Thursday, 15 May 2014

Vice Versa (Prolog): Ednin

UZAIR menolak perlahan stroller sambil mengikut Hanisah dari belakang. Kakak sulungnya itu mahu singgah sebentar di Tesco Shah Alam untuk mencari bahan-bahan untuk memasak mee rebus malam nanti. Dia yang masih kepenatan mengharungi perjalanan sepuluh jam dari London ke Kuala Lumpur itu hanya mampu mengikut saja kakaknya yang sudah laju berjalan di hadapan. Mata yang sudah kuyu itu digonyoh lembut sebelum menyambung kerja sebagai nanny tak bertauliah kepada Fahmi, anak Hanisah yang sudah berusia setahun lebih itu.
Pantas pipi tembam Fahmi itu dicuitnya lembut. Mata bulat itu terkebil-kebil memandangnya. Mungkin bayi itu masih tidak mengenali bapa saudaranya yang jarang-jarang sekali ada ini.
Nasiblah kau, Uzair! Itulah bayaran yang dia perlu ambil bila bekerja di atas laut ini. Berbulan-bulan tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga dan orang tersayang. Yellah kali terakhir Uzair berjumpa dengan Fahmi pun adalah lima bulan yang lepas; sebelum dia sign on di Jepun dahulu dan sekarang bila sudah turun ke darat balik, Fahmi sudah pulak dah bertambah besar. Sudah setahun tiga bulan. Mana mungkin Fahmi nak ingat pak ngahnya yang jarang-jarang sangat ada di rumah ni kan?
               “Hish angah ni. Habislah pipi anak along. Kesian tau! Every time orang jumpa dia je mesti pipi gebu tu yang depa nak pegang dulu.” Suara Hanisah menjamah telinganya. Uzair mengangkat muka. Tidak sedar pula kehadiran Hanisah di sebelahnya. Ralit sangat bermain dengan anak kakaknya ini.
               “Siapa suruh Fahmi comel sangat kan?”
               Hanisah menggeleng kepala. Sifat penyayang Uzair rupa-rupanya tidak hilang lagi setelah peristiwa sepuluh tahun lepas itu. Entah kenapa dia sedikit tersentuh melihat adegan di hadapannya ini. Lega bila melihat Uzair sudah boleh tersenyum macam dulu. Sebelum kehadiran Fahmi dulu, tiada sedikit pun senyuman yang terlarit di wajah itu.
               Uzair tersenyum. Dia kembali tunduk memandang Fahmi lalu pipi tembam itu dipicitnya lagi. Geram betul!
               “Sudah, angah pergi ambilkan spaghetti kejap. Along jaga Fahmi. Kalau biar angah yang jaga, nanti berat sebelah pipi Fahmi angah cubit.”
               Uzair menayang muka cemberutnya. Tidak puas hati dengan cadangan kakaknya. Dia kembali tunduk memandang Fahmi yang sedang memandangnya terkebil-kebil itu.
“Baru saja pak ngah Fahmi nak lepaskan rindu dengan Fahmi.” Jeda. “Ini mama Fahmi dah suruh pak ngah pergi cari spaghetti pulak. Dia cemburulah tu… tak nak kasi Fahmi nak berkasih sayang dengan Pak Ngah.”
               Hanisah membuat muka. Matanya mencerun pada Uzair yang sememangnya mana pernah takut padanya. Uzair itu lagi bersikap ‘abang’ dari dia yang sepatutnya bersikap ‘kakak’ ini. Ini semua kerana Uzair sudah terbiasa menggalas tanggungjawab sebagai ‘abah’ dan ‘abang’ bila abah pergi mengadap Ilahi dulu. Semua yang dia buat, mesti Uzair kena tahu. Lagipun perbezaan umur mereka tidaklah jauh sangat. Dia berumur 31 tahun manakala Uzair pula berusia 29 tahun.
               “Ye la, ye la angah pi ambik. Haa kat mana spaghetti tu?” Uzair sudah menegakkan badannya sambil memandang sekitar Tesco yang tidak ramai orang itu. Dia bukan pandai sangat dengan kawasan ini. Silap hari bulan boleh tersesat dia mencari paket spaghetti. Sudahlah besar Tesco ni. Agaknya sebab itu dia lebih selesa membeli-belah di kedai runcit pak Abu saja. Senang! Kecil pun kecil. Murah pun murah!
               “Ambil yang besar tau. Ingat nak panggil orang datang makan.”
“Ye ye, angah ambil dua pek boleh?”
“Seems good.”
“Haa dah tu? Mana dia tempatnya?”
Hanisah menepuk dahi. Lupa pulak apa yang disoal oleh Uzair tadi.
“Itu haaa kat rak yang sebelah dengan…” Kak Hanisah tiba-tiba saja memberhentikan ayatnya. Ayatnya tadi terberhenti sendiri di saat matanya memandang dua objek di hadapannya.
               “Dengan apa along?” Uzair mengerutkan kening. Sekaligus dia menoleh, mengikut arah tuju seperti yang kak Hanisah tunjukkan tadi.
               Gulp.
               Dunia seakan berhenti berpusing.
               Tiba-tiba darah menyirap naik ke muka Uzair bila dia melihat ke arah kedua pasangan yang sedang berjalan di rak yang Hanisah tunjukkan. Si suami sedang elok menyorong troli yang sarat dengan barang-barang dapur manakala si isteri pula sedang tersenyum mesra sambil memeluk erat tangan suaminya.
               Dari jauh, Uzair dapat melihat mata yang sentiasa tersenyum itu.
Uzair menggengam tangannya. Automatik.
Jelas sejelas-jelasnya yang kedua pasangan itu sedang bahagia.
               “Jom balik.” Hanisah sudah menarik tangan adik lelakinya. Kesal melihat perubahan pada wajah Uzair. Muka Uzair yang baru saja tersenyum ceria tadi sudah kembali pada Uzair yang sepuluh tahun dulu. Yang kelam, yang gelap tanpa sinar.
               Uzair tidak sedikit pun berganjak.
“Angah…” Tangan itu ditariknya. Dia tidak mahu adiknya itu hidup dalam keadaan sedih begitu lagi. “Jom…” Panggilnya lagi.
               “Kenapa dia boleh hidup bahagia tapi bukan kita akak?”
               Khali.
               Hanisah tiada jawapan untuk itu.



