Thursday, 18 September 2014

Tasbih Buat Aisyah (Bab 2) ~ Ahmad Safarman

KERETA MYVI PUTIH yang dipandu Mak Su Hasanah sudah mula memasuki perkarangan rumah kayu di tepi sawah itu. Deretan pokok bunga kertas yang berwarna warni itu mencantikkan lagi perkarangan. Haji Ezudin tersenyum mekar kerana akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke rumah usang itu.
Kelihatan orang kampung mula berdiri menyambut ketibaan haji baru di kampung mereka. Tak sabar untuk mengucapkan tahniah. Bangga dengan anak jati itu.
Sebaik saja Haji Ezudin keluar dari kereta mereka terus mendekati. Mereka mengucapkan tahniah dan syukur kepada Allah kerana seorang lagi wakil kampung telah berjaya menjejakkan kaki ke Mekah dan menjadi tetamu Allah.
Ada yang tumpang gembira. Ada pula yang datang mengucapkah takziah atas pemergian isteri tersayang ketika menunaikan haji. Kehilangan Mak Cik Wan Rohana amat dirasai. Arwah seorang yang baik hati, peramah dan sentiasa taat perintah agama itu sering kali diperkatakan ramai.
“Syukurlah Pak Haji selamat pergi dan sampai.” Ucap Pak Nik Din sambil bersalam. Dia terus memeluk Haji Ezudin.
“Alhamdulillah. Tidak ada apa halangan sepanjang berada di sana.” Haji Ezudin merendah diri. Dia menjawab pertanyaan itu walaupun masih penat  dengan senyuman yang tak putus-putus. Bangga dengan sambutan orang kampung. Semua datang bersalam kepadanya.
Ustaz Iman datang memeluknya. Marsha dan Arai melompat-lompat kegembiraan. “Datuk sudah pulang. Datuk sudah pulang!”
Haji Ezudin betul-betul terhibur. Semua orang gembira. Semua orang mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Seketika kemudian, Haji Ezudin mendapat pujian daripada Pak Cik Yusof yang juga teman di surau. Rindu benar dia kawannya itu. Geng kaki surau katakan.
“Jika diizinkan oleh Allah, saya pun nak jadi macam Pak Haji juga.”
“Insya Allah. Doa banyak-banyak. Ada rezeki Tabung Haji akan panggil le nanti. Sama-sama kita doakan.” Haji Ezudin merendah diri. Semoga hajat kawan-kawan untuk menunai haji akan tercapai satu hari nanti. Niat yang baik akan dipermudahkan Allah. Sama-sama berdoa.
“Saya pun kalau boleh nak jadi juga. Yalah siapa yang tak nak pergi Mekah?” Abang Khairi anak kepada Pak Cik Yusof yang berbaju Melayu hijau itu tersenyum. Dia kagum dengan Haji Ezudin yang berjubah. Berseri-seri saja wajahnya. Diperhatikan juga kearah kedut-kedut tua yang ada. Alangkah beruntungnya Haji Ezudin dapat menunaikan rukun Islam dalam keadaan sihat.
“Insya Allah. Doa banyak-banyak. Akan tiba masanya kita umat Islam yang berkemampuan dan berhajat ini akan dipanggil juga.” Balas Haji Ezudin sambil terus melayan tetamu yang hadir.
Petang itu juga, Haji Ezudin juga menerima ucapan tahniah dan pertanyaan bertalu-talu tentang perubahan yang berlaku ke atas Nur Aishah. Apa tidaknya, anaknya itu satu-satu yang mengambil keputusan untuk berpurdah dan tinggal di pondok. Makin gempak menjadi buah mulut orang ramai.
Di saat anak muda lain sibuk dengan aktiviti tidak bermoral di kampung, Nur Aishah telah diperkata ramai dan ramai memuji perubahan itu. Cantiknya berpurdah dan berjubah. Sesuai dengan akhlak yang ditonjolkan. Sesuai dengan status anak kepada seorang haji dan imam Kampung Marak Banggu.
“Anak saya masih lagi baru. Sebagai mana saya, yang baru saja menjadi tetamu Allah. Insya Allah lepas ni, kami sama-sama akan mendalami ilmu agama.” Jawab Haji Ezudin ringkas sebagai menjawab pertanyaan tetamu.
“Nampaknya tak lama lagi kita dapat makan gulai kawah pula le.” Mak Cik Raihan tetiba muncul sambil memuji. Dia tersengih  sambil memandang kearah Nur Aishah yang masih lagi duduk berkepit bersama Mak Su Hasanah melayan pertanyaan tetamu.
Jiran-jiran di kampung memang datang memuji dan mengagumi. Bahkan ada juga yang mengusik manja supaya membuka purdah kerana ingin melihat wajahnya. Nur Aishah hanya tergelak kecil. Pandai pula orang kampung bergurau.
Nur Aishah akui, hari itu seolah-olah meraikan dia dan ayah pergi ke Mekah. Buat pertama kali orang kampung melihatnya secara dekat. Ada yang menyentuh purdahnya. Ada yang memuji jubahnya. Pendek kata apa yang dipakai hari itu menjadi buah mulut orang ramai.
Namun, pujian itu tidak membuatkan dia meninggi diri. Dia masih merendah diri dan seperti yang dulu lagi. Perubahan itu hanya kerana Allah. Dia ingin mencari yang lebih baik dalam hidup ini. Itu kata Nur Aishah setiap kali soalan itu masuk ke cuping telinga. Setiap manusia ada baik dan buruknya.
“Bila niat kita baik, perlahan-lahan, Allah pasti tolong. Alhamdulillah, Echa dah pakai niqab. Semoga istiqamah. Begitulah rahmatNya.”
“Betul tu Echa. Kamu orang yang telah dibukakan pintu hati.  Semoga semua Hawa dibukakan pintu hati untuk tutup aurat dengan sempurna. Muda-muda lagi dah berpurdah. Cantik sangat. Berkenan mak cik nak buat menantu.” Mak Cik Raihan sekali lagi membuat lawak dalam pujian. Dia tersenyum. Kemudian tersengih bagaikan kerang busuk.
 “Redha Allah yang saya cari mak cik,” jawab Nur Aishah perlahan tetapi ringkas. Dia tersenyum. Biar bersederhana, husnuzon dan tawadhu' serta istiqamah. InsyaAllah segalanya tenang dan selamat.
Mak Cik Raihan dan beberapa lagi mengangguk. Jawapan itu bersahaja dan merendah diri. Dia tahu, Nur Aishah seorang gadis yang lemah lembut dan pemalu. Dari kecil lagi.
Apapun pujian itu adalah motivasi. Dia harus jaga hati dari bisikan syaitan. Sebab dia masih lagi baru melakukan penghijrahan itu. Dugaan ke arah kebaikan seringkali diekori dengan bisikan syaitan yang serba sedikit akan timbulkan rasa riak tanpa sedar.
“Betul le. Mak Cik tengok kamu begitu sempurna. Cantik.” Mak Cik Raihan tetap dengan pujian menggunung.
“Echa masih seperti dulu, mak cik. Tak perlu lebih-lebih memuji. Yang penting saya harus istikhamah. Istiqamah itu yang akan mengekalkan apa yang kita ada. Biar tak lebih, dan jangan pula berkurang. Kita umat wasatho.”
“Jujur mak cik kagum dengan kata-kata kamu.” Sekali lagi Mak Cik Raihan memuji. Dia memandang Nur Aishah yang sangat sempurna di matanya. Sesekali kata-katanya itu diselitkan perkataan arab. Sesekali hadis.
Di tangannya pun tetap dengan tasbih. Muda-muda lagi dah mengambil keputusan itu. Di saat anak-anak muda kampung tak tahu hukum menutup aurat. Menjadi jahil tanpa pegangan agama yang kukuh.
“ InsyaAllah mak cik doakan untuk kamu supaya dipelihara Allah dalam menjadi mujaheedah yang cemerlang dunia akhirat.”
“Amin…” Nur Aishah menjawab sepatah kata. Sebagai memuji doa Mak Cik Raihan dan orang kampung yang masih lagi mengangguk-angguk. Mata terus terarah kepadanya. Tanpa berkelip. Bagai seorang artis dirasakan. Subhanallah.
“Amin, mak cik pun nak puji juga.” Tiba-tiba Mak Cik Roha pula muncul. Dia bersalam dengan Nur Aishah. Memeluk dan mencium.
“Tertutup itu indah, dan yang sudah tertutup itu tidak perlu dipamerkan.” Puji Mak Cik Roha menyambung kata.
Nur Aishah bangga. Dia mengangguk-angguk. Alhamdulillah kerana masih ada lagi yang memuji di saat ada yang membencinya. Cukup susah untuk memahamkan orang yang tak memahami. Biarlah. Moga Allah mudahkan jalan untuk bertemu cintaNya. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.
“Echa, Abang Khairi kau tu masih lagi solo. Mak cik pun dah tak sabar ni.” Tetiba Mak Cik Roha berbisik ke telinga. Sekadar mengusik.
Nur Aishah diam. Dia tersenyum. Mak Cik Roha pandai bergurau rupanya. Dia memandang kearah Abang Khairi yang sedang bersama ayahnya. Panjang betul mereka berborak.
“Betul, masih lagi solo. Ada peluang?” Mak Cik Roha mengangkat kening. Tangannya menunjukkan isyarat bagus. Gedik tuanya pula datang.
Nur Aishah tersenyum. Matanya mengecil.
“Jangan tunggu lama-lama nanti diambil orang…” Mak Cik Roha menyanyi kecil di telinga Nur Aishah.
Nur Aishah menahan gelak.
“Roha, kau jangan nak berbisik pula. Apa ingat aku tak dengar apa yang kau katakan tu? Jangan nak pasang niat yang bukan-bukan.” Mak Cik Raihan muncul menunjukkan isyarat tangan.
“Kamu ni Raihan. Apa pula yang bukan-bukan?” Mak Cik Roha menepis.
