Monday, 29 September 2014

Tasbih Buat Aishah (Bab 3) ~ Ahmad Safarman

“JIKA ENGKAU minta intan permata tak mungkin ku mampu. Tapi sayangkan kucapai bintang dari langit untukmu...”
“Lawak betul le kau ni Ain.” Nurin tergelak besar apabila kawannya itu menyanyi riang di tepi bendang. Bukan sekadar menyanyi bahkan menari-nari sambil mengipas-ngibas rambutnya yang merah dan panjang mengurai itu. Siap melentok-lentok lagi.
Ain tidak menghiraukan teguran itu. Dia kemudian menyambung semula nyanyiannya. “Sayangku jangan kau persoalkan siapa di hatiku. Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu…”
Nurin tergelak.
“Alah, kau saja je kan nak buang semangat aku? Tak guna punya kawan!” Ain menepuk bahu Nurin dengan kuat.
“Hoi! Sakit le. Apalah kau ni. Aku sokong kau tau. Sebab aku tahu kau ni jenis gila-gila orangnya.”  Nurin menjawab. Tersengih-sengih menahan sakit
“Ya aku ni gila-gila. Tak tutup aurat. Habis tu kau nak suruh aku buat apa? Pakai tudung labuh? Pakai purdah?” perli Ain.
Pertanyaan Ain itu membuatkan Nurin lagi tergelak besar. Apa tidaknya, kawannya itu pantang dicucuk sikit mulalah meradang tak tentu pasal. Apatah lagi soal purdah diperkatakan.
Ain menambah lagi. Dia tetap tak puas hati. “Kau ingat kau  ni baik sangat ke? Orang yang pakai tudung ni pasti ke dijanjikan syurga oleh Allah? Pelacur yang bagi minum kat anjing pun boleh masuk syurga tau.”
“Hahaha! Habis, kau nak sangat masuk syurga? Kau jadilah pelacur lepas tu bagi makan kat anjing. Kat kampung kita ni banyak juga anjing-anjing kelaparan.” Nurin menempelak sahabatnya dan sekali lagi tergelak  besar.
Ain tidak gelak mendengar lawak Nurin. Dia mencelah. “Ya, memang banyak sangat anjing-anjing kat kampung kita ni. Dan salah sekornya adalah yang duduk di depan aku ni.” 
“Kau saja je kan!” Nurin sedikit bertempik apabila dituduh seperti itu.
Kali ini giliran Ain pula tergelak besar. Menampakkan giginya. Bahkan anak halkumnya. Kuat benar. Sayup kedengaran di hujung bendang.
 “Apalah kau ni panggil aku anjing? Kau tu layaknya anjing!” Balas Nurin pula sambil tergelak.
“Dah tu kau nak kejar syurga sangat pergilah kejar syurga. Pergi jadi wanita….” Ain tidak dapat meneruskan kata-kata.
Nurin kebingungan lalu tiba-tiba melihat ke belakang. “Wah, perempuan lindungan Kaabah sudah datang.”
“Ya, perempuan berkalong sorban itu. Sekarang juga aku ajar!” Ain terus meluru kearah Nur Aishah yang sedang berjalan sambil membawa plastik kain.
“Pucuk dicita ulam mendatang!” Ain cepat-cepat mendekati.  Terkinja-kinja kepuasan. Tak sangka kali ini dia berhadapan dengan Nur Aishah. Detik yang dinanti-nantikan telah tiba.
Nurin mengekori penuh semangat. Drama apa pula yang akan disaksikannya kali ini. Adakah drama air mata ataupun perang dunia bakal meletus?
“Hei, kau nak kemana ni sayang? Nak ke surau ke? Takkan nak ke surau, Zohor belum masuk lagi.” Tegur Ain sambil tergelak besar. Dia sekadar memerli bagi menaikkan darah Nur Aishah.
Nur Aishah berhenti tanpa berkata apa. Perjalanannya dihalang. Namun dia masih menunjukkan muka biasa. Tak cuak langsung.
“Dia nak pergi bukak sejadah le. Apa kau tau!” balas Nurin pula menyindir.
Ain tergelak. Kelakar bunyinya.
“Assalamualaikum. Ain, Nurin, izinkan aku pergi. Aku ada urusan.” Nur Aishah menolak lembut. Memang dia sudah masak benar dengan perangai rakan sekampungnya itu. Lebih-lebih lagi Ain. Kalau dilayan lama-lama boleh jadi balah dibuatnya. Bagai mencurah minyak ke dalam api.
“Wah, nak pergi jahit purdah ke?” Nurin pula cuba menegur apabila mendapati di dalam plastik itu ada semacam kain.
“Oh, aku lupa. Ni kain dari Mekah. Jadi tak elok dikutuk-kutuk.” Ain menyindir lagi. Tahu benar itu adalah kain. Mungkin hadiah daripada Haji Ezudin kepada anaknya.
“Izinkan aku pergi. Aku ada urusan. Assalamualaikum!” pinta Nur Aishah lalu cuba melangkah setapak.
“Nanti dulu!” Ain cuba menahan. Dia mendepakan kedua-dua tangan. Mulutnya bergerak-gerak. Keningnya sekali lagi terangkat-angkat. Hidungnya tinggi.
“Ya, tahan dia. Tahan dia!” Nurin pula menjadi nasi tambah. Cuba mengapi-apikan.
Ain menyambung suara. “Sejak kau pakai purdah ni macam-macam aku dengar pasal kau. Pasal buruk…”
“Pasal baik juga aku dengar. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah. Yang buruk datang dari aku.” Cepat-cepat Nur Aishah mencelah. Dia cuba menenangkan Ain dari berburuk sangka dan sengaja menimbulkan api berbalahan.
Ain dan Nurin berpaling lalu tergelak serentak. “Hahahah!” Jawapan itu amat kelakar.
“Hei, perempuan padang pasir. Aku nak tanya. Kenapalah kau beria sangat pakai purdah?” Soal Ain penuh dengki. Satu soalan cepu emas.
 “Ya. Betul kata Ustazah Ain tu.” Nurin tergelak. Memang dia tak sabar nak tahu jawapan.
“Tak perlu pakai sebab Islam bukan agama yang menyusahkan.” Sambung Ain lagi. Dia melihat jubah Ain dari atas ke bawah. Kemudian memandang mata Nur Aishah yang langsung tidak memandangnya.
Walau pun begitu. Sindirian Ain itu betul-betul memanaskan telinga Nur Aishah. Apatah lagi melihat Nurin yang beria-ia menjadi suara latar. Mengulang soalan yang keluar dari mulut Ain. Lagi menguji kesabarannya.
“Adakah berpurdah sesuatu yang menyusahkan? Padaku tidak sama sekali.” Pandai Nur Aishah menepis soalan. Bunyinya ringkas tapi jelas.
“Nak tunjuk baik le tu!” Ain menyindir lagi. Dia memprotes menampakkan jawapannya begitu kosong.
“Ya, memang dia nak tunjuk baik. Lepas ni semua orang suka kat dia.” Nurin cuba mengapi-apikan sekali lagi. Terkinja-kinja di belakang Ain.
“Ain, Nurin. Aku  tidak akan peduli apa kata manusia di sekeliling. Di kampung kita ni. Aku tidak peduli jika mereka tidak suka atau tidak meredhai pakaian suci ini kerana yang aku harapkan hanyalah redha dari Allah…"
“Berlagak! Kau berpakaian macam ni akan orang tuduh sombong? Tak senyum pada orang. Kau nak macam tu?” Soal Ain lagi.  Dia memuncungkan mulutnya. Memang dia tak mahu mengalah. Saat berjumpa Nur Aishah dia akan tanya bertalu-talu sehingga wanita itu lemas dan berlalu dari situ.
“Ya. Ya. Kalau sombong siapalah nak berkawan dengan kau nanti? Nanti matilah kau sorang-sorang.” Nurin sekali lagi membalas. Mulutnya memuncung-muncung. Bagai itik menyudu air.
“Tak apalah. Jika aku dituduh sombong. Insya Allah aku akan menegur semua rakan-rakan yang dikenali sepanjang perjalanan dengan salam.”
“Hahaha!” Ain dan Nurin tergelak.
Nur Aishah menarik nafas.
“Masalahnya orang nampak ke kau senyum atau ketawa? Muka kau tu tertutup. Macam ninja!”
Ain dan Nurin menyambung gelak.
“Hahaha! Ninja ke? Betul lah.” Nurin mendekatkan kepalanya menghadap Nur Aishah. Memandang dari atas ke bawah. Kemudian menyambung gelak.
 “Walaupun aku tahu tiada siapa yang nampak senyuman ini namun jelas terpancar cahaya senyuman ikhlas di mataku yang redup itu. Insya Allah.” Nur Aishah membalas sabar.
“Tak payah le nak susah-susah berpurdah. Tengok macam aku ni. Tak pakai tudung pun aku bahagia melayari hidup ini. Ada ramai juga kawan.” Ain membalas dengan bangga. Menunjukkan baju t-shirt ketatnya yang cantik.
Nur Aishah diam. Dia tak mahu berbalas. Jawapan Ain itu seolah-olah jawapan dari orang yang tak pernah belajar agama.
Ain dan Nurin berpaling. Dia merasakan Nur Aishah dah tewas dengan soalan.
“Tak apalah. Sudah sampai seru aku. Jadi biarlah aku berpurdah. Aku akan sentiasa bermujahadah mendepani suatu hakikat yang mungkin bakal mengubah hidup ini.” Sambung Nur Aishah lagi.
“Bukan ke menutup wajah adalah bid’ah?”
“Ya. Bi…bid..ah. Betul cakap Ustazah Nurin tu.” Ain hampir-hampir tergelak. Dia sokong kata-kata Nurin walaupun dia sendiri tak tahu apakah yang dimaksudkan.
“Tapi tidak menutup rambut adalah haram. Ada dalam al-Quran dan hadis,” balas Nur Aishah geram.
“Dah mula dah. Memang sah dia nak jadi ustazah jadian kat kampung kita ni.” Sindir Nurin. Dia tak menjawab dengan ilmu tetapi menjawab dengan mulut yang kosong dan lebih kepada mengapi-apikan.
 “Menutup wajah adalah lebih utama bagi wanita.” Sambung Nur Aishah lagi sebagai menepis setiap soalan itu.
“Tapi, wajah dan kedua telapak tangan bukan termasuk aurat?” soal Nurin. Dia tak mahu mengalah.  Nak juga dia kenakan gadis di depannya itu.
“Ya, ya betul. Wajah dan tapak tangan bukan termasuk aurat. Buat apa nak ditutup?” Sokong Ain pula.
“Memang wajah dan tapak tangan bukan aurat tapi rambut adalah aurat setiap wanita. Sehelai rambut bersamaan seekor ular.”
“U…lar…” Ain dan Nurin berkata serentak. Dia menelan air liur. Cuba memegang rambut masing-masing. Mereka berpandangan.
 “Apa-apa sajalah kau ni. Tapi, aku rasa sekejap saja kau pakai macam ni. Sebab kau fahamlah kita ni bukan kat Mekah atau Jordan. Tapi kita kat Malaysia.”
“Betul kawan aku cakap tu. Tambah-tambah kat kampung kita ni. Nanti bila kau pakai purdah orang cakap kau amalkan ajaran sesat. Kau geng al-arqam.” Tuduh Ain.
Nurin dan Ain tergelak besar.
“Aku sentiasa berdoa mengharapkan Allah meredhai perubahan yang ingin dilakukan dan diberkati niat murni untuk menjaga diri dengan berpurdah.  Aku harap Allah bukakan pintu hati aku untuk betul-betul mengenali purdah. Sehingga semakin jatuh cinta dengannya.”
“Jatuh cinta dengan purdah konon. Tapi kau tau tak hukum memakainya?” Soal Ain geram.
“Ya betul? Betul tu. Kau tahu tak hukum memakainya?” soal Nurin lagi sekadar memerangkap Nur Aishah.
“Walaupun pelbagai pendapat ulama' tentang isu purdah, jumhur setuju bahawa tidaklah haram, bahkan memakai purdah adalah sunat yang ahsan.”
