1997
Dua orang gadis yang
sedang merayap di gelap malam itu melangkah dengan penuh hati-hati. Mereka sangat bimbang sekiranya kelibat
mereka terlihat orang. Sewaktu hendak
keluar tadi, sekali debarannya. Apabila
hendak masuk pula debaran hati menjadi dua kali ganda. Manakan tidak, lebih baik tertangkap sebelum
keluar daripada tertangkap ketika hendak masuk.
Waktu itu, tiada lagi dalih yang boleh menyelamatkan mereka.
“Kau buat apa
dalam bilik itu tadi, Biyah?” Muna bertanya lagak seorang pegawai
penyiasat. “Kau dengan siapa lagi di
dalam itu?”
“Bosanlah asyik
main game sahaja, Muna... sesekali
layanlah CD pula.”
“Cerita apa?”
“Alah... cerita
biasa sahaja. Kau tidak minat pun!”
Biyah cepat membuat alasan.
“Kau dengan
siapa lagi?”
Senyuman Biyah
yang dibuat-buat itulah yang sekarang ini membuatkan Muna tidak dapat hendak
lelap. Walaupun sudah lebih setahun Muna
sama-sama mengikut Biyah curi-curi keluar dari kawasan sekolah, malam itu Muna
rasa berlainan sekali. Bahkan sewaktu
mula-mula dahulu Biyah mengajarnya ‘fly’ itu pun, derap jantungnya tidak
sepantas ini.
Serta-merta Muna
teringatkan Boy. Senior mereka yang
merupakan kekasih Biyah. Orang yang
bertanggungjawab mengajar Biyah semua ini.
Curi-curi keluar sewaktu kelas persediaan malam sedang berlangsung. Biasanya mereka melepak di kedai permainan
komputer milik sepupu Boy. Bermain
permainan komputer sehingga ke larut malam.
Pernah juga mereka balik ke asrama sehingga ke pukul satu pagi.
“Alah, Muna...
bukan buat apa-apa pun... sahaja-sahaja, lepak.
Bosanlah siang-malam asyik menghadap buku sahaja. Tepu sudah otak aku ini.”
Muna teringat
kata-kata Biyah sewaktu mula-mula dia bertanya perihal sahabatnya itu. Setelah lebih setengah tahun bersekolah di situ,
di mata Muna, Biyah telah jauh berubah.
Bukan semakin matang seperti kata ibunya, tetapi Biyah jadi semakin liar
dan kurang ajar. Minat belajarnya pun
entah ke mana.
Dek kerana kasih
dan kasihankan Biyah, akhirnya Muna bersetuju untuk menyertainya. Bukan tujuan Muna itu jahat, sebaliknya dia
hendak tahu apa sebenarnya yang Biyah lakukan.
Di samping untuk mencuba menghalang Biyah daripada terus hanyut.
“Mula-mula
dahulu, aku pun seram juga, Muna. Kalau
bukan kakak-kakak itu yang yakinkan aku, sudah tentu sampai mati pun aku tidak akan
berani cuba! Boy itulah yang
bersungguh-sungguh betul suruh kawan-kawannya bawa aku sekali,” panjang lebar
penerangan Biyah itu. Muak Muna
mendengarnya.
Biyah turut
menyebut nama kakak-kakak senior yang bersekongkol dengannya dan kekasihnya
itu. “Seronok, Muna. Bila kita selamat, rasa hebat sangat! Victorious!!”
Muna sempat
menangkap riak wajah Biyah yang semacam itu.
Adakah manusia yang boleh berasa bangga bilamana berjaya membuat kerja-kerja
yang tidak sepatutnya? Kerja jahat bagi
Muna kerana melanggar peraturan dan undang-undang, Muna bukanlah orangnya.
“Nanti kau
bolehlah kenal-kenal dengan kawan-kawan Boy... kawan-kawan abang sepupu dia pun
dahsyat-dahsyat, Muna. Kau mesti tidak
percaya, muda-muda seperti mereka sudah bawa motor dan kereta besar. Hmm... siapa ya yang sesuai dengan kau
agaknya, Muna?”
Malas benar
rasanya Muna hendak melayan celoteh Biyah malam itu. Mereka sedang berjalan beriringan menyelusuri
denai kecil. Pastinya di hadapan sana
jalan besar, kerana Muna mulai melihat cahaya.
