Balik dari bercuti panjang
Muna terasa ingin melepaskan ketagihan.
Ketagihannya terhadap permainan komputer. Lebih teruk lagi, Muna sebenarnya semakin
seronok bermain judi dalam talian.
Semenjak dikenalkannya oleh sepupu Boy, Muna terus jatuh cinta. Ini kerana permainan ini berbeza daripada
permainan yang lain. Muna perlu berani
bertaruh dan cepat berfikir serta bertindak.
Duit tabungnya
sudah licin dalam beberapa kali sahaja dia ke sana. Bahkan Muna sendiri sudah berani meminjam
duit daripada sepupu Boy pula. Sekarang,
kerana Muna baru balik dari kampung, dia miliki duit yang agak lebih. Selain ayah, emak juga ada memberikan sedikit
wang saku kepadanya.
“Hoi!”
Hilang sudah
segala akal budi, Muna memulakan pertemuannya dengan Biyah. Temannya itu sedang sibuk mengemas pakaiannya
masuk ke dalam almari.
Tanpa menunggu
dipelawa, Muna lantas duduk di katil Biyah.
“Kau pergikah malam ini?”
“Hai... kalau
aku ini, aku fahamlah... rindu sangat aku pada cinta hati aku itu. Ini kau... atau ada apa-apakah yang aku tidak
tahu yang terjadi di belakang aku, Muna?”
Panjang pula
jawab si Biyah. Namun, apa yang hendak
didengar Muna tidak juga keluar dari bibirnya.
Lalu Muna mengulang tanya, “Biyah, kau pergi tidak?”
Biyah tersenyum
meleret. “Macam biasalah. Gila kau kalau tidak pergi?!”
“Okey. Macam biasa, ya?” Muna membuat janji lantas
berlalu.
Malam itu tanpa
menunggu lama mereka mengulangi lagi kegiatan salah tersebut. Sebenarnya, Muna sudah lama tidak menyertai
Biyah semenjak peristiwa malam itu. Alasan
Muna adalah untuk fokus pada pelajaran.
Tidak seperti Biyah yang sudah jauh hanyutnya, Muna masih lagi kuat
memegang janji untuk berjaya. Muna tidak
sanggup balik dengan hampa setelah apa yang diusahakannya selama ini.
Kalau sewaktu
UPSR dahulu, dialah juara, untuk PMR ini juga Muna mahu melakar namanya sebagai
yang terkemuka. Melanggar peraturan
sekolah bukanlah bermakna Muna menjadi pelajar yang gagal. Tidak sama sekali. Pantang buat Muna kalau kalah sebelum
berjuang!
Malam ini pun,
Muna sudah berikrar pada dirinya sendiri bahawa ia akan menjadi malam terakhir buatnya. Selepas ini tumpuan hanya akan ditumpahkan
kepada peperiksaan besar yang kedua dalam hidupnya. Tambahan pula, Muna diburu rasa bersalah
kerana telah menyalahgunakan wang hasil keringat kedua-dua orang tuanya. Entah bagaimana Muna boleh terfikir untuk
menggunakan duit yang sedikit itu untuk bermain judi. Muna menekan kepalanya.
“Muna... jom!”
sepupu Boy mendekatinya dari belakang.
Memberi isyarat.
Muna hanya
menggeleng. Memanglah seronok, tetapi
Muna tahu di mana dia harus berhenti.
“Alah... macam
biasalah... kalau kau tidak ada, aku dahulukan.”
“Tidak mahulah. Aku penat sedikit malam ini.”
“Oh! Sebab baru balik dari kampungkah?”
Pemuda berkepala
botak itu kini cuba untuk berbual lebih lama.
Dia sebenarnya sudah lama meminati Muna.
Yang di matanya sangat berbeza.
Menarik.
Sekadar senyum
segaris yang Muna berikan. Akan tetapi
matanya tetap melekat di atas skrin, bermain game. Rasanya Muna mahu
pulang lebih awal malam itu. Tiba-tiba
sahaja dia berasa hilang minat pada semua itu.
Muna sudah berasa bosan. Ataukah
sebenarnya Muna sudah dibelenggu oleh rasa bersalahnya? Bersalah kerana tidak lagi amanah. Bersalah kerana di dalam hati dan fikirannya
kini telah semakin jauh daripada apa yang telah molek ditanam dan dibajai oleh
kedua-dua ibu bapanya.
“Muna belajar
baik-baik di sana. Bukan untuk ayah...
bukan untuk emak... tetapi untuk Muna sendiri.
Memang ayah mahu tengok Muna berjaya, dapat ijazah... ibu bapa mana yang
tidak mahu melihat semua itu? Apalagi
Muna seorang sahajalah anak kami. Cuma
ayah mahu Muna ingat selalu... kejayaan yang sebenar adalah bilamana kita sudah
menjadi orang yang berguna pada agama kita, pada bangsa kita, negara kita...
tahu menggunakan yang sementara untuk yang kekal lama. Muna faham?”