“Ahsan?” Ain ternganga lalu memandang Nurin.
Nurin mengangkat bahu. “Manalah aku tahu ahsan tu apa? Asam keping aku tahu lah. Asam boi ek?”
“Ahsan tu sangat baik. Atau sunat yang sangat-sangat dituntut. Lebih kurang sama seperti lelaki yang memakai serban tatkala memakainya dia mendapat pahala sunnah dan ketika mencabutnya tidaklah dia berdosa.” Nur Aishah menerang agar kedua gadis di depan yang masih belajar itu faham.
Terkebil-kebil Ain dan Nurin mendengar penjelasan itu. Memang benar tapi mereka tetap tidak berpuas hati. Tetap  nak berbahas.
“Jadi tidak patutlah jika seseorang yang berpurdah, meletakkan seolah-seolah berpurdah itu wajib sehingga tidak boleh menanggalkannya langsung apabila sudah dipakai. “
“Eleh, “Ain menjawab sambil membuat muka.
“Dan seolah-olah berdosa pula jika lelaki ternampak mukanya kerana tujuan asal berpurdah itu adalah untuk menjaga diri dan mengelakkan dari sebarang fitnah. Jadi, memakainya juga perlulah kena dengan waqi' atau keadaan. Bahkan aku tahu benar akan hukum-hukum tidak menutup aurat, memakai baju ketat. Assalamualaikum!” Nur Aishah membalas dengan panjang lebar membuatkan Ain dan Nurin tak terkata. Mereka menjawab sesama mereka mengikut logik akal.
Apapun kali ini Nur Aishah puas. Sekurang-kurangnya perjalanan hari itu terlindung. Terhindar dari sesuatu yang menyakitkan. Semoga Ain dan Nurin akan menjaga tatatertib lagi. Belajar untuk menghormati orang. Menghormatinya yang memilih jalan untuk berpurdah.
Ain dan Nurin hanya melihat saja Nur Aishah berlalu pergi. Mereka seolah-olah mati kutu untuk berdebat.
“Ya Allah. Terima kasih kerana melindungi aku. Semoga aku dapat merasai sesuatu yang sangat membahagiakan hidup. Tenang yang tidak dapat diertikan dengan kata-kata.” Luah Nur Aishah sambil melangkah setapak ke setapak.
“Apa kau ingat kau baik ke? Kau tengok le nanti. Sampai ke tua le kau tak kahwin kalau masih dengan pakaian macam ni. Macam hantu pocong siang hari!” Ain melaung dari jauh sebaik saja Nur Aishah meninggalkannya.
“Apa hantu pocong?” Nurin pula tergelak besar. Memegang-megang perutnya.
“Kau ni buat lawak betul le Ain. Ada-ada saja idea kau. Dah le hari tu kau tuduh dia ninja turtle, lepas tu al-arqam, al-maunah, pembalut nangka. Kini kau cakap dia hantu pocong.” Memuncung mulut Nurin sambil menahan gelak.
“Ok le tu aku cakap hantu pocong. Kan aku cakap kuntilanak harus kau lari!”
“Hahahaha!”
“Kau ni Ain cakap tak ada insuran langsung. Kau tak takut ke malaikat kerat lidah kau nanti?”
“Kau pun satu. Malaikat kerat lidah aku ke lidah kau? Dah le, aku malas nak dengar semua ini. Memang hantu pocong tu nak kena. Nasib le hati aku tak berapa panas hari ni. Satu hari nanti, tengoklah aku akan ajar dia juga! Berpurdah dan berjibab konon. Pui!” Ain meludah ke tengah jalan.
Ketika itu jugalah Fatin yang sedang bermotosikal lalu menjerit dengan kuat. “Woi! Kau ingat jalan mak bapak kau ke? Elok-elok ar kalau nak meludah sekali pun!”
Ain dan Nurin melihat Fatin yang sedang menuju ke arahnya. Dengan perasaan yang marah.
“Astarfirullah Fatin…” Nur Aishah melihat ke belakang apabila mendapati Fatin memberhentikan motor dan telah pun berdiri betul-betul di sebelah Ain dan Nurin.
“Kau ni apa hal? Aku ludah kat jalan bukannya ludah kat muka kau.” Ain membalas sebaik saja Fatin turun dari motor.
“Ya, kau nak ke kalau Ain ni ludah kat muka kau?” Nurin menambah. Dia menumbuk-numbuk tangan kirinya ke tangan kanan.
“Sebelum kau ludah ke muka aku, baik aku ludah ke muka kau yang tak berapa cantik tu. Lain le aku cantik, berpelajaran. Lagipun kau tak tengok ke bulu mata palsu I ni…” Fatin mula menggedik. Kepalanya bergerak-gerak. Bagai orang India yang sedang mempersembahkan tarian.
“Ah, pi jahanam le dengan bulu mata palsu kau tu! Kau ingat aku tak  boleh beli ke?” Ain membalas tak puas hati.
“Ya, ingat Ain tak boleh beli ke? Ain pun ada duit juga tau!” soal Nurin menduga.
“Tapi, memang hakikatnya kau dengan aku dah lama dendam dengan aku kan? Dendam dengan Echa.”
“Fatin, sudah-sudah le tu. Tak elok bergaduh.” Tiba-tiba saja Nur Aishah menegur dari belakang. Dia mendekatkan diri. Tangannya memegang tangan Fatin. Risau benar dia.
“Ya, betul tu Fatin. Tak elok bergaduh. Agama kita tak macam tu. Nanti tak boleh jadi penghuni syurga macam kawan kau ni.” Ain mencelah menyindir Nur Aishah.
“Kan aku dah cakap. Kau ni dah le buat hal dengan aku. Jangan pula nak kenakan kawan aku. Bikin panas ni!” Fatin mencekak kedua pinggangnya.
“Bila kita orang nak kenakan kamu?” Nurin menyoal sedikit cuak. Apatah lagi melihat muka Fatin merah dan nafasnya turun naik.
“Yang kau ludah tadi tu apahal? Kau nampak aku je kau terus ludah.” Fatin memberanikan diri menyoal.
“Sebab, aku dah meluat dengan muka kau. Sebab tu aku ludah. Muka kau macam taik!” Panas Ain membalas sambil menunjukkan jari ke muka Fatin.
“Muka aku cantik macam ni kau cakap macam taik. Bodoh!” Fatin terus menyerang Ain. Cuba ditumbuk dan diganyang-ganyang mulut Ain yang sangat-sangat kurang sopan.
Sekali serangan itu membuatkan Ain terjatuh ke tanah. Ain cuba bangun melawan. “Tak guna punya perempuan!”
Berlaku adegan tarik menarik dan tumbuk menumbuk.
“Astarfirullah. Fatin dah le tu!” Nur Aishah kebingungan.
“Ain, pukul dia lagi. Pukul kuat-kuat!” Nurin menyokong. Dia menumbuk tangan kirinya dengan tangan kanan. Mengapi-apikan.
Ain dengan sepantas kilat terus menerkam dan menarik rambut Fatin. Fatin tak mahu mengalah terus melakukan perkara yang sama sambil menyumpah seranah antara satu sama lain.
“Ya Allah. Tolong! Tolong!” Nur Aishah menjerit dengan sekuat hati. Dia melihat ke kiri dan ke kanan. Hatinya berdegup kencang.
“Pukul dia sampai mati, Ain! Pukul perempuan gedik ni sampai mati. Tarik rambutnya. Koyak bajunya!” Nurin menyokong sekali lagi. Sesambil itu dia cuba menahan Nur Aishah dari cuba meleraikan pergaduhan itu.
Tarikan itu membuatkan Fatin dan Ain tergolek ke kiri dan ke kanan. Rambut sudah menjadi serabai macam sabut kelapa. Lengan baju Ain terkoyak apabila ditarik Fatin. Selut dan tanah jelas kelihatan di paha, lutut dan juga punggung mereka berdua.
Nurin tergelak besar.” Pukul sampai mati! Ganyang lagi kuat. Belasah cukup-cukup. Jangan mengalah Ain!”
“Sudah le tu! Ya Allah!” Nur Aishah cuba memberhentikan pergaduhan itu. Dia cuba menepis dengan tanganya.
“Kau jangan nak jadi hakim!” marah Nurin lalu menarik kuat tangan Nur Aishah. Nur Aishah tertolak ke tepi.
“Nurin, kita kena leraikan pergaduhan ini. Nanti makin parah.” Sekali lagi Nur Aishah cuba menasihati.
“Ah, tak perlu. Kita tengok siapa juara kampung. Ya, pukul lagi Ain. Pukul lagi!” Nurin menjerit sekuat hati. Tangannya memegang tangan Nur Aishah. Dia tak mahu Nur Aishah menjadi penghalang.
Ain dan Fatin terguling-guling ke kanan dan ke kiri. Masing-masing ingin menunjukkan jaguh. Lagak mereka bagai ahli gusti.
“Hoi apa ni? Dah! Dah! Jangan bergaduh!” Tetiba Abang Khairi yang kebetulan lalu kat situ terus menahan. Memang terkejut dengan apa yang disaksikan. Lekas-lekas dia turun dari motor. Dia meleraikan pergaduhan itu.
“Abang tengok le ni. Dia pukul Ain!” Ain bertempik lalu cuba menerkam. Tetapi abangnya terus meleraikan terkaman itu. Dia memegang Ain.
“Fatin, mengucap. Jangan macam ni. Malu kat orang!” Nur Aishah pula memegang dan memeluk Fatin yang nafasnya tengah naik turun. Rambutnya berserabai dibiarkan menutupi pipi.
“Kau memang gila!” Ain menuduh sambil menunjukkan jarinya.
“Kau lagi gila. Dasar perempuan tak tahu malu!” Fatin membalas. Dia betul-betul panas. Suaranya tinggi rendah. Nafasnya tercungap-cungap.
“Astarfirullah, Fatin. Dah le tu.” Nur Aishah lembut cuba menghalang. Suaranya hilang dek pekikan Fatin dan Ain.
Nurun hanya berdiri pagai patung. Hilang kata-kata. Dia masih tak puas hati. Geram pun ada. Tak habis lagi menyaksikan gusti jalanan.
Beberapa pemuda kampung juga berhenti menyaksikan apa yang berlaku. Tua, muda dan kanak-kanak juga ikut serta. Ain tetap menyumpah tak tentu hala.
“Bawa dia pergi sekarang!” Abang Khairi menyuruh.
Nur Aishah memujuk. Nasib baiklah Fatin tidak berkeras. Nur Aishah terus menarik tangan Fatin dan mendapatkan motor.
“Cepat, kita pergi dari sini. Tak mahu aku tengok perempuan gila tu!” marah Fatin sekali lagi tanpa rasa malu depan orang ramai.
“Dah le tu. Mari kita pergi.” Nur Aishah cepat-cepat mengajak.
Fatin terus menghidupkan motornya. Nur Aishah tanpa disuruh terus membonceng di belakang. Malunya dia hanya Allah yang tahu.
“Abang tengok le ni. Baju saya koyak. Perempuan gila tu koyak!” Ain seakan menjerit.
“Dah le tu. Tak perlu nak bertengkar. Kita balik sekarang!” Abang Khairi mengajak.
“Ain tak nak balik. Ain nak bunuh budak gila tu!”
Abang Khairi tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia terus menarik tangan Ain. Berat saja Ain naik ke atas motor. Tapi apabila dipujuk berulang kali dia terpaksa mengalah.
“Balik cepat!” Abang Khairi menjerkah. Kemudian cepat-cepat memecut laju. Babak drama itu telah berakhir.
“Ni, apa tengok-tengok ni. Baliklah. Nak tengok apa lagi? Suka tengok perempuan bergaduh!” Nurin pula marah-marah kepada penonton yang ada. Dia lalu terus mendapatkan motor. Terus memecut laju.
Dia tetap tidak berpuas hati. Satu hari nanti Fatin harus diajar. Kalau tak ada orang, alamatnya Fatin dan lama jadi arwah. Dengan Nur Aishah sekali dia kuburkan kat situ. Geramnya!

