Thursday, 15 January 2015

Si Dia dari Boston (Bab 3) ~ Norliza Baharom

Selepas makan tengahari, Ainun menapak keluar dari rumah, berkain batik, baju kurung johor dan bermini telekung.  Dia berjalan menerusi jalan kecil berturap di hadapan rumahnya menuju ke sebuah rumah lain di hujung jalan itu.
Di hadapan tangga sebuah rumah yang bercat biru langit, bertinggung seorang wanita tua yang sedang leka membersihkan pasu bunga kertasnya.
“Assalamualaikum, Mak Ngah!” sapa Ainun dengan nada kuat yang disengajakannya. Serampang tiga mata di tangan wanita tua itu terlepas ke tanah sambil dia melatah berterusan – ternyata dia tidak perasan akan kehadiran Ainun. Setelah melihat Ainun yang sedang ketawa itu, dia bangun berdiri dan turut  ketawa sambil tangan mengusap-usap dadanya.
“Terkejut Mak Ngah kau buat, Ainun!” leternya. Ainun masih lagi tertunduk-tunduk ketawa, geli hati. Ainun menyambar tangan perempuan tua itu lalu menciumnya.
“Haninah mana, Mak Ngah?” tanyanya sambil kepalanya dipanggung tinggi, melihat-lihat ke arah tingkap rumah Mak Ngah Rafidah.
“Ada di dalam bilik tadi, cuba kau masuk tengok.”
            Ainun tunduk melintas di hadapan Mak Ngah Rafidah tanda hormat, mendaki tangga di hadapannya, masuk dan menuju ke bilik Haninah. Hampir dengan pintu bilik, dia memperlahankan langkahnya, berjalan menghendap-hendap. Dek kerana lantai rumah adalah lantai kayu, bunyi berkeriut mengikuti setiap tapak walau sebaik manapun dia cuba menjingkit kaki.
“Kau ingat aku tak dengar kau menyakat mak aku di luar tadi? Jangan ada hati nak buat aku melatah pula ye!” kedengaran suara amaran dari dalam, kuat dan lantang, lantas Ainun menghamburkan tawa. Rancangan serang hendapnya sudah dihidu.
Dia masuk ke dalam bilik, melihat Haninah sedang baring meniarap dengan sebuah buku tulis di hadapan dan sebatang pen di tangannya. Mulutnya menguntum senyum, terhibur dengan kenakalan Ainun yang keanak-anakan itu. Dia menepuk-nepuk bahagian tilam di hadapannya, menyuruh Ainun duduk.
“Apa yang kau buat tu?” tanya Ainun.
“Tak ada apa-apa, cuma bahan-bahan yang nak ku siapkan untuk pembentangan bila buka semester nanti.” jelas Haninah. Matanya yang bundar itu digosok-gosok dengan belakang tangan. Nampak letih wajahnya, menunjukkan yang dia sudah lama menelaah di hadapan buku.
            Ainun mengambil buku tulis Haninah dan menyelak-nyelak halaman-halaman yang penuh dengan coretan nota dan latihan, kagum dengan kesungguhan sahabatnya itu tatkala cuti semester baru sahaja bermula. Tak mungkin dia sendiri mampu menyentuh apa-apa sahaja bahan ilmiah dalam beberapa minggu pertama cuti semester yang panjang ini walaupun kerja tugasannya sendiri tidak kurang banyaknya.
“Kau sihat?” Ainun bertanya khabar.
“Alhamdulillah, sihat.” jawab Haninah sambil berpusing membaringkan badan untuk berehat. Sejurus dia terus menekup mulut dan menguap.
“Emm, Haninah…” panggil Ainun dengan suara mendatar, tanpa memandang Haninah, masih lagi menyelak-nyelak buku tulis di tangannya walaupun tidak dibaca. Haninah menoleh dan mengangkat kedua-dua belah keningnya, tanda pertanyaan.
“Kalau aku nak minta kau temankan aku pergi ke satu tempat... kau nak tak?” tanya Ainun. Menjeling sekilas ke arah Haninah.
“Pergi ke mana?”
“Pergi berjumpa Umar.”
“Berjumpa Umar? Umar dah balik ke?” tanya Haninah, acuh tak acuh. Menguap sekali lagi.
“Belum.” Ainun menarik nafas.  “Maksud aku berjumpa Umar di Boston.”
Pada mulanya Haninah memandang kosong ke arah Ainun. Seolah-olah otaknya lambat memproses ayat yang baru diutarakan Ainun sebentar tadi.
Kemudian dia memandang Ainun dengan muka bingung. Wajahnya tiba-tiba jadi berkerut, seolah-olah mencari tanda Ainun sedang mempermainkannya. Namun wajah Ainun yang tersenyum kambing itu tetap nampak bersungguh-sungguh.
“Kau biar betul, Ainun!” Haninah bangun dan terus duduk tegak, tidak percaya dengan undangan yang baru didengarnya. Namun ekspresi di wajah Ainun menunjukkan keseriusannya.
Mak dan ayah kau dah tahu?” tanya Haninah dengan mulut melopong.
“Sudah, mereka benarkan.. asalkan aku bawa kau sekali sebagai peneman. Wajib ada mahram, yang baik, warak dan yang boleh dipercayai. Seperti kau.” kata Ainun, sudahpun menggunakan nada memujuk dan membodeknya.
Tanpa membuang masa, dia terus memberitahu tentang cadangan tunangnya Umar dan kesanggupannya untuk menampung perbelanjaan sesiapa sahaja yang sanggup menemankannya. Haninah mendengar dengan penuh minat.
“Tolonglah aku Haninah, mesti kau pun suka berada di sana nanti. Lagipun kau sendiri minat dan pandai berbahasa Inggeris. Dapat serba sedikit kau mengasah skill bercakap bahasa Inggeris kau tu dengan orang-orang tempatan di Boston nanti.”
Haninah menjeling ke arah Ainun sambil dihujung bibirnya ada bibit-bibit senyum. Anak dara Pak Su Ayub ni memang pandai memujuk, detik hati kecilnya sambil dia menggeleng-geleng kecil. Kemudian dia terdiam beberapa ketika, berfikir.
“Berat juga ni. Nantilah aku fikirkan dulu.” Jawab Haninah. Bukan dia tidak gembira mendengar pelawaan Ainun itu, tapi terlalu tidak dijangkanya membuatkan dia tergamam seketika.
 “Dan disamping tu, Insya-Allah aku jamin. Di sana nanti, dapat juga kau tenangkan jiwa dengan bertukar angin, bantu kau lupakan perkara-perkara yang sudah lepas, hilangkan sedikit sedih di hati kau tu…” sambung Ainun lagi, sambil menepuk-nepuk lembut belakang Haninah. Kali ini ada sedikit nada sayu di dalam tutur katanya.
Haninah memandang wajah teman rapatnya itu. Tampak keikhlasan di wajah Ainun. Namun hanya Allah dan dirinya yang lebih tahu tentang isi hatinya. Hatinya yang sudah sekian lama bergelora dan terumbang-ambing ini.
Apa yang ada dalam hatiku ini takkan hilang dengan semudah itu Ainun...
Dia menguis-nguis pen di atas tilam dengan hujung jarinya, kemudian termenung beberapa ketika sambil mengerutkan kening dan dahi.
Tidak dapat dinafikan sangat teruja dia memikirkan akan peluang ke luar negara itu, tambahan pula sanggup ditanggung segala perbelanjaannya oleh orang lain. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang itu begitu sahaja terutama sekali jika bersama kawan-kawan yang paling disenanginya.
Umar tunang si Ainun itu juga sangat dikenalinya, dan baik orangnya; orang kampungnya sendiri. Cuma kerut di dahinya timbul dek kerana berfikir tentang bagaimana hendak mendapat pelepasan daripada ibubapanya. Abah, terutamanya.
Haninah sedang menuntut di UKM di dalam kursus Kesusasteraan Bahasa Inggeris, peringkat Ijazah. Sudah pun memperolehi ijazah di dalam bidang Sains Komputer sebelum itu, namun minatnya dalam bidang bahasa membuatkan dia bersungguh-sungguh untuk mengambil STPM semula dan melayakkan diri untuk kursus bahasa Inggeris pula.
Seperti Ainun, dia juga di dalam cuti semester. Bezanya Ainun baru di tahun pertama sedangkan dia sudahpun di tahun akhir. Umurnya sudah menjangkau 29 tahun,  5 tahun lebih tua dari Ainun. Tetapi dek kerana mereka telah pun berkawan sejak kecil lagi, Ainun dan Haninah menganggap diri masing-masing seperti rakan sebaya.
 Maka itu menandakan yang dia memang sepatutnya lebih sibuk berbanding Ainun; banyak hal-hal berkaitan dengan projek akhir harus dilakukannya. Dia tidak punya banyak masa untuk dibuang.
 Walaupun begitu, dia bersetuju dengan Ainun bahawa cutinya masih panjang. Tidak salah jika diluangkan sedikit masa untuk bersiar-siar dan melakukan sesuatu yang baru. Lagipun dia boleh membawa bersama buku-bukunya dan membuat kerja bila ada waktu terluang.
“Kau pujuklah emak dan abah kau elok-elok. Kalau kau sebut nama “YB Ainun”, mesti mereka bagi.” gurau Ainun. Haninah mendengus dan tersenyum.
“Bila kau nak pergi?” tanya Haninah.
“Insya-Allah kalau tak ada aral, hujung minggu depan? Hari Rabu. Minggu ni kita selesaikan dulu urusan passport dan visa secepat mungkin.” jawab Ainun.
Haninah termenung sebentar.
“Bolehlah..” Ainun merayu, dengan riak wajah meminta simpati. Mulut dimuncungkan tajam.
“Tengoklah, kalau emak abah aku bagi. Nanti aku tanya dulu.” jawab Haninah, ringkas.
Melihat Ainun tersengih lebar, dia pula mengukir senyum. Gelagat sahabatnya yang bertubuh kecil molek dan periang itu selalu mencuit hati.
“Macam tulah kawan!” ujar Ainun sambil menepuk bahu Haninah beberapa kali, gembira.
            Ainun meminta diri untuk pulang – hajatnya sudah disampaikan. Ibunya juga sudah berpesan mahukan pertolongan memetik pucuk ubi di belakang rumah, untuk dibuat makan tengahari.
Haninah cuba menyambung semula kerjanya yang terbengkalai, tetapi fikirannya kini terlalu ligat memikirkan tentang perkara yang baru sahaja menghuni benaknya. Teruja memikirkan bahawa dia mungkin akan melawat negara asing dalam beberapa hari ini. Sambil itu otaknya juga ligat memikirkan bagaimanakah caranya hendak meminta kebenaran dari emak dan abahnya, waktu bilakah yang paling sesuai.
Hujung pen yang dipegangnya meniti di pinggir bibir.



