Friday, 21 February 2014

Lelaki Januari (Bab 7): Hafizah Iszahanid

ABANG Yusri dan Kak Aulia, pelajar kedoktoran yang menuntut di universiti yang sama denganku mengadakan kenduri tahlil.
  Rumah pasangan yang kami gelar “Yuslia” itu agak jauh dari rumah yang aku dan Syuk sewa. Rumahnya di Kengworth, kalau berkereta dalam 10 minit perjalanan.
   Lebih tiga bulan lepas, bapa Abang Yusri di kampung meninggal dunia kerana sakit tua. Dan hari ini, genap 100 hari  pemergian ayahnya, Abang Yusri menjemput kami ke majlis tahlil.
  Kami sampai di rumah Abang Yusri yang cantik dengan sentuhan gaya Tudor itu agak lewat. Kawan-kawan lain sudah usai bertahlil. Ketika kami sampai, masing-masing sudah menikmati hidangan.
  Pelajar lelaki memenuhi kawasan belakang rumah Abang Yusri. Ada beberapa rakan lelaki yang membakar ayam dan daging. Rakan perempuan ada yang lebih selesa makan di dalam rumah sahaja. Lagipun asap dari bau ayam dan daging yang dibakar pasti terlekat pada baju dan rambut.
  Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah Abang Yusri,  tercium-cium bau kuah laksa juga kuah sup. Ah, mungkin pasangan Yuslia ini memasak laksa dan mee sup sekali.
  Kemudian, aku terlihat Wairah. Dia begitu sibuk menambah lauk pauk yang diletakkan di luar rumah, berdekatan pintu gelungsur berdekatan tempat orang membakar ayam. Spontan aku mencebik.
  Ali Syukri perasan agaknya, cepat tangannya mencuit pinggang ku.
  “Apa?,”
 “Apa? Awak ingat saya tak nampak?,”
  Aku terkekek kecil.
  “Eii cepat aje mata tu.. iyalah best friend katanya.. menyampah,”
  “Cemburu?,”
  “Gila tak cemburu?,”
 Kali ini Ali Syukri yang mengekek.
 “Suka bila awak cemburu,”
  “Sebab?,”
 “Cemburu tanda sayang,”
  “Siapa kata?,”
  “Entah P Ramlee kut..,”
  Ali Syukri tergelak-gelak sebelum meninggalkan aku di ruang tamu. Dia lekas menuju ke tempat membakar ayam apabila terlihat Khairul rakan sekelasnya.
 Seperti aku duga, apabila Ali Syukri berada di situ, Wairah pun cepat saja datang ke situ. Lauk pauk yang aku lihat belum habis dipunggah ke dalam bekas dibiarkan saja. Bertuah betul budak tu!
  Hati  dijentik cemburu. Tapi bila saja aku hendak melangkah keluar, anak sulung Abang Yusri, Syakirah namanya cepat saja menahan.
   “Acik Laila.. acik Laila.. makan kuih koci sedap..,” Syakirah yang berumur 7 tahun petah sekali berkata-kata sambil menunjukkan sisa kuih koci di tangan kanan.
  “Sedap sangat ke, siapa masak?,”
  “Emak.. eh bukan.. kawan emak  kut.. emm.. entahlah.. makan sajalah sedap,” sedap sungguhlah agaknya, sampai si Syakirah menjilat-jilat jari.
  Aku terus mengambil sebutir kuih koci yang kebetulan berada dalam piring tidak jauh dari atas meja berdekatan tempat aku berdiri. Bau daun pisang yang dikukus bersama santan itu harum sekali.
  “Emmm… bau pun sedap.. sedap kan ..,” aku menunjuk separuh kuih koci di tangan. Separuh lagi sudah ada dalam mulut, kukunyah perlahan.
  “Ha itulah Sya dah cakap,”
 “Laila, dah lama sampai.. maaf Kak Aulia solat asar..,” Kak Aulia menyalamiku, tapi sebelah tangan sahaja. Sebelah lagi tangan penuh dengan kuih koci. Kak Aulia mengangguk dengan senyum. Wajah Kak Aulia kelihatan masih basah dengan air, bekas wuduk agaknya.
  “Sedap koci ni kak..,”
  “Ha.. si Wairah buat.. sedap kan,”
   Tercekik aku mendengar nama itu. Aku terbatuk-batuk kemudiannya, mata terasa panas, subhanallah.
  “Eh, tercekik koci budak ni.. ya Allah.. bertuah betul janganlah makan gelojoh sangat,”
  Kak Aulia cepat-cepat menghulurkan segelas air. Aku capai gelas dari tangannya. Seksa betul rasanya tercekik koci, air mata sudah mengalir pun.
  Aku cuba keluarkan koci yang sudah separuh masuk ke dalam anak tekak. Dengan isyarat tangan, aku memberitahu Kak Aulia, aku hendak ke dapur. Jijik pula orang melihat aku nanti mengorek keluar koci dari dalam mulut.
  Beberapa kali mencuba, koci yang separuh ku kunyah tapi tidak hadam  itu ku buang dalam tong sampah. Yang separuh lagi ditangan juga aku buang. Hai.. bahana betul menyebut nama si Wairah ni.
  Aku teguk air dari dalam gelas perlahan-lahan. Air mata ku kesat, malu pula kalau orang tahu aku tercekik koci.
  Kembali ke ruang tamu, aku melihat Kak Aulia menyambung kerja-kerja Wairah yang tertangguh tadi. Menambah rendang ayam ke dalam bekasnya, menambah kuih koci juga yang sudah berkurang.
  “Ok dah kau Laila?,” Kak Aulia berpaling waktu aku melintas.
  “Ha, dah.. Alhamdulillah,”
  “Gelojoh tu..,”
  Aku tersengih sambil mata mencari-cari Ali Syukri. Dia masih sibuk bersembang dengan Khairul dan kali ini diikuti oleh Nasrul, pelajar senior fakulti ku. Diantara mereka, terselit Wairah. Eiii.. menyinga sungguh aku melihat si Wairah.
  Di tangan masing-masing aku melihat ada mangkuk plastik. Ali Syukri khusyuk sungguh menghirup kuah, entah laksa atau mee sup. Tapi kelihatannya sungguh nikmat.
  Waktu aku berjalan mendekati mereka, aku terdengar Nasrul bertanya, eh siapa masak laksa ni sedapnya.. Kak Aulia ye?
  “Bukan akak, Wairah tu ha.. ,” Kak Aulia yang sudah berada berdekatan mereka, membelek-belek daging bakar dalam pinggan menyampuk.
  “Sedap Nasrul?,”
  “Sedap..,”
   “Ha, apa lagi Wairah tu kan bujang, sudahlah pandai masak, cantik pula bijak pula rugi kau..,”
  “Alah Kak Aulia, dia bukan nak saya,”
  “Belum cuba belum tahu.. tak dapat rugi..,”
  “Emm.. ada orang tu yang rugi, kahwin dulu tak tunggu kita,” Wairah tiba-tiba menyampuk. Mimik mukanya buruk sekali di mataku, pura-pura merajuk. Alah, aku tahu kata-kata itu tentu ditujukan pada Ali Syukri!
  Ali Syukri pun apa lagi, meleret-leret senyumnya!
   Langkah ku terhenti. Aih, gedik sungguh perempuan tu. Cubalah jaga kesopanan awak sebagai perempuan!
  “Rugi sungguh-sungguh..,” Wairah menyambung lagi.
 “Alah tak apa Wai, lelaki boleh kahwin emmmm…,” Ali Syukri belum sempat menyambung selepas matanya terpandang aku yang tercegat tidak jauh darinya. Ali Syukri spontan tersengih. Kawan-kawannya ketawa berdekah dan aku terdengar Wairah mencelah, eh takut bini!
  Eiii.. sungguh aku tidak faham dengan Wairah. Apa masalah dia?
  “Syuk, saya nak balik,”
  “Eh dah nak balik Laila, nantilah dulu.. makan dulu. Abang Yusri pun belum sampai dari tadi, pergi jemput mak angkatnya ..,”
   “Tak apalah kak.. kalau tak makan kat sini pun saya tak kebulur,”
   Kak Aulia terdiam. Ali Syukri berubah wajahnya. Dia meletakkan mangkuk plastik di tepi meja hidangan. Kemudian, dia memberi isyarat minta aku menyalami Kak Aulia. Aku ikut saja.
  “Saya balik kak,”
   “Ok, terima kasih datang..,”

