SUARA
RIUH-RENDAH di tingkat bawah mengejutkan Mardhiyah dari tidur. Jam di
dinding menunjukkan pukul lima setengah pagi. Perlahan dia menggosok-gosok
matanya. Entah siapa yang berdentang-dentang di tingkat bawah itu, emak
rasanya. Macam bunyi kuali dan periuk berlaga pun ada. Emak itu, selagi majlis
tidak selesai, selagi itu dia dilanda sindrom tidak dapat tidur.
Mardhiyah mencapai tuala untuk
mandi, mahu bersiap seawal mungkin. Petang ini, mereka sekeluarga akan
mengadakan majlis tahlil arwah Tuk Amit dan Nek Jas.
Siap berpakaian dan menunaikan
solat Subuh, Mardhiyah turun ke dapur. Emak sedang sibuk menghitung pinggan
mangkuk yang sudah dilonggokkan di tepi
kabinet dapur.
“Nasi sejuk ini nak buat apa mak?”
Tanya Mardhiyah sekadar berbasa-basi, padahal bukan dia tidak tahu kalau nasi
sejuk itu, tentu sekali emak mahu masak nasi goreng.
“Nak goreng. Kalau nak tolong
goreng, bawang, ikan bilis, dan sayur mak dah sedia dalam mangkuk tepi dapur
tu,” arah Puan Hafizah secara tidak langsung.
Mardhiyah pantas mencapai mangkuk
besar berisi nasi sejuk itu. Dalam hati sebenarnya agak lega dengan arahan
tidak langsung daripada emak itu. Perbualan emak dengannya malam tadi
menyebabkan dia seboleh-bolehnya mahu mengelak dari berbual panjang dengan
emak.
Ya, sejak emak buka mulut mengenai
Agus.
Agus?
AGUS
ITU DULU satu sekolah dengannya, dari zaman
sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Tingkatan Satu hingga Tingkatan
Tiga memang sekelas, kemudian bila masuk Tingkatan Empat, seingatnya Agus masuk
kelas Perdagangan, dan dia masuk kelas aliran Sains.
Teringat Mardhiyah zaman dia
bergelar pelajar sekolah menengah dulu. Kisah yang merenggangkan persahabatan
mereka berdua lama dulu. Waktu itu dia Tingkatan Lima dan baru saja dilantik
sebagai Ketua Pengawas Perempuan.
“Hei… kirim salam kat Ketua
Pengganas tu,” jerit Agus dari celah pokok bunga raya yang lebat merimbun.
Riduan turut mengintai sama sambil
gelak-gelak nakal dengan Hassan. Mardhiyah cuma menjeling tajam. Menyampah
dengan perangai kebudak-budakan mereka. Sejak dia dilantik memegang jawatan
tertinggi di kalangan pelajar sekolah itu, sejak itulah dia disapa dengan
panggilan sebegitu. Ketua Pengganas!
“Ketua Pengganas, aku… aku…”
“Aku apa?!” Sergah Mardhiyah
garang. Geram betul dia melihat wajah Agus yang main-main itu.
“Aku tak gunting rambut. Tengok,
panjang tak?” Agus membuat iklan syampu di hadapan Mardhiyah. Rambutnya yang
ikal itu lebat sekali sampai mencecah kolar baju sekolahnya.
Tersengih-sengih Agus memandang
Mardhiyah yang berdiri di hadapannya. Puas hatinya dapat mengusik si mata sepet
itu. Sebelum si mata sepet itu dilantik jadi Ketua Pengawas, ramah saja
Mardhiyah menegurnya walaupun mereka sudah berlainan kelas. Tapi, sejak
Mardhiyah jadi orang penting sekolah kononnya, Agus terasa macam semakin jauh
dengan Mardhiyah.
Kadang-kadang dia macam rindukan
Mardhiyah yang dulu. Mardhiyah yang peramah, yang baik, yang tidak sombong,
walaupun Mardhiyah itu si cerdik pandai yang jadi kesayangan cikgu-cikgu.
Mardhiyah yang dia kenal dulu tidak
macam pelajar perempuan lain. Pelajar perempuan lain, kalau cantik sikit, kalau
pandai sikit, mulalah nak berlagak. Mardhiyah ini agaknya sudah bertukar jadi
spesies yang begitulah. Rasa pandai sikit, mulalah nak berlagak.
“Itu kau sendiri punya pasal. Kalau
cikgu disiplin tangkap, padan muka kau,” jawab Mardhiyah garang lalu berlalu
pergi. Riduan dan Hassan yang jadi pengapit kanan dan pengapit kiri si Agus
tercorot-corot masih memanggil nama Mardhiyah sehingakan pelajar-pelajar lain
yang ada dekat-dekat situ menoleh kehairanan memandang Mardhiyah.
Geramnya!
SEJAK
DIA memegang jawatan besar itu, perangai
Agus dan kawan-kawannya makin menjadi-jadi. Zahida teman baiknya pula selalu
merungut. Wajah Mardhiyah makin masam, makin nampak bengis. Tapi entah kenapa
Mardhiyah rasa dia sendiri tidak banyak berubah. Cuma masa luang untuk
bersama-sama dengan Zahida makin terasa singkat. Tapi bukannya dia sengaja pun.
Dia sentiasa sibuk dengan
tugas-tugas sebagai Ketua Pengawas Perempuan sekolah. Bersama-sama Alfian,
mereka berdua menjadi teraju Majlis Perwakilan Pelajar sekolah itu. Disiplin
sekolah memang tidak pernah bagus. Hampir setiap hari dia mengeluarkan surat
saman. Ada-ada saja kesalahan pelajar sekolah yang dia kenal pasti. Kalau
bertugas di pintu pagar sekolah saja, suku pelajar yang datang awal pagi pasti
punya kesalahan.
“Dik, mana kad pelajar?”
“Awak, pakai stoking belang-belang
ni kenapa?”
“Ni rambut, kenapa cecah kolar?”
“Lewat lagi, memang tak ada muka
lain ke? Asyik awak je.”
Itu belum lagi tugasnya sebagai
Sidang Redaksi Majalah Sekolah. Dilantik sebagai Ketua Editor majalah sekolah,
menjadi wakil sekolah dalam pelbagai pertandingan, Mardhiyah itu, Mardhiyah
ini, pendek kata tidak ada nama lain yang naik ke pentas untuk terima hadiah
penghargaan kalau bukan Mardhiyah.
Mungkin kerana itu, memang betul
kata Zahida. Mardhiyah makin sombong. Makin lupa daratan.
“Sombong kau sekarang Mar. Maklum,
orang jadi Ketua Pengawas sekolah. Kesayangan cikgu,” tuduh Agus.
“Mana ada aku sombong. Kita dah
besarlah Agus… kena elok sikit perangai tu…” balas Mardhiyah.
Yalah, bila masa pula dia sombong.
Agus itu yang sudah banyak berubah. Sejak berkawan dengan Riduan dan Hassan,
makin menjadi-jadi pula sifat nakalnya.
“Yalah… kau kan pandai. Kau aliran
Sains, aku kelas Perdagangan. Mana padan dengan kau…” luah Agus sambil
pura-pura membelek tayar basikalnya.
Nantilah, kalau Mardhiyah keluarkan
lagi surat saman, dia mahu pancitkan tayar basikal Mardhiyah. Sudah tentu
Mardhiyah kena sorong basikalnya balik ke rumah, dan selepas itu, dia selaku
jejaka prihatin, akan tolong hantar beg sekolah Mardhiyah ke rumah.
Beg
Mardhiyah makcik, kasihan dia sorong basikal pancit tadi,
Agus sudah tersenyum-senyum di situ.
Bukankah Mardhiyah pernah kata dalam
hujahnya sewaktu pertandingan pidato antara kelas dulu;
kalau hendak pikat si anak dara,
kena pikat dahulu ibu dan bapanya,
kalau hendak dengar hujah saya,
dengarkan dulu definisinya.
Agus sudah senyum-senyum dalam
hati. Dia ingat hampir semua yang berkaitan dengan Mardhiyah. Almaklum,
Mardhiyah itu kan buah hati tidak rasminya. Si mata sepet itu sudah menambat
hatinya sejak zaman mereka sama-sama sekolah rendah dulu.
“Kau senyum apa?” Tanya Mardhiyah
sudah kehairanan melihat Agus tersengih-sengih sambil belek-belek tayar
basikalnya.
“Mana ada aku senyum…” Agus terus
berdiri pura-pura tidak tahu. Dia naik ke atas basikalnya, mahu mula mengayuh
basikal itu. Riduan sudah sampai di sebelah Agus dengan basikal Mountain
Bikenya itu.
“Agus. Sekolah ini atas bukit. Baik
kau turun sekarang. Sampai bawah bukit baru kau kayuh basikal tu…” Mardhiyah
sudah keluarkan arahan tegasnya. Agus ini memanglah. Mentang-mentang mereka kenal
satu sama lain dari sekolah rendah sampai sekarang, berlagaknya ya ampun.
“Kalau aku jatuh, kau dukung aku
haha…” sengih Agus. Sibuk saja Mardhiyah itu. Bukannya jatuh pun kalau setakat
bukit landai begini. Tegasnya ya ampun mengalahkan mak nenek betul.
“Agus! Jangan kata aku tak bagi
amaran…”
“Kau ni tegas sangatlah Mardhiyah.
Membebel macam mak nenek. Cikgu disiplin pun tak macam kau,” ejek Riduan.
Mardhiyah cuma menjeling geram.
“Bye darling kahkahkah…”
Agus sudah berlalu pergi sambil mengayuh basikalnya, meluncur menuruni bukit
itu.
Mardhiyah menarik nafas panjang.
Geram betul dengan Agus itu. Setiap hari ada-ada saja Agus mahu sakitkan
hatinya. Dia toleh ke belakang mencari kelibat Zahida, kawan baiknya. Mana
Zahida ya?
Teringat dengan kata-kata Zahida
tempoh hari. Zahida kawan baiknya sejak Tingkatan Satu itu, terang-terang
mengatakan Mardhiyah sudah lupa daratan. Mentang-mentang ayam tambatan sekolah.
Kata Zahida, Mardhiyah sekarang sudah ada nama besar di sekolah ini, jadi lupa
pada kawan-kawan yang tidak berkebolehan.
Benarkah ya? Benarkah dia sudah
berubah sedemikian rupa? Ataupun adakah ketegasan yang dia pamerkan itu menjadi
tembok pemisah kepada persahabatan mereka?
“TAK
BAIK begitu Mar,” tiba-tiba saja Puan
Hafizah bersuara memecahkan lamunannya. Mardhiyah menoleh. Emak sudah ada di
belakangnya.
“Haaa…? Apanya mak?” Soal Mardhiyah
pura-pura tidak tahu sedangkan dia sudah dapat agak arah bicara emak.
“Tak baik pilih harta. Jangan
tengok rupa juga. Yang penting bagi kita ini hati, kalau rupa saja lawa,
perangai entah ke mana pun tak guna juga,” komen Puan Hafizah.
“Bukannya Mar memilih mak,” dia
sudah mengetap bibir. Emak ini, sudah jadi isu pula hal dia dan Agus ini. “Mar
pun ada ciri-ciri tertentu yang Mar mahukan dalam diri seseorang tu. Bukannya
boleh main tangkap muat saja. Takkan terus nak kata ya.”
“Agus itu kita kenal dah lama.
Sejak kamu berdua sama-sama sekolah tadika lagi. Sekampung. Bukan orang lain
Mar,” balas Puan Hafizah. Kali ini dia sudah berlalu ke arah ruang makan.
“Tapi tak apalah, kalau Mar memang
tak nak, mak tak paksa. Yalah, dia itu pun bukan kerja makan gaji. Kerja
gunting rambut saja pun,” sambung Puan Hafizah.
Kalau dah tak suka, hati orang
jangan dipaksa-paksa. Agus anak bongsu Hajah Fatehah itu memang bukan orang
lain. Satu sekolah, malah satu kelas lagi dengan Mardhiyah dari sekolah rendah
dulu. Kakak Agus, si Azreen itu pun teman sepermainan Mardhiyah masa
kecil-kecil dulu. Tapi, yalah, dia faham juga, bukan senang Mardhiyah yang
berkelulusan universiti itu hendak terima anak muda yang kerjanya cuma gunting
rambut orang macam Agus.
MARDHIYAH
TIDAK BERANI hendak menjawab. Karipap yang
sudah garing di dalam kuali dikautnya dan diletak di atas pinggan beralaskan
tisu penyerap minyak. Kemudian dia masukkan lagi karipap mentah ke dalam kuali
berisi minyak panas.
Emak, Abah, Haji Syafie, Agus, dan
soalan itu. Tawaran sebetulnya. Eh, pinangan sebenarnya.
Betulkah boleh dikatakan sebagai
pinangan? Kalau pinangan, mana cincinnya?
Merisik. Ya, rasanya itu perkataan
yang paling tepat. Haji Syafie, ayah Agus itu cuma risik-risik saja pasal
dirinya. Kalau belum ada yang punya, dan Mardhiyah bersetuju, keluarga Agus
mahu masuk meminang Mardhiyah ini, untuk disatukan dengan anak bongsu mereka,
Agus itu.
Mardhiyah membalik-balikkan karipap
di dalam kuali. Hatinya masih terkesan dengan kata-kata Emak. Kata-kata Abah
malam tadi. Usul Haji Syafie juga. Mengenai Agus.
Tapi, bukankah kalau memilih
pasangan itu, seboleh-bolehnya hendak yang sekufu?
Kalau lelaki itu, isterinya punya
taraf pendidikan yang lebih rendah berbanding si suami, jarang ada masalah di
kemudian hari.
Tapi, Agus itu, pendidikannya
sampai tahap mana ya?
Mar ini Penolong Pengarah mak, Agus
itu tukang gunting rambut. Manakan sekufu?
Atau, definisi sekufu pemahaman
Mardhiyah ini berlainan dari definisi sekufu yang sebetulnya. Adakah ya, maksud
lain bagi sekufu ini?
No comments:
Post a Comment