            Siang beransur-ansur menghampiri petang, menjurus kepada redupnya senja. Belum tiba waktu maghrib lagi, matahari sudah menyorok di balik pokok-pokok tinggi yang mengelilingi rumah sawah itu. Dari kejauhan kelihatan bangau-bangau yang datang berhijrah pada masa tanah sawah dibongkah. Mereka duduk segerombolan, mematuk-matuk lumpur yang menjanjikan cacing dan makanan-makanan kecil.
            Haninah duduk di beranda rumahnya, di atas sederet kerusi rotan, menikmati cuaca yang nyaman itu. Keadaan agak panas dan terik sebelumnya, memandangkan tanah sudah lama tidak bertemu hujan. Kipas tegak yang menghala ke arahnya dibiarkan menghembus lembut ke muka. Rambutnya yang lurus mencecah tengah belakang melambai-lambai lembut di tepi telinga.
            Tangan kirinya mengurut-urut tangan kanannya yang lenguh. Hari yang padat dengan kerja baginya. Sebahagian besar waktunya dihabiskan untuk kerja tugasan. Dia cuma berhenti seketika untuk membantu emaknya di dapur, dan sedikit masa diluangkan untuk solat dan makan tengahari. Leher baju kurung putihnya dijinjit dengan jari dan dikibas-kibaskan untuk membuang sisa panas badan yang tinggal. Mahu terus ke bilik air dan mandi selepas ini, fikirnya.
            Denai yang berjalur di hadapannya itu semakin redup dihampiri malam. Bila-bila sahaja azan maghrib akan berkumandang.
Baru sahaja dia hendak mengangkat punggung untuk masuk ke dalam rumah, matanya menangkap sesuatu di hujung denai, satu susuk tubuh yang sedang bergerak menyusuri jalan sempit itu, semakin menghampiri rumahnya.
Haninah mengecilkan mata, cuba mengamati siapa yang datang pada waktu sebegini. Cermin matanya tertinggal di bilik tidur. Dia merungutkan tabiat biasanya itu yang kini menyukarkannya.
Mungkin abahnya yang baru pulang dari warung Pak Hasbul di seberang sana, fikirnya. Siapa lagi? Tetapi tidak pula dia perasan warna baju ayahnya hari ini, memandangkan lembaga yang dilihatnya itu seperti sedang memakai pakaian berwarna serba putih. Selalu abahnya suka memakai baju-baju yang berwarna gelap dan kusam, fikirnya kemudian.
            Susuk tubuh itu sudah semakin dekat dan mata Haninah semakin mengecil, menggerinyit. Semakin dekat susuk itu, semakin dia merasakan yang ia bukan ayahnya. Dan bila sudah terlalu dekat dengannya, dan susuk itu sudahpun bersuara, “Assalamualaikum!”, barulah Haninah pasti bukan ayahnya. Melompat dia terjun dari kerusi  dan terus berlari ke dalam, menuju ke biliknya. Disambarnya cermin mata yang terbaring di atas katil dan tudungnya yang tersidai di atas kerusi di tepi dinding, lantas mengenakan kedua-duanya. Dia berdiri di hadapan cermin sebentar dengan nafas tercungap-cungap, memastikan yang tudungnya tidak senget.
Ditunggu sebentar dengan harapan emaknya di dapur mendengar salam yang diberi tadi lalu pergi menyambut tetamu itu mendahuluinya. Setelah salam kedua diberi, ternyata emaknya tidak mendengar. Haninah mengeluh hampa.
Dengan berhati-hati dia berjalan ke luar. Cuba diamati siapakah gerangannya yang datang pada waktu senja begini. Kelihatan seorang lelaki yang telah pun berdiri betul-betul di hadapan tangga rumahnya.
“Assalamualaikum.” sapa lelaki itu lagi. Dia sedang mengukir senyum.
“Walaikumussalam.” jawab Haninah, menggelabah namun menggagahkan dirinya menghampiri pintu. Sampai sahaja di hadapan lelaki itu, baru dia dapat mengecam wajahnya.
Rupa-rupanya Hakim, anak Pak Cik Syukri dan Mak Cik Suri - anak lelaki mereka yang baru pulang menamatkan pengajian di UiTM Shah Alam dalam bidang perakaunan, yang juga merupakan kawan sepermainan dengannya semasa kecil dulu.
            Lelaki bernama Hakim itu memakai baju jubah berwarna putih dengan ketayap putih bersih di atas kepalanya. Badannya nampak tinggi dan tegap, tidak seperti Hakim yang pernah dikenal Haninah semasa kecil dulu.
Dulu Hakim kurus melidi bagaikan cucuk sate. Saiz badannya kecil sahaja, bahkan lebih kecil daripada Haninah pada waktu itu. Di sekolah dia selalu menjadi bahan senda gurau kanak-kanak lain. Dia juga seorang yang agak pendiam, sehinggakan kadang-kala ciri-cirinya itu menjadikannya mangsa buli di sekolah oleh kanak-kanak lain yang lebih besar dan bising. Malah Haninahlah orangnya yang kadang-kala menghambat budak-budak nakal yang membuli Hakim dulu. Terfikir tentang itu, Haninah mengukir senyum tanpa disedarinya.
Melihat Hakim yang berada di hadapannya kini, Haninah tidak fikir bahawa ada sesiapa yang akan mahu membulinya lagi. Lelaki itu benar-benar sudah berubah. Juga ada kumis nipis di atas bibir dan sejemput janggut nipis di hujung dagu, membuatkan dia nampak benar-benar matang dan dewasa. Jika tidak dilihat dengan teliti, sudah tentu Haninah tidak dapat mengenalinya.
            Hakim yang masih berdiri di depan tangga itu sudah lama tersenyum lebar, lagaknya terhibur dengan gelagat si Haninah yang mengenyit-ngenyit mata cuba mengecamkannya tadi dan kemudian melompat dan berlari masuk seperti lipas kudung.
“Apa khabar, Haninah?” sapa Hakim.
“Khabar baik. Hakim.  Masuklah, emak ada di dapur memanaskan lauk. Abah mungkin terus ke surau sebab dia keluar awal tadi.” terang Haninah. Kekok rasanya bercakap dengan sahabat lama yang sudah bertahun-tahun tidak dilihatnya itu.
“Tak apalah. Saya pun nak ke surau ni. Mungkin boleh berjumpa Pak Ngah kat sana nanti. Emak yang suruh ke sini bawakan bubur kacang dengan gulai ikan tongkol. Pukul tujuh tadi baru dia siap masak. Lepas tu teringat pula dia yang Haninah ada di rumah. Terus saya dipaksanya ke sini.” jelas Hakim, sambil tersenyum.
Haninah membalas senyumnya. Dia menyambut bungkusan plastik yang dihulurkan oleh Hakim.
“Terima kasih, ya.”
“Sama-sama. Berapa lama cuti semester?” Hakim bertanya.
“Dalam tiga bulan.”
“Oh, lama tu. Saya baru saja habis di sana. Insya-Allah, duduklah di kampung ni dulu sementara mencari kerja.” jelas Hakim tanpa perlu ditanya-tanya terlebih dahulu. Haninah mengangguk-angguk tanda faham.
“Eh, balik dulu lah, ya. Dah lambat dah ni. Nanti boleh sembang lagi.” tambah Hakim. Senyum terukir di hujung bibir.
“Ah, ye lah.” jawab Haninah, lalu Hakim berlalu pergi, berjalan menyusuri denai dengan cepat lalu hilang ditelan gelap malam. Azan maghrib sudah kedengaran menembusi corong pembesar suara di surau.
            Haninah bergegas masuk menghantar lauk ke dapur lalu menunaikan solat maghrib bersama ibunya.