   Hampir semua kenalan perempuan di rumah Kak Aulia aku salami tetapi tidak Wairah. Jika kerana itu Ali Syukri bermasam muka hingga kami masuk ke kereta, aku sedikit pun tidak ralat.

Monday, 17 February 2014

Kutunggu Pinanganmu (Bab 3): Fisha

BAJU kurung pemberian Khairi direnung lama, setelah lapan bulan berpisah hari ini barulah dia punya kekuatan untuk membuka kembali kotak kenangan lama. Segala pemberian lelaki itu disimpan didalam kotak yang diberikan oleh Qisya. Tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan pemberian itu. Selama ini memang dia suka dengan baju itu dan sangat disayangi tapi bila sudah terputus hubungan antara mereka rasanya tidak sesuai pula untuk memakainya lagi. Tapi untuk membuangnya pun dia tak sanggup.
“Tengok apa lagi tu Nana? Buang ajelah, simpan pun tak guna la.” Qisya dah berdiri dibelakang kakaknya. Memang tak puas betul dengan perangai Nana yang susah sangat nak buang semua kenangan dengan Khairi.
Dah orang tak nak buat apa lagi nak berharap?
Hidup kena teruskan walaupun pahit. Kumbang bukan seekorlah dalam Malaysia ni, kalau nak lagi banyak kumbang boleh cari seluruh dunia. Lagi banyak pilihan. Tak payah nak kenang sangat dengan orang yang dah bahagia tu.
“Sayang nak buang, baju ni elok lagi.” mata masih merenung pada baju kurung biru berbunga merah jambu itu. Langsung tidak memandang Qisya yang setia dibelakang. Entah kenapa dia terlalu sayang untuk membuangnya.
“Habis tu takkan simpan kot. Nanti Nana juga yang meroyan teringat kenangan lama. Satu masalah pula. Dah lapan bulan takkan tak boleh nak lupakan dia lagi.” marah Qisya bila Nana masih lagi teragak-agak untuk membuang barangan yang berkaitan dengan lelaki itu.
Entah apa yang hendak disayangkan sangat pun dia tak faham. Nak kata mahal sangat hadiah dari lelaki itu, memang taklah. Khairi yang dia kenal mana reti nak bagi barang berjenama untuk kakaknya. Balik-balik made in pasar malam tak pun uptown, mana-mana yang sempat dan murah saja menjadi pilihan lelaki itu.
“Kalau Nana bagi dekat orang nampak jahat sangat tak?” soal Nana tanpa menghiraukan Qisya yang masih memandang geram padanya. Budak ni memang kurang perasaan sikit, langsung tak mahu nak faham perasaan orang putus cinta macam dia. Semua nak main ikut kepala otak tak ada perasaan dia.
“Tak jahat mana pun,Qisya suka je kalau Nana nak sedekahkan. Kurang-kurang tak adalah jadi pembaziran dari kita buang dalam tong sampah atau bakar. Boleh panjangkan amal jariah dia tu.”
Senang hati Nana mendengar persetujuan dari Qisya. Memang dia tak sampai hati nak buang pemberian orang, jadi lebih baik disedekahkan pada yang lebih memerlukan. Mana tahu barang yang sudah tidak berguna pada kita boleh jadi sangat berguna pada orang lain. Dalam dunia ni bukannya semua orang mampu miliki apa yang orang lain ada.
“Kalau macam tu, jom kumpul semua baju yang dah tak dipakai. Boleh juga sedekahkan pada orang yang memerlukan.Yang betul-betul buruk nanti bagi mak buat kain buruk. Kosong sikit almari ni.” dengan gembiranya Nana membuka almari bila sudah mencapai kata sepakat. Mahu mencari pakaian yang sudah tidak dipakai. Taklah rasa ralat sangat bila ada pakaian lain yang mengiringi pemberian Khairi untuk diberikan pada yang memerlukan.
“Nana ni, Qisya malaslah nak punggah almari tu sekarang. Nanti-nantilah kita buat.” memang Qisya tak setuju langsung dengan cadangan Nana, sekarang waktu rancangan kegemarannya disiarkan di TV. Memang tak berminat nak join team wonderpet Nana.
Mana boleh nak buat kerja lain, hilang fokus dan kurang ikhlas jadinya nanti. Jadi adalah lebih baik berterus-terang dengan Nana. Tak payah nak buat rancangan amal waktu dia tengah seronok nak menonton.
“Habis tu, Nana bosan ni. Nak buat apa ni?” rungut Nana bila memandang jam. Memang lambat lagilah kalau nak menunggu habis rancangan tv si Qisya ni. Budak sorang ni suka sangat tengok bersambung siaran. Dah macam menghafal istisari rancangan setiap saluran pun ia jugak. Nasib baik tak ada Astro dirumah, kalau ada entah-entah tak ke kelaslah si Qisya ni asyik menghadap TV.
“Pergi baca novel la.” cadang Qisya, hobi Nana kan membaca novel jadi pergilah khatam buku-buku yang ada asalkan jangan ganggu waktu menonton dia.
“Mana ada Nana beli cerita baru, yang ada pun rasa macam tak mampu nak khatam dah.” panjang muncung Nana bila mendengar cadangan Qisya. Tertekan sungguh bila tak ada bacaan baru yang dibeli untuk bulan ini. Bukannya tak ada yang menggugat hati tapi duit lebih diperlukan untuk benda yang lebih penting. Sejak menyambung pelajaran ni, memang duit menjadi perkara yang sangat sensitif.
