PAGI. HARI
ini awal-awal lagi Tok Cah sudah berleter pada Alisya. Dia mahu Alisya duduk di
rumah dan belajar memasak! Erhhh....rasa macam gatal satu kepala! Alisya
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Alisya mendongak ke langit pagi. Jam
sudah pukul 10 pagi. Pisau di tangan dipandang.
“Cepatlah...ambilkan tok 3 batang serai...” pinta Tok Cah
dari dapur. Alisya pula masih tegak berdiri di muka pintu dapur.
“Okay...” walaupun
dia tidak tahu mana satu pokok serai...tapi rasanya dia masih kenal batang
serai kerana pernah nampak gambar serai di dalam buku sekolah. Alisya menapak
ke depan rumah yang menempatkan banyak pokok-pokok herba dan sayur. Sedang dia
berkira-kira mencari pokok serai, deruman enjin motor mengalih perhatiannya.
Pantas dipandang arah datangnya bunyi motorsikal itu.
Amir! Lelaki itu menghampiri rumah Tok Cah dengan
motorsikalnya. Sebaik tiba di depan
pintu dapur, enjin motorsikalnya dimatikan. Amir angkat muka, memandang Alisya
yang sedang tegak berdiri memandangnya. Mata mereka bertentangan.
“Tok Cah ada?” soal Amir. Nadanya serius. Langsung tidak
mesra. Alisya angguk. Amir turun dari motor dan membuka bungkusan plastik dari
bakul motorsikalnya. Menyedari yang dirinya diperhatikan dengan ralit oleh
Alisya, Amir berhenti sejenak dari membuka bungkusan. Dipandangnya Alisya yang
berdiri di depan tidak jauh darinya. Budak itu tegak sahaja macam patung. Tak
ubah macam terkena renjatan elektrik.
“Buat apa?” soal Amir, sekadar mahu Alisya meneruskan
kerjanya yang terhenti kerana kedatangannya. Alisya pantas menggeleng.
“Dah ada serainya, Alis?” laung Tok Cah tiba-tiba dari
dalam. Alisya dan Amir sama-sama menghala pandang ke arah dapur. Tok Cah masih
di dalam. Amir dan Alisya kemudian berpandangan.
“Ada..ada...” Alisya kelam kabut menyahut panggilan Tok Cah.
Terkial-kial dia mencari pokok serai. Sebaik ternampak rimbunan daun hijau yang
lurus panjang, segera dia meluru ke arah rimbunan pokok itu dan mencantas
perdunya. Amir hanya memandang terpinga-pinga.
“Buat apa tu?” soal Amir. Bungkusan gula dikeluarkan dari
bakul motorsikalnya. Alisya menjeling ke arah Amir.
“Ambil serailah...” jawab Alisya. Amir yang sedang menatang
bungkusan gula tidak jadi masuk ke dalam dapur Tok Cah. Dia menapak, mendekati
Alisya. Alisya makin pantas memotong perdu pokok hijau itu. Kini Amir
betul-betul berdiri di belakang Alisya yang sedang bertinggung
membelakangkannya. Amir memandang Alisya sambil menghela nafas berat.
“Itu pokok lalang...” kata Amir. Alisya terkedu. Dipandang
pokok di depannya. Alisya mengerutkan dahinya. Adusss...salah pokok
ke.....Alisya mengetap bibir, menahan malu. Namun wajahnya masih disorokkan
dari penglihatan Amir.
Kedengaran derap tapak kaki Amir berjalan ke arah satu
rimbunan pokok. Dengan hanya menggunakan tangan, dia mencabut beberapa batang
serai dan dia menghampiri Alisya yang masih bertinggung menghadap pokok lalang.
“Ni serai...” hulur Amir. Alisya masih membatu. Amir letak
saja serai itu di tepi Alisya, kemudian terus berjalan masuk ke rumah. Dia
perlu menyerahkan gula dan sedikit barang dapur lain yang Tok Cah minta dia
belikan tadi. Alisya mengetap bibir. Hisshhhhh...
INI tidak
boleh jadi!!!Sejak peristiwa pagi tadi, Alisya memang tidak betah duduk diam.
Dia tidak boleh membiarkan lelaki bernama Amir itu menganggapnya bodoh! Mana
boleh macam tu! Setiap kali peperiksaan, dia selalu berada di dalam tangga 5
teratas di dalam kelas. Dia tidak bodoh! Ah, dia mesti cari akal. Dia mesti
tunjukkan pada lelaki itu yang dia tidak bodoh!
Alisya bingkas bangun dari katil. Bantal peluk dicampak ke
tepi. Dia memandang cermin sambil menyikat-nyikat rambutnya. Wajahnya ditelek
sedikit. Ah..nampak macam berminyak pula. Bedak talkum badan yang ada di atas
meja solek diambil, dibuka dan dituang
ke tapak tangan. Dengan kadar segera, dia menyapu ke mukanya dan meratakannya.
