Wednesday, 11 June 2014

Kutunggu Pinanganmu (Bab 5): Fisha

Tubuh yang sudah terlalu letih dihempas ke sofa panjang diruang tamu. Sudah malas nak bergerak naik ke bilik sendiri yang tidak sejauh mana. Hari ni lambat betul dia bergerak balik dari ladang. Banyak kerja yang perlu dibuat bila anak-anak lembu yang dibeli sudah sampai ke ladang.
Minda kembali mencongak bilangan lembu yang boleh dijual untuk hari raya Aidil adha dan Aidilfitri nanti. Cukuplah menampung pesanan pelanggan tetap setiap tahun. Alhamdullilah, rezeki makin meningkat tahun demi tahun berkat dari kerja keras dan kerjasama dari semua yang terlibat.
“Fawwaz? Baru sampai?” Puan Fazilah yang baru selesai solat Isya memandang anak tunggal yang sudah terlelap disofa. Hujung jari kaki Fawwaz dicuit perlahan, mahu mengejutkan anak yang nampak lena benar. Langsung tidak terganggu dengan soalannya.
“Fawwaz!”
Agak tinggi nada menyeru nama anak bujangnya.
“Eh, ma” mata yang berat dibuka juga bila Puan Fazilah sudah duduk dihujung kakinya. Tubuh letih dipaksa bangun, duduk disebelah wanita yang sangat disayangi. Langsung tidak sedar bila dia terlelap diruang tamu ini.
“Letihnya mama tengok. Sibuk sangat ke hari ni?”
“Macam biasalah ma, nama pun kerja sendiri. Letih pun kena buat jugak. Lagipun hari ni anak-anak lembu dah sampai. Itu yang sibuk nak tagkan dan asingkan dulu.”
“Kerja, kerja jugak tapi janganlah seksa diri sendiri. Ini dah solat ke belum?”
Fawwaz dah tersengih mendengar soalan Puan Fazilah. “Maghrib dah, isyak belum lagi. Terus balik lepas semua siap tadi. Ma masak apa hari ni, laparlah.”
“Tak ada yang istimewa. Macam biasa, ada ikan dan sayur. Nak makan ke?” wajah Fawwaz ditatap menanti jawapan. Anak nan seorang ni memang jarang makan dirumah, tapi hari ni boleh pulak merengek lapar. Sibuk sangat la tu sampai tak sempat nak makan.
“Nak la. Lapar ni, rasa macam ada konsert rock tengah berlangsung dalam perut ni. Tak lena tidur kalau tak makan.”
“Pergi mandi, solat. Lepas tu boleh makan dengan abah. Sempatlah tunnggu abah balik dari surau sementara Fawwaz nak siap solat.”
“Fawwaz naik dulu ma”
“Jangan naik bilik tu tidur pulak.” pesan Puan Fazilah. Bukan boleh diharap sangat dengan anak bujangnya itu, kalau dah letih benar cepat betul terlena walaupun ditempat yang tak sepatutnya.
“Taklah, Fawwaz naik mandi dan solat je. Nanti Fawwaz turun makan.” Laju dia melangkah ke bilik. Nak mandi dan solat. Lepas tu boleh makan malam bersama keluarga tersayang. Perut dah tak boleh menahan lapar.


Fawwaz menadah tangan, menanti pinggan dari Puan Fazilah. Mama ni memanglah terbaik dari ladang. Masakan malam ni betul-betul kena dengan selera yang sudah dua hari tak dapat makan dengan betul.
“Lapar sungguh abah tengok ni.” tegur Encik Azhar bila Fawwaz makan dengan senyap dan bersungguh-sungguh. Langsung tak berbunyi mulutnya. Menganggkat muka pun tidak, asyik memandang pinggan nasi dan lauk.
“Sedaplah abah.”
“Biasa je abah rasa. Hari-hari macam inilah juga mama kamu masak sejak abah kahwin dulu. Apa yang berbezanya? Kamu tu yang jarang makan dirumah.”
“Ini namanya orang tak cukup makan sebab terlebih sibuk dengan kerja.” sampuk Puan Fazilah yang sejak tadi memandang dua lelaki dalam hidupnya berbalas cakap. Dia pun pelik tengok Fawwaz makan dengan nikmatnya hari ni. Tak adalah istimewa mana pun lauk malam ni tapi cara Fawwaz makan macam dia masak briani kambing.
Selalunya Fawwaz hanya akan memijak lantai rumah ketika mereka suami isteri sudah enak dibuai mimpi. Tapi hari ni boleh pula balik awal dan makan bersama.
“Mama ni, ada pula cakap dekat Fawwaz macam tu.”
“Dah betulkan, mama rasa dah lama kita tak makan sekali. Asyik muka mama dengan abah saja tiap-tiap kali waktu makan. Fawwaz mana ada masa nak makan dengan kami.”
Terkedu Fawwaz mendengar luahan perasaaan Puan Fazilah, sayu la pulak mama malam-malam ni.
Encik Azhar hanya tersenyum. Memang dia takkan campur perang mulut antara dua beranak tu. Susah nak pilih pihak mana yang hendak disokong. Jadi lebih baik dia diam dan menjadi pihak berkecuali. Dengar dan jangan menyampuk.
“Memang la abah selalu makan dengan ma, pukul enam abah dah sampai rumah. Orang kerja gomen la katakan. Lainlah anak mama yang kena perah peluh sendiri ni. Mana boleh balik awal. Haiwan tu semua dekat maghrib baru reti balik ke bangsal.”
“Salah siapa? Lembu pun reti balik ke rumah sebelum maghrib. Tapi anak mama, nak tengah malam baru sampai rumah. Rasanya lembu tu lagi baik dari Fawwaz.”
Fawwaz diam, kalau Puan Fazilah dah tanya macam tu dia takkan menjawab. Memang salah sendiri, apa yang terjadi sekarang kesan dari kedegilan dahulu. Jadi lebih baik berdiam diri dari menegakkan benang yang basah. Tak salah rasanya mengaku kesilapan sendiri.
“Semalam abah lalu dekat bilik, Fawwaz tak tidur lagi. Buat apa sampai pukul tiga pagi?”
Encik Azhar menyelamatkan keadaan bila suasana hening mula menguasai suasana makan malam mereka. Tidak mahu mengungkit benda yang sudah lepas. Cukuplah dengan apa yang sudah mereka lalui dahulu.
Tersedak Fawwaz dengan pertanyaan abahnya. Memang tak sangka langsung yang ada orang perasan dia tak tidur sampai ke pagi. Takkan nak bercerita apa yang dia buat sampai berjaga macam burung hantu. Malulah! Mahu dibahan oleh Puan Fazilah seminggu nanti. Mama tu mana boleh tengok dia ada buat benda pelik sikit.
“Tak ada apalah abah.”
“Jangan tidur lambat sangat, Fawwaz keluar pagi-pagi memandu. Kalau tak cukup tidur kan bahaya jadinya.” bimbang betul hati tuanya setiap hari anak lelaki itu keluar mencari rezeki. Jarak perjalanan yang jauh memungkin segalanya. Hendak dibenarkan anaknya itu tinggal disana, Puan Fazilah pula yang tak setuju. Pening kepala tuanya memikirkan dua insam istimewa dalam hidupnya.
“Tak ada apalah bah. Kalau mengantuk Fawwaz berhenti tidur dulu. Ladang tu boleh lagi harapkan budak-budak buat kerja. insyaAllah Fawwaz jaga diri baik-baik.”
“Pindah duduk sanalah, hujung minggu baru balik” cadang Encik Azhar entah untuk keberapa kalinya. Dia kurang bersetuju dengan keputusan Fawwaz untuk berulang setiap hari dari Alor Setar ke Yan. Bukannya dekat. Sejam juga memandu!
“Tak naklah, sayang nak tinggal mama dengan abah.” Jawapan beli jiwa. Tak mahu dibebel oleh Puan Fazilah lagi kalau dia mahu hidup sendiri. Lagipun bosan juga kalau hidup membujang diladang tu.
“Kalau sayang, hati-hati memandu.” Pesan Encik Azhar.
“Baik”
Puan Fazilah hanya diam mendengar perbualan antara dua lelaki penting dalam hidupnya. Siapa yang tak sayang anak. Tambahan pula, Fawwaz satu-satunya zuriat yang ada. Sungguh dia berbelah bagi untuk melepaskan Fawwaz duduk sendiri. Tapi melihat Fawwaz berulang-alik pun buat dia serba-salah  jugak.
“Lepas makan, terus tidur. Jangan nak berjaga menonton lagi.” pesan Puan Fazilah sebelum mengangkat pinggan ke dapur bila semua sudah selesai menjamu selera.
Fawwaz hanya mengangguk walaupun pesanan itu sangat tak relevan dengan dirinya. Mana pernah dia tidur dengan perut yang penuh. Memang takkan terlena selagi makanan tidak dihadamkan dengan sempurna. Tapi kita iakan saja supaya mulut mama akan senyap buat seketika.