Jelas
terngiang-ngiang di benak ingatan Muna pesanan keramat Muhsin sewaktu dia balik
bercuti kali ini. Semakin hendak
dilupakan, semakin ingat jadinya. Muna
mengetuk-ngetuk kepalanya. Cuba untuk
membuang jauh suara bapanya itu. Kemudian
Muna letakkan kedua-dua belah tangannya di kedua-dua belah pipi. Lantas dengan kuatnya Muna menekan pula
wajahnya.
Terasa pundaknya
disentuh lembut. Muna terkejut. Gesit dia berpaling untuk berhadapan kini
dengan sepupu Boy. Tangan yang baru
diletakkan itu, Muna tepis. Kasar. Satu lagi kepantangan buat Muna adalah
menyentuhi dirinya tanpa keperluan, tanpa kebenaran!
“Maaf! Aku tengok kau macam penat sangat. Kau hendak cuba sesuatu? Aku ada...”
“Eh, Biyah
mana?”
“Hei, kenapa
tanya Biyah ini? Dia sudah Boy
uruskan... baik punya!”
Menyampah betul
Muna tengok muka pemuda botak itu.
Senyumnya seakan mengandung sesuatu.
Muna mula rasa tidak sedap hati.
“Mana Biyah?”
Tanpa
mengendahkan pemuda tersebut, Muna menolak keras kerusinya ke belakang. Kuat juga terkena pada sepupu Boy itu. Namun tidak sedikit pun Muna pedulikan. Dia segera bangun. Apa yang penting bagi Muna sekarang ini adalah
di manakah Biyah, sahabat baiknya itu?
Muna perlu mencari Biyah. Muna
mesti menemui Biyah supaya mereka dapat segera balik ke asrama. Muna sudah tidak betah untuk duduk walau
seminit lagi di situ.
“Biyah!!”
“Hei, Muna...
apa ini? Janganlah buat kecoh pula...”
Selain daripada
sepupu Boy, beberapa orang lagi kawan-kawan lelaki Boy cuba menghalang langkah
Muna. Manakala kawan-kawan perempuan Boy
pula melihat Muna dengan wajah meluat.
Mereka mencebik dan menggeleng.
Serasakan pada pandangan mereka semua, Muna begitu kecil.
“Jaga hal
masing-masing sudahlah!’
Muna dengar
salah seorang daripada mereka bersuara.
Kalau tidak silap, dia juga merupakan senior di sekolahnya.
Namun semua itu
Muna tidak ambil pusing sama sekali.
Dalam hidup Muna tiada apa yang perlu ditakuti. Sekurang-kurangnya sehingga ke saat ini, Muna
belum kenal erti takut itu. Sedari
kecil, Muna sudah terbiasa mencuba.
Walau mungkin sesuatu itu nampak payah dan mustahil di mata orang lain,
tetapi tidak buat Muna. Segalanya Muna
akan redah. Yang penting, ia tidak
salah.
Sekarang ini
terlanjur sudah berbuat salah, Muna tidak melihat sebab untuk dia menarik
diri. Untuk dia mulai berasa takut. Apatah lagi tujuannya sangat jelas.
“Biyah!!”
Pintu bilik
menonton Muna tolak. Dia masuk sebentar
sambil memanjangkan lehernya, mencari.
Geli melihat apa yang terpampang di hadapan dua matanya. Sangat benarlah seperti apa yang Muna
sangkakan selama ini. Orang muda yang
kemaruk dengan aksi lucah orang lain di kaca lebar.
Keluar dari
bilik tersebut, Muna terus menuju ke arah belakang. Bilik kecil berdekatan dengan tandas dihampirinya. Samar cahaya lampu yang keluar dari bawah
pintu bilik tersebut itulah yang menarik perhatian Muna. Segera ditolak daun pintu.
“Biyah?!!”
“Muna??!”
Tanpa berlengah
Muna terus menolak tubuh Boy ke tepi.
Dia cuba menarik Biyah agar bangun.
“Jom, Biyah kita balik!”
Matanya liar
mencari pakaian Biyah. Muna kutip
satu-satu baju Biyah sebelum dicampakkan ke muka sahabatnya itu.
Sungguh, Muna
benar-benar marah dengan apa yang dilihatnya.
Tergamak Biyah melakukan perbuatan terkutuk itu? Sejahat-jahat dirinya, Muna hanya bermain
judi. Itu pun baru sahaja bermula, Muna
terus berhenti!! Yang pasti, tempat ini
adalah neraka bagi Muna. Biyah mesti
diajak balik dengan segera.
“Pakai baju kau,
Biyah!” Muna memberi arahan. “Balik!!”
“Hoi, apa ini,
betina?!!” Boy berang. Tidak terduga ada
yang akan mengganggunya. Apalagi yang
berani buat kacau itu adalah seorang perempuan.
Dia rasa tercabar.
Biyah hanya
duduk menikus di atas tilam tidak beralas.
Menutup tubuhnya dengan baju yang baru tadi Muna campakkan. Sebenarnya, Biyah mulai rasa takut. Takut dek kerana tertangkap oleh Muna. Takut melihat tindakan Muna dan juga Boy yang
mula naik angin itu.
