Friday, 11 July 2014

Tiga Hati Dua Cinta (Bab 3) ~ Chrysalis

Tay Ken Lee mundar-mandir di pintu pagar sekolahnya. Sekejap-kejap dipanjangkan lehernya memerhati bas-bas sekolah yang berhenti mengambil penumpang di hadapan sekolahnya. Terdengar siulan-siulan kecil dari rakan-rakan sekolahnya setiap kali ada bas berhenti di hadapan mereka. Nak mengorat awek la tu, detik hati Tay Ken Lee. Tiba-tiba namanya disebut lantas menyebabkan dia menumpukan perhatian kepada dua orang rakan yang menaiki bas yang sama dengannya.
‘Ken, hang rasa tu budak sekolah mana?,’ tanya Imran, rakan Melayu tetapi memiliki wajah chinese look dengan kulit yang putih melepak.
Tay Ken Lee atau lebih senang dipanggil Ken itu hanya menjungkitkan bahu. Malas nak ambil tahu.
‘Oi Imran, hang tanya sama Ken buat apa? Baik hang tanya aku saja. Ken ni apa pun dia tarak tau lor,’ sampuk Alvin sambil tersengih. Imran hanya tergelak mendengar komen Alvin. Memang tidak dapat dinafikan Ken agak lambat dalam soal-soal macam ini. Almaklumlah, top scorer lah katakan.
‘Aku rasa mereka itu mesti budak TMGS atau Hua Lian. Melayu dengan India mesti budak TMGS, yang cina pula TMGS atau Hua Lian lor.,’sambung Alvin lagi.
‘Tak syokla macam tu. Kita budak Georgie, mesti mau dengan budak Convent..TMGS boleh pi dengan K.E maa,’ ujar Imran terikut-ikut lenggok dan gaya budak cina bercakap.
Ken hanya terdiam mendengar celoteh Imran dan Alvin. Tetapi hatinya turut tertanya-tanya, siapa pula yang memandai-mandai buat peraturan macam itu? Budak sekolah Georgie mesti dengan budak sekolah Convent? Tak masuk akal langsung! ‘Hurm, gadis hello tu mesti budak TMGS,’ getus Ken. Tiba-tiba dia teringatkan kejadian pagi tadi.
Walaupun dia sedang tidur, namun Ken dapat merasakan ada gerakan pada beg sekolahnya dan telinganya juga dapat menangkap bunyi ‘ Er..Hello..hello,’. Ken hanya membiarkan sahaja kerana dia benar-benar mengantuk kerana dia study sampai pukul 3 pagi untuk kuiz Kimia yang akan diadakan pada hari ini. Tiba-tiba gerakan di beg sekolahnya lebih kuat dan perkataan ‘Hello’ itu juga semakin tinggi nadanya. Ken yang terkejut lantas membuka matanya.
 Niat untuk memarahi orang yang menganggu tidurnya itu mati begitu saja saat terpandangkan mata yang berwarna coklat jernih itu. Pada waktu itu, ada satu perasaan aneh meresap ke dalam jiwanya dan Ken benar-benar berharap yang momen itu akan berkekalan tanpa ada sebarang gangguan. Sempat dia memerhatikan keindahan gadis dihadapannya itu. Raut wajah yang comel tetapi sedikit chubby, dengan alis mata yang lentik, hidung yang sederhana mancung dengan kulit yang putih kemerah-merahan. Ken tidak pasti berapa lama dia dan gadis melayu itu saling berpandangan. Namun, dia tersedar apabila merasakan bas sudah mula bergerak. Bingkas dia bangun sambil menjerit meminta pemandu bas memberhentikan bas kerana dia hendak turun. Ketika sedang kelam kabut turun dari bas juga, Ken masih sempat memandang ke arah gadis melayu itu. Entah kenapa, tetapi ada sesuatu yang membuatkan dia ingin terus memandang wajah tersebut. Apabila bas mula bergerak, dia tetap mendongak memandang gadis tersebut dan hatinya seolah-olah sedang membuat summersault apabila gadis tersebut turut merenung ke arahnya.
‘Woi..woi..Ken..Ken..hang ni dah hanyut pi mana pulak dah?,’ soal Imran sambil memetik jarinya berulang kali di muka Ken.
‘Hari ni, Ken agak sengal sikit. Asyik termenung lepas tu tersenyum seorang diri..sama ada dia demam atau dia ingat sama awek dia,’ ujar Alvin sambil tangannya memegang dahi Ken. Imran pula sudah ketawa berdekah-dekah.
Secepat kilat Ken menepis tangan Alvin dan hatinya berdebar-debar sebaik sahaja terpandangkan bas 707 yang sedang bergerak menuju ke arahnya. Kelam kabut Ken membetulkan bajunya dan merapikan rambutnya. Ken langsung tidak mempedulikan pandangan pelik yang dilemparkan oleh dua orang sahabatnya itu. Dia cuma mahu kelihatan presentable kerana Ken yakin yang gadis ‘Hello’ itu ada di dalam bas itu.
Apabila dia berada di dalam perut bas, serta merta matanya mencari gadis hello itu. Ken tersenyum apabila tekaannya tepat kerana dilihatnya gadis itu sedang rancak berbual dengan rakan disebelahnya. Jauh disudut hatinya, Ken merasakan yang gadis hello itu tidak lagi mengingati kejadian pada pagi tadi. ‘Ah, aku ni separuh nak mati teringatkan dia, langsung tak dapat menumpukan perhatian dalam kelas. Dia pulak santai saja bergelak ketawa,’ monolog Ken sambil mengambil tempat di hadapan gadis hello itu. Walaupun membelakangi gadis tersebut dan rakannya, Ken masih dapat mendengar butir-butir perbualan mereka.
Agak lama dia mendengar dengan setia setiap perbualan gadis dibelakangnya itu. Akhirnya, tanpa berfikir panjang, Ken terus sahaja berpusing menghadap gadis hello itu. Dilihatnya gadis tersebut sedang tunduk membaca sesuatu. ‘Ah, timing tak betul pulak,’ Dari ekor matanya, Ken dapat melihat Imran dan Alvin yang terpinga-pinga memandangnya dan rakan gadis hello itu pula terlopong memandangnya. Ken dapat melihat yang Alvin sudah pun bergerak menuju ke arahnya manakala Imran sudah ketawa terbahak-bahak. Ken sudah mula berura-ura untuk bangun dari situ, namun pada saat itu jugalah, gadis itu mengangkat wajah memandang ke arah Ken.
‘Hello’, itu sahaja yang mampu diungkapkan oleh Ken. Satu perkataan yang simple namun memberi impak yang besar kepadanya. Disebabkan perkataan itulah, Ken tidak senang duduk, tidak dapat menumpukan perhatian, asyik teringatkan gadis di hadapannya ini dan perkataan itu juga yang membuatkan hatinya berbunga dan terbuai dengan satu perasaan yang indah.
‘Tay Ken Lee! Oh, ini ye kerja kau..mengorat anak orang, patutlah kau lain macam betul hari ini. Tersengih seorang diri dan asyik mengelamun sahaja,’ sergah Alvin di dalam bahasa kantonis. Merah padam muka Ken mendengarkan kata-kata Alvin itu. Nasib baik gadis di hadapannya ini tidak faham, kalau tak kat mana dia nak sorokkan muka. Cepat-cepat Ken bangun dan menuju ke bahagian belakang bas namun sempat juga dia melirik ke arah name tag yang dipakai oleh gadis hello itu.
‘Ken dah jumpa Barbie..,’ ujar Alvin sambil tersengih.
‘Pastu buat drama Hindustan..Dil To Pagal Hai,’ sambung Imran sambil memberikan high five terhadap Alvin. Usikan oleh Alvin dan Imran tidak dipedulikan langsung oleh Ken. Hatinya berkeras untuk terus memandang gadis hello itu tetapi apabila menyedari yang rakan gadis itu memerhatikannya, dimatikan langsung hasratnya itu.
Dari ekor matanya, Ken perasan yang Dhiya sudah pun menepuk dahinya dan di saat itu, Ken yakin yang Dhiya sudah pun mengingati kejadian pagi tadi.
‘Dhiya Kamila, you had me at hello,’ bisik Ken perlahan sambil tersenyum.