TONGKAT motor diturunkan ke bawah, helmet yang tersarung di kepalanya ditanggalkan. Perlahan-lahan dia melangkahkan kakinya ke tempat yang ingin dituju walaupun dia tahu bila-bila masa saja kakinya ini boleh terkulai layu. Namun dia gagahkan dirinya juga untuk meneruskan langkah mengikut papan tanda ke Rumah Mayat di Hospital Besar Alor Setar itu.
Panggilan telefon daripada ibu tadi benar-benar menyayat hatinya. Hampir terjatuh dia dari bangku yang sedang didudukinya di Warung Che’ Mat bersama Apis dan Aki. Ketika itu, badannya terasa lumpuh, lembik dan lemah. Nasib baik Apis sempat menahannya.
Kakinya terhenti seketika apabila dia ternampak perkataan Bilik Mayat pada papan tanda itu.
Bilik mayat? Dia telan air liur.
Seumur hidupnya dia tidak pernah langsung terfikir yang dia akan masuk ke sini. Apatah lagi terfikir yang dia akan datang ke sini untuk melihat atau menuntut jenazah orang yang disayangi. Sumpah, dia tidak pernah terfikirkan semua itu. Tapi siapalah dia kalau nak dibandingkan dengan Yang Maha Esa. Qada’ dan Qadar itu ditangan-Nya. Kita hanya merancang, Dia yang menentukan segalanya.
Tangannya digenggam erat untuk membekalkan kekuatan. Kekuatan untuk menerima berita yang bakal disampaikan oleh pihak hospital dan pihak polis serta kekuatan untuk melihat sekujur tubuh yang terkulai layu di dalam bilik yang menyayat hati itu.
Sampai saja di hadapan bilik mayat, kelihatan ibu sedang menangis di bahu kak Hanisah, opah Cik sudah jatuh terduduk di tepi bangku ibu, Pak Mail yang berwajah suram dan Haikal yang masih terpinga-pinga. Adiknya yang bongsu itu masih belum memahami apa yang terjadi.
“Uzair?” panggil Pak Mail yang entah bila datang menghampiri. Mungkin setelah melihat dia hanya terdiam, tak bergerak di luar perkarangan bilik mayat itu.
“Mana Ir... dia?” Uzair menelan air liur. Pahit. Ya Allah, kau berikan hambaMu ini kekuatan.
Pak Mail diam. Hanya tangannya saja yang menunjuk ke arah bilik mayat itu.
“Uzair masuklah. Depa habaq kita dah boleh bawak balik jenazah.”
Jenazah? Uzair menelan air liur. Memori Hazirah pada petang tadi bermain-main di kepalanya. Sungguh dia tak sangka rupa-rupanya itulah detik terakhir dia dengan Hazirah.
“Uzair...” Lengannya disapa lembut oleh Pak Mail. Lelaki itu beriak keruh. Mungkin simpati dengan takdir yang menimpa Uzair sekeluarga. Uzair di hadapannya ini sudah seperti orang yang kehilangan separuh daripada nyawanya. Kusut sungguh muka anak muda yang berusia 19 tahun ini. Biasanya, raut itu sentiasa kelihatan manis dan mengukir senyuman tapi malam ni raut wajah itu penuh dengan kesayuan dan kesakitan.
“Bertabahlah nak. Ini semua takdir dari Allah...”
Uzair mengangguk lemah. Perlahan-lahan kakinya mengorak langkah menuju ke dalam bilik yang sunyi tanpa satu suara pun. Petugas bertugas yang seakan-akan sudah tahu sebab kedatangannya itu hanya mengangguk lalu membawanya ke satu tempat.
Perlahan-lahan selimut putih disingkap oleh Uzair. Dia melihat tubuh Hazirah terkulai layu di situ. Ya Allah! Uzair menutup mata. Tak sanggup melihat adik kesayangannya terkulai layu seperti itu.
Mana muka comelnya?
Mana senyuman yang selalu ada di bibir itu?
Mana mata yang bercahaya setiap kali berbicara tu?
Mana?!
Fikirannya melayang jauh mengingatkan peristiwa petang tadi.