Langkah yang diatur menuju ke bilik terhenti bila perasan television masih lagi terpasang diruang tamu. Pastinya Fawwaz yang berada disitu. Anak bujangnya itu mana boleh terus lena selepas makan.
“Fawwaz, tak tidur lagi?” Puan Fazilah duduk disebelah Fawwaz yang sedang leka menaip di komputer ribanya. Nampak sibuk benar dengan kerja yang tak pernah habis.
“Belum lagi, perut sendat sangat. Nak tidur pun tak selesa rasanya. Kena tunggu habis proses kejap. Setengah jam lagi Fawwaz tidurlah.”
“Buat apa ni?”
Menjengah ke skrin yang sedang ditatap oleh Fawwaz. Tak tahu apa yang asyik ditatap oleh anak terunanya.
“Buang masa kejap.”
“Boleh mama cakap sikit?”
Mendengar nada serius Puan Fazilah, komputer ditutup kemudian diletakkan diatas meja kopi. Memberi sepenuh perhatian pada wanita kesayangannya. Pasti ada hal penting yang hendak dibicarakan bila melihat air muka mamanya yang serius.
“Tahun ni dah 33 tahun umur Fawwaz. Bila nak kahwin ni?” hati yang runsing melihat anak terunanya masih sendiri tanpa teman membuatkan dia membuka mulut. Sampai bila Fawwaz mahu hidup sendiri.
“Ma, apa tanya benda macam ni. Mama tahukan yang Fawwaz tak kawan dengan mana-mana perempuan sekarang. Mana nak cari calon nak buat menantu mama.”
Rasa macam baru saja dia bercakap benda yang sama dengan paklong Amin. Kenapa semua orang sibuk nak dia berkahwin ni. Teruk sangat ke hidup dia sekarang sampai semua orang sibuk nak carikan jodoh untuk dia?
“Nak mama carikan? Boleh mama tanya kawan-kawan mama yang ada anak dara. Bagitau je Fawwaz nak yang macammana.”
Laju dia menggeleng. Langsung tak berharap untuk menamatkan zaman bujang dengan pilihan orang tua walaupun banyak orang cakap yang pilihan keluarga adalah pilihan yang terbaik. Tapi biarlah dia sendiri mencari Hawa yang sudah tercipta untuknya. Lebih bermakna dan dihargai.
“Habis tu, Fawwaz nak ambil bekas tunang Helmi?” terbayang dimata wajah Idayu, gadis manis yang selalu menjengah ke rumah mereka. Bekas tunang kawan baik Fawwaz, Helmi. Sudah lebih lapan tahun gadis itu masih setia membujang dan belum berkahwin.
“Maaaa…..” langsung tak bersetuju dengan cadangan Puan Fazilah. Memang Idayu cantik dan baik. Lengkap pakej sebagai calon isteri tapi hatinya tak pernah bergetar setiap kali bersua muka dengan gadis itu. Kalau hendak dibuat kawan bercerita memang dia suka pada Idayu tapi kalau hendak dibuat calon isteri rasanya tidak sampai ke tahap itu lagi.
Lain pula halnya dengan Nana, cukup hanya dengan berbalas taipan diskrin bisu tapi berjaya membuatkan hatinya bergetar hebat. Tapi untuk diceritakan Puan Fazilah terasa cepat benar. Biarlah dia berkenalan lebuh rapat dahulu dengan gadis itu.
“Habis tu Fawwaz tunggu apa?”
“Puteri kayangan.”
Jawapan yang menyebabkan dia menerima satu tamparan dari Puan Fazilah. Orang tanya betul-betul dia boleh buat main pula. Langsung tak mahu faham hati tua yang risaukan kebahagian anak sendiri.
“Apa yang tak kena dengan Ayu tu?”
“Hati Fawwaz tak ada dekat dia ma. Biarlah dia cari orang lain yang sayang dan jaga dia dengan penuh tanggungjawab. Bukan dengan Fawwaz.”
Jujur dia menutur. Mahu Puan Fazilah faham apa yang tersirat dihatinya. Dia yakin Idayu bukanlah jodoh yang ditetapkan untuknya.
“Tapi dah lama, dia tetap tak ada teman. Nampak macam dia mengharap pada anak teruna mama ni.”
Lembut Puan Fazilah berkata. Menyampaikan apa yang mata tuanya nampak. Mana tahu Fawwaz tak pernah perasan semua itu selama ini.
Nafas dihela panjang. Sesak bila nama Idayu memenuhi minda. Memang dia sayangkan Helmi tapi untuk mengambil Idayu sebagai isteri rasanya bukanlah satu tindakan yang bijak. Cinta memang boleh dipupuk tapi rasanya tak ada kimia antara mereka.
“Nanti adalah jodoh dia Ma.”
“Habis tu jodoh Fawwaz bila pula?”
Fawwaz sudah tersenyum lebar mendengar soalan itu. Entah mengapa terasa indah pula soalan itu ditelinganya. Bagaikan terbayang dia akan hidup bersama insan bernama Qistina. Yakin yang dia akan bahagia dengan gadis yang hanya dikenali lewat suara dan tulisannya saja.
“Dah senyum pula, ini mesti dah ada calon. Orang angau saja yang senyum macam anak mama ni.”
“Mana ada.” Cepat dia menidakkan. Benda yang betul pasti hujung pangkalnya tidak boleh didedahkan pada Puan Fazilah.
“Kalau tak ada kenapa muka berseri benar bila mama sebut pasal calon isteri. Padahal tadi bukan main berkerut muka bila dengar nama Ayu. Baik cakap betul-betul dengan mama apa yang sedang berlaku.”
Inilah susahnya bercakap dengan insan yang mengenali kita luar dan dalam. Payah hendak menyembunyikan rasa hati yang sedang berkembang wangi. Tapi rasanya sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercerita dengan Puan Fazilah.
“Nanti kalau betul-betul ada, Fawwaz kenalkan pada mama. Sekarang ni baru dalam proses nak mengenali dan bersahabat. Macam tak kena pula kalau nak bagi dia jumpa dengan mama. Bolehkan?”
“Ingat pesan mama ni, jangan sesekali berniat nak mainkan hati anak dara orang. Hidup kita takkan bahagia. Apa yang kita buat, itu yang akan kita dapat balik. You know, what you give, you get back” serius Puan Fazilah bersuara. Tidak mahu anak yang dilahirkan merosakkan mana-mana hati anak dara orang.
Amboi Puan Fazilah, siap bahasakan dia dalam bahasa inggeris. Nampak serius benar, membuatkan dia mengiakan semuanya.
“InsyaAllah ma, kalau Fawwaz tak ada niat nak buat isteri memang Fawwaz takkan bagi harapan. Itu janji Fawwaz.”
“Baguslah kalau macam tu, mama masuk dulu. Jangan tidur lewat sangat. Esok Fawwaz orang yang paling awal kena bangun”
“Baik”
“Kirim salam dekat kawan Fawwaz tu. Moga-moga adalah jodoh dia dengan anak teruna mama ni.”
Tersengih Fawwaz dengan pesanan Puan Fazilah. Inilah untungnya ada mama yang memahami. Senang diajak berbincang walaupun suka membebel entah apa-apa.
“InsyaAllah ma, selamat malam.”
“Selamat malam. Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam.” Jawab Fawwaz bila Puan Fazilah sudah berlalu ke dalam bilik. Jemari kembali menari diatas papan kekunci. Menyambung perbualan dengan Nana.

