Thursday, 8 January 2015

Poskad (Bab 1) ~ Ednin

“WHAT?!”IHSAN memandang Azli dengan rasa tidak percaya. Mata yang sememangnya sudah besar menjadi bertambah besar bila dia mendengar ayat yang terbit dari segaris mulut itu.
“Kau janganlah buat main dengan aku, Lee.. Kau ni biar betul?” Tanyanya lagi buat kali kedua. Meminta pengesahan rasmi dari Azli. Ini namanya kawan makan kawan ni!
Azli mengangguk perlahan. “Betullah. Aku memang dah letak nama kau, no matrik kau, kad pengenalan.. semualah dan confirm, my friend…nama kau dah naik ka list tadi.”
Azli yang sedang duduk bersila di atas katil itu hanya mampu mengangkat tanda ‘Peace’ sahaja ke arah kawannya yang sudah tak senang duduk itu. Halahaih. Ajak buat baik pun gelabah macam ni…
Ihsan… Ihsan…
Ihsan mengeluh. Terduduk juga dia di atas kerusi di dalam kompartmen A itu. Pandangan ditebarkan ke dinding. Susah la macam ni... Rambut digarunya kasar. Serabut oi!
            “Seminggu je.. Bukannya lama mana pun.” Azli menyambung. Nota subjek land law yang sememangnya tersedia di kepala katil itu dibukanya perlahan.
            “Memanglah tak lama tapi kan aku dah janji dengan orang. Kau sendiri yang cakap tak elok kalau memungkiri janji… Itu ciri-ciri orang munafik tau, Lee!” Bersungguh-sunguh Ihsan membalas. Siap mengambil keluar dalil yang Azli pernah keluarkan sebelum ini lalu dimasukkan ke hujahnya kali ini.
            “Memang betul apa yang aku cakap tu. Betul dan tak ada salahnya..” Azli menjawab walaupun matanya masih lagi di buku yang sedang dibacanya.
            “Haa dah tu?” Badan ditundukkan sedikit mendekati Azli. Buat pertama kalinya dalam hidupnya yang dia dapat rasakan dia dapat memenangi pendebatan dengan bakal peguam syariah itu.
            “Janji tu memanglah dipandang tinggi dalam agama kita dan wajib pun kita tunaikan janji tapi..” Azli meletakkan nota lalu memandang Ihsan yang sedang mengadapnya, “boleh aku tau janji apa?” Sambungnya seketika.
Mata Ihsan dipandangnya lama. Telus masuk ke dalam hati.
            Ihsan terdiam. Peratus yang dia rasakan dapat menang tadi sudah mula turun menjadi 50%.
            “Kau nak dating kan?” Azli menembak. Bukan tak tahu perangai Ihsan yang satu tu. Perempuan keliling pinggang. Entah perempuan mana pulak yang dia nak bawak cuti semester kali ni?
            Dang! Ihsan tersandar ke belakang kerusi.
Gotcha! Knocked out!
Peratus untuk tidak pergi mengikut program Azli ini sudah bertukar menjadi bawah takat positif. Memang tak boleh diselamatkan lagi dah. Keluhan dilepaskan. Dah nampak gaya memang lah dia akan ikut sekali program itu lepas final exam nanti.
             “Kita cuti tiga minggu. Program komuniti ni ambik masa empat hari tiga malam je pun. Lepas tu kau nak dating, nak keluar ke apa ke.. aku dah tak kisah. Itu hal kau.”
            “Tapi masalahnya..”
Ihsan cuba memikirkan idea untuk menolak. Kenal sangat dah macam mana program yang Azli ni selalu bawak, dan sejujurnya dia nak cakap program itu sumpah tak kena -- langsung -- dengan peribadi dia yang serba serbi tak kena ni.
Kalau Azli tu handle program go kart ke bungee jumping ke atau benda-benda yang extreme yang dia boleh terima pakai dan memang kena dengan jiwa kental dia ni boleh lagi dia nak tadah diri untuk join. Tapi… program bermasyarakat ni?
Fuhhhh..
Come on, man… it feels so… wrong.. at the wrong place la bro! Jiran sebelah rumah dia sendiri pun dia tak ambil port, ini nak pergi berkampung entah di mana-mana pastu nak bermasyarakatan. Aduhaii, ini bukan Ihsan namanya.
            Azli memandang Ihsan dengan pandangan tanpa riak. Muka surat buku itu diselak-selak sambil menunggu ayat balasan dari Ihsan.
            “Susahlah wei..” Dia dah tak tahu nak jawab apa dah. Ihsan dah bangun dari kerusi milik Azli itu.
            “Apa yang susahnya? Empat tahun aku ikut program ni tak pernah ada rasa susah pun.. lagi suka adalah.” Betullah selama empat tahun ikut program kemasyarakatan macam ini tak pernah sekali pun dia rasa susah. Tak rasa penat. Rasa sejuk hati itu adalah.. yellah dapat membantu sesama manusia.. dan orang yang kita bantu tu pun bukannya orang lain.. bangsa sendiri jugak. Satu agama, satu negara. Apa ada hal?
Ihsan mengeluh. “Kau tak fahamlah, Lee.” Dia dengan Azli tuh macam langit dengan bumi. Yin and Yang. Halahaih. Berapa banyak alasan yang dia perlu keluarkan sampai Azli ni faham?!
            “Come on la Sun....”
            “Sorry la wei.. aku rasa..” Langkah Ihsan terhenti sebentar di meja belajar Azli yang penuh dengan timbunan akta-akta negara itu. Fokusnya terhenti gambar mereka bertiga di depan padang bola depan rumah Azli tuh.
Dia, Azli dengan Farhan…
Gambar mereka kawan baik.  Dulu kalau di sekolah menengah, siapa tak kenal trio pemuda harapan sekolah ni. Rindu pulak kat Paan yang duduk jauh dari mereka berdua ni. Nasib baiklah juga dia dengan Azli mendapat tempat di universiti yang sama. Hanya Paan saja yang tertendang jauh ke London. Terpaksa mengikut harapan bapa Paan yang mahukan Paan melanjutkan pelajaran di universiti yangsama dengannya. Nak tak nak, dah memangnya Paan ni jenis anak soleh pulak, ikutkan saja harapan bapanya itu. Dan akhirnya dari bertiga dah jadi berdua sekarang ni.
Ihsan pandang Azli yang sedang memandangnya dengan mata say utu. Alahai, ini yang lemah ni. Walaupun orang selalu kata dia lemah dengan pujuk rayu perempuan, tapi lemah lagi kalau dia dengar pujuk rayu kawan-kawan baiknya ni.
            “Tinggal kau je sekarang aku nak minta tolong. Kita orang tak cukup dua budak je.. budak yang mula sign up dulu tu tiba-tiba ada competition nak kena handle. Please.” Azli dah bangun dari katil. Kalau Ihsan tak nak tolong, entah mana lagi dia nak cari dalam masa dua hari ni. Nasib baiklah lagi satu calon Fatin dah sempat grab roommate dia. Sekarang ni hanya tinggal seorang lagi saja dia perlu cari.
            Siapa lagi kalau bukan…
Tuan empunya badan yang sedang berdiri di tepi meja belajarnya itu.
            Ahmad Redha Ihsan Ahmad Ibrahim, dia punya no. 1 S.O.S member..
            “Sun, relaks. Take it easy. Simple je kerjanya ni… kau tak payah nak guna teori fizik kau tu... Ini kerja komuniti. Tak berat.. you just go, meet peoples and have fun. Grab the oppurtunities. Aku janji kau akan dapat banyak benda. Pengalaman ni kau tak boleh cari kat tempat lain tau. Serius.” Azli memandang dasar mata Ihsan. Biar Ihsan tahu yang kerja bermasyarakat ini bukanlah benda bosan dan membazir masa tapi sebaliknya adalah satu platform yang boleh membangunkan diri sendiri dari setiap aspek. Aspek lahiriah, even to the extend of spirituality.
            Ihsan memandang Azli dengan beribu satu rasa. Gambar di atas meja itu dijeling sesaat.. Gambar kali terakhir mereka tangkap bila Farhan balik bercuti dua bulan lepas.
            “Pleaseee, bro..” Azli menggunakan perkataan magik itu.
            Ihsan mengeluh. Susah betullah dengan orang pandai psiko nih! Dia menghela nafas. “This is the first.. and the last time.” Dia berkata keras.
            Azli mengangkat tangan kanan. Serupa gaya orang nak berikrar itu. “Aku janji!” Kepala dianggukkan. Ikhlas.
            Ihsan hanya menggelengkan kepala. Nasib baik kau kawan baik aku, Azli. Kalau orang lain, sah-sah dah rasa sepakan percuma dari pemegang tali pinggang hitam Taekwondo ni.