“ABANG sayang Irah tak?”
“Tak ingin... comot macam ni, tak akan adanya orang nak sayang.” Uzair menjelirkan lidah. Mana mungkin dia tak sayangkan adiknya yang comel ni. Sayang sangat-sangat. Tambah lagi dengan sikap manjanya itu. Bertambah-tambahlah sayangnya.
Hazirah menjelirkan lidah. Abangnya ini kadang-kadang egonya tak bertempat. Masakan nak ucap sayang pun malu-malu. Walhal Hazirah tahu yang Uzair sangat sayang padanya. Malah melebihi sayangnya pada Haikal, adik bongsu mereka yang masih kecil itu.
“Tak pa.... Ezzaq sayang Irah. Kan Ezzaq, kan?” kata Hazirah sambil menunjukkan muka bangganya.
Ezzaq mengangkat tangan. Mengaku kalah. Dia tidak mahu terlibat dalam permainan ‘sayang-menyayang’ antara adik-beradik ni. Ketika ini, dia lebih gemar menikmati nasi lemak buatan neneknya.
Uzair yang ketika itu sedang membasuh tangan di anak sungai itu terus memercikkan air ke muka Hazirah yang sedang menjamah nasi lemaknya itu. Muka yang tadinya tersenyum bangga mula berubah garang. Marah barangkali bila dipercikkan air.
“Eee habislah basah muka Irah.” Hujung lengan bajunya ditarik ke mukanya. Percikan air itu dilap lembut sambil matanya menjeling ke arah Uzair.
“Irah cakap ibu nanti...”
Gulp.
Senyuman di bibir Uzair hilang. Dia bingkas bangun sambil mengetuk-ngetuk kepalanya. Aduh, dia betul-betul lupa.
“Eh.... Ya Allah. Abang lupa ibu suruh ambikkan baju dekat rumah Cik Ngah. Lupa sungguh... boleh pulak ikut hangpa dua orang ni. Mampus la ibu bising nanti.”
“Salahkan kami pulak... padahal dia yang salah. Alah... Irah tak habis makan lagi ni.” Hazirah menunjukkan nasi lemak yang dibekalkan oleh opah yang masih berbaki separuh.
“Ezzaq kau bawak Irah baliklah macam tu. Aku nak chaw dulu.” Uzair berjalan menuju ke motornya yang diparkir di sebelah motor Yamaha biru gelap Ezzaq. Motor baru kesayangan Ezzaq, hadiah dari ibu bapanya sempena dia mendapat lesen motor minggu lepas.
Ezzaq mengangguk. Ibu jarinya diangkat tanda setuju.
“Bawak motor jangan laju-laju sangat. Kau ni bawak macam pelesit tahu?!” Jerit Uzair dari motornya. Ezzaq ni bawak motor macam jalan raya tu dia yang punya.
“Macam la lu tak biasa dengan gue.”
“Alah... relaks la abang. Selalu dia bawak selamat je....”


“SELALU dia bawak selamat je....”
Sungguh dia tak sangka itulah ayat terakhir yang dia dengar daripada bibir mungil itu.
“Selalu dia bawak selamat je....”
Arghhh.

Uzair menumbuk dinding di sebelah kanannya. Air mata yang ditahan tadi terjatuh juga. Katalah dia tak maco, lemah, lembut, apa pun dia tak kisah. Dia hanya mahukan Hazirah kembali dalam hidup mereka sekeluarga.