Nur Aishah macam hendak tergelak bila dua mak cik di depannya mula berceloteh gembira.
“Kalau kau nak pasang angan ramai lagi yang cuba pasang angan tau.  Tapi aku pasti Echa ni memilih. Kalau pakai purdah lepas tu pakai sarung tangan nanti mana boleh pegang-pegang kekasih. Nak tunjuk muka dekat pakwe pun tak boleh tau.”
Nur Aishah lagi tergelak. Mak cik- mak cik di depannya itu menentukan jodohnya.
“Kau ni, kalau dah sah orang pinang dia terus tunjuk sajalah. Tak begitu Echa?” Mak Cik Roha inginkan kepastian. Membantah kata-kata Mak Cik Raihan.
Nur Aishah rasa kelakar pula. Orang lain pula lebih membicarakan pasal jodohnya. Apapun dia menjawab dengan yakin. “Kekasih kita Allah, manusia itu hanya layak dipanggil kekasih bila dah kahwin.”
Mak Cik Raihan dan Mak Cik Roha berpaling. Hebat sungguh jawapan itu. Dua-dua bersetuju. Fikir mereka, kalau bertanya pada anak dara lain entah apa yang diberi jawapannya. Entah-entah masa tu le melompat bagai beruk kena belacan. Gatal sangat nak kahwin.
Nur Aishah puas dengan jawapan itu. Walaupun pendek. Sesungguhnya dia juga  sedang berjuang, memberi pemahaman kepada orang di sekeliling.  Mereka tidak faham tapi lancang berbicara.
“Tapi cantik betul le Echa ni. Mak Cik selalu je tengok cerita-cerita Islamik kat TV.” Mak Cik Raihan cuba bercerita. Masih lagi hilang kagum melihat jubah cantik di badan Nur Aishah.
“Cerita apa pula kau tengok Raihan? Kau ni macam-macam le.” Mak Cik Roha menggelengkan kepala. Dah buang tebiat rasanya kawannya itu.
“Ada le satu drama tu.  Drama ala-ala Islamik le.” Mak Cik Raihan cuba mengingati.
“Alah kau tak perlu nak ingat cerita Islamik kat TV le. Sebab cerita tu membuatkan buruk semua yang bertudung labuh dan berpurdah ni. Merosakkan lagi pemikiran orang yang tak faham. Cerita tu sekadar komersial semata-mata. Sebab tu dapat sambutan. Tapi mereka tak fahami konsep dan nilai sebenar di sebalik apa yang mereka ingin sampaikan. Dah le pelakon dari asal kalau kat luar tak bertudung pun. Kalau nak tanya betul-betul, contoh ada di depan mata kita ni. Tanyalah Nur Aishah.” Mak Cik Roha memandang Nur Aishah. Sekali lagi Nur Aishah terkena.
“Saya masih lagi belajar tentang pemakaian purdah ini mak cik. Tapi kalau ditanya saya tentang aurat dan kenapa saya berpurdah ni saya akan jawab macam ni.” Nur Aishah mengaku jujur.
“Macam mana?” Mak Cik Roha dan Mak Cik Raihan bertanya serentak. Mak cik yang lain juga memasang telinga.
“Lelaki ni, bila nampak perempuan, yang pertama sekali mereka lihat ialah wajah.”
Semua  mengangguk.
“Jadi wajah wanita ni sebenarnya mahkota wanita dan ketua segala kecantikan pada diri seorang wanita.”
“Betul.” Mak Cik Roha mencelah. Laju sekali. Telinganya memasang dengar.
Nur Aishah menyambung lagi. “Saya tak mau, mahkota yang sangat berharga ni dilihat mana-mana lelaki bahkan tak mau bayangan wajah saya ni berada dalam mana-mana otak lelaki haram termasuk biji mata ni pun, bahkan bulu mata pun. Sebab semua tu milik suami saya seorang. Bukankah diri saya ini harta suami saya?”
“Betul tu!” Sebulat suara tetamu yang ada di depan bersetuju. Hebat betul jawapan itu. Bukan calang-calang orang. Kalau ditanya perempuan-perempuan gedik di kampung ini pun pasti jawapan tak sebaik Nur Aishah. Jawapan tetap kepada gatal dan gelemangnya macam beruk kena belacan.
“Dan bukankah haram bagi saya membelanjakan harta suami tanpa izinnya? Dan kalau suami saya izin sekalipun dan jadikan saya bahan pameran untuk tatapan lelaki yang bukan halal bagi saya, itu saya tidak rela dan suami saya dianggap dayus oleh Nabi s.a.w. Saya tak rela 'dizinai' mata-mata lelaki haram.”
Terangguk-angguk semua tetamu yang sedang mengikuti perbualan dari tadi. Mereka beranggapan alangkah bagusnya andai pemikiran ini ada dalam kotak fikiran perempuan lain.
Apapun Nur Aishah puas dengan jawapan itu. Biarlah mereka yang ada mengerti. Yang mengerti itu Nur Aishah ucapkan syukur sahaja. Tapi bagaimana pula dengan yang tidak mengerti? Yang pandang enteng saja tentang perempuan berpurdah. Apapun, apa yang dilakukan hari ini adalah mencari kesempurnaan di mata Allah. Satu dakwah.
                 Dia tahu. Dia pakai dengan senang hati.  Nak tutup wajah, kalau boleh mata sekali.  Dia dah faham dan mengerti. 
“Biarlah ada seratus orang yang bertanya mengapa aku perlu menutup muka dengan sekeping kain ini.  Aku tak kisah langsung kalau ada yang pertikai atau bertanya-tanya nanti.  Sama ada mereka itu keseorangan atau pun aku sendiri terpaksa bercerita di khalayak ramai. Aku sudah bersedia menjawab seribu satu pertanyaan sejak hari pertama aku memaki secebis kain ini.” Hati Nur Aisah berdetik.
Bukan kerana dia perasan cantik berseri tapi  nak mengekslusifkan diri, selain itu menjadi dorongan kepada anak sendiri suatu hari nanti.  Juga kepada sahabat, jiran tetangga, anak buah dan semua yang lain.  Bahawa sangat indah jika diri bertutup rapi.  Inilah yang Allah suka Nabi S.A.W suka ikut sunnah Ummul Mukminin yang sudah sahih tempat mereka di Firdhausi. 
“Ya Allah, berilah daku peluang itu.” Ucap Nur Aishah sebelum berlalu dari situ. Menuju kearah Mak Su Hasanah yang sejak dari tadi melayan tetamu.

“EH, KAU TENGOK le kat sana tu. Ayah dia dah balik.” Nurin tiba-tiba memberhentikan motor sebaik saja melihat rumah Haji Ezudin penuh dengan orang kampung.
“Dah balik ke? Mesti dah bergelar haji?” Ain yang duduk di belakang motor berkata seakan menyindir. Matanya terus fokus ke perkarangan rumah yang dipenuhi dengan kereta dan motor. Diperhati bagaikan pencuri.
“Kau ni pun satu, kalau nak tanya pun agak-agak le. Jangan cakap macam orang tak sekolah!” Tempelak Nurin. Nadanya ditinggikan. Mungkin kata-kata itu menyindir seseorang baru saja balik menunaikan haji.
Ain menepis marah. “Eh, kau ni apa hal? Aku tanya soalan betul le.”
“Soalan kau tu aku rasa lebih kepada buruk sangka. Dah orang tu pergi ke Mekah menunaikan rukun Islam tu sah-sah le dia balik dengan bergelar haji atau hajah. Kau ni buat-buat tak faham le pulak.” Nurin memuncungkan mulut. Geram juga dengan perangai Ain yang tetap tak faham. Jenis otak udang. Lembu lagi pandai.
“Kau ni bercakap memang main sedap saja. Nak tunjuk pandai. Apa kau ingat orang pergi Mekah ni boleh berubah dengan elok ke? Sempurna ke dia? Tambah-tambah dalam usia senja ni baru jejakkan kaki ke Mekah. Nak buat ibadah tu belum tentu sempurna le. Entah-entah sakit lutut sakit pinggang. Duduk saja dalam hotel. Lepas tu balik cakap kat orang  kampung dapat tengok Kaabah depan mata.” Ain tetap dengan hasad dengki. Tetap menepis apa yang keluar dari mulut kawannya itu.
“Dah le malas aku nak layan kau ni. Jom le pergi ucap tahniah. Orang balik haji katakan. Entah-entah boleh dapat buah kurma free. Atau setidak-tidaknya air zam zam. Buat basuh hati kau yang hitam…”
Ain mencelah. “Kau jangan nak kenakan aku. Kau ingat aku pelahap sangat ke?”
Nurin sedikit cuak. Marah benar Ain.
 “Kau ni pun satu. Nak pergi kat sana konon. Tudung kat kepala kau ni mana?” Ain pula menyindir kawannya. Tangannya diangkat. Telunjuk jarinya dipanjangkan. Dicucuk kepala Nurin dengan hujung jari.
Nurin tersengih-sengih saja. Ain menjeling tajam.
 “Si purdah tu mesti ada.” Nurin cuba meneka dan melihat sekali lagi. Saja dia mengalih topik. Dia tahu Ain dan mula mencuka. Bagaikan lahar gunung berapi yang akan meletup bila-bila masa saja. Hatinya mendidih.
“Dia berlakon baik saja tu. Apa dia ingat dia dah jadi anak pak haji sekarang dia baik? Apa dia dah bertudung litup dan nampak biji mata tu dah yakin jadi penghuni syurga?” Masih Ain tidak berpuas hati. Dahinya berkerut. Memang pantang kalau disentuh bab musuhnya itu.
Nurin diam. Ya juga kata Ain. Syurga dan pahala bukan sekadar bertudung litup. Banyak lagi amalan yang perlu dibuat. Bukankah setiap hari seseorang manusia tu wajib meminta ampun dan maaf daripada Allah. Setiap hari manusia tidak  lekang dari dosa.