Wednesday, 7 January 2015

Si Dia dari Boston (Prolog - Bab 1) ~ Norliza Baharom

Satu hayunan tangan yang digenggam padu hinggap tepat di rahang kirinya. Rasa sakit yang menyentap di kepala membuatkan Andrew Cohen hilang keseimbangan badan, terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan, masih tegar untuk berdiri. Padang yang tidak berumput itu cuma diterangi oleh cahaya bulan separuh penuh. Tidak jelas di mana berdiri badan sasa lelaki yang mahu menghapuskannya itu.
            Badan Andrew sudah cukup lemah. Hinggakan berharap pun baginya, dia tidak mampu. Tenaganya sudah hilang. Sang lelaki yang penuh dendam kesumat itu datang lagi meluru dari arah kanannya. Bunyi nafasnya tak ubah seperti seladang naik minyak yang sedang mencari mangsa.
Kali ini tangannya memegang sebatang besi panjang yang sedang dihayun laju. Bunyi yang berdengung dan tanpa belas itu berhenti tatkala ia hinggap di dahi Andrew dan dunianya terus bergoncang hebat. Badan yang lemah longlai itu berguling-guling di atas tanah berdebu; samar-samar pandangannya yang masih mampu melihat bulan di atas langit bersilih ganti dengan warna kelam padang botak itu.  Cecair panas mengalir mencurah-curah di alur batang hidungnya, dan jatuh ke tanah titik demi titik, hilang bersama gelap malam.
Kebas. Tiada perasaan lain lagi kerana sakit sudah tidak punya pengertian. Setelah lama bertahan, Andrew akhirnya rebah. Di dalam jerih itu, dia seolah-olah mengangguk sendirian, faham bahawa ini adalah malam terakhirnya. Bibirnya yang bergetar dan penuh darah itu terkumat-kamit cuba mengucapkan sesuatu.
         Tidak jauh, kedengaran suara-suara baru yang menghampiri, jerit pekik yang kian  gamat. Ada libasan-libasan cahaya yang mungkin datang dari lampu suluh ataupun pelita minyak tanah. Tatkala segala-galanya semakin pudar dan malap buat Andrew, satu suara tangisan yang dikenalinya baru bermula, merayu-rayu hiba. Suara itu menjerit meminta-minta dan mencerca si pembuat durja di celah-celah laungan dan sahutan orang lain di sekelilingnya. Suara tangisan itu memenuhi seluruh benak dan meremukkan isi dadanya. Mahu digali segala kekuatannya jika masih lagi ada untuk bergerak mendapatkan dan meredakan tangisan itu. Pemilik suara itulah yang telah membawa Andrew ke situ malam itu,  untuk dia bertemu dengan takdirnya.
Satu nafas panjang ditariknya penuh payah, dilepaskan perlahan-lahan.
Mata yang sudah tidak dapat melihat cahaya bulan, terpejam rapat.
Segala-galanya berakhir di situ.