‘Saya pelik la dengan apek cina tu,’ Dhiya yang sedang leka membuang pandang ke luar tingkap menoleh ke arah Malarvili.
‘Hmm?,’ ujar Dhiya sambil menangkat kening kerana dia tidak dapat menangkap butir pertanyaan Malarvili itu.
‘Tu..apek cina tu..dia asyik pandang awak aje la,’ Malarvili menjuihkan bibirnya ke arah seorang budak lelaki yang sedang duduk di kerusi kayu berdekatan dengan pemandu bas.
Dhiya melemparkan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Malarvili. Elok saja pandangannya bersatu dengan budak lelaki tersebut, cepat-cepat budak itu melarikan pandangannya.
‘Perasaan awak sajalah..mana ada apek tu pandang kita pun,’ Muka Dhiya sudah mula blushing tatkala menyedari yang apek itu sebenarnya adalah Tay Ken Lee.
‘Dia tak pandang kita tapi dia pandang awak’
‘Mana adalah..awak sahaja yang terlebih perasaan,’ ujar Dhiya menutup malu.
‘Mesti ada something yang jadi kan..awak mesti kenal dia kan?..kalau tak kenapa muka awak merah-merah ni?,’ serkap Malarvili.
Setelah digesa berkali-kali oleh Malarvili, akhirnya Dhiya menceritakan kejadian yang berlaku pada dua minggu lepas. Habis kesemuanya diceritakan kecuali tentang perasaannya yang berdebar-debar setiap kali terpandangkan Tay Ken Lee.
‘Baru sekarang awak cerita pada saya?! Awak ni memang teruk tau Dhiya!,’ lantas dicubitnya lengan Dhiya.
‘Aduh, hish…apa ni cubit-cubit? Sakitlah..,’
‘Lain kali terus cerita, jangan tunggu-tunggu..kalau tidak siap!’ Warning Malarvili sambil  berpura-pura mencubit Dhiya.
‘Eh, habis tu apa lagi yang jadi?’ sambung Malarvili kemudiannya.
‘Habis tu, three lah,’ sakat Dhiya namun dia cepat-cepat menyambung apabila tangan ketam Malarvili mula menjalar di lengannya. ‘Itu aje la, takde apa-apa dah..cuma saya perasan yang dia asyik pandang je lah,’
‘Oh, perasan pun..tadi tu pura-pura ajelah yer..memang perempuan melayu terakhir betul,’ usik Malarvili sambil tersengih.
‘Habis tu, takkan saya nak tergedik-gedik dengan dia pulak..tolonglah,’ jegil Dhiya.
‘Haha..tapi kan, awak rasa kenapa apek tu asyik pandang awak je ye?,’
‘Hurm..entah-entah dia marahkan saya kot? Mana tahu dia terkejut beruk ke masa saya kejutkan dia hari tu..mungkin dia tak suka kot..,’ ujar Dhiya risau. Risau sekiranya andaiannya itu betul. Mana nak diletakkan hati dan perasaannya yang rancak menari irama twist itu.
‘Saya rasa apek tu dah sukakan awak,’ Malarvili memerhatikan riak wajah Dhiya yang sudah bertukar kemerah-merahan itu. Sambil tersenyum dia menyambung, ‘Nak tahu kenapa saya cakap macam tu? Sebabnya dia pun blushing bila awak pandang muka dia, lepas tu dia cepat-cepat melarikan pandangan dia,’ ujar Malarvili sambil bangun mengangkat beg.
‘Oklah Dhiya, dah sampai rumah saya dah tu..jumpa esok ye..bye bye,’

Dhiya langsung tidak mempedulikan lambaian Malarvili itu. Walaupun, matanya memandang kelibat Malarvili namun perasaannya hanyut dan telinganya terngiang-ngiang ‘Sebabnya dia pun blushing bila awak pandang muka dia, lepas tu dia cepat-cepat melarikan pandangan dia’ Entah kenapa, Dhiya tiba-tiba menjadi girang dan bahagia sekali.