Biar berseri sikit!
Toleh kiri, kanan..ah...dah berseri! Tak perlu pakai
lipstick! Bibirnya memang sudah semulajadi merah. Alisya segera keluar dari
bilik. Dia mencari Tok Cah di dapur. Tapi tiada. Kemudian dia ke anjung rumah.
Tok Cah juga tiada di situ. Kemana pula perginya Tok Cah? Tak apa...balik
nanti, dia akan beritahu Tok Cah.
Terus Alisya turun ke tanah selepas menutup pintu rumah. Dia
menyarung seliparnya dan berjalan menuju ke belakang rumah. Pagar buluh
dilewatinya dan dia terus menuju ke kebun pisang. Bayang lelaki bernama Amir
itu dicarinya. Tempat pertama ditujunya tentulah ke arah perigi tempohari.
Sebaik sampai di perigi, Amir tiada di situ. Alisya mundar
mandir di sekitar kawasan itu, masih mencari bayang Amir. Daun-daun pisang yang
menghalang pandangannya, di tepis perlahan. Dari jauh, Alisya nampak asap
berkepul naik ke udara. Tanda, ada orang sedang membakar sesuatu. Pasti Amir
ada di situ. Pantas Alisya menapak ke arah kepulan asap.
Benar. Amir dilihat sedang membakar daun-daun pisang kering.
Sebaik terdengar derap tapak kaki yang menghampirinya, Amir menoleh. Alisya dan
Amir saling berpandangan sejenak. Amir kemudian menyambung kembali kerjanya
tanpa menghiraukan kehadiran Alisya.
Melihat dinginnya layanan Amir padanya, membuatkan Alisya
sedikit marah. Dia menarik nafas panjang, kemudian dengan berani, Alisya
menghampiri Amir. Terus Alisya duduk di atas
timbunan batang pisang di depan Amir. Dengan berani, Alisya pandang
Amir.
“Pagi tadi, saya sebenarnya memang tengah cantas perdu
lalang. Tiba-tiba Tok minta serai pulak...” kata Alisya memecah kebisuan antara
mereka. Amir memandang Alisya.
“Okay..” jawab Amir pendek. Alisya menarik nafas resah. Dia
turut sama memandang api yang sedang membakar daun-daun pisang di depan mereka.
Alisya tidak tahu hendak berbual apa lagi. Dia mati akal. Takkan terus nak
balik? Nanti nampak sangat yang dia cuma datang untuk beritahu hal ‘serai yang
salah’ tu. Alisya mengutis kukunya
keresahan.
Melihat Amir yang turut diam, Alisya tarik nafas berat. Dia
terus angkat punggung dan melangkah kaki hendak meninggalkan tempat itu. Entah
dari mana, tiba-tiba seekor ular yang berwarna hijau jatuh dari daun pisang
berdekatan dan Alisya pula terpijak ular itu.
“Arrghhh!!!!” melompat sakan Alisya berteriak bila dia
terasa sakit bagai dicucuk jarum di hujung buku lalinya. Ular itu pula kelam
kabut menyusup lari di celah-celah batas pisang. Amir yang turut terkejut
dengan situasi itu meluru ke arah Alisya. Panik dia seketika mendengar jeritan
kuat Alisya.
“Adoii....” Alisya jatuh terduduk sambil memeriksa buku
lalinya. Terasa ngilu buku lalinya. Amir mendekati Alisya lalu duduk di hujung
kakinya, turut sama melihat buku lali Alisya. Cemas wajahnya memandang wajah
Alisya yang sedang berkerut.
“Aduhh..sakitlah!..” Alisya membelek buku lali. Terdapat 2
kesan titik merah di buku lalinya.Sebetulnya, sakitnya tidaklah teruk sangat,
rasa macam kena cucuk jarum je. Tapi, dia benar-benar terkejut bila terpijak
ular itu.
“Ni kena gigit ular kan...ala...saya akan mati ke ni...”
teriak Alisya risau. Dia sudah mula menangis tanpa airmata. Bingit telinga Amir
mendengar. Amir memandang Alisya.
“Gosok-gosok sikit tempat gigit tu. Balik nanti, sapu minyak
panas..” kata Amir.
“Aduh...ni nak kena pergi hospital ke ni...kena gigit ular
ni...” teriak Alisya lagi. Dia sangat risau. Selalunya, dia mendengar cerita,
seseorang itu akan mati atau lumpuh selepas digigit ular. Amir tersengih lucu.
“Itu ular lidi sajalah. Tak ada apa...Siapa suruh pijak
dia...” kata Amir lalu bangun dan duduk semula di tunggul kayu, tempatnya
sebelum ini.