Dari Mata Turun ke Hati (Bab 4): Naurah Iman

“Bismillahirrahmannirrahim!” Eshan membaca doa makan sebelum menyudu kuah laksa ke dalam mulutnya. Sejak dia masuk tadi dia sudah tercium bau yang menyengat hidungnya. Bila ada mama dekat rumah ni seronok. Dapur rumah akan berasap. Rindunya dia pada Puan Marina dan Encik Raphael.
Berkeroncong hebat perutnya bergelora. Namun, ditahannya nafsu tersebut. Nanti mama bising sebab balik sahaja daripada kerja terus terjah makanan. Membersihkan diri ala kadar, dia duduk di meja makan sambil melemparkan senyuman paling manis buat Puan Marina.
Kuah laksa yang sedikit berasap itu dibawa masuk ke dalam mulut. Dan kuah tersebut terus merangsang deria rasa. Tunas-tunas rasa seakan hidup dengan cecair itu. Seperti ikan berenang-renang di dalam mulut. Melepasi kerongkong.
Matanya terus membulat. Diceduknya kuah dan isi. Baru tengah hari tadi dia dan Fakhrul kempunan hendak makan. Kali ini, memang rezeki Eshanlah. Banyak pula tu.
Allahuakhbar! Sedapnya. Suap lagi. Dalam banyak-banyak laksa yang dia makan, inilah yang paling sedap untuk tekaknya. Betul! Tak tipu. Rasa masam, pedas, keharumannya, kewangian dan kelembutan mee laksa tersebut bersatu di dalam mulut. Kuah laksa yang sangat pekat dengan rasa yang cukup hebat. Slurrp!!! Eshan jilat bibir. Kepedasan kuah itu sedikit menyengat bibir.
“Amboi, lapar sangat ke?” tegur Puan Marina apabila Eshan menambah untuk kali kedua. Penuh mangkuk!
“Terlampau sedap mama!... The best in the world!” ucap Eshan. Angkat dua ibu jari. Senyum sekejap dan terus menyambung makan. Tidak melihat pun mamanya yang berada di depan mata. Nak kata lapar tidak juga sebab sebelum balik dari pejabat tadi dia sudah makan roti canai dua keping.
“Mama beli kat mana?... Burp! Alhamdullilah!” sampai sendawa Eshan dibuatnya. Penuh perutnya. Perutnya yang sedikit senak dipegang. Bahana makan terlebih. Bersandar dia di kerusi. Bibirnya sedikit kemerahan apabila terkena dengan kepedasan kuah. Lidahnya dikeluarkan sedikit. Menjilat sisa-sisa rasa yang masih ada di bibirnya.
“Itulah makan tak ingat dunia!” Puan Marina menuang segelas air sejuk dengan perahan limau tanpa gula ke dalam gelas anaknya yang kosong. Tahu sangat air kegemaran anaknya ini. Untuk mengelakkan rasa muak.
Eshan hanya tersenyum. Tidak menidakkan kenyataan itu. Nak buat macam mana. Tidak terkata kesedapannya. Dicapainya gelas tersebut. Membiarkan seketika air di dalam mulut sebelum ditelan. Membawa bersama rasa yang tertinggal ke dalam perut.
Sebentar tadi, sebaik sahaja makanan itu masuk ke dalam perutnya, Eshan dapatkan rasa jiwanya bergetar. Memenuhi setiap inci pembuluh darahnya. Mengocak jantung yang selama ini berdegup normal.
Seolah-olah ia dimasak dengan penuh kasih sayang. Melimpah ruah. Malahan, sekilas dia dapat membayangkan si tukang masak. Tinggi lampai, senyuman yang indah yang sedang mencampurkan resepi cinta ke dalam kuah laksa yang sedang mendidih. Meninggalkan aroma yang memenuhi ruang.
Bagaikan ternampak-nampak ramuan dan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak laksa tersebut. Bunyi bawang yang dihiris apabila pisau terkena papan pemotong, bunyi periuk dibuka dan ditutup begitu jelas kedengaran di telinganya.
Bentuk-bentuk hati jelas berterbangan di udara sebelum turun memasuki periuk. Menjadikan kuah laksa tersebut dilimpahi dengan rasa yang luar biasa enak. Dia senyum sendiri.
“Eshan?!!” panggil Puan Marina. Kehairanan dengan Eshan yang termenung jauh dan sengihan di bibir secara tiba-tiba. Sampai begini penangan laksa yang dia makan. Kemudian, ada senyuman yang terukir pada bibir Puan Marina.
“Emir Eshan?!!” kali ini tangan kanan anaknya disentuh. Sedikit tinggi suaranya.
Tersentak Eshan dibuatnya. Serta merta dia kembali ke dunia nyata. Woah! Aku berangan ke tadi?