“Entah-entah dia berniqob dan berjubah bagai tu semata-mata nak bergaya di facebook.”
“Hahaha! Nurin tergelak. Kasar benar bunyi dengki Ain.Lawak pun ada. Teringat dia gadis-gadis bergaya kat facebook. Macam-macam ragam. Siap dengan air muka sekali. Buruk benar.
“Betulkan kata aku?” Ain menyoal.
“Ya lah. Ya lah.” Nurin terpaksa mengaku.
 Apapun dia akui, kat facebook sendiri pun macam-macam ragam manusia. Yang tak bertudung tak usah kira le kalau bergambar. Yang bertudung bahkan berjubah sekali pun tetap nak dikongsi bersama. Sekarang ni pun kalau orang tu tak ada facebook pun rasa janggal sekali. Dari kanak-kanak sampai orang tua sibuk memperkatakan tentang facebook.
Ain menyambung lagi, “Kalau pakai purdah lagi timbulkan fitnah, cakap-cakap belakang, baiklah tak yah pakai. Bukan wajib pun!” Ain memuncungkan mulutnya. Lagaknya bagai dia sedang memarahi depan-depan Nur Aishah. Musuh lamanya.
Nurin mencelah. “Betul tu. Mak aku ada juga cakap. Nabi tunjuk kat asma muka dengan tapak tangan je yang tak yah tutup.”
“Yalah. Buat apa nak penat-penat dengan semua itu. Kalau kau nak tahu, aku penah tengok, awek cun, pakai purdah cantik punya, tapi baju ketat, 'perhiasan' kat dada tertayang. Apahal la manusia nih ada otak tapi tak reti nak guna. Entah-entah tak lama lagi Echa pun macam tu le.” Tempelak Ain dengan perasaan yang penuh benci sekali. Tapi pandangan matanya tetap terarah ke perkarangan rumah Haji Ezudin yang ternyata tidak putus-putus dikunjungi tetamu.
“Bila dah pakai purdah, pakai terus. Jangan kejap pakai kejap tak.” Sambung Ain sekali lagi.
Terkebil-kebil mata Nurin melihat Ain yang masih lagi menunjukkan muka marah. Dia memegang rambutnya yang merah.
“Betul le. Tapi kan ingat orang pakai purdah ni baik ke? Ada pendapat mengatakan yang pakai purdah ni mudah terjebak dengan ajaran sesat. Atau pun meninggalkan keduniaan terus.” Ain menabur fitnah lagi.
Nurin terangguk-angguk. Bernas kata-kata itu.
“Cuma aku nak tanya. Zaman sekarang ni, relevan ke pakai purdah? Sebab aku rasa tak pun. Tak de sebab nak pakai purdah. Tutup aurat je dah la.” Ain tetap mencari kesalahan.
“Hahaha! Ain kau ni kalau mengenakan orang memang nombor satu. Tutup aurat kau maksudkan? Kau sendiri hari ni tengok le.” Nurin memegang rambut Ain.
“Kau pun sama kan. Nak kata orang le pulak!”  Ain cepat-cepat membalas dengan memegang rambut Nurin yang panjang mengurai itu.
Mereka main tarik rambut seketika.
“Jom le pergi lawat. Jom balik ambil tudung.” Nurin mengalah akhirnya.
Dia mengajak. Dia tertarik untuk ke rumah Haji Ezudin. Nak melihat situasi. Maklumlah lepas ni makin ramai le orang menghormati Haji Ezudin. Silap-silap surau makin penuh. Maklumlah Haji Ezudin dapat menyambung balik khidmatnya sebagai imam di surau. Apatah lagi sekarang telah bergelar haji. Lagilah saham meninggi. Lagi ramai pengikut.
“Tak payah. Gi lawat orang balik haji ni orang tua-tua saja tau. Biar mak ayah aku yang pergi. Jangan harap le aku nak tengok perempuan tu.” Ain memuncungkan mulutnya. Dipegang-pegang rambutnya yang sekali-sekala ditiup angin petang. Marah benar dengan pelawaan itu.
“Balik sekarang!” Ain meninggikan suara sekali lagi. Dahinya berkerut.
“Nanti le.” Nurin menolak.
“Kau jangan nak cari pasal ngan aku. Kalau kau tak nak balik mari sini motor ni. Aku bawa. Kau duduk le sorang-sorang. Silap hari bulan Pak Haji tu ambil kau buat isteri. Maklumlah orang baru kematian isteri.” Kata Ain sambil ketawa dengan kuat.
“Eh, kau ni jangan bacul sangat. Tak baik cakap orang macam tu. Sekurang-kurang isteri dia tu mati kat Mekah tau. Tempat suci. Entah-entah kau yang mengata ni mati kat longkang. Mati terkangkang!” Tuduh Nurin sambil tergelak besar.
“Kalau aku mati terkangkang, kau pula apa kurangnya? Mati tertonggeng dalam parit!” Ain membalas tak puas hati. Dia tergelak besar. Riuh jadinya.
“Eleh! Paku dulang paku serpih. Mengata orang kau yang lebih.” Nurin membidas.
“Hoi! Dah le. Mari balik. Makin layan kau ni makin mereng otak aku ni.” Ain memang marah. Dia terus menolak Nurin.
Nurin terpaksa akur. Dia menghidupkan suis motor lalu terus memecut laju. Memang dia tahu, Ain pantang kalau memuji musuhnya lebih-lebih. Darahnya naik dengan tiba-tiba. Dia boleh jadi macam gajah naik minyak. Marahnya begitu panjang.

SEBAIK SAJA  semua tetamu menuruni anak tangga malam itu, Haji Ezudin menutup daun pintu. Perlahan-lahan.
“Alhamdulillah. Semua dah selesai. Ayah sangat penat.” Haji Ezudin melepaskan punggung ke atas kerusi empuk. Dia menyandar membetulkan pinggang yang sakit. Penat sungguh melayan tetamu.
“Alhamdulillah, ayah. Semua telah selamat. Tak sangka ramai sungguh orang kampung. Ramai kawan-kawan ayah datang.” Nur Aishah muncul lalu duduk di tepi ayahnya. Penuh sopan sekali.
“Aik, dah buka mulut pula?” Haji Ezudin sedikit terkejut. Wajah anaknya dapat diperhatikan. Sebiji dilihatnya sebelum ke Mekah.
Nur Aishah yang bertutup dari tadi kini membuka mulutnya.”Ayah ni, pelik le pulak?”
Haji Ezudin tergelak. Saja nak bergurau.
“Pertama kali melihat wajahmu sejak balik dari Mekah ni. Tadi, memang kamu tak buka langsung.”
“Ayah ni saja nak usik Echa.” Nur Aishah berkata malu.
“Tak adalah. Ayah gurau saja. Dah lama tak bergurau dengan anak ayah ni. Rindu benar.”
Nur Aishah malu-malu diusik ayahnya. Memang hari ini dia sangat penat. Penat melayan tetamu tetapi dia bangga. Ramai sungguh tetamu ayah sampai ke luar. Kalau boleh dia mahu mencari sahabat seramai itu. Jika panjang umur, dia berhajat untuk ke Mekah juga. Bergelar hajah. Baru lengkap Islamnya.
“Oh ya. Ayah ada belikan kamu sesuatu?” Haji Ezudin saja mengalih topik. Dia bingkas bangun lalu masuk ke dalam bilik. Nur Aishah melihat saja.
Seketika kemudian, Haji Ezudin muncul dengan memegang sesuatu di dalam beg. Dia duduk betul-betul di hadapan Nur Aishah.
Mak Su Hasanah muncul dari dapur.“Untuk Echa saja je, bang. Untuk saya yang jaga budak ni macam mana? Takkan tak ada ‘gaji’?”
Haji Ezudin tergelak apabila adiknya menanyakan soalan itu.
Nur Aishah juga begitu. Namun dia tak sabar apakah hadiah yang akan diberikan oleh ayah. Sememangnya dia nak sangat mendapat hadiah dari kota suci itu.
Nur Aishah memerhati anak buahnya. Marsha dan Arai tertidur keletihan. Tak mahu dikejutkan. Hadiah dari Mekah esok pun boleh bagi.
“Ni untuk adik abang yang setia menjaga dan menjadi bibik kepada Echa.” Haji Ezudin berkata lalu menghulurkan sesuatu.
Mak Su Hasanah mengambil dan menariknya. Perlahan-lahan. Teruja sungguh dia. Bagaikan mendapat hadiah hari jadi. Hadiah ulang tahun perkahwinan.
“Cantiknya!” Dia kagum. Sehelai tudung labuh hitam betul-betul menarik perhatiannya. Dia terus membelek-belek berulang kali. Memuji tak putus-putus. Dia menciumnya.
“Terima kasih, abang.” ucapnya penuh ikhlas.
“Yang ni pula untuk suami dan anak-anak kamu.” Haji Ezudin menghulurkan lagi hadiah dari Mekah. Walaupun suami adiknya itu tak ada malam itu kerana terpaksa memenuhi undangan menjadi penceramah, dia tetap berpuas hati menghulurkan hadiah itu.
“Anak-anak saya dah tidur, bang.”
“Tak apalah. Bagi esok saja.”
Nur Aishah memerhati sekali lagi Marsha dan Arai. Lena benar mereka. Letih melayan tetamu. Lagi pun ramai kawan-kawan datang tadi.
“Ni pula untuk Echa.” Seketika kemudian Haji Ezudin menghulurkan sesuatu yang ternyata menarik minat anaknya.
“Terima kasih ayah. Alhamdulillah.” Puji Nur Aishah sambil mengambil pemberian ikhlas itu. Perlahan-lahan.
Dia membuka. Sehelai tudung labuh juga.
“Ya Allah, ayah. Cantik sekali. Alhamdulillah. Tak sabar nak pakai kat pondok nanti.” Ucap Nur Aishah sambil terus menciumnya berulang kali. Hatinya betul-betul puas. Diangkatnya tudung labuh itu. Diciumnya berulang kali. Bau kedai.