Wednesday, 9 July 2014

Jodoh Depan Mata - Bab 2: Nur Safiyyah

Awal-awal pagi lagi riuh suasana aras blok aku. Rasanya semua orang sangat teruja nak memulakan sesi pembelajaran. Biasalah kalau awal-awal macam ni. Nanti dah lama-lama mesti tak seriuh hari ini. Terpaksalah aku beratur lama untuk menunggu giliran mandi. Selepas bersarapan air milo dan biskut kering, kami bertiga bergerak ke kelas masing-masing. Rasa malu pun ada sebab semuanya orang baru yang tak dikenali. Ada beberapa rakan kelas yang sudah pun berada di kelas. Sempatlah kami berkenalan.
Seperti biasa, di awal sesi kami diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Terasa macam zaman sekolah rendah pula. Tapi bagus juga sesi kenal diri, senang sikit nak tahu nama. Kalau tak, ada yang berhoi-hoi pulak. Tapi dalam banyak-banyak orang dalam kelas, aku macam kenal seorang.
“Assalamualaikum, nama saya Mohamad Fadzli bin Arif. Boleh panggil Fadzli. Asal Selangor,” dia memperkenalkan diri. Aku menoleh sedikit. Sah memang aku kenal dia. Kawan sekolah. Sebelum ni tak pula dia bagitahu aku yang dia dapat kat sini. Ceh! Memang aku tak perasankan dia sebab dia masuk dari belakang dan aku pula duduk di barisan hadapan.
Kiranya aku dengan Fadzli adalah sepatrikum iaitu kawan sekelas dan sekuliah aku sepanjang di matrikulasi. Kami memang kenal sesama sendiri sebab duduk sekampung. Dari sejak dari tadika hingga ke sekolah menengah kami bersekolah di tempat yang sama. Masa kecil-kecil dulu, selalulah jugak aku main dengan dia. Main galah panjang, tangkap belalang, pergi sekolah pun sama-sama sebab rumah dia taklah jauh sangat dari rumah aku. Tapi bila masuk sekolah menengah semuanya berubah. Masing-masing buat hal sendiri. Jumpa pun macam tak kenal. Mungkin bila besar rasa malu tu dah ada.
 “Syira, kau nampak tinggilah sekarang, masa sekolah rendah je..hehe,” kata Fadzli berseloroh. Tiba-tiba je Fadzli bergurau dengan aku. Memang sumpah aku rasa kekok. Aku hanya memandang sinis manakala Haris, kawan sekelasku juga cuma tersenyum sumbing. Aku yang mengemas buku kecil dan pensel langsung tidak memandangnya walaupun mejanya tidak jauh dari mejaku.
“Kau orang memang kenal lah ni kan?,” soal Haris yang berloghat Kedah.
“Haah. Siapa tak kenal best student sekolah aku ni,” jawab Fadzli. Mamat ni perli aku ke apa. Aku buat-buat tak dengar.
“Sombong kau ye,” Fadzli menambah. Benganglah tu bila aku mematikan diri tak menjawab pertanyaan dia.
“Mana ada. Kau tu yang sombong. Tak cakap pun dapat matrik sini,” sengaja aku menjawab semula.
“Takkan nak bagitahu satu kampung kot,” jawab Fadzli. Dia menaikkan keningnya macam Ziana Zain. Aku mencebik.
      Hari ini kelas tak mula lagi. Cuma sesi berkenalan sesama pelajar dan bersama pensyarah. Kuliah pun hanya pengenalan tajuk-tajuk utama setiap subjek. Awal-awal ni, masih ada beberapa borang yang perlu diisi dan dilengkapkan. Esok mungkin sesi pembelajaran akan bermula. Untuk aktiviti hari ini hanya bertukar-tukar maklumat diri sesama sendiri seperti nama, nama samaran, nombor telefon dan e-mel. Mudah untuk berhubung nanti. Lagipun, kami masih belum dapat mengingati nama satu dengan yang lain. Kalau ingat pun, tertukar nama dengan orang lain. Biasalah, baru hari pertama.
      Sewaktu aku bergerak ke kafeselepas tamat sesi pembelajaran, telefon bimbit aku bergetar. Ada mesej.
+Nampaknya kita sekelas.
-So?
+So, kau kenalah tolong aku selalu. Maklumlah, aku taklah pandai macam kau.
-Tengoklah macam mana. Ikut mood aku.
+Haha. Bajet gila la minah ni. Kau kat sekolah menengah bolehlah menyombong dengan aku. kat sini jangan harap ok?
-Sejak bila pula aku sombong.
+Sejak kau masuk sekolah menengah.
-Mana ada.
+Ada.
      Hari pertama lagi si Fadzli dah tunjukkan taringnya. Mati aku kalau macam ni.


Belajar di matrikulasi sememangnya sangat seronok walaupun jadualnya agak padat. Ternyata, tidak sia-sia aku menolak tawaran menyambung pelajaran ke UiTM dalam jurusan Chemical Engineering dan tawaran Maktab Perguruan semata-mata untuk mengikuti program matrikulasi. Di sini, kami akan melalui dua semester iaitu selama setahun. Antara subjek yang kami pelajari ialah Matematik, Biologi, Kimia, Bahasa Inggeris, Agama Islam dan Dinamika. Walaupun pembelajaran agak laju berbanding ketika di sekolah menengah, aku begitu menyukai cara dan suasana pembelajarannya.
Aku menyiapkan tutorial yang diberi oleh pensyarah. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Fadzli menelefon.
“Assalamualaikum, boleh saya mengurat cik Syira,” Fadzli mempermainkan aku. mentang-mentanglah satu matrik, bukan main syok dia nak membuli aku dekat sini.
“Kau nak apa sebenarnya Fadzli? Aku sibuk ni,” aku berbohong dan menaikkan sedikit suara.
“Janganlah marah. Aku nak tanya pasal tutorial semalam soalan nombor 5, macam mana nak buat?,” tanya Fadzli. Aku membuka buku tutorial yang berada di atas meja tulis, soalan nombor lima aku cari tapi malangnya masih kosong tidak berjawab.
“Aku tak buat lagi la Fadzli, nanti malam kot aku siapkan,” kata aku berbasi-basi. Aku sendiri pun belum siap, macam mana nak tolong dia.
“Okey, kalau macam tu, malam nanti aku telefon kau balik eh. Kau buat tau, jangan tak buat pulak,” Fadzli mengingatkan aku.
“Yelah, nanti aku tanya roomate aku macam mana nak buat. Emmm..Assalamualaikum,” aku menamatkan talian tanpa sempat dia menjawab salamku. Aku mencuba untuk menyiapkan soalan yang masih belum berjawab. Namun, hampa. Aku tidak dapat menyelesaikannya.
“Farahin,dapat tak jawapan tutorial Matematik soalan nombor 5?,” soalku menghampiri meja tulisnya.
“Dapat,” dia menjawab pendek. Kebetulan dia baru menyiapkannya.
“Tunjukkan boleh tak?,” pintaku.
“Boleh..sini,” dia memanggilku yang duduk di birai katil bercadar kuning miliknya. Sungguh, Farahin tidak kedekut ilmu. Walaupun dia mengambil Sains Fizik dan aku mengambil Sains Hayat tapi kebanyakkan subjek adalah sama. Tu yang senang nak meniru tu. Hehe.
      Aku menghantar pesanan kepada Fadzli untuk memberikan jawapan yang diminta sebentar tadi. Malas aku nak menelefonnya. Mesti ada sahaja perkara yang nak disakatnya. Tapi sempat juga dia membalas mesej aku.
+Terima kasih sebab tolong abang..hehe
 Eee..tolonglah. Muntah darah aku baca. Aku membuat sedikit ulangkaji memandangkan soalan yang mudah pun aku masih tidak dapat jawab. Sampai lewat petang baru aku berhenti. Itupun selepas Farahin menyuruh aku mandi kerana waktu maghrib hampir masuk waktunya.