“Seriously delicious mama! Mama beli kat mana? Perempuan kan masak laksa ni?” sekali lagi bertanya. Menghilangkan rasa malu yang bertandang. Mahu dibelinya esok. Mungkin lebih sedap daripada Kedai Kisah Cinta tu. Eh! Kenapa yang perlu dibandingkan dengan restoran tersebut. Bukannya dia pernah rasa pun.
Bibirnya dikesat dengan tisu. Eshan memang tahu, laksa yang dia makan tadi bukan mama dia yang buat. Kalau Puan Marina yang masak dia tahu rasanya lain. Maaf mama, bukan nak kata laksa buatan mama tak sedap tapi ini, memang sangat-sangat sedap. Kudos untuk cef laksa ini. Haha! Cef laksa. Comel pula gelaran ini.
“Mamalah yang masak. Takkan beli pula!” Puan Marina masih berahsia. Tersenyum dia dibuatnya apabila Eshan bertanya jantina si tukang masak. Sebelum ini tidak pernah tanya pun. Semua dia telan sahaja. Sedap tak sedap belakang kira. Kalau sedap, dia habis makan. Kalau tak kena dengan selera dia, Eshan tinggalkan, tapi dia tak pernah kompelin.
“Yalah tu mama. Eshan kenal sangat dengan laksa yang mama buat. Rasa dia lain!”
“Ye ke? Nak kata mama punya laksa tak sedaplah ya. Sama je mama rasa!” tidak terasa hati dengan pujian si anak pada makanan tersebut. Baguslah jika Eshan suka. Lagi mudah.
“Ha… betulkan! Mama beli.” Eshan tunjuk satu jari. Puan Marina tertawa mendengarnya. Memang tak boleh nak menipu langsung. Cepat aja kena tangkap. Panas rasa telinga.
Puan Marina geleng kepala.
“Jiran kat kampung yang bagi!”
“Ohh…” terdapat sedikit kecewa pada nada suaranya.
“… bukan beli kat sinilah ya mama?” jauhlah pula kalau tiba-tiba tekak dia teringin nak makan. Nak harapkan dia balik kampung pun jarang sekali.
Tak ada dijual di mana-manalah tu, kalau dah jiran yang bagi. Entah jiran mana satulah agaknya. Sudah lama kampung itu ditinggalkan. Sudah ramai yang dia tidak ingat. Sudah lupa. Takkan dia nak pesan pula nanti. Perasaan kecewa menghambatnya.
“Mama dan babah jadi jugak balik kampung ke esok?”
“Jadi!” Eshan berpaling ke belakang. Babahnya, Encik Raphael yang menjawab. Baru pagi tadi sampai sudah sibuk hendak balik. Bukannya ada ayam itik hendak diberi makan. Kemudian Encik Raphael menghilangkan diri ke ruang tamu.
Kuat betul tarikan kampung asal babahnya itu. Entah apalah yang ada di sana. Babahnya, Encik Raphael terus balik ke kampung sebaik sahaja bersara dua tahun lalu. Membawa sekali ibunya, Puan Marina. Tinggallah dia dan Ben di dalam rumah ini.
Dulu puas dia memujuk agar mereka tidak berbuat demikian. Nasib baik dia tidak menangis. Jika tidak, tentu sahaja mama dan babahnya dapat menghidu kisah yang cuba dia sorokkan. Kisah yang tidak mahu diceritakan. Kisah yang hanya Ben sahaja yang tahu.
Ada kisah yang dia tidak mahu ingat. Baginya, kisah itu memalukan. Namun, dia sedar tidak mungkin dia dapat menukar keinginan babahnya semata-mata hanya kerana dia.
“Eshan bila nak balik?” soal ibunya.
“Mama dan babah dah datang sini, lambat sikitlah kut.” Sedikit merengek suara Eshan.
“… nanti Eshan ambil cuti panjang-panjang temankan mama dan babah ya?” Eshan tersenyum. Menabur janji. Yang sebenarnya lebih kepada hendak mengelak. Cuti tahunan dia yang dua tahun lepas pun masih belum habis.
“Kalau ambil cuti panjang-panjang baik buat kenduri kahwin terus. Jimat!” Jawab Encik Raphael dari arah belakang. Sekali lagi terpaling Eshan ke arah babahnya. Babah ni, macam ada magis pulak. Muncul selalu tepat pada masanya. Segaris senyuman tidak sampai ke mata diberikan. Tahu, babah perli dia. Tapi yang babah kaitkan fasal kahwin tu kenapa? Peliknya.
“Betul tu bah!... Ben setuju!” Karl Benjamin sudah tarik kerusi dan duduk bersebelahan dengan adiknya itu. Dia menyokong pernyataan babahnya. Sudah! Yang seorang ini bila pula baliknya? Tadi tak ada pun. Aduhai! Semua komplot nak mengusik dia ke ni?
Dia kenyit mata pada Eshan. Rahsia Eshan ada pada dirinya. Dalam poket! Huh! Tahu sangat kenapa Eshan jarang mahu pulang ke kampung. Penakut! Balik jelah. Bukannya pernah jumpa pun. Sudah dua tahun keluarganya pulang ke kampung itu, tapi tak pernah terserempak pun. Jangankan tuan punya badan, batang hidung pun tak pernah bersua.