“ECHA NI, KENAPA BALIK balik lewat? Dah nak Zohor dan ni?” Haji Ezudin bertanya sambil tangannya memegang al-Quran di hadapan tangga.
“Maafkan Echa ayah. Ada masalah sikit tadi.” Balas Nur Aishah yang berat-berat nak menceritakan apa yang berlaku. Takut dituduh membawa cerita.
“Masalah apa pula?” Pandangan Haji Ezudin difokuskan kearah anaknya. Lain benar bunyinya. Pagi tadi beria anaknya membawa plastik jubah. Katanya tak sabar untuk memakai jubah. Tapi kini dia melihat anaknya macam sugul saja.
“Cerita pada ayah, nak.”
“Echa minta maaf, ayah. Echa tak dapat nak mengelak tadi.”
“Apa yang berlaku?” soal Haji Ezudin lemah lembut.
 “Fatin dan Ain bergaduh besar di tepi jalan.”
“Ya Allah. Apa kena dengan dua orang tu? Dua-dua tu layak jadi isteri orang. Bergaduh tepi jalan macam budak-budak.” Haji Ezudin menggelengkan kepala. Dunia sekarang ni macam-macam berlaku. Soal malu ditolak tepi. Perempuan sama naik dengan lelaki.
“Echa minta maaf andai pergaduhan itu sedikit sebanyak berkaitan dengan Echa.” Nur Aishah berkata kemudian diam.
“Orang lain bergaduh kau pula nak minta maaf?”
“Entahlah ayah. Saya pun tak faham. Tapi sedikit sebanyak pasal purdah yang saya pakai ni le.”
Haji Ezudin menarik nafas panjang. Butakah mereka? Bergaduh semata purdah? Purdah hanya kain. Tak bersalah. Tak ada perasaan.
“Tak apalah. Itu hal kecil saja. Insya Allah esok lusa berbaik le tu mereka. Lagi pun sekampung tak elok bergaduh.” Haji Ezudin tidak mahu bertanya panjang.
“Insya Allah ayah. Echa cuba yang terbaik.” Nur Aishah menjawab. Tetiba dia teringat peristiwa tadi. Andai dia tak ada masa itu tak tahulah apa yang berlaku. Silap hari bulan tujuh keturunan le berlaku pergaduhan antara Ain dan Fatin.
“Ya Allah. Semoga semuanya menemui hidayah. Semoga semuanya berubah.” Hati Nur Aishah berdetik. Dia berdoa. Lama dia termenung.
“Ya baguslah. Pasal berbaik dengan orang ni ayah ada satu perkara nak maklumkan.” Haji Ezudin menutup al-Quran. Dia memandang anaknya. Tak mahu anaknya termenung panjang.
Nur Aishah membuka purdah yang dipakai. Menampakkan mukanya yang putih melepak. “Apa dia, ayah?” soalnya lembut.
Haji Ezudin diam.
“Ayah ni, saja je nak kenakan Echa.” Nur Aishah duduk bersimpuh di depan ayahnya. Tangannya diletakkan di atas paha. Matanya fokus ke dalam anak mata ayahnya.
“Apa dia ayah?” Soalnya sekali lagi.
Haji Ezudin diam.
“Apa dia ayah? Saja je kan? Cakaplah?” Mata Nur Aishah memandang tepat ke arah ayahnya. Wajah tua itu diperhatikan. Ada garis-garis kedua di dahi. Rambut juga sudah mulai uban.
“Ayah ni saja nak mainkan Echa kan?” Soal Nur Aishah. Dia tahu ayahnya mahu bergurau sekali lagi.
Satu perkataan keluar dari mulut Haji Ezudin. “Ada orang masuk merisik Echa.”
“Ayah!” Suara Nur Aishah agak meninggi. Mulutnya terlopong. Nasib baik tak didengari jiran tetangga. Malu dibuatnya.
Haji Ezudin mengangguk-anggukkan kepala bila anaknya memadang. Penuh tanda tanya. Kelakar pun ada.
Bagi Nur Aishah pula, dia betul-betul terkejut. Belum habis drama gaduh tepi jalan tadi, sudah masuk drama baru. Kali ini soal masa depannya. Soal cinta.
Haji Ezudin membetulkan kedudukan. “Sebenarnya, masa orang kampung datang rumah kita semalam pun dah macam-macam orang datang berbisik kat ayah. Tanya tentang kau.”
“Ayah ni saja je.” Nur Aishah malu-malu. Dia tertunduk.
Haji Ezudin tersenyum.
“Tanya tentang purdah ke, ayah?”
“Purdah pun dia tanya. Rata-rata memuji kau. Menarik katanya. Sebab itulah ramai nak ambil kau jadi menantu.”
“Ayah ni. Malulah macam ni.”
Haji Ezudin tersengih. Kemudian memuji anaknya. “Saham kau makin meninggi. Siapa kata wanita berjubah lambat jodoh? Tengok, baru semalam ayah balik kau telah pun dirisik. Tak sia-sia doa ayah kat Mekah suruh kau cepat-cepat kahwin.”
“Ayah ni, ada-ada saja.”
“Betul. Apa yang pasti mereka sangat suka jubah kau tu.” Haji Ezudin meluah dengan nada yang serius.
“Tapi Echa masih barulah ayah. Masih lagi nak belajar tentang purdah.” Nur Aishah menolak. Rimas apabila soal ini diperkatakan. Dia memegang lengan bajunya.
“Mereka pun nak belajar tentang purdah juga. Berminat memperkatakan tentang purdah.”
“Tentang purdah? Nak belajar dengan Echa ke? Manalah Echa tahu pasal purdah ni?” Nur Aishah cuba menyoal. Saja dia nak mengalihkan perhatian pada risikan orang kampung tentang dirinya.
 “Baguslah kalau nak jadi yang terbaik di mata masyarakat. Apapun Echa nak tahu ke siapa yang bertanya tentang Echa?”
Nur Aishah diam. Memang ayahnya kembali kepada topik utama. Apapun Nur Aishah tak salahkan ayahnya. Orang kampung berhak bertanya dan merisik. Selagi dia belum sah menjadi milik sesiapa selagi itulah dia berhak ditanya.
Serta-merta mengingatkan kembali saat hari ketika dia menetap di pondok. Teringat kata sahabatnya Anis Shamimi yang mengatakan seorang muslimin nak berkenalan. Buat pertama kali, hatinya dipagut resah, kerana memikirkan cara yang 'kurang syar'ie' yang diambil oleh muslimin tersebut.                          
“ Apa kau tak nak tahu siapa lelaki itu?”
Nur Aishah terkebil-kebil. Mulutnya bergerak-gerak. Nak kata ya dikatakan gatal. Nak kata tidak takut dikatakan sombong.
“Nak tahu siapa dia?” Soal Haji Ezudin buat kali kedua.
“Siapa?” Nur Aishah akhirnya bertanya bersahaja. Perlahan bunyinya. Hakikatnya pada masa itu dia terbayang juga Aiman Safuan yang pernah menunggu jawapan yang sama darinya.
“Ramai!”
“Eh, ayah ni. Jangan le macam tu.”
“Tu le kalau ayah cakap asyik mengelamun saja.”
Nur Aishah rasa bersalah pula.” Siapa ayah?” Dia memandang ayahnya.
“Anak Pak Cik Yusof.”
“Anak Pak Cik Yusof? Abang Khairi?” Hampir ternganga dibuatnya. Memang dia tak sangka. Baru saja tadi dia berjumpa dengan Abang Khairi yang meleraikan pergaduhan. Abang Khairi datang tepat pada masanya. Bagaikan hero. Lagaknya bagaikan Aaron Aziz.
“Ya sayang. Abang Khairi le.”
Memang dia kenal Abang Khairi. Orangnya amat baik sekali. Namun, apa yang membuatkan dia takut adalah Ain. Apakah Ain menerimanya sedangkan semua sedia maklum bahawa Ain musuhnya dari sekolah. Bahkan sejak dia mengambil keputusan untuk berpurdah itu lagi hebat tekanan dari Ain.
“Tak mungkin.” Katanya perlahan. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Apa? Tak mungkin?” Soal Haji Ezudin yang ternyata mendengar kata-kata anaknya walaupun perlahan.
“Eh, entahlah, ayah.”
“Tak apalah Echa. Istikharah akan menemui jawapan. Kalau Echa tak setuju kita boleh bagi jawapan yang baik. Kalau setuju pun kita bagi jawapan yang baik juga.” Haji Ezudin terus mencapai al-Quran lalu membaca perlahan-lahan.
Nur Aishah bangun perlahan-lahan lalu menuju ke bilik. Hatinya sedikit gusar. Entah kenapa sejak dia berjubah, semacam ujian yang datang. Kalau di pondok dengan hasrat hati Aiman Safuan. Kat kampung pula Abang Khairi. Entahlah, yang mana baik untuk ayah. Baik untuk dia juga.
“Susahnya untuk aku kata setuju ya Allah!”