“Tapi ayah nak minta maaf.”
Nur Aishah memandang ayahnya. Dia terus bertanya, “kenapa ayah berkata begitu? Maaf untuk apa? Pelik benar bunyinya.”
Mak Su Hasanah yang sedang membelek tudung tadi juga memandang abangnya. Penuh tanda tanya.
“Maaf, ayah tak tahu Echa memerlukan secebis kain untuk menutup mukamu.”
“Ya Allah, ayah. Terima kasih memahami. Apapun esok Esca ke kedai. Echa akan jahit secepis kain itu.” Nur Aishah menarik nafas panjang. Ingatkan apa tadi.
“Apakah kau betul-betul bersedia untuk tidak menanggalkannya?” Soal Haji Ezudin sekali lagi.
“Insya Allah, ayah. Echa yakin dengan pilihan Echa.” Yakin Nur Aishah menjawab. Soalan yang telah diduganya.
“Echa seorang yang tabah Abang Long. Mak Su sendiri pun tak berniqab. Hanya bertudung labuh. Tak sampai seru katakan.” Mak Su Hasanah mencelah. Tergelak kecil dia. Dia faham akan perasaan Nur Aishah. Gadis yang belajar nak berniqab.
“Echa, ni ada lagi.” Haji Ezudin menghulurkan satu bungkusan lagi. Dihulurkan kepada anaknya.
“Terima kasih, ayah.” Ucap Nur Aishah sambil mencapai bungkusan yang dihulurkan itu. Teruja dia mendapat hadiah yang banyak dari ayah sendiri.
“Ni, pemberian arwah ibumu…” Perlahan saja bunyinya.
“Ya Allah…” Nur Aishah seakan menggigil bila saat ini nama ibunya disebut. Dia dapat merasakan, hadiah itu ibunya yang berikan. Dia tak mampu berkata apa. Hatinya berdebar-debar. Mukanya berubah.
Dalam hati yang sayu itu, dia membuka terketar-ketar. Dia menariknya.
“Ya Allah, mak…” Nur Aishah terus memeluk sehelai purdah hitam. Memang dia sangat-sangat terkejut. Ingatkan tudung labuh sebagaimana yang diberikan oleh ayah. Tetapi sehelai purdah yang sangat cantik. Buatan dari Mekah.
“Mak…” Sekali lagi namanya memanggal. Serentak itu jugalah airmatanya tumpah jatuh ke pipi.
Mak Su Hasanah datang lalu memeluk. Apa tidaknya, bahu Nur Aishah mula bergerak sambil memeluk purdah itu. Dia menangis kerana sangat-sangat terharu.
 “Tak elok menangis sayang…”pujuk Haji Ezudin apabila tangisan Nur Aishah itu seakan tak dapat ditahan. Semakin ditahan semakin kuat.
“Echa, jangan le macam ni. Hargailah yang arwah bagi…” Mak Su Hasanah juga memujuk. Tapi semakin dipujuk, hati gadis itu juga semakin cair. Dia turut menangis. Mukanya merah. Mereka berpelukan.
Haji Ezudin cuba menguatkan semangat. Hilang kata-kata saat itu. Kalau arwah isterinya masih ada tentu airmata Nur Aishah juga tidak tumpah. Tapi dia tidak mampu menghalang. Dia redha takdir Ilahi.
Selang dua minit Nur Aishah meluahkan segala. “Ayah, Mak Su. Mak seakan tahu bahawa Echa memerlukannya…”
Haji Ezudin hanya terdiam. Dia pun tak sangka. Arwah isterinya seakan tahu bahawa suatu hari nanti anak kesayangannya itu akan berpurdah. Sebab itulah sebelum kematian, dia dah belikan untuk anaknya itu. Patutlah dia beria-ia mengajak ke kedai ketika menunaikan haji.
“Mak, Echa sayangkan mak. Mak tahu sangat bahawa Echa memerlukan. Rupanya kejutan yang akan Echa berikan, mak sudah dapat membacanya…” Nur Aishah tidak dapat meneruskan kata-kata.
Mak Su Hasanah terus menyapu airmata yang menuruni pipi. Dia memujuk agar bersabar menerima ketentuan Ilahi.
“Sabar Echa. Percaya pada Qada dan Qadar dari Allah.” Pujuk Haji Ezudin sekali lagi sambil memandang purdah di tangan anaknya.
Kemudian Nur Aishah mencelah. “Hadiah dari mak ini menguatkan semangat untuk Echa terus memakainya sehingga akhir hayat ini...”
 “Echa, jangan cakap yang bukan-bukan.” Pujuk Mak Su Hasanah sekali lagi.
Nur Aishah diam. Entah kenapa dia terlalu ikutkan kata hati. Dia cuba menahan tapi memang tak boleh. Apatah lagi setiap kali matanya memandang purdah hitam di atas riba.
Mak Su Hasanah memandang Haji Ezudin yang sedikit pun tidak menitiskan airmata. Sesungguhnya hati lelaki itu sudah kebal. Redha menerima sebuah kematian.
“Selagi Echa berniqab, selagi itulah Echa merasakan arwah mak masih ada dan turut bergembira….”
 “Dah le tu Echa. Ayah tahu Echa seorang yang tabah. Tak perlu menangis. Menangislah semata kerana Allah. Ayah  bangga saat pertama kali melihat Echa berpurdah kat lapangan terbang tadi. Tak sangka Echa boleh berubah seperti ini.” Pandai Haji Ezudin memujuk.
“Mak Su sendiri pun terkejut bila Echa mengambil keputusan yang diredhai Allah. Berani melakukan perubahan. Mak Su sendiri pun belum tergerak hati untuk semua ini. Hanya bertudung labuh saja. Tapi Echa ada kekuatan. Menjadikan purdah pakaian harian.”
“Mak Su kau tu banyak syaitan lagi dalam tubuh.” Haji Ezudin mencelah. Sekadar membuat lawak.
Mak Su Hasanah ketawa kuat. Hilang kesedihan mendengar kata-kata itu. Memang abangnya pandai membuat lawak mega.
Nur Aishah juga sedikit terhibur. Dia cuba tersenyum dan ketawa. Perlahan-lahan. Dia seorang gadis yang berjiwa kental.
 “Entah-entah Echa nak menetap di negara Islam seperti Mesir, Syria dan Jordan?”
“Ayah ni.”
Haji Ezudin tak puas-puas mengenakan anaknya malam itu. Perkara berkaitan purdah lebih banyak dibicarakan. Semakin banyak dibicarakan semakin dia mengerti hakikat wanita memakai purdah.
Berdasarkan dalil-dalil yang anaknya berikan, Haji Ezudin kagum bahawa pemikiran anaknya yang baru menjadi penghuni pondok Pasir Tumbuh itu lebih kepada keislaman semata-mata. Memang menarik minatnya untuk membicarakan sehingga hal dan pengalaman ke Mekah hanya sedikit diperkatakan.
Nur Aishah menambah. “Segala yang baik datangnya dari Allah, yang kurang itu dari kelemahan diri sendiri.
“Semoga anakku tidak menyesal untuk memilih jalan untuk berpurdah. “Detik Haji Ezudin lagi sebelum mengerahkan anak dan adiknya masuk tidur kerana hari sudah lewat malam.

MALAM ITU JUGA, entah kenapa Nur Aishah tak dapat melelapkan mata. Ketika rindu ini bertandang. Dia semakin gelisah. Tapi malam ini dia hanya ditemani sepi bulan.
Dia bangun semula lalu membuka almari. Dipandangnya sekali lagi purdah pemberian arwah emak yang tersangkut indah bersama deretan purdahnya yang lain. Memang purdah itu agak istimewa.
“Mak…” Dia menyebut lagi lalu mengambil purdah itu dan memeluknya berulang kali. Kerinduan pada emaknya datang bertandang.
Dia sudah ingkar janji kepada ayah agar jangan melayan perasaan. Tapi malam itu perasaannya hanya Allah saja yang tahu. Kerinduan itu kian bertambah tenatnya.
Kisah jubah membuatkan dia mengelamun jauh. Kenangan bersama emak ketika mengunjungi Bazar Tok Guru  sebelum ke Mekah masuk ke dalam fikiran.
 “Mak dapat merasakan bahawa satu hari nanti Echa akan berpurdah.”
“Mak ni, Echa masih belum ke tahap tu. Tudung labuh boleh le.”
“Echa kan dah tamat pengajian. Lagipun niat baik tak elok ditunggu.” Lembut Mak Cik Wan Rohana berkata sambil tangannya membelek purdah.
Nur Aishah diam.
“Echa,  Hidayah Allah tidak mengenal sesiapa. Terbuka pintu hati untuk berpurdah hanya Allah saja yang tahu. Echa kena pakai purdah untuk menjaga diri  yang nakal ni.” Mak Cik Wan Rohana mencubit pipi Nur Aishah.
“Mak ni.” Nur Aishah malu-malu.
“Kalaulah ada sesetengah orang berpurdah kerana ingin menyembunyikan wajahnya yang sangat cantik sehingga dibimbangi mendatangkan fitnah itu mungkin Echa. Kerana mak sendiri pun dah penat nak menolak pinangan orang. Nak layan pertanyaan orang.”
“Mak biarlah orang. Echa masih tercari-cari ruang untuk meningkatkan darjat di sisi Allah.”
“Nanti cepat-cepat dapat jodoh tau. Lepas mak balik haji nanti terus Echa kahwin. Mesti dapat laki sebaik Echa. Kalau berpurdah dapat lelaki solehah. ”
Nur Aishah dan emaknya tergelak. Mak Cik Wan Rohana mencubit sekali lagi pipi anaknya.
Nur Aishah memegang pipi. “Ya Allah. Aku berangan rupanya.” Nur Aishah tersedar saat tangannya menyentuh pipi. Kehangatan airmata masih lagi terasa.