Tuesday, 10 June 2014

Vice Versa (Bab 2): Ednin

“BETUL ni kamu tak nak pergi?” Tanya Puan Awa kepada Uzair yang sedang duduk di atas sofa, mengadap TV. Tidak pernah-pernah pula anak bujangnya ini mahu ikut menonton kalau diajak tetapi hari ini, tanpa perlu dipaksa, elok pula dia datang, duduk menonton. Drama apa sangatlah yang ada pun di waktu tengah-tengah hari macam ni selain sinetron dan drama swasta. Yang pastinya itu bukanlah pilihan anak-anak bujangnya. Tambah-tambah lagi si Uzair di hadapannya ini.
“Betul ni?”
Diam. Tiada respon.
“Tak eloklah. Orang semua tahu yang kamu dah balik kampung.” Tanya Puan Awa lagi. Tangannya sibuk membetulkan kerongsang di tudungnya. Opah Cik ada buat kenduri doa selamat sikit dan dijemputnya mereka sekeluarga tapi yang masalahnya sekarang ni ialah si anak terunanya yang degil ni.. berdendam tidak pernah habis.
Uzair menggelengkan kepala, tangannya mula rancak menukar siaran di TV. Penat pula melihat babak-babak sinetron tidak pernah habis itu.  Dari TV1 ke TV2 ke TV3 dan seterusnya sampailah ibu boleh berhenti bertanyakan soalan luar skema jawapan tu. Dah terang lagi bersuluh yang Iman Uzair Ahmad Danial ni tak akan sekali-kali ke rumah hujung kampung itu.
Tak akan. Tidak mungkin. Tidak. Tidak. Tidak.
Dan dia sendiri pun tidak teringin mahu menjejak kaki ke rumah yang dia dah senarai hitamkan sejak 10 tahun lepas itu.
Haikal di muka pintu hanya mampu menggelengkan kepala. Kurang faham dengan perangai abang Uzair yang tidak pernah suka pada keluarga opah Cik.
Pelik!
Kerana bagi Haikal, opah Cik itu berperwatakan baik, peramah, dan suka tersenyum. Tidak sedikit pun boleh  membuatkan orang di sekelilingnya marah atau tak suka kecuali… Mata Haikal memandang Uzair yang sedang menekan butang-butang alat kawalan jauh itu.
Pelik sepelik-peliknya!
Mengikut firasat Iman Haikal, mesti ada sesuatu yang membuatkan abangnya bertindak sedemikian. Dia bukan anak kecil untuk tidak nampak rasa benci abangnya kepada keluarga opah Cik itu. Jelas sangat kut.
Sudah beracap kali dia bertanyakan soalan itu kepada ibu tetapi ibu hanya menyuruhnya berdiam diri dan tidak masuk campur. Akhir sekali, dia hanya mampu melihat ketidakmatangan abangnya itu.
 “Dah la ibu.. macam cakap dengan batu je bila cakap dengan abang ni. Jom ibu.. biar Haikal je yang bawak ibu pergi.” Kata Haikal. Tangannya menyeluk kunci dari poket seluar. Kunci dilambung-lambung ke udara lalu bergerak ke pintu.
Puan Awa menggelengkan kepala. Keras sungguh hati Uzair ni.
“Ibu dah buatkan kari kepala ikan.. nanti panaskan sendiri.”
Uzair mengangguk. Tanpa perasaan. Alat kawalan jauh ditekan-tekan lagi.. main tukar-tukar siaran ni pun syok apa. Sebenarnya tak ada rancangan menarik pun di TV, ini semuanya konon-konon nak mengaburi mata ibu la. Kalau dia duduk berhadapan dengan ibu, pandang dalam-dalam mata ibu tu, sah-sah hati yang keras ni boleh jadi lembut jugak…
“Ibu pergi dulu.”
Pintu rumah ditutup dan tak lama kemudian dia mendengar bunyi deruman enjin dan hilang selepas beberapa ketika.

“Maafkan Uzair, ibu.”



“UZAIR mana? Tak nampak pun? Tak datang?” Tanya opah kepada Puan Awa yang sedang membantunya mengangkat pinggan-pinggan kotor ke sinki. Dari tadi dia cuba mencari bayang-bayang anak lelaki sulung Awa itu tetapi harapan tinggal harapan. Tidak pernah sekali pun dia nampak batang hidung Uzair itu di kenduri-kendara yang berlaku di rumahnya. Walhal kalau di rumah orang lain, laju saja anak muda itu datang menolong.
Puan Awa menayang gigi, mempamirkan senyuman plastic. Malu pula terkenangkan sikap anak sendiri yang kurang sopan itu. Laju sa
“Bukan dia tengah cuti ka sekarang ni?” Tanya opah lagi lalu membuka pili air, mencurah air ke atas pinggan-pinggan yang perlu dibasuh itu.
Sebaliknya Puan Awa diam, tidak menjawab. Tangannya laju mengambil Axion di sebelahnya lalu disapukan ke pinggan-pinggan yang dilibas oleh opah Cik tadi.
“Dia marah lagi ye Awa?” Tembak opah. Kisah sepuluh tahun datang membuka kotak ingatannya kembali. Muka Uzair memarahi Ezzaq yang ketika itu baru saja sedar dari koma bermain kembali.