Friday, 19 September 2014

Seruan Hati (Bab 1) ~ Azilawati Mat Angsar

2014
Pin!  Pin!!
Mendengar bunyi hon di luar, wanita yang sedang tekun membaca itu menjengukkan mukanya di sela-sela jendela kayu.  Posmen.
Dia bangun dengan malas, berlalu masuk ke dalam bilik.  Kerudung berwarna hitam disarungkan ke kepalanya sebelum daun pintu rumah papan sederhana kecil itu dibukanya.  Salam yang diberi, dijawab perlahan.
“Surat, kakak,” ujar si posmen sambil tersenyum.  “Muna binti Muhsin?”
Dia turut senyum, lantas mengangguk kecil.  Surat yang dimaksudkan bertukar tangan bilamana dia siap menandatangani dokumen penerimaan.  Ditulis nama dan nombor pengenalan diri.  Dia turut diminta untuk mencatatkan tarikh hari ini di situ.
Posmen yang menghantar surat sudah lama berlalu.  Muna masih bermenung di birai tangga.  Surat di tangan masih juga belum dibuka.  Sebentar tadi dia telah menyemak siapakah pengirimnya.  Ada senyuman tatkala melihat si penama, namun tidak pula Muna teruja untuk melihat isinya.
Kring!  Kring!!
Giliran telefon rumahnya pula menuntut perhatian.  Seperti tadi juga, Muna bangun dengan malas.  Perlahan-perlahan dia melangkah, menaiki anak tangga, masuk kembali ke dalam rumah.
“Assalamualaikum,” ucap Muna sepatah, berbahasa dengan indah.
“Munakah?  Muna??” tanya si pemanggil.  Muna dapat rasai lonjakan kegembiraan suara orang di sebelah sana, hinggakan salam yang diberikannya tidak terjawab.
Muna melihat kembali sampul surat yang masih di tangan.  Seketika, akhirnya dia tersenyum lagi.  Senyuman yang kali ini jelas memperlihatkan akan kegembiraan hatinya sendiri.
“Ya!  Kau masih tidak mahu menjawab salam aku, Kay?”
Seperti dia ada di situ, dapat Muna dengar dengan jelas gelak tawanya.  Tentu hatinya senang dapat mendengar suara Muna.  Muna tahu.  Bahkan Muna sendiri sangat-sangat rindu dan tidak menduga yang dia akan mendengar suara itu lagi.
“Kau datang ke sini... kau mesti datang!”
Jauh menungan Muna kini.  Duduk semula di birai tangga.  Melepaskan pandangannya jauh ke tengah sawah di kiri dan kanan rumah.  Juga di hadapannya.  Manakala surat yang diterima telah pun Muna buka.  Masih erat di genggamannya.
Sejurus menjawab salam daripada Muna, Kay terus menangis.  Sekurang-kurangnya, itulah yang dapat Muna dengarkan lewat gagang telefon di telinganya.
“Muna... kau sihat?  Kau apa khabar?  Lamanya, Muna...”
“Alhamdulillah.  Aku sihat, Kay.  Kau?” jawab Muna, ringkas.  Dia sendiri tidak sabar untuk mengetahui perihal temannya itu.
“Ya Allah, Muna... syukurlah... syukur alhamdulillah... terima kasih, ya Allah.  Aku sihat, Muna.  Sangat sihat apabila aku tahu kau sihat!”
“Kay...”
“Ya, Muna!  Aku betul-betul sihat.  Aku gembira... gembira sangat, Muna,” ujar Kay di sebelah sana.  Dia masih cuba menyisih sendu pada suaranya.
“Aku pun gembira dapat panggilan daripada kau, Kay... surat...”
“Kau sudah dapat surat itu, Muna?  Syukur alhamdulillah!”  Jelas terdengar suara Kay berubah nadanya.  Lega.
“Ya, Kay... baru sahaja sampai.  Aku pun belum buka lagi.”
“Bukalah, Muna... sudah bertahun aku, kami cari kau.  Bos... semuanya sebab dia tidak mahu mungkir janji, tidak mahu berhutang... aku yang menjadi mangsa,” beritahu Kay, memulakan ceritanya.
“Kalau bukan sebab dia...”
“Muna... aku tetap akan cari kau, aku rindu pada kau!  Tetapi yang ini amanah, aku juga tidak mahu mati sebelum amanah yang satu ini aku bereskan.  Kau tahu betapa aku tidak pernah lupakan kau, Muna?”
Hati Muna tersentuh.  Teringat kembali akan wajah Kay yang sedang bercakap dengannya itu.  Kay yang selalu ceria dan menghidupkan suasana.  Kay yang jujur dan tulus di sebalik segala kekurangannya.  Ya, Kay adalah satu-satunya sahabat sejati yang Muna ada.
“Cuba kau buka surat itu sekarang,” Kay bersuara memberi arahan.  Sepertinya dia boleh nampak akan sahabat di sebelah sini yang sedang mematuhi permintaannya.  Kay berjeda seketika.  Dia cuba memberi ruang masa untuk Muna membaca isi surat terkirim.
“Tetapi bukankah aku sudah berhenti... sudah lama pun, Kay?” soal Muna sejurus selepas dia menamatkan pembacaannya.
“Bos kata, kau berhenti hanya setelah keputusan dibuat.  Dia cuma belum sempat hendak beritahu.”
Muna terdiam.  Dia mahu mendengar apa yang bakal Kay perkatakan seterusnya.
“Muna... tahun itu, kau di antara yang layak untuk mendapat tiket pergi-balik dan penginapan percuma syarikat.  Hadiah kesetiaan... atau kau sudah lupa?”
“Sudah lama, Kay,” Muna mengulangi lagi kata-katanya.  Cuba untuk mengingatkan Kay bahawa soal yang mereka bicarakan itu tidak lagi penting baginya.
“Muna... dengarkan aku.  Kau masih ingat aku ini setiausaha bos, bukan?  Pagi-pagi itu bos telefon suruh aku semak satu perkara dengan kau.  Kaulah, selalu sahaja tidak mahu isi ruang destinasi... jadi bos suruh aku tanya.  Sebabnya, nama yang bertuah tahun itu sudah dimuktamadkan tetapi belum dapat diberitahu pada semua... sebab kau, Muna!  Sayangnya, pagi itu kau datang awal dengan surat berhenti kerja pula.  Aku... aku betul-betul terkejut masa itu dan aku memang tidak pernah menyangka yang kau akan buat keputusan sebegitu...”
“Maafkan aku, Kay.”  Adakah lagi kata-kata yang lebih tepat selain daripada maaf?  Sungguh Muna tidak pernah terfikir pun untuk membuatkan orang lain susah, apatah lagi sahabat sebaik Kay.
“Tidak mengapalah, Muna... aku yang seharusnya minta maaf pada kau sebab tidak sampaikan pesanan bos itu.  Itu yang aku menanar cari kau!”
Muna senyum.  Sekali lagi dia cuba membayangkan Kay di hadapannya.
“Kau tahu, Muna bagaimana kita dapat bercakap sekarang?  Minggu lepas, syarikat sibuk dengan house-keeping untuk dapatkan ISO.  Jadi waktu mengemas, aku terjumpa fail-fail lama... termasuklah fail kau.  Aku pula dengan penuh bijaksananya usulkan kepada bos untuk cari kau dengan berpandukan alamat pada kad pengenalan.  Bijak, bukan?”
Senyuman Muna bertukar menjadi ketawa kecil.  Bertahun berlalu, kenakalan dan keriangan Kay tetap utuh.  Kay sememangnya sahabat yang menyenangkan.
“Muna... kau datang, ya?” Kay menyuarakan harapannya yang menggunung.  Tujuan utama kiriman surat dan panggilan telefonnya hari ini.
“Aku tidak boleh janji, Kay,” jawab Muna, ringkas.
“Aku sudah hendak bersalin, Muna... dan aku tidak mahu bersalin lagi sebelum amanah yang satu ini aku buat!  Tolong aku, Muna... kau datang sini, ya?  Kau mesti datang.”
“Tetapi...”
“Muna... tolonglah aku.  Kalau bukan sebab waktu untuk aku melahirkan sudah dekat, bukan surat atau panggilan telefon yang kau terima...” Kay merayu lagi.  Rindu dan kasihnya benar-benar mendesak dia untuk berbuat apa sahaja yang perlu.
“Kay...”
“Tidak, Muna... aku tidak mahu dengar apa-apa lagi selain kau akan datang!”
“Tetapi, Kay... kau masih belum tanya aku lagi ke mana aku hendak pergi.”

