Thursday 5 December 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 8): Normaslina Masri



MIMI PANDANG Melissa dari mejanya. Seperti biasa Melissa nampak tekun ketika bekerja, langsung tak ambil pusing hal keliling yang tak ada kena-mengena dengannya. Kerja. Kerja. Dan kerja. Itu sahaja yang Melissa tahu di pejabat ini. Jangan haraplah kalau nak ajak dia bersembang atau mengumpat waktu pejabat macam sekarang ni.
Irfan Suhaili. Itu tanda nama yang terpampang kat pintu bilik. Mimi merenung sepotong nama yang berukir cantik itu. Lama. Lama dia merenungnya sambil berfikir. Kenapa Melissa tak suka Irfan? Kenapa pula Irfan macam orang tak faham bahasa? Irfan tahu Melissa membencinya, tapi dia tetap tidak mahu mengalah. Irfan tetap selalu cari fasal dan buat Melissa susah. Kadang-kadang kerja yang tidak sepatutnya pun dia akan paksa Melissa buat.
Melissa bukan la gadis kasar, atau kurang ajar. Selama dia bersahabat dengan Melissa belum pernah lagi dia nampak Melissa bergaduh dengan sesiapa dekat pejabat ni. Tapi kenapa dengan Irfan, Melissa akan jadi seorang Melissa yang lain? Skandal? Ini persoalan yang bermain-main di fikiran Mimi semenjak dua tiga menjak ni. Hari tu dia cuba korek tapi Melissa langsung tak mahu buka mulut. Maka makin bertambahlah curiga yang telah ada kat dalam kepala Mimi.
“Mimi.” Melissa panggil namanya.
“Haa?”
“Jom makan?” Mimi lihat jam di depannya. Aduh, dia berangan sampai tak sedar dah sampai waktu makan. Tanpa banyak soal Mimi bangkit dari meja. Hari ini adik office boy tolong bungkuskan nasi ambang. Jadi dia dan Melissa tak perlu keluar, banyak masa sikit nak bersembang.
“Nak minum air apa?” Melissa sedang berada di hadapan peti sejuk. Ada macam-macam jenis air kat situ. Ada yang pejabat sediakan dan ada juga staf yang beli dan letak kat situ untuk semua minum.
“Jus oren tu kut.”
“Yang ini?”  Mimi angguk. Dia duduk bersantai di meja macam mem besar.
“Wah, masih berasap-asap lagi ni.” Kata Melissa, dia menadah tangan dan membaca doa. Mimi hanya memerhatikan sambil mengarang ayat dalam kepala. Hari ini dia mesti rungkaikan segala persoalan tentang Melissa dan Irfan.
“Mel.” Melissa yang sedang menggigit kepak ayam memandangnya.
“Kau dengan Irfan kenapa ye?
“Kenapalah kau tanya soalan tu. Putus selera aku, tahu?”
“Okey. Okey. Aku tanya lain kali, tapi kau kena janji. Kau mesti bagi aku jawapan eh?”
“Tengoklah macam mana nanti.” Balas Melissa acuh tak acuh.
“Mel.” Panggil Mimi lagi.
“Apa lagi?”
“Kau suka lelaki yang macam mana eh? Maksud aku lelaki yang kau nak buat suami?” Melissa tersenyum. Panjang sungguh senyumannya.
“Impian aku satu je.”
“Satu je? Menarik ni, selalunya orang letak kriteria sampai lima enam baru boleh jadi suami. Apa dia?”
Engineer. Aku teringin nak kahwin dengan engineer.” Mimi tersedak apabila mendengar jawapan yang diberi oleh Melissa. Sampai berair-air matanya.
“Pelik aku dengan kau ni.”
“Apa yang peliknya? Okeylah tu, kalau aku cakap aku nak kahwin dengan ‘Chelsea nombor sembilan’ nanti kau kata otak aku senget pulak.”
Engineer? Itu aje?”
“Ya. Itu aje.” Melissa tersenyum lagi. Mimi menggelengkan kepalanya. Eh, tapi kan Irfan kan engineer juga? Aha… Mimi sudah tahu dapat satu petunjuk. Mimi tersenyum memandang Melissa, tahulah macam mana aku nak buat apa nanti. Itu janji Mimi pada dirinya.

No comments:

Post a Comment