BAB SATU
Jam loceng digital di atas meja mendendangkan lagu sayu dan merdu, seolah-olah sengaja dipilih oleh tuannya, supaya tidak terlalu mengganggu tidur yang selesa.
Dia berpusing ke arah berlawanan, dengan mata yang masih terpejam rapat. Namun hatinya yang sudah mula sedar di alam nyata, mengingatkan yang dia perlu bangun meninggalkan tilam empuk itu.Ternyata jam loceng itu masih lagi menepati fungsinya. Selimut putih yang mendakap tubuh dengan berat di angkat dan dibuang ke tepi. Kepalanya menoleh semula ke arah jam.
Pukul 6.30 pagi. Terpapar dengan terang digit-digit diterangi lampu LED -  7 Mei 2012, Hari Sabtu.
Dia berpusing kembali, baring menelentang. Matanya memandang ke arah syiling. Badannya terasa berat, seberat hatinya. Jarang sekali dia membenci hari Sabtu. Hari Sabtu adalah hari rehatnya yang biasa, bila mana dia tidak perlu langsung memikirkan soal kerja. Kadang kala dia menghabiskan masa pergi berjoging, ataupun keluar bersiar-siar dengan kawan-kawan, atau sekadar duduk di rumah sahaja, menonton filem-filem kegemarannya. Jika adapun satu hari yang mampu disukainya, hari Sabtulah harinya.
Tetapi hari ini dia merasakan sebaliknya. Satu perkara besar yang tidak dinanti-nantikan, tapi tidak juga boleh diabaikan. Perlu dilakukannya.
            Andrew bangun, berjalan ke bilik air, dan keluar semula 20 minit kemudian. Dagu dan atas bibirnya sudah bersih bercukur. Rambut pendek beralun berwarna perang terang itu sudah kemas bersikat. Dicalit sedikit deodoran di bawah lengannya; wangian lemon memenuhi segenap ruang bilik dan deria hidungnya. Sedikit menyegarkan dan sedikit memberikan semangat.
Cuma sedikit.
Disarungnya pula seluar dan baju kemeja yang juga digunakannya semalam untuk ke tempat kerja. Masih lagi bersih, fikirnya. Semalaman duduk di pejabat berhawa dingin selalunya tidak membawa perubahan ketara pada pakaiannya itu. 
Tidak lama kemudian, dia keluar dari bilik tidurnya, melintasi ruang tamu berdinding biru muda, menuju ke ruang dapur. Duduk dia di meja makan sendirian, menghirup kopi panas yang menghamburkan wap, memanaskan kulit mukanya yang sejuk dingin, sambil memandang ke luar tingkap, cuba untuk menikmati proses indah datangnya siang.
Musim bunga. Daun-daun hijau dan juga yang berwarna-warni masih lagi merimbuni tangkai-tangkai pokok yang besar menaung. Pokok-pokok kecil juga cantik dihiasi dengan bunga-bunga mekar. Hidungnya dapat menangkap bau harum bunga-bunga itu. Jarang dia menumpukan perhatian pada keindahan alam yang betul-betul berada di luar tingkapnya.  Dia menarik nafas panjang.
Cuaca di Walnut Street, Boston pagi itu agak sejuk setelah hujan turun pada malam sebelumnya. Terdapat jalur-jalur bekas air yang mengalir di tingkap itu pada malam sebelumnya. Kabus semakin menipis di luar. Segala-galanya semakin jelas pada pandangan mata.
Andrew merasakan sudah waktu untuk dia meninggalkan rumah. Dikutip kunci keretanya di atas meja makan, lalu dia bangun dan berjalan menuju ke luar, mula bergerak ke destinasi yang menjadi punca keresahan hatinya.
Dia keluar melalui pintu kayu berukir cantik, menuruni tangga kecil berpagar tepi di hadapan apartmennya. Jalan kecil yang sedikit curam dituruni dengan laju menuju ke kereta yang diletakkan di tepi jalan kawasan perumahan itu. Beberapa minit kemudian, kereta itu sudah pun meluncur menyusuri jalan Beacon Street, menuju ke Brookline.
Cuaca memang cerah. Jalanraya dirasakannya lebih lengang berbanding biasa. Cuma beberapa kereta berselisih dengannya sepanjang dia di jalan utama. Sesekali dilihat beberapa orang sedang berjalan kaki atau berjoging di gigi jalan, mengambil kesempatan hujung minggu itu untuk beriadah.
Sampai sahaja di satu simpang di bandar Brookline, dia membelok kanan ke satu kawasan perumahan mewah. Rumah-rumah di situ dikelilingi pokok kayu besar yang cantik dan rimbun dan dikelilingi pagar besi yang tebal dan tinggi.
Setelah melalui tiga buah rumah banglo tersergam indah, dia membelok ke kiri, berhenti betul-betul di hadapan rumah banglo keempat yang tidak kurang tersergam dan gahnya. Bahagian dinding luarnya berwarna putih awan dengan pintu dan tingkap berbingkai kayu berkualiti tinggi berwarna coklat asli. Berbagai jenis pokok bunga rimbun menghiasi hadapan rumah itu, terjaga rapi.
Jantung Andrew berdegup kencang.
Dia keluar dari kereta dan melangkah ke arah pintu rumah besar itu. Belum pun sempat dia menghampiri, kedengaran keriut bunyi pintu yang sedang dibuka. Seorang gadis belasan tahun dengan rambut perang terang semirip Andrew, muncul di muka pintu dan berlari ke arahnya.
Dia berlari dengan laju, menangkap dan memeluk Andrew sekuat hati. “Abang!” panggilnya. Andrew membalas pelukan itu, sedikit hatinya menjadi lega. Diusapnya kepala gadis yang sudah lebih setahun tidak dilihatnya itu. Gadis itu tidak berkata apa-apa, cuma mendongak memandang wajah abangnya dengan penuh rindu. Sedikit air mata kelihatan bergenang di kolam matanya.
            Dia lantas membimbing tangan Andrew, melangkah masuk ke dalam rumah. Andrew mengambil kesempatan melihat sekeliling di dalam rumah itu, melintasi ruang tamu yang masih kelihatan sama seperti yang diingatnya sebelum ini. 
Rumah inilah di mana dia dibesarkan, dari masa bayi, kanak-kanak, sehinggalah dia remaja - menghabiskan sisa-sisa persekolahan, dan akhirnya meninggalkan rumah untuk memulakan kerjayanya sebagai Jurutera di Beacon Hill. Namun kini, dia tidak merasakan keselesaan dulu ketika berada di sini. Bagaikan orang asing.
           Bukanlah terlalu jauh jarak antara Beacon Hill dan Brookline. Bahkan terlalu dekat, hanya kurang setengah jam perjalanan kereta. Boleh juga dikunjungi melalui perkhidmatan tren yang mengambil masa tidak jauh beza lamanya. Tetapi sudah lebih setahun dia tidak pulang menjenguk. Kerana dirinya tidak dialu-alukan.
            Adiknya Adreanna membimbingnya ke dapur, di mana dia memandang ke satu lagi wajah yang sangat lekat di ingatannya. Wanita berumur lewat 50-an, dengan rambut lurus perang bercampur dengan uban-uban putih yang bersinar di kepala. Kedut-kedut di wajahnya sudah jelas kelihatan seperti jalur-jalur di atas peta yang biasa dilihat Andrew di meja pejabatnya. Wanita itu pantas meletakkan periuk di tangan ke atas sinki lalu meluru ke arah Andrew. Memeluknya dan menangis tersedu-sedu.
            Andrew menahan air matanya sendiri. Dia juga sangat rindu dengan wanita yang dipanggilnya ibu itu. Rasa bersalahnya menebal kerana meninggalkan ibunya terlalu lama. Jika sebelum ini, hampir setiap hujung minggu dia akan pulang, sekurang-kurangnya untuk makan malam bersama mereka. Tetapi selepas itu tidak dapat lagi dilakukan kerana ayahnya begitu tegar tidak mahu melihatnya pulang. Tidak dibenarkan pula ahli keluarga lain melawatnya di Boston - hanya kerana tidak setujunya atas satu pilihan yang telah diambil Andrew.
            Setiap hujung minggu ibunya akan cuba menelefonnya dalam diam, merayu-rayu, meminta dia pulang. Kalau tidak memikirkan ibu dan Adreanna, sudah tentu Andrew belum lagi menjejakkan kakinya di situ.
“Apa khabar, Ibu?” sapa Andrew sambil mengukirkan senyum. Wanita yang setinggi paras bahunya itu mendongakkan kepala. Dia cuma menganggukkan kepala, kelu seribu bahasa. Airmata membasahi wajahnya.
            Setelah tangisannya reda dan rindunya terubat, Puan Marlene menyambung kerjanya yang tergendala. Dia kembali ke tungku dapur untuk menyiapkan tuna casserole buat anak lelaki kesayangannya. Dia kembali rasa bersemangat, dengan tangan sepetah mulutnya. Senyumnya sudah kembali di hujung bibir.
Andrew duduk di meja makan sambil rancak bersembang dengan Adreanna - bertanya tentang persekolahannya, kawan-kawannya yang sebahagiannya juga dikenali Andrew, dan perkara-perkara lain berkisar tentang seorang gadis muda. Adreanna juga becok bertanyakan perkembangan terbaru Andrew dan kawan-kawan abangnya yang selalu juga datang bertandang ke rumah sebelum ini. Sesekali ketawa meletus di antara kedua mereka. Ternyata bagi Adreanna, abangnya tidak pernah berubah.