Muna tersenyum.  Entah untuk kali yang ke berapa pagi itu.  Serasa sekian lama sudah dia tidak tersenyum begitu.  Seperti mendapat kembali nafas yang baharu.  Seakan-akan didokong oleh semangat yang penuh jitu.

Sampaikan Salamku (Bab 1) ~ Reza al-Razi

DI satu sudut sana, ada yang sedang tersenyum gembira. Di sebelah sini pula, kelihatan sekumpulan pelajar tengah kencang bersembang entah apa. Di sudut yang lain pula, terlihat kelibat manusia yang sedang bermuram durja. Pelbagai reaksi. Aneka ragam. Terhimpun menjadi pelbagai ceritera. 
“Azlan, Liyana!”  
            Ketika kaki baru hendak mendaki tangga, kedengaran satu suara menyapa dari arah belakang. Serentak tuan pemilik nama berpaling ke arah tuan punya suara.
            "Dah ambik result ke?" Tuan punya suara bersuara lagi. Dia sedang tercegat berdiri sambil menayang senyum simpul gaya orang baru menang hadiah sebuah kereta Ferrari.
            “Lah, kau ke Aidil! Belum lagi. Baru nak pergi ambil ni,” jawab Azlan sambil turut melirik senyum nipis. Liyana di sebelah hanya tayang muka tanpa perasaan.
“Kau ambil berdua je ke dengan Liya?” Sekilas Aidil menjeling ke arah gadis di hadapannya itu
“Berdua ajelah. Kenapa? Kau jealous ke?” Azlan menjongketkan keningnya dua kali. Beberapa detik kemudian, dia meledakkan tawa pendek tatkala melihatkan wajah Aidil yang serba tak kena.
“Mana ada jealous. Tak adalah hai. Aku okey je. Kau orang kan sepupu.” Aidil cuba mengawal nada suara. Mulut kata lain tapi hati kata lain. Tipulah kalau kata tak jealous melihatkan gadis pujaan hati rapat dengan lelaki lain. Sepupu tak sepupu. Asalkan namanya lelaki, jealous tetap jealous!
“Eh, dekat tangan kau tu result kan? Berapa kau dapat?” Azlan bertanya tatkala matanya terpandang sehelai kertas berwarna putih di tangan Aidil.
            “Ada la sikit.” Aidil menjawab pendek. Acuh tak acuh. Matanya tertunak tepat ke wajah Liyana. Rasa macam dah bertahun tak melihat wajah manis itu walhal baru sahaja beberapa bulan mereka berpisah sejak habis peperiksaan SPM dahulu.
            “Sikit tu berapa? Yang kau pandang Liyana macam tu apa hal?" Pandangan Azlan silih berganti antara wajah Aidil dan wajah Liyana.
            Liyana yang hanya diam sejak tadi turut perasan dengan pandangan Aidil yang semacam tu. Mamat ni yang pandang-pandang aku macam tu dah kenapa? Aku tahu la aku cun! Tapi tak payahlah nak pandang aku gaya macam tak pernah tengok orang. Sekali aku dah tumbuk muka dia, baru dia tahu!
            “Mana ada aku pandang Liya. Kau ni pun.” Cepat-cepat Aidil melarikan pandangannya. Malu pula rasanya ditegur sebegitu rupa.
            "Kau dapat berapa?" Azlan mengulang kembali soalan yang tak berjawab itu. Isu Aidil memandang Liyana tidak lagi diambil pusing.
            “10A je.” Aidil menutur selamba.
            Bulat mata Azlan memandang Aidil. “Kau biar betul? Pakai bomoh ke apa sampai dapat 10A? Tipulah! Meh sini aku tengok!”
            Aidil mengoyak ketawa. “Memang dunia nak terbaliklah kalau aku dapat result yang gempak macam tu. Aku dapat 4A je.”
            "4A?" Lagi sekali mata Azlan bulat memandang Aidil. 4A pun macam tak masuk akal jugak! 4A tu dah kira terlalu hebat kalau ikut standard budak-budak bermasalah macam Aidil. Ponteng kelas, tidur dalam kelas, tak siap kerja rumah. Senaraikan apa sahaja. Semuanya pernah dibuat oleh budak Aidil tu. Senang cerita, dialah ketua budak-budak bermasalah dekat sekolah ni.
            "Iyelah 4A. Ingat aku bodoh sangat ke apa? Tengok sendirilah!" Aidil lalu menghulurkan slip keputusan peperiksaan SPMnya kepada Azlan.
            Slip keputusan SPM Aidil bertukar tangan. Hampir terbuntang biji mata Azlan tatkala melihat keputusan SPM Aidil. Berkali-kali dia membaca nama yang tertera di slip keputusan itu.
            MOHD AIDIL ZIKRI B. ROSMAN
            Memang dia punyalah ni! “Perghh, sekarang baru aku percaya! Wah, kira pandai jugaklah kau ni kan! Ponteng-ponteng kelas pun dapat 4A jugak. Aku ingatkan C pun kau takkan rasa.” Azlan meledakkan tawanya.
            “Woi, cakap baik-baik sikit ek! Aku ni nampak je macam ni. Tapi kalau dah memang keturunan pandai-pandai tu, ponteng-ponteng pun tetap pandai jugak.” Aidil tertawa di hujung kata.
            “Iyelah. Pandailah sangat kan. Dahlah, lagi lama melayan kau dekat sini makin lambat pulak kita orang nak ambil result. Okeylah, kita orang gerak dulu.” Azlan meminta diri sambil matanya menjeling ke arah Liyana di sebelah yang dah berwajah masam.
            “Okey, nanti dah dapat bagi tahu aku tau. Bye bye Liya. Good Luck tau! Abang pergi dulu ye.” Aidil mengenyitkan mata ke arah Liyana sebelum berlalu pergi dari situ.
            Liyana tarik muka meluat. Aku fikir sini ramai orang je! Kalau tak, dah lama aku bagi penumbuk sebijik dekat muka kau tu. Baru kau kenal siapa Liyana yang sebenarnya. Suka hati atuk nenek kau je nak menggatal dengan aku. Dasar buaya darat tak sekolah! Liyana dah menyumpah seranah dalam hati.
            Azlan dan Liyana meneruskan langkah mendaki tangga untuk ke pejabat sekolah yang terletak di tingkat atas.
“Yang kau pergi layan orang gila tu lama-lama kenapa?” Liyana akhirnya bersuara.
             “Hai, marah ke?” Azlan menghembur ketawa pendek. “Liya, aku rasa satu hari nanti jodoh kau memang dengan dialah." Dia ketawa lagi. "Liya, kau ni sikit pun tak ada perasaan ke dekat dia?”
            “Kau nampak ni?” Liyana menayang penumbuk sebiji ke wajah Azlan.
            Azlan hanya ketawa melihat reaksi Liyana. Garang betullah minah ni!