            Di meja makan, nasi di pinggannya baru sahaja bertambah. Selera menjadi-jadi jika lauk kegemaran berada di hadapan mata. Terima kasih Makcik Suri, detiknya di dalam hati. Abahnya, Pak Ngah Hamdan, juga sedang khusyuk mengunyah sambil mulutnya juga mengomel-ngomel tentang seorang jiran yang ditemuinya ketika di surau tadi, yang menawarkan untuk menjual sebidang tanah miliknya atas sebab masalah kewangan.
            Emak Haninah, Mak Ngah Rafidah sudah selesai makan dan sedang menuangkan jus oren sejuk ke dalam gelas, kemudian disuakan di hadapan Haninah dan suaminya.
“Bukan aku tak mahu beli, harga yang ditawarkannya pun memanglah murah. Tapi tanah tu separuhnya tanah paya. Apa sangatlah yang boleh ku tanamkan di situ. Hujan sikit, penuhlah air. Kalau ditanamkan sawit pun tak banyak buahnya.” rungut abahnya lagi, menzahirkan perasaannya yang di dalam dilema. Serba salah mengenangkan jirannya itu sangat-sangat memerlukan wang.
            Haninah berpura-pura menumpukan perhatiannya pada apa yang diceritakan oleh abahnya itu. Tetapi hakikatnya, benaknya sarat dengan masalahnya sendiri. Bagaimana hendak memberitahu dan meminta kebenaran dari abahnya itu dengan cara yang terbaik, fikirnya. Mungkin bukan sekarang. Saat abahnya sedang runsing.
“Abah, tambah lagi.” dia menawarkan sesenduk nasi. Tetapi Pak Ngah Hamdan menolak, menggeleng-geleng kepala – sudah kenyang.
            Haninah baru berkira-kira hendak bangun membasuh pinggan mangkuk bila abahnya bersuara lagi. “Kamu ni Ninah, boleh abah tanya?”
Haninah menoleh dan mengangkat kening.
“Macam mana dengan perancangan masa depan kamu? Pelajaran kamu sudah hampir habis.” kedua-dua emak dan abahnya memandang ke arahnya, menunggu jawapan.
Ada kira-kira hendak berkahwin?” tambah Pak Ngah Hamdan lagi, suaranya lembut dan perlahan.
Haninah hanya diam membatu. Suasana hening seketika. Mata emak dan abahnya tertumpu kepadanya.
“Jangan disebabkan yang sudah lepas tu kamu tidak mahu mencari lagi, Ninah. Urusan jodoh itu memang ketentuan Allah, tetapi mesti juga kita usahakan. Berusaha mencari jodoh tu sunnah Rasulullah. Kita jangan berputus asa.” abahnya memberikan nasihat. Wajah Mak Ngah Rafidah kelihatan sugul.
            Mendengar sahaja kata-kata itu hati Haninah menjadi kelam. Wajahnya yang sedikit ceria sebelum itu penuh dengan harapan dan angan-angan hendak ke Boston bertukar suram. Dia berusaha sehabis mungkin untuk tidak memikirkan soal itu sehinggalah abahnya membangkitkannya sebentar tadi. Tangannya terus menyusun pinggan-pingan kotor di atas meja.
“Nantilah dulu, Bah. Saya belum terfikir lagi…” jawabnya dengan bibir yang berat dan perlahan.
“Abah ni bukan apa. Risau juga memikirkan yang umur kamu sudah hendak menjangkau 30 tahun. Kalau tak mahu kahwin sekarang pun, sekurang-kurangnya bukakan hati tu, sudah mula mencari. Jangan sibukkan sangat diri dengan pelajaran sampai perkara lain tak boleh jadi. Kalau yang lepas-lepas tu penuh dengan aralnya, jangan jadikan alasan untuk kamu tak mencuba lagi. Lepas ni benar kamu boleh bekerja dan berdikari. Tapi kamu masih lagi perlukan pembela dan penjaga, kamu tu seorang wanita. Emak dan abah kamu ni takkan duduk di sini lama, kami dah tua.”
Haninah diam. Rahangnya terkunci.
 “Kalau tidak, biar abah saja yang mencarikan untuk kamu.” tambah Pak Ngah Hamdan. Dia berpandangan dengan Mak Ngah Rafidah, seolah-olah mereka sudahpun berbincang tentang perkara itu sebelum ini.
“Emak dan abah jangan buat apa-apa. Insya-Allah nanti kalau ada, adalah.” pintas Haninah pendek. Wajahnya semakin sugul.
            Pak Ngah Hamdan menarik nafas panjang, kepalanya digeleng kecil. Mak Ngah Rafidah juga menghela nafas, sambil matanya merenung ke dalam mangkuk kuah yang separuh berisi di atas meja. Jelas riak risau di wajahnya.
Ibu mana yang tidak risau melihat anak daranya yang seolah-olah terus berputus asa untuk mencari bahagia. Tidak sedikitpun menunjukkan sebarang perubahan, tetap degil dengan pendiriannya.
            Suasana menjadi sepi. Haninah bangun mengangkat pinggan-pinggan yang kotor ke sinki. Selesai dicuci, dia masuk ke dalam bilik tidur, mengunci pintu. Dihempaskan badannya di atas katil, baring dia meniarap. Kepalanya dipusing ke kiri, memandang laci di almari cerminnya yang sudah lebih setahun tidak disentuh dan dibuka.
Dia termenung lama. Beberapa nafas panjang dihela dan dilepaskan dan matanya masih tertumpu ke tempat yang sama.
            Entah mengapa, nalurinya seperti mengheret badan yang enggan setelah sekian lama, bangun menuju ke laci itu. Dicapai kunci yang sudah diselaputi habuk dan sawang, sebelum itu terletak tidak disentuh di para yang paling atas almari cermin itu. Tangannya memasukkan kunci di lubang laci dan memutarkannya.
            Dia menarik nafas dalam-dalam. Sambil melutut di atas lantai matanya dipejamkan seketika dan ditariknya laci itu keluar. Dia melihat ke dalam isi laci.
Masih tersusun kemas di dalam sebuah kotak kertas, surat-surat di dalam sampul berwarna biru, merah jambu dan putih. Sedikit terjejas warnanya oleh debu-debu kayu dari dinding laci itu. Namun selain itu, surat-surat itu masih terpelihara.
Tidak sesaat lewat, matanya kabur digenangi air jernih yang sudah lama mengasak ingin keluar. Tidak disekanya kali ini. Dibiarkan setitik demi setitik air mata yang suam meniti di atas pipinya, turun ke dagu, dan jatuh ke atas surat-surat itu.
            Kotak surat itu diangkatnya dan diletakkan di atas riba. Tangannya mencapai sekeping bingkai gambar yang juga berada di dalam laci itu. Diselubungi habuk - dikesat dengan hujung lengan baju kurungnya.
Dua wajah kabur yang tersenyum riang menjadi kembali jelas dan terang. Salah satu wajah di dalam gambar itu adalah miliknya dan satu lagi milik seorang pemuda.
            Kini Haninah terduduk dan menangis sebak, tersedu-sedu. Rindu yang teramat tidak dapat ditahannya. Rindu yang cuba dinafikannya. Didekatkan bingkai gambar itu ke dada dan dipeluk sekuat hatinya. Dia tidak tahu lagi bagaimana hendak melupakan insan yang sudah bukan miliknya itu. Wajah itu seringkali datang di dalam mimpinya, disertai dengan suaranya berbicara; seolah-olah dia benar-benar berada di samping Haninah.
Setiap kali bangun dari tidurnya, Haninah derita.
            Zahid bin Muhammad. Haninah berjumpa dengannya sejak minggu pertama mereka di universiti. Orangnya baik hati dan periang. Tidak pernah sekali Haninah merasa tidak gembira melihat wajah tenang itu.
Ada lesung pipit di pipi sebelah kirinya. Walaupun kulitnya lebih gelap dari kebanyakan anak-anak Melayu, tetapi wajahnya tetap nampak manis dan menenangkan. Sederhana, tetapi cukup untuk Haninah.
Mereka berhubungan sebaik sahaja tamat semester pertama, memasang angan-angan membina mahligai sebaik sahaja tamat pengajian. Bagi mereka tidak perlu bertunang segala. Hanya adat, bukan wajib agama, tambahan mengundang lebih fitnah kadang-kalanya; setuju mereka sesama sendiri. Maka janji termeterai, sudah dimaklum kedua-dua belah keluarga tentang hasrat mereka.
            Orangnya pandai bergaul dan aktif dengan  berbagai aktiviti di universiti. Sangat mudah berdikari.
Sedangkan Haninah seorang yang sangat pendiam dan pemalu - matlamatnya hanyalah mahu berulang-alik ke kelas, menelaah, menduduki peperiksaan supaya dapat menamatkan pengajiannya. Walaupun orangnya cantik dan kecil molek dengan matanya yang bulat dan bundar ditambah pula dengan hidung kecil tercatuk mancung dan bibir nipis merah semulajadi itu, tidak bermakna Haninah bangga dengan rupanya dan senang bergaul dan bersosial. Bukan senang dia mahu mendapatkan kawan baru; ‘lambat panas’ kata orang. Namun begitu teman dan kenalan yang sudah sedia ada sentiasa menyukai sikap dan tingkah lakunya.
Tambah-tambah lagi bila tiba soal lelaki, Haninah memang terlalu pemalu. Tidak biasa dia melayan lelaki sesuka hati, walau rakan sekelasnya sendiri.
Dia dibesarkan oleh emak dan abahnya yang tegas mementingkan sikap malu, nilai-nilai dan pegangan agama. Sikap tegas abahnya juga menjadi faktor tambahan menebalkan lagi fitrahnya itu. Maka Zahidlah orangnya yang sedikit sebanyak menggalakkan dia supaya lebih yakin diri dan tidak merasa terbeban dengan pergaulan, selagi ia masih dalam lingkungan batas.
            Zahid membuatkan hatinya terpaut dalam berbagai cara. Selain menjadi penyokong dan pembimbing kepada Haninah, lelaki itu juga punyai sikap setia, menghormati orang lain, terutamanya kepada orang tua. Sesiapa sahaja berada berdekatannya akan merasa senang. Sedangkan tukang sapu sampah di tepi jalan juga mampu dijadikannya kawan. Bagi Haninah lelaki itu adalah biasan keindahan akhlak Rasulullah.
Pada satu tahap sudah yakinlah di hati Haninah bahawa Zahid adalah calon yang paling sesuai untuknya. Bukannya senang untuk dia mengenali lelaki, apatah lagi lelaki yang baik budi pekerti.
Sehinggalah tiba pertengahan semester ke empat, ketika Haninah sedang mengharungi hidup di kolej seperti biasa dan Zahid sedang mengikuti program pertukaran pelajar di India selama sebulan. Hari ketiga dia di sana Haninah mendapat satu berita yang tidak dapat diterima akalnya.
Zahid sudah tiada.
            Pada mulanya, dia tidak langsung menitiskan airmata kerana cukup dia tidak percaya. Tidak mungkin Zahid meninggal dunia. Baru beberapa hari lepas dia berjumpa dengan buah hatinya itu, malah menghantarkannya terus ke lapangan terbang. Berbicara dan berjenaka, tiada yang mencurigakannya. Penuh bersemangat pemuda itu. Dia sihat sesihat-sihatnya, batuk dan selsema pun tidak. Satu ketika dia cuba mencari dalih menyongsang takdir – mungkin orang-orang di sekelilingnya sedang cuba bergurau dengannya.
            Menurut penjelasan kawan-kawannya, Zahid lemas ketika mereka mandi di sebuah air terjun di daerah Mumbai. Seorang daripada kawannya terperangkap di dalam lubuk pusar yang tidak diketahui ada berdekatan dengan tempat mereka mandi. Tanpa berfikir panjang, Zahid terjun untuk menyelamatkan kawannya kerana memikirkan dia lebih pandai berenang dari sahabatnya dan masih banyak menyimpan tenaga.
Lalu mereka berdua bergelut dengan arus air yang kuat itu, Zahid menolak kawannya ke tepi membuatkan kawannya itu mampu keluar dari pusaran dan berpaut kepada sebuah batu besar yang berhampiran. Sedangkan Zahid yang sudah terlalu penat, menyerah kalah kepada arus air pusar yang tidak pernah perlahan itu.
            Haninah seribu kali enggan menerima, tapi hatinya mengatakan itulah Zahidnya. Memang itulah orangnya yang tidak akan mampu duduk berdiam diri jika ada seseorang atau sesuatu berhampiran dengannya memerlukan sebarang bentuk pertolongan. Dia akan berbuat apa sahaja walaupun perkara itu membahayakan nyawanya.
            Setelah pulang dari menghadiri pengebumian jenazah, Haninah jatuh terjelepuk di atas tangga rumahnya, dipimpin oleh ibu dan bapanya masuk ke dalam, tidak sedarkan diri sehinggalah pagi berikutnya. Bermulalah episod di mana dia menangisi sebenar-benarnya pemergian arwah dan sepenuh hati dia tidak mampu meninggalkan kenangan bersama lelaki yang disanjunginya itu. Pengajiannya tertangguh selama satu semester.
            Ada satu ketika dia putus segala harapan dan merasakan dirinya sangat hampir hilang kewarasan, namun berkat pujuk rayu ibubapa dan teman baiknya yang tidak putus-putus, mampu dia menghamparkan sejadah hari demi hari, bersolat dan berdoa agar Tuhan membukakan pintu hatinya untuk belajar menerima takdir dan mencari hikmah di sebaliknya.
Setahun sudah berlalu.
Walaupun hatinya sarat dengan kedukaan, namun Haninah bersyukur sekurang-kurangnya kini mampu mengukir senyum di wajahnya buat menyejukkan hati ahli keluarga dan kawan-kawan yang  sentiasa risau dan mengambil berat akan keadaannya.
Dilihat lagi gambar dan surat-surat cinta itu buat kesekian kali sebelum dimasukkan semula ke dalam laci dan dikunci. Dihela nafas yang panjang dan dalam. Mulut Haninah mula bergerak terkumat-kamit, mengalunkan surah Al-Fatihah dengan perlahan, buat kekasihnya.