Langsung tak boleh nak berbelanja mewah seperti sebelum ini. Gaji yang tak sebesar mana harus disimpan untuk membayar yuran yang sememangnya sangat mahal bagi golongan sepertinya. Perbelanjaan haruslah secara berhemah sekarang.
“Online la.”
“Malas, sekarang ni tak banyak blog yang update. Kalau ada pun semua nak publish sekerat jalan lepas tu kena tunggu version cetak lepas setahun. Letih kot, kadang-kadang sampai terlupa jalan cerita sebab lama sangat kena tunggu.” runggut Nana.
Tetap hendak bercerita walaupun Qisya bukannya dengar sangat apa yang dia cakap. Lantaklah Qisya nak buat tak tahu pun janji dia dapat bercerita. Tak boleh nak simpan tekanan sorang-sorang dah.
“Apa kata Nana pergi chat, sekarang ni banyak je laman sosial yang boleh cari kenalan baru seluruh dunia.” cadang Qisya.
Asalkan Nana tak menggangu waktu menontonnya, macam-macam cadangan yang diberikan. Lagipun kakaknya ni memang suka mengodek komputer, jadi adalah lebih afdal menghalau Nana dari sisinya jika hendak menonton dengan selesa.
Tak aman jadinya kalau ada Nana yang ada bersama, banyak benar komen kakaknya nanti. Semua tak kena dimata Nana, kadang-kadang Qisya rasa macam nak suruh Nana pergi arahkan drama sendiri. Barulah lepas tu tak ada komen yang dia kena dengar.
“Nana mana reti semua benda tu.” tolak Nana. Memang dia suka dengan internet tapi bukan dengan laman-laman sosial yang ada. Akaun facebook pun dia tak ada. Mujurlah dia masih ada blog sendiri, kalau tidak barulah namanya ketinggalan zaman. Semua benda yang berkait rapat dengan dunia sekarang ada dihujung jari.
Dalam terpaksa Qisya menghampiri komputer didalam biliknya, menghidupkan pekakasan elektronik itu dan mengajar kakaknya untuk menggunakan laman bual yang ada. Susah juga ada kakak yang bijak tapi kurang bijak hal-hal berkawan dan bersosial ni. Asyik berkawan dengan buku dan novel saja setiap masa.
“Dalam ni ada list kawan-kawan Qisya, Nana sembanglah dengan dia orang yang online. Kalau nak cari kawan baru, Nana klik dekat sini.” ajar Qisya selepas membuka tetingkap yang perlu.
Memang Nana bijak dalam pelajaran tapi kalau bab laman sosial memang dia sangat ketinggalan. Setakat YM tu dia tahulah, itu pun sebab kawan-kawan paksa dia guna dulu. Yang lain-lain memang tak pernah nak cuba bila dia tak nampak dimana kepentingan laman-laman sosial yang ada. Dengan siapa dia nak berbual kalau semua kawan-kawan lebih suka bersembang muka ke muka.
“Nana nak sembang apa dengan kawan-kawan Qisya ni. Bukannya Nana kenal pun. Lagipun apa kelas sembang dengan level adik-adik ni. Buat Nana rasa makin tua je.” Tolak Nana. Rasa macam tak best nak sembang dengan kawan-kawan Qisya.
“Amboi-amboi, menghina nampak. Kawan-kawan Qisya dalam ni semuanya mature ok. Mana ada stok-stok adik, paling lekeh pun sama baya dengan Qisya la. Nana tengok Qisya ni macam budak-budak ke?”
Nana dah ketawa dengan soalan Qisya. Sensitif la pulak budak kecik ni.
“Seganlah, Nana mana tau sembang dengan orang yang Nana tak kenal.”
“Hentam ja, bukan dia orang nampak Nana pun. Selamat bersembang dan jangan kacau Qisya.” Qisya melangkah ke luar bila yakin Nana sudah mampu untuk menggunakan skypenya. Kakaknya ni memang senang diajar, cepat faham apa yang diberitahu. Jadi dia memang tak risau nak tinggalkan Nana seorang diri. Idea nak berkemas tu esok pun boleh lagi nak buat. Bukan lari ke mana pun kain baju yang bersusun dalam almari tu.
Tiba-tiba Qisya muncul semula dimuka pintu, memandang padanya. Tadi sibuk sangat nak pergi menonton ini boleh pulak menjengah dia yang baru hendak belajar menggunakan teknologi. Kening dijongket pada Qisya, bertanya apa yang tak kena lagi.
“Lupa nak pesan, sila tanggalkan kad kenduri pengantin basi tu dari cermin solek Nana. Sakit mata la Qisya tengok. Tak payah nak kenang sangat orang yang dah bahagia dengan pasangan dia tu. Entah-entah dah nak jadi ayah orang.”
Bebel Qisya tak puas hati dengan tindakan Nana menampal kad kenduri Khairi di cermin solek. Itu macam sengaja nak menabur garam ke luka sendiri! Macam orang tak ada perasaan la Nana ni.
“Ya, lepas ni Nana buang semua kenangan dan benda yang berkaitan dengan dia. Jangan risau dan bising-bising. Serabut kepala Nana dengar.”
“Baguslah kalau macam tu. Okey, sekarang Qisya boleh tengok tv dengan senang hati.” terus dia berlalu keluar dari bilik. Meninggalkan Nana yang masih tersenyum padanya. Janji Qistina memang boleh dipegang.