Dia memandang jubah baru itu lalu  berkata. “Mak,  barulah Echa mengerti. Apatah lagi setelah emak pergi. Jauh di sudut hatinya Echa bermujahadah dengan berpurdah semata-mata mengharapkan keredhaan Tuhannya. Menjaga diri dari segala macam kejahatan yang bakal dilakukannya. Bimbang terlalai olehnya untuk menjaga muamalat dalam pergaulan.  Bimbang ditipu hawa nafsu sendiri yang sering dipertonton di khalayak ramai.” Nur Aishah meluah kata sekali lagi. Bibirnya bergerak-gerak. Pipinya yang panas dek kerana airmata yang sejak dari tadi mengelir dibiarkan saja.
Sekali lagi dia memegang dan mengusap lembut jubah itu. Perlahan-lahan seolah-olah membelai emaknya. Rindunya dia dengan belaian itu.
                “Memang benar. Pakaian yang baik itu akan menjaga si pemakainya. Echa nekad untuk membuktikan, Inilah pakaian yang melambangkan kemuliaan dan darjat yang tinggi seorang wanita, mak…”
Dia kemudian mencapai tasbih yang juga dihadiahkan oleh ayah kepadanya. Digenggam lembut dengan jejari yang halus. Sekali-sekala cuba memegang pipi dan menyapu birai matanya. Dia cuba bertahan untuk tidak menangis.
Namun apakah daya, semakin ditahan semakin kuat airmata terutama apabila mengenangkan, bagaimana untuk dia meneruskan hari esok tanpa ada emak yang sentiasa memberi semangat kepadanya selama ini.
Dia diam seketika. Cuba lari dari mengingati dan melayan perasaan kepada emak. Dia cuba mengenangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
“Insya Allah mak. Selagi hayat dikandung badan Echa tak akan melupakan secebis kain yang melindung wajah ini. Purdah ini tanda ingatan Echa kepada mak. Kerana Echa yakin, Allah bersama Echa sepanjang masa. Amin.”

Thursday, 11 September 2014

Lelaki Idaman Hamba (Bab 1) ~ Balqis Mohamad

     “TASHA! TAM! Bangun, subuh!” Laung Tisha dari dapur. Kalau dilihat dari keadaan ni persis seorang ibu yang membangunkan anak-anaknya. “Tasha! Tam!” Jerit Tisha dari dapur. Heys! Dah tua bangka pun tak reti nak bangun sendiri. Tisha mendaki anak tangga ke tingkat atas rumah.
    “Tisha. Nak kemana?” Tanya Haji Yaakub pada Tisha. “Nak gerak budak dua orang tu lah! Tak bangun lagi ni..” Tisha berleter.
   Haji Yaakub tersenyum. “Abah nak jogging kejap!” Beritahu Haji Yakub lalu berlalu .
   Tisha turun semula untuk menutup pintu  pada abahnya. Haji Yaakub kini terpaksa melakukan aktiviti barunya . Mana taknya dia kini  menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis. Penyakit darah tingginya sudah lama, namun Haji Yaakub sering kali kalis nasihat yang diberi anak-anaknya apatah lagi doctor. Bila dah sah ada kencing manis, barulah ligat melakukan aktiviti senaman pagi-pagi. Dan sudah pandai ‘berpantang’. Pintu bilik Tasha adik perempuannya dibuka kasar . Tisha mengeluh. Berselerak ! Kongsi dengan tikus ke apa bilik ni ?
     “Hei! Bangunlah! Tak solat ke?” Tisha menarik selimut yang membaluti tubuh Tasha. Tasha mengeliat mamai.
        “Apa kak? Tasha ngantuklah ..” Tasha merengek.
       “Subuh! Bangun!” Tisha melaung kuat. Kaki Tisha ditarik kuat.
       “Kak! Tasha periodlah!” Tasha bersuara keras. Selimut ditarik kembali. Period ? Bila pulak.
       “Class pukul berapa ni?” Tanya Tisha garang.
      “Tak da class hari ni..” Tasha bersuara mamai. Mata masih terpejam.
       Hari ni bukan Isnin ke? Bukan sepatutnya ada kelas ke? “Kenapa tak da pulak ?” Tanya Tisha pelik.
      “Alahhh, banyak soallah akak ni. Pensyarah cancle! Jadi tak da kelas!” Tasha bersuara tidak senang.
      “Orang tanya pun nak marah!” Bebel Tisha.
      “Dah la kak. Ngantuk ni. Nak tidur..” Tasha merengek.
     “Tulah semalam mesti layan cerita korea kan? Berjaga sampai 3 ,4 pagi kan?” Marah Tisha .
    “Ya Allah kak Oi. Tasha ngantuk lah!” Tasha mula rimas.
    “Hah! Tidur! Tidur!” Tisha geram dengan tingkah Tasha.  Bantal yang jatuh ke lantai di humban ketubuh Tasha.
    Tasha membiarkan saja. Malas nak melawan, tidur lagi penting. Tisha  masuk ke bilik sebelah, milik adik lelaki yang bongsu. Masyaallah! Lagi teruk . Dah status kandang ni. “Tam ! Bangun, dah lambat ni ..” Marah Tisha. Penat betul pagi-pagi nak kejut sorang-sorang macam ni, namun Tisha sudah biasa. Sejak kematian ibu lima tahun lalu Tisha banyak menggantikan tempat ibunya. Cukuplah abah membanting tulang siang malam direstoran. Kerja rumah diserahkan padanya.
    “Lima minit..” Jawab Tam  dengan mata terpejam.
     Lima minit? Sedar tak apa yang kau mintak Tam Oi?  “Tam nak bangun pukul berapa? 6.50?” Tisha bersuara kuat.
      Hah?! 6.50? Tam bangun mendadak.
     Tisha terkejut!
     “6.50? Kenapa tak kejut! Tam duty jaga gate hari ni! Akak ni..” Marah Tam lalu melangkah ke bilik air.
     Mati aku! Dah la minggu ni aku duty jaga gate sekolah. Kalau Cikgu Hambali tau aku lambat, mampus disiat kulit ni ! Tisha mengeluh. Kejut kena marah , tak kejut lagilah marah. Susah betul hidup ni ! Tisha melangkah keluar dari bilik.
     “Kak! Iron uniform Tam kejap!” Arah Tam dari bilik dalam bilik air.
     “Semalam tak iron kenapa? Kan hari ni dah sibuk?” Marah Tisha.
    “Kak rekod leter tu okey? Nanti bila Tam balik sekolah Tam dengar ..” Balas Tam.
     Tisha mencebik. Menjawab ! Gumam Tisha . Uniform Tam di ambil lalu digosokkan . Name tag ‘Tamrin’ disematkan di uniform. “Jadual dah pilih ?” Tanya Tisha lembut . Tam menganguk. Selepas solat terus disarungkan uniform tersebut. Sembahyang pun dah jadi macam patuk ayam . Lajunya 1200k/m.
     Tisha turun kebawah, nak siapkan sarapan pagi. Nanti abah balik jogging lapar pulak. Tasha yang terbongkang dalam bilik tu, bangun karang jadi  batu belah batu bertangkup pulak. Tam turun tergesa –gesa.
     “Tak makan dulu?” Tegur Tisha pada Tam.
     “Tak. Lambat!” Tam menyarungkan kasut sekolahnya .
     “Tam!” Panggil Tisha.
     “Lambat kak! Sorry. Balik nanti salam ..” Tam mencapai kunci motosikalnya.
     “Tamrin!” Panggil Tisha . Nama penuh dilaungkan mesti Tam berpaling.
     “Ye? Kak?” Tam memaniskan muka. Tisha menghulur botol air. Alamak! Lupa ubat jangan tidur aku! Kalau tak bawa botol air ke sekolah , belajar nanti bila mengantuk air mineral ni pasti disambarnya. Kalau tidak mau ‘pengsan’ masa cikgu mengajar. Tambah pulak kalau subject Sejarah.
   “Bawa jangan laju ..” Pesan Tisha .
    Tam menganguk , dalam hati dia menambah. Bawa jangan laju depan akak , belakang ..ikut kau! Pantas Tam menolak motosikalnya keluar dari perkarangan rumah. Tisha mengeluh. Pantas berlalu kedapur. Bihun goreng yang baru disiap dimasak disendukkan kedalam pinggannya. Lalu disuakan kedalam mulut. Belum tiba pada suapan ketiga pintu diketuk. Tisha membuka pintu.
    “Cepat abah balik?” Tanya Tisha.
    “Pusing sini-sini ja. Tak pergi jauh pun..” Haji Yaakub melepaskan lelahnya.
   “Tisha nak pergi beli barang ke? Abah ikut ..” Haji Yaakub menawar diri.
   “Ha’ah. Nak pergi. Abah tak payah ikutlah. Kalau abah nak pergi nanti, ajak Tasha ..” Tisha  mencadangkan.
   “Tasha tu, entah pukul berapa bangunnya. Nak pergi restoran lagi ..” Haji Yaakub mengeluh. Tisha tersenyum .
   “Abah pergi dengan Tasha okey?” Tisha berkeras. Haji Yaakub mengeluh. Setujulah tu .

        Pasta Vilage adalah restoran keluarga ni. Penjana utama pendapatan keluarganya. Hasil titik peluh arwah ibu dan abah. Ibu sangat gemarkan pasta. Selepas Latisha tamat menggenggam segulung ijazah dalam jurusan seni bina. Hidupnya banyak dihabiskan direstoran ini. Abah sudah penat untuk menguruskannya. Adik-adiknya masih berlajar. Jadi Tisha perlu menjana pendapatan keluarganya .

Wednesday, 10 September 2014

Tasbih buat Aisyah (Bab 1) ~ Ahmad Safarman

SEBENARNYA untuk menjadi insan yang bertaqwa adalah suatu yang perit dan payah. Bukan hanya dengan ucapan dan amalan semata-mata. Meskipun lidah tidak henti-henti berzikir dan ibadah yang begitu sempurna dan tertib, namun belum pasti ia benar-benar mulia di sisi Allah s.w.t.