Eshan sepak kaki Ben dari bawah meja. Tapi abangnya itu, tetap selamba sambil berbual-bual dengan orang tua mereka. Eshan mendengus geram. Sahajalah tu. Asyik nak menyakat dia.

Semusim di Divonne (Quatre - 4): Ika Madera

+lagi buat apa?
-sedang cuci mata!
+dengan lembu-lembu?
-chehh selain dari lembu..boleh cuci mata melihat pemandangan indah di sini
+di sini tiada pemandangan yang indah sejak awak tiada..
-kelakarlah awak ni Isam!


Musim luruh di Dijon memang mengujakan. Mira yang tidak suka alam bunga dan kehijauan sebelum ini, jadi jatuh cinta melihat segala perubahan warna warni. Sesuatu yang tidak dapat di lihat di pulau Singa kesayangannya. Kalau umi suruh siram pokok bunganya yang berderet-deret, lemah longlai sahaja Mira lakukan. Bila umi sudah tiada, barulah bersungguh-sungguh Mira menjaganya kerana itulah salah satu memori yang berkaitan dengan umi. Itulah, sewaktu ada hayatnya, seksa betul kalau umi minta tolong siram pokok tapi bila dah tak ada, mahu sahaja putarkan masa! Buat apa sahaja yang umi suruh. Ini pun selama ketiadaannya di sana, Mira sudah wakilkan pada jirannya di tingkat atas, Kak Wawa untuk memastikan anaknya bantu Mira menyiram pokok-pokok setiap hari. Siap diberi upah lagi!
“Kalau dekat sing-ah-poh tuh, kita cuma tengok daun menghijau, kuning, gugur dan kering. Tak syiok macam kat sini.”
“Sana tak ada empat musim…” jawab Aliah yang sedang mencuba mengait selimut buat anaknya. Teringin membuat sesuatu yang istimewa untuk ahli keluarga baru ini.
“Tapikan..apa efek musim luruh yang menyebabkan perubahan warna sebegini?”
“Manalah kakak tahu. Cuba tanya Marc. Mesti dia tahu.”
Mendengar nama Marc, Mira terus berdiam diri. Berbaring di ‘hammock’, dihayun-hayunkan perlahan, melayan apa yang difikirannya. Telefon bimbit yang tak lepas dari tadi diletakkan ke tepi. Bila ianya berbunyi beep beep, Mira biarkan sahaja, nanti pun boleh dijawab mesej si Isam. Si Marc pula, bila kita mencari tak nampak batang hidungnya. Kalau tak, macam hantu yang asyik menjelma di depan mata!  “Termenung nampak. Rindu siapa?”
Mira berpaling pada Aliah yang sedang bersungguh-sungguh mengait selimut buat anaknya dengan berkaca mata hitam, silau katanya! Nasib baiklah ada kebolehan mengait. Kalau suruh Mira yang lakukan entah apa akan jadi. Tersenyum seorang diri Mira bila membayangkan kemungkinan besar benang buat mengait semuanya akan jadi reput sahaja kalau diserahkan pada Mira. Pasti akan tersorok tanpa disentuh.
“Rindu kakaklah.”
“Hmm..kakak sebelah awak saja, takkan rindu? Ke rindu orang depan tuh? Ke yang sibuk tet tet tet kat telefon?”
“Kelakar kakak ni…dari rindu orang depan tuh baiklah rindu Abang Fahrin Ahmad. Yang di telefon ni, kawan sahaja.” Jawab Mira dengan senyum manis. Semanis senyum Fahrin Ahmad juga fikirnya dalam hati.
Jari Aliah menarik turun sedikit cermin mata hitamnya, kali ini merenung adiknya yang sedang tersengih macam kerang busuk, memandang langit. Seolah-olah di langit tika itu, ada lakaran wajah Fahrin Ahmad.
“Adik oi..bukan ke Fahrin Ahmad ni..soooooo yesterday? Tak ada pelakon baru lain ke?”
“Kita ni setia pada yang satu!”
Aliah ketawa besar. Setia pada yang satu! Entah orang itu tahu ke tidak adiknya wujud, setia bodoh-bodoh saja namanya. Bukan tak biasa dengan perangai si Mira. Sewaktu belasan tahun, minat habis dengan pelakon cina bernama Chen Hanwei. Sanggup bertekak dengan umi, sibuk nak periksa tapi dia tetap sibuk nak menonton cerita cina jam 9 malam. Kena bambu dengan umi pun dia tak kisah.
Dari Chen Hanwei,dia beralih pada Richard Gere pula bila menonton filem Pretty Woman. Dari pelakon paling muda ke pelakon paling tua. Dari menonton televisyen sepanjang masa, pantang ada filem baru Richard Gere, harus Mira pergi tonton! Yang paling tak dapat Aliah lupakan, Mira ajak umi menonton filem Runaway Bride di panggung wayang untuk temankan dia. Berbakul-bakul umi bagi syarahan dekat dia, Mira tak heran. Dipujuk, dirayu dan akhirnya Mira mengugut umi, akan mengajak kawan lelaki kalau umi tak mahu menemaninya. Akhirnya, umi mengalah dan itulah kali pertama dan terakhir umi jejak kaki ke dalam panggung wayang. Mira punya fasal!
Dalam baik adiknya itu, melawan juga kalau terkena dengan minatnya. Umi pula tidak suka anak-anak menonton di panggung. Dalam gelap, kata umi, macam-macam boleh berlaku. Lebih-lebih lagi kalau pergi dengan kawan lelaki, berdua? Lagilahhh mengundang bebelan umi, kita berdua dalam panggung, lelaki dan perempuan, syaitan ditengah-tengah, menggoda tak sudah!
“Mira..ingat tak umi dulu selalu bising kalau kita nak tengok wayang?”
“Umi tuh..tang tuh je dia tak best. Orang lain buat tak senonoh dalam gelap, kita pulak kena ikut undang-undang yang tak berkenaan dengan kita.”
“Tapi betullah juga apa umi cakapkan? Dalam gelap, apa-apa boleh jadi.”
“Kita kena percaya dengan anak-anak kita. Nanti bila kakak dah jadi emak, mesti yakin. Besarkan anak-anak dengan ajaran yang baik, insyaAllah..mesti okay.Kakak ikut saja anak pergi wayang, pastikan dia tak tengok yang bukan-bukan, bukan duduk dengan lelaki entah mana-mana. ”
“Zaman sekarang tak macam dulu-dulu…,Mira. Cakap sikit, anak nak lari dari rumahlah, melawanlah. Kadang-kadang emak bapak juga besarkan kita dengan baik tapi pilihan anak-anak juga kalau mahu menyimpangkan?”
Diam lagi. Terdetik di dalam fikiran Mira, adakah Aliah sedang memberi contoh sepertimana dirinya sekarang ini? Kalau umi masih ada, mahu dia ‘siang’ Aliah hidup-hidup!
“Kadang-kadang anak-anak menyimpang tapi semoga Allah berikan peluang dan kesedaran untuk mereka jumpa kembali jalan yang sebenar. Masa kita muda mungkin banyak silap, masa kita tua belum terlambat lagi untuk memperbetulkan segala kesilapan.” Bersungguh-sungguh Nira bersyarah, kalah ustazah-ustazah ketika kuliah subuh.
Aliah hanya tersenyum mendengar ceramah pendek adiknya. Perhatiannya kembali pada selimut yang tinggal lagi 30 peratus sahaja untuk disiapkan. Sesekali, matanya melirik pada adik yang masih lagi berbaring di ‘hammock’, menghayunkannya perlahan-lahan, mata melekat pada telefon bimbit lagi. Sungguhpun, Mira masih berperangai manja seperti zaman budak kecil, adakalanya cara dia bercakap seolah-olah umi yang sedang menuturkannya. Aliah teringat bagaimana umi selalu memberitahunya, membuat salah, satu pelajaran dalam kehidupan ini. Bila sedar, cubalah untuk memperbaikinya, bukan terus-menerus hidup dalam kesalahan. Setiap manusia, ada ruang dan peluang untuk selalu menjadi lebih baik. Antara hendak dan tak hendak sahaja.


