“MACAM MANA boleh terjumpa semula? Punyalah besar bandar ini, dalam
ramai-ramai orang, kau boleh terjumpa dia?” Tanya Din tersengih-sengih. Macam
tak percaya pun ada dengar Agus sudah jatuh cinta. Siap minta emak dan ayahnya
merisik-risik lagi.
“Kau tak ada masa tu, aku dan
Hisyam yang jaga kedai ini. Dia hantar sepupu dia gunting rambut. Muka dia tak
banyak berubahlah, sama saja macam zaman sekolah dulu. Makin lawa adalah…”
sahut Agus. Dia cubit sedikit ikan goreng di dalam bekas makanan di hadapannya.
Nak masuk tengah hari begini,
jarang kedai gunting rambut mereka ini didatangi pelanggan. Nanti lewat petang
tengoklah, ada-ada saja kaum bapa datang bawa anak-anak lelaki mereka ke sini
untuk gunting rambut. Bila kedai taka da pelanggan, cepat-cepat dia dan Agus ambil
peluang untuk makan.
“Dia kerja apa?” Tanya Din.
Agus mengerutkan dahinya. “Entah…
aku tak tanya pula.”
Baru Agus tersedar, sejak berjumpa
semula dengan Mardhiyah lima bulan yang lepas, selepas bertukar-tukar nombor
telefon, yang ditanyanya pada Mardhiyah semasa menghantar pesanan ringkas
melalui telefon itu cumalah ‘apa khabar’,’dah makan’, ‘baru balik kerja’.
Lebih-lebih dia tidak berani sebab Mardhiyah pun jawab sepatah-sepatah
pertanyaannya. Mungkin Mardhiyah sibuk agaknya, sebab itu tidak pernah balas
panjang-panjang.
Lainlah kalau sesekali terserempak
di pasaraya Giant ini, Mardhiyah ramah saja menegurnya. Mardhiyah tidak pernah
sombong dengannya. Itu yang buat hati makin tertawan. Mungkin juga, sebab
sebenarnya, bukankah Mardhiyah itu gadis yang paling dia senangi sejak zaman
sekolah dulu.
Sempat juga dia tanya pada
Mardhiyah dengan nada bergurau, bila mahu makan nasi minyak, dengan nada lucu
Mardhiyah jawab, “Makan nasi minyak kat restoran nasi beriani Pak Samat saja
Agus, nasi minyak kenduri Mar lama lagi.”
“Kalau ada yang berkenan dengan
Mar, masuk meminang Mar terus, Mar sudi ke?” Agus memberanikan diri bertanya
begitu pada Mardhiyah bulan lepas.
“Ada ke yang berkenan kat Mar?
Untungnya kalau ada yang berkenan kat kita lepas itu masuk meminang terus.”
Jawab Mardhiyah sambil gelak-gelak kecil. Asal beli barang-barang dapur kat
Giant ini pasti dia terserempak dengan Agus. Dia suka berbual dengan Agus ini,
jauh berubah sudah Agus sekarang berbanding Agus yang dulu. Dulu Agus nakal,
selalu kena marah dengan cikgu. Sekarang Alhamdulillah, pandai berdikari dah
Agus itu, siap buka kedai gunting rambut sendiri.
Ayat yang Mardhiyah tuturkan
itulah, yang buat dia yakin Mardhiyah memang belum berpunya. Itu yang dia
berani minta ayah risik-risikkan Mardhiyah.
Apa kerja Mardhiyah ya? Tapi setiap
kali nampak Mardhiyah lalu di hadapan kedainya ini, pakaian Mardhiyah sentiasa
kemas. Selalunya baju kurung dan kasut hitam berkilat. Kerja pejabat mungkin.
Tiba-tiba saja dia rasa menyesal suruh Ayah risik-risik pasal Mardhiyah. Kalau
Mardhiyah tolak bagaimana ya? Aduh, malunya. Mana mahu letak muka ini,
tiba-tiba itu yang terlintas di fikiran Agus.
“KESIAN
ANAK makcik tu. Suami dia baru meninggal
bulan lepas. Mengajar di kawasan pedalaman, naik bot, elektrik guna generator.
Anak dia kecil lagi. Makcik harap dia dapat pindah dekat dengan makcik,” ujar
suara di sebelah sana.
“Nama dia Puan Fazila ke?”
Mardhiyah membelek-belek fail yang bertimbun di atas mejanya.
“Ya… ya… Fazila binti Kamarudin.”
“Makcik telefon saya semula lima
minit nanti. Lepas tu sebut nombor 4. Saya semak fail dia dulu,” sahut
Mardhiyah. Dia menulis angka empat dan nama Fazila di atas Post-It-Note
berwarna kuning dan melekatkannya di skrin komputernya.
“Ok… ok…”
Mardhiyah meletakkan telefon. Tadi
ada dia nampak fail Fazila itu di atas mejanya. Ketika sedang mencari-cari itu
telefon berdering lagi.
“Puan… anak saya semak dalam
Internet, dia dapat transfer balik
Johor, tapi surat tak sampai lagi. Kata suruh melapor minggu depan, ni surat takde, Pengetua tak bagi lepas,” selepas
memperkenalkan diri, suara di sebelah sana membuat aduan.
“Jap… bagi nama cikgu tu. Nama
sekolah dia jugak,” sahut Mardhiyah.
“Azrianna… Azrianna binti Salleh.
SMK Sains, Miri. Dia ada kanser, nak buat treatment
kat hospital dekat rumah,” masih lagi suara di sebelah sana mengadu.
“Puan telefon saya semula lima
minit nanti, lepas itu sebut nombor 5 boleh? Saya cari fail dia dulu,” jawab
Mardhiyah.
“Ok… terima kasih Puan.”
Mardhiyah meletakkan gagang telefon
ke tempat asalnya. Dia menulis angka 5 dan nama Azrianna di atas kertas
Post-It-Note kuning itu. Kertas itu ditampalnya di skrin laptopnya. Fail Fazila
sudah ada di hadapannya.
“Amboi… pakai nombor pulak dah,”
sapa Mieza yang tiba-tiba muncul di meja Mardhiyah. Skrin komputer Mardhiyah
sudah penuh dengan kertas kuning Post-It-Note yang bertulis angka-angka dan
nama-nama.
“Tengah tahun. Semua nak minta
pindah. Kecoh betul hari ini… aku dari tadi nak makan tak sempat. Mieza tolong fax benda ni ke PPD Bintulu boleh? Cikgu
Fazila…”
“Tak hantar lagi ke semua ni?”
Tanya Mieza sambil meneliti surat yang diberi oleh Mardhiyah.
“Baru buat keputusan dalam mesyuarat dua minggu lepas. Baru
habis mesyuarat dengan JPN antara negeri. Ada yang sudah dapat surat, ada yang
belum…” jawab Mardhiyah.
“Ok… nanti aku fax… PPD Bintulu ya…” sahut Mieza. Telefon
berdering lagi. Tangan Mardhiyah cepat mengangkat telefon di atas mejanya.
“Empat…” suara di sebelah sana menjawab.
“Cikgu Fazila kan?” Mardhiyah mengerling sekilas pada kertas
kuning yang ditampal di skrin laptopnya. Empat. Fazila Kamaruddin.
“Surat anak makcik saya baru fax tadi. Dia dapat transfer.
Rasanya petang nanti atau esok PPD fax surat tu ke sekolah anak makcik.”
“Terima kasih Puan… terima kasih banyak-banyak…”
Mardhiyah merenung telefon yang baru diletaknya. Penat
bekerja begini, bila dapat ucapan terima kasih, sejuk rasa hatinya.
“Mar...” tiba-tiba Mieza muncul lagi di pintu biliknya.
“Ketua Unit nak jumpa. Sekarang.”
“Cikgu Awang Had? Kenapa ya?” Mardhiyah bangkat dari tempat
duduknya.
“Jangan-jangan kau kena ganti dia petang ini tak? Dia ada
mesyuarat dengan Pengarah petang ni, baru kena panggil tadi,” ujar Mieza.
“Aku banyak kerja nak buat… ganti dia ke mana petang ini?”
dahi Mardhiyah sudah berkerut. Pantas kakinya menuju ke bilik Cikgu Awang Had,
Ketua Sektor Pengurusan Sekolah.
MARDHIYAH MEMANDANG
wajah murid-murid di hadapannya. Nak kata nakal, ikut KABORI Pengakap. Nak kata
jenis sopan santun, rambut panjang cecah kolar. Cikgu pengiring tak saring dulu
ke murid-murid ini?
“Kena gunting rambut ni. Takut
nanti berkawad, Pengarah nampak. Tuan Pengarah tu mata jenis mata helang,
pantang nampak silap orang,” ujar Mardhiyah sambil memandang ke arah cikgu
perempuan di sebelahnya.
“Gunting sendiri ke? Tak berani
saya Puan. Nanti kena saman. Budak-budak sekarang bukan boleh sentuh sangat,
sergah sikit pun nama kita masuk news,”
sahut cikgu perempuan itu. Budak lelaki tiga orang dengan rambut mencecah kolar
sedikit gelisah berdiri di hadapan mereka berdua.
“Gunting kedailah. Tak apalah… saya
bawa. Tapi kena ada seorang guru yang temankan saya. Tiga murid, awak, saya.
Lima orang, cukuplah. Jam tiga macam ini tak ramai orang kat kedai gunting
rambut,” jawab Mardhiyah.
Hendak tak hendak, kena bawa juga
murid tiga orang ini gunting rambut di mana-mana kedai gunting rambut sebab
budak yang seorang ini tugasnya bawa bendera Pengakap masa majlis penutupan
nanti. Yang seorang lagi, bakal dapat anugerah pingat Keris Emas. Memang pasti
murid itu akan naik ke atas pentas bersebelahan dengan Tuan Pengarah.
Masalahnya, rambut budak-budak ini memang mencecah kolar. Kalau buka topi
pengakap pun, panjang rambut budak itu melebihi genggaman tangannya.
“Cikgu Mar… nak bawa budak ke?”
tegur Encik Ismail yang tiba-tiba muncul di situ.
“Rambut panjang sangat. Mati kita
nanti, Pengarah datang lusa. Budak ini naik pentas terima anugerah,” jawab
Mardhiyah.
“Tiga orang kan. Itulah… dah ramai
sangat budak kat sini, memang tak perasanlah kes rambut dia ni,” ujar Encik
Ismail agak serba-salah.
Dia Timbalan Kem Komandan. Segan
juga bila Penolong Pengarah yang kesan kes begini. Cikgu pengiring tak pula
perasan rambut budak ini. Tadi siapa entah yang maklumkan padanya Cik Mardhiyah
si Penolong Pengarah dari Jabatan Pendidikan Negeri itu datang, sebagai wakil
JPN.
“Nanti jam lima gitu kami balik
sini semula ya…” Mardhiyah sudah menggenggam kunci kereta.
“Tak apa ke?” Tanya Encik Ismail masih
serba-salah.
“Takpe… takpe… kejap je. Nak suruh
cikgu lain, semua terlibat aktiviti kan…” sahut Mardhiyah seraya senyum
nipis.
Jadi satu hal pula di ke sini
petang ini. Memantau perjalanan kem pengakap peringkat kebangsaan ini bukan
tugas dia pun, ini kerja unit lain. Sejak bila pula hal-ehwal perkhemahan
begini masuk skop Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), tapi kata Mieza, skop
kokurikulum memang ada di bawah SPS ini.
Agaknya, sebab semua Ketua Sektor
ada mesyuarat petang ini dengan Tuan Pengarah, lepas itu pegawai lain ramai
yang bertugas di luar daerah, sebab itu dia pula yang diarahkan ke sini. Susah
betul kalau unit kita bersebelahan dengan Unit KK.
Kedai gunting rambut. Sebetulnya
boleh saja dia arahkan guru yang bertugas untuk pergi hantar murid-murid ini,
tapi entah kenapa dia tiba-tiba saja tawarkan diri. Mungkin sebab ada kedai
gunting rambut tertentu yang dia mahu pergi, kan Mar?
“GUNTING
MACAM mana? Satu dua tiga?” Tanya Agus sambil
matanya pura-pura menilik kepala budak lelaki yang duduk dihadapannya. Padahal
sebenarnya dalam hati dia mahu saja menatap wajah Mardhiyah lama-lama.
“Kikis tepi bang…” sahut budak
lelaki yang duduk itu.
“Army cut… pendek. Macam askar,” tegas Mardhiyah menjawab.
Wah, pandai-pandai nak minta kikis
tepi. Sudahlah servis gunting rambut kita yang bayar, suka hati saja nak minta
fesyen macam-macam.
Agus tersenyum menahan gelak.
Mardhiyah sudah keluar aura Ketua Pengawasnya. Teringat dia dengan si
Mardhyiyah yang dicop garang sewaktu di sekolah menengah dulu.
“Malam esok datang tak Mar? Kak Has
tanya-tanya tu, lama katanya tak jumpa geng sama-sama main galah panjang dulu,”
tanya Agus sambil menoleh ke arah Mardhiyah sekilas.
Mata Cikgu Aini tiba-tiba saja
memandang wajah Mardhiyah sekilas. Mar? Cik Mardhiyah kenal ke dengan si tukang
gunting rambut ni? Dahinya sudah berkerut.
“Tak pasti. Kalau mak datang, Mar
ikut sekali. Kalau abah tak ajak, abah nak pergi seorang, alamatnya duduk rumah
je esok,” jawab Mardhiyah dengan nada segan.
Segan pertama sebab Agus cuma
panggil dia Mar, lebih-lebih lagi Cikgu Aini ada berdiri di sebelahnya ini.
Segan kedua sebab dia sudah mahu
kata tidak pada risikan Haji Syafie, tapi sekarang bila berhadapan dengan Agus
secara siaran langsung begini, entah kenapa tiba-tiba saja hatinya rasa
berdebar-debar. Degupan jantungnya semakin laju. Darah terasa menyerbu naik ke
muka. Bukan kali ini saja, tiap kali ke pasar raya ini, kalau kebetulan dia
terserempak dengan Agus di sini, pasti rasa berdebar-debar itu wujud.
Sukakah ya dia dengan Agus itu?
Mardhiyah sudah pura-pura mengitari sekeliling kedai gunting rambut itu sambil
Agus terus menggunting rambut budak lelaki yang duduk di hadapannya.
Malam esok, majlis akad nikah Kak
Azreen, kakak Agus. Kad jemputan memanglah keluarganya dapat, tapi seganlah dia
hendak datang ke majlis orang kalau tanpa emak yang menemankan. Dia bukannya
pandai sangat beramah mesra dengan tetamu yang dia tidak kenal. Lebih-lebih
lagi selepas Haji Syafie berkias-kias pada abah merisik dia untuk Agus.
Agus terdiam sambil tangannya tekun
menggunting rambut budak lelaki yang duduk di hadapannya. Tiba-tiba saja dia
teringat dengan kata-kata ayahnya, Haji Syafie, beberapa hari lepas. Ayah sudah
tanya-tanya pada abah Mardhiyah, kalau Mardhiyah setuju, kita masuk meminang,
begitu kata ayah.
Tapi, setujukah Mardhiyah?
Terburu-burukah keputusan yang dia buat ini ya, Agus sudah dilanda bimbang.
Kalau setuju, tentu Mardhiyah tidak teragak-agak untuk ke majlis akad nikah Kak
Has malam esok.
“Semua sekali dua puluh satu
ringgit,” Agus senyum pada Mardhiyah selepas selesai menggunting rambut murid
yang ketiga.
Mardhiyah hulur kepingan duit
kertas pada Agus. “Kirim salam kat Kak
Has ya. Insya Allah, kalau mak pergi, Mar ikut sekali…”
“Insya Allah…” sahut Agus menyambut
huluran duit daripada Mardhiyah. Din sudah pura-pura batuk di sebelahnya. Agus
sekadar menjeling tajam pada Din. Dari tadi sejak Mardhiyah ada di dalam kedai
gunting rambut itu, Din tidak habis-habis dengan batuk kecilnya.
Kaki Mardhiyah terus melangkah
keluar dari kedai gunting rambut sederhana kecil itu. Haraplah emak ikut sekali
ke majlis malam esok, adalah alasan untuk dia pergi sekali. Kalau emak tidak
ikut, memikirkan hal itu, terasa ada
sesuatu yang hilang dari hatinya.
Tapi kemudian, entah kenapa
tiba-tiba saja dia teringat dengan Faisal. Faisal anak Kak Bariah. Faisal anak
saudaranya. Faisal yang punya rambut sarang tebuan. Tentu sarang tebuan di kepala
Faisal itu makin lebat. Baiklah, malam ini dia akan telefon Kak Bariah, dia
mahu cup si Faisal sarang tebuan itu untuk dibawa ke kedai gunting rambut Agus
ini, paling lewat hujung minggu ini.
No comments:
Post a Comment