Dia berharap benar denai ini tidak panjang. Menyesal pun ada, sebenarnya. Berulang kali Muna mengeluh, mengapalah
diikutkan sangat rasa hati dan sayangnya kepada Biyah sedangkan Biyah
dilihatnya tidak sedikit pun menyesal apatah lagi rasa bersalah dengan apa yang
dilakukannya itu. Bahkan Biyah tampak
sangat bangga dan seronok pula. Biyah
rasa dirinya hebat.
“Hah, itu pun
Boy, Muna! Sayangggg.....”
Muna meluat
melihat perilaku sepasang kekasih itu kini.
Lagaknya seperti orang dewasa, sedangkan mereka masih di bawah umur.
Muna kesal. Sangat kesal.
Kerana cintakan budak lelaki bandar yang kaya itu, Biyah jadi lupa. Biyah sudah tidak ingat lagi pada asal-usul. Biyah langgar semua janji yang mereka buat bersama. Mereka berlima. Biyah lupakan Rais!
“Kau tolong jagakan Biyah untuk aku, ya Muna? Kau tahulah Biyah itu manja, perlu sering
diberi perhatian... perlu selalu diingat-ingatkan. Aku harap, persahabatan kita berlima ini akan
terus kukuh berpadu sampai bila-bila.
Aku sayangkan kau, Muna... dan Biyah... kau pun tahu apa perasaan aku
pada dia, bukan?” tenang sekali Rais menuturkan kata-kata tersebut.
Ya, Muna
ingat. Setiap kali belajar bersama-sama,
Rais tidak lupa meniupkan kata-kata semangat buat Biyah. Mana yang Biyah tertinggal, Rais akan tolong
sehingga Biyah faham. Rais sanggup
bersusah-payah untuk Biyah. Aduhai,
tidak ingatkah Biyah?
Muna bangun
pula. Sudah terdengar cengkerik di luar
sana berlagu, menyanyi bersahutan beramai-ramai. Riangnya mereka menunggu hari baharu. Sedangkan Muna di atas katilnya masih lagi
cuba untuk mendapatkan lena.
Satu demi satu
kenangannya datang berkenaan Biyah. Muna
benar-benar bimbang. Kehadiran Muna
untuk menemaninya pun tidak langsung diambil bena oleh Biyah. Malahan Muna yang terhanyut sama.
“Hah... seronok
bukan, Muna? Aku sudah cakap dahulu...
kalau asyik hendak menghadap buku sahaja, jadi tepu kepala otak kita ini. Bagaimana hendak cemerlang?”
Muna tersengih
sahaja. Dia betul-betul ikut Biyah untuk
melepaskan tekanan belajar dengan bermain pelbagai permainan komputer yang ada
di pusat tersebut. Tiada yang lain.
Muna tidak
pernah masuk campur hal-hal lain yang mereka lakukan di situ. Malahan untuk turut serta menonton CD pun
tidak pernah. Muna hanya syak sahaja bahawa
CD yang mereka ramai-ramai tonton itu adalah CD lucah. Ini kerana apabila keluar sahaja dari bilik
berkenaan, masing-masing nampak semacam.
Ada juga yang sampai tidak keluar langsung!
“Hish!! Apa yang si Biyah itu buat masuk dalam bilik
itu agaknya?” hati Muna terus bertanya-tanya.
Tangannya menggaru-garu kepalanya.
Sebentar, matanya pula yang ditenyeh-tenyeh. “Aduhai... kenapalah Biyah ini tidak mahu
lepaskan aku sekejap? Mengantuk sangat
ini tetapi aku tidak dapat hendak tidur?”
“Betulkah Biyah
tidak buat apa-apa dengan Boy?”
Mereka hanya
masuk berdua sahaja malam tadi. Tidak
seperti biasa. Malahan Biyah pun
kelihatan sangat luar biasa selepas keluar dari dalam bilik. Manjanya pada Boy semakin menjadi-jadi. Bertambah-tambah galaknya dia.
“Hish,
Biyah!!!!!!!!!!!!!!!!”
Alangkah leganya
rasa kalau dapat diluah jeritan batinnya itu.
Muna geram. Penangan Biyah
membuatkan dia berjaga semalaman. Dari
Blok Asrama Putera terdengar dengan sangat jelas azan Subuh dilaungkan.
No comments:
Post a Comment