“Eh..saya bukannya sengaja nak pijak dia! Dia yang tiba-tiba
jatuh dari daun pisang tu...” tanpa sedar Alisya bangun sambil menggosok-gosok
buku lalinya. Geram dia dengan sikap Amir yang bersahaja.
“Itulah. Berjalan lagi! Tok Cah dah pesan, jangan merayau
dalam kampung ni...” kali ini Amir ketawa pula. Lucu agaknya cerita Alisya
padanya. Mata Alisya membuntang.
“Eh...mana awak tahu Tok Cah tak bagi saya berjalan kat
kampung ni?” soal Alisya curiga. Kali ini, dia sudah duduk kembali di timbunan
batang pisang. Amir di depan dipandang jengkel.
“Tok Cah tu...dah macam nenek saya sendiri. Dari saya kecil,
sampai sekarang, semua benda pun, dia cerita dengan saya...termasuk cerita
pasal awak...” kata Amir bersahaja. Dia mengukir senyum. Barulah nampak lesung
pipit di kedua belah pipinya. Alisya terpana seketika. Lelaki ni ada lesung
pipit? Aduh...aku pun tak ada!
“Apa yang Tok Cah beritahu awak pasal saya?” soal Alisya
geram. Amir senyum lagi. Api yang hampir padam, dikirai-kiraikan oleh Amir. Dia
berniat hendak memadamkan api itu.
“Awak cucu dia kan...?” soal Amir tiba-tiba sambil memandang
tajam ke mata Alisya. Terkial-kial, Alisya angguk.
“Itu sajalah yang dia beritahu saya...” kata Amir lagi. Dia
bangun, berlalu dari situ menuju ke perigi. Alisya pantas bangun, mengekori
langkah Amir.
“Ye ke itu aje?” soal Alisya tidak puas hati. Amir di
depannya tiba-tiba berhenti berjalan dan menoleh ke belakang. Hampir-hampir
Alisya berlanggar dengannya kerana Amir berhenti secara tiba-tiba.
“Awak harap Tok Cah cerita lebih dari itu ke pada saya?”
soal Amir tegas. Alisya terdiam. Amir dan Alisya saling berpandangan. Amir
meneliti raut wajah gadis di depannya. Dia menelan air liur pekat.
“Pergi balik. Sapu minyak ubat kat kaki...jangan biar
lama-lama...” arah Amir. Alisya terkedu. Amir tidak jadi hendak pergi ke
perigi, sebaliknya menapak kaki menghala jalan pulang ke rumahnya yang terletak
di hujung kebun. Alisya termangu sendirian memandang pemergian Amir.
PULANG dari
surau, Amir melewati rumah Tok Cah. Kelihatan gadis itu sedang duduk di serambi
rumah mengira bintang seperti selalu. Amir menguntum senyum. Rumahnya sudah
dihampiri. Sebaik enjin motorsikal dimatikan, dia mengunci motorsikalnya. Amir
membasuh kaki di paip depan tangga rumahnya lalu naik ke rumah.
Lampu dipasang dan dia memasang televisyen 14 incinya. Drama
swasta sedang bersiaran di kaca televisyen. Amir hanya memandang dengan
pandangan kosong. Fikirannya masih mengingati peristiwa petang tadi di kebun pisang.
Dia tahu, gadis itu mahu berkawan dengannya. Bukan kerana
dia kelihatan baik sebagai seorang kawan, tapi kerana gadis itu tidak diberi
pilihan untuk mencari kawan. Tok Cah ada bercerita padanya tentang sikap gadis
itu yang terlalu suka berkawan di bandar sehingga ibubapanya menghantarnya ke
kampung ini untuk mengawal sikap bebas gadis itu. Tapi, gadis semuda itu,
memanglah asyik fikir nak seronok saja. Apa tidaknya, sejak kecil tidak pernah
merasa susah, jadi bila sudah besar, mana mungkin dia dapat memahami satu perkara dari sudut yang
berbeza?
Amir menghela nafas berat. Teringat kaki gadis itu yang
dipatuk ular lidi. Nasib baik ular lidi. Kalau ular tedung atau ular
kapak..mahu dia tercabut jantung juga tadi. Sungguh, waktu gadis itu menjerit
tadi, dia terasa bagai putus nyawa. Terkejut dengan reaksi spontan gadis itu
yang sangat takut.
Amir menguntum senyum dalam diam. Kasihan juga budak tu. Tak
ada kawan. Tak salah juga kalau layan dia. Lagipun, Tok Cah sudah berpesan
padanya agar turut sama memerhatikan gadis itu di sini. Tak apalah...Amir
menghela nafas berat. Matanya mengantuk. Lantas televisyen ditutup dan dia
terus masuk ke bilik. Esok pagi, dia perlu ke sawah Pak Din untuk menabur baja
padi.
No comments:
Post a Comment