Pagi ini hujan turun dengan sangat lebat. Terasa sejuk hingga ke tulang namun aku berusaha untuk bangun dari katil dan bersiap untuk solat subuh serta bersarapan. Seperti biasa, aku akan ke kelas dengan berpakaian baju kurung, tudung bawal yang dipin di bahu dan kasut bertutup. Ringkas dan mudah. Pagi-pagi buta lagi telefon bimbit aku dah berbunyi. Fadzli lagi.
“Ha, nak apa?,” kasar aku menjawab panggilan.
“Amboi kasaq nampak. Assalamualaikum,” dia ketawa. Tak tahu apa yang kelakar sangat.
“Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatu,” ambil kau. Panjang aku jawab.
“Nak minta tolong sikit boleh tak?,” bukan main sopan kalau nak minta tolong. Lemah lembut je suara dia.
“Nak minta tolong apa?,” nada aku masih sama. Kasar. Budak ni bukan boleh bagi muka. Mengada-ngada karang.
“Tolong belikan abang roti. Abang tak sempat nak sarapan,” lemah-gemalai betul ayat dia.
“Apa kejadahnya berabang-abang ni? Kau ingat aku ni bini kau,” telan kau Fadzli. Maaf, aku bukan orang gaji kau.
“Oh, bukan ye. Ah, berkira sangat. Tolong lah wei,” boleh pula cakap macam biasa. Sedap sikit telinga aku dengar.
“Aku malaslah,” tak kuasa aku nak belikan dia makanan. Nanti ada je yang tak kena. Tak ikut selera dia lah, tak sedap lah.
“Yelah, macam ni lah kawan,” dia buat-buat merajuk. Aku tak percaya langsung. Tidak siapa nak melayan drama dia pagi-pagi ni.
“Macam ni lah. Macam mana lagi. Dah lah, aku blah dulu ye,” sengaja aku kasar-kasarkan bahasa aku.
“Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!,” Fadzli menjerit kuat. Sakit telinga aku. Dia mematikan talian.
      Sepanjang di kelas, Fadzli merenung aku tajam. Tak puas hatilah tu. Ada aku kisah.
      “Syira, jom makan. Akak dah lapar ni,” ajak kak Sarah setelah kelas Biologi tamat sebentar tadi. Kak Sarah merupakan kawan baik aku di kelas dan dialah yang selalu meleyan kerenah aku. Rapatnya kita orang sampai duduk bersebelahan dekat kelas atau dewan kuliah. Kak Sarah ni kecik je orangnya. Kecil-kecil cili padi. Sangat prihatin dan baik.
“Jom. Hari ni kita makan kat kafe B ye kak Sarah,” pintaku sambil mengemas buku di atas meja.
“Okey, jom kita gerak,” kata kak Sarah sambil tersenyum. Aku hanya menganggukkan kepala dan membalas senyumannya.
      Ramai pula orang membeli makanan waktu ini. Selalunya lengang je. Nampaknya, terpaksalah aku beratur panjang. Tiba-tiba aku terasa baju aku disimbahi air. Aku menoleh ke belakang. Argh, habis baju aku terkena air sirap.
“Sorry, saya tak sengaja...haha. Hoi, orang miskin. Nampaknya kita satu matriklah. Lebih baik kau jangan muncul depan aku. Kalau tak, hari-hari kau mandi air sirap,” angkuh suara perempuan berambut ikal di depan aku. Perempuan yang aku benci. Bukan setakat dia, satu keluarga dia aku benci. Sampai mati pun aku tetap benci.
“Kau ingat aku takut ke?,” aku menengking tepat ke mukanya. Semua mata memandang kami. Aku segera pergi dan dengan sengaja aku langgar bahunya. Hilang selera aku nak makan. Kak sarah mengejarku.
“Kurang ajar kau Syira. Tunggulah nasib kau,” aku masih dengar ugutan perempuan gila itu. Malas aku nak melayannya. Kenapalah kau ada dekat sini.
“Syira, tunggu akak,” aku tidak memperdulikan panggilan kak Sarah. Aku betul-betul marah dengan tindakan perempuan gila tu.
“Siapa dia?,” kak Sarah bersuara termengah-mengah.
“Tasha, Natasha Ameera,” aku menjawab penuh kebencian. Kakiku laju melangkah. Selaju jantung aku berdenyut.
“Apa hubungan dia dengan Syira,” kak Sarah bertanya lagi. Aku pasti yang dia benar-benar tidak mengerti apa yang berlaku sebentar tadi.
“Sepupu Syira,” air mata mula bergenang. Tunggu masa untuk jatuh. Rasa malu apabila diperlakukan sedemikian di depan khalayak ramai. Namun, aku tahan. Aku tidak akan sesekali menjatuhkan air mata kerana perempuan tak sedar diri itu.
“Kenapa dia buat macam tu?,” kak Sarah masih mengikutiku sampai ke bilik. Dia terpaksa mengejar aku yang berjalan laju.
“Kak sarah kenapa tak pergi bilik kak Sarah? Ni dah sampai bilik Syira,” aku menyoalnya.
“Akak nak tahu kenapa dia buat Syira macam tu,” bersungguh-sungguh betul Kak Sarah. Aku mempelawanya masuk dan meminta diri menukar baju terlebih dahulu. Baju yang terkena air sirap tadi aku rendam seketika. Aku masuk semula ke bilik.
“Natasha Ameera tu sepupu Syira. Dia memang benci Syira sejak dari dulu lagi,” aku memulakan bicara. Aku tahu, kak Sarah tak sabar untuk mengetahui hal sebenar. Aku capai tin biskut dan air isotonik di atas meja. Aku hidangkan kepada kak Sarah.
“Tapi kenapa?,” kak Sarah menyoal. Air isotonik tadi diminumnya sikit.
“Sebab Syira miskin kak. Dia dan keluarganya memang tak suka orang yang miskin. Memang dari kecil kami dengar makian dan cacian dari keluarga dia. Keadaan makin teruk bila keluarga dia nakkan tanah yang nenek bagi ayah. Padahal dia dapat tanah lagi besar dari ayah,” aku mengunyah biskut yang ada untuk melapik perut sementara menunggu petang. Maklumlah, tadi tak sempat membeli makanan. Kalau tak kerana perempuan tu, mesti aku dah kenyang sekarang ni.
“Sampai macam tu sekali? Tapi kau orang kan satu keluarga,” kak Sarah bertanya lagi. Mukanya berkerut. Nampak macam drama kan? Tapi itulah realitinya yang terpaksa aku sekeluarga hadap.
“Keluarga atas nama je kak. Tak tahu apa yang dia nak buat lagi lepas ni,” aku mengeluh kecil.
“Tak apa Syira, kalau dia buat apa-apa kat Syira, siaplah dia. Akak pandai bersilat,” seloroh kak Sarah. Kak Sarah dah lah kecil, sekali kena tolak terus terpelanting. Selepas menghabiskan biskut yang berbaki, kak Sarah meminta diri. Katanya mahu membeli makanan. Kesian dia. Disebabkan aku, dia pun tak dapat beli makanan.
Terasa seperti mahu menelefon mak. Mahu mengadu perihal Tasha kerana mak lebih memahami. Mungkin kemarahan aku akan reda selepas berborak dengan mak.
“Assalamualaikum, mak. Sihat?,” aku memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam, Syira. Mak sihat je kat sini. Kamu?,” suara mak lembut menjawab. Menenangkan.
“Alhamdulillah, sihat juga. Rindulah kat mak?,” sengaja aku bermanja-manja dengan mak. Memang aku anak manja mak pun. Sampai kak long pun cemburu dengan aku. Tapi sebenarnya, mak tak pernah melebihkan mana-mana anaknya. Semua sama rata.
“Mak pun rindu kamu juga. Ha, ni kenapa tiba-tiba telefon mak?,” mak seperti dapat meneka sesuatu.
“Emm..mak Tasha ada kat sinilah mak,” aku berterus-terang.
“La, ye ke? Tak tahu pula mak yang dia pun belajar sama dengan kamu. Macam mana kamu tahu dia pun kat sana?,” suara mak sedikit risau.
“Tadi waktu Syira nak beli makanan kat kafe kita orang terserempak. Dia simbah Syira dengan air sirap. Habis baju Syira mak. Semua orang pandang Syira. Malu betul tadi mak. Rasa macam nak cekik-cekik je dia,” bersungguh-sungguh aku bercerita. Kalau mak ada depan mata aku mesti mak tergelak melihat aksi aku seakan-akan mencekik seseorang dengan menggunakan bantal.
“Astagfirullah al-azim. Tak habis-habis si Tasha tu berdendam dengan kita. Habis tu kamu buat apa?,” soal mak. Nadanyakesal dengan perangai Tasha yang tak sudah-sudah menyakitkan hati aku.
“Apa lagi, Syira tengking dia balik. Tak bestlah mak bila sama tempat belajar dengan Tasha. Dia tu sanggup buat apa saja mak,” rungut aku. Bantal tadi aku campak ke dinding. Dinding pun aku nampak macam muka si Tasha.
“Sabarlah Syira. Jangan layan sangat dia. Yang penting kamu belajar betul-betul. Buktikan kat dia yang kamu pun boleh berjaya,” sungguh-sungguh mak bercakap.
“Terima kasih mak. Emm..mak, ada ke mak ngah datang serang mak lagi. Tasha dengan mak dia kan sama je. Manalah tahu dia bagitahu mak dia pasal Syira satu tempat dengan dia. Karang ada je cerita buruk pasal Syira yang Tasha bagitahu mak dia,” aku membebel panjang. Mak dengan anak sama je perangai.
“Tak ada pula mak ngah kamu datang. Ingat Syira, jangan cari pasal dengan Tasha. Mereka orang berada, mereka boleh buat apa sahaja mereka suka,” mak mengingatkan. Aku tahu mak risau kalau-kalau Tasha buat sesuatu kepada aku. Bagi dia orang duit boleh beli segala-galanya.

“Baiklah mak. Mak jaga diri tau. Nanti kirim salam semua. Nanti bila-bila Syira telefon mak lagi,” talian dimatikan. Rasa sedikit lega apabila dapat meluahkan kepada mak. Tak sama macam meluahkan kepada kawan yang kita rapat.

Tuesday, 8 July 2014

Yang Arif Yang Wangi (Bab 2): Fizziany

SELESAI SAJA check-in di Berjaya Hotel yang terletak betul-betul di persisiran pantai yang menghijau lautnya, Arif segera masuk ke kamar mandi. Arif merenung wajahnya di cermin besar di dalam kamar mandi itu. Wajahnya benar-benar keletihan. Kali ini, pelembab Clinique Hydrant yang diwar-warkan mampu mengembalikan kesegaran wajah bila-bila masa juga gagal berfungsi nampaknya.
Mesyuarat tadi berakhir awal. Sejujurnya, dia malas hendak bebicara panjang di dalam mesyuarat tadi. Tidak sempat hendak mandi, dengan hanya menukar baju, dia terus sahaja menghadiri mesyuarat di Ballroom Hotel. Kurang dari 3 jam, mesyuarat tamat. Tanpa berlengah, dia terus sahaja ke bilik hotel yang telah ditempah 3 hari lalu.
Arif membuka pancuran air ke dalam tab mandi yang panjangnya cukup untuk 2 orang berenang. Tuala ditanggalkan. Hangat pancuran air membuatkan dia mahu segera berendam lama-lama. Saat itu, barulah dia terasa badannya benar-benar letih. Tapi tak apa! Kerana, selepas ini, aku tak payah kerja selama sebulan!!! Hehehe….Arif yang sudah berendam di dalam tab memejamkan matanya menikmati suam-suam air yang membasahi badannya. Cutinya telah bermula sekarang! Arif senyum panjang.



ARIF mengayuh perlahan-lahan basikal yang disewanya tadi. Seluruh kawasan kampung dijelajahnya. Menunggang basikal di kampung itu memanglah menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila mata dijamu dengan keindahan kampung yang menghijau dengan pohon-pohon kelapa dan pohon ru yang tegak meninggi. Tapi, kalau mengayuh basikal di kawasan berpasir, aduhai…seksanya nak menyeret basikal merentas pasir halus yang putih mulus.
Arif memberhentikan basikalnya di depan sebuah gerai yang menjual air kelapa muda. Seorang lelaki pertengahan umur tersenyum memandang kerahnya.
“Air kelapa nak..” laung pak cik itu. Arif tersenyum.
“Bagi satu pak cik,” arah Arif. Dengan pantas, kelapa muda ditarah dan ditekek. Selesai saja, straw di cucuk ke dalam isi kelapa yang putih bersih lalu dihulur kepada Arif. Rakus Arif menyedut air kelapa asli.
“Sedap!!” laung Arif tersenyum. Pak cik penjual kelapa tersengih menampakkan barisan giginya yang tidak tersusun.
“Anak ni dari mana?” soal pak cik itu ramah. Barangkali, itu soalan yang sudah terbiasa diajukan kepada mana-mana pembelinya.
“KL. Berapa harga ni?” soal Arif  sambil mengunjukkan kelapanya.
“RM3.00.”
Lantas Arif mengeluarkan wang dari kocek seluar bermudanya. Wang bertukar tangan.
“Terima kasih…kalau senang, jagan lupa datang restoran pak cik malam nanti. Ada barbeku seafood malam ni,” pelawa pak cik itu. Arif ternganga, kemudian angguk.
“Kat mana?” soal Arif. Boleh juga makan di luar. Asyik makan makanan hotel, dia pun sudah naik muak.
“Restoran Rumbia sebelah tempat snorkling,” kata pak cik itu. Arif angguk lagi, tanda dia mengetahui lokasi tersebut.
“Boleh juga. Hmm..terima kasih pak cik..saya Arif. Jumpa malam ni,” basikalnya sudah ditunggang. Dia sudah mahu beredar.
“Pak Mat,” laung pak cik itu sebelum Arif mula mengayuh basikalnya. Arif angguk tersenyum dan terus meninggalkan Pak Mat dengan lambaian tangan. Ramah kan orang Malaysia? Arif tersenyum sendirian lalu terus meneruskan kayuhannya menuju hotel.



Monday, 7 July 2014

Puzzle (Bab 1): N Husna

“Nak ke mana tu? Dah malam ni…”
Suara Mak Jah menghentikan langkah kakinya yang sudah terpacak di hadapan  muka pintu kayu sebesar gol bola sepak di Stadium Negara. Ain toleh. Dia tarik senyum serba salah.
            “Keluar kejap.”
Sebelum sempat Mak Jah bersuara, selipar oren Adidas dia sarung di kaki. Kedengaran derap kakinya berlari ke luar pagar besi. Langit sudah lama gelap. Sekadar biasan daripada cahaya lampu jalan dan juga bulan yang dilitupi awan mendung. Rumah – rumah di lorong itu masih terang dengan cahaya – cahaya neon. MP3 yang berlagu dengan Run This Town by Jay – Z feat Kenya West dan Rihanna dia kuatkan volume nya.
            Belum sempat nafasnya termengah – mengah, sudah tersergam bangunan yang dia tuju dihadapan mata. Kelihatan anak – anak muda seusia dirinya berkeliaran di hadapan deretan bangunan dua tingkat itu. Ada yang sibuk berbual  antara satu sama lain. Tak kalah juga dengan mereka yang asyik dengan aksi – aksi liar yang sukar untuk diperjelaskan.
            Kakinya dilangkahkan menuju ke kedai di hujung deretan bercat biru itu. Semua mata yang memandang dia biarkan begitu sahaja. Pintu kaca dia tolak perlahan. Ada satu dua meja yang sudah penuh berpenghuni. Masih ada satu lagi kerusi di penjuru kedai kecil itu yang kosong. Yang pasti, port kegemarannya itu masih belum pernah terusik setiap kali dia datang.
            “Hey! Lambat ini malam?”
Suara Elbert menghentikan langkah kakinya. Lambat? Dia kerut kening. Jam di dinding kedai dia pandang sekilas. 9 malam. Agak lewat untuk dia yang selalu ada di situ seawal 7 malam.
            “Biasalah, bos… Rumah jauh!” Dia jawab sambil terus menuju ke kerusi di penjuru kedai. Pengunjung yang lain asyik dengan dunia masing – masing. Jauhlah sangat, wei… Rumah hujung mata pulak!
            “Mau berapa lama ini malam? Partner?” Suara Elbert berlagu lagi. Dia toleh. “Nope! You ni, bos. Ini bukan first time maaa…”
Dia balas sambil mengawang – awangkan tangan, mengisyaratkan si pemilik kedai pergi jauh daripada kawasan itu. Ada sebotol air berwarna hijau diletakkan kemas di atas meja kegemarannya. Dia senyum. Satisfied! Service baik punya!
            Langkah Elbert dia pandang dengan senyum berbunga. Untuk jadi regular customer kedai macam ni. Tunjuk muka dua – tiga kali, tentu – tentu yang keempat akan dapat layanan istimewa.
            Matanya menerawang ke seganap penjuru. Meneliti mana – mana yang mampu memuaskan hatinya malam ini. Dapat selak satu – dua helai malam ni, memang tidur lena…. Dia tarik senyum. Sebelum tangannya ligat mencapai sesuatu daripada rak separas pinggangnya itu.



RUANG tamu rumah nampaknya sudah gelap. Pagar kecil di penjuru kanan tembok putih rumah dia tolak dengan tangan kanannya sebelum tangan kiri mencapai mangga putih yang tadi tersangkut di penyangkuk pagar. Perlahan – lahan, dia menapak ke pintu rumah. Tangan kanan yang sudah sedia di poket bermuda mencari anak kunci pintu rumah.
            “Daripada mana?”
Huh! Terbeliak matanya. Terkejut mendengarkan suara yang tiba – tiba muncul. Perlahan, dia toleh 90° ke belakang badan. Lelaki separuh abad yang cukup dia kenal sedang tegak berdiri dengan tangan bercekak pinggang.
            ‘Aiseyman… Timing error!’ Dia berbisik dalam hati. Tadi macam dah line clear!
            “Ehem!” Dia berdehem pendek. Sebelum tarik senyum kelat, menyembunyikan getar yang muncul. “Keluar kejap… Pak Man baru balik?” Dia tanya serba salah. Ini bukan masa untuk berbual mesra lah, wei!
            “A’ah…” Suara Pak Man kedengaran perlahan. Tapi cukup kuat membuktikan lelaki itu cuba menahan ayat seterusnya daripada keluar. Pintu yang sudah ternganga sedikit luas, dia tolak lagi. Tangannya terdepa, mempersilakan Pak Man masuk.
            “Jangan balik lewat macam ni lagi. Tak elok…”
Pesan Pak Man dia balas dengan angguk. Telapak tangannya dia gosokkan di atas peha berlapik bermuda coklat yang kelihatan lusuh.
            “Sudah… masuk”
Tegas. Perlahan. Dia mengundur. Membawa diri ke bilik di tingkat atas. Selamat…
 


            “Mak Jah!” Suaranya memenuhi ruang dapur. Mak Jah yang sedang asyik membasuh pinggan sekadar menoleh sekilas. “Baru bangun, Ain?” Wanita separuh abad itu bertanya. Ain angguk kepala. Kepalanya digerakkan ke kiri dan ke kanan. Menghasilkan bunyi berdetap, buat Mak Jah toleh dengan kening berkerut.
            “Jangan buat macam tu, boleh?” Wanita dalam lingkungan separuh abad itu memandangnya tajam. Tak serupa anak dara sungguh!
Pertanyaan Mak Jah dia balas dengan sengih. “Ehe… Lambat sikit nak bolehlah, Mak Jah…”
Tangannya sudah menuang jus oren ke dalam gelas panjang yang dihulurkan Mak Jah tadi. Dia teguk pantas. Menghilangkan dahaga.
            “Ain ke mana malam tadi?”
Dia buat muncung penguin. Aura tak nak jawab soalan. “Keluar?” Dia jawab dengan tanda soal. Mak Jah buat muka. “Mak Jah tahu Ain keluar. Tapi ke mana?”
            “Someway?” Dia balas dengan tanda soal kedua. Perlahan, kedengaran keluhan Mak Jah. Tangan yang tadi laju mengupas bawang sudah berhenti meneruskan kerja. Pisau kecil sudah terletak kemas di atas meja. Ain pura – pura tidak faham. Dia teguk lagi gelas yang sudah hampir kosong.
            “Tak elok anak gadis keluar malam – malam, Ain…”
Suara Mak Jah menegur kedengaran perlahan tapi tegas. Ain telan air liur. Dia angguk kepala perlahan.
            “Ain keluar bukan buat benda tak baik, Mak Jah… Duduk dalam Junky Street tu je…”
            “Buat apa dalam tu malam – malam? Balik sekolah pun Ain pergi situ kan?” Mak Jah tanya penuh sabar. Muncung penguin muncul lagi. Ain angguk menjawab. “Dah tu? Malam – malam pun nak ke situ lagi?”
            Dia angguk pantas. Sambil tarik senyum menahan gelak. Mak Jah geleng kepala. “Pandai menjawab!” Satu cubitan kecil jatuh di tangannya.
            “Kalau mummy tahu, macam mana?” Soalan Mak Jah dia jawab dengan geleng.
            “Mak Jah cakap dengan mummy?”
Dia tanya pantas. Sengaja, cuba mencungkil andai pembantu rumah yang dia sudah anggap bagaikan ibu itu pernah berkongsi cerita dengan ibu kandungnya.
            “Mak Jah tak sempat nak cerita lagi…”
Mak Jah cakap sambil tarik senyum. Kalau sempat, memang miracle sangatlah tu!
            “Mak Jah jangan risau… Ain duduk diam – diam dalam Junky Street tu. Tak buat apa – apa…”
            “Mak Jah tahu, Mak Jah ni bukan ibu kandung Ain… Tapi…”
            “Ain tahu Mak Jah sayang Ain…” Dia sambung sendiri. Dia tahu akan niat baik wanita di hadapannya itu. Dan dia tahu wanita itu lebih risau tentang dirinya berbanding ibunya sendiri. Namun, dia lebih tahu apa yang dia lakukan.
            “Ain tak akan susahkan Mak Jah…”
Dia tunjuk pinky swear depan mata Mak Jah. Pipi Mak Jah dia cium sebelum kaki melangkah ke ruang tamu. Mak Jah geleng kepala. Dia jadi tidak tahu untuk berkata apa lagi.


             “Kau pergi mana malam tadi?”
Suara Dayn menyapa telinga. Punggung belum sempat lagi berlabuh atas tembok hitam itu, soalan yang dia dengar sejak daripada rumah tadi sudah mula kedengaran kembali.
            “Apahal?”
Dia balas dengan soalan. Tali sneakers yang sudah terurai sejak daripada tadi dia ikat ketat. Syed dan Aim yang sedang berlari mengejar bola dia pandang dengan kening berkerut.
            “Kau tak datang sini. Saja tanya…”
Jawapan Dayn dia balas dengan angguk. “Aku lepak Junky… Malas nak turun sini. Dell dengan Missy mana?”
Ketiadaan dua rakannya yang selalu muncul awal itu buat dia ajukan soalan tiba – tiba. Jam dah lama terlajak ke 6 petang. Mustahil sangat budak berdua tu tak ada lagi.
            “Missy ada hal. Dell tadi ada. Blah mana entah dengan Abi. Cakap sekejap, dah lebih daripada sekejap pun tak muncul lagi ni.”
            Dia angguk faham. Botol mineral dia ajukan pada Dayn yang sudah berpeluh satu badan. Radio buruk yang selalu berlagu sudah senyap tanpa suara. “Banyak step kau buat hari ni?” Dia tanya ingin tahu. Dalam ramai – ramai, dia yang paling malas turun training. Untungnya, dia selalu cekap untuk hafal setiap step yang dia baharu pertama kali cuba.
            “Tak jugak… Masing – masing macam malas nak training hari ni. Aku pun join malaslah…”
            “Bukan ada battle ke next week?” Dia tanya sambil mana menerawang ke seluruh pelusuk Teen Park yang sesak dengan remaja – remaja pelbagai aksi. Angguk Dayn di sebelah menjawab pertanyaannya.
            “Ambikkan beg aku tu…” Tangan bersarung dengan arm guard merah itu menunjukkan tepat pada beg hitam di sisinya. Dia tarik beg hitam itu sebelum dihulurkan pada pemiliknya.
            “Nah!” Mata yang tadi asyik memerhati Aim dan Syed statik dengan air freeze beralih arah pada tangan yang tiba – tiba muncul di hadapan mata. Ada Toblerone yang menyapa mata. Dia angka kening bertanya.
            “Bagi kat kau. Aku singgah 7E on the way tadi. Suddenly the toblerone remind me to you?” Ayat yang berakhir dengan tanda soal itu buat dia tarik sengih. Dayn turut sama tarik sengih.
            “That toblerone ada muka aku ke?”
            Dayn geleng dengar ayat keluar daripada mulutnya. “Sikitlah… Kinda kau macam model kat billboard tu. Senyum kat aku atas pembalut toblerone tu?”
            “Aha… Memanglah sangat…”

Dia sengih pada Dayn. Gaya macam apa entah nak nampak muka dia muncul atas paket toblerone macam dia model billboard. Merepek!

Thursday, 3 July 2014

Yang Arif Yang Wangi (Bab 1): Fizziany

KELAM MALAM tanpa bulan pekat menghiasi dada langit. Hujan lebat yang menggila terus mencurah-curah dari langit bagai tiada penghujungnya. Jalan sunyi yang gelap ditemani hutan simpan hampir malar warnanya senada dengan warna malam yang gelita. Lampu neon yang tegak samar-samar di dalam rembesan hujan memberi sedikit sinar buat pengguna lebuhraya yang panjang dan sepi itu.
Sesekali suhu penghawa dingin kereta dibetulkan bagi mengimbangi suhu yang kian dingin. Sejuknya terasa hingga ketulang kering. Tambah pula dengan bayang lelayang yang melintasi cermin kereta turut menambah keremangan jiwanya.
Arif Farhan menguatkan radio yang berkumandang dari dalam kereta mewah BMW hitamnya. Perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Tioman yang sengaja diambil dari jalan darat benar-benar memberi satu pengalaman baru buatnya. Bertolak dari Kuala Lumpur jam 8 malam tadi, kini pada jam 12 tengah malam, dia benar-benar berada di tengah-tengah hutan simpan Muadzam Shah yang gelap gelita.
Lebih memburukkan keadaan, hujan lebat diiringi petir turut mengiringi perjalanannya kali ini. Sesekali, peta di kerusi sebelah dikerling dalam samar cahaya lampu keretanya. Gila! Satu kereta pun tak ada kat jalan melainkan kereta aku! Kelajuan keretanya ditambah. Meter di hadapan sudah menunjukkan kelajuan sudah berada pada tahap 120km/jam. Bahaya bagi pemanduan di dalam hujan lebat begitu.
Tapi Arif mahu cepat-cepat  keluar dari jalan sunyi yang dilingkari hutan itu. Entah mengapa, meremang pula bulu romanya berada di dalam kesejukan kereta kali ini. Pelbagai cerita tahyul mula menjelma diruang minda. Dari watak cerita Pocong yang dilihat dari banner pawagam, hinggalah watak Edward Cullen, si drakula kacak mula menjengah ruang mata.

Hmm..waktu-waktu macam inilah baru semua watak-watak  tu nak muncul…! Sungguh sopan! Arif menarik nafas payah. Suara Bertie Higgins yang mengalunkan lagu malar segar “Casablanca” dikuatkan lagi buat menemani perjalanan sunyinya. Atau lebih tepat lagi, perjalanan yang mendebarkan jiwa raganya.
Jalan lurus tadi sudah bertukar menjadi berliku-liku. Di luar, hujan masih lebat. Pandangannya juga turut kabur. Dalam remang cahaya malam, dari jauh tiba-tiba Arif terpandang satu kelibat yang sedang bergerak melintasi jalan. Tidak pasti apakah itu, lantas kelajuan kereta cuba diperlahankan seberapa segera. Pedal brek dipijak sekuat hati.
Srrreeettttttttttt!! Bunyi brek yang ditekan secara mendadak memecah hening malam.
Pammm!!! Arif tidak sedar bila dan bagaimana, kelibat yang bergerak tadi melantun diatas cermin keretanya lalu terjatuh. Keretanya juga telah berhenti secara mendadak, menandakan dia telah berjaya memberhentikan keretanya tadi.
Arif ternganga merenung hujan yang mencurah-curah dari cermin depan keretanya. Apa tu?? Apa yang aku langgar tadi??? Dadanya berombak besar. Darahnya mengepam laju dari adrenalin ke seluruh urat sendi. Suhu yang sejuk tadi kini bertukar panas. Arif tergamam seketika cuba mencerna kejadian yang baru saja berlaku. Segala-galanya berlaku terlalu pantas di dalam gelap dan lebat hujan. Dadanya kini berdebar. Patutkah aku lihat apa yang aku langgar tadi? Atau aku lari saja?
Arif menarik nafas panjang. Suasana sekeliling ditinjau. Sunyi. Gelap. Arif menjengulkan kepalanya ke tingkap tepi, lalu melihat sesuatu yang menyerupai kaki manusia. Orang!! Alamak!! Aku langgar orang??? Mata Arif membuntang. Diundur keretanya ke belakang, lalu keretanya diparkir ke bahu jalan. Pandangannya ditoleh lagi ketengah jalan. Sekujur tubuh sedang tertiarap ditengah-tengah  jalan sunyi itu.
Jadi, benarlah aku dah langgar orang? Cepat-cepat Arif keluar dari kereta. Sekejap saja hujan telah membasahkan seluruh tubuhnya. Tubuh yang terbujur di tengah jalan segera dihampiri. Tubuh yang basah kuyup dan terlangkup itu hanya dibaluti seluar track berwarna gelap dan t-shirt berwarna gelap. Dibalikkan tubuh itu. Hujan yang menderu mencairkan darah yang keluar dari luka tubuh itu.
Tidak sempat menelek wajah pemilik tubuh itu di dalam gelap, yang jelas kelihatan di tangan Arif hanyalah darah yang berlumuran di tangannya. Tanpa berlengah, Arif terus mencempung tubuh itu lalu memasukkan ke belakang tempat duduk keretanya. Tiada apa difikirannya waktu itu, melainkan bayang hospital yang perlu dicari secepat mungkin!


 ARIF merenung sekujur tubuh yang sedang terbaring di wad kecemasan. Episod cemas tadi berakhir selepas dia berjaya tiba di hospital selepas 1 jam lamanya memandu. Menurut doktor, jika ditambah lagi 2 jam, mungkin gadis itu sudah mati kerana kehilangan banyak darah.
Arif meraup-raup dagunya sambil merenung gadis yang berbalut sana sini di depannya.Muka gadis itu sedikit bengkak di pipinya kesan geseran di tar jalan tadi barangkali. Arif menggigit ibu jari tangan kanannya.  Aku terlanggar perempuan atau…..pontianak? Ingatan jahat menerpa fikirannya.
Macam mana boleh ada perempuan di tengah hutan malam-malam macam ni? Jam di tangan dikerling. Sudah jam 4 pagi. Anehnya matanya masih segar. Arif duduk di kerusi di hujung katil hospital itu. So…what to do next? Takkan aku nak tunggu kat sini sampai dia sedar? Then hantar dia balik rumah? Rumah? Kat mana?
Arif bangun lalu menghampiri gadis itu. Dari pandangan luaran, mungkin gadis itu baru berusia awal 20-an. Nampak muda sangat lagi. Arif menoleh ke sekelilingnya, mencari kelibat jururawat. Tak ada. Arif mengukir senyum. Tangan kirinya di hulur ke belakang leher gadis itu yang masih tidak sedarkan diri. Tangannya menjalar ke seluruh batang leher gadis itu perlahan-lahan mencari-cari sesuatu. Puas diteroka lehar gadis itu, namun apa yang dicari tidak jua ditemui. Mana paku pontianak ni???
“Encik Arif,” panggilan jururawat segera membuatkan Arif menarik kembali tangannya serta merta. Seorang jururawat dalam pertengahan umur memandangnya hairan.
“Ya saya,” lantas panggilan itu disambut hormat. Jururawat itu segera dihampiri.
“Apa saya nak letak dalam pengenalan diri dia ni? Kad pengenalan pun tak ada..” soal jururawat itu agak kasar. Letih barangkali semalaman berjaga dan mengendalikan kes kecemasan seperti itu. Arif terdiam sejenak. Gadis itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri sewaktu dimasukkan ke hospital itu tadi.

“Saya pun sebenarnya tak tahu. Saya jumpa dia tengah-tengah hutan. Emm..macam ni sajalah, saya pun tak boleh lama kat sini. I’ve got to go now. Maybe bila dia dah sedar nanti, puan boleh tanya dia,” senang saja Arif menjawab. Sejujurnya, dia betul-betul harus beredar dari situ. Pukul  10 pagi nanti, dia perlu menghadiri mesyuarat di Tioman.
“Tapi, kalau ada apa-apa nanti, siapa kami nak rujuk?” soal jururawat itu lagi. Riak wajahnya agak kurang senang melihat Arif yang seolah-olah mahu melarikan diri dari tanggungjawab. Hei..aku tak tinggalkan budak tu tengah-tengah hutan sorang diri pun dah kira nasib baik tau! Fikiran jahatnya menjerit ke arah muka jururawat itu.
Arif segera mengeluarkan dompet dari kocek seluarnya. Dibuka lalu di cari kad perniagaannya. Sekeping kad ditarik keluar lalu diserah kepada jururawat tersebut.
“Kalau ada apa-apa, puan boleh contact nombor ni. Kalau budak perempuan tu dah sedar nanti, kalau dia nak mintak ganti rugi, suruh dia contact saya,” ujar Arif. Jururawat itu mengambil kad itu lalu mengangguk sambil matanya tak lepas-lepas membaca satu persatu abjad dan nombor yang tertera .
“Amboi..panjangnya nama….ni, apa benda ni..banyak tulisan orang putih ni…” jururawat itu masih mengomel. Mendengar pertanyaannya tidak dijawab, jururawat tersebut mengangkat mukanya. Lelaki tampan yang berdiri di hadapannya tadi sudah hilang.

“Encik Arif?” jururawat tersebut terpinga-pinga memandang sekelilingnya. Segera dia keluar ke ruang depan meninjau tempat letak kereta. Kosong! Kereta BMW hitam tadi sudah hilang. Satu keluhan dilepaskan.

Tuesday, 1 July 2014

Puzzle (Prolog): Nune

SEPASANG mata yang memandang ke arahnya dia balas dengan pandangan mata yang sama. Suara yang masih meriah di belakang tempat dia berehat kini dibiarkan bagai tidak pernah ada.
            “Amacam? Lepak kan?”
Pemilik sepasang mata di sebelah bertanya dengan sengih yang masih melebar. Dia turut sama menarik sengih. Memang lepak. Rasa macam kanak – kanak riang baharu balik daripada sekolah tadi selepas dapat hadiah tempat pertama pertandingan melukis. Itu lah agaknya rasa yang sedang bertamu dalam hati saat ini. Sampai senyum di bibir bagai tak nak lekang daripada wajahnya.
            “Complicated thinker aje macam tu…”
Pemilik sepasang mata itu menyambung lagi. Matanya je las menunjukkan yang pemiliknya sedang tersenyum gembira. Puas hati mungkin.
            “Hello! Itu nak cakap complicated thinker susah nak solved problem ke apa?”
Dia tanya tak puas hati. Gaya macam nak kutuk dia pula tiba – tiba. Tahulah orang tu yang jadi sifu dia supaya jadi lebih santai dan tak terlalu kompleks tentang sesuatu masalah. Tapi, dia masih tetap orang yang sama, yang punya minda kompleks yang kadang kala lebih hebat daripada mereka yang dikatakan sebagai simple thinker. Seperti pemilik sepasang mata yang sedang tersengih bangga di sebelahnya kini.
            “I tak cakap apa pun. You yang tiba – tiba terasa. Ni lah masalah complicated thinker. Tak tahu apa, dah nak jump to the conclusion. Kan?”
Dia sudah buat muka tak puas hati. Telunjuknya naik betul – betul di hadapan wajah Si Pemilik Sepasang Mata yang masih tersenyum seperti tadi. Tak bersalah.
            “Eee!”
Dia rasa nak bagi penumbuk tepat pada muka yang sedang tersengih itu, buat dia rasa makin tidak berpuas hati.
            “Ain!!!”
Mulut yang mahu menyambung kata terhenti serta – merta. Si Pemilik Sepasang Mata itu sudah berlalu dengan gelak besarnya. Gaya menang pertandingan berdebat dengan musuh ketat.

Dia ketap gigi. Geram! Tunggulah nanti! Tunggu!