“UZAIR.. Irah mana?” Soalan itu yang keluar dari mulut Ezzaq bila dia sedar 10 tahun lepas. Opah memeluk cucunya itu. Dia tak tahu apa yang dia boleh lakukan ketika tu. Sedihnya datang bertimpa-timpa. Dengan Ezzaq yang patah kaki, Irah yang terkorban dan Uzair…
Uzair diam tak menjawab. Matanya sudah mencerlun ke arah Ezzaq. Kebencian tergambar elok di wajah anak muda itu. Nafasnya sudah bergerak tidak sekata. Menahan marah mungkin.
Ezzaq berpaling ke arah opah yang sedang memeluknya sambil teresak-esak itu. Sungguh Ezzaq keliru. “Opah… mana Irah?” Sambungnya lagi.
“She's gone.. sebab kau. Lepas ni hubungan kita putus.. sampai bila-bila. Kau dengan family kau.” Kata anak muda yang berusia 19 tahun itu lalu keluar dari bilik wad itu tanpa menoleh — sedikit pun — ke belakang.


ITULAH kata-kata terakhir daripada Uzair kepada mereka dulu. Siapa sangka yang Uzair betul-betul maksudkan apa yang dia katakan 10 tahun dahulu. Ingatnya hanya naluri marah, memberontak seorang remaja tetapi rupa-rupanya peristiwa 10 tahun dulu, benar-benar merubah seorang Iman Uzair Ahmad Danial.
Dari yang peramah kepada pendiam.
Dari yang suka tersenyum kepada dingin.
Dari yang pemaaf kepada pendendam.
“Kan Awa? Uzair masih lagi ingat ye?”
Puan Awa senyum plastik lagi. Nak berdalih, tak mungkin. Dah terang-terang Uzair tunjukkan. Untuk mengiyakan pertanyaan itu pulak, dia tidak sanggup mahu mengguriskan hati wanita yang sangat dia sayangi ini. Opah Cik lah sumber kekuatannya bila dia kematian suami dahulu. Kalau tiada opah Cik yang membantu, sudah tentu hidupnya susah untuk membesarkan ketiga-tiga anaknya yang masih kecil.
“Cik mintak maaf sangat kat hampa sekeluarga. Kat Awa, kat Nisah dan yang paling banyak rasa kesal Cik kat Uzair. Pasal Ezzaq, Hazirah meninggal dalam kemalangan tu.” Kata opah. Tangannya memegang perlahan bahu Puan Awa yang sedang membilas cawan yang bersabun itu. Rasa bersalah menggunung di dalam dirinya tetapi apa yang dia mampu lakukan. Kalaulah dia punya kuasa yang membolehkan dia menggantikan tempat Hazirah malam itu…
“Cik, Ezzaq ka, Uzair ka… semuanya tak bersalah.. tak ada siapa pun yang bersalah. Itu semuanya Qada' dan Qadar, kita ni yang kena kuat. Awa sendiri dah banyak kali dah nasihatkan Uzair tu tapi satu apa pun dia tak mau dengar. Dia butakan hati dia Cik.. dia terlalu sayangkan Irah sampaikan tak sedar yang Irah itu hanya pinjaman dari Allah. Awa redha, Cik. Awa redha…”
Opah mengangguk. Dia sayangkan Uzair macam dia sayangkan Ezzaq, cucunya sendiri. Sedih sebenarnya bila dia melihat kedua-dua lelaki yang dulunya pernah rapat kini berpaling bila berjumpa.
“Sama-samalah kita berdoa ya Awa..” Kata opah. Air mata disekanya. Sedih bila cerita lama dibuka kembali.
Puan Awa mengangguk. Saban hari dia tak pernah lupa untuk berdoa kepada Dia supaya melembutkan hati Uzair.
Kedua wanita itu tenggelam dalam dunia masing-masing. Sama-sama kesal dengan apa yang berlaku dulu. Kalaulah waktu boleh diundurkan ke belakang…
“Opah, Acik Ros dah nak balik dah..” Satu suara lelaki datang menghampiri mereka. Cepat-cepat opah menyeka air matanya dengan hujung baju kurungnya. Puan Awa juga begitu.
“Ahh Ezzaq. Sat, sat..” Jawab Opah sambil mengelap tangannya di tuala kecil yang tersangkut di dinding dapur itu. Lalu dia berjalan ke muka pintu meninggalkan dua orang manusia yang sedang berpandangan sesama sendiri itu. Dibiarkan saja mereka berbicara sesama sendiri setelah sekian lama tidak bersua.
“Mak Cik Awa..” Tegur Ezzaq lembut, macam selalu. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan wanita yang selalu membantunya dulu. Kalau dulu rumah Puan Awa inilah yang akan ditujunya bila opah naik angin dan Puan Awa lah yang menjadi pendinding, menyorok di belakang kerana takutkan rotan tebal opah itu. Ezzaq tersenyum… betapa nakalnya dia dahulu!
“Ezzaq.” Puan Awa mengangguk sambil menyambut salam yang diberi Ezzaq.
Ezzaq menelan air liur. Janggal. Kalau dulu pasti dia akan petah berbicara dengan Puan Awa tapi sekarang, dia lebih selesa untuk mendiamkan diri. Rasa bersalah pada seluruh keluarga itu menyesakkan dadanya.
Bersalahnya dia pada Puan Awa, pada Haikal yang kecil tak tahu apa-apa itu, pada kak Nisah yang masih menjeling ke arahnya bila berjumpa…
Dan bertimpa-timpa sesalnya pada Uzair. Teringat pada kata-kata terakhir Uzair sebelum itu.


“BAWAK motor jangan laju-laju sangat.. kau ni bawak macam pelesit tahu?!” kata Uzair. 
“Macam la lu tak besa dengan gue. Aku jaguh kampung kut!” Ezzaq tersenyum sambil mencalitkan ibu jarinya ke hidung.