“Selamat petang!”
Hampir-hampir Mira jatuh bergolek dari ‘hammock’ bila mendengar suara hantu mi suah itu. Selamat petang! Apa dia ingat ini dalam kelas ke, sedang menyambut cikgu masuk ke kelas. Cis!Nasib baik sempat berpaut pada ‘hammock’ itu dan membetulkan kedudukannya. Buat malu saja kalau jatuh depan Marc Francois. Terperasan hantu mi suah itu merenungnya tanpa kelip, Mira bertanya dengan nada geram,
“Apa tengok-tengok?”
“Sedap tidur nampak. Sampai meleleh air liur ya?”
Pantas saja jari jemari Mira mengesat sekeliling bibirnya tapi tak ada rasa apa pula.Melihat Marc Francois tertawa kecil, sedarlah Mira dia sudah terkena. Dalam hati dia merungut, boleh pula Aliah biarkan saja dia terlelap di ‘hammock’ dan tinggalkan Mira sendirian. Kalau adiknya ni kena culik ke, dibawa lari ke, mahu menangis tak berlagu! Lebih-lebih lagi bila berjiran dengan hantu mi suah ni, kenalah lebih berhati-hati!
“Tak rimas ke asyik pakai tudung? I thought people wear it only when they are going out.” Marc duduk pada kerusi yang tadi diduduki oleh Aliah.
“Salah. Kita pakai untuk menutup aurat bukan sebab nak keluar rumah.” Jawab Mira sambil tertoleh-toleh melihat ke dalam rumah, entah sudah berapalah Aliah biarkan dia tertidur di situ.
“Aurat?”
“Our body parts that we should cover from non-mahrams.”
“Non-mahrams?” Berkerut dahi Marc bila menanyakan soalan, tak faham apa yang Mira katakan.
“Guys whom are not family.”
“Tapi..saya lihat ketika berada dalam rumah pun pakai juga.”
“Sebab ada Jeremy.”
“Jeremy is family.”
“Technically, yes, but he is not related by blood. Mahram means my rightful guardians, whom are incentuous for me to marry. Men like my father and my brothers.”
“Tak dapatlah tengok lagi rambut awak yang cantik tuh ya?”
Hisy! Ingat pula dia pada insiden hari pertama tempoh hari! Terasa panas pipi Mira bila mengingati hal itu.
 “That was an accident.”
“A lovely accident.”
“Saya nak masuk ke dalam. Bye!”  Entah apa-apa di tanya lagi nanti, bertambah malu!
“Eh! Nanti dulu! Saya nak pergi ke pekan, nak ikut?”
“Err..no thanks. Lain kali saja..”
Eiiii sudahlah malu, nak suruh ikut dia ke pekan pula! Eh! Tapi bukan tadi dia ada soalan untuk Marc?
“Marc!”
“Changed your mind?”
“Kenapa daun-daun ini semua berubah warna?”
“Cause God made them as such.”
Mata Mira dikecikkan, cerdik betul jawapan si Marc. Kalaulah adik beradiknya, mahu dipiat saja telinga Marc. Kita tanya betul-betul, dia menjawab ala-ala religious righteous. Memanglah Tuhan yang cipta segalanya di dunia ni tapi ada juga sebab musabab bagaimana pertukaran warna berlaku.
“Pandaiiiiii Marc! Pandaiiii!!!!” Mira menepuk-nepuk tangannya dengan senyum sarkastik sebelum berpusing dan kembali mengatur langkah dengan cepat dari melayan Marc.
Hish! Buang masa saja bertanya pada hantu mi suah tuh!