MATA terpaku pada senarai kawan-kawan maya yang terdapat disebelah kiri tetingkap Skype milik Qisya. Macam-macam nama pelik yang digunakan oleh teman-teman adiknya, pemikiran budak-budak sekarang memang susah nak faham. Tanda hijau yang menunjukkan pengguna disana juga aktif membuatkan jemari cekap menekan tetikus untuk melihat lebih banyak senarai teman Qisya. Ramainya!
Amir^kacak : hai awak
Dia dah terkedu bila ada yang menegur. Macam tak berani nak membalas tapi sungguh dia bosan sekarang. Dah la nama yang si Qisya guna sangat tak boleh diterima akal fikiran. Eisha cute? Tang mana yang cute pun dia tak tau. Kalau comot tu memang dia setuju sangat. Tapi disebabkan Qisya dah baik hati mengurangkan kebosannannya jadi abaikan sajalah nama yang menyakitkan mata tu.
Eisha cute: hai amir, kacak sangat ke ni?
Memang itu persoalan yang bermain diminda bila melihat user id yang digunakan oleh kawan Qisya ni. Kenapalah budak-budak ni perasan sangat, langsung tak malu mengaku diri sendiri sangat kacak dan cantik. Kenapa tak nak merendah diri sikit, barulah nampak lebih beriman walaupun baru nak kenal.
Amir^kacak: kacak sangat… sebab tu kena letak nama kacak dekat belakang nama saya. Sejak bila  suka tanya soalan macam ni? Malam ni tak tengok tv ke? Ke TV kat rumah awak dah terbakar?
Terkedu Nana membaca komen dari kawan Qisya, memang betul-betul kenal dengan perangai Qisya budak sorang ni. Dah tahu apa aktiviti adiknya bila ada dirumah. Kawan-kawan Qisya semua memang tahu yang dia seorang pencinta TV tegar.
Eisha cute: oh, sorry. Sebenarnya ni bukan Qisya, saya akak dia. Dia memang tengah tengok tv pun. Boleh bankrup stesen tv kalau sehari dia tak tengok tv.
Seronok pula bila ada geng mengutuk Qisya. Selama ni mak jarang nak terlibat kalau dia seronok mengutuk adiknya itu.
Amir^kacak: oooo, kak Nana ye.
Nana dah garu kepala. Macam mana kawan Qisya boleh kenal dia pula. Memang nak kena la budak sorang ni. Suka sangat bercerita hal keluarga pada orang lain. Lepas ni memang nak kena tarbiah budak sorang tu. Biar insaf sikit.
Eisha cute: kenal ke?
Amir^kacak: Qisya pernah cerita pasal akak. Tapi muka tu memang tak kenallah. Kenal nama saja. Qisya pun saya jarang jumpa, sembang dalam skype je kalau sesekali teronline.
Eisha cute: ingatkan kenal. Duk mana ni?
Lama menanti tapi masih belum ada jawapan dari Amir. Membuatkan dia bergolek-golek diatas katil. Bosan juga bersembang dengan orang yang lambat balas ni, jenuh nak menunggu. Sekarang ni dia dah tak tahu nak buat apa.
Amir^kacak: saya di Alor staq. Awak?
Kepala digaru lagi, lama-lama bersembang dengan kawan Qisya ni memang mengundang botak dikepala. Banyak sangat soalan yang mencabar minda untuk dijawab. Takkanlah kawan Qisya ni tak tahu dia duduk dimana kalau dah ingat semua pasal diri Qisya. Nak dimarah macam biadap sangat. Jadi layan ajelah.
Eisha cute: Saya dekat rumah
Jawapan yang paling bijak dia bagi.
Amir^kacak: J nice answer, tapi serius saya tanya ni. Awak ada mana sekarang?
Eisha cute: Pulau Pinang.
Amir^kacak: OIC, boleh bagi contact nombor awak? Kita borak dekat whatapp @ viber or apa-apa phone application . Saya jarang sikit on pc ni.
Makin laju kepala digaru. Adui, kenapalah kawan si Qisya ni suka buat dia sakit kepala nak menjawab soalan yang lebih susah dari termo ni. Niat dihati Cuma mahu menghilangkan bosan bukannya nak mencari jodoh disini. Takkan nak suami muda dari dia kot. Minta simpang malaikat 44.
Amir^kacak: awak….ada lagi tak ni?
Eisha cute: ada…..
Terlebih berfikir pula sampai terabai orang disana.
Amir^kacak: kenapa diam?
Eisha cute: tak tahu nak jawab apa….
Jujur dan ikhlas Nana menjawab. Memang dia dah tak tau nak kelentong apa dekat kawan si Qisya ni.
Amir^kacak: takpelah kalau tak boleh bagi…kita sembang dekat sini ajelah
Nafas dihela panjang membaca jawapan dari Amir. Mujur lelaki itu memahami dia tidak mudah percayakan orang yang baru dikenali. Cukuplah bersembang dengan jari jemari sahaja. Ini pun dah cukup mengisi masa lapangnya.
Eisha cute: thanks sebab faham.
Amir^kacak: takde hallah. So awak kerja atau study?
Seronok berbual dengan kawan Qisya ni, matang sungguh. Tak adalah nak bersembang pasal hati. Lagi seronok boleh berbual tentang isu semasa dan pendapat berkaitan agama dan dunia.