Air matanya masih berderai laju. Haninah nekad di dalam hatinya. Dia tidak nampak sebarang kemungkinan untuk dia membuka pintu hatinya lagi buat orang lain di dunia ini. Biarlah Zahid kekal ‘hidup’ di hatinya. Jika dia layak menapak di syurga, diharapkannya Allah akan menemukan mereka semula di sana.

Wednesday, 14 January 2015

Poskad (Bab 2) ~ Ednin

KAKI DIKUISKAN ke tanah sambil mata menjeling ke arah jalan melihat bayang-bayang bas yang tak kunjung tiba itu. Sudah 15 minit dia menunggu bersama-sama 30 orang pelajar-pelajar yang lain. Honestly said, sumpah satu hapa pun manusia ni dia tak kenal. Kecuali Azli -- si roommate -- dan juga Fatin -- si classmate.
The rest?
Dia kenal sipi-sipi saja. Hanya ingat muka, tapi tak dapat nak ingat nama.
Tullah Sun, lagi tak datang meeting dan taaruf dua malam lepas. Serves you right, bro! Padan muka. Sekarang biar kau sorang-sorang duduk tercongak kat tepi jalan ni tatahu nak buat apa.
Fuhh.
Bahana sungguh cuti semester kali ni. Tak pernah-pernah Ahmad Redha Ihsan ikut program-program bermasyarakat macam ni. Tak pernah ya, diulang suara. Tidak pernah.
Never. Nehi. Nada.
Ihsan melepaskan keluhan.. kepala dah beringat nak lari dari situ. Kalau lari ni, aci tak?
Halahaih.
Something is just… not right. Tak kena langsung dengan nama Sun dia tu. This is just so wrong…
Entah mentera apa yang Azli dah baca, alun kat telinga dia sampai dia boleh tercakap ‘yes’ hari itu. Sekarang ni kalau nak lari, agak-agaknya Azli mengaku kawan tak lepas ni?
Kedebappp..
Bunyi benda jatuh dari sebelah kirinya menganggu lamunannya. Ihsan menukar pandangan ke sebelah. Seorang gadis yang memakai tees ungu sedang mengutip botol-botol mineral yang sudah terjatuh ke tanah itu.  Tergopoh-gopoh dia mengutip botol-botol air mineral itu.
Terus kaki dihalakan ke arah gadis itu. Dengan niat ingin membantu. Badan turut dibongkokkan, mengutip botol-botol itu lalu diserahkan kepada si gadis.
“Nah.” Tangan menyerahkan botol terakhir yang dikutipnya.
Gadis itu yang sibuk menunduk dari tadi itu mengangkat muka. Tangannya mencapai botol yang dihulurkannya. Lama fokus si gadis itu ke wajahnya. Keningnya berkerut-kerut seakan-akan memikirkan sesuatu.
Ihsan tersenyum melihat telatah gadis ini. Perkara-perkara macam ni dah selalu sangat dah dia jumpa. Mula-mula jatuhkan sesuatu bagi dia perasan kelibat mereka… lepas ni mesti akan keluar soalan-soalan macam ‘you looks so familiar’ atau ‘kita kenal tak?’.
Selalunya dia ikut saja rentak permainan gadis-gadis itu. Kalau nasib baik (dan selalunya nasib dia memang baik pun!), mesti nombor telefon si gadis di dalam genggamannya. Untuk persiapan katanya.
“Thanks.”
Ihsan termangu seketika.
Aikkk? Hapersal lainpulak ni.
Terima kasih? Hanya itu yang diungkapkan oleh si gadis selepas beberapa minit berfikir. Tiada satu pun pickup line yang Ihsan bayangkan tadi keluar dari bibir gadis yang bermuka pucat itu. Mana pergi ‘you looks so familiar’ atau ‘kita kenal tak’?
“Saya pergi dulu eh.Thanks a lot.”  Gadis itu bangun lalu mengangkat kotak yang sudah terisi penuh dengan botol-botol itu. Dia tidak sedikitpun menunggu Ihsan yang masih berfikir panjang tu. Banyak lagi kerja yang dia perlu uruskan sekarang ni.
“Wait. You join program kembara ni juga ke?” tanya Ihsan tiba-tiba. Baju tees ungu yang dipakai gadis itu sama dengan baju yang sedang dipakainya.
“Yeap.” Gadis itu menjerit dari jauh.
“Same here!” Ihsan tersenyum. Senangnya, kan dah dapat jumpa kawan. Baju ungunya ditunjukkan pada si gadis.
“Obviously, bro.. tapi sebenarnya I got to go. See you!”
“Jap, jap…”
Ihsan berlari anak menyaingi langkah si gadis. Kotak di tangan si gadis diambilnya laju.
“Let me help you with this. Lee ni pun satu adakah kerja berat macam ni dia suruh perempuan yang buat.”
“Saya boleh buat sendirilah, saudara.”
Ihsan tersenyum. Saudara? Dah masuk zaman Kesultanan Melayu Melaka ke macam mana ni? Eh ke zaman P Ramlee dan Saloma?
“By the way,I’m Sun.. and you?”.
Gadis itu diam, tak menunjukkan reaksi. Geram betul bila Ihsan buat-buat tidak dengar apa yang dikatakannya tadi.
“And you?” Ihsan ulang lagi. Masih menyaingi langkah si gadis.
“Pluto.” Sepatah gadis berteesungu itu membalas sebelum menyambung, “kalau you nak hantarkan sangat kan? Tolong letak kotak ni kat depan lamp post kat sana ye. Thank you!”
            Si gadis itu berlari anak meninggalkan Ihsan tanpa sempat dia membalas apa-apa. Dia memandang kotak di tangannya. Sekarang ni dialah nak kena angkat kotak air mineral ni di depan sana?
Ihsan tersengih monkey.
Itulah, tak ada kerja, cari kerja kau Ihsan.
Haish si pluto ni! Ingatkan bolehlah nak mengayat sikit… tapi…
But wait?
Pluto?
Pluto ke nama dia?
Pluto yang planet tu ke?
Kepalanya dok terbayang silibus mata pelajaran Sains di sekolah rendah dulu. Pluto tu bukan nama planet ke? Yellah planet yang mengorbit matahari kan? Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun… Pluto.
Ihsan akhirnya dapat menangkap sarkatikus si gadis baju ungu tadi. Lantas ketawanya meledak juga. Ini mesti spesies nak menganjing nama samaran aku lah ni.
Wow! Not bad, Pluto. Not bad.
Ingat kan orang bosan dan skema je join program ni tapi cik Pluto ni macam cool je. Ihsan tersengih. Nampaknya tak bosanlah dia empat hari ini nanti. Ada orang nak diganggu ni.
 Ihsan mencalit hidung.

Cameron Highlands, you wait!

Monday, 12 January 2015

Belum Aku Temu (Bab 5) ~ Amri Ramli

Layang-layang di balik awan

Ceritera dongeng

Hidup bukan umpama hikayat dongeng. Yang mana si putera bertemu si puteri dan kemudian hidup bahagia selamanya. Dunia di mana halangan bisa ditempuh dengan jampi ajaib. Kuda putih ditunggang dengan pedang tajam tersisip disisi. Itu sekadar ilusi. Sekadar lagenda yang dikhabarkan untuk mengisi waktu.

Atau mungkinkah aku yang silap? Mungkinkah sebenarnya dunia ini hakikat pada ilusi mimpi? Mungkin benar. Mungkin perlu tidur dahulu beberapa lama sebelum yang satu muncul di sisi. Atau mungkin aku perlu mencari dalam kalangan ribuan sebelum akhirnya berjumpa  dengan si pemilik kasut kaca?