Tenangnya suasana di Dijon ini, Mira tak sedar dia sudah separuh jalan menuju ke pekan. Rasa teruja melihat rimbunan daun dari pokok-pokok yang besar, pelindung dari cahaya matahari. Walau sudah berminggu di sini, rasa teruja masih tidak berkurangan lagi. Bukannya dia ada perancangan mahu ke pekan, kalau tidak, boleh sahaja dia menerima tawaran Marc tadi. Kebosanan duduk di rumah, Mira tergerak untuk berjalan sahaja menikmati angin petang.  Tersenyum Mira bila dari jauh sudah nampak kelibat orang tua yang sedang duduk membaca suratkhabar di bangku yang sama! Hari itu bukan main lama lagi dia tidur di bangku itu, hari ini membaca pula.
Menyeluk kocek, baru Mira sedar dia tidak membawa duit dengannya. Kalau tidak boleh juga teruskan perjalanan sampai ke pekan. Boleh beli roti takpun aiskrim. Ah..tiba-tiba pula terasa ingin makan aiskrim. Dekat sini ada terjual aiskrim cornetto tak? Kalau umi, dia sukakan aiskrim itu yang perisa stroberi dan vanila. Bila umi makan aiskrim itu, Mira akan tunggu hingga sampai ke penghujung kon, itulah bahagian cornetto yang sangat digemarinya. Kadang-kadang Mira beli satu sahaja aiskrim cornetto, umi makan bahagian atas dan Mira hanya mahukan penghujung kon itu.
Menghampiri lelaki tua itu, Mira mengambil tempat duduk bersebelahan dengan dia. Satu senyuman diberi, tak berani nak ucap bonjour lagi, siapalah tahu, orang tua ini ramah mesra. Mira cakap sepatah, dia jawab berpatah-patah. Lebih baik duduk diam-diam dan memerhatikan alam sekitar.
Sesekali mata Mira mengerling pada si pembaca suratkhabar itu. Zaman sekarang, di mana ramai yang membaca news on the go, masih ada yang suka dengan cara lama. Sama juga seperti membaca buku, memanglah fungsi e-book itu bagus tapi padanya mana sama dengan memegang buku yang sebenar?
Membeli buku juga ada memori tersendiri, e-book setakat klik dan muat turun bahannya. Setiap buku milik Mira punya tarikh dan siapa pemberinya. Koleksi buku-buku Mira yang berharga adalah buku-buku karya Enid Blyton dan juga satu set kisah nabi-nabi. Berharga kerana abah yang belikan untuk dia. Abah tahu Mira mengikut jejak langkah abah minat membaca, sayangnya, abah tidak berpeluang melihat kejayaan Mira sekarang ini.
Lamunan Mira terganggu bila orang tua disebelah bangkit dari tempat duduknya. Tongkat yang tergantung dibelakang bangku, dicapai lalu perlahan-lahan mengatur langkah balik ke rumah mungkin. Tidak mempedulikan Mira langsung, dahlah tak menegur, senyum pun tidak! Cis!


Mira terbaca sesuatu yang menarik di Facebook, sudah lama dia tidak menaip apa-apa pada statusnya. Malam ini dia mahu berkongsi perkara yang baru dibacanya,
“Books can be friends when you’re a child. Name three books that made your childhood a happier place.”
Naughtiest Girl in the School, Malory Towers, St Clares, kesemuanya buku karya Enid Blyton yang Mira catatkan, mencetus kenangan masa kanak-kanak dahulu.
Mariah Mustapha : Sama! Selalu berangan nak pergi sekolah macam tu juga.
Klavu Qulit Tikoosy : Baca versi melayu sekolah seri melur (?) St. Clare tu tak ingat tajuk melayu. 5 sekawan, siri salma, hadi dan nancy drew. Semua Enid Blyton alih bahasa, dah lebih 3 pulak! Hehe..samalah suka baca cerita asrama tapi bila dah duduk asrama tak ada pula macam malory tower.
Syahida Hassan : Aku baca versi BM. Ok, semua yang Klavu Qulit Tikoosy listkan aku baca.
Mira Batafir : He..he..Kak Klavu, reality tak pernah sama macam dalam buku hik hik!
Klavu Qulity Tikoosy : Betul Mira, reality hurts. Memang kempunanlah nak merasa daging salai, air halia dan kek coklat kat asrama dulu!
Zura Mat Som : Yang ada magic, kerusi terbang-terbang, aku suka! Kadang aku fikir apasal childhood nowadays tak seseronok childhood aku! Rugiiiii sangattt rugi!!!
Mira Batafir : Sebab budak-budak sekarang rasa lebih hip mengadap gadgets dari buku!



Bergolek-golek di atas katil, Mira tersenyum dengan jawapan dari kawan-kawan. Buku Enid Blyton memang terkenal seantero dunia. Masih ingat lagi, dulu sanggup tunggu di kaki tangga hingga abah balik dari kedai. Tak kisahlah tak ada gula-gula ke, coklat ke, yang penting Mira dapat beli buku. Mira bersabar walaupun abah belikan satu buku sahaja pada setiap masa. Kalau abah panjang umur, mungkin berratus-ratus koleksi buku yang abah berikan. Sekarang ini, walaupun koleksi bukunya banyak, semuanya dibeli sendiri dan ada juga pemberian dari kawan-kawan. Buku, adalah hadiah yang bagus tidak kira untuk yang muda atau orang tua. Hanya perlu memastikan, buku yang diberi menepati citarasa mereka.