Tak sedar hampir ke pukul dua pagi barulah mereka menamatkan perbualan. Kebas juga jari jemari menaip dengan Amir. Lepas ni boleh la berbual lagi dengan lelaki itu.

Cooper-K (Bab 2): RodieR

“YANG kau haru-biru nak cepat aje kerjanya ni kenapa?” Udin dah menegur dengan dahi berkerut, pelik melihat sang sahabat yang terburu-buru mencari kunci kereta.
      “Nak kena pergi library.” Pendek Cooper membalas. Mana la pulak dia ni? Habis poket diseluk, beg sandangnya pula ditonggang di tengah-tengah koridor Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang itu. Kunci, kunci, mana, mana? Aku dah lewat ni. Time ni la hari tu budak tu pergi library...
      “Oit! Kau dah kena Parkinson ke? Kronik je ketar aku tengok.”
      Ha, ada pun! “Yes!”
      Udin berpaling pada Syuib yang ikut memandang Cooper dengan kerut pelik di dahi. “Seumur hidup aku jadi budak medic tak pernah lagi tengok patient gembira mengaku dia kena Parkinson.” Datar dia berkata. Syuib ketawa.
Cooper menggeleng perlahan. Kunci diambil dan barang-barang yang berterabur itu dicampak kembali ke dalam beg. Kawan di sebelah yang memerhatikannya tak diendahkan. Kot putih yang sedari tadi dipakai ditanggalkan dan stetoskop di leher pun disumbat sekali ke dalam beg. Nasib baik hari ni buat clerking kat HTAR, Klang je, tak payah pergi Selayang. Kalau pergi Selayang, alamatnya kena pinjam kipas terbang Doraemon la dia nak menyampai ke PTAR 4 UiTM tu. “Kau jadi balik dengan Syuib kan?” jadi la, jadi la, aku dah lambat tahap cipan ni.
      Udin angguk.
      “Okay, then, aku pergi dulu.” Laju dia menyampuk, berlari anak ke tempat letak kereta.
      “Oit, kau nak studi apa kat library tu yang nak cepat sangat? Ada orang tunggu ke?” si Syuib dah menjerit sambil ketawa.
      Orang tunggu? Dia akan tunggu ke? Kebarangkalian yang mustahil tu. Tapi apa salahnya pergi tengok kan? “Farmakologi!” dia pun membalas dengan jeritan, ketawa apabila melihat dua sahabatnya itu berkerut merenungnya dari seberang sana jalan. Tangan diangkat sekali, melambai dan laju dia berjalan ke kereta.

***

      “KAU nak dengar satu cerita tak, Mia?” tiba-tiba Ina bersuara, memecah sunyi malam di bilik itu.
      Mia mengangkat muka dari nota Pharmacy Practice. “Gaya macam nak cerita je, cerita je la.” Dengan nada bosan dia membalas.
      “Tadi mamat tu ada pergi library, cari kau.” Ina dah senyum bermakna.
      “Mamat mana pulak ni?” sungguh, dia tak ingat.
      “Mamat Mini Cooper la, siapa lagi.”
      Oh, him. “Cari aku? Pandai je kau ni buat assumption. Dia cari buku nak baca, kau kata cari aku.”
      Ina dah menepuk dahi. “Ada pulak cari buku. Dia nak cari partner nak studi farmakologi la. Tapi partner dia stood him up la pulak.”
      Mia menjulingkan mata ke siling. “Ada-ada je assumption kau, Ina.”
      “Apa lak assumption. Dah dia tanya aku kau pergi mana. Memang confirm la dia cari kau.”
      “Hah?!”