‘Di mana ayah?’ akhirnya Andrew memberanikan diri bertanya. Puan Marlene terus memandang ke arahnya. Ada riak risau di wajah. Dia mula kelihatan serba salah.
‘Dia di atas, sedang membaca,’ jawab Adreanna, memudahkan Ibunya. Mukanya berubah menjadi masam dan mulutnya memuncung. Jarinya menguis-nguis daun salad yang telah terhidang di atas meja. Tanda itu sudah cukup jelas buat Andrew. Dia diam dan mengangguk perlahan.
Mungkin lebih baik jika ayahnya tidak turun, fikirnya. Tujuannya hanya untuk berjumpa ibu dan adik yang betul-betul merindukannya. Biarlah ayahnya melayan rasa marahnya itu selagi ia masih ada.
            Namun setelah semua makanan terhidang dan mereka baru hendak mula makan, Encik Jonathan Cohen terjenguk di muka pintu. Dia hanya berdiri pegun di situ buat beberapa ketika, kemudian melangkah mara. Kesemua mereka di meja makan memanggungkan kepala. Seolah-olah ketiga-tiganya sedang menahan nafas, memandang tepat ke arah Encik Jonathan.
Andrew bangun dari duduknya.
Tidak begitu pasti apa yang perlu dilakukan. Pada mulanya dia memandang ke arah ayahnya dan kemudian dia menurunkan pandangan ke meja makan, seolah-olah bersedia untuk menerima jeritan dan makian dari lelaki tua berambut putih itu. Puan Marlene dan Adreanna cuba berlagak seperti biasa. Cuma kaki Adreanna digoyang laju di bawah meja - tabiatnya yang biasa bila dia resah dan gelisah.
            Ayahnya tidak berkata apa-apa, memandang Andrew sekilas dan mengambil tempat duduknya di meja makan.  Setelah mendapati dia belum lagi dijerit atau dimaki, Andrew memanggil ‘Ayah,’ lantas menghulurkan tangannya. Tidak dijangka, ayahnya menyambut tangannya. Dia menggoyangkannya sekali lalu melepaskannya. Tidak langsung tersenyum tetapi menganggukkan kepalanya, kecil. Matanya tidak pernah sekalipun bertemu dengan mata Andrew.
 Andrew menarik nafas lega. Begitu juga ibu dan adiknya. Makin ligat tangan ibunya menghidangkan makanan dan minuman, di bantu oleh Adreanna.
            Masih segar di ingatan Andrew di saat ayahnya menjerit-jerit ke arahnya dengan sumpah seranah, membaling pasu seramik ibunya ke arahnya, yang sipi hampir hinggap di dahinya jika dia tidak cekap menundukkan kepala, menghalau dia dari rumah itu, memberi amaran yang dia akan melakukan apa sahaja sekiranya Andrew berani menjejakkan kaki di situ lagi. Wajahnya merah menyala dengan dadanya yang turun naik menahan marah yang amat sangat. Benar-benar dia kecewa dengan keputusan Andrew.
Tidak pernah ayahnya berkelakuan seperti itu sepanjang Andrew hidup bersamanya; walau apa pun yang terjadi, seburuk manapun kelakuannya, tetapi hari itu ayahnya begitu. Selepas itu dia tidak begitu yakin akan kemungkinan bahawa ayahnya mampu menyayanginya dan menerimanya seperti dulu.
Mungkin ada benarnya pepatah yang mengatakan masa mampu mengubah segala luka. Mungkin ayahnya hanya perlukan sedikit masa untuk menerima yang anaknya ini berhak memilih untuk kebaikan dirinya sendiri.
Andrew segera menggeleng-gelengkan kepala, cuba membuang jauh-jauh kenangan pahit itu. Yang penting kini, ayah sudah tidak marah lagi padanya. Sekurang-kurangnya, tidak seperti dulu.
Mereka makan dengan tenang. Walaupun Encik Jonathan tidak bercakap dengan anaknya mahupun sesiapa, Andrew dan Adreanna tetap bergurau sesama sendiri seperti biasa. Ibunya tetap tersenyum dan sibuk makan sambil memerhatikan wajah-wajah anaknya. Cuma sekali-sekala dia mengerling ke arah Encik Jonathan dan senyumnya akan hilang dari raut wajahnya buat sementara, tanda tidak setuju dengan tingkah laku dingin suaminya itu.
 Selesai makan, Andrew meminta diri untuk naik ke kamar lamanya. Dia mendaki tangga berpusing di bahagian tengah rumah itu. Bilik tidurnya masih lagi kelihatan seperti dulu, kerana usaha ibunya untuk mengekalkan kenangan lalu dengan cara begitu. Caranya menyimpan memori di rumah itu yang dahulu pernah ceria dengan kehadiran anak-anaknya.
Poster-poster pemain bola keranjang kegemaran Andrew dari kelab Bolton Celtics masih lagi tertampal kemas di dinding – kelihatan lusuh, tetapi tidak berganjak dari tempat asalnya. Sudah berada di situ sejak dia belasan tahun lagi. Baju-baju T lamanya, topi serta pakaian-pakaian lain masih lagi tergantung kemas di dalam almari. Dia tersenyum sendirian, merasakan rasa kasih yang mendalam terhadap ibunya.
 Selepas itu dia terus ke bilik air yang bersambung terus dengan bilik tidur itu. Kepala pili air dipulas lalu dia membasuh muka, kedua-dua tangan hingga ke siku, ubun-ubun, dan kedua-dua belah kakinya.
Tikar kecil yang dibawanya dari rumah dihamparkan di atas lantai bilik. Dia berdiri di atas satu hujung tikar itu, melurus-luruskan badannya sambil mulutnya terkumat-kamit, lantas perlahan-lahan dia mengangkat tangan mengucapkan takbir.
Hatinya tenang tidak terkata. Solat Zohor itu sangat bermakna; solat pertamanya di rumah dia diasuh dan dibesarkan. Di akhir solatnya, dia menadahkan tangan, bersyukur kepada Allah yang telah melembutkan hati ayahnya, sekurang-kurangnya mampu untuk menerima kedatangannya.
Satu permulaan yang baik memandangkan ayahnya adalah seorang yang kuat beragama, dan keluarga Andrew secara umumnya beragama Yahudi.
 Puan Marlene berasal dari keluarga campuran – bapanya warga Amerika manakala ibunya pula seorang pendatang Yahudi. Encik Jonathan pula mempunyai kedua-dua ibubapa berbangsa Yahudi. Jadi tidak hairanlah jika ayahnya itu yang paling kuat pegangan agamanya.
Sepanjang perkahwinan, mereka jarang terlepas pergi ke kuil setiap minggu, wajib juga disertai oleh Andrew ketika dia masih belum tahu mencari haluannya sendiri, termasuk Adreanna sendiri. Menunjukkan betapa kuat pendidikan agama mahu diterapkan di dalam keluarga itu oleh sang ayah.
Cuma bezanya, ibu dan adiknya adalah perempuan- berhati lembut dan mudah kasihan. Tak mungkin di hati ibu sanggup untuk membuang anaknya walaupun anaknya nekad bertukar agama.
 Ayahnya adalah satu dugaan yang kuat baginya. Mungkin sebahagian besar tindakan ayahnya diselubungi rasa malu dengan rakan taulan dan jiran tetangga yang mendapat tahu bahawa anak lelakinya kini bergelar Muslim. Satu gelaran yang mengundang spekulasi - terutamanya dewasa ini.
 Dia tidak akan berputus asa, akan cuba memenangi semula hati ayahnya.
Setelah lebih satu jam duduk di ruang tamu, bersembang-sembang dengan ibu dan adiknya, Andrew meminta diri untuk pulang. Ayahnya sudah lama naik semula ke bilik bacaan sejurus dia selesai makan. Adreanna memeluk abang kesayangannya sambil merengek-rengek manja, tidak mahu dia pergi. Andrew mengusap dan menepuk-nepuk kepala Adreanna seperti selalu dilakukannya.
‘Janji pada kami, abang akan datang lagi minggu depan,’ katanya.
‘Baiklah, budak nakal!’ balas Andrew sambil menggosok-gosok kepala Adreanna.
Ibunya menyuakan bekal makanan supaya Andrew tidak perlu memasak atau membeli makanan malam nanti. Selepas itu dia memeluk lagi anaknya, erat.
‘Ibu nak kamu tahu, yang ibu sentiasa menyokong setiap pilihanmu. Selagi kamu berubah menjadi manusia yang lebih baik, selagi itu ibu akan menyokongmu.’ ucap ibunya sambil mengalirkan air mata.