“Balik, Biyah!!”
Muna tidak mempedulikan Boy. Dia
mendekat kembali pada Biyah, sedangkan matanya terus berjaga-jaga memandang ke
arah Boy.
“Kau mahu jadi
herokah? Hah, Muna?! Kau tahu bukan berapa ramai geng aku??” Boy
mula mengugut.
“Aku tidak mahu
cari pasal dengan kau, Boy. Aku cuma
hendak bawa Biyah balik,” Muna tetap teguh dengan keputusannya. Sedikit pun tidak terdengar gentar pada
suaranya. Hal ini membuatkan amarah Boy lebih
membuak.
“Hoi!!” Boy tarik tudung Muna.
Tidak seperti
Biyah, Muna tidak pernah menukar pakaiannya.
Dia tetap dengan baju kurung dan tudung yang dipakai untuk ke kelas
persediaan malam.
Muna diam. Diperhatikan sahaja Boy membuang kasar
tudungnya ke lantai. Tidak cukup dengan
itu, Boy tendang pula kerudung tersebut.
“Aku betul-betul
tidak mahu cari pasal dengan kau. Aku
cuma mahu Biyah balik dengan aku!” Muna mengulang lagi kata-katanya kepada Boy
sebentar tadi. Kali ini lebih tegas.
Muna berpaling
pula kepada Biyah. Belum pun sempat Muna
hendak membuka mulutnya, Boy sudah menolak Muna ke tepi. Keras tolakan Boy mendorong Muna ke
dinding. Dinding yang diperbuat daripada
papan lapis itu bergegar dilanggar Muna.
“Muna!!” Biyah
menjerit.
Waktu itulah
ramai kawan-kawan Boy berani datang menunjukkan muka. Muna sedar bahawa di tempat ini, Boy adalah
sanjungan semua. Dia adalah ketua. Selama menyertai mereka, Muna dapat lihat
dengan jelas akan pengaruh rakan sekolahnya itu. Barangkali kerana Boy adalah yang paling kaya
di antara semua. Justeru, suaranya
sangat-sangat didengari.
“Muna... blah. Muna... blah, Muna!!”
Kata-kata si
botak, sepupu Boy itu tidak juga Muna peduli.
Dia yang terjelepok jatuh tadi, cuba bangun setelah mengutip kain
tudungnya di lantai. Biyah sekali lagi
menjadi destinasi.
“Muna... blah,
Muna... aku kata blah, blah-lah, Muna!!” si botak bersuara lagi seraya mendekat
pada Muna. Dia cuba menghalang Muna
daripada menghampiri Biyah. Kerana Boy
sudah ada dekat dengan Biyah. Boy yang
sedang marah. Sangat marah.
“Biyah, balik!!”
“Hei,
betina! Kau hendak aku jadikan kenduri
untuk kawan-kawan akukah?!”
Seketika
kedua-dua pasang mata itu bertentangan.
Tiada di antara mereka yang mahu mengalah. Muna renung tajam dan penuh marah pada
Boy. Begitu jugalah dengan pemuda
tersebut. Jelas kedengaran desah nafas
kedua-dua mereka yang ternyata sangat kencang dan berat. Masing-masing sedang menahan rasa, menjadikan
suasana tiba-tiba sepi.
“Muna...” seru
Biyah terketar-ketar memanggil sahabatnya. Suaranya memecah kebungkaman di situ.
Tanpa menoleh ke
arah Biyah, Muna bersuara, “Kita balik!!”
“Tidak... aku
tunggu, kau balik dahulu, Muna...”
“Biyah??!!!” Siapa pun akan tahu betapa besarnya amarah
Muna ketika itu. Suaranya bulat dan
menggentarkan hati. Renungan Muna
beralih ke arah Biyah pula kini.
“Kau balik dahulu,
Muna...” ulang Biyah dengan tubuh menggigil.
Dia tidak berani menentang muka Muna.
“Blah, Muna...
blah...”
Muna terasa ada
tangan yang menarik lengannya. Si
botak. Dia seorang sahaja yang berani
bersuara. Dia nampaknya
bersungguh-sungguh benar mahu Muna pergi.
Muna sempat melihat ke wajah Boy.
Ternyata lelaki itu puas tatkala mendengar pilihan Biyah.
Sebelum berlalu,
Muna tinggalkan sebuah renungan tajam pada Biyah. Hati Muna sudah menjerit, merintih. Muna kecewa.
Muna hampa. Biyah bukan lagi
sahabat yang dikenalinya sejak kecil dahulu.
Biyah kini adalah orang asing bagi Muna.
Biyah sudah tidak dapat hendak diselamatkan lagi.
“Biyah!!!!!!!!!!!”
Muna tahu bahawa
jeritan batinnya itu tidak mungkin akan terdengarkan oleh Biyah. Akan tetapi Muna hanya berharap Biyah dan Boy
akan tertangkap!
No comments:
Post a Comment