***

      Ceritanya petang tadi...
      ALAMAK ai, tak de la pulak dia ni. Cooper dah mengeluh dalam hati. So, kiranya, hipotesis aku betul la. Dia tak tunggu. Dia tak datang pun, kalau ikut pada gayanya. Takut terkantoi ada ‘jodoh’ dengan aku la tu. Dia tersenyum seorang diri. Siapa suruh mulut tu laju je bercakap? Kan dah tak boleh datang perpustakaan takut terjumpa aku?
      Dia melabuhkan punggung ke kerusi. Hening sunyi perpustakaan yang tak berapa ramai orang itu. Penat berkejar ke mari. Alih-alih sia-sia. Nasib baik tak jadi apa-apa kat tengah jalan tadi. Pecut gaya mengalahkan orang berlumba dalam Tokyo Drift. Nasib baik tak kena tahan polis.
      Aih, Cooper, dah datang library ni, rajin-rajin la bukak buku baca. Direnung buku sebiji yang dibawa masuk tadi. Perpustakaan itu tak boleh bawa masuk beg, jadinya beg ditinggalkan di dalam loker berkunci di luar. Hanya satu aje buku yang dibawa masuk olehnya.
      Katzung’s Basic and Clinical Pharmacology.
      Obvious sungguh niat kau ke library hari ini, Khairul Fairuz.
      Dia menggeleng kepala. Buku itu dibuka tanpa perasaan, sekilas mengerling sekeliling. MP3 kat luar pulak, aduih! Malas dah nak bangun... ek... eh, macam kenal minah tu...
      Matanya mengecil merenung gadis bertudung biru yang khusyuk menyalin nota.
      Ha, kawannya si Amilia Aisya.
      Separuh sedar dia bangun melangkah ke meja gadis itu.
      “Assalamualaikum.”
      Gadis itu mengangkat muka, lama merenungnya. “Wa’alaikumussalam.”
      “Kawan Mia kan?”
      Angguk.
      “Dia tak datang library hari ni?”
      Geleng.
      “Oh.” Betul la si Mia tu dah takut. “Dia pergi mana?” ha, soalan ni tak boleh jawab dengan angguk geleng je. Tengok sikit dia ni nak jawab apa.
      “Dia studi kat bilik. Bebas sikit katanya.” Ina menjawab pendek.
      Ha, bebas dari aku! “Bebas dari apa?”
      “Boleh duduk sesuka hati. Meniarap ke, berbaring ke, tergolek dari satu hujung bilik ke hujung satu lagi ke.” Ina menjawab panjang dengan senyum kecil di bibir.
      Cooper tergelak. Boleh pulak budak ni buat lawak. “Betul jugak ek.”
      “Awak ni Cooper kan?”
      Kali ni dia pula mengangguk.
      “Nak studi farmakologi dengan Mia ke?”
      Angguk lagi.
      “Nak saya cakap kat dia awak cari dia?”
      Em...
      Akhirnya dia menggeleng. “Tapi kalau awak boleh bagitau saya nombor telefon dia lagi bagus.” Cet, apa terkeluar standard pick-up line pulak ni, Khairul Fairuz? Habis hilang reputasi kau weh! Hancus, hancus!
      Senyum Ina makin lebar. “Yang tu awak kena tanya dia sendiri. Karang kalau saya bagitau, dia tak bagi saya masuk bilik, kena pneumonia la saya tidur luar sebulan.”
      Cooper ikut tersenyum. “Okay, fair enough.”
      “Tapi saya boleh tolong heretkan dia ke library kalau perlu.” Senyum gadis tu dah lain macam.
      Ei, matchmaker in the making ni, habis la kau, Khairul Fairuz!
      “Boleh ke?” dia pulak dah terjerut leher masuk straight ke dalam trap si matchmaker.
      Gadis itu menjongket bahu. “Belum cuba belum tau.”

      Ei, dia ni, boleh tahan. Macam pernah kusebut ayat itu... “We’ll see.”

Thursday, 13 February 2014

Detak Jantung Dia (Bab 2): Aidah Bakri

Wajah sejuk disentuh angin
Angin sepoi bertiup nyaman
Terasa sejuk diselimuti dingin
Dingin malam mengintai bulan