‘Terima kasih, Ibu,’ balasnya, benar-benar memaksudkan. Dia mengucup ubun-ubun yang sudah berumur separuh abad itu, tanda sayang dan terima kasih. Hatinya berbunga-bunga sayu. Sabtu itu bertukar semula menjadi sabtu yang paling digemarinya. Malahan lebih baik dari itu. Sambil melangkah keluar dari rumah itu, bibirnya menguntum  senyum sambil mengucapkan “Alhamdulillah…”.

Tuesday, 6 January 2015

Poskad (Prolog) ~ Ednin

Julai 2006
MAISA DUDUK di tengah-tengah kafe sambil menanti kelibat Mardia yang masih tak kunjung tiba. Sekeliling kafe disorotinya dengan harapan wajah si kawan baik seorang itu akan timbul di antara berpuluh-puluh manusia yang sedang menjamu selera. Tapi hampa, bila yang datang bukanlah Mardia; si tinggi lampai yang suka berlagak diva itu tetapi sebaliknya pelajar-pelajar lain yang sudah mula memenuhi kafe di waktu peak hours macam ni.
Peak hours?
Automatik mata menjeling Baby-G di tangan.
1.15 petang.
Sudah sepuluh minit lewat dari waktu yang dijanjikan.
Kepala diangkat lagi menerobos ruang kafe yang sudah hampir penuh itu. Saja mahu melilau tanpa fokus, cuba menghabiskan masa dengan melihat ragam-ragam manusia yang berlainan perangai dan cara…
Dan akhirnya, fokus matanya terhenti ke arah pukul sembilan dari arah tempat duduknya.
Betul-betul di hujung kafe, berdekatan dengan sinki putih sebelah gerai minuman Pak Cik Awie.
Dari tempatnya, Maisa melihat ada seorang lelaki berkemeja putih sedang menghirup kopi. Wajahnya tenang, terlakar senyuman di pinggir bibirnya sambil bersembang gembira dengan kawan-kawannya…
Manis. Desis hati Maisa tiba-tiba.
Lama pandangannya jatuh ke arah lelaki itu. Seminit kemudian dia berpaling pula ke arah lain; cuba mengubah haluan mata tetapi dua minit selepas itu, matanya akan kembali tersasar ke arah itu.
Magik? Mungkin.
Ataupun hanyalah sekadar jamahan mata. Logiklah kan bila seorang gadis, berusia 18 tahun sepertinya ini tertarik pada lelaki yang tampak bergaya dan kelihatan smart dengan kemeja putihnya itu. Tambah lagi dengan senyuman yang setia di wajahnya.
            Mana mungkin hatinya tidak tertarik. Walaupun berkajang manusia yang mengatakan hati Maisa itu sebeku ais kepal tapi Maisa tetap Maisa. Ais kepal atau tidak, dia masih manusia normal… tersangkut juga bila melihat senyuman berlesung pipit lelaki itu.
            Maisa cuba menghalakan pandangannya ke tempat lain tetapi entah, memang ada sesuatu pada lelaki itu yang berjaya membuatkan pandangannya sikit-sikit tersasar ke arah itu.
Something bbanjak, bbanjak..
Something sparkling..
Something that makes him stand out among the crowd.
Magnet! Klik fokus Maisa pada wajah itu.
Satu minit..
Dua minit..
Sepuluh minit..
Kedepappppp.
Maisa tersentak dengan bunyi dentuman fail putih di atas meja dengan wajah Mardia yang sedang tersenyum monkey di hadapannya. “Sorry, aku lambat sampai. Lecturer aku terbabas bagi lecture tadi.”
Mardia membetulkan letak tudungnya yang dah serabai dek mendengar kuliah Prof. Rahman tadi. Nak pengsan kepalanya nak mencerna formula-formula fizik yang  pelbagai jenis tu. Tak siap dengan formula yang bertimbun tu, boleh pulak Prof. Rahman panjangkan masa kuliah mereka. Dari sepatutnya pukul 12.30 habis dah terbabas sampai pukul 1.10 petang. Cepat-cepat dia terpaksa berlari ke kantin, mengingatkan temu janjinya dengan Maisa. Padahalnya Mardia sedia maklum yang Maisa ni memang tak suka kalau orang datang lambat-lambat ni.
“Mesti kau dah tunggu lama kan? Sorry ye Ais sayang!”
“No hallah. Aku relaks je kat sini. Boleh tengok ragam manusia.” Maisa angkat kening. Tak kisah pun sebenarnya. Mardia tu bukannya suka-suka nak lambat kan?
“Ragam apa yang kau tengok ni ha?” Mardia angkat kening The Rock. Tengok ragam orang tengah makan ni ke?
“Tapi aku nampak macam kau tengah berangan je. Yellah aku dok lambai kau dari tadi, sikit pun kau tak sedar.”
“Ey? Ye ke? Aku tak perasan pun.” Maisa membetulkan duduk. Dah dating dah cuak dia. Maisa ni kalau dah cuak, memang tak pandai cover! Lepas ni kena belajar jadi orang yang pandai cover cuak tu. Jangan tunjuk rasa cuak kita. Nanti kang senang orang nak kacau. Take note, Maisa.
Mardia menjungkitkan kening. “Yeke? Aku macam tak boleh nak percaya kau ni…” Serentak dia melunjurkan kepalanya tinggi mencari apa dan siapa yang dipandang Maisa tadi? Dahinya berkerut seribu sambil matanya meliar di sekeliling kafe itu.
 “Aku tak nampak apa-apa yang menarik…” Ayat Mardia tergantung di tengah jalan. Macam drama bersiri. Berepisod-episod. Serentak dia berpaling ke arah Maisa dengan mata bulatnya. “…pun.”
Mata Mardia sudah bersinar-sinar. Seolah-olah ada berita tergempar yang dia bakal kongsikan.
“Kau apesal?” Jantung Maisa sudah mula dudapdudapduap. Mardia tak perasan kut apa yang dia buat tadi. Kan? Kan? Pipi sudah terasa panas.
Mardia mendekatkan diri. Seakan-akan mahu berbisik. Lagaknya macam rahsia besar yang bakal dia ceritakan nanti. Maisa sudah menelan air liur sambil menunggu ayat sambungan dari Mardia. Hati sudah berdoa-doa, janganlah Mardia perasan…
 “Pukul sembilan kau.. cuba kau tengok. Dia pakai kemeja putih.. dengan bag BG biru tu.”
Maisa mengangguk, mengikut arahan yang diberi Mardia itu.
Pukul sembilan.. Kemeja putih.. Bag Body Glove warna biru..
Klik.
Dan -- sekali lagi -- matanya terhenti ke arah lelaki berkemeja putih itu. Dia menelan air liur. “Uhuh.. kenapa?” Dia bersuara tanpa perasaan. Cuba berlagak tenang. Mata memandang Mardia, meminta jawapan.
“Itulah Sun. The Sun of SOE.”
Maisa mengangkat kening. Sun of SOE?
Matahari kepada SOE?