Usik-mengusik ketika zaman remaja, itu perisa hidup namanya.

Lelaki Idaman Hamba (Bab 2) ~ Balqis Mohamad

      TROLI  ditolak perlahan, mata Tisha terpaku pada perbagai jenis sayur dihadapannya. Kubis, broccoli , lada bengala , cendawan butang. Apa lagi yang tak cukup? Asparagus? Yup. Tak da lagi.. Baru Tisha hendak mencapai sepeket asparagus, seorang lelaki menyambarnya. Tisha geram. Lelaki tersebut membelakangkannya. Tisha mengambil sebungkus asparagus yang lain. Dua ketiga paket disambar. Sempat dia memasang telinga perbualan lelaki tersebut.
   “Yang ni ke dik ? Ni daun bawang ?” Tanya lelaki tersebut.
    Tisha mencebik . Daun bawang dengan asparagus pun tak tahu beza? Baru tengok dunia semalam ke?
  “Bukan. Tu asparagus. Yang sebelah tu kot?” Suara seorang perempuan menyampuk.
   Nasib baik cerdik, ingatkan dua kali lima dengan abang dia. Bisik Tisha dalam hati. Lelaki tersebut melempar kasar. Tisha mendengus, nasib baik anak orang kalau anak aku dah lama aku lapah! Tisha membebel. Lelaki tersebut mengundur kebelakang. Terlanggar troli Tisha. Lelaki tersebut menoleh kemudian terus mencapai daun bawang yang ditunjuk adiknya.
   “Yang ni ke?” Tanya lelaki tu. Tisha mula ‘angin’! Tak tau cakap maaf? Tisha merenung lelaki tersebut. Aku marah ni!
   “Sorry kak..” Si adik meminta maaf pada Tisha. Tisha tersenyum lalu menganguk.Kaki lelaki tersebut digilis.
   “Aduh! Sakitlah!” Lelaki tersebut mengaduh. Tisha menolak troli pantas!Lari !
    Tisha melangkah ke bahagian menjual daging dan ayam. Tisha memborong daging dan ayam, hanya perlu menambah stok. Bukan untuk membeli, biasanya pembekal akan menghantar barang mentah ke restorannya pada pukul 9 pagi. Tisha melihat jam ditangannya. Awal lagi, baru 8 suku. Sempat lagi kalau pecut, lagi pun kunci kedai ada pada Sarah. Pembantu Tisha. Tisha melihat kelibat sepasang adik beradik. Alamak lelaki yang aku gilis kaki tadi. Kelam-kabut troli ditolak laju tidak mahu terserempak.Tisha melangkah laju ke kaunter bayaran.Tisha menghulurkan wang 300 ringgit. Setelah baki diambil pantas Tisha menolak troli ke tempat parkir kereta, tak betah berlama-lama! Barang-barang dimasukkan kedalam boot kereta.
     Tidak sampai lima minit Vios hitamnya menyusur keluar dari Tesco. Tepat pukul 9.30 pagi Tisha tiba direstorannya. Restorannya telah siap dibuka. Sarah boleh diharap!
   “Sarah!” Laung Tisha. Kerusi masih belum disusun, masih bertapak diatas meja. Lantai belum dimop dan disapu .
   “Sarah!” Laung Tisha, kali ni lebih kuat. Pantang betul panggil orang tak menyahut. Kalau pun busy menyahutlah! Tak dalah keluar anak tekak aku memanggil.
  “Ya, Kak Tisha.” Sahut Sarah kalut.
   “Staff yang lain dah datang ?” Tanya Tisha keras.“Yazid, Halim dah datang. Muaz dengan Taufik ja belum..” Beritahu Sarah tenang. Tisha mengeluh.
   “Tolong suruh Yazid angkat barang yang akak beli dari dalam boot. Lepas tu susun ..” Arah Tisha lalu menyerahkan kunci keretanya. Tisha berlalu ke kaunter, memeriksa apa yang patut. Telinga dapat mendengar dengan jelas Sarah memberi arahan pada Yazid. Tisha pantas mengira modal pada hari ini, nasib badanlah. Ambik course kat U seni bina, last –last jadi akuatan . 
  “Kak Tisha, akak lupa beli satu barang ..” Beritahu Yazid lembut.
   Tisha berhenti mengira wang digenggamnya. Hah? Lupa beli. Apa yang lupa? Rasanya dah beli semua. “Apa yang tak cukup?” Tanya Tisha hairan.
    “Entah, rasa macam slack something..” Beritahu Yazid sambil menggaru –garu kepalanya yang tidak gatal .
   “Boleh pulak main  rasa-rasa? Pergilah check list tu! Cukup ke tak. Kalau duduk fikir kat situ je tahun depan baru jumpa!” Arah Tisha garang.
   Yazid terkulat –kulat dimarahi . Tisha kembali mengira wangnya. Dah? Kat mana tadi aku berhenti? Ni kes nak kena kira balik ni. Ni yang terasa mendatangkan marah!
  “Kak Tisha !” Panggil Yazid. Tisha sedaya upaya kekal fokus pada pengiraanya. Seratus lima puluh, dua ratus.
   “Kak Tisha!” Dua ratus lima puluh, dua ratus lima puluh. Tisha mula hilang fokus.
   “Kak Tisha!”
    “Ya Allah! Apa dia Yazid? Tak nampak akak kira duit ni? Apa dia?” Tanya Tisha garang. Yazid tersengih . Kena marah macam ni biasalah. Satu hari tak  marah bukan Latisha lah!
    “Kak lupa beli mayonise!” Yazid memberitahu. Tisha mengeluh dan mengucap panjang.
     “Dah tu? Pergilah beli ..” Tisha menggetap gigi. Geram! Kembali mengira wangnya.
     “Cup! Cup! Nak duit ..” Yazid menjerit pantas. Sebelum Tisha mula mengira semula nanti ‘kena’ lagi. Tisha mengeluh. Pantas dihulurkan not 50.
       Semua ni pasal nak lari dari lelaki tu! Kalau tak aku dah tengok list tu betul-betul! Huh! menyusahkan. Waktu berlalu pantas. Macam peluru M16! Sedar-sedar  dah pukul 3 petang. Itu pun setelah Tamrin masuk ke restorannya untuk makan tengah hari. Setiap hari, kecuali hari ahad Tamrin pasti singgah untuk makan tengah hari di restoran. Hanya makan malam dia makan dirumah. Abah tak perlulah masak tengah hari, berapa kerat sangat nak makan? Jadi Tamrin setiap makan di kedai. Jadi ada bantahan yang menyatakan makan diluar kurang sihat?
    “Kak! Tam tak nak makan pastalah. Jemu.” Tamrin mengeluh.
    “Habis nak makan apa? Akak masakkan ..” Tisha merenung Tam lembut.
    “Nasi ada?” Tanya Tam mengharap.
    “Mana ada. Masuk restoran pasta minta nasi, cuba bernas sikit boleh?” Tisha menjeling. Tam kecewa. Tisha mengeluh .
    “Akak buat sayur campur, goreng ayam. Tam balik masak nasi kat rumah. Boleh?” Tisha memujuk. Tam tersengih, menganguk laju.

    Selesai melayan kerenah adiknya Tisha kembali kedapur. Ligat menyediakan itu ini. Hampir pukul 8 malam barulah abah dan Tasha menampakkan batang hidung. Tasha adalah tolong sikit-sikit. Apabila jam menunjukkan pukul 10 malam, Tisha mengemas untuk pulang. Hari ni sudah selesai! Tubuhnya terasa amat letih!

Yang Arif Yang Wangi (Bab 3) ~ Fizziany

MALAM TIBA jua. Restoran Rumbia. Here I come! Arif menarik nafas panjang-panjang. Restoran itu agak sarat dengan pengunjung. Gazebo yang dibina dari buluh dan atap rumbia menjadi tempat duduk bagi menikmati hidangan. Nun di tepi restoran yang menghadap arah pantai, suasana  tempat makan yang terbuka sedang dikerumuni orang. Asap menjulang ke udara dalam kesamaran malam yang cuma diterangi lampu gasolin. Lampu warna warni sarat menghiasi tiap ruang makan.
Restoran tepi pantai yang strategik! Not bad! Arif menyeluk kocek seluar bermudanya lalu melangkah masuk ke restoran. Kakinya dihala menuju ke arah sudut barbeku yang sedang berlangsung di tepi restoran.
Papp!!!  “Haa..datang pun. Ingat tak datang tadi,” bahunya ditepuk tiba-tiba dari belakang. Pantas Arif senyum.
“Datang…lambat sikit,” balas Arif.
“Haa..makan. Kira kemudian….Pinggan kat sana,” ramah pula Pak Mat melayan Arif. Arif terangguk-angguk. Naik segan pula dia dengan keramahan pemilik restoran itu. Setelah Arif mengambil pinggan dan menghampiri meja barbeku, barulah Pak Mat menghilang di sebalik pelanggannya yang lain.
Arif meneliti makanan yang terdapat di pemanggang. Ada udang, sotong, ketam, daging, ikan yang terdiri dari pelbagai variasi. Kalau disuruh dia menamakan setiap jenis makanan laut di situ, sahih bin benar dia akan mendapat markah 0 per seratus! Makanan di capai saja.
Sebaik mengambil makanan, Arif duduk di bawah gazebo yang agak kecil saiznya berbanding gazebo lain. Angin laut malam kuat menampar pipinya yang bogel. Sesekali Arif menjeling kearah orang ramai di sekelilingnya. Semuanya berpasangan. Semuanya berkawan. Berteman. Tapi aku? Arif memandang t-shirtnya sendiri. Di toleh ke kiri kanan bangku sebelahnya. Kosong!

Hmm…makanan disuap ke dalam mulut jua. Rasa menyesal pula tak ajak Kunal datang bercuti sama-sama. Kunal…pembantu peribadinya di pejabat, merangkap kawan baiknya sejak 4 tahun yang lalu. Masih teringat, Kunallah yang banyak membantunya sewaktu dia mula-mula bekerja. Jika tidak ada Kunal, pasti dia kekok dan tidak dapat mengemudi kerjanya dengan baik. Tapi, kalau diajak Kunal menemaninya, siapa pula yang akan menggantikannya membuat kerja pejabat?
Itulah…orang suruh kahwin tak nak! Ayat wajib mama segera terdengar di cuping telinga. Kalau dah kahwin, senang! Pergi mana pun, ada orang ikut! Pergi mana pun ada orang temankan! Dan, kata-kata  mama itu akan segera dibalas olehnya.
“Arif tak perlukan teman ma. Setakat ni, Arif suka jadi lone ranger! Pergi mana-mana pun sorang, tak payah tunggu perempuan bermekap, berdandan atau tak payah risaukan apa-apa…Arif free and I want to stay that way for the time being!”
Haa..apalagi, mencurut muka mamanya mendengar kata-katanya.
Arif sengih sendirian sambil mengunyah sotong bakar di dalam mulutnya. Enaknya!!Lain sungguh rasanya dengan sotong kat Kuala Lumpur. Sotong disumbat lagi ke dalam mulut. Entahlah, mungkin kerana dia anak tunggal di dalam keluarganya, dia sudah terbiasa dari kecil hidup seorang diri.
Memori zaman kecil segera menerpa ruang ingatan. Masih teringat dahulu, sewaktu ibu bapanya sibuk ke hulu ke hilir bekerja di luar, dia ditinggalkan bersama pembantu rumahnya Mak Esah dan tukang kebunnya, Pak Kadir. Tapi, meskipun ditinggalkan begitu, dia kurang bercakap dengan keduanya kecuali bila dia lapar. Di dalam bilik tidurnya, sebut saja apa yang tak ada.
Set permainan 3D, home teater, studio muzik, play station, malah meja snooker pun ada! Semua itu sudah tersedia sejak umurnya 7 tahun lagi. Jadi, separuh dari hidupnya selain dihabiskan di sekolah, adalah dihabiskan di dalam bilik tidurnya. Jika hari cuti, alamatnya seharianlah dia akan berada di dalam biliknya menghabiskan masanya dengan melayan media hiburan seperti itu. Tapi bila perutnya berkeroncong, barulah dia merangkak keluar dari bilik mencari makanan.

Thursday, 18 September 2014

Puzzle (Bab 3) ~ N Husna

PINTU rumah terbuka luas bukan main! Ain cakap dalam hati. Mata asyik melilau melihat sekeliling, mana tahu ada yang memerhati?
            “Eh?” Mulut melatah sepatah. Mata terpandang sepasang Caspia putih yang dia tersepak tadi. Tak macam gaya Pak Man. Dia mengomel dalam hati sebelum kaki melangkah ke ruang tamu rumah. Mata mencari kelibat Mak Jah hendak diajak berborak. Macam nak buat sesi mengumpat pasal budak kat sekolah tadi. Nak tunggu mummy balik, sempat lah dia nak tidur dulu!
            “Mak Jah!!!!” Dia jerit sekuat hati. Tangan sudah mencampak beg sandang atas meja makan. Kelibat Mak Jah langsung dia tak nampak.
            “Mak Jah!!!! Ain dah balik ni!!!!”
Dia jerit lagi. Tangan asyik menuang jus oren daripada kotak yang dia capai tadi ke dalam mulut. Jus oren deras masuk ke dalam mulut gaya macam tengah buat CF untuk TV. Kalau Mak Jah nampak ni, selamat dia kena cubit.
            “Sedapnya air. Mintak sikit?”
            “Oh, mak aku!” Tak pasal – pasal dia melatah lagi. Haish, Ain! Sejak bila pandai melatah ni? Tangan serta – merta berhenti daripada meneruskan misi teguk – meneguk. Suara siapa pulaklah yang macho semacam ni? Kepala terasa macam nak toleh, tapi hati bergetar lain macam. Seingat dia, dalam rumah ni tak pernah ada manusia lelaki suara macho macam ni sekali. Pak Man? Ini bukan aura Pak Man datang langsung! Daddy? Pernahlah pulak ayah aku tu nak buat sesi bertegur sapa ni…
            “Anak dara tak manis sangat kalau minum tuang daripada botol masuk mulut. Tak ada sapa nak masuk meminang nanti…”
            Pulak! Ain bulat mata. Terkejut. Sejak bilalah pulak kat rumah ni ada orang cakap aura tegur – menegur ni? Mak Jah dengan Pak Man tu gayanya macam lain. Lagi pasal meminang – meminang ni. Memang tak lah!
            “Nama mak saya bukan dara…”
Dia jawab sambil buat muka. Tapi kepala masih seperti tadi. Tegak lurus ke hadapan. Dan suara itu masih juga muncul daripada bahagian belakang. Siapa nak tunjuk muka dulu ni?
            “Eh? Salah anak orang lah ni?”
Ada aura gelak pulak suara tu kan! Ain turut sama sengih. Haish! Siapalah pulak yang aku tak kenal dalam rumah aku sendiri ni? Nak buat lawak pulak tiba – tiba.
            “Iman? Ain? Dah kenal dah?”
            Tu dia! Mak Jah muncul juga akhirnya! Muka Mak Jah yang baharu muncul daripada pintu belakang dia pandang dengan penuh harapan. Iman mana pulak ni, Mak Jah? Ada  eh orang nama Iman? Dia ingat Iman tu macam attitude. Macam yang ustaz selalu cakap. Rukun Iman tu!
            Mak Jah senyum tengok muka kelat Ain. Ain gosok dahi. Keliru – keliru – confuse!
            “Mari duduk sini. Minum tu kan Mak Jah dah pesan. Tuang dalam gelas. Jangan teguk macam tu. Kan dah kena tegur!” Mak Jah sound seround! Ain sengih. Tangan yang baharu nak buat aksi teguk air kali kedua tak jadi bergerak. Dia letak balik kotak jus oren atas meja sambil mata jeling ke sisi. Cari pemilik suara macho tadi!
            “Tak payah nak jeling – jeling sangatlah!” Mak Jah sound lagi. Ain sengih sambil garu kepala yang tak gatal. Dia buat big grin muka bersalah. Pemilik suara macho dah tarik senyum. Lawak sangatlah tu konon!
            Perlahan – lahan kerusi kayu dia tarik. Sila dia tarik, mencari selesa di atas kerusi. Ain, kalau atas kerusi pun dia bersila. “Inilah Ain nya?” Suara macho tu berbunyi, menghentikan gerak tangan yang baharu nak menguis pisang goreng yang tersedia atas meja. Tangan yang memang sudah terhulur panjang, Ain tarik semula.
            “Eh? La… Kenapa tarik balik tangan tu? Makan… makan… makan…”
Ait! Macam dia pulak tuan rumah! Ain membebel dalam hati. Mulut dia dah senget – senget dah dengan kening berkerut. Mak Jah senyum. Itu tandanya Ain kurang berpuas hati dengan ayat yang keluar daripada Iman. Nasib baik dia buat muka. Selalu kalau dengan orang yang Ain tak kenal, dia terus bangun, angkat kaki.
            “Ain… Ini Iman. Anak adik Mak Jah”
Ain angguk kepala faham. Mamat ber “Iman” ni asyik senyum – senyum lak apahal? Hati dah mula nak membebel bila diri tengok reaksi Iman yang macam sudah kenal lama dengannya.
            Mak Jah sudah bangun daripada duduk. Menuju ke rak cawan. Dua biji gelas Mak Jah letak kemas atas meja. Kotak air yang Ain teguk tadi Mak Jah angkat, penutupnya Mak Jah buka. Jus oren perlahan – lahan mengalir ke dalam gelas. Gelas itu Mak Jah hulurkan pada Ain. Ain senyum nampak gigi. Mata mengekor langkah Mak Jah ke peti sejuk di sisi dapur. Tangan Mak Jah capai lagi satu jus oren yang belum terbuka.
            “Mak Jah nak buat apa dengan air baru tu? Ni kan ada lagi?” Ain tanya dengan muka pelik. “Membazir tu kan tak baik…” Dia buat muka sepuluh sen sambil jeling sedas pada Iman. “Hang nak suruh aku minum air yang hang dah teguk masuk mulut ka?”
            Ain bulat mata. Hambek kau! Mamat ni! Mulutlah pun! Haip!
            Mak Jah yang sekadar memandang menahan senyum daripada berbunga. “Apa hang – hang? Puteri okay! Puteri Ain Izyani Tengku Kamal!” Suara Ain berubah nada. Hangin satu badan tiba – tiba! Iman sudah pecah gelak. Tahulah pulak nak terasa! Tadi macam pengganas habisan masa teguk air.
            “Oh… Puteri? Apasal perangai hang aku tengok tak macam puteri langsung pun? Princes Fiona yang dah jadi hijau tu pun tak macam hang kot” Lagi Ain kena gula. Iman sudah tersengih – sengih. Berbalas senyum dengan Mak Jah.
            “Ait? Mak Jah pun dah buat pakatan bersekutu dengan anak buah Mak Jah ni? Ye la… Ain ni kan bukan anak buah Mak Jah… Tak best lah macam ni!” Ain capai beg yang terletak atas meja. Dia tarik sila, bangun daripada kerusi dengan muka kelat.
            “Hah! Hang Iman!” Ain tunjuk ibu jari, gaya pahlawan zaman dahulu kala zaman purba pada Iman. “Hang minumlah air oren satu kotak tu. Habis kan pun tak pe… Beta murka! Murka!!!!” Dua tangannya diangkat tinggi, aura raja berdaulat zaman purba. Besar langkah dia keluar daripada dapur. Haish! Murka! Murka!
            Daripada ruang tamu, dengar gelak Iman memecah sunyi rumah. Apa yang lawak sangat pun Ain tak faham. Tunggulah, kau. Ingat senang – senang nak kenakan aku? Kepala sudah mula mencanang misi.
            “Ain tu memang macam tu. Iman jangan terasa pulak.” Mak Jah sampaikan pesan. Peringatan sebelum ada hati yang terguris dengan perangai keras Ain. Nampak sahaja begitu tapi hati anak gadis itu halus sebenarnya.
            “Takpe Mak Long. Iman tau…” Iman jawab dengan sisa gelak yang masih berbaki. Ain… Ain…