YA ALLAH.
Kalau tidak diikutkan naluri remajanya, sudah tentu perkara buruk tak terjadi…
Kalau diikutkan nasihat Uzair yang senior tiga tahun daripadanya, sudah tentu Hazirah tak pergi.
Ezzaq meraup rambut hadapannya sambil beristighfar. Berdosanya dia pada mereka sekeluarga.
 “Opah cakap orang rumah Ezzaq dah berisi. Tahniah.” Kata-kata Puan Awa itu menganggu lamunan Ezzaq. Ingatan pada peristiwa sepuluh tahun itu mulai hilang dan digantikan dengan imej Puan Awa yang sedang tersenyum memandangnya. Mungkin wanita itu ikut gembira dengan berita itu.
Ezzaq mengangguk. Dia tidak pasti sama ada dia perlu lampirkan rasa gembira (yang sememangnya dia tengah rasa sekarang) ataupun menunjukkan riak bersedih kerana dia sedang berdiri di hadapan wanita yang kematian anaknya disebabkan oleh kecuaiannya sendiri!
“Uzair je la tak ke mana-mana. Macam tu je dia..”  Puan Awa tersenyum. Saja dia menyebut nama Uzair, mahu melihat reaksi Ezzaq. Dan sesungguhnya bukan saja Uzair yang berubah selepas peristiwa itu tetapi Ezzaq juga yang semakin pendiam bila berhadapan dengannya. Kalau dulu ada saja mulutnya berbicara, petahnya bercakap. Tapi sekarang, bercakap bila ditanyakan soalan saja.
“Uzair macam mana mak cik?” Akhirnya soalan yang sekian lama dalam fikirannya terkeluar juga. Itupun setelah Puan Awa menyebut nama 'Uzair' di dalam perbualan mereka.
“Dia okay. Sihat, Alhamdulilah.. tapi gila kerja sangat. Asyik kerja, kerja, kerja. Kalau kat atas kapal tu tak apa la jugak nak fikir kerja, ini bila dah turun darat pun dia pikir pasal kerja jugak.” Cerita Puan Awa. Itulah anak lelakinya, tak betah duduk kalau tak melakukan kerja. Apa tidaknya, asal saja turun kapal, Uzair dah bertanyakan bisnes yang dia lakukan dengan Aki sekarang ni.
“Biasalah tu mak cik. Lelaki kena cari duit lebih, nak jaga anak bini.”
“Tapi kahwinnya tidak. Ezzaq yang muda dari dia ni dah nak masuk sorang anak.. dia entah bila. Hidup atas kapal je kan? Mana nak jumpa perempuan.”
Ezzaq tersenyum. Macam biasa, dia sudah selalu mendengar ayat rasmi emak-emak ini bila si anak masih tidak berkahwin bila sudah menjangkau umur-patut-kahwin ni. Tidak perlu pergi jauh, di rumah pun dia dah selalu dengar bila mama dok bising kat Along sebab tak kahwin-kahwin sampai sekarang.
“Kalau dah ada jodoh nanti, kahwin la dia mak cik. Ajal dan jodoh ni semuanya ketentuan Allah.” dia berhenti sekejap (menelan air liur) bila perkataan 'ajal' itu keluar dari mulutnya. Ironi! Dia berbicara, berpung-pang pasal ajal tetapi dia sendiri…
Puan Awa mengangguk bila Ezzaq kelihatan ragu-ragu untuk menyambung ayatnya. Tangannya menepuk bahu Ezzaq.
“Betul sangat tu. Mak cik harap Ezzaq tak rasa bersalah lagi pasal peristiwa dulu tu. Semua benda dah nak jadi… kami sekeluarga dah redha dengan pemergian arwah. Mak cik redha.” Matanya memandang Ezzaq yang memandangnya tanpa perasan. Lambat-lambat kepala itu mengangguk. Alangkah senangnya kalau Uzair pun lembut hati begini…
Ezzaq hanya tersenyum janggal. Hatinya hanya mampu menitip doa dari jauh supaya lelaki yang dia sanjungi dulu itu turut juga meredahi pemergian arwah Hazirah. Insha-Allah. Harapannya tetap bersama Allah.
Ajal maut dan jodoh itu semuanya di tangan Tuhan. Tugas manusia ni ialah berdoa kepada-Nya supaya Allah sampaikan apa yang terbaik untuk mereka… kan?
Dan siapa tahu mungkin yang kita ingat buruk, tak elok untuk kita tu sebenarnya yang terbaik untuk kita?
Dan siapa tahu Allah mungkin hadirkan pelangi selepas turunnya hujan? Datangnya mentari selepas gelap gelita?
Siapa tahu?
Itu semuanya rahsia Allah.


“Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kontang, hanya dari benih hitam yang kusam.”

Warkah Pengikat Hati (Bab 3): Aylanins

“KHADIJAH. Dah dapat siapa yang nak bagi kursus tu?” Cikgu Masrip menghampiri meja Ustazah Khadijah. Bilik guru yang sederhana besar itu terasa agak membahang waktu tengah hari begitu walaupun kipas angin berputar ligat di siling.

Khadijah yang ketika itu sedang menulis sesuatu di dalam borang di hadapannya cepat-cepat mengangkat wajahnya. Pen diletak ke bawah.

“Dah… tapi bukan yang dari JAIS. Kita ambil dari masjid negeri. Yang dari JAIS dah kena booked tempat lain,” jawabnya.

Ustazah Maisarah yang duduk di hadapannya leka dengan ipad. Amboi, ajar tasmik pakai ipad ya, detik Khadijah dalam hati. Tasmik itu program membimbing dan merekod perkembangan bacaan al-Quran murid secara individu. Ustazah Maisarah itu lebih senang guna Al-Quran dalam ipadnya dari gunakan mushaf bercetak. Jadi murid-murid yang baca Quran di hadapannya cuma datang berlenggang sahaja ke bilik guru itu. Semua yang hendak dibaca ada dalam ipadnya.

“Ok. Tanya je. Guru Besar nak nama, nak beli cenderamata…” ujar Cikgu Masrip. Afiq dari Tahun 6 masuk sambil memegang kitab Al-Quran menuju meja Khadijah.

“Jiha mana? Tak ada kat kelas dia,” tanya Cikgu Masrip lagi. Dia sudah bergerak ke pintu, mahu keluar dari bilik guru. Murid-murid keluar masuk bilik guru untuk tasmik Al-Quran dengan guru-guru jQaf. “Dia yang buat buku program kan?”

“Balik kut. Tahun 3 tak ada Fardhu Ain hari ini,” sahut Khadijah.

“Oh… tak apalah…” sahut Cikgu Masrip.

Niat di hati hendak tanya perkembangan buku program kursus pengurusan jenazah itu pada Najiha. Kertas kerja program bacaton pun sepatutnya Najiha serahkan padanya. Tiba-tiba saja dia teringat dengan tujuan asalnya tengah hari ini. Dia yang hanya berseluar sukan dan berkemeja lengan pendek itu segera keluar dari bilik guru dan menuju ke taman herba. Petang ini dia mahu menyimen kolam ikan yang belum siap.



MENDENGAR Ustazah Rafidah mengiakan tidak ada kelas Fardhu Ain untuk Tahun 3, cepat sahaja Najiha mengemaskan komputer riba dan buku-buku yang mahu dibawa balik. Macam tidak cukup kaki dan tangan dia mahu keluar dari kelas. Riangnya hati dapat balik awal. Lutfi tentu sudah menunggu di perkarangan tempat letak kereta.

Kelas yang bersepah dia sudah tidak peduli, esok awal pagi, redha sajalah menyapu dan mengemas kelas yang macam kapal karam. Itulah, tadi siapa suruh buat aktiviti gunting dan tampal dengan murid-muridnya. Yang penting hari ini dapat balik awal.