Pemilik hati kecil yang bernama Nur Aishah berdetik. Memang, kalau boleh dia mahu menjadi yang terbaik. Menjadi insan yang mulia di sisi Allah. Meletakkan dirinya di jannah. Menjadi seorang perempuan lindungan Kaabah.
Di bawah tudung labuh hitam itu jejari masih lagi bergerak-gerak. Mulutnya beristighfar menyebut nama Allah. Cahaya ketenangannya selama ini hanyalah sebutan.  Subhanallah wa Bihamdihi, Subhanallahil ‘Azim,  Astaghfirullah.
Dia cuba mengukuhkan semangatnya. Harap hatinya juga seteguh batu karang di lautan sepi.Memang diakui. Sejak akhir-akhir ini banyak masalah dan badai yang melanda. Namun, semua itu telah mendekatkan diri dengan Allah. Selagi ada masalah, selagi itulah kasih dan cinta kepada Allah datang.
Dia terus melayan perasaan. Dalam debar menanti wajah insan yang akan hadir sekejap lagi. Yang cukup-cukup dirindui. Rindunya ibarat punguk yang sedang merindukan bulan. Kemarau yang rindukan hujan. Mentari yang rindukan rembulan.
Jika dihitung pada bilangan masa. Cukuplah sebulan lebih berpisah. Nur Aishah sudah tidak sanggup lagi untuk kali kedua. Mahu dipeluknya wajah itu. Tak sabar untuk berikan satu kejutan. Biar diri faham, bahawa wanita lebih baik dan unggul dari lelaki dalam soal cinta. Cinta mampu melunakkan besi, menghancurkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan. Inilah dasyatnya cinta.
 “Echa, sekejap lagi kapal terbang akan tiba. Berdoalah kepada Allah. Semoga semuanya selamat.”
Teguran Mak Su Hasanah mengejutkan lamunan Nur Aishah yang sejak dari tadi asyik termenung. Teguran itu membuatkan dia mula menggerakkan kepala dan kembali kepada alam yang nyata.
Dia cuba menyapu birai mata. Tak sedar air mata itu sudah lama mengalir. Dia tertunduk lalu berkata, “Astarfirullah…”
Sedarlah dia. Untuk kesekian kalinya dia berangan dan termenung jauh. Melontar jauh pandangan ke hujung dunia. Terima kasih kepada Mak Su Hasanah, yang telah menghentikan lamunan dari terus pergi jauh.
“Sabarlah, sayang. Mak Su pun tak sabar nak jumpa. Bahkan bukan Mak Su saja. Semua orang sedang menanti  insan tersayang muncul di depan mata sekejap lagi.” Nasihat Mak Su Hasanah bagaikan satu semangat. Kata-kata yang keluar dari mulutnya bagaikan satu hikmah. Diakui, Mak Su seorang penanti yang setia.
Mata Nur Aishah kemudian terarah memandang segenap sudut ruang perkarangan Lapangan Terbang Sultan Yahya, Pengkalan Chepa. Sedarlah dia berada di satu lapangan terbang yang jika disingkap sejarah  di dalam tahun 2005, lapangan terbang ini menampung 635 397 penumpang, dengan 8 765 gerakan pesawat.
“Subhanallah. Besarnya kuasa Allah.” Nur Aishah memuji.
Dipandang pula ke sebelah kiri. Ramainya orang ketika itu. Bising sejak dari tadi. Tetapi apabila anganan Nur Aishah pergi jauh, menjadikan landasan itu tiada orang. Sunyi dan sepi. Seolah-olah dunia tiada penghuni.
Nur Aishah tahu. Ramainya orang di situ kerana mempunyai harapan yang satu. Sama-sama menanti insan yang tersayang pulang kepangkuan. Ada kecil, besar, tua dan muda. Ada muka-muka Melayu, Cina, India dan ramai lagi. Bahkan pelancong asing juga memenuhi setiap terminal yang dibina sebagai kemudahan pelancong-pelancong yang meningkat di negeri Kelantan.
Bila semua pandangan matanya puas menembusi ke segenap penjuru lapangan terbang yang tersergam indah itu, dia kemudian memandang semula kearah Mak Su Hasanah. Ternyata emak saudaranya itu cantik sekali bertudung labuh biru laut. Raut wajahnya begitu lembut. Senyumannya manis. Itulah satu-satunya wanita yang amat rapat dengan dirinya. Yang cukup-cukup memahami. Dia amat bangga dengan keperibadian yang ditunjukkan.
Kali ini Mak Su Hasanah diam. Entah apa yang difikirkan. Nur Aishah membiarkan saja. Mungkin Mak Su Hasanah menanti insan tersayang yang akan muncul di depan mata nanti. Begitu tak sabar. Ibarat seorang isteri yang setia menanti kepulangan nelayan sampai ke pelabuhan. Menanti bangau yang hinggap di belakang kerbau.
“Ah, biarkan Mak Su Hasanah fikir apa saja. Bahkan dia berhak. Bukan seperti diri aku. Kalau berfikir lamunan itu seakan tidak mahu terhenti. Makin dilayan makin lagha.”
Genggaman tasbih terus erat. Hatinya sekali lagi beristighfar. Menyebut-nyebut nama Allah. Untuk beberapa ketika. “Subhanallah. Alhamdulillah…”
Dia menyentuh jubah dengan hujung  tangan. Mengusap-usap lembut. Tetiba ruang fikirannya kembali menerjah. Dia mengingati kata-kata bermakna Mak Su Hasanah  satu ketika dulu.        
“Echa, tahu tak. Selepas seorang demi seorang sahabat-sahabat  menyingkatkan tudung-tudung mereka bahkan memake-upkan wajah-wajah mereka dengan pelbagai rasional dan alasan. Mak Su merasakan akan bertambah sepi di dunia yang serba mencapah pelbagai tahap kemajuan ini.  Mak Su sangka akan semakin tersisih dalam masyarakat Islam sendiri.  Namun Allah memberi keterangan yang nyata.”
Indahnya kata-kata itu. Kalau boleh dia juga mahu menjadi sehebat Mak Su Hasanah yang sentiasa sabar dalam menepis ombak dan badai kehidupan.   Sentiasa mengasihi Allah. Sentiasa mengingati dosa-dosa.
 “Sayang, nampak kapal terbang tu. Mari kita ke sana!” Mak Su Hasanah sedikit meninggikan suara. Tetiba saja jari telunjuknya menunjuk kearah langit. Dia mendongakkan kepala.  Perkarangan lapangan terbang itu jadi kecoh seketika.
Nur Aishah berdebar-debar dan teruja. Dia mendongakkan kepala kearah langit biru. Jelas kedengaran kapal terbang yang akan turun tidak berapa lama lagi. Nur Aishah juga memanjangkan leher. Bagaikan bangau.
Bahkan bukan dia keseorangan. Kebanyakan penghuni lapangan terbang petang itu semua melihat dan mendongak ke langit. Kanak-kanak melompat-lompat. Ibarat mendapat hadiah kapal terbang permainan.
“Ya Allah. Semoga semuanya selamat. Alhamdulillah.” Ucap Mak Su Hasanah sekali lagi. Tangannya diletakkan di mulut.
Tetiba Nur Aishah merasakan tangannya ditarik. Tangan lembut pemilik Mak Su Hasanah memegang lembut tangannya yang masih lagi dengan dunia angan yang tak berkesudahan.
“Nak ke mana?” Soal Nur Aishah. Bagaikan orang yang tak tahu apa-apa. Malu pula dengan soalan itu yang dibuat endah tak endah oleh Mak Su Hasanah.
Mak Su Hasanah tidak berkata. Hanya menarik tangan anak saudaranya penuh lembut. Nur Aishah bagaikan lembut dicucuk hidung. Mengikut saja ke satu tempat. Menaiki anak tangga tingkat satu. Perlahan-lahan. Sehinggalah betul-betul berhadapan dengan KFC.
Di satu penjuru berdindingkan cermin kaca dapat diperhatikan. Ternyata, bunyi kapal terbang yang akan mendarat tidak berapa lama lagi membuatkan keadaan di perkarangan lapangan terbang yang pernah menjadi landasan Tentera Udara Diraja British dan juga tempat pendaratan pertama orang Jepun di Malaya semasa pendudukan Jepun pada 1941 itu agak kecoh sedikit.
Pastinya golongan kanak-kanak yang paling gembira. Ada yang menjerit-jerit kali ini. Apa tidaknya dapat melihat kapal terbang secara jelas di depan mata. Masing-masing memanjangkan leher lagak seekor zirafah di bumi Africa. Kedua-dua tangan terlekat di dinding kaca bagaikan cicak.
“Ya Allah, aku bersyukur padamu. Aku sangat rindukanmu. Ya Allah, cepat pertemukan aku dengannya.”
Setitis air mata Nur Aishah jatuh. “Ya Allah. Akhirnya orang yang aku cintai selamat sampai.  Ya Allah.  Syukur kerana kamu masih lagi memanjangkan umurnya. Satu nama yang cukup aku rindui.”
“Kita ke depan pula.” Baru saja nak melayan perasaan Mak Su Hasanah kali kedua menarik tangannya. Menuruni anak tangga. Tergesa-gesa.
Nur Aishah masih lagi bersikap lembu dicucuk hidung. Ikut saja cakap wanita yang cukup-cukup ceria petang itu. Kelakar pun ada. Macam budak kecil yang main lari-lari pula.
Perkarangan dan segenap penjuru lapangan terbang itu sekali lagi menjadi kecoh. Apa tidaknya, semua menanti dan meluah rasa. Menanti wajah-wajah yang dicintai. Ya, wajah-wajah yang tiba dari menunaikan fardu haji. Yang sudah pun bergelar haji dan hajah.