Alahai, peliknya nama!  

Monday, 5 January 2015

Lukis di Langit Kita (Bab 4) ~ Hananee Amir

Meja batu yang tempatnya ditengah-tengah laluan fakulti kewangan itu dipenuhi pelajar dari pelbagai bidang dan rupa. Tak kira dengan apa aktiviti. Ada yang sibuk menelaah. Ada yang sibuk dengan telefon pintar masing-masing melayan candy crush dan facebook. Tak kurang juga yang sibuk melayan pasangan masing-masing dengan gaya yang amat menjengkelkan. Teringat kata-kata seorang kawan ‘mak ayah hantar ke universiti untuk cari ilmu, tambah ilmu, bukan cari rusuk kiri yang hilang’.
Inilah yang ummi selalu bimbangkan. Yang ummi selalu pesankan. Anak muda sekarang dah makin nipis rasa malunya. Dah lebih mat salleh dari mat salleh itu sendiri. Nak tak nak dia kena mengakui. Dia cuba menjaga diri sebaik mungkin. Raihana mungkin boleh membantu sebab Raihana ni, warak sikit orangnya.
            Di satu sudut, di meja paling kanan sekali, Umairah, Raihana dan Sofina sibuk menelaah pelajaran. Budak bertiga ni memang ‘kaki buku’. Tiap-tiap tahun, memang muka tu jugaklah naik pentas ambil anugerah kepujian dekan. Raihana tak ada boyfriend. Mak dia awal-awal dah larang. Mak dia pesan dah pesan awal-awal, selagi belum habis study, jangan gatal nak pilih laki. Lalu selaku anak yang taat, Raihana akur je.
Ada juga yang mencuba nasib. Tapi dia tolak dengan baik. Selain pesanan mak dia yang dia pegang kuat-kuat tu, dia rasa malas nak simpan sebahagian otak dia semata-mata untuk menempatkan seorang lelaki. Apatah lagi nak simpan sebahagian hati, pun untuk lelaki. Buat masa ini, prinsip dia mudah. Semuanya hanya untuk pelajaran dan dia ok dengan keadaan dia tu walaupun ramai kawan-kawan dia dah ada boyfriend. Dia percaya sampai masa nanti, dia akan tetap bertemu seseorang yang Allah telah janjikan. Masa tu, dia harap otaknya akan mempunyai ruang yang lebih besar untuk kekasih hatinya.
Sofina? Dia kan dah ada tunang. Pilot. Duda anak satu. Mak dia yang pilihkan.
“Macam kisah klasik lah kau ni. Zaman sekarang pun pakai family match ke?” Usik Raihana saja-saja dulu. Bila Sofina kata dia akan bertunang dengan pilot muda yang mak dia pilihkan. Muka dia tak ada bantahan. Ibarat dalam drama dan novel tempatan. Kahwin paksa yang mula-mula benci akhirnya bertukar cinta. Bezanya Sofina dari awal menerima. Dia kata malas nak benci-benci. Alasan dia, kahwin pilot dapat pusing satu dunia, free! Tak tahulah apa dia fikir. Dia fikir, dia bakal kahwin dengan pilot atau dia fikir pilot tu memang dapat sebiji kapalterbang setiap seorang jadi boleh jelajah dunia free? Apa dia ingat isi minyak sepuluh ringgit cukup untuk satu tank kapalterbang? Ke dia ingat kapalterbang tu tak payah isi minyak? Takkan lah sampai macma tu sekali. Sofina ni bijak orang nya tau tak.
“Aku pun malas nak cari. Dah alang-alang mak aku carikan. Aku terima jelah. Pilot, duda anak satu, anak dia tu, bekas isteri dia yang jaga. Tapi kalau dia nak aku jaga pun, aku ok. Aku suka je budak-budak. Kira oklah. Tak payah aku nak tergesa-geasa beranak nanti.” Dia selamba je jawab macam tu lepas jawab panggilan dari mak dia menyatakan tarikh bertunang dah pun ditetapkan. Cara dia cakap tak macam kena kahwin paksa pun.
“Kau tak nak jumpa dia dulu? Kot lah tak ada gigi ke? Pendek ke?” Sengaja Umairah nak menduga Sofina. Sebab dia nampak macma tak rasa apa-apa pun. Macam bertunang tu bukan isu besra sangat.
“Motif sangat part pendek tu? Pilot mana boleh pendek.” Sofina gelak. Logik jugak.
“At least kau jumpa dia dulu sekali dua. Mak kau pun tak adalah mendesak sangat kan?” Raihana pulak menyampuk.
“Mak aku tak mendesak. Aku yang terdesak ni.” Gaya cakap macamlah umur dia tu dah 40 tahun yang beria sangat terdesak nak kahwin.
“Kau 20 tahun je kot. Apa yang terdesak sangat? Sekarang ni, orang kahwin umur 30 tahun pun biasa tau tak. Ni bukan zaman Saloma dengan P Ramlee lah.” Raihana sambung bebel. Hidup ni bukan selalu indah macam dalam novel, dalam telenovela. Itu cerita imaginasi. Yang realiti ni banyak cabarannya. Tu dia kena tahu tapi nampak macam Sofina tak kisah.
“Aku yakin mak aku akan pilih yang baik-baik untuk aku.” Dakwaannya benar. Takkan mak ayah dia nak pilihkan yang buruk-buruk untuk anak dia yang cantik jelita tu? Dan pun kalau terpesona dengan jawatan pilot tu, rasa macam tak mungkin. Mana mungkin. Mak ayah dia pun bukan orang kebanyakan sampai begitu gelap mata dengan status pilot. Mak ayah dia kerja besar. Dia sendiri tinggal dirumah agam. Apalah yang dia nak gelap mata setakat pilot kalau ye pun? Kot menteri ke, lain cerita jugak lah kan. Prospek dah lain dah tu.
Tapi itu cerita dulu. Dua tahun dulu. Sekarang ni, dah dua tahun Sofina jadi tunangan orang. Jarang jumpa sebab sang kekasih selalu fly sana sini. Macam burung. Sofina nampak tak kisah. Kata dia, jarang jumpa, jarang buat dosa. Logik. Dan DUSH sekali kat muka Umairah tapi Umairah tak kisah. Dia selalu jumpa pun, depan kawan-kawan dia je. Jarang nak keluar berdua. Ada jugaklah dosa kot. Harap tak bertambah-tambahlah. Takut pulak mati masa buat dosa. Tak sempat bertaubat. Ish! Jauhkanlah.