Najiha terjengket-jengket lalu di hadapan pintu pejabat am sekolah. Nanti kalau Cikgu Masrip, Penolong Kanan 1 nampak, mesti kena tanya, awalnya baliklah, kertas kerja program bacaton dah siap ke, surat minta derma PIBG mana, buku program dah print ke belum. Dia bukan selalu balik awal begini. Meski waktu persekolahan sudah tamat, dia tetap jadi penunggu setia di sekolah sebab terpaksa tunggu Lutfi habiskan kelas Fardhu Ain saban petang.

“Haip… terhendap-hendap. Nak ke mana?” tegur Ustaz Wan yang lalu di hadapan kereta Najiha.

“Bising ah… nanti Cikgu Masrip nampak. Dia asyik tanya pasal kertas kerja program bacaton,” kata Najiha perlahan.

“Ya… Cikgu Masrip, sini haa…” laung Ustaz Wan sambil tersengih-sengih sambil melambai-lambai entah siapa.    

“Dengki... Kita bukan selalu dapat balik awal. Dah dekat 3 tahun asyik balik lewat je… haha…” Najiha menjawab. Suka. Siapa tak suka. Balik rumah, beli nasi bungkus, lepas tu boleh tidur petang, wah seronoknya.

“Eh… orang dah 10 tahun hampir setiap hari balik lewat petang tau tak…” ujar Ustaz Wan. “Takde nak complaint macam-macam.”

Ustaz Wan mengajar kelas Fardhu Ain petang-petang, belum campur dengan melatih pasukan bola sepak dan futsal sekolah lagi. Boleh dikatakan memang setiap petang kecuali petang Jumaat dia memang berada di sekolah.

“Hahaha… itulah siapa suruh ambil major Pendidikan Islam. Kan dah kena ajar Fardhu Ain petang-petang…” selamba Najiha membalas, tersengih-sengih nakal. Tangannya membuka pintu kereta, enjin kereta dihidupkan dan dia masih tersengih suka di tepi pintu kereta. Haba panas dari dalam kereta menyebabkan dia belum mahu masuk ke dalam kereta.

“Eh.. sekejap.. dah baca yang saya tag dalam Facebook?” tahan Ustaz Wan. Masih mahu mengusik Najiha.

“Yang mana?” Tak jadi kaki Najiha melangkah masuk ke dalam kereta. Lutfi yang tadinya bermain di tepi tiang bendera sekolah dengan kawannya sudah berjalan menghampiri keretanya.

“Yang ayat dari Surah Yassin tu… ayat jodoh, ayat jodoh… jumpa tak?”

“Ah… balik-balik yang itu,” balas Najiha geram. Dia tahulah dia belum kahwin, tak payahlah Ustaz Wan menyibuk pukul canang dalam laman muka buku itu letak nama dia pada setiap info pasal jodoh.

“Orang prihatinkan awak. Saya ni jenis yang prihatin pada mereka yang masih single… hehee…”

“Eleh, prihatin… kenapa tak tag Suhana? Tag Maisarah juga… hahaa… Ustaz takut mereka marah ya…” Najiha gelak-gelak. “Bye Ustaz… fighting…” dia buat stail tangan bersemangat dalam cerita Korea. “Fardhu Ain lagi 3 jam nak habis hehe…” 

Ustaz Wan senyum, mati kutu mahu menjawab. Dia selalu mati akal kalau dengar jawapan balas dari Najiha. Tapi berbalas kata dengan Najiha memang seronok sebab Najiha memang jarang ambil hati dengan kata-katanya. Kalau Puan Harisah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, dibawa bergurau keras, cepat saja terasa hati. 

Tahun lepas, dia padankan Najiha dengan tukang kebun sekolah, Alang yang masih bujang, muda 5 tahun dari Najiha. Tak juga Najiha marah. Melenting jauh sekali. Terkekeh-kekeh ketawa pula apabila dia giatkan Najiha dengan Alang depan guru-guru yang lain.

Pandai saja Najiha membalas kata-katanya, bertanya kenapa tak padankan Alang dengan Ustazah Suhana yang sebaya dengan Alang. Ustazah Suhana pun solo juga. Atau dengan Cikgu Laila yang juga belum kahwin. Tak pun dengan Ustazah Maisarah yang cantik ayu bertudung labuh. Sah-sah Ustaz Wan takut mereka itu marah. Najihakan tak pandai marah.



UMAR mencari-cari antara helaian kertas. Surat yang Doktor Hasbi serahkan pada dia tadi entah di mana dia letak. Dia mahu pastikan tarikh dan masa dia harus berada di tempat itu. Tapi tadi ada murid yang tolong hantar buku latihan ke mejanya, kemudian Tuan Haji Siraj, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mengirim sebeban fail data maklumat murid ke mejanya. Jadi mejanya sekarang penuh dengan fail-fail yang dihempap pula dengan buku-buku kerja murid.

Bekas air teh yang separuh penuh dia letak ke tepi. Buku-buku rujukan guru dia angkat satu persatu dan susun elok-elok atas kerusi. Plastik besar yang berisi baju-baju taekwondo murid dia angkat dan letak di lantai. Tapi meja gurunya masih bersepah. Penat mencari, Umar menghela nafas panjang. Lebih baik ke pejabat pentadbiran am cari Hasmah. Surat itu pasti ada salinan asalnya. Dia menuju ke pintu.



SEBELUM sampai di rumah, Najiha membeli nasi ayam 3 bungkus. Dua bungkus untuk Lutfi. Lutfi kalau makan tidak cukup sebungkus. Sebungkus lagi untuk Rafiq petang nanti. Untuk makan malam sekeluarga, dia sudah perap kepak ayam dengan tepung goreng berempah. Lewat petang nanti barulah dia akan goreng ayam itu. Ayah balik kerja makan tidak cerewet. Emak pun sama. Makan apa saja yang anak daranya hidangkan. Rafiq dan Lutfi usah cakap. Ayam goreng memang makanan kesukaan mereka berdua.

Hendak masak kari, sup atau buat gulai, badan sudah tidak larat. Mata ini bagai ditarik-tarik mahu terkatup. Lutfi yang sedang enak menghadap nasi ayam bungkus di hadapan TV sudah tidak dipedulikannya. Najiha terus terlena di ruang tamu.



“MAK USU! Mak Usu bangun!” suara itu beberapa kali kedengaran, sayup-sayup dari jauh.

Najiha membuka mata. Nampak wajah Lutfi di hadapannya. Finn dan Jack sedang berbual dengan Flame Princess di kaca televisyen.

“Jam dah pukul 4. Nak ambil Rafiq tak?” Tanya Lutfi tapi matanya tidak beralih dari skrin televisyen. “Mak Usu cakap nak pergi awal…”

“Oh ya… a-a. Pergi awal. Nak tanya pasal baju renang,” Najiha bangkit. Mahu cuci muka dahulu. 



“ASSALAMUALAIKUM…” Najiha menolak daun pintu pejabat pentadbiran am masjid negeri. Dia senyum. Ya, senyum itu kan satu sedekah. Lutfi mengekori di belakang lalu duduk di sofa berdekatan. Dia seronok bermain game pada ipad di tangannya.