Jika aku benar si putera dan aku sudah berputus asa, apa gunanya? Kuda putih masih belum ku tunggang. Tembok kota masih belum ku panjat. 7 insan kerdil masih belum aku temu untuk membantuku menghadapi hidup baru. Belum lagi dikejar askar permaisuri yang merah. Belum juga ku jumpa si musang yang berbulu ayam, menyamar sebagai sahabat sedang mahu membaham di penghujung jalan.

Hidupku umpama si Midas. Yang kerapkali dicurah emas dan permata. Yang belum lagi bertarung dengan raksasa dan naga. Dan aku tahu, perjalananku masih jauh sebelum bertemu dengan sebutir mutiara.

Dipos oleh Pemain Wau
18 Julai, 1.02 a.m

4 komen

Leeya (18 Julai, 8.01 a.m)
Fez, ko dah jumpa 2 orang makhluk kerdil; aku dan Kak Amy! Haha. Kena cari lagi 5!

Maz (18 Julai, 8.21 a.m.)
:) Always love to read your thoughts

Amy (18 Julai, 4.00 p.m.)
Takkan lari gunung dikejar :D


Leeya (19 Julai 1.29 p.m.)
Betul tu Kak Amy. Fez, kalau tak jumpa mutiara kau, aku kan boleh jadi backup! Keke.
***
Amy tersenyum apabila dia membaca komen terbaru Leeya. Apa sajalah budak-budak ni, fikir Amy.

Sambil bersandar di kerusi, Amy memandang jauh. Mindanya melayang entah ke mana. Menunggu putera datang menyelamatkannya? Tiba-tiba dia tertanya sendiri. Tapi dia sudah pun ada putera di hati, apa lagi yang perlu dirisaukan?

“Akak belum diuji lagi tu... takde lagi watak jahat dalam cerita hidup akak,” Amy teringat Fez berseloroh.

“Apa? Kamu ingat ini drama Sepanyol ke? Nak kena ada watak jahat tiba-tiba?” Amy membalas.

“Hidup ni macam drama la juga akak. Sementara nak sampai happy ending, mesti ada challenge dulu,” terang Fez bersungguh-sungguh. Dia benar-benar percaya apa yang dikatakannya. Baginya, jika cinta itu diuji dan masih mampu berdiri teguh, barulah boleh dicapai bahagia selamanya.

“Akak takde drama lagi, jadi manalah tahu Rael itu ialah the one. Akak kena susah dulu,” sambung Fez.

“Yalah tu. That is coming from someone who had never facing hardship for his entire life...” kata Amy sedikit sarkastik. Dia tahu Fez memang tidak pernah hidup susah. Tambahan pula dia anak tunggal dan dimanjakan ibu dan bapanya.

Bagi Amy, cinta dan bahagia itu seperti konsep nombor rawak. Jika kita mahu yang satu dalam senarai beberapa angka, mungkin kita akan perolehnya jika kita bernasib baik. Juga seperti melempar dadu untuk mendapatkan yang satu. Drama; itu semua sekadar ajaran media. Biar orang kononnya terasa kesucian cinta. Biar orang mahu kekasih membuktikan segalanya demi cinta. Amy sudah punya Rael dan dia tidak perlukan Rael merenangi lautan api untuknya. Duduk saja senyap-senyap di sini. Mati terbakar di lautan api nanti, Amy juga yang merana.

Angan-angan Amy terhenti apabila dia terdengar pintu bilik diketuk. Amy kembali ke alam realiti. Kepalanya dijengukkan ke meja sebelah. Nampaknya rakan-rakan sebiliknya tiada. Biasanya Arni yang duduk berdekatan dengan pintu yang akan menjawab sebarang ketukan.

Amy menoleh ke meja Suzanna. Meja Suzanna sungguh tidak teratur. Penuh dengan buku-buku Persamaan Pembezaan. Suzanna pun tiada rupa-rupanya. Amy baru sedar yang hanya dia seorang sahaja yang berada di bilik siswazah. Leka menyiapkan kerja-kerja yang diberikan penyelianya. Dan juga leka menjengah blog rakan-rakan dan sempat bermain permainan komputer tadi.

Kehidupan pasca-siswazah.. sebegitulah. Sambil tertekan akan hal penyelidikan yang kadangkala mengeluarkan hasil, penuh dengan rencam di jiwa yang membuatkan Facebook menjadi teman mengalih tumpuan, melupakan duka sementara akan algoritma yang tidak berjaya ditulis. Fikiran Amy melalut sebentar sebelum bertapak semula ke bumi.

Amy bangun dan melangkah ke arah pintu. Pintu depan dibuka. Seorang pelajar lelaki baru sahaja ingin melangkah pergi tetapi menghentikan niatnya apabila mendengar bunyi pintu dan melihat Amy muncul di sana.

“Ah Adli,” tegur Amy. “Kamu datang nak jumpa sayakah?”

Pelajar lelaki yang bernama Adli itu menoleh. “Ya Cik Amy. Saya nak tanya fasal buku rujukan untuk statistik.”

“Masuklah,” Amy menjemput Adli masuk ke bilik siswazah. “Eh, kamu ambil statistik ke semester ni?” Amy kembali ke mejanya sambil diikuti Adli dari belakang.

“Ya, itu kursus wajib saya semester ni,” jawab Adli sambil meletakkan beg sandangnya ke bawah. Amy mencari helaian kertas yang mengandungi senarai buku rujukan untuk pelajar statistik.

“Ha, ini dia,” Amy menarik keluar dengan cermat dari kertas-kertas dan buku yang terletak di atas kertas yang dicarinya. Dia beralih kepada Adli yang masih tegak berdiri di sebelah meja. Amy mendongak sedikit untuk melihat Adli. Tinggi juga budak ni, fikir Amy.

Kertas itu diletakkan di hujung meja. Adli menyalin di atas sebuah buku nota. Amy kembali melihat komputernya sementara itu.

Ada e-mel baru masuk. Notis berkenaan seminar untuk minggu itu. Nampaknya macam menarik. Ada sedikit kaitan dengan tajuk penyelidikan yang dia buat. Amy mengerling jadual tutorial yang dilekatkan di sebelah papan putih yang terletak di kubikelnya. Nampaknya dia tidak ada kelas pada waktu seminar berlangsung. Bagus. Tangan Amy mencapai diari di sebelah mug bekas air kopi. Hari Khamis. Pukul 3.00 petang. Waktu seminar yang dia mahu hadiri dicatat dengan pen berwarna merah.

“Dah siap,” Adli menghulurkan kembali helaian kertas tadi. Ah, terlupa pula budak ni ada kat sini, fikir Amy.

Amy bertanya, “ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong?”

Sekadar berbahasa. Banyak kerja yang perlu dia siapkan sebenarnya.

“Ah ya,” Adli mencapai sesuatu dari dalam poket begnya. “Saya sebenarnya join teater muzikal yang universiti punya.”

“Oh? Kamu berlakon ke atau jadi crew?” tanya Amy. Dia sedikit berminat. Sejak kebelakangan ini, teater dan filem muzikal mencuri tumpuan Amy. Malangnya Rael tidak minat benda-benda muzikal ini.

“Saya berlakon. Jadi salah seorang watak utama,” beritahu Adli sambil malu-malu. Dia memegang 2 keping kertas bersaiz kad kredit di tangannya sekarang.

“Oh, ya ke?” Amy sedikit kagum. Biasanya pelajar-pelajar Matematik ini jarang minat benda-benda artistik macam itu.

“First show kitorang hari Rabu depan,” Adli menghulurkan kertas yang dipegang kepada Amy. Tiket untuk teater rupa-rupanya.  “Nak jemput Cik Amy datang menonton. Ni ada 2 tiket.”

Amy mengambil tiket tersebut dan membelek-belek seketika.

“Setiap orang dari kami dapat 2 tiket free,” terang Adli. Amy beralih memandang Adli dan dilihat Adli sedang tersenyum.

“Oh, terima kasih.” Amy tersedar dia terlupa mengucapkan terima kasih. Tiba-tiba Amy terasa berdebar-debar. Kenapa ni? Amy tidak faham kerana dia terasa sebegitu rupa. Jantungnya terus berdegup laju.

“Bolehlah Cik Amy bawa sesiapa sekali.” Adli tersenyum lagi sebelum meminta diri. Amy mengucapkan terima kasih sekali lagi sebelum Adli melangkah pergi.

Amy menarik nafas panjang sebaik sahaja Adli keluar dari bilik itu.Dia menempelak dirinya sendiri. Kenapa dia terasa sebegini? Peliknya rasa ini. Apakah? Tidak, aku takde hati dengan budak ni! Dan hello? Budak tu masih mentah lagi okay? Amy berkonflik dengan diri sendiri.