Nyata keputusan dia untuk menerima pilihan mak dia dulu berbaloi. Tak seindah novel, sang tunang bukan kaya, tampan , terkenal seperti selalunya. Sang tunang namanya Fahmi. Agak tampan, boleh-bolehlah. Maklumlah, pakejnya tinggi, kurus dan segak. Berbudi bahasa orangnya, Tidak sekaya Sofina. Dia hanya anak pesawah dari utara tanah air yang dialek utaranya amat pekat. Dia peramah, seperti anak utara kebanyakannya. Secara total, Sofina memang tak rugi langsung.
“Hoi!” Kedamaian yang sedang dinikmati 3 sahabat itu terganggu dengan suara seorang manusia yang tak ada adab sopan, tiba-tiba menerjah. Tak reti nak bagi salam langsung.
“Kau ni Chee Seng, sekali aku tampar karang. Kau tak boleh ke datang elok-elok? Nak sergah sana sini ni kenapa?” Sofina angkat tangan buat gaya nak lempang Chee Seng. Patutlah tak bagi salam. Dah namanya Chee Seng kan. Belum Muhamad Chee Seng lagi. Macam mana nak bagi salam.
“Sorry lah. Kau ni Sofi. Tak ada sense of humour langsung. Nak marah je. Kesianlah kat tunang kau, dapat tunang macam kau ni.” Dia separuh merungut. 100 Plus yang setin kat tangan dia terus hirup. Kat tangan kanan ada satu beg plastik yang berisi tiga kon ais krim cornetto.
“Nah! Aku belikan aiskrim. Baik hati tak aku? Dalam poket ada sepuluh ringgit je tau. Gigih aku belikan kau orang aiskrim ni. Aiskrim mahal pulak tu.” Katanya sambil menghulur beg plastik pada Raihana. Cepat-cepat Sofina sambar.
“Oh! Tadi kau marah aku? Aku bawak aiskrim, kau pulak yang lebih-lebih” Chee Seng membebel.
“Aku marah kau je, aiskrim kau tak terlibat, Chapter lain-lain.” Plastik aiskrim bertukar tangan dari Sofina, Umairah pada Raihana.
“Vanila tu Rai punya. Dia tak makan coklat. Aku nak beli vanilla semua tadi. Tapi tinggal yang tiga ni je.” Tak jadi Sofina nak makan aiskrim vanilla tadi. Raihana memang tak suka coklat. Itu Chee Seng tahu. Sebab tu dia belikan vanilla khas buat Raihana.
“Najwan mana?” Soal Umairah sambil membuka pembalut aiskrim.
“Boyfriend kau, kau tanya aku. Bukan aku yang jadi girlfriend dia.” Selamba je jawapan sambil selak-selak nota Raihana. Macam faham padahal kursus lain-lain. Kadang-kadnag dahi berkerut macam tengah memaksa diri nak fahamkan nota-nota tu. Nota sendiri dah tak cukup gamaknya.
“Kau kan course mate dia. Lagipun kalau dia tak ada dengan aku, selalu dia ada dengan kau kan?” Kata Umairah. Mata pandang Chee Seng tapi tangan meraba-raba dalam beg dia cari highlighter nak menanda nota.
“Ada perjumpaan panel juri untuk persembahan malam esok.” 100 Plus disedut hingga bunyi tin kosong kedengaran. Tin kosong digoyang-goyangkan dengan tangan kanan nak pastikan betul-betul dah habis sebelum tin kosong tu dibuang dalam tong sampah berhampiran.
“Persembahan apa?” Soal Sofina pulak. Dia sedang sibuk cari tisu dalam handbag dia yang macam beg doraemon sebab semua benda ada dalam tu. Tak jumpa pun tisu yang dicari, sampailah Chee Seng nampak peket tisu terselit kat celah diari dia. Chee Seng terus tarik dan bagi pada Sofina. Sofina ni memang rajin pasal serba serbi kecuali mengemas. Sebab tu beg dia pun bersepah.
Dia siap buat permohonan kat Fahmi, lepas kahwin nanti dia nak pembantu rumah khas untuk kemas mengemas je. Bab lain termasuk masak memasak dia boleh uruskan. Untunglah kau nak kahwin pilot dik non. Kalau tak, tak merasa lah nak ada pembantu khas kebersihan rumah idaman kau tu. Tu belum tengok katil dia. Kalau Raihana atau Umairah tak kemas, memang rupanya lagi buruk dari kejadian tsunami kat Acheh dulu. Horror.
Mula-mula dulu, Raihana dengan Umairah tu jenuh juga lah berleter suruh dia berkemas. Tapi dululah. Dah lama-lama dia pun jadi malas nak membebel. Baik terus tolong kemas je. Engsel mulut pun tak penat, pahala pun dapat. Lagipun Sofina ni malas berkemas je. Bab lain macam lipat baju, bancuh air untuk breakfast ke, dia rajin. Baju Umairah dengan Raihana pun selalu je dia lipatkan. Jadi malaslah nak berkira sangat kan.
“Malam Aspirasi Kartunis. Jangan tanya aku kenapa Najwan terlibat sebab aku pun tak faham. Dan lagi aku tak faham, Najwan dah heret aku jadi ajk untuk malam tu. Aku malas pergi taklimat tadi. Aku kata sakit perut, terus aku lari ke sini. Najwan tu kau tahu la. Segala aktiviti kat kolej tu dia nak follow. Penat tau tak.” Panjang lebar ulasan Chee Seng. Muka nampak sangat tak puas hati.
“Dia datang sini tak?” Umairah soal lagi. Memang dah janji nak jumpa kat tempat diorang berempat tengah berkumpul tu. Sebab Najwan janji nak belanja makan Kenny Rogers kat The Mines. Tu yang sibuk bertanya tu.
“Datanglah. Dia ingat janji dia tu. Lambat sikit jelah kot.”Jam kat pergelingan tangan direling beberapa saat. Chee Seng tarik buku dia pulak dari dalam beg. Mana tahan tengok semua orang baik punya study sambil tangan kanan pegang aiskrim, dia jadi pemerhati je. Dia pun nak naik pentas lagi ambil anugerah dekan tahun ni.