SIAPA DIA?
          Ini bukan kali pertama dia berada digelanggang silat Abi Daud. Namun tidak pernah sekali pun dia melihat wajah yang satu itu.
            Sahabat abang Firrkah itu?
            Kelihatan sangat akrab mereka berdua. Tumpuan Afra yang duduk di pondok kayu sebelah kiri masih tidak berganjak dari melihat dua orang lelaki yang berdiri di tengah-tengah gelanggang. Tajam anak matanya lebih terarah pada lelaki yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Seperti ada medan magnet di situ... sehingga menarik anak mata dia yang boleh diumpamakan seperti objek logam.
            Siapa dia??
            Cukup segak dan tangkas. Apatah lagi tatkala dia menyusun bunga silat. Lengkap bersampin dan bertanjak, persis pahlawan Melayu zaman silam. Entah kenapa anak matanya hanya nampak lelaki itu walau ke mana dia menoleh. Afra tergeleng-geleng. Dah kenapa dengan dirinya hari ini?
            “Kenapa?”
            Tersentak Afra dengan teguran Umi Majidah.
            “Err, tak  apa-apa umi.”
            “Tu yang tergeleng-geleng?”
            Afra ketawa perlahan. Nampak sahaja umi. Dalam cahaya suram-suram lampu Kalimantan 18Watt pun nampak gerak-gerinya yang serba tidak seperti selalu. Tapi, sejak bila pulak umi ada bersama dia di situ?? Bukankah tadi dia hanya seorang diri sahaja?
            “Dari tadi mengintai siapa?” duga umi lagi.
            “Hah?” kalut Afra dibuatnya. Tertangkap saat diri sedang mengintai anak teruna orang. Aduh... malu sungguh! Umi ni pun... sajalah tu.
            “Dok mengintai yang mana satu? Mustahil pulak abang Firr kan. Ada yang berkenankah? Boleh umi risikkan.” Usik Umi Majidah selamba. Wajah kalut Afra dipandang bersahaja.
Semakin berkisar duduk Afra dibuatnya. Ada desir hangat diwajahnya. Terasa pijar tiba-tiba. Tidak tahu hendak dicampak ke mana rasa malunya itu. Umi mengulum senyum. Wajah merah menahan malu itu dijeling lagi.
            “Pandai saja umi ni. Orang sukalah tengok mereka tu. Nampak berseni bila mereka menangkis serangan dan menghantar buah pukul. Makin ramai kan yang belajar silat dengan abi.” Cuba membawa Umi Majidah keluar dari topik perbualan mereka tadi.
            “Bukan selama ini tak  minat ke?” Umi masih tersenyum-senyum. Bukan dia tak sedar yang Afra sudah menyimpang dari tajuk.
            “Mana ada! Orang minatlah.”
            “Kalau minat kenapa tak turut serta? Tak teringin berdiri teguh seperti srikandi kat tengah-tengah gelanggang sana? Mampu mempertahan diri bila diusik... tidak gentar bila berhadapan dengan pembuli wanita.”
            Afra melepas keluh. Wajah umi dipandang lama. Siapa yang tidak teringin seperti itu? Memiliki ilmu mempertahankan diri sebagai perisai... benteng tubuh andai ada waktu terjebak dengan musibah yang tidak terduga. Dia sangat teringin sebenarnya.
            “Orang nak tapi mama dan papa tak izin.” Tutur Afra perlahan.
            Umi Majidah mengangguk perlahan. Dia faham. Dia tahu Afra anak emas. Anak tunggal keluarga kaya itu. Hatinya diusik pilu saat terkenang pada keluarga Afra. Papa dan mama Afra terutamanya. Mereka pernah rapat... pernah mengaku saudara juga. Namun putaran waktu telah mengubah keakraban hubungan mereka. Anjakan masa rupanya mampu merampas segala hubungan yang ada.
            “Umi faham. Tentu ada sebab kenapa mereka tak beri izin Afra terlibat dalam dunia silat. Silat kan kasar. Bimbang hilang lemah lembut Afra barangkali. Lagi pulak Afra kan anak tunggal mereka. Puteri tunggal. Tentunya mereka nak yang terbaik untuk Afra.” Nadanya memujuk seperti biasa.
            Afra tidak membalas kata-kata umi. Benar atau tidak hanya mama dan papanya sahaja yang tahu. Hanya mereka yang ada alasannya. Berulangkali meminta izin namun jawapannya tetap sama. TIDAK BOLEH!. Untuk apa belajar seni silat? Tidak ada untungnya. Hanya membuang waktu... membuat fikiran terkongkong dan tidak berkembang. Seni silat hanya untuk orang yang tidak ada tamadun dalam hidup.
            Argh, papa... mama! Fikiran mereka memang tidak sealiran. Ada sahaja yang bercanggah. Kalau berkeras, pasti berakhir dengan pertengkaran sudahnya.
            “Dia memang seorang lelaki yang hebat. Melihat wajahnya sahaja pun hati boleh berasa tenang dan tertarik.” Suara umi kembali menyapa telinganya.
            Afra kembali berpaling ke arah umi. Dia?? Lelaki hebat?? Tapi....
            “Siapa umi?” ada kerutan didahinya.
            “Lelaki yang Afra intai tadi.” Jawab umi selamba. Afra  berdehem kecil. Umi memang pandai mengusik hatinya yang masih hijau.
            “Siapa dia? Orang tak pernah nampak pun.” Terlanjur umi memberi laluan... apa salahnya bertanya. Orang kata kalau malu bertanya sesat jalan. Cewahh....
            “Samir. Dah lama tamat berguru dengan abi... tapi tak pernah lupa datang sini setiap kali gelanggang dibuka. Dia rapat dengan abang Firr. Mereka berkawan baik.”
            Samir?? Nama milik lelaki itu! Memang asing nama itu ditelinganya. Samir... dia ulang sekali lagi. Entah kenapa... sendiri pun tak tahu.
            “Ooo...”
            “Dia selalu juga datang sini. Cuma kebetulan malam ni Afra nampak dia.”
            “Hmm... dahlah umi, tak payah cerita fasal dia. Orang bukan kenal pun.”
            “Tak apa. Esok-esok kenallah tu.”
            “Orang nak masuklah. Nak tengok adik-adik. Dah masa untuk mereka tidur ni.”
            Selepas mengucup tangan umi, Afra bingkas berdiri. Sebelum melangkah sempat lagi dia menoleh ke tengah gelanggang. Serasa ada mata yang turut memandang kearahnya. Seolah-olah bersatu tatapan mata dari kejauhan. Tiada angin, tiada rebut... tangkai hatinya tiba-tiba terasa bergetar.Ada  debaran – denyut – detak jantung yang tiba-tiba menggila. Tidak ketahuan dari mana puncanya. Enggan menunggu lebih lama lagi, Afra mengorak langkah sambil memegang dadanya yang terasa aneh tanpa punca yang munasabah. Berdetak sebab lelaki itu? Ada apa dengan lelaki itu... sehingga larian nadinya tergelincir dari landasan asal.
            Hati Afra lebih tenang di Darul Hannan. Ruang kosong dalam kotak hatinya terisi dengan kehadiran penghuni-penghuni di situ. Dia tidak pernah sunyi dari tazkirah  abi dan umi, kata usik dari abang Firrnya dan juga celoteh dari duabelas kanak-kanak yang berusia dari lapan hingga limabelas tahun yang telah kehilangan tempat bergantung. Anak-anak yatim piatu. Memang abi dan umi mempunyai hati yang murni. Dipelihara anak-anak itu seperti anak sendiri.
            Abi selalu berkata bahawa kita perlu memahami hakikat ‘buhul aqidah’, tempat kembalinya semua ikatan. Buhul yang mengikat antara seseorang dengan yang lain yang tidak dilihat oleh nasab dan kekeluargaan yang menjadikan itu lebih besar dan utama dari sekadar ikatan kekeluargaan yang hambar tanpa makna yang jelas. Ramai orang yang lebih selesa berteman dengan orang lain yang satu visi dalam perjuangan mereka, namun tidak mampu menjadi orang yang terdekat dalam keluarga sendiri. Seperti dirinya sendiri...yang lebih  dekat dengan apa yang ada di Darul Hannan.

1, 2, 3... Bintang di Langit (Bab 2): Bidayatul H.

Tahun 1993- Paan.