“Waalaikumsalam… mak Rafiq kan?” seru seorang staf di situ. Najiha cuma mengangguk, senyum sahaja. Sudah selalu orang ingat dia ibu Rafiq. Redha sajalah. Rafiq pun comel. Tentu orang kata Rafiq comel macam maknya, Najihalah tu haha, suka.

“Nak tanya, semalam Rafiq ada tertinggal baju renang. Tapi tak tahu tinggal kat mana, kat swimming pool kot.”

“Warna apa ye kak?” Tanya kerani yang bertugas. Dia kenal wajah Najiha. “Kak Bibah.. Kak Bibah…” dia melambai pada seseorang.

Hasmah, detik Najiha dalam hati melihat tag nama di tudungnya.

“Kak Bibah ni yang selalu simpan baju renang budak-budak yang tertinggal,” terang Hasmah sambil tersenyum, mengunjuk pada seorang wanita, berpakaian seragam bertulis Ikhlas Bersih Sdn. Bhd.,  yang memegang penyapu di tangannya.

“Biru. Lengan panjang, kaki pun panjang. Ada zip di depan baju.”

“Rasanya macam ada. Kejap ya, Kak Bibah carikan…” Kak Bibah menyandarkan penyapunya di tepi dinding. Dia masuk ke bilik stor di belakang sana.

Nasib baik baju renang Rafiq ada dalam simpanan pihak sekolah. Rafiq selalu terlupa pakaian sekolahnya terutama kalau hari itu kena tukar ke pakaian Pendidikan Jasmani atau renang. Dulu awal tahun memang pihak sekolah sudah pesan, mesti tulis nama pada baju anak-anak, senang hendak cam kalau terlupa, tapi Najiha beria-ia hendak sulamkan nama dengan benang. Sulam tangannya sendiri. Sudahnya sulaman tangannya hodoh sangat.

Nasib baik ayah jumpa kedai sulam yang jahit sulam pakai mesin sulam. Jadi semua pakaian seragam Rafiq sudah disulam dengan namanya. Cuma baju renang ini saja belum disulam sebab baru dibeli minggu lepas. Hendak hantar ke kedai sulam itu tidak sempat.

Baju renang yang dibeli awal tahun memang sudah disulam, tapi tiba-tiba saja Rafiq meragam tidak mahu pakai sebab katanya, Cikgu Siraj marah sebab tak tutup aurat. Oh, patut pun. Baju renang yang lama itu jenis romper tapi setakat atas lutut. Yang baru ini, romper juga, tapi lengannya panjang dan kakinya pun panjang.

Selepas mengucapkan terima kasih, Najiha bingkas bangun. Daun pintu  pejabat ditolak dari luar. Dia mengangkat muka dan memandang ke pintu.

Seraut wajah tenang melangkah masuk. Jubah putih lengkap berseluar. Kopiah putih. Janggut sejemput elok tersusun rapi. Raut wajah itu yang teramat tenang. Mata yang redup dan teduh menawan. Tapi mata itu memandang ke hadapan. Tidak perasan pun Najiha yang berdiri di hadapannya.

Ya, orang yang beriman ini bukankah sentiasa menjaga pandangannya, tidak macam Najiha ini yang kalau nampak muka teduh menawan begini rasa mahu tenung lama-lama. Najiha cepat-cepat mengalih pandangan matanya ke arah lain tanpa sempat menyalin wajah itu ke dalam memori ingatannya. Masjid, Jiha, ini masjid. Fuh, kawal mata, kawal mata.

“Ustaz Umar. Ini salinan surat tu,” Hasmah menghulurkan helaian kertas. “Minggu depan tahu…”

“Ya… terima kasih. Maaf… tak tahu mana letak tadi. Bersepah meja tu…” Umar tersenyum lega melihat salinan surat yang diberi oleh Hasmah. Sebelum ke sini tadi, dia sudah menelefon Hasmah minta buatkan satu lagi salinan. Tidaklah lama dia menunggu-nunggu di pejabat itu.

“Eh sekejap… mak Rafiq, mak Rafiq,” Hasmah menahan Najiha yang sudah menolak pintu. Najiha menoleh.

“Goggle ini Rafiq punya juga?” Hasmah menayang-nayang goggle renang warna hitam di tangannya.

Najiha mengamati goggle hitam itu. Goggle Rafiq biru, dia ingat sangat-sangat.

“Bukan. Goggle Rafiq, biru. Ada saya tulis nama dengan pen marker.”

Aduhai, kenapa panggil saya mak Rafiq, detik hatinya lirih. Sedihnya hati, dia yang masih anak dara itu selalu saja disangka emak orang. Depan ustaz tampan pula itu. Kan saham solonya boleh jatuh 50 peratus. Tapi melihat wajah Lutfi yang ralit bermain ipad membuat dia tersenyum sendiri. Ya, bertahun-tahun dia menata hati untuk Lutfi dan Rafiq yang comel itu membuatkan dia kalis digelar emak orang.

“Oh, tak apalah.. orang lain punya agaknya,” Hasmah mengangguk. Goggle hitam itu dimasukkan semula ke dalam beg plastik.



“MAK Rafiq ke?” Tanya Umar pada Hasmah ketika Najiha sudah di luar pintu pejabat pentadbiran am.

“Ya… comel kan. Macam muda lagi. Anak dua tu ustaz…” kata Hasmah sambil berjalan menuju ke mejanya. Plastik berisi goggle tadi dia letak atas mejanya. Nanti Kak Bibah lalu, dia bagilah. Kak Bibah yang simpan barang-barang budak yang selalu tertinggal di sekolah itu.

“Iya? Kak Hasmah kenal ke?” Umar meneliti surat di tangannya. Minggu depan, hari Sabtu dia  dijemput untuk bagi ceramah pasal pengurusan jenazah. Sekolah mana ni ya?

“Taklah kenal… cam muka je sebab dia selalu datang sini tiap bulan bayar yuran. Selalu datang dengan abang Rafiq, yang besar sedikit tadi tu,” cerita Hasmah. Bukannya ramai orang yang menjengah pejabat pentadbiran am masjid negeri ini. Kalau ada pun cuma ibu bapa murid-murid tahfiz sahaja. Murid-murid di sini bukan ramai mana pun, tak sampai 200 orang.

“Ustaz tak balik lagi ke?” tanya Hasmah. Selalunya kalau cikgu tahfiz, tengah hari tadi dah balik ke rumah. Sekolah tahfiz ini sebelah pagi diperuntukkan untuk kelas hafazan, petang pula akademik.

“Tak… ada kerja sikit lagi nak siapkan. Bawak balik ke rumah bukan siap pun,” jawab Umar seadanya masih lagi membaca isi surat di tangannya.

“Kosong ofis ni Kak Hasmah? Mana yang lain?” tanya Umar. Matanya mengitari sekeliling pejabat am itu. Kak Bibah saja yang sibuk menyapu di sudut sana.

“Ada. Mana entah… ada kat pantri, ada kat tandas, ada yang sembahyang Asar kat atas,” kata Hasmah memandang Ustaz Umar sekilas.