“Oit! Kau tak payah lah menyemak. Meja dah penuh ni.” Sofina tolak buku Chee Seng yang baru nak ambil tempat tu ke tepi. Raihana pulak tarik buku dia ke ke kanan sikit sebab nak bagi ruang kat Chee Seng.
“Aku pun nak study jugak. Nak pandai jugak. Teruklah kau ni. Aku dah belikan aiskrim kot tadi.” Dia sambung merungut.
“Jadi aiskrim ni rasuah lah?”
“Hei! Sofi, Chee Seng. Apa nak kenalah kau orang ni? Asal jumpa je nak gaduh. Tak penat ke? Nasib baiklah Sofi tu dah tunang, kalau tak, aku kahwinkan je kau dengan Chee Seng ni tau tak? Orang nak study ni. Tak boleh duduk diam-diam. Kejap lagi nak merayap sampai The Mines. Siapkan lah kerja-kerja ni dulu.” Umairah geleng kepala. Raihana tumpang gelak.
“Kau ke sanalah sikit, dekat dengan Mairah. Aku gerak sini sikit. Cukuplah ruang untuk Chee Seng tu. Dia bukan besar sangat pun. Meja ni memang untuk 4 orang pun. Kemas sikit barang kau tu. Penuh dengan barang kau je tu. Kalau kau kemas sikit mesti muat.” Memang betul pun, atas meja tu penuh dengan barang Sofina je. Stationary dia je bertabur merata-rata sampai ada liquid paper jatuh bawah meja. Fail dia lagi. Buku-buku, dengan nota-nota dia lagi. Dia ni hari-hari pikul satu meja study kot bawak masuk kelas. Orang lain tak ada pun bawak barang sampai banyak macam tu.
“Beg dah lah macam beg doraemon. Meja pulak macam kena tsunami. Kau ni perempuan jadian ke apa?” Chee Seng capaikan liquid paper bawah meja sebelum dia campakkan dalam pensil case Sofina atas meja.
“Dah… sambung study. Aku ada banyak chapter lagi ni. Aku perlukan kedamaian ni.” Potong Umairah. Kalau dilayan budak berdua ni, alamatnya tak study lah.
Diam. Semua sibuk mengulangkaji pelajaran sebelum Chee Seng datang dengan soalan yang tak kena mengena langsung dengan pelajaran apatah lagi masa depan.
            “Mairah, siapa budak lelaki yang duduk sebelah rumah kau tu?” Hujung pen digigit sambil mata pandang Umairah yang tadi ligat tulis nota, tapi dah berhenti beberapa saat sebelum pandang muka Chee Seng.
            “Sejak bila dia masuk dalam silibus kursus kau?” Matanya membundar.
            “Taklah. Tiba-tiba teringat. Tapi dah lama aku nak tanya. Asyik lupa je. Sementara aku ingat ni, baik aku tanya. Aku ni ada penyakit. Kalau satu-satu benda tu aku nak tanya, lepas tu lupa nak tanya. Aku susah nak tidur malam.” Dah puas gigit pen, dia pusing-pusing pulak pen tu hujung jari. Laju macam kipas. Yang ni Sofina cukup jaki. Sebab dari dulu dia cuba buat, tak berjaya jugak sampai hari ni.
            “Jadi dah berapa lama kau tak dapat tidur malam ni?” Perli Umairah.
            “Jawab jelah. Bukan susah pun kan?”
            “Ikram.” Tiba-tiba Raihana tolong jawabkan tanpa angkat muka. Umairah pandang Raihana. Senyum nakal terukir dibibir. Umairah malas nak sebut nama tu, tapi Raihana pulak yang sebut. Saja nak bagi panas.
            “Sejak bila kau jadi jurucakap aku?” Soal Umairah tak puas hati.
            “Kalau tunggu kau jawab, kau memang takkan jawab kan.” Sampuk Sofina pulak. Eh! Boleh semua ni take team pukul Umairah? Lupa yang nak pergi ‘bercanda’ sampai ke The Mines ni boyfriend Umairah?
            “Aku pun pelik kenapa kau dari dulu tak suka kat dia. Aku tengok dia ok je.” Raihana sambung lagi. Chee Seng dengar je sebab tak tahu nak sampuk apa. Dia cuma nak tahu nama je. Itupun tak tahu atas tujuan apa.
            “Kau mana kenal dia. Aku kenal dia dari kecil kot. Tahulah.”
            “Hari tu masa pergi rumah kau, kereta aku habis minyak, dia siap tolong belikan minyak lagi. Kalau tak, tersadai aku dengan Sofi tengahari buta tak sampai rumah kau.” Tokok Raihana.
            “Tu je kau kata dia baik? Bai jual roti pun akan tolong la kalau itu je. Yang kehabisan minyak pulak perempuan cantik jelita. Wajiblah tolong.” Cara dia jawab nampak sangat tak berkenan. Mata masih kat hujung pen yang ligat menyalin nota.
            “Yelah, at least dia baiklah kan. Sebab tu dia tolong.”
            “Aku tak suka dia. Kerek. Dari kecik, ummi asyiklah puji dia. Ikram baiklah, Ikram itulah, Ikram inilah. Sudahnya SPM cemerlang tapi dia tak kemana-mana. Kerek. Abang dia Huzir dengan Azril tu ok je aku tengok. Eh! Entahlah. Aku tak suka, maka tak sukalah.”
Perbualan tentang Umairah dan Ikram berhenti disitu disebabkan telefon bimbit Chee Seng berbunyi.
            “Najwan.” Dia gelak sebelum panggilan disambut.
            “Aku kat fakulti ni. Dengan 3 dara pinggitan termasuk girlfriend kau……ah! Malaslah. Lagipun kau yang paksa aku join, bukan aku yang nak pun. Aku setuju join pun dah kira bagus ni…. Ha…ok …kitorang datang sana. 15 minit.” Panggilan ditamatkan.
            “Apasal?” Soal Raihana terus sebab tengok Chee Seng terkekeh-kekeh ketawa.
            “Bising lah mamat tu, aku lari dari taklimat Malam Aspirasi Kartunis tu. Dia tinggal sorang-sorang. Dia yang paksa aku kot.”
            “Padan muka.”
            “Jom…dia tunggu kita kat parking.”
Cepat-cepat meja dikemas.