 Nur Aishah memuji. “Alhamdulillah segala puji dan puja bagi Allah yang telah mengurniakan dengan nikmat yang paling agung kepada bakal haji.”
“Echa, tengok sana!” Suara Mak Su Hasanah sedikit meninggi. Memang seronok benar. Tergambar keceriaan di wajahnya. Dia seakan melompat-lompat.
Dalam ratusan manusia itu, Nur Aishah fokus kepada satu wajah yang cukup-cukup dirindui. Lengkap dengan kopiah dan jubah yang sedang mencarinya dengan tak sabar.
“Orang yang paling kucintai. Ayah…” Dia langsung tak terkata untuk menggambarkan kegembiraan ketika buat pertama kali menatap wajah ayah yang sudahpun selamat bergelar haji. Jantungnya bagaikan terhenti. Air di dalam tempayan penuh dek hujan. Terasa dunia ini milik dia seorang. Hatinya yang ibarat dunia tiada penghuni selama ini kini seolah-olah semua manusia yang dicintai datang kearahnya.
Sekali lagi airmatanya menitik. “Syukur padamu Ya Allah.” Hati perempuan yang lemah itu memanjatkan kesyukuran di dalam kegembiraan.
Mak Su Hasanah melambai-lambai tangan. Memanggil-manggil nama. Tersengih-sengih. Kuat pula suaranya hari ini. Mungkin kerana terlalu teruja.
“Abang Long. Sini!” Tangannya melambai-lambai. Bergerak-gerak. Bola matanya memerhati.
“Alhamdulillah…” ucap Nur Aishah sambil membiarkan Mak Su Hasanah bergerak beberapa langkah ke depan. Meninggalkan dirinya di belakang bagaikan patung cendana.
Kelibat ayah makin dekat. Nasib baik mata ayah tidak lagi rabun. Dari jauh lagi ayah sudah pun tersenyum. Menggambarkan kegembiraan yang sukar untuk diucapkan. Menggambarkan kepuasan dapat mengerjakan haji dengan baik. Menjadi tetamu Allah. Wajah sujud syukur itu jelas terpancar.
“Assalamualaikum. Abang Long apa khabar?” Soal Mak Su Hasanah lalu terus memeluk dan mencium. Mukanya tergambar kepuasan. Ada sinar di wajahnya.
“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.” Ayat pertama yang keluar dari mulut Haji Ezudin sebaik saja melangkah kaki ke tanah tumpah darah. Tergambar seribu keikhlasan dalam pertuturannya. Lembut dan berhalus.
Mak Su Hasanah mengangguk kegembiraan. Berkali-kali. Tangannya sudah memegang tangan abangnya. Pada saat itulah dia menangis tanda kesyukuran. Airmata kegembiraan mengalir laju.
“Alhamdulillah. Semua berjalan dengan lancar. Abang selamat menjadi tetamu Allah.” Haji Ezudin berkata lalu mencapai bahu adiknya. Berulang-kali mengucapkan syukur. Dipertemukan semua dengan insan tersayang.
“Adik sangat rindu akan Abang Long.” Jujur saja Mak Su Hasanah mengakui. Ringkas bunyinya. Tapi ada keikhlasan.
“Tak perlu nak sedih. Abang sudah selamat kembali.” Seperti biasa Haji Ezudin memujuk adiknya. Dia tak mahu adiknya itu terus menumpahkan airmata. Lumrah kehidupan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap perpisahan jua adanya pertemuan. Sekarang, sudah ditakdirkan Allah. Mereka bertemu kembali.
“Mana Echa?” Haji Ezudin terpinga-pinga kemudiannya. Terlupa seketika. Matanya melilau ke sana sini. Tak sabar untuk menatap wajah anak kesayangan pula.
“Di depan abanglah.” jawab Mak Su Hasanah sambil mengesat air matanya dengan hujung jari. Dia cuba tersenyum. Kelakar juga soalan itu. Dipandang raut wajah abangnya. Gundah gulana mencari anaknya. Bagaikan kucing kehilangan anak lagaknya.
“Mana?”  Suara yang lembut tadi bertukar nada.
Mak Su Hasanah tergelak kecil apabila mendengar soalan itu. Apa tidaknya wajah Haji Ezudin makin berkerut. Memang, dalam ratusan manusia itu dia tidak dapat mengecam anak sendiri. Ratusan manusia di perkarangan lapangan terbang itu masih lagi kecoh dengan peluk cium.
“Di depan mata?” jawab Mak Su Hasanah perlahan.
Sekali lagi Haji Ezudin terpinga-pinga. Bola matanya bergerak sekali lagi. Kerisauan jelas bertandang.
Mak Su Hasanah menarik tangan abangnya lalu melangkah beberapa langkah. Membawa menuju kearah seorang wanita yang berdiri di celah-celah ratusan manusia.
“Ayah…” Dengan tiba-tiba Nur Aishah yang berdiri dari tadi datang meluru lalu memeluk Haji Ezudin.
Haji Ezudin terkejut. Mulutnya sedikit terlopong. Hatinya berdegup kencang.

“Ya Allah. Allahu Akbar!” Haji Ezudin bertanya lalu mengucap syukur. Apakah benar yang memeluknya itu anaknya Nur Aishah? Anak dara yang bertudung labuh yang ditinggal sebulan lebih itu telah berubah. Dia bukan sekadar bertudung labuh bahkan lebih dari itu. Dia telah melakukan satu penghijrahan iaitu berpurdah.
“Ayah sangat bersyukur, nak. Patutlah ayah tak cam kamu. Hanya nampak mata sahaja.” Haji Ezudin membalas di saat Nur Aishah masih lagi memeluknya.
“Satu kejutan buat ayah agar kegembiraan itu berganda-ganda. ” Hati Nur Aishah berdetik lagi
“Inilah kejutan yang saya janjikan untuk ayah. Saya berniqab, ayah. Restuilah saya…” Nur Aishah menangis di dalam jubah. Dia terus erat memeluk ayahnya. Pelukan seorang anak kepada ayah yang telah lama terpisah jauh.
Haji Ezudin rasa syukur. Jika di Mekah dia melihat ramai berpurdah dan berburqa, tetapi tak sangka ada dalam keluarganya kini juga berpurdah. Semasa di Mekah dia begitu teruja melihat perempuan mengenakan pakaian sunah para isteri nabi itu.
Nur Aishah memandang ayahnya. Wajah yang berseri itu mula menampakkan kedut-kedut. Tapi bola matanya tetap bercahaya.
“Kamu telah dipilih oleh Sang Pencipta.” Perlahan saja Haji Ezudin meluah perasaan. Hanya memandang ke dalam anak mata Nur Aishah.
“Ayah…” Nur Aishah berkata perlahan. Peluk Nur Aishah sekali lagi. Dia begitu terasa dengan kata-kata dan pujian itu.
Tapi saat itu juga ada lagi satu perasaan yang bermain dalam fikirannya. Bukan soal purdah. Tetapi tak dapat dia gambarkan. Terkenang saatnya. Semasa menghantar ayah dan ibu ke Mekah. Dua pergi. Tapi kepulangan kali ini ayah seorang.
Haji Ezudin meleraikan pelukan itu. Memandang anaknya. Tak puas dibuatnya. Tidak mahu dilepaskan.
“Ya, nak. Semua telah selamat. Tak perlu nak sedih…” Haji Ezudin memujuk sekali lagi. Mungkin kerana memahami akan isi hati anaknya itu.
Nur Aishah tertunduk. Semua kerinduan dilepaskan. Kegembiraan dan kesedihan jelas bersatu.
Mak Su Hasanah berdiri tak terkata. Dia membiarkan Nur Aishah melepaskan semua kerinduan yang ditanggung selama ini. Menumpahkan airmata kegembiraan sepuas-puasnya.
“Ya Allah. Hadiah apa yang kau nak tunjukkan kepadaku? Terima kasih Echa kerana buat ayah sangat-bersyukur.”
Sekali lagi Haji Ezudin memuji. Semangat sekali bunyi kali ini. Dia ternyata masih lagi mengagumi apa yang disaksikan. Anaknya begitu cantik dan sempurna di matanya.
“Echa, dalam keadaan masyarakat hari ini yang sangat rapuh. Satu-satunya cara yang terbaik untuk mengislahkan diri ialah hijrah. Seperti hijrah nabi dari kota Makkah Mukarramah ke Madinatul Munawarrah. Dalam hijrah, tersembunyi pelbagai manfaat yan tidak terhingga.”
Nur Aishah hanya mengangguk. Benar kata-kata ayah. Kata-kata itu masih lagi tidak berubah. Tetap seperti sebelum menunaikan haji. Penuh dengan ilmu dan pengajaran.
“Alhamdulillah… Ayah bangga dengan kamu. Tabahkan hatimu nak. Seteguh batu karang di lautan. Ayah tahu engkau insan terpilih.”
Nur Aishah mengangguk. Matanya mengecil. Diperhatikan juga bola mata ayahnya.  Bergerak-gerak.
Haji Ezudin memerhati ke atas dan ke bawah. Macam tidak percaya itu adalah anak yang dibelanya selama ini. Dulu bertudung labuh kini telah berpurdah. Alhamdulillah.
 “Ayah tak marah? Pelik tak? ” Nur Aishah kemudian bertanya. Nada suara berubah. Perlahan saya inginkan jawapan.
“Ayah bersyukur sayang. Wanita menutup aurat itu sudah cukup bagus dari mendedahkan auratnya.”
“Ayah tak rasa pelik?” soal Nur Aishah sekali lagi. Inginkan kepastian yang mendalam sekali lagi dalam diri ayahnya.
 “ Apa yang peliknya? Bagaimana pula bagi mereka yang berpakaian seksi tu? Tak de pula yang nak mengata sebaliknya dipuji-puji lagi. Itu yang baru betul pelik. Yang baik dipandang serong yang jahat itu pula diagung-agungkan..”
Mak Su Hasanah tersenyum. Memang itulah jawapan yang tepat. Dia menganggukkan kepala. “Betul.”