Ustaz Umar itu segak orangnya, tapi sayang belum ada yang punya. Dia pernah usik-usik mahu padankan Ustaz Umar dengan cikgu-cikgu perempuan di sekolah tahfiz ini, tapi tidak pernah ada yang jadi. Entah Ustaz Umar ini memilih sangat, tapi cikgu-cikgu perempuan di sini hampir semua dah kena cup orang. Kalau tak dah kahwin, dah bertunang, paling tidak pun dah ada teman lelaki istimewa. 

Thursday, 29 May 2014

Vice Versa (Bab 1): Ednin

“HANDSOMENYA abangku!” Imej Hazirah yang sedang tersenyum kembali melayar di mindanya. Ketika itu mereka sedang duduk menolong ibu yang tengah menyediakan karipap yang ditempah oleh Ucu Kiah semalam. Irah tergelak mengekek sambil mencalitkan sedikit tepung di pipi Uzair.
                “Hoi! Apa ni? Ish kata nak tolong ibu. Ni dah kacau abang pulak. Cepat-cepat, sat gi ibu balik tengok karipap ni tak siap memang mampuih kita kena berletiaq tau dak.” Leter Uzair yang tengah mengelim tepi karipap. Masih tak kemas kalau mahu dibandingkan dengan karipap ibu tapi kemahirannya bolehlah lepas kalau mahu dibandingkan dengan kemahiran sesetengah orang lain.  
Irah hanya tersengih. Tangannya giat lagi mengacau Uzair di sebelahnya. Abangnya, Uzair memang begitu. Kalau boleh bercakap, memang tak boleh berhenti. Kalah emak-emak!
                “Irahhhh! Berhenti kacau abang.” Nada pada suara Uzair sudah dinaikkan bila Irah masih lagi rancak mengusiknya
                “Abang, Irah sayaaaaang abang!” Kata Irah sambil menghadiahkan pelukan kepada Uzair. Pelukan dieratkan lagi bila Uzair mahu meronta keluar.
                “Ni awat ni? Buang tebiat?”
                “Apa pun berlaku, abang kena ingat yang Irah sayang abang. Sangat-sangat.” Kata Irah sebelum lari keluar bila mendengar bunyi enjin motor di luar rumah mereka.
                Uzair termangu di lantai dapur. Pelik! Mendengar ayat dari adik perempuannya yang berjiwa ‘rockers’ itu.



“IRAHHHH.” Jerit Uzair dalam tidur yang tidak pernah lena. Dia terus terjaga dari tidurnya dengan nafas yang tidak teratur. Imej Irah yang tersenyum tadi di dalam mimpinya itu sudah hilang dan digantikan dengan imej bilik yang diterangi lampu. Sejak peristiwa itu memang dia lebih selesa untuk tidur di dalam keadaan cerah. Lebih tenang, dia rasa.
Uzair meraup mukanya sekilas. Dia mimpi lagi! Mimpi yang tidak pernah putus mengacaunya sejak sepuluh tahun yang dulu. Cuma kali ini sudah tidak sekerap dulu…
Fokus matanya diarahkan ke jam dinding. Pukul 4 pagi.
Gebar ditarik ke tepi. Kaki diturunkan ke lantai lalu dihalakan ke muka pintu bilik dengan helaan nafas yang masih tercungap laju.



“YA ALLAH, Uzair!” Puan Awa menjerit kecil bila melihat Uzair yang sedang duduk di atas kabinet dapur. Hampir terkeluar jantungnya bila melihat objek hitam itu. Tambah-tambah lagi dengan suasana yang gelap gelita yang hanya bertemankan lampu jalan di luar.
“Uzair…” Panggil Puan Awa lagi bila Uzair sedikit pun tidak bergerak bila dia terjerit kecil tadi. Kepalanya masih lagi tertunduk melihat lantai, tidak bergerak mahupun seinci… Tahulah Puan Awa yang fikiran Uzair bukannya di situ tetapi sebaliknya sudah terbang jauh, merentasi masa, merentasi tahun… Puan Awa tahu di manakah destinasi itu sebenarnya.
Destinasi sepuluh tahun lepas… Bisik hati Puan Awa. Tangannya pantas menekan suis lampu yang kebetulan terletak di sebelahnya.
Taaappp.
Seluruh dapur rumah separa kayu, separa batu itu sudah terang kembali dengan cahaya lampu. Uzair yang tadinya tidak perasan akan kehadiran ibunya di situ terus kembali ke alam realiti.
“Ibu..” Kata Uzair lemah. Terus dia melompat turun dari kabinet.
Puan Awa berjalan ke kabinet, mengambil segelas air masak lalu diserahkan kepada Uzair yang sudah mengambil tempat di meja makan.
“Mimpi lagi?” Tanya Puan Awa lalu duduk di hadapan Uzair. Matanya memandang lemah pada anak lelaki sulungnya yang kelihatan serabai itu.
Uzair mengangguk perlahan. Mana mungkin dia boleh menipu dengan ibu yang melahirkan dan membesarkannya selama 29 tahun ini? Ibu mesti tahu apa saja yang terlintas di kepalanya. Dari dia menipu, lebih dia mengaku saja. Lebih mudah.
Puan Awa menggelengkan kepala. Kasihan Uzair... Sejak Hazirah meninggal dunia akibat kemalangan, sejak itulah tidur Uzair tidak pernah lena, tidak pernah aman. Sering saja diganggu dengan imej bayangan Hazirah
“Sudah la Uzair.. lupakan pasal Irah. Dah bertahun dah arwah pergi. Biar arwah tenang di sana…” Nasihat Puan Awa. Dia tahu yang anaknya ini masih berdendam dengan Ezzaq disebabkan peristiwa hitam itu..
“Uzair tak boleh lupa ibu.. Tak mungkin.”
“Sampai bila Uzair?”
“Sampai Uzair boleh lupa keadaan Irah malam tu, ibu.” Uzair memejamkan matanya. Keadaan adiknya malam tu terlayar elok di mindanya. Masih jelas lagi badan yang penuh luka, darah yang masih mengalir dari lubang hidung. Imej itulah yang selalu menghantui dirinya. Agak-agaknya macam manalah perasaan adiknya malam tu. Sakitkah dia di saat nyawanya ditarik? Sekali lagi imej itu muncul di kepalanya.
Uzair pantas membuka mata. Bilalah dia boleh lupakan imej buruk ini?
“Uzair masih marahkan dia ye?”
Khali.
Dia faham siapa ‘dia’ yang dimaksudkan ibu itu. Wajah ibu yang sedang memandangnya itu dipandang seketika sebelum dia tunduk meneguk air. Lambat-lambat kepala digelengkan.
“Dia yang buat Irah macam tu. Sebab dia la Irah mati ibu.. Irah baru 14 tahun ibu masa tu..”
“Ya Allah, Uzair… itu Qada’ dan Qadar. Mana kita boleh pertikaikan…” Lemah Puan Awa bersuara. Apa yang Uzair tengah buat sekarang ni akan memakan dirinya pada suatu hari nanti.

“Ibu, please. Jangan…” Khali. “Sampai bila-bila Uzair tak akan maafkan dia.. Tak akan!” Kata Uzair lantang. Dia nekad. Itu janji dia pada Hazirah.