MALAM ITU ketika langit dihias bintang-bintang yang bersinar, dia duduk menangis bersendirian di bawah rumah jerami milik Pak Suip. Dengan beralaskan timbunan jerami-jerami yang kering itu membuatkan tubuh kecilnya kelihatan tenggelam.
            Miang di badan langsung tak dihiraukan. Air mata yang merembes keluar sudah seperti hujan yang turun. Wajah Ahmad Farhan jelas comot. Tangisannya cuma kedengaran bunyi tersedu-sedu.   
            Dari jauh kedengaran sayup-sayup namanya dilaungkan. Suara itu dalam kelompok yang ramai.
            Ahmad Farhan masih terus menangis. Pilu di hatinya apabila mendapat tahu dia bakal menimang adik. Marahnya dia pada umi. Pasti setelah adiknya lahir dia sudah tidak menjadi kemanjaan abi dan umi.
            Benci. Dia benci akan bakal adik baharunya itu. Lihat saja kejadian petang tadi. Dia cuma tunjuk perasaan kerana mahukan kasut bola seperti Malik. Sudahnya badan dia digetu oleh umi. Abi pula cuma memandang sambil menggeleng. Abang Faisal lagi teruk. Mengejeknya tanpa belas kasihan.
            Dia bukannya apa. Sudah lama menjadi yang bongsu, jadi sukar untuk dia menerima. 10 tahun. Bukan suatu tempoh yang singkat. Selama ini cuma dia dan Abang Faisal saja. Farid yang tua setahun daripadanya pula tinggal bersama-sama Nek Yah di Johor. Jadi… salahkah dia memberontak?
            “Farhannnnnn!” Kedengaran sayup-sayup suara orang ramai memanggil namanya. Semakin lama semakin dekat.
            Dia pula langsung tak menghiraukan laungan itu. Malah air mata yang keluar seolah seperti air paip. Sukar untuk dihentikan. Mencurah-curah.
            “Paan!” Panggilan yang seterusnya itu berjaya membuatkan esakannya berhenti.
            Dia cam suara itu. “Ji’a…” ujarnya perlahan. Telapak tangannya pantas mengesat air mata yang berlinang-linang.
            “Abah! Paan kat sini.” Jeritan anak perempuan bongsu Pak Cik Chot kuat kedengaran. Membuatkan dia mengesot sedikit ke celah timbunan jerami.
            “Ya Allah! Sini hang Paan. Puas kami cari seluruh kampung!” Mendengar suara Pak Cik Jafar, ayah kepada Noin membuatkan dia menyambung tangisan.
            Bila Ji’a mendekatinya, dia mula mengamuk. Habis jerami-jerami Pak Suip yang sudah diikat, dia buraikan.
            “Farhan.” Pak Cik Chot memanggilnya perlahan. Seperti memujuk.
            “Awat buat lagu ni? Abi dan umi kat rumah risau sangat.”
            Dia terus-terusan menangis. Hendak pula bila nama abi dan umi disebut oleh Pak cik Chot, abah Ji’a.
            “Abi dengan umi dah tak sayang kat Paan!” Suaranya berlagu sendu mengadu nasib.
            “Siapa kata abi dan umi tak sayang kat Paan? Abi dan umi, sayangggg kat Paan. Paan kan anak abi dan umi!” Bersungguh-sungguh Pak Cik Chot memujuk.
            “Tapi… umi nak dapat adik baru. Nanti depa dah tak mau kawan dengan Paan,” jeritnya, nyaring. Membuatkan Pak Cik Chot dan Pak Cik Jafar menggaru kepala yang tidak gatal.
            “Siapa yang kata abi dan umi tak mau kawan dengan Farhan?” Giliran Pak Cik Jafar pula bertanya.
            “Abang Ecannnn!” Nama abang sulungnya itu disebut bersama raungan sedih.
            “Paan! Kalau Pak Cik Pian dengan Mak Cik Imah tak mau kawan, Ji’a dan Noin kan ada. Kami nak kawan dengan Paan,” beritahu Ji’a dengan suara yang berlagu.
Wajah Ji’a yang polos itu dia tatap lama. Tangisannya sudah reda. Di bibirnya tersungging senyuman. Umpama selepas hari hujan. Matahari mula menampakkan diri. Wajahnya tidak lagi mendung.
            “Betul?” dia bertanya, meminta kepastian.
            Ji’a angguk bersungguh. Membuatkan tocang ekor kudanya turut beralun sama.
            “Hah! Dah, jom balik! Malam sangat dah ni,” rungut Pak Cik Chot.
            Dia bingkas bangun. Namun, sesaat kemudian dia rebah. Kakinya terasa kebas-kebas. Agaknya lama sangat dia duduk bersimpuh di atas timbunan jerami sejak tengah hari tadi lagi.
            “Mari naik belakang pak cik.” Arah Pak Cik Chot.
Pantas tubuh abah Ji’a itu dipeluknya kuat. Mereka berjalan meninggalkan rumah jerami Pak Suip. Waktu itu terasa angin malam dingin menggigit tubuhnya.
            “Paan! Tengok atas!” Ji’a mengarah.
Pantas dia mendongak.  Turut memandang ke langit sana.
            “Banyaknya bintang…” ujar dia kepada Ji’a. Suaranya berbunyi takjub.
            “Paan tau tak…  pasal apa bintang tu ada banyak, bukannya satu saja?” tanya Ji’a.
            “Tak tau,” jawabnya pendek. Kepala digeleng berkali-kali.
            “Tok wan kata… kalau bintang tu satu, nanti dia sunyi. Jadi kita tak kan nampak dia. Sebab tu, dia kena ada kawan yang banyak. Baru dia tak rasa sunyi.”
            Mendengar  cerita Ji’a tentang bintang-bintang itu buatkan dia mengangguk tanpa henti.
            “Kalau macam tu… Paan pun nak jadi macam bintang. Ada ramai kawan.”
            Ji’a mengangguk sebaik sahaja dia berkata begitu. Kemudiannya, dia terdengar Ji’a mula membilang.
            “Ji’a kira apa?”
            “Bintang…” balas Ji’a pendek. Selepas itu, Ji’a menyambung semula kiraan yang terhenti.

            Membilang butiran bintang yang takkan mampu untuk dihitung.