“Ayah merestui. Echa gembira…”
Nur Aishah cuba bertenang. Tapi dia tak terdaya. Dia melepaskan semua airmata. Airmata kerinduan dan kegembiraan sekali lagi. Jawapan ayah membakar semangatnya untuk menjadikan secebis kain itu pakaiannya. Dia terus menghadap muka ayah yang dirindui.
Hatinya berdetik. “Tahukah apa kerasaan aku ketika ini? Alangkah hebatnya ar-rahman dan ar rahim mu ya Allah. Aku tersedar akan kesilapan yang telah aku lakukan. Subhanallah…”
“Tak perlu nak sedih sayang…” Haji Ezudin mencelah. Tahu benar akan perasaan anaknya. Memang sikap angannya sukar ditepis.
Kemudian Haji Ezudin memujuk. Entah kenapa Nur Aishah terlalu sensitif kini. Mungkin gembira kerana sudah lama tidak berjumpa. Sebab itulah airmatanya seakan murah saja. Sehingga purdah yang menutup wajahnya juga makin basah.
“Echa, yang tertutup itu indah. Percayalah.” Haji Ezudin memegang bahu anaknya kali ni apabila berbicara. Diperhatikan lagi. Hanya bola mata saja bertentang.
Mak Su Hasanah tersenyum. Sememangnya satu ketika dulu dia pernah ditanyakan tentang jawapan itu. Ketika ramai bertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang dia terima, “ Yang tertutup itu indah!”
“Betul ayah suka dengan perubahan ini?” Nur Aishah bertanya sekali lagi. Masakan tidak. Dia betul-betul nak kepastian. Maklum sajalah, selama ini dia dikutuk hanya semata-mata memakai secebis kain di muka.
“Ya. Suka. Suka sangat-sangat.” Haji Ezudin mencubit pipi anaknya. Kali ini lain pula dirasakan. Apa tidaknya, cubitan itu beralas.
“Apakah jawapan ayah itu ikhlas atau terpaksa?” Nur Aishah cuba korek lagi hati ayahnya. Lagi dalam.
“Echa,  jawapan ini telah dijelaskan dalam surah al-Ahzab ayat 59 maksud dan tafsirannya.”
Nur Aishah diam. Dia gembira dan puas. Ayahnya memberi jawapan yang tepat. Sememangnya dia juga tahu akan tentang ayat itu.
“Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.” Laju Haji Ezudin melafazkan firman Allah.
Nur Aishah mengangguk.
“Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya?” soal ayah.
Nur Aishah akui.  Memang dia pernah perhatikan kulit bukunya yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit buku yang tidak bersampul.  Dia pernah perhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap.  Dia perhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah. Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan membariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan hati yang sakit.
“Tak apalah Echa. Tak perlu nak risau dengan perubahan ini. Tudung labuh dan purdah itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.” Mak Su Hasanah mencelah sambil memegang pinggang anak saudaranya itu.
Nur Aishah tahu ayahnya sedaya upaya memujuk. Tapi pujukan itu tak mampu menahan airmata yang keluar. Memang, kalau boleh dia nak rasa hangatnya pelukan seorang ayah yang baru balik dari Mekah. Tapi, dalam masa yang sama dia juga nak merasakan hangatnya ibu yang tercinta bergelar hajah. Tapi, semua itu tidak kesampaian. Allah lebih sayangkan ibu.
“Ayah, Echa redha atas apa yang tertulis. Kita tak usah sedih.” Nur Aishah memandang wajah ayahnya. Dia cuba memujuk. Walaupun dia sendiri masih lagi terkilan. Walaupun selama ini dia menangis kerana derita.
Bahkan dia amat terkilan. Masih lagi terkilan. Dia mahu bagi kejutan kepada emak. Tapi emak telah membuat ‘kejutan’ terlebih dahulu.
“Echa, hari ini kita kena buang kebesaran makhkluk yang ada dalam hati kita dan kita kena masukkan kebesaran Allah S.W.T. Hari ini kita belum yakin lagi pada Allah. Kita masih ingat yang bagi kenyang ialah nasi. Yang bagi kenyang adalah Allah. Bukan sebab kita makan atau apa.”
Nasihat Haji Ezudin sangat menyentuh anaknya. Bahkan sejak balik dari Mekah, kata-kata ayah penuh dengan ilmu.
“Betul ayah.” Nur Aishah mengangguk jujur.
“Kita kena tanam keyakinan jitu terhadap kekuasan Allah. Petik suis lampu kena yakin bukan kita yang ada kuasa hidupkan lampu. Allah yang membuatnya.”
“Betul.” Mak Su Hasanah mengiakannya.
Terhenti nafas Nur Aishah seketika. Betapa katanya itu meresap masuk ke seluruh anggota tubuh. Menyelinap melalui urat saraf. Terus di hati yang buram ini bersinar dengan cahaya keinsafan dan keimanan.
“Betul tu, Echa. Tak perlu nak sedih. Mak Su masih ada. Betul kata ayah tu. Ingat pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Mengharungi dugaan hidup. Jika sesuatu itu secara fitrah dan syariat memang ada hujjah di sisiNya, tiada siapa yang dapat menghapuskan amalan tersebut dari kalangan wanita yang mahu memilih purdah sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepadaNya.” Mak Su Hasanah sekali lagi mencelah.
“Ramai manusia sibuk setiap hari membersihkan dan mencantikkan diri yang lahir. Tapi anggota batinnya dibiarkan kotor dan berdaki. Padahal rosaknya kehidupan di dunia berpunca daripada kekotoran batin. Sudahlah mari kita balik.” Haji Ezudin mengajak. Dia tak mahu anaknya itu terus menangis meratap sesuatu yang tak bisa diputarkan kembali.
Putaran masa sangat pantas dirasakan. Kata-kata tadi belum puas diutarakan. Apapun, Haji Ezudin terpaksa menamatkan semua. Apa yang penting, dia telah wujud di depan anak dan adiknya. Semua sudah selamat. Dengan izin Allah.
Dia memerhati ke segenap penjuru. Perkarangan lapangan terbang itu semakin lengang. Semua berlalu sambil mengangkat beg masing-masing. Semua menunjukkan muka puas.
Haji Ezudin mencapai tangan Nur Aishah. Menarik dengan lembut. Nur Aishah berpegangan tangan meninggalkan perkarangan lapangan terbang itu. Mak Su Hasanah pula menuruti dari belakang.
Nur Aishah juga melangkah dan melangkah. Fikirannya tetap melayan di saat tangannya erat memegang tangan ayah. Saat itu dia merasakan hangatnya tangan tua ayah. Saat itu dia teringatkan tangan tua emaknya. Penuh dengan urat-urat. Saat itu dia tiba-tiba teringatkan arwah emak. Teringat kata-kata emak.
“Echa nampak cantik. Ramai puji. Nanti senang dapat jodoh yang solehah.”
“Mak ni. Jodoh itu rahsia Allah.”
“Tak apa. Kalau tak tahu nak pilih. Istiharah itu adalah jalan terbaik.”
“Mak, lepas mak balik dari Mekah nanti, Echa nak bagi satu kejutan.”
“Apa dia?”
“Nanti, mak balik dari menunaikan rukun Islam kelima itu akan Echa khabarkan.”
Nur Aishah sebak. Tak sanggup lagi dia mengingati kata-kata itu. Sekali lagi memeluk ayahnya sebaik saja memasuki kereta.
“Echa. Apa perlu sedih lagi? Ayah ada ni…”
Ayah memeluk Nur Aishah. Bersaksikan lapangan terbang itu ayah memandang wajah Nur Aishah. Hanya nampak matanya yang merah. Dari tadi menangis tak henti-henti.
“Echa anak ayah. Kalau kau cari ketenangan, akan kau temui dalam Islam,” balas Haji Ezudin.
Nur Aishah terus merebahkan kepalanya di bahu ayah. Lagi airmata mengalir laju. Kenapa sejak akhir-akhir ini kata-kata ayah bagaikan satu semangat. Kata-kata yang penuh bermakna sehingga mampu membuatkan airmatanya jatuh tak henti.
Tangan Haji Ezudin menyentuh kepala anaknya. Belas sungguh pada anak yatim itu. Sekali lagi dia cuba memberi nasihat. Tanpa menghiraukan hatinya juga sedih dan terkejut atas pemergian isteri tersayang ke rahmatullah.
Apapun, dia tetap menuturkan kata. Bab arwah tidak harus dibicarakan buat masa ini. Dia lebih membicarakan tentang kejutan anaknya itu. Tentang kejutan berpurdah.
Nur Aishah diam. Membiarkan ayahnya berkata apa saja. Soal aurat, soal purdah dan sebagainya. Soal purdah sudah hilang. Saat itu dia terkenangkan ibu sekali lagi. Kalau ibunya melihat dia memakai purdah hari ini pasti kegembiraan itu bersatu.
Dia tak tahu apa yang bersarang dalam otaknya itu. Pada saat itu, dia hanya ingatkan arwah ibu. Tetapi, pandai ayah mengambil alih perasaan. Soal berpurdah menjadi topik utama. Ayahnya terus membicarakan soal hijab sedangkan dalam kepala Nur Aishah, semakin ayahnya membicarakan soal pakaiannya, semakin ingatan itu tetap kepada arwah ibunya. Tentang hajatnya juga tidak kesampaian.
Mak Su Hasanah terus memandu perlahan-lahan meninggalkan lapangan terbang yang telah menjadi saksi antara kesedihan, kegembiraan dan airmata seorang insan yang baru saja berjibab dan mencari redha Allah. Membiarkan anak-beranak yang baru saja bertemu itu terus meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini.
“Semoga hari esok lebih bermakna. Buat Echa yang telah memilih sesuatu yang tertutup. Berjubah.” bisik hati Mak Su Hasanah. Doa yang terbaik buat keluarganya. Sentiasa dilindungi Allah.