Saturday, 10 January 2015

Si Dia dari Boston (Bab 2) ~ Norliza Baharom

Hari itu hari yang sangat sibuk bagi Andrew. Berpuluh-puluh helaian kertas terhampar di atas meja. Bersepah - serabut seperti kotak fikirannya. Dia duduk menyandar di kerusi, mengambil rehat. Satu kertas kerja telah siap, namun lebih sedozen lagi menanti untuk dihabiskan menjelang minggu hadapan.
Dia cuba mengemas dan menyusun atur semula semua benda sebelum memulakan kerja yang baru. Kepalanya yang sudah sedia kusut itu digosok-gosok laju menjadi bertambah kusut. Bilik pejabat yang dikongsinya dengan dua orang pekerja yang lain itu hari ini cuma dihuni oleh dirinya sendiri. Kawan-kawannya sedang ditugaskan di luar, ke kawasan-kawasan projek yang sedang berjalan.
            Telefon bimbit Iphone miliknya yang diletak di hujung meja asyik berbunyi sejak kira-kira sejam yang lalu tetapi tidak dihiraukannya. Malahan sekali-sekali dilontarkannya pandangan menyampah dan tidak sabar. Namun selepas beberapa ketika ia masih lagi berbunyi, dia mencapai telefon itu dengan harapan orang lain yang sedang cuba menghubunginya, lantas membaca nama yang tertera di skrin.
Jessica.
Sudah dapat dijangka. Digeleng-gelengkan kepala. Dilemparkan kembali telefon itu ke tempat asalnya. Sudah lemas melihat nama itu, apatah lagi memikirkannya. Bermacam-macam cara cuba di lakukan agar manusia itu tidak lagi menghantui, tetapi nyata gadis bernama Jessica itu sangat tegar memburunya.
Dia sudah nekad membuang nama Jessica jauh dari kamus hidupnya. Tidak nampak jalan lain lagi, demi satu penghijrahan diri. Namun Jessica tetap Jessica. Tak mungkin gadis itu dengan mudah dapat memahami apa yang dilaluinya dan apa yang sedang cuba dilakukannya kini.
Andrew sedang cuba untuk menumpukan perhatian kepada pembentukan sahsiah diri dan pendidikan dalam agama yang baru dipeluknya itu. Dalam masa setahun ini dia tidak lepas berulang-alik ke Masjid Alhamdulillah di Boston  pada hujung minggu, berjumpa dengan Imam di sana, bertatih-tatih belajar sembahyang, belajar bahasa Arab, mengaji, dan perkara-perkara lain lagi. Imam dan guru-guru di sana sangat membantu dan mengambil tanggungjawab mengajar sebaik mungkin. Dia diajar bagaikan seorang anak kecil oleh ayahnya. Lebih memberikan semangat, salah seorang Imam adalah seorang Mualaf sepertinya juga.
Syukur kepada Allah, dia sudah mampu membaca Al-Quran dengan sendiri walaupun masih belum sempurna. Dia sudah mampu bersolat, dan mengharungi satu Ramadhan penuh dengan bantuan guru dan kenalan-kenalan Muslimnya di Masjid. Dia sudah merasakan dirinya semakin sebati dengan Islam. Hatinya yang dulu tidak keruan dan derita walau tidak selalu zahir di wajahnya, kini sudah setenang air di Tasik Mystic yang selalu dilawatnya dikala duka dahulu.
Namun dia faham yang Jessica tidak akan pernah mengerti. Bekas teman wanitanya sepanjang lima tahun itu benar-benar sukar menerima. Hilang kekasih begitu sahaja, tanpa ada pergaduhan besar dan selisih faham, tanpa ada sesiapa yang mencurangi sesiapa. Tiba-tiba sahaja gadis itu tidak boleh menyentuh kekasihnya sendiri, tidak boleh membelai dan dibelai, tidak boleh lagi memanggil lelaki dambaannya itu ‘kekasih’.
Dia sudah pasti akan masih mampu bersama Jessica, jika gadis itu faham akan batas-batas seorang Muslim, jika dia faham akan batas-batas pergaulan. Jika Jessica mampu menghormati hukum-hukum itu walau hanya sebagai seorang kekasih, jikapun dia tidak mampu mengikut jejak langkah Andrew dalam menukar kepercayaannya. Sekurang-kurangnya itu mampu menjadi satu permulaan yang baik. 
Tetapi bukankah ianya kedengaran tidak masuk akal bagi gadis liberal dan tidak bertuhan itu, yang mahu kekal dengan dirinya dan mahu Andrew kekal dengan dirinya yang dulu?
Jessica tidak mampu menerima nilai-nilai baru yang terterap di dalam jiwa mualaf baru itu. Sungguh dia tidak mampu. Namun dia masih lagi belum berputus asa untuk membawa Andrew pulang ke ‘pangkal jalan’ - ke pangkuannya.
Masih lagi terbayang-bayang di ingatan Andrew akan pertengkarannya dengan Jessica beberapa hari yang lalu. Jessica menggunakan waktu makan tengaharinya untuk keluar memburunya, merayu-rayu buat acap kalinya di hadapan sebuah cafe tidak jauh dari tempat Andrew bekerja. Andrew cuba untuk mengajaknya duduk berbincang dengan baik di sebuah kerusi panjang di dalam taman yang tidak jauh dari situ, supaya tidak kelihatan janggal dan didengar orang yang lalu-lalang.
“Tidak Andrew, kali ini aku tidak akan berganjak. Aku mahu kau sedar yang kau telah mensia-siakan perhubungan kita. Kau berlaku tidak adil kepada aku,” katanya dengan mata merah dan bengkak akibat terlalu banyak menangis, dan masih lagi menangis ketika dia sedang berkata-kata.
“Jika agama kau mementingkan keadilan dan hak manusia termasuk wanita, kenapa kau berlaku tidak adil kepadaku?” tambahnya lagi, mencabar Andrew.
Gadis tinggi lampai berambut emas itu masih lagi mencuba walaupun benaknya sendiri memberitahu tiada harapan lagi untuk memenangi hati lelaki mualaf itu. Seolah-olah dia mengharapkan tiba-tiba Andrew akan tersentak dari amnesia dan mengingati semula bahawa dia mencintai Jessica lantas meninggalkan agama yang baru dipeluknya itu.
            Memang luruh hati gadis itu mengetahui perkembangan baru yang tak diduga itu. Andrew adalah lelaki terbaik yang pernah dijumpainya. Sudah berkali-kali dia jatuh cinta dan putus cinta diawal usia dewasanya, dan dia mahu seseorang yang komited, mahu membina keluarga. Dia tidak mahu mengulangi kesilapan kedua ibubapanya yang sudah tidak lagi hidup bersama.
Andrew adalah nafas barunya yang dirasakannya mampu memberikan semua itu. Dia berhenti mencari selepas itu, lelaki itu benar-benar buat dia rasa dihargai.
Siang dan malamnya hanya ada Andrew di hati. Lebih kurang tiga bulan sebelum Andrew memutuskan perhubungan, mereka sudah berkira-kira untuk tinggal di rumah yang sama. Berkongsi kereta, sewa, belanja, dan segala-galanya. Kemudian mereka akan merancang majlis perkahwinan di sebuah taman, menghilangkan diri seketika untuk berbulan madu di Itali dan terus cuba mendapatkan cahayamata bersama. Bukankah itu idaman semua wanita di atas muka bumi ini? Mengapakah Andrew begitu kejam untuk menidakkan semua itu baginya?
            Memang sebelum itu secara perlahan-lahan dia perasan Andrew semakin menjarakkan dirinya. Tapi bila ditanya, katanya soal kerja. Maka diberikannya lelaki itu ruang. Kawan-kawan dan ibubapanya juga menasihati yang sama, agar dia tidak kelihatan terlalu mengongkong.
            Sampai pada satu tahap, dia menyangka Andrew sedang curang kepadanya; hari demi hari makin tidak mahu dibelai ataupun disentuh, apalagi jika lebih dari itu. Tindak-tanduknya sentiasa cuba mengelak dan mencari alasan.
Maka Jessica mengupah penyiasat peribadi, seperti yang dilakukan oleh ramai orang apabila cemburu dan ragu-ragu mencubit di hati. Namun selepas beberapa minggu menunggu dan habis beribu dolar membayar khidmat, tiada apa-apa kesimpulan yang mencurigakan. Andrew hanya pergi dan pulang dari bekerja. Kadang-kadang dilihat duduk makan di restoran bersama kakitangan pejabat dan kawan-kawan lelakinya.
 Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa ini yang telah terjadi. Andrew sudah sesat. Sudah sesat! jerit benaknya. Masakan dia sanggup meninggalkan cintanya yang sesuci ini demi agama asing itu.
            Jessica berterusan menangis di kaki lima itu, melayan gelora jiwanya. Mengharapkan Andrew menyatakan sesuatu yang ajaib hari itu.
Andrew masih menunggu di situ walaupun dia tidak mahu. Dia boleh saja berlalu pergi setengah jam yang lalu, namun dia masih cuba menghormati gadis itu dan perasaannya. Walau apapun yang terjadi di hadapannya, adalah perkara terakhir baginya untuk melihat gadis yang pernah dicintainya itu bersedih dan merana sampai begitu sekali. Namun di lubuk hati dia jauh daripada mengubah pendiriannya. Dia cuba berdiri dengan tenang, dan pandangan matanya tegas memandang wajah Jessica. Kali ini dia mahu Jessica benar-benar memahaminya.
“Dengar, Jessica. Aku tidak akan berterusan melayan kamu sebegini. Tidak adil buat engkau dan tidak adil juga buat aku. Aku menghormati kemahuanmu, tapi kemahuanmu itu bukan untuk diisi olehku. Aku tidak layak buat kamu. Carilah seseorang yang mampu. Aku doakan yang terbaik untuk dirimu.” jawab Andrew. Lantas dia melangkah ke arah bangunan pejabatnya meninggalkan sahaja Jessica di situ.
“Kau akan menyesal Andrew, kau akan menyesal! Aku tak akan memaafkan kau!” laung Jessica, menghentak-hentak kakinya sekuat hati. Ribut tangisnya bermula kembali, lebih hebat dari sebelumnya. Beberapa kepala pejalan kaki yang lalu-lalang menoleh ke arah Jessica dan ke arah Andrew yang semakin nekad mempercepatkan langkahnya.
Di hati Andrew, dia berharap yang dia tidak akan bertemu dengan Jessica lagi.



