mencelah.
“Dia dah ada boyfriend la pula!
Ingatkan awal-awal tu bagi hint,
rupanya setakat ‘mesra alam’,” kata Fez.
“Ala.. kamu tu pun selalu saja ber’mesra alam’ dengan orang-orang lain,”
Amy tersenyum. “Ala.. sekali sekala, kamu la pula yang terkena.”
“Hm...” Fez memaksa dirinya tersenyum. Hati tidaklah terasa remuk. Bukanlah
kecewa yang menggila. Cuma terasa sukarnya hendak mencari yang satu. Bila dia
suka, mulalah si dia sudah berpunya.
Fez diam beberapa lama. Amy membiarkan sahaja Fez mengelamun sendiri. Air
Nescafe ais yang dipesan sudah pun sampai ketika Fez galak bercerita tadi. Dia
minum Nescafe ais itu perlahan-lahan sambil fikirannya melayang kepada Rael.
Tidaklah dirisau sangat fasal Fez dan pencariannya. Sekurang-kurangnya Fez
masih lagi muda. Dia sudah pun hendak mencecah 30 tahun akhir tahun ini. Dan
apa cerita si Rael?
“Spill!” tiba-tiba Fez bersuara.
“Apa?” Amy tertanya.
“Your face tells it maaa.. Ada la
benda kat kepala otak akak tu!” kata Fez.
Amy menarik muka. Bukannya marah. Tapi dia geram dengan diri sendiri.
Wajahnya sentiasa memaparkan apa yang terfikir di hati.
“Fikir fasal Rael tadi,” Amy bercerita.
“Kenapa dengan dia?” tanya Fez.
“Dia taknak kahwin lagi...” Amy terhenti sekejap. Makanan yang dipesan
sampai.
Sambil mulut menjamah, Amy menceritakan kerisauannya pada Rael. Walaupun
sudah 3 tahun mereka berkenalan, Rael sentiasa mengelak apabila Amy bercakap
fasal kahwin. Alasan yang diberi oleh Rael diulang-ulang. Sama ada masih belum
bersedia ataupun masih belum cukup duit.
“Ugut la sikit,” Fez memberi idea. “Biar dia ada push”.
“Tak naklah,” kata Amy perlahan. Amy terhenti lagi. Ada sotong yang
terlekat di celah gigi. Amy menyambung, ‘akak push nanti, push away
terus pula. He can be a good husband, you
know.”
“Or can he actually be a husband?”
tanya Fez.
Amy terkedu.
Fez terdiam. Kasihan pula dia melihat Amy. Rasa bersalah juga dia bercakap
begitu.
“I know he’s a good guy yeah,”
kata Fez.
Amy sekadar mengangguk.
“Dah dah dah, akak jumpa kamu bukan nak bercerita meruntun jiwa,” Amy
kembali tersenyum. Dia terhenti bercakap sekali lagi. Amy meradang pada sotong
yang begitu liat. Terus saja ditelan tanpa dikunyah. “Ha, apa cerita student kamu tu? Yang starring tak ingat tu?”
“Oh, yang budak Form 6 tu?” Fez sama tersengih. “Aiyo akak, dia usyar saya
tak berhenti. Ngeri pula.”
“Cute tak?”
“Cute juga.”
“Okay apa. Nanti bila kamu 30 tahun, dia 24 tahun. Taklah orang kisah pun.
Lagipun kamu tu lelaki.”
“Akak nih...”
“Dah, dah. Akak melawak je.
Jangan kamu buat betul pula.”
“Tak tak..”
“Eh, kamu ni makan lambat betul la.”
“Dah bersembang. Lambat la sikit.”
“Alasan. Kamu tu memang makan lambat. Dah, biar akak pergi bayar dulu.”
“Akak belanja ek?”
“Ya lah, ya lah.”
Amy melangkah ke kaunter. Tangannya mencapai dompet di dalam beg galas.
Sambil mencari-cari dompet dari beg galas yang penuh dengan pelbagai benda
termasuk telefon bimbit, buku nota dan gincu bibir, dia terperasan akan tiket
yang diberikan Adli tempoh hari. Tersimpan elok di dalam fail lutsinar. Amy
hampir terlupa pula akan teater muzikal tersebut. Dia menjeling tarikh yang
tertera di tiket.
Ah, malam lusa! Hati Amy tiba-tiba berdebar.
No comments:
Post a Comment