AIN kesat kelopak mata yang terasa kelat. Di gegendang telinga sayup – sayup kedengaran seperti suara halus beralun lembut. Tiba – tiba jantungnya berdebar laju. Apakah? Lampu bilik dia hidupkan. Perlahan, dia dekatkan cuping telinga ke daun pintu. Bunyi apa pulak malam – malam macam ni? Seram lak ai!
            Meremang bulu roma tiba – tiba! Dia buka pintu, kakinya melangkah mencari arah datangnya suara. Ruang tamu sudah jelas gelapnya. Bilik Mak Jah juga gelap gelita. Haish! Datang mana pulak suara ni?
            Kaki melangkah lagi. Suara itu semakin jelas bila dia berdiri berhampiran dengan perpustakaan mini rumah. Pintu bilik kecil yang sudah terkuak sedikit itu dia tolak. Ada satu tubuh yang sedang duduk khusyuk di situ. Bersama tikar sembahyang yang masih terbentang luas.
            “Sadaqallahul ‘Azim…”
            Dia masih terkaku di muka pintu tatkala pemilik suara itu menoleh memandangnya. Dengan senyum yang dia sendiri tidak tahu berapa tinggi darjah kemanisannya.



            “Mak Jah…” Ain cakap semacam berbisik. Mak Jah yang sedang menuang air kopi di dalam cawan memandang Ain dengan muka pelik. Mak Jah angkat kening, tanda bertanya.
            “Iman tu…”
            Mak Jah angguk kepala. Terus mendengar. Cawan sudah bertukar dengan cawan kedua.
            “Dia tu tabligh ke, Mak Jah?” Ain tanya takut – takut. Terbayang wajah Iman yang tersenyum padanya dengan berjubah dan berkopiah putih malam tadi. Sambil tangannya memegang tafsir Al – Quran. Mahu sentap jantungnya bila tiba – tiba dengar suara orang mengaji malam tadi. Mana pernah rumah itu punya suara orang mengaji tengah – tengah malam. Kalau ada yang mengaji pun Mak Jah. Selalunya selepas maghrib.
            Mak Jah senyum. “Kenapa Ain cakap macam tu?” Mak Jah balas dengan suara berbisik juga. Dia rasa kelakar bila dengar soalan Ain yang tiba – tiba. Apa yang tablighnya dengan Si Iman tu? Sekolah agama pun tidak. Dia geleng kepala tiba – tiba.
            “Malam tadi… Mak Jah tak dengar ke?” Dia tanya penuh semangat. Habis berkerut kening. “Iman tu baca Al – Quran kat library Ain… Lepas tu Mak Jah, bila dia toleh aje rasa macam ada cahaya mengelilingi dia” Dia cakap penuh gaya. Dramatik habisan. Memang terbayang macam nampak cahaya orang – orang beriman dalam drama TV tu! Shining gitu!
            Perpustakaan itu memang mummy buat khas untuk dia. Lain dengan bilik bacaan mummy dan daddy. Rekaan bilik kecil itu pun dia sendiri yang pilih. Daripada cat sehinggalah ke rak – rak buku yang entah berapa. Semuanya mengikut citarasa dia.
            Mak Jah senyum. Oh, baca Al – Quran. “Mak Jah ingat Iman bagi tazkirah kat Ain…”
            Tazkirah? Toink! “Tazkirah? Apa tu?” Ain tanya pelik.
            “Pagi, Mak Long!” Tak sempat Mak Jah nak jawab soalan Ain, Iman muncul di muka pintu dapur. T – shirt hitam bertulisan besar “saya sayang mak saya” terpampang depan mata. Ain tarik sengih tiba – tiba. Sayang betul mamat ni kat mak dia! Dia tahan senyum.
            “Hai, tuan puteri… Lebarnya senyum…” Iman mengusik. Mata Ain yang masih terpacak pada tulisan di dada bajunya dia balas dengan senyum sehingga ke telinga. Ain ni reaksinya mengalahkan budak kecil dapat gula – gula!
            Hilang senyum tiba – tiba. Nak senyum pun salah! “Anak buah Mak Jah ni ada prob eh kalau tengok orang senyum?” Dia cakap dengan muka tidak puas hati. Mak Jah yang sedang menghulurkan cawan kepada Iman tersenyum lucu. Ada – ada sahaja budak berdua ni!



PETANG yang dia rasakan sangat membosankan! Kalau ikutkan hati, memang dia sudah berlari turun ke Teen Park. Lepak dengan Dayn dan yang lain. Tapi, hujan turun dengan sangatlah lebat. Akhirnya, dia duduk bertenggek atas pagoda kecil itu sambil bertemankan Sugar and Spice – Lauren Conrad yang dia capai daripada rak di perpustakaan mini sebelum menapak ke pagoda tadi.
            “Hang ni baca jugak buku – buku macam ni, eh?” Suara yang tiba – tiba muncul buat matanya berkalih daripada kisah Jane dan Caleb kepada si pemilik suara. “Kenapa? Tak boleh?” Dia balas semula dengan kening kiri terangkat sedikit.
            Iman geleng kepala. Dengan senyum yang masih tidak lekang. Dia tarik sila di hadapan Ain. “Ingat hang baca buku – buku pasal breakdancing je… Ni kan buku cinta – kasih – sayang” Ada senyum mengusik di bibir Iman. Ain buat muka geram. “Muka aku ni nampak macam orang tak baca buku macam ni ke?” Haish, mamat ni. Ada sangatlah yang tak kena! Dia jadi geram tak tentu pasal.
             Tadi, masa dia duduk di ruang tamu dengan bermuda pun dia dah dapat ceramah free daripada Iman. Tapi, salah mulut dia juga! Mulakan dulu siapa suruh!
             “Kau sembahyang tadi kenapa tak pakai songkok?” Dia tanya tiba – tiba bila Iman melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan tempat dia duduk. Mata asyik dengan aksi Pocoyo main kejar – mengejar Elly. Sekilas dia nampak ada senyum yang lahir di tubir bibir Iman.
            “Sebab kepala lelaki bukan aurat”
            Ain senyap. Kepala mencerna ayat yang keluar daripada mulut Iman. Oh, boleh eh sembahyang tak pakai songkok. Terbayang daddy yang sibuk cari songkok bila dapat jemputan majlis tahlil kat rumah rakan – rakannya. Kata daddy nanti nak solat tak pakai songkok pulak!
            “Kau? Kenapa pakai short?”
            Gulp! Terkedu sekejap. “Ehem!” Dia berdehem tidak menjawab. Speechless tiba – tiba.
            “Perempuan ni perhiasan dunia yang paaaaling cantik!” Iman sebut ‘paling’ sampai enam harkat. Wajah Ain yang sedang pura – pura leka menonton dia pandang dengan senyum. Dalam hati memang takut kalau tiba – tiba Ain buat aksi raksasa kejar Ultraman tiba – tiba.
            “Sebab tu kena jaga elok – elok. Biar orang pandang, hati tenang je…” Dia cakap lagi sambil senyum. Tidak dia tahu mengapa dia begitu berani berkata sebegitu rupa biar baharu mengenali Ain untuk dua hari. Sebelum ini, semua cerita Ain dia tahu daripada Mak Long nya.
            Kisah Ain yang selalu keluar dan pulang lewat. Cerita Ain dengan clan nya yang asyik dengan breakdancing. Cerita Ain yang entah macam – macam lagi. Buat dia rasa ingin lebih tahu siapa Puteri Ain Izyani Tengku Kamal yang diceritakan Mak Longnya itu.
            Dia sendiri bukan lahir daripada sekolah agama yang semua pakat pakai serban 24/7. Dia juga bukan bergaul dengan kelompok – kelompok yang selalu belajar dalam surau tak balik – balik bilik. Tapi, dia sedar hidup ini ada misi. Bukan sekadar bangun – makan – tidur dengan lena. Tapi semua perkara yang dia buat termasuk bangun – makan – tidur dengan lena tu semua mesti bertemankan satu niat “untuk dapat redha Allah…”
            “Kalau pakai seluar panjang kan lopak – lopak kat kaki tu orang tak nampak…” Suara Iman kedengaran lagi. Ada gelak kecil yang lahir selepas itu.
            Ain kerut kening. Dia jeling kaki yang cuma berbalut bermuda separas lutut. Hamboi, mulut! Oh, tergugat kemachoan!
            “Mana ada lopak!” Suara Ain naik satu oktaf. Itu nak kutuk aku ke hapa tu?Dia sudah angkat surat khabar daripada atas meja untuk dibalingkan ke arah Iman.

            Iman gelak besar. Dia sudah bangun melangkah ke dapur. Kepalanya menggeleng perlahan. Ain… Ain…