            Deringan baru di telefon bimbitnya menyentak Andrew dari lamunannya yang sarat itu tadi. Dadanya berdegup pantas. Dia menyapu tangan di dahi yang dikunjungi titik-titik peluh dingin. Jam menunjukkan hampir pukul lima petang. Baru dia sedar sudah hampir tamat waktu bekerja. Dia mencapai telefon sekali lagi dan menarik nafas lega kerana kali ini bukan nama Jessica yang terpampang.
Telefon disuakan ke telinga. “Waalaikumussalam..” jawabnya lembut selepas itu, mulut tersenyum di hujung gagang telefon.
“Apa khabar, ya Akhi. Mahu keluar?” sambungnya lagi.
Dia berhenti beberapa ketika mendengar jawapan di sebelah sana.
“Ok, aku tunggu di bawah. Assalamualaikum.” jawabnya lantas meletakkan telefon. Andrew lekas mencapai kertas-kertas kerja dan menyusunnya di sebelah kiri meja. Pen dan alat-alat tulis yang lain dikaut semuanya sekali dan dimasukkan ke dalam laci meja. Sementara laci meja terbuka, dia mengutip beg duit dan kunci keretanya. Lantas dia berjalan keluar dari bilik, bertembung dengan beberapa rakan sekerjanya yang baru sampai ke pejabat lalu menganggukkan kepala dan mengucap selamat tinggal.
            Sampai sahaja di kaki lima pejabat, susuk badan biasa dilihatnya sudah berdiri tercatuk di situ. Seorang lelaki berkulit sawo matang, berambut hitam pekat - sedikit kerinting, berlesung pipit. Tingginya tidak lebih dari 5 kaki 3 inci. Dia memakai cermin mata berbingkai nipis, dengan pakaian pejabat biasa, tali lehernya sedikit senget ke sebelah kiri. Lelaki itu datang menghampiri Andrew sambil kedua-dua tangannya di dalam kocek seluar, wajahnya tersenyum lebar.
“Sudah sejam aku tunggu.” kata lelaki itu, berjenaka. Tutur bahasa Inggerisnya ada sedikit loghat berbeza.
 Andrew tergelak besar.
“Kau sampai di sini sejam yang lalu, tetapi kau telefon aku baru dua minit lepas. Memang pandai!” balas Andrew. Lelaki yang bernama Umar itu tersenyum lebar, menepuk-nepuk belakang Andrew.
“Nak makan di mana hari ni?” tanya Umar bersahaja, memandang ke wajah kawannya. Andrew melipat lengan kemejanya ke paras siku- cuaca hari ini agak panas berbanding biasa.
 Sambil itu, keningnya berkerut memikirkan tentang di mana untuk makan. Mereka berdua sudah merancang lebih awal untuk bertemu hari itu; keluar berbual dan makan malam awal bersama, tambahan pula memandangkan esok cuti hujung minggu.
            “Jom aku bawa kau ke Restoran Darbar di Beacon Street, makanan Pakistan.” cadang Andrew setelah beberapa ketika. Umar mengangguk tanda setuju dan mengikut sahaja ke kereta Toyota Camry milik kawannya itu. Mulut mereka tidak berhenti berbual, diselangi dengan hilai tawa kedua-duanya.
            Umar adalah kawan Andrew sejak beberapa bulan yang lalu. Mereka bertemu di Masjid ‘Alhamdulillah’ yang selalu dihadiri oleh kedua-duanya terutama sekali setiap hari Jumaat.
Umar berbangsa Melayu, anak jati Selangor, di sebuah negara Asia Tenggara bernama Malaysia. Membesar dikelilingi oleh rumah-rumah kampung dan sawah padi. Dia tinggal di Amerika sejak 4 tahun yang lalu. Satu-satunya kawan berbangsa Melayu yang dikenali Andrew.
 Sejurus selepas memperolehi Ijazah Pembangunan Perisian di Boston University, Umar bercadang untuk terus di situ menyambung kerjayanya dalam bidang pengaturcaraan komputer. Bukan untuk terlalu lama fikirnya, sekurang-kurangnya beberapa tahun, cukup untuknya menimba pengalaman.
            Beberapa minit perjalanan, sampailah mereka di Restoran Darbar yang dicadangkan Umar tadi. Mereka disambut dengan bersemangat oleh pemilik restoran itu yang berbangsa Pakistan. Anaknya yang berumur sekitar 6 tahun juga ada di situ, berlari-lari sambil memegang sepotong ayam  tandoori, seolah-olah membantu ayahnya mempromosikan makanan mereka itu. Andrew dan Umar senyum terhibur.
Mereka memilih meja kosong di satu sudut di tepi dinding kaca dan mula melihat-lihat menu makanan dan minuman.
“Bagaimana dengan dua minggu kebelakangan ni, ada apa-apa yang menarik berlaku?” tanya Umar dengan gayanya yang bersahaja setelah minuman yang dipesannya tiba. Dua minggu tidak bertemu Andrew baginya sudah cukup lama – rasa ingin tahu apa yang dilakukan Andrew sepanjang tempoh itu.
Minggu lepas mereka tidak berjumpa kerana Umar terpaksa bekerja lebih masa. Hujung minggunya terpaksa dikorbankan untuk menyiapkan tugasan yang terlalu hampir dengan deadline.
“Tiada apa-apa yang menarik.” jawab Andrew pendek, namun sejurus dia teringat tentang lawatannya pulang ke rumah ibubapanya minggu lepas. Sambil menyedut air minumannya, dia menceritakan tentang pengalamannya itu.
Umar mendengar dengan penuh minat kerana dia sudah sedia maklum tentang masalah yang dihadapi Andrew semenjak dia bertukar agama. Tersenyum lebar dia, lega hatinya bagi pihak rakan karibnya itu. Faham benar dia tentang bagaimana rapatnya hubungan Andrew dengan keluarganya. Betapa dia menyaksikan resah dan gelisah wajah pemuda itu merindui ibu dan adiknya hari demi hari.
“Alhamdulillah..! Mungkin suatu hari nanti kau boleh bawa aku berjumpa dengan mereka.” kata Umar tersenyum gembira.
“InsyaAllah.”
            Andrew melontar pandangan ke luar tingkap restoran itu - cuaca sangat redup dan daun-daun pokok ditiup angin lembut. Dipindahkan pula pandangannya ke arah kawannya yang berbangsa Melayu itu. Sedang khusyuk menikmati nasi Biryani daging kambing kegemarannya. Rambut hitam di kepala lelaki itu sudah mula menipis di tengah, memperlihatkan samar-samar kulit kepalanya. Mungkin menunjukkan kepala itu sudah lama sarat dengan persoalan ilmu, falsafah, aturcara komputer, dan berbagai-bagai lagi perkara lain yang menghuni kehidupan, Andrew mengandai sendirian sambil tersenyum.
Hatinya sangat senang berkawan dengan Umar. Lebih kurang sebaya dengannya, berumur 30 tahun. Orangnya tenang, percakapannya selalu matang dan kelakar. Umar jugalah yang kerap membimbingnya dalam perkara berkaitan agama, soal ibadah, hukum, hati, dan lain-lain.
Setiap pertemuan itu ada hikmahnya, fikirnya.
 Dia mengagumi lelaki Melayu itu yang sanggup hidup bermusafir di tempat orang, berkelana di bumi Allah yang luas ini. Mungkin suatu hari nanti dia juga boleh berbuat perkara yang serupa, fikir Andrew lagi.
“Jadi selepas ini, apa pula?” setelah habis nasi di pinggan, Umar mengemukakan soalan itu kepada Andrew. Gelas minuman ditarik rapat dan penyedut disua ke bibirnya.
Andrew memandang Umar. Keningnya diangkat, memperlihatkan garis-garis nipis di dahinya.  “Selepas ini, apa pula?” dia bertanya kembali soalan yang sama, sedikit bingung.
Umar ketawa kecil.
“Ialah, sekarang sudah jumpa Tuhan pencipta.. Bila pula hendak mencari sang Hawa, tulang rusuk kiri, makmum ketika sembahyang di rumah, teman beraktiviti?” jelas Umar, sambil tersenyum lebar, sedikit riak nakal kelihatan di wajahnya.
Andrew membalas dengan ketawa kecilnya pula. Hampir dia tersedak air jus oren kerana kata-kata Umar itu. Kemudian dia cuma mengukir senyum, menggeleng-gelengkan kepala perlahan. Sejurus wajah Jessica terpampang di ingatan, namun dia faham itu bukan pilihan, cuma imbasan impian dahulu dan kenangan masa lalu.
“Tengoklah nanti, kalau ada jodoh di dunia ini. Kalau tiada, aku berdoa pada Allah agar layak untuk dipasangkan dengan paling kurang seorang bidadari Syurga.” Andrew berjenaka di dalam benar kata-katanya. Umar ketawa, mengangguk-angguk tanda bersetuju. Belakang Andrew ditepuknya beberapa kali.
            Mereka menghabiskan sisa-sisa petang dengan bersembang-sembang kosong- termasuk berjenaka tentang sukan. Andrew sibuk bercerita tentang American football dan Umar pula dengan bola sepaknya. Mereka sibuk membanding-banding sukan yang mana lebih layak dipanggil football dan yang mana lebih seronok ditonton, sesekali diselangi dengan jenaka oleh Umar yang membuatkan Andrew menghamburkan tawa dengan lantangnya. Akhirnya Andrew terpaksa akur bahawa football sebenar adalah bola sepak, kerana permainan itu yang paling banyak menggunakan kaki.
            Maghrib hampir menjelang, kedua-kedua rakan itu bingkas bangun lalu keluar meninggalkan restoran itu sambil dihantar sehingga ke pintu oleh pemilik restoran dengan anaknya. Andrew memandu keretanya menuju ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, seperti yang telah mereka rancangkan bersama.
            Lebih kurang pukul sepuluh malam, Andrew menghantarkan Umar betul-betul di hadapan blok kediamannya. Sudah menjadi tabiat Umar pergi dan balik kerja dengan menaiki tren. Tempat tinggalnya betul-betul terletak berhampiran dengan stesyen perhentian. Dapat juga dia menjimatkan wang untuk petrol dan mengelak dari kesesakan jalanraya. Apatah lagi setelah berkenalan dengan Andrew, lelaki itu selalu bertegas untuk menghantarnya pulang tiap kali mereka bertemu.
“Assaalamualaikum.” Umar melambaikan tangannya setelah keluar dari kereta.
“Waalaikumussalam..!” balas Andrew lalu dia pergi meluncur laju menuju pulang ke rumahnya.



Umar duduk di hadapan meja tulis setelah selesai mandi dan solat Isyak. Sudah lewat, tetapi matanya masih belum mahu lelap. Mungkin kerana kopi yang diminumnya di Restoran Darbar tadi.
 Oleh itu dia menghadap komputer riba yang sudah lebih setahun dimilikinya, terletak tidak berganjak di atas meja tulisnya. Alat itu umumnya untuk memenuhi keperluan pekerjaannya. Di hujung minggu pula digunakan untuk melayari internet dan berhubungan dengan ahli keluarga, sahabat handai dan manusia yang rapat dengannya.
Teringat dia akan satu perkara penting yang perlu dilakukan sebelum minggu ini berakhir.
Maka jari-jemarinya sejurus ligat bersilat di atas papan kekunci, menaip satu mesej yang panjang tanpa henti. Sesekali dia tersengih-sengih sendirian, sambil dia memikirkan apa lagi yang perlu dituliskan. Kepalanya digaru-garu sekali-sekala mencari idea. Kira-kira dua puluh minit kemudian, dia membaca semula surat yang sudah siap dikarang, diperbetulkan mana yang perlu. Setelah berpuas hati, dengan cepat dia menekan butang ‘hantar’.
            Bermulalah perjalanan mesej yang panjang itu melalui alam maya. Bit-bit perkataan mengalir melalui jalur-jalur wayar telekomunikasi yang berjela-jela direntang merentasi muka bumi Amerika Syarikat, di pantul ke satelit di angkasa, kembali semula ke muka bumi dan menyusuri kembali jalur- jalur yang serupa, bagaikan musafir sepantas cahaya, sampai ke satu bahagian lain di muka dunia - sebuah rumah di pinggir sawah padi, berhadapan dengan pohon-pohon kelapa yang beralun lembut ditiup angin tatkala dinihari.
Rumah papan separuh batu itu masih lagi kelam, ditelan gelap subuh yang baru hendak bermula. Kelihatan cuma sedikit cahaya dari celah-celah dinding dan tingkap cermin sebuah bilik tidurnya. Kedengaran sayup-sayup bacaan ayat-ayat Al-Quran dari surau Kampung Haji Fadilah. Sesekali bunyi kokok ayam membantu menyedarkan isi-isi desa yang sedang tidur lena.
Sementara menunggu waktu solat tiba, seorang gadis yang sudah jaga dan sedang duduk di lantai kamar, memasung kepalanya di atas katil. Dia juga sedang menghadap sebuah komputer riba. Tangannya menari-nari di atas papan kekunci, memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun e-melnya.
Ada mesej baru dari kekasih hati. Hatinya menjadi sangat teruja. Sudah lama dia resah menantikan. Dia membuka halaman surat elektronik itu lalu mula membaca.

Assalamualaikum Ainun,
Abang minta maaf banyak-banyak kerana sudah hampir seminggu kita tidak bersembang di Yahoo Messenger – terlalu sibuk. Rindu di hati abang ni hanya Allah yang tahu :).
Ainun tersenyum simpul, resah sudah berganti ceria.
 Masih sibuk lagi dengan projek yang belum selesai tu, Insya-Allah hujung minggu ni siaplah. Selepas itu abang  fikir nak ambil cuti beberapa hari sebelum sampai projek baru, untuk rehatkan otak yang sudah mula membeku ni.
Ada rancangan nak berjalan-jalan dengan kawan di sini, nak melawat tempat-tempat menarik yang belum dilawat.
Ainun menarik nafas lega. Umar ada mengadu kepadanya dua minggu lalu soal kerja yang sangat membebankan dan memeningkan kepala. Ada projek besar katanya yang perlu diselesaikan. Syukurlah sudah hampir selesai, fikirnya. Risau juga dia jika Umar selalu kedengaran tertekan, tambah-tambah lagi saat berada di rantau orang. Dia melihat jam di dinding. Sudah masuk waktu subuh. Pandangan matanya lekas menumpu semula ke skrin komputer, mahu menghabiskan bacaannya.
Emak dan abah Ainun apa khabar? Sampaikan salam abang pada mereka. Sambil-sambil tu, minta tolong jasa baik Ainun untuk jenguk-jengukkan ibu dan ayah abang, ya. Tak jauh, di hujung kampung sahaja :).
Ainun mengangguk-ngangguk kecil seolah-olah Umar berada di depan matanya.
 Alhamdulillah, rezeki abang dah semakin bertambah. Senang rasa hati bila dah mampu mengirim wang setiap bulan pada orang tua. Wang dalam simpanan abang pun dah bertambah. Doakan supaya rezeki abang sentiasa murah, supaya abang boleh masuk meminang sebaik sahaja Ainun habis belajar nanti. Rindu dengan semua di kampung - nak tunggu cuti raya, lambat sangat lagi rasanya, sekarang baru awal tahun.
Bercakap tentang cuti, abang ada satu cadangan – tak tahulah samada Ainun setuju atau tidak.
Ainun mengangkat kening.
Memandangkan sekarang Ainun sedang dalam cuti semester, apa kata jika Ainun datang melawat Boston? Mungkin untuk beberapa hari selepas hujung minggu depan? Ainun selalu kata teringin hendak melawat negara luar… Mungkin inilah kesempatannya.
 Insya-Allah, jangan risau tentang perbelanjaan dan penginapan, Abang akan tanggung semuanya. Waktu begini dapatlah Ainun menikmati musim bunga di sini. Cuaca pun tidak terlalu sejuk. Minta izin dulu dengan ibu dan ayah.
Ainun membulatkan matanya. Dibacanya lagi perenggan itu, tidak percaya cadangan itu datang dari Umar.
Jangan terkejut, dengarlah dulu. Abang belum habis menjelaskan lagi.
Umar seolah-olah membaca isi hati kekasihnya.
Bawalah seorang teman rapat Ainun atau saudara perempuan bersama, untuk keselamatan dan teman mahram, dan juga dapat menghilangkan risau kita dan ibu dan bapa kita. Boleh dia menemankan Ainun di rumah sewa atau ke mana-mana Ainun pergi ketika di sini nanti. Perbelanjaan kawan Ainun juga abang sanggup tanggung. InsyaAllah, tambang tiket kapal terbang, belanja makan, dan serba sedikit barang beli-belah untuk cenderahati, abang akan uruskan. Bagaimana?

Bibir Ainun kembali menguntum senyum, lebih lebar dari biasanya. Dadanya kembang dengan perkhabaran itu.
Bukan apa, sekurang-kurangnya dapat juga berlawan cakap dengan orang-orang Melayu juga di bumi Boston yang asing ni. Terasa sunyi dan sedih pula. InsyaAllah, pasti seronok nanti. Abang akan bawa Ainun berjalan-jalan di sini dan makan makanan halal import dari Pakistan dan macam-macam jenis makanan lagi. Sambil tu kita boleh berjalan-jalan melawat Zoo.
“Macamlah di sini tak ada Zoo!” balas Ainun sendirian sambil ketawa, tahu bahawa tunangnya itu berjenaka.
Harap Ainun balas e-mail abang ni secepat mungkin. Kalau setuju abang akan bantu uruskan soal penerbangan dan sebagainya.
Yang menyayangimu,
Umar.
            Air muka Ainun bertukar teruja. Hilang sudah rasa mengantuknya sejak dia bangun dari tidur tadi. Walau sudah setahun Umar bekerja di Amerika sebagai jurutera perisian komputer, tidak pernah terlintas pula di fikiran Ainun yang dia akan mampu melawat tunangnya di sana.
Mungkin kerana sebelum itu Umar hanyalah seorang penuntut selama beberapa tahun, belum bergaji dan Ainun sudah terbiasa dengan keadaan itu.
            Umar memang seseorang yang sentiasa bekerja keras, fikir Ainun. Sekarang cita-citanya boleh dikatakan sudah menjadi kenyataan. Terutama sekali dalam soal membantu ibu dan bapanya di kampung.
“Syukur Alhamdulillah, atas rezeki Mu,” bisik Ainun.
            Dalam kepalanya sudah terbayang yang dia sudah berada di Boston, bersiar-siar di persekitaran yang nyaman dan cantik, menaiki bas persiaran di sepanjang jalan Boston bersama Umar dan kawan-kawan mereka. Maka Ainun pun berguling-guling di atas katil sambil memejamkan mata, lagaknya seperti heroin di dalam filem Bollywood. Kedua-dua tangannya didepakan dengan senang hati.
            Tidak berapa lama berangan-angan, teringat pula dia akan satu perkara penting. Tanpa disedari tangannya mengusap dagu laksana seorang cendekiawan yang sedang berfikir sambil berpusing dan meniarap. Matanya menerawang ke atas, meniti palang-palang syiling yang sedikit bersawang itu.
“Siapa pula yang boleh menemankan aku ke sana nanti?” soalnya sendirian.
Sejurus memikirkan soal itu, hanya satu wajah yang muncul dalam fikirannya – Haninah.. kawan rapatnya semenjak kecil yang kini belajar satu universiti dengannya, yang tinggal hanya selang beberapa rumah darinya. Kalau hendak mengira seorang mahram wanita yang paling rapat dengannya, tiada orang lain lagi. Haninahlah orangnya.
Namun kemudian Ainun melepaskan keluhan.
“Bukan senang nak mengajak Haninah. Nak ke KL pun belum tentu lepas lagi..” fikir Ainun, sedikit runsing. Kalau ibubapa Ainun sendiri, senang sahaja. Hendak melakukan apa pun selalunya tiada halangan, asalkan berpatutan. Tambahan dialah satu-satunya anak di dalam keluarga.
Ibubapa Haninah itupun tidaklah banyak jauh bezanya, cuma ada sekali-sekala bapanya berkata tidak atas permintaan anak perempuannya. Lebih tegas berbanding ibubapa Ainun sendiri. Itu yang sedikit merunsingkankan Ainun; mahukah Pak Ngah Hamdan membenarkan Haninah pergi ke Boston menemankannya? Kedengaran seperti permintaan yang sangat berat nak disampaikan pada Pak Ngah Hamdan. Mungkin dia akan berasa tak selesa hendak melepaskan anak daranya itu ke negara asing.
“Tambah-tambah lagi kalau ada abang Azam di rumah tu. Semuanya tak boleh kalau dengan dia! Untunglah dia sudah berpindah ke Terengganu dengan keluarganya.” rungut Ainun, terfikir tentang abang kandung Haninah yang dikenalnya selama ini.
“Haninah pun sekarang ini bukan senang nak dipujuk, hatinya tengah merajuk...” keluh Ainun.
“Ah, belum cuba belum tahu!” kata Ainun lagi lantas menyedari jam sudah menunjukkan pukul 6.25 pagi. Sudah agak lewat untuk bersolat subuh.

“Astaghfirullah..!” lalu dia bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk.