Thursday, 5 January 2017

Kukatakan Tidak(Maksudnya Ya) ~ Bab 2 ~ Bunick Firdaus

Ada orang datang rumah kita.” Suara Hazran sedikit mengejutkan aku yang sedang membasuh sayur di sinki.
“Siapa?” Soalku acuh tidak acuh.
“Tak tahu.” Jawab Hazran sambil tarik baju aku dari belakang.
“Betul ke datang rumah kita? Entah-entah dia nak pergi rumah Makcik Azah ke...” Aku buat tidak tahu pada Hazran yang masih menarik hujung bajuku.
“Betullah kak. Adik dah intai tadi. Ada orang perempuan pakai baju kurung, pakai tudung kat depan pagar rumah kita.” Bersungguh-sungguh Hazran menjawab.
“Kenapa tak beritahu abang je?” Aku akhirnya bagi sepenuh perhatian pada Hazran. Kasihan si kecil itu dari tadi lagi dok mengekor aku kat dapur ni.
“Abang Kimi dengan abang Fizi tengah buat kerja sekolah.”
“Akak pakai tudung sekejap. Adik jangan buka pintu lagi tau.” Pesan aku pada Hazran sambil melangkah menuju ke bilik. Selendang segera yang tersangkut di kepala katil aku sarungkan ke kepala. Siapa sajalah yang datang waktu-waktu macam ni. Memikirkan yang sudah hampir sepuluh minit tetamu yang masih belum diketahui siapakah gerangan menunggu di hadapan pagar rumah, aku mempercepatkan langkah ke ruang tamu. Sekilas, aku masih sempat meliarkan mata ke dalam bilik Hakimi yang tidak bertutup rapat. Kedua-dua Hakimi dan Hafizi leka menghadap buku masing-masing.
“Cepatlah kak...” Hazran yang membontoti langkahku menolak aku dari belakang.
“Sabarlah.” Aku tarik tangan Hazran tapi dia cepat sahaja melepaskan pegangan tanganku. Laju sahaja si kecil itu berlari ke arah pintu depan. Tombol pintu yang berkunci dia pulas dengan laju. Aku tidak menegah perbuatannya itu kerana pintu jeriji masih lagi berkunci.
“Orang tu ada lagi kak...” Hazran memuncungkan mulutnya.
Aku capai kunci yang tergantung di dinding rumah. Pintu jeriji yang masih berkunci aku buka dan laju sahaja kaki menyauk selipar jepun. Seorang perempuan yang sedang berdiri di tengah-tengah panas sambil memegang sebuah fail senyum sahaja apabila aku mendapatkannya.
“Assalamualaikum.” Sapa perempuan yang ku kira sudah berusia lewat tiga puluh tahun itu.
“Waalaikummussalam.” Pintu pagar yang berkunci aku biarkan sahaja. Memandangkan aku masih tidak tahu siapa dan apakah hajatnya bertandang ke rumah aku di waktu tengah hari seperti ini, aku tidak bercadang untuk menjemputnya masuk ke dalam rumah selagi aku tidak mengetahui tujuannya.
“Cik Humaira?” soalnya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
Aku anggukkan kepala. Salamnya bersambut melewati pagar separas dada yang memisahkan kami berdua.
“Saya Rubiah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.” Terang perempuan yang berbaju kurung warna hijau lumut, seolah-olah mengerti yang aku agak curiga dengan kedatangannya.
“JKM?”
Puan Rubiah mengangguk.
“Ohhhh...” itu sahaja yang terkeluar dari mulut aku.
“Saya menganggu Cik Humaira ke?” soal Puan Rubiah apabila melihat aku yang sedikit blur.
“Eh, tak pun.” Aku bagaikan tersedar yang tetamu itu perlu aku jemput masuk ke dalam rumah. Laju sahaja tanganku membuka mangga pagar. “Jemput masuk puan. Maaf buat puan lama tunggu kat luar.”
“Saya yang patut minta maaf sebab datang tiba-tiba macam ni.” Puan Rubiah mengikut langkahku masuk ke dalam rumah.
            Aku senyum sahaja. Tak tahu nak jawab apa. Masih lagi terkejut dengan kunjungan yang tiba-tiba itu. “Jemput duduk puan.” Aku mempersilakan Puan Rubiah duduk di sofa berangkai dua. Hazran sudah menghilang entah ke mana. Mungkin menyertai kedua-dua abangnya di dalam bilik.
“Terima kasih.” Puan Rubiah melabuhkan duduknya sambil memandang sekeliling rumahku. “Adik-adik Cik Humaira mana?”  
“Panggil Ara je puan.” Aku sedikit kekok dengan panggilan hormat tersebut. “Adik-adik saya dalam bilik, buat kerja sekolah.” Terangku sambil turut duduk di sofa yang bersebelahan dengan Puan Rubiah.
“Sebenarnya saya datang ni ada hajat.” Puan Rubiah terus berbicara.
Aku sedikit kaget. Hajat?
“Tapi sebelum tu saya nak ucapkan takziah atas kematian kedua orang tua Humaira.” Ujarnya perlahan.
Aku anggukkan kepala. Ucapan takziah itu bagaikan sudah sebati dengan telinga aku selepas hampir sebulan mak dan ayah pergi menghadap Ilahi. “Puan duduk dulu ya, saya nak ke dapur sekejap.”
“Eh tak payah susah-susah Humaira.” Tangan kanan Puan Rubiah sudah mendarat di lenganku.
“Tak susah pun puan.” Aku bangun dari sofa dan senyum pada Puan Rubiah yang kelihatan sedikit serba salah. Tidak sampai lima minit, aku sudah kembali ke ruang tamu dengan menatang segelas air sunquick. Cuaca yang panas pasti sahaja membuatkan Puan Rubiah itu dahaga apabila terpaksa berdiri di bawah cahaya matahari tadi.
“Terima kasih.” Ujar Puan Rubiah apabila aku meletakkan gelas itu di hadapannya.
“Jemput minum puan.” Aku kembali duduk di sofa. Rasa berdebar-debar kembali menghimpit dada. Apakah tujuan Puan Rubiah ini ke sini? Mahu memberi bantuankah?
“Humaira, sekali lagi saya nak minta maaf sebab ganggu Humaira hari minggu macam ni. Saya tahu Humaira mesti terkejut dengan kedatangan saya yang tiba-tiba.” Puan Rubiah jeda seketika. “Sebenarnya saya ada jemputan kenduri kahwin kat Kampung Abu Bakar Baginda. Alang-alang dah sampai sini, saya terus datang rumah Humaira.”
Aku pandang sahaja wajah Puan Rubiah. Ada garis keikhlasan yang terpancar untuk aku. Tapi, kalau datang bukan pada hari bekerja, masih dianggap urusan rasmikah? Tadi sewaktu memperkenalkan diri, dia membawa sekali nama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kalau bukan urusan rasmi, tidak perlulah rasanya dia memberitahu yang dia dari jabatan kerajaan itu. Pening!
“Humaira memang tinggal berempat je dalam rumah ni?” soal Puan Rubiah selepas meneguk air di hadapannya.
Aku angguk.
“Adik yang bongsu dah sekolah ke?” soalnya lagi.
“Sekolah tadika. Tahun depan baru masuk darjah satu.” Terangku.
“Adik yang lagi dua orang?”
Aku pandang wajahnya dengan hairan. Mana dia tahu fasal adik-adikku ini? Pelik! Tapi mungkin juga dia sudah bertanyakan perihal keluargaku kepada jiran-jiran sebelum datang ke sini.
“Saya tahu Humaira ada tiga orang adik lelaki.” Dia bagaikan mengerti sahaja apa yang bermain di fikiranku.
 “Adik saya yang nombor dua tingkatan tiga, tahun ni ambik PT3. Yang nombor tiga pulak darjah enam. Lagi dua bulan nak UPSR.”
Dia menarik nafas panjang sebelum kembali menyoalku. “Humaira masih belajar lagi kan?”
Aku angguk lagi. Nampaknya hari ni memang kerja mengangguk je lah.
“Tahun akhir?”
“Tahun akhir, tapi ada dua semester lagi.”
Final exam bulan depan kan?”
Aku angguk lagi.
“Lepas tu?”
“Lepas habis final exam, ada satu semester lagi. Latihan industri dengan buat tesis.”
Puan Rubiah tarik nafas panjang. Lebih panjang dari tadi. Aku pula yang suspen tengok reaksinya yang sebegitu.
“Ada apa sebenarnya puan?” Aku akhirnya sudah tidak mampu untuk bersabar.
Puan Rubiah diam seketika. Gelas di hadapannya dia capai dan minuman yang masih berbaki separuh gelas dia teguk perlahan. Aku pula makin berdebar-debar apabila melihat pergerakannya itu.
“Macam ni Humaira…” Puan Rubiah meletakkan kembali gelas ke atas meja. “Sebenarnya tujuan saya datang ni sebab saya ingat nak ambil adik-adik Humaira dan tempatkan di rumah kebajikan masyarakat.”
Hampir pitam aku mendengar ayat yang keluar dari mulut Puan Rubiah. Kedua-dua tanganku menggeletar. “Rumah kebajikan masyarakat?” seakan tidak terkeluar suaraku apabila menanyakan soalan itu.
Puan Rubiah mengangguk perlahan.
Aku bagai kehilangan kata-kata. Niat Puan Rubiah mungkin baik, namun aku tidak akan sekali-kali menyerahkan adik-adikku itu kepada orang lain untuk menjaganya. Tidak! Pasti ada orang yang membuat laporan tentang kami adik beradik kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat yang aku ini masih lagi bergelar seorang pelajar, tapi punya cita-cita untuk membesarkan adik-adikku sendirian. Dan laporan itu juga pastinya datang dari jiran-jiranku juga yang sudah maklum bahawa memang kami berempat sahaja yang tinggal di dalam rumah ini.
“Humaira, saya tahu Humaira mesti tak setuju dengan cadangan saya. Tapi saya rasa Humaira tak mampu nak laksanakan tanggungjawab untuk jaga adik-adik Humaira buat masa sekarang.”
“Siapa kata saya tak mampu puan? Inya-Allah saya boleh jaga adik-adik saya dengan baik. Lagipun diorang semua dah besar.” Sungguh, aku memang langsung tidak bersetuju dengan cadangan Puan Rubiah itu.
“Humaira, bukan senang untuk jalankan tanggungjawab sebagai seorang penjaga. Lebih-lebih lagi Humaira masih belajar sekarang ni. Macam mana Humaira nak uruskan adik-adik Humaira kalau Humaira sendiri masih terikat dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.” Pujuk Puan Rubiah.
Aku telan liur sendiri. Ya, aku sudah lama memikirkan tentang perkara itu. Tentang bagaimana mahu aku menyusun waktu untuk menguruskan adik-adikku disamping menjalankan tugasku sebagai seorang pelajar.
“Humaira…” Puan Rubiah menepuk perlahan tanganku. Memujuk barangkali. “Kalau Humaira setuju untuk serahkan adik-adik Humaira pada kami, Insya-Allah Humaira pun boleh tumpukan sepenuh perhatian pada pengajian. Lepas Humaira dah tamat belajar, kami tak ada masalah kalau Humaira nak ambil balik adik-adik Humaira.”
“Puan, saya tahu niat puan baik. Tapi saya rasa saya tak sanggup nak berpisah dengan adik-adik saya. Pengajian saya bukan alasan utama untuk saya mengelak dari jalankan tanggungjawab sebagai seorang kakak kepada mereka.” Aku seka air jernih yang sudah bertakung di birai mata.
“Saya faham Humaira. Tapi Humaira kena fikirkan juga untuk kebaikan adik-adik Humaira. Kalau Humaira dah balik asrama, siapa yang nak jaga mereka kat sini?”
“Saya tak tinggal di asrama puan. Lepas ibu bapa saya meninggal, saya dah berulang alik ke kampus. Lagi pun, dua minggu je lagi peperiksaan akhir. Lepas tu saya dah cuti semester.”
“Tapi Humaira masih ada satu lagi semester lepas tu kan?”
Aku angguk. “Semester akhir nanti saya akan buat praktikal dan sediakan tesis saja puan. Dah tak perlu pergi kelas pun. Sekali sekala je kena jumpa dengan pensyarah. Tempat praktikal pun saya akan cari sekitar kawasan Putrajaya atau Bangi sahaja.” Hujahku lagi.
“Humaira dah fikir masak-masak?”
Laju sahaja aku mengangguk.
“Humaira yakin boleh uruskan adik-adik Humaira sendiri?”
Aku angguk lagi. “Insya-Allah saya boleh jaga puan. Lagi pun jiran-jiran saya semuanya baik-baik puan. Alhamdulillah, setakat hari ni mereka sentiasa tanya khabar kami.”
“Humaira tak ada ke saudara mara yang tinggal dekat-dekat sini?”
Aku gelengkan kepala. “Emak saya mualaf puan. Kami tak pernah jumpa pun keluarga emak. Jadi, saya sendiri pun tak tahu sama ada kami ada saudara mara sebelah emak atau pun tak. Emak tak pernah bercerita tentang keluarganya kepada kami.”
“Keluarga ayah?”
“Tokwan ada kat Kuala Lipis.”
“Kenapa tak ajak dia tinggal kat sini dengan Humaira?”
“Orang tua puan, bukan senang nak tinggalkan kampung halaman mereka. Tokwan suruh kami balik kampung, tapi saya takut menyusahkan dia pulak. Jadi, biarlah kami adik beradik tinggal kat sini je.”
“Rumah ni macam mana? Rumah sendiri atau menyewa?”
“Rumah sendiri.” Jawabku pendek. “Ayah beli guna pinjaman perumahan kerajaan. Tapi dah jadi rumah pusaka la sekarang ni”
“Alhamdulillah, Humaira tak payah susah-susah nak fikir pasal sewa rumah lagi.”
“Kereta pulak?”
Aku alihkan pandangan pada kereta Proton Saga FLX berwarna putih di hadapan rumah. “Ayah ambil insurans masa dia buat perjanjian sewa beli dulu. Jadi, saya dah tak perlu bayar apa-apa lagi pada bank.”
Puan Rubiah senyum kat aku. “Patutlah Humaira yakin boleh jaga adik-adik Humaira. Ayah Humaira dah mudahkan urusan anak-anak dia di dunia ni.”
Aku senyum balik pada Puan Rubiah. Ya, ayah dah memudahkan urusan kami adik beradik. Terima kasih ayah. Tapi, aku tetap juga merasa satu kehilangan yang sangat besar apabila ayah dan emak pergi meninggalkan kami seawal ini. Apalah gunanya punya harta dunia andainya kasih sayang dari kedua orang tua kami hanya tinggal kenangan sahaja.
“Cuma saya bimbang Humaira tak boleh nak bahagikan masa antara pengajian dan tugas Humaira sebagai seorang kakak je. Saya yakin, dari segi kewangan mungkin Humaira tak ada masalah sebab Humaira dan adik-adik dapat pencen arwah ayah.” Puan Rubiah masih lagi mahu memujuk.
Aku diam. Cuba untuk merasional segala kata-kata Puan Rubiah. Tapi otak aku memang tak boleh terima cadangan dari wanita yang sedang duduk di sebelah aku ini. Dan aku berharap sangat supaya adik-adik aku langsung tidak menelinga perbualan kami berdua. Apa agaknya perasaan mereka kalau tahu yang mereka akan diambil oleh pihak JKM dan ditempatkan di rumah anak yatim? Nauzubillah…janganlah mereka terdengar walau sepatah kata pun apa yang sedang aku dan Puan Rubiah bincangkan ini.
“Humaira…” Puan Rubiah bersuara setelah lama melihat aku terdiam. “Sekarang ni mungkin Humaira rasa tak susah sebab Humaira dah tak payah pergi ke kelas. Saya tahu sekarang ni study week, jadi Humaira boleh belajar kat rumah je. Tapi nanti Humaira nak pergi peperiksaan macam mana? Siapa yang nak uruskan adik-adik Humaira kat rumah? Lepas ni Humaira akan buat praktikal, boleh ke Humaira nak pastikan semuanya berjalan lancar? Humaira tak takut nanti praktikal Humaira terganggu?” Provok Puan Rubiah.
Aku tarik nafas. Dalam. “Saya tahu mungkin sukar untuk saya uruskan semua ni puan. Tapi Insya-Allah saya akan cuba. Lagipun mereka bertiga tu adik-adik saya puan. Arwah emak dan ayah dah amanahkan saya untuk menjaga mereka. Susah macam mana sekalipun, saya tak nak berpisah dengan adik-adik saya puan. Fasal persekolahan mereka, macam mana saya nak uruskan kehidupan harian kami nanti, saya dah fikirkan kesemuanya.” Tegasku. Ya, ayat yang terakhir itu cuma satu pembohongan sahaja. Jujurnya, aku masih belum mendapat idea bagaimana harus aku menyusun jadual kehidupanku setelah memulakan praktikal kelak. Tapi, itu cuma akan berlaku dalam masa tiga bulan akan datang. Rasanya, akan ada penyelesaian yang terbentang di depan mata nanti.
Giliran Puan Rubiah pula yang diam. Mungkin dia juga sudah kehabisan kata.
“Saya minta maaf puan. Saya hargai segala jasa baik dan keprihatinan puan ke atas nasib kami. Tapi saya rasa saya tak mampu nak serahkan adik-adik saya kepada pihak puan. Sesukar mana pun hidup kami, biarlah kami tinggal di bawah satu bumbung saja.”
“Kalau dah macam itu keputusan Humaira, saya tak boleh nak cakap apa dah. Tapi kalau Humaira perlukan apa-apa bantuan, Humaira boleh hubungi saya.” Puan Rubiah membuka beg tangannya dang mengeluarkan sekeping kad perniagaan yang berlogokan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kad yang sudah bertukar tangan aku renung dengan penuh rasa serba salah. Rasa sedikit bersalah kerana terpaksa menolak kebaikan yang ditunjukkan oleh Puan Rubiah kepada kami adik beradik. Walaupun aku tidak tahu dari mana Puan Rubiah menghidu kisah kami yang kehilangan tempat bergantung, tapi aku tetap berterima kasih di atas rasa prihatinnya itu.
“Saya minta maaf sebab ganggu Humaira. Ingat, kalau perlukan apa-apa bantuan, Humaira boleh telefon saya.” Puan Rubiah sudah berdiri dan dia mengambil fail kertas yang berada di sebelahnya. “Saya minta diri dulu.”
“Puan, terima kasih banyak-banyak.” Itu sahaja yang aku mampu ucapkan kepada dia sewaktu mengiringinya keluar dari rumah.
“Dah memang tugas saya Humaira.” Jawab Puan Rubiah sambil tersenyum. Dia menghulurkan tangannya utk bersalam sebaik sahaja melewati pagar rumahku.
Salamnya aku sambut dengan lapang dada. Walaupun ada sedikit rasa kesal dan marah kepadanya kerana kedatangannya untuk mencuri adik-adikku, namun aku perlu faham akan tuntutan tugasnya sebagai pegawai kebajikan masyarakat. “Puan, apa ni?” soalku apabila mendapati tangan yang dihulurkan untuk bersalam denganku rupa-rupanya berisi. Sampul kertas itu aku serahkan kembali kepadanya.
“Saya ikhlas Humaira. Ambillah…” Dia menolak kembali sampul itu ke dalam tanganku. “Saya sedekah.”
Aku akhirnya akur dan dengan perlahan sampul kertas yang berwarna kuning itu aku genggam kemas. “Terima kasih puan.”
“Sama-sama. Saya pergi dulu. Assalamualaikum…” Puan Rubiah menghilang ke dalam perut kereta Proton Exora sebaik sahaja dia memberi salam.
Aku perhatikan kelibat kereta buatan Malaysia itu yang semakin menghilang dari pandangan. Keluhan kecil akhirnya terlepas dari bibirku. Dan sebaik sahaja aku mengunci pagar dan berpaling sembilan puluh darjah ke belakang, ketiga-tiga adikku sudah pun menanti di hadapan pintu rumah. Mereka dengar ke tadi? Aku sudah mula cuak.
“Kak Ara, orang tu datang nak ambil kami ke?” Hafizi terus bertanya sebaik sahaja aku mendapatkan mereka.
“Betul ke Kak Ara nak hantar kami ke rumah anak-anak yatim?” Hakimi juga turut mengambil giliran untuk bertanya.
Belum sempat aku membuka mulut untuk menjawab soalan dari Hakimi dan Hafizi, soalan Hazran pula yang menerjah pendengaranku.
“Kak Ara dah tak nak jaga adik ke?” Si kecil itu sudah mula menangis.
Luluh hati aku apabila melihat air mata Hazran yang laju menuruni pipi. Sah, mereka bertiga memang mendengar segala perbualan aku dengan Puan Rubiah tadi. Aku peluk Hazran yang masih menangis. Air mata yang bila-bila masa sahaja akan gugur aku tahan agar tidak terlihat oleh adik-adikku.
“Hakimi, Hafizi, Hazran…” Aku jeda seketika. Cuba mencari kekuatan untuk menerangkan duduk perkara yang sebenar kepada mereka bertiga. “Masuk dalam dulu. Kita makan. Dah lambat ni.” Akhirnya, itu yang terluah dari mulut aku. Banyak yang perlu aku terangkan pada mereka, dan sekarang bukanlah masa yang sesuai.
Ketiga-tiga saudara lelakiku mematungkan diri. Tanda tidak mahu menerima jawapanku yang tidak relevan dengan soalan mereka. Aku pula yang mati kutu dibuatnya.
“Kak Ara, kami nak tahu betul ke Kak Ara nak hantar kami pergi rumah anak yatim?” Hakimi sudah menghalang jalanku.
“Tak adalah. Takkanlah Kak Ara nak hantar korang pergi sana pulak.”
“Kimi tak percaya.” Dengus Hakimi. Tanda tidak puas hati dengan jawapan aku.
Aku garu kepala yang masih beralas dengan selendang. “Masuk dulu, nanti Kak Ara cerita.”
“Kimi nak tahu sekarang jugak. Betul ke Kak Ara nak hantar kami pergi rumah anak yatim?” Desak Hakimi lagi.
“Okey, okey. Bagi Kak Ara masuk dalam rumah dulu boleh? Panas kat luar ni.” Aku terus merempuh banteng pertahanan ketiga-tiga askar lelaki yang sedang berbaris di muka pintu.
“Kak Ara!” Serentak ketiga-tiga mereka menjerit apabila aku berjaya meloloskan diri ke dalam rumah.
“ Duduk sini Kak Ara cerita.” Aku sudah pun melabuhkan duduk di atas sofa. Namun, ketiga-tiga adik lelakiku itu masih membatu di tempat mereka berdiri tadi.
“Marilah sini…” aku lembutkan sedikit suaraku. Walaupun perut sudah pedih menahan lapar, namun tak sampai hati pulak untuk aku membiarkan mereka berada dalam keadaan tertanya-tanya.
Perlahan-lahan Hakimi berjalan menghampiri sofa. Hafizi dan Hazran membontoti langkahnya dari belakang.
“Duduk.” Aku bagi arahan kepada mereka.
Seperti tadi, mula-mula Hakimi yang duduk dahulu. Diikuti oleh Hafizi dan Hazran.
“Betul ke orang tu datang nak ambil kami?” Hazran ualng balik soalannya tadi. Dia sudah pun duduk di pangkuan Hakimi.
“Mana ada. Kalau dia nak ambik korang bertiga pun, Kak Ara memang tak akan bagi. Kita kan dah ada rumah ni, buat apa Kak Ara nak hantar korang pergi rumah anak yatim tu?”
“Habis tu, kenapa dia datang sini?” soal Hafizi pula.
“Hafizi, dah memang kerja dia macam tu. Kalau ada mak ayah yang meninggal, dia akan pergi periksa rumah orang tu, nak tengok siapa yang jaga anak-anak dia. Kalau tak ada orang jaga, baru dia hantar rumah kebajikan.” Belasah aje lah jawapan macam ni pun. Susah betul nak terangkan perkara sebenar kat budak-budak bawah umur ni.
“Dia datang tengok je?” Hazran tanya lagi.
Aku anggukkan kepala. Hakimi yang hanya membisu dari tadi aku pandang sekilas. Aku faham pandangan tidak puas hatinya pada aku.
“Selagi Kak Ara ada, korang semua akan tinggal kat sini dengan Kak Ara. Faham?”
“Kalau orang tu datang lagi nak ambil kami macam mana?” Hafizi masih belum berpuas hati dengan jawapan aku nampaknya.
“Kalau dia datang pun, Kak Ara memang tak akan bagi dia ambil adik-adik Kak Ara. Kalau Kak Ara memang tak nak jaga korang, dah lama Kak Ara hantar korang balik kampung duduk dengan tokwan.” Aku cuba bagi jawapan yang paling konkrit.
“Kak Ara janji tak akan bagi kami dekat orang tu?” Hazran bangun dari pangkuan Hakimi dan dia datang kepadaku.

“Ye, kak Ara janji.” Aku rangkul Hazran yang berbadan kecil itu ke dalam pelukanku. Mana mungkin aku menyerahkan amanah arwah emak dan ayah ini kepada orang lain. Ikrarku!

Wednesday, 4 January 2017

A.D.A (Anak Dara Abah) ~ Bab 1 ~ Norisah A. Bakar

Terjengket-jengket Ona di depan pintu.  Apa yang dia nampak sedang berlaku di sebalik daun pintu yang bertutup rapat itu segera buat jantungnya berdegup kencang bagaikan digoncang-goncang.  Sakit hatinya melihat seekor demi seekor anak kucing Lela memanjat gril pintu rumah keluarganya sebelum jatuh tergolek ke lantai semula.  Bukan main seronok lagi mereka berpesta di luar sana.  Sudahlah tanamannya dalam pasu habis dilanyak semua semalam.  Pagi ini kucing-kucing itu bersarkas pula di depan pintu rumah keluarganya bagaikan dunia ini mereka punya.  Halaman rumah keluarganya dibuat seperti taman permainan pula.  Dia, sudahlah takut dengan kucing.  Macam mana dia hendak buka pintu rumah kalau binatang-binatang itu akan menderu masuk sebaik pintu dibuka nanti.  Hesy, sudah melampau!  Siaplah, Makcik Senah.  Kali ni orang tak main telefon majlis bandaran lagilah.  Orang telefon polis!
"Bak sini telefon tu." Ona menghulur tangan kanan ke belakang sementara mata kirinya masih melekap di lubang intip di daun pintu bagaikan sudah digam kukuh di situ.  Aina dan Ayu saling berpandangan.  Masing-masing mengangkat dagu dan menaikkan kening.  Dengan bahasa mata mereka saling berbantahan.  Aina suruh Ayu, Ayu suruh Aina.  Masing-masing malas hendak turutkan apa yang Ona suruh.   
Ona menoleh ke belakang.   
"Oi, dah pekak ke tak dengar kakak minta telefon?" Jerkahnya garang.  Matanya mencerlung ke arah Aina dan Ayu yang sedang duduk mematung di sofa panjang berdekatan dengan pintu.  Secara mendadak Ayu menjangkau tangan lalu menyambar telefon hitam dari atas meja sisi di sebelah tempat duduk Aina.  Telefon rumah tanpa wayar itu diberikan segera kepada Ona.  Sambil itu matanya menjeling Aina bagaikan mahu ditelannya hidup-hidup.  Pemalas!  Telefon dekat dia pun malas nak tolong ambilkan.   
Aina pula buat tidak tahu dengan jelingan maut Ayu itu.  Mukanya selamba bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku.  Dia memang malas hendak melayan angin pus-pus Ona.  Lagilah kalau yang melibatkan anak-anak kucing Lela yang dibuang Makcik Senah ke halaman rumah mereka dan kini mula bermaharajalela di luar sana sejak kelmarin.   
Semenjak anak-anak kucing itu ada di situ, perangai Ona sudah jadi separuh tidak siuman.  Sekejap-sekejap Ona akan mengintip di daun pintu, memantau apa anak-anak kucing itu sedang buat di luar.  Selepas itu Ona akan membebel panjang memarahi Makcik Senah kerana memandai sahaja buang anak-anak kucing itu di halaman rumah mereka.  Ona memang takut dengan kucing.   Macamlah anak-anak kucing itu harimau yang boleh membaham dirinya.
Ayu menghempas punggung ke tempat duduknya semula.  Mukanya yang keruh sejak tadi, kini sudah cemberut seperti buah asam gelugur yang dikeringkan.  Semuanya gara-gara Ona yang belum siapkan sarapan untuk makan pagi mereka sekeluarga.  Janji Ona malam semalam, pagi ini hendak buatkan lempeng pisang untuk mereka bersarapan.  Namun sebaik celik mata subuh-subuh tadi, Ona terus bengang pada anak-anak kucing yang sedang ‘beriadah’ di halaman rumah mereka.  Dia pula bengang pada Ona.  Biarlah anak-anak kucing itu bersuka ria.  Kalau sudah penat nanti, tahulah mereka duduk diam.   
Ayu mendongak memandang Ona.  Bukan main ganas lagi Ona memicit butang-butang pada telefon, mencari nombor Makcik Senah.  Janganlah butang-butang itu terbenam pula sampai tidak boleh ditarik keluar semula.  Ona kalau bab menjahanamkan harta benda abah, memang boleh serahkan tugas itu kepada dia.  Fasal itu juga barangkali anak-anak kucing Lela yang seramai lima ekor itu telah sesedap hati melanyak dan memusnahkan pokok bawang, pokok serai dan pokok kunyit yang Ona tanam di dalam pasu.  Mesti kerana Ona sudah terkena sumpahan abah.  Yalah, jahanamkanlah lagi harta benda orang.  Sudahnya harta benda sendiri pula orang lain jahanamkan.   
"Kakak nak telefon siapa tu?" Ayu sedikit terkejut.  Takkan pagi-pagi buta sudah hendak ajak jiran bergaduh?
"Telefon Lela la… nak suruh dia pungut anak-anak kucing yang nenek dia buang kat laman rumah kita ni.  Kalau dia degil tak mahu ambil balik anak-anak kucing dia… siaplah… kakak nak ugut telefon polis.  Biar dia takut."
"Alah...  kes remeh macam ni kakak ingat polis nak layan ke?" Aina jeling Ona dengan sinis.  Ayu terkekeh-kekeh perlahan, mentertawakan Ona.   
Semenjak Ona mendapat nombor telefon Makcik Senah daripada Makcik Fauziah yang tinggal selang tiga pintu dari rumah mereka, setiap kali ada perkara tidak elok berlaku ke atas mereka yang melibatkan Makcik Senah sekeluarga, pasti pantas sahaja jari Ona menekan nombor telefon jiran mereka itu.  Ona tidak kesah jika dirinya dicap sebagai kurang ajar atau tidak menghormati orang tua.  Sudah dia jenis garang dan panas baran.   Kena marah dengan abah pun Ona tetap tidak serik-serik juga.  Janji Ona dapat lepaskan geramnya pada Makcik Senah.  Bahkan Ona secara diam-diam telah menobatkan Makcik Senah sekeluarga sebagai musuh ketat nombor satu dia.   
Ona buat selamba dengan ejekan Aina tadi.  Telefon di tangan terus dilekapkan ke telinga sementara mata kirinya dilekapkan semula ke lubang intip di daun pintu.  Kelihatan anak-anak kucing berwarna kelabu, coklat dan belang-belang putih kelabu sedang bergolek dan bergusti di atas lantai.  Secara tiba-tiba sahaja keadaan di luar menjadi gelap-gelita.  Itu mesti ada seekor sedang bergayut di gril pintu, langsung menutup lubang intip di luar sana.   
"Helo, Makcik Senah ke tu?"
Melorot benda yang menutupi lubang intip di luar pintu lalu pemandangan di luar menjadi terang semula.  Ona lihat anak-anak kucing yang sedang bergusti itu masih meriah berguling di atas lantai.  Ada pula seekor telah melompat naik ke dalam pasu pokok cekurnya yang dia letakkan atas para.  Habislah.  Habislah.  Jahanam lagi pokok aku!  Laung hati kecil Ona, melalak dalam bisu.   
"Helo, Makcik Senah.  Saya Ona yang tinggal tingkat empat yang laman rumahnya makcik telah sepahkan dengan anak-anak kucing pembiakan cucu makcik, Si Lela tu, yang makcik tak kasi dia bela sebab makcik kata makcik takut dan geli dengan kucing." 
Sengajalah Ona memulakan mukadimahnya dengan kata-kata sinis.   Dia mahu Makcik Senah sedar dan insaf sedikit.  Sebelum-sebelum ini mati-mati Makcik Senah tidak mengaku anak-anak kucing itu Lela yang punya.  Tetapi kalau sudah diberikan si ibu kucing itu makan dan tempat untuk melahirkan anak-anaknya, bukankah secara logiknya anak-anak kucing yang keluar daripada perut si ibu kucing itu telah menjadi kepunyaan Lela juga?  Tidak ada gunanya Makcik Senah cuba menafikan kenyataan.  Samalah seperti Makcik Senah cuba menegakkan benang yang sudah basah.   Bolehkah benang itu tegak? 
"Boleh tak makcik suruh Lela datang ambil balik anak-anak kucing dia?  Binatang-binatang tu dah buat ganas kat laman kami.  Habis pokok-pokok yang saya tanam dalam pasu dikerjakan mereka sampai rosak semuanya.  Sekarang ni kami tak berani nak buka pintu rumah sebab anak-anak kucing tu sedang buat aksi panjat terjun di gril pintu rumah kami.  Saya tak pedulilah kalau makcik takut ke geli ke dengan kucing.  Tapi kucing-kucing tu cucu makcik yang punya, jadi makcik kenalah suruh dia ambil balik semuanya.” Kata Ona.
Mukanya berubah merah ketika mendengar jawapan Makcik Senah.
“Apa? Makcik suruh saya telefon SPCA? Saya sedang fikir nak telefon polis saja!" 
Dengan perasaan geram dan tidak puas hati, talian telefon dimatikan Ona segera.  Berbahang dadanya mendengarkan jawapan balas daripada Makcik Senah yang seperti hendak lepas tangan sahaja.  Sudahlah laman rumah mereka dikotorkan dengan segala harta benda milik Makcik Senah yang serupa sampah.  Sekarang Makcik Senah sarankan supaya Ona menelefon Persatuan Melindung Haiwan Terbiar (SPCA) untuk mengambil anak-anak kucing itu pula.   
Banyaklah cantik muka Makcik Senah! Tidak fasal-fasal pula Ona disuruh menguruskan hal kucing-kucing itu.  Macamlah kucing-kucing itu Ona yang punya.   
Ona menghempas punggung ke kerusi.  Geramnya pada Makcik Senah bukan main lagi.   
Semenjak keluarga Makcik Senah berpindah masuk ke unit di tingkat atas rumah mereka kira-kira enam bulan yang lalu, kesabarannya terhadap kerenah keluarga baharu itu kian hari kian menipis seperti kulit bawang.  Ketenteraman jiwanya lebih-lebih lagi terganggu dengan perangai Makcik Senah yang bukan-bukan.   
Apakan tidaknya.  Sudahlah bising dengan suara kanak-kanak menangis dan bunyi kerusi diseret ke sana ke sini hampir setiap pagi dan petang.  Setiap kali membasuh pakaian, tidak pernah Makcik Senah memerah atau mengeringkan dahulu pakaian yang dibasuhnya itu sebelum menjemurnya di luar tingkap dapur.  Habis air yang menitis daripada jemuran lencun itu membasahkan semula jemuran mereka yang sudah kering di tingkat bawah.   
Pernah suatu ketika dahulu Makcik Senah telah sesedap hatinya sahaja menjirus air pada lembek bekas kencing cucunya yang dia sidai di tembok balkoni rumahnya di tingkat atas, lalu membasahkan ambal yang Ona jemur di tembok balkoni di luar rumah mereka di tingkat bawah.  Naik berapilah hati Ona waktu itu juga.  Langsung diserangnya Makcik Senah di rumahnya di tingkat lima.  Makcik Senah boleh pula tunjukkan muka selamba bagaikan tidak terkesan dengan apa yang berlaku.  Ona marah-marah depan Makcik Senah pun Makcik Senah buat tidak tahu.  Boleh lagi Makcik Senah beri alasan konon tidak perasan ada orang jemur ambal di tingkat bawah rumahnya.
Dan sekarang, Makcik Senah telah melepaskan anak-anak kucing kepunyaan cucunya, Si Lela itu di halaman rumah mereka bagaikan dia telah menyewa kawasan itu atau mendapat kebenaran daripada majlis bandaran untuk anak-anak kucing itu bermain dan beriadah di situ.  Sudahnya sekarang, halaman rumah mereka itu telah menjadi seperti tempat pembuangan sampah pula.   
Adalah sebuah kotak besar bekas komputer meja telah ditinggalkan Makcik Senah di depan pintu rumah mereka untuk anak-anak kucing itu tidur di waktu malam.  Setiap pagi dan petang pula, Makcik Senah akan meletakkan semangkuk nasi bergaul isi ikan untuk anak-anak kucing itu makan, yang mana bekas nasi itu nanti akan dihurung oleh sekumpulan semut hitam.  Makcik Senah juga telah meletakkan semangkuk susu untuk kucing-kucing itu minum, yang mana mangkuk itu kini telah terlungkup dikerjakan oleh anak-anak kucing yang nakal serta ganas-ganas itu.  Habis isi mangkuk berselerak di atas lantai lalu mengotorkan halaman rumah mereka.  Dan dulang pasir tempat kucing-kucing itu berak… alahai.  Hanya dengan memikirkannya sahaja tekak Ona boleh jadi kembang dibuatnya.
"Dah tahu tak suka dengan kucing, yang benarkan cucu dia bawa balik ibu kucing yang sedang sarat mengandung dari pasar dulu tu buat apa? Tak ke saja cari masalah?"  Ona memulakan bebelannya.   
Ayu dan Aina yang duduk di depannya langsung tidak dipandang.  Sebaliknya Ayu dan Aina yang saling berpandangan antara satu sama lain.  Tahu sangat mereka dengan perangai kakak mereka yang pantang melihat keadaan di dalam atau di luar rumah kotor dan tidak teratur.  Mulalah nanti mulut Ona akan riuh seperti murai dicabut ekor.        
Semenjak emak mereka meninggal dunia kira-kira enam tahun yang lalu, Ona telah dilantik oleh abah menjadi ketua menguruskan kerja-kerja rumah sambil dibantu oleh kedua-dua adiknya, Aina dan Ayu yang masih bersekolah waktu itu.   
Kalau Aina ditugaskan menggosok pakaian dan Ayu mengemas rumah, tugas Ona pula membasuh dan melipat pakaian yang sudah kering di ampaian sambil menyelia kerja-kerja yang dibuat oleh Aina dan Ayu.  Siaplah nanti mulut Ona akan membebel panjang kalau kerja-kerja yang dibuat oleh Aina dan Ayu itu tidak sempurna di matanya.  Ona akan memaksa mereka supaya membuat semula pekerjaan itu sehingga menjadi sempurna seperti yang dia mahukan.   
Sejak mula bekerja, Ona akan membasuh pakaian kotor mereka sebaik pulang dari tempat kerja.  Basuhan itu nanti akan disidai di jemuran yang terpasang di siling dapur bersebelahan dengan tingkap.   
Tetapi pada hujung-hujung minggu seperti hari ini, Ona lebih suka meletakkan jemuran yang dibasuhnya itu di luar tingkap dapur.  Biar jemuran itu dijamah matahari terik.  Biar cepat kering dan cepat pula boleh dilipat dan digosok oleh Aina nanti.    
Sebab itu Ona marah sangat apabila kain baju yang penat-penat dia basuh dan hampir kering di jemuran di luar tingkap dapur, tiba-tiba kembali basah oleh titisan air daripada pakaian lencun yang disidai Makcik Senah di tingkat atas rumah mereka.  Kerana perkara itu jugalah Ona mula memusuhi Makcik Senah sehingga kini.             
Ona memang tidak suka bertangguh kerja.  Semua kerja dia mahu bereskan cepat dan sesempurna mungkin.  Sebab itu kadang-kadang Ayu kata Ona cerewet.  Sedikit lebih kurang pun tidak boleh.  Isu kecil saja tapi selalu dan sengaja Ona besarkan sekadar untuk memuaskan hatinya sahaja.
"Sekarang kakak tak pedulilah.  Kakak anggap apa saja yang keluar daripada perut ibu kucing tu wajiblah menjadi kepunyaan dia secara mutlak dan dia kena tanggung semua masalah yang ditimbulkan oleh binatang tu.  Tak kiralah sama ada yang keluar tu anak kucing ke atau najis kucing. Kakak tak mahu kalau sampai ada jiran mengadu halaman rumah mereka kotor dengan najis kucing dan mereka tuduh kita pula yang bela kucing-kucing tu." 
Ayu melepaskan keluhan senyap.  Penat mendengarkan bebelan Ona yang panjang berjela, sedangkan perutnya sudah lama menjerit minta diisi sejak dari tadi.  Lalu dikerlingnya jam bulat di dinding ruang tamu.  Sudah dekat pukul 7.30 pagi.  Setengah jam lagi abah akan pulang dari tempat kerja.  Tetapi sarapan belum pun Ona siapkan lagi.     
"Kakak… bila nak buatkan kita orang lempeng pisang? Janji semalam nak masak pagi ni.  Ni dah pukul berapa ni? Perut orang dah laparlah.  Sekejap lagi abah balik."
Sengajalah Ayu merengek seperti budak kecil.  Dia yang paling bongsu dan dia tahu gelagat manjanya kadang-kadang boleh menyejukkan hati Ona yang sedang berbahang.  Dia mahu Ona melupakan hal kucing-kucing itu.  Sekejap lagi abah balik.  Tahulah abah bagaimana hendak menyelesaikan masalah kucing-kucing itu dengan Makcik Senah nanti.  Abah tidaklah seperti Ona yang suka marah-marah.  Abah akan selesaikan elok-elok dengan Makcik Senah tanpa melibatkan polis langsung.   
"Kakak dah tak ada mood nak masak lempeng la." Getus Ona bersahaja.   
"Alaaaah.…" Panjang sungutan yang terluah serentak daripada mulut Aina dan Ayu.  Ona mengerling mereka dengan muka masam.  Dalam pada marahkan Makcik Senah dan anak-anak kucing itu, timbul juga rasa kasihannya melihat wajah Aina dan Ayu mulai dibalut kekecewaan.  Dia jadi teringatkan pesanan arwah emak. Orang yang suka mungkiri janji, kata emak, lama-lama nanti orang akan hilang kepercayaan terhadapnya.  Ona tidak mahulah adik-adiknya sampai hilang kepercayaan terhadapnya hanya kerana dia tiada mood hendak memasakkan lempeng pisang untuk mereka seperti yang dia janjikan semalam.
"Yalah, yalah.  Tapi kamu berdua kena tolong kakak.  Aina lenyek pisang dalam mangkuk.   Ayu pula boleh tolong bakar atas kuali nanti."
"Habis kakak buat apa?" Ayu sedikit tercengang memandang kakaknya.   
"Kakak tukang arahkan kamu berdua buat kerjalah.  Takkan nak sedap-sedap makan tapi malas nak buat kerja?" 
"Ada ke gitu?" Aina tarik muncung panjang.  Ona segera bangun dan bergerak ke arah dapur.  Cepat-cepat Aina dan Ayu bangun lalu mengekori kakak mereka.  Serupalah keadaan mereka itu seperti anak-anak kucing sedang mengekori ibu mereka.   
Tiba-tiba Ona berhenti melangkah secara mendadak.  Nasib baik Aina dan Ayu cepat berhenti sebaik Ona berhenti.  Kalau tidak… sudah berlanggarlah mereka sesama sendiri.   
"Eh, apa dah jadi dengan ibu kucing tu, hah?  Dah lama kakak tak nampak kelibat dia.  Dia dah kena buang jauh-jauh ke atau…"

"Kakak! Orang dah laparlah.  Orang nak lempeng pisang!" jerit Ayu separuh meradang.         

Tuesday, 3 January 2017

Padamu Jua(Hatiku Berteduh) ~ Bab 2 ~ Aidah Bakri

Selautan kasihku
Buat dirimu berteduh bahagia
~Hanif~

            Apa kena dengan lelaki itu? Sedari tadi berdiri di situ sambil arah pandangan mata hanya ke satu hala. Kenapa begitu dalam pandangan itu? Dan yang lebih aneh pandangan sepasang mata itu dia rasakan sangat sedih. Pandangan mata yang sayu. Sudah lama dia memerhati, namun tidak sedikit pun lelaki itu berganjak dari situ.

            Tapi yang hairannya, dia menjadi begitu tertarik dengan pandangan yang begitu. Ini mesti ada kisah yang dia tak tahu. Harus dicungkil sehingga dia jumpa jawapannya. Syamira membawa anak mata mengikut arah pandangan lelaki itu. Masih pasangan pengatin yang masih menjadi sasaran pandangannya. Perlahan-lahan dia menghampiri lelaki itu.

            “You must put her out your mind, mister. She’s belong to someone now.” Syamira sudah berdiri di sisi Hanif.

            Hanif terkejut. Tiba-tiba ada suara perempuan menyapa dia. Pantas dia menoleh ke sisi. Tertangkap di anak matanya seorang wanita sederhana tinggi dengan Cordelia Dress campuran kain sifon dan lace warna ungu muda. Siapa perempuan ini? Rasanya tak pernah jumpa perempuan cantik ni di mana-mana pun. Cantik?? Argh, cepat sahaja minda lelakinya memberi gelaran cantik kepada wanita!

            “What do you means?” rasa terganggu pula Hanif. Dia yang ingin berdiri sendirian di situ, tidak pernah mengharap sesiapa datang menegurnya. Dia hanya ingin melihat Afra dan Samir di atas pelamin sana.

            “Perempuan yang you pandang  tu dah jadi isteri orang kut. Tak manis pandang isteri orang macam tu.” Syamira tak peduli pun dengan intonasi Hanif yang jelas tak senang dengan kehadirannya.

            “So? Apa masalahnya.” Isy, dari planet mana perempuan ni datang? Tiba-tiba muncul konon memberi nasihat. Ada juga perempuan macam ni!
            “Don’t tell me yang you ada hati kat pengantin perempuan…”
            “What??
            “Don’t tell me yang you sedang menampal hati you yang sedang kecewa.” Syamira terus menduga.

            Ciss, berani sungguh perempuan ni! Kenal pun tidak. Main terjah menduga hati orang pula. Kalau I ada hati pun, ada kena mengena ke dengan you? Pelik! Busybody! Kalau kecewa pun… tak ada makna I nak bagi tau you. Dan… tak mintak pun you rawat!

            “Wahai Miss Sibuk… dalam satu-satu wedding ceremony, tentulah pengantin perempuan yang jadi perhatian. Tak ada yang lebih cantik dan berseri dari pengantin perempuan tau. Nak banding dengan you… macam langit dengan bumi.” Geram pulak hati Hanif dengan perempuan yang ringan mulut itu. Entah dari mana datangnya… tiba-tiba menegur dia.

            “Nak kata I tak cantik ke apa ni?” anak mata Syamira sudah mengecil. Miss Sibuk?? Nama I Syamiralah. I adik Doktor Samirlah.
            “Cantik. Cantik sangat Miss Sibuk. Tapi…”
            “Tapi apa?”
            “Tak cukup cantik hingga boleh buat mata I terpaku. Something missing somewhere! Kalau tidak dah lama I pandang you.” Nah, ambik kau! Suka sangat jaga tepi kain orang, kan. Hanif rasa hendak bertepuk tangan bila melihat wajah Syamira sudah bertukar warna.

            Merah sudah wajah Syamira. Lelaki ini memang bukan lelaki budiman. Kalau kurang cantik sekali pun, tak payahlah berterus terang sangat. Lelaki budiman tak akan mengecilkan hati wanita. Lelaki budiman sentiasa menjaga hati wanita walaupun terpaksa hipokrit.

            “Are you upset about her, mister?” Syamira masih tidak mahu mengalah.
            “No. I’m happy for her. Kenapa tanya?”
            “You’ve got an odd look on your face.” Jari telunjuk Syamira menunjuk ke wajah Hanif.
            Hanif sudah membulatkan mata. Wajah bujur sirih yang suam-suam kuku darjah jelitanya dipandang geram. Pandai-pandai mentafsir muka orang. An odd look? Sedap hati dia nak bagi tafsiran.

            “Have I?” soal Hanif jengkel.
            Pantas Syamira angguk kepala. Muka you macam cicak berak kapur. Memang sah cinta kena tolak dengan pengantin perempuan. Alahai kesiannya! Pelamin angan you dah musnah ya.
            “I boleh tahu bila lelaki tu in love.” Kata-kata Syamira membawa anak mata Hanif ke wajahnya sekali lagi.
            “Macam mana?”
            “When a man is in love, I can see it in his eyes. Macam mata you sekarang.” Syamira tatap sepasang mata milik Hanif.
            “I was thinking about you. Kenapa sibuk sangat ye? You memang suka buat perangai tak senonoh dengan stranger ke?” nampak sangat ke muka kecewa? Sampai  perempuan asing ni pun boleh perasan. Tadi daddy, sekarang perempuan sibuk jaga tepi kain orang ni pulak.
            Haha… Syamira ketawa senafas. Lama juga anak matanya bergayut di wajah tegang  Hanif. Sempurna. Wajah yang sempurna! Tapi sayang… wanita yang bernama Afra itu sudah menjadi isteri Angah pun. Sudah menjadi milik orang pun.

            “You’re an interesting man. I buat perangai tak senonoh ni dengan you saja… sebab tertarik dengan muka kecewa you. Lelaki yang sedang melayan kecewa sebenarnya menarik… you tahu tak tentang itu?”  Syamira gerakkan keningnya. Nampak nakal sahaja.
            “Hei you!” Jerit Hanif bila Syamira mengorak langkah sebaik sahaja habis berkata tadi. An interesting man? Lelaki kecewa menarik? Ceh… tak malu sungguh perempuan ni!
            Langkah Syamira terhenti. Pusing ke belakang semula. Hujung bibir sudah menarik senyum nipis. Berjaya juga dia mengalihkan perhatian lelaki itu dari terus memandang pengantin perempuan. Pandang dengan pandangan mata yang sayu! Alahai… ada hati yang terluka di hari bahagia angah rupanya.

            “Perlukan bantuan I  ke mister? Sebagai tempat you bersandar barangkali?” sengaja Syamira menggerakkan keningnya sekali lagi.
            “No way!
            “Okey, I tak rugi apa-apa.”
            “You tahu tak siapa pengantin perempuan yang cantik tu?”
            Syamira angkat bahu. Sebab dia memang tak tahu apa hubungan Afra dan lelaki ini.
            “Afra tu cousin I tau.” Beritahu Hanif.
            “Cousin? Ooo… in love dengan cousin sendirilah ni. Pretty bad.” Syamira sudah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tak tahu nak rasa simpati atau apa.
            “You!” Hanif sudah tak mampu mengawal suaranya. “Tak dosa pun bila I in love dengan cousin sendiri.”
            “Since dia dah jadi wife orang, jatuh hukum dosa tu andai you masih simpan dia dalam hati you. So, you kena in love dengan orang lain. Got it.” Masih lagi dengan nada mengusik. Suka pula Syamira melihat wajah Hanif yang merah menahan marah.
            Hanif sudah mengepal jari-jari sendiri. Tenang Hanif… tenang. Dia cuba menyabarkan diri sendiri.  Perempuan tak cukup matang memang macam tu intonasi bahasanya. Suka dengan provokasi. Kalau dilayan, diri sendiri pun jadi tak matang. Sila abaikan sahaja.
            “You fikir senang nak jatuh cinta… hari ni jumpa, esok dah cinta? You ingat macam tu?” soal Hanif geram.
            “Tapi tak mustahil kan.”
            “Mustahil bagi I.”

            “